You are on page 1of 3

KREATIVITI DAN INOVASI PEMANGKIN USAHAWAN BERJAYA

Saudara, Ibn Kathir dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-A’zim mengulas bahawa Allah S.W.T
menyeru kepada umat manusia supaya berusaha memanfaatkan rezeki yang dianugerahkanNya
di seluruh pelusuk bumi.

Assalamualaikum wbt dan salam keusahawanan. Sekalung apresiasi saya hulurkan kepada
saudara pengerusi, kombinasi kehakiman intelektual bervisi, seterusnya hadirin hadirat yang
dikasihi dekat dihati.

Mauduk bicara kita pada hari ini, kreativiti dan inovasi pemangkin usahawan berjaya. Kata orang
tak kenal maka tak cinta, jadi kita terus bercinta dengan frasa pertama, frasa kreativiti dan
inovasi. Kreativiti dan inovasi ialah kebolehan seseorang untuk mencipta produk yang baharu di
samping menambah baik produk yang sedia ada. Frasa pemangkin pula boleh ditakrifkan sebagai
faktor penyumbang kepada sesuatu perkara dan frasa usahawan berjaya pula ialah individu yang
berhasil memupuk ciri-ciri usahawan dalam diri.

Beralih pula kepada unjuran pemahaman kontekstual, kreativiti dan inovasi merujuk kepada
individu yang dapat menepati cita rasa pengguna dalam menghasilkan produk dan servis.
Menurut Zafir Mohd Makhbul dalam karyanya ‘Menjadi Usahawan’, usahawan berjaya
mempunyai indikator yang tersendiri seperti bersifat berdikari, yakin pada diri, berwawasan serta
bersifat kreatif dan inovatif. Oleh itu, bicara kita pada hari ini akan menfokuskan sifat kreativiti
dan inovasi usahawan dalam mengaplikasikan strategi pemasaran yang berkesan.

Hadirin sekalian,

Prima kata saya yang pertama dibawah lembayung kata ‘kreativiti dan inovasi dalam penciptaan
produk’. Dalam menempuhi era pemasaran produk yang semakin mencabar, keupayaan
mengemukakan produk yang lebih kompetitif sangat penting sebagai strategi pemasaran. Puan
Fauziah Binti Ahmad Shahrim Eusop merupakan pengasas Perniagaan FS Harmoni Enterprise
telah menjalankan perniagaan membuat kuih bakar. Sebagai seorang usahawan kreatif dan
inovatif, Puan Fauziah telah melakukan penjenamaan semula produknya dengan nama Kuih
Bangkit Gebu Puan Fauziah untuk menggantikan nama produknya yang lama. Selain itu, Puan
Fauziah juga telah meningkatkan penggunaan teknologi untuk menghasilkan kuih bangkit,
dahulunya Puan Fauziah terpaksa menjemur dan mengoreng tepung untuk memastikan kuih
bakar yang dihasilkan tidak mudah lemau dan tahan lama. Puan Fauziah juga mempelbagaikan
produk kuih bangkit beliau seperti kuih bangkit kelapa dan kuih bangkit kacang. Lihatlah, sifat
kreativiti dan inovasi dalam penciptaan sesuatu produk dapat melahirkan sebuah jenama produk
baharu sekaligus dapat melahirkan usahawan yang berjaya.

Warga dewan sekalian,


Kata kunci saya yang kedua ialah ‘kreativiti dan inovasi dalam menetapkan harga produk’.
Sudah menjadi lumrah masyarakat, selalu beranggapan bahawa harga melambangkan kualiti
sesebuah produk. Tapi Tan Sri Tony Fernandes berjaya menyangkal pendapat itu. Pengasas
syarikat Air Asia ini berjaya memberikan perkhidmatan penerbangan tambang rendah kepada
pengguna lantas membantu rakyat dan negara untuk terus maju. Kreativiti dan inovasi yang
terdapat dalam slogan ‘Now Everyone can Fly’ telah membezakan perkhidmatan penerbangan
Air Asia dengan perkhidmatan penerbangan yang lain. Tan Sri Fernandes juga telah mejalingkan
kerjasama serantau dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Jelaslah, hadirin
sekalian, kreativiti dan inovasi dalam menetapkan harga produk mampu melahirkan usahawan
yang berdaya saing.

Warga dewan penggerak wawasan,

Indikator saya yang ketiga ialah‘kreativiti dan inovasi dalam menentukan lokasi perniagaan.’
Tahukah anda, lokasi yang strategik penting bagi memastikan kewujudan sesebuah produk itu
diketahui oleh para pengguna. Kreativiti dan inovasi penting bagi membantu kelancaran proses
pengedaran produk. Tan Sri Lim Goh Tong, pengasas kepada Kumpulan Genting, mempunyai
satu idea yang bernas iaitu beliau menginginkan sebuah pusat peranginan di atas bukit seperti
yang terdapat di Cameron Highlands. Idea Tan Sri Lim Goh Tong disambut baik oleh pihak
kerajaan kerana projek itu dapat menebus guna tanah terbiar milik kerajaan. Tan Sri Lim Goh
Tong merupakan seorang yang sangat kreatif dan inovatif kerana memilih kawasan strategik
untuk mewujudkan pusat peranginan. Hari ini, kita dapat lihat Genting Highland telah menjadi
tarikan pelancong dari serata dunia, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam
sektor pelancongan.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Kata kunci saya yang terakhir di bawah lembayung kata ‘kreativiti dan inovasi dalam
mempromosikan produk.’ Promosi ialah satu proses memperkenalkan produk yang hendak
ditawarkan kepada pengguna. Melalui promosi, pengguna dapat mengetahui, memahami dan
seterusnya membuat keputusan untuk menggunakan sesuatu produk. Siapa yang tidak mengenali
Dato’ Seri Vida pengasas Pamoga Qu Puteh. Dato’ Seri Vida merupakan ikon usahawan wanita
yang sering menggunakan media sebagai medium untuk mempromosikan produknya. Kreativiti
dan inovasi yang terdapat dalam diri Dato’ Vida terserlah apabila beliau mengambil keputusan
untuk menaja rancangan hiburan seperti Gegar Vaganza bagi mempromosikan produknya.
Kaedah yang digunakan oleh Dato’ Vida sangat bernas kerana beliau menggunakan rancangan
realiti yang rata-rata ditonton oleh golongan anak muda. Terbaru, Dato’ Vida juga bakal menaja
pasukan bola sepak Kelantan sebagai satu lagi kaedah untuk mempromosikan produknya.
Tuntasnya, inovasi dan kreativiti sangat penting dalam proses mempromosikan produk.

Kesimpulannya, jelaslah perlunya sifat inovasi dan kreativiti dalam diri seseorang usahawan
demi memangkin golongan usahawan yang berjaya. Sedarlah, generasi usahawan yang
cemerlang tidak lahir begitu sahaja, bak kata pepatah, yang bulat tidak akan datang bergolek,
yang pipih tidak akan datang melayang, janganlah kita hanya menangguk di air yang keruh
sahaja.

Ayuh Malaysia kita, bangkitlah untuk berniaga, bukan kerana diri sahaja, namun juga untuk
agama, bangsa dan negara, demi keuntungan di dunia dan juga di akhirat sana.

Sekian, terima kasih.

Wabillah…..

You might also like