You are on page 1of 6

TEKS UCAPAN

YBHG DATO’ SABARIAH HASSAN

KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN


MASYARAKAT

PROGRAM “RETREAT REMAJA CEMERLANG 2015”

18 JANUARI 2015 (AHAD)


(SALUTASI)

Yang Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Penaung Pusat Khidmat
Masyarakat (NADI) Parlimen Cheras.

Yang Berusaha, Dato’ Hajjah Zurainah Musa , Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat
(NADI) Parlimen Cheras

Yang Berbahagia Barisan Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat Masyarakat (NADI)


Parlimen Cheras

Yang Dikasihi para remaja yang merupakan peserta retreat yang diraikan pada
petang ini

Yang Dihormati Hadirin serta hadirat sekalian

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, dan salam sejahtera.

PENDAHULUAN

Bersyukur ke hadrat Allah Subbahanu Wa Taala di atas limpah kurnia serta rezeki
yang dicurahkan, kasih dan sayang–Nya mengizinkan kita semua hamba-Nya pada
pagi ini berkumpul bersama-sama di Majlis Perasmian Program “Retreat Remaja
Cemerlang 2015” anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (NADI) Parlimen Cheras.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan salam takzim daripada YB


Dato Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat yang kini berada di negeri Sarawak atas komitmen tugas yang tidak
dapat dielakkan.

Sebelum itu, saya mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya untuk
merasmikan Program “Retreat Remaja Cemerlang 2015” yang saya dimaklumkan
telah dilaksanakan selama 3 (tiga) hari. Tahniah kepada semua yang terlibat
menjayakan program ini, khususnya kepada peserta retreat yang telah berjaya
mengikuti setiap program yang direncanakan. Saya berharap para peserta dapat
memanfaatkan program yang disertai ini untuk bersama-sama membantu
menyumbang ke arah pembangunan negara pada masa akan datang. Tanpa
golongan remaja yang berwawasan seperti saudara dan saudari di hadapan saya ini,
hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tidak akan
dapat dicapai

Hadirin yang dihormati sekalian,

REMAJA TUNGGAK MASA DEPAN NEGARA

“Remaja Hari Ini Adalah Pemimpin Hari Esok”, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi
Tiang Negara”, “Remaja Tunggak Negara”, itulah antara beberapa ungkapan yang
kerap kita dengar apabila bercakap mengenai peranan remaja. Hakikat ini adalah
satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para remaja, baik yang lelaki
mahupun yang perempuan.

Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa pada satu masa nanti dan
remaja hari ini akan mengambil pucuk pimpinan negara, paling tidak pun bakal
menjadi ketua kepada organisasi atau ketua keluarga apabila sudah berumah
tangga. Justeru, kemahiran serta pengalaman yang ditimba dalam program
seumpama ini sedikit sebanyak dapat membentuk saudara saudari sekalian untuk
menjadi individu yang lebih matang dan bersedia untuk memikul tanggungjawab
yang lebih besar apabila meninggalkan peringkat umur remaja suatu hari nanti.

Atas rasional inilah, Program Retreat Remaja Cemerlang ini dilaksanakan oleh
Pusat Khidmat Masyarakat (NADI) Parlimen Cheras bagi menggalakkan, membantu
dan membimbing para remaja agar mempunyai jati diri yang kukuh, berilmu,
beriman, bertakwa serta mengamalkan nili-nilai murni dalam kehidupan. Remaja
perlu dibimbing agar tidak terjebak dalam perkara yang merugikan masa hadapan
diri, keluarga dan negara.

Cabaran dan halangan bagi membentuk kekuatan fizikal dan mental perlu diharungi
dengan penuh optimis. Segala kelemahan dan kegagalan perlu ditangani
berasaskan keimanan agar menjadi benteng serta terpelihara daripada perkara
yang meruntuhkan.

PROGRAM PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PEKERTI)


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan
perkhidmatan-perkhidmatan yang disasarkan kepada kumpulan Remaja. Antara
yang dilaksanakan adalah Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial
(PEKERTI) di Sekolah dan PLKN.

Satu kajian telah dijalankan secara kerjasama antara Kementerian Kesihatan


Malaysia (KKM) dan LPPKN pada tahun 2010. Kajian ini melibatkan 22,810 remaja
berumur 18 hingga 24 tahun di seluruh Malaysia. Sampel adalah diambil dari
pelatih PLKN di kem JLKN seluruh Malaysia. Hasil kajian menunjukkan bahawa
terdapat seramai 6.5 peratus remaja mengaku pernah melakukan hubungan seks
luar nikah dengan minimum umur pertama kali melakukannya hubungan seks luar
nikah dengan min umur pertama kali melakukannya di sekitar 16.0 tahun. Hal ini
merupakan satu situasi yang membimbangkan terutama kepada perkembangan
remaja itu sendiri.

Justeru, pewujudan PEKERTI merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta


pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat menghormati .
Pelaksanaan dasar ini turut mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai
hidup masyarakat di Malaysia.

PEKERTI @Sekolah

PEKERTI @Sekolah dirintis pada tahun 2012 sebagai program sokongan


kokurikulum untuk pelajar Tahun 6 iaitu selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR), pelajar Tingkatan 3 iaitu selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta
pelajar Sekolah Pendidikan Khas.

Program ini dijalankan selama 5 tahun dengan membuat kajian impak (Impact
Asssement) selepas 2 tahun dan 4 tahun. Pada tahun ini, antara pelaksanaan
program PEKERTI@Sekolah ialah, Latihan Trainee Of Trainer Fasilitator di 4 Zon
(Zon Utara, Selatan, Pantai Timur dan Borneo). Selain itu, kita juga akan
mengadakan pelaksanaan Program PEKERTI di Sekolah seterusnya program
penilaian dan pemantauan Program PEKERTI.
Setiap tahun, kita menyasarkan penganjuran program ini diadakan di 3 buah
sekolah di setiap negeri dengan penyertaan seramai 8,000 orang pelajar.

PEKERTI@PLKN.

Selain itu, PEKERTI@PLKN juga diadakan oleh Kementerian ini. LPPKN dan Jabatan
Latihan Khidmat Negara (JLKN) bekerjasama untuk mengintegrasikan modul
PEKERTI ke dalam PLKN. Modul ini menekankan aspek menghindari situasi berisiko
tinggi, kemahiran dan teknik penangguhan serta kemahiran penolakan kepada
pelatih. Program ini telah bermula pada tahun 2011 sehingga kini.

Hadirin yang dihormati,

Kafe@TEEN

Selain PEKERTI, Kementerian melalui LPPKN juga menyediakan Pusat Remaja serba
moden dan mesra remaja iaitu Kafe@TEEN bagi tujuan membantu remaja berumur
13 hingga 24 tahun melalui alam remaja dengan selesa dan tanpa ragu-ragu.

Setiap remaja yang ingin menggunakan kemudahan dan perkhidmatan Pusat


Remaja ‘kafe@TEEN’ hendaklah mendaftar sebagai ahli Sahabat ‘kafe@TEEN’.
Jumlah ahli Sahabat ‘kafe@TEEN’ bagi tiga pusat remaja dari mula dibuka sehingga
Disember 2008 ialah seramai 20,380 orang remaja.

Waktu operasi Pusat Remaja ‘kafe@TEEN’ yang dibuka pada hari Isnin hingga
Jumaat dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang, diberikan adalah PERCUMA. Pusat
ini dibuka berfungsi bagi:

 Membantu remaja menempuhi alam remaja dengan selesa dan tanpa ragu-
ragu;

 Menyediakan khidmat kaunseling dan perkhidmatan kesihatan bagi


membantu remaja mengatasi masalah fizikal, mental dan sosial remaja;

 Memberi peluang remaja berkenalan dengan rakan-rakan serta berkongsi


pengalaman dan idea-idea baru; dan

 Memperkasakan remaja melalui bimbingan dan pendidikan.


Antara perkhidmatan yang ditawarkan di Kafe@TEEN adalah perkhidmatan
Kesihatan Remaja, Khidmat Kaunselor, Aktiviti Pendidikan dan Skill Building.

Saya mengalu-alukan penyertaan tuan/puan ke Kafe@TEEN yang disediakan ini.

PENUTUP

Saya percaya penganjuran Program pada hari ini selari dengan matlamat
memotivasikan remaja agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan.
Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa akan
datang demi memartabatkan Negara yang gemilang dan terbilang.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan
syabas kepada Pengerusi dan sekretariat Pusat Khidmat Masyarakat (NADI)
Parlimen Cheras yang berjaya menganjurkan program “Retreat Remaja Cemerlang
2015” .

Saya dengan lafaz “Bismillahhirrahmannirahim” dengan ini merasmikan, program


“Retreat Remaja Cemerlang 2015” .

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabara-


katuh.

You might also like