You are on page 1of 29

MEMUPUK RASA TANGGUNGJAWAB DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA

PENGENALAN

Semenjak merdeka, banyak program pembangunan telah dilaksanakan dengan objektif meningkatkan taraf kehidupan setiap lapisan rakyat. Setiap tahun, kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menyediakan prasarana yang meliputi sebahagian besarnya kemudahan awam selain daripada perkhidmatan pengangkutan dan perbandaran. Kemudahan awam yang dimaksudkan di sini ialah prasarana yang disediakan di tempat awam seperti tandas, telefon, tempat berteduh bagi pejalan kaki dan lain-lain, yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya atau jalan raya, padang permainan, dewan serba guna, pasar, sekolah, dan pejabat kerajaan. Kemudahan ini disediakan bagi membolehkan masyarakat setempat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan teratur.

Seperti kera mendapat bunga. Begitulah sikap sebahagian besar anggota masyarakat kita yang tidak tahu menghargai kemudahan yang disediakan. Mereka menggunakan kemudahan awam yang disediakan sekadar untuk kepentingan diri sahaja tanpa sebarang rasa tanggungjawab. Tiada langsung terdetik di benak mereka jika orang lain ditimpa kesusahan akibat kemudahan tersebut yang tidak boleh digunakan. Malahan di sesetengah tempat, ada yang tergamak merosakkan kemudahan tersebut dengan melakukan vandalisme.

Keadaan telefon awam yang dirosakkan, papan tanda diconteng serta ditampal dengan kertas iklan, besi penutup longkang dicuri, tandas awam kotor dan

pelbagai kerosakan terhadap kemudahan awam yang lain seolah-olah menjadi pemandangan tipikal yang menghiasi persekitaran kita. Selain itu, media massa juga turut mendedahkan pemandangan yang menyakitkan mata ini yang berlaku di seluruh negara.

Kejadian yang berlaku seumpama fenomena

ini menyebabkan kita

tertanya-tanya, kenapa ia berlaku, bagaimana ia boleh berlaku dan siapa bertanggungjawab memperbaiki serta mencegah ia daripada terus berlaku.

KESEDARAN SIVIK DAN TANGGUNGJAWAB

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya berkisar tentang kesedaran sivik. Perkataan sivik ditakrifkan sebagai hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Manakala kesedaran sivik pula bermaksud rasa tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam menjaga kepentingan awam demi kebaikan bersama. Pendek kata, kesedaran sivik membawa kita kepada suatu aspek kesedaran mental dan fizikal untuk hidup bermasyarakat dengan terkandung bersama-sama rasa tanggungjawab, hormat-menghormati, amanah, ikhlas, beretika, bersatu padu dan sebagainya.

Unsur terpenting yang menjadi teras kepada maksud kesedaran sivik ialah istilah tanggungjawab yang merupakan perkataan yang tidak asing bagi kita semua. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, tanggungjawab ditakrifkan sebagai sesuatu seperti kerja atau tugas yang mesti dilakukan atau kewajipan. Manakala bertanggungjawab bererti nilai peribadi yang dimiliki oleh seseorang

yang sanggup memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.

Dalam pada itu, kita sudah tentu biasa melihat dan mendengar pelbagai slogan berkaitan tanggungjawab. Slogan seperti Negara Kita Tanggungjawab Kita, Kebersihan Tanggungjawab Bersama dan sebagainya banyak dipaparkan sama ada di poster-poster dan media massa. Begitu juga jika kita berfikir sejenak bahawa setiap aspek kehidupan kita sebenarnya memerlukan tanggungjawab dilaksanakan bagi memastikan ia berjalan mengikut aturan yang betul.

Tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dalam pelbagai status dan peranan seperti sebagai individu, anak, ibu bapa, saudara, pekerja, majikan, warganegara dan sebagainya. Dalam konteks sebagai individu sahaja kita mempunyai pelbagai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bagi memenuhi hak setiap entiti di sekeliling kita. Tanggungjawab itu meliputi tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa, negara, alam sekitar dan lain-lain lagi.

Memandangkan terlampau banyaknya tanggungjawab yang dibebankan ke atas bahu seseorang individu itu, maka ramai orang cuba mengelak daripada bertanggungjawab dengan pelbagai helah. Oleh sebab itulah munculnya peribahasa lempar batu, sembunyi tangan, yang bermaksud seseorang yang tidak sanggup bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri.

Persoalan prinsip moral tanggungjawab juga banyak dibincangkan dan diperdebatkan oleh sarjana-sarjana psikologi menerusi pelbagai teori dan perspektif. Secara amnya setiap pendapat mentakrifkan bagaimana seseorang

individu itu dinilai sifat tanggungjawabnya relatif dengan setiap tindakan dan keputusan yang diambilnya.

Pendapat tentang tanggungjawab yang paling diterima oleh khalayak ialah menerusi pendekatan psikologi humanistik. Pendekatan ini melihat manusia memiliki suatu kuasa dalaman yang akan memberi impak kepada individu dan berpotensi menjadikan individu tersebut seseorang yang hebat dan menyumbang kepada masyarakat. Pendekatan ini diutarakan oleh Carl Rogers dan Abraham Maslow yang menyimpulkan bahawa seseorang individu itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap tindak-tanduknya.

Manakala pendekatan psikologi tingkah laku pula percaya semua manusia dilahirkan bersih, suci dalam keadaan kosong. Tingkah laku seseorang individu itu terhadap nilai-nilai moral seperti tanggungjawab adalah hasil pembentukan tingkah laku yang telah dibentuk oleh asakan persekitaran. Walau bagaimanapun pandangan ini agak berlawanan dengan teori psikoanalisis. Teori ini menyentuh tentang pembentukan personaliti berdasarkan persaingan intrinsik unsur kejiwaan yang mempengaruhi pendekatan individu terhadap tanggungjawab yang dipikul.

Berdasarkan

betapa

meluasnya

perdebatan

melibatkan

istilah

tanggungjawab ini dalam kalangan cendekiawan, sudah tentu ia mempunyai signifikan yang amat besar dalam setiap aspek kehidupan kita. Manakala kegagalan memenuhi tanggungjawab juga sudah tentu mendatangkan pelbagai implikasi buruk sebagaimana yang mampu kita jangkakan.

Hal ini bukan sahaja dibuktikan dengan perbuatan merosakkan kemudahan awam seperti vandalisme tetapi juga meliputi pelbagai gejala sosial dan jenayah yang lain seperti pembunuhan, rompakan, rogol dan sebagainya. Pada masa yang sama terdapat juga masalah-masalah lain seperti penagihan dadah, lumba haram, ragut, pecah rumah, seks luar nikah, gengsterisme dan pelbagai salah laku yang lain yang dikaitkan secara tidak langsung dengan sifat tanggungjawab. Memburukkan lagi keadaan, masalah ini bukan sahaja membabitkan penduduk tempatan sahaja malahan sesetengah pelancong dan ahli perniagaan asing turut menjadi mangsa jenayah khususnya ragut, samun dan rompakan.

Gejala-gejala

keruntuhan

moral

akibat

daripada

terhakisnya

sikap

tanggungjawab boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan masyarakat, menjejaskan perpaduan bangsa dan seterusnya membantutkan perkembangan ekonomi, sosial dan politik negara. Bahkan, usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing juga boleh terbantut akibat daripada perkembangan yang tidak sihat seperti ini.

FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB TERHAKISNYA SIFAT TANGGUNGJAWAB

Bagi mengelakkan keadaan ini daripada berterusan dan menjadi epidemik sosial, faktor-faktor kepada gejala yang ditimbulkan oleh keruntuhan nilai-nilai murni khususnya rasa tanggungjawab ini perlu dikenal pasti secara struktural supaya langkah-langkah proaktif serta sistematik bagi membendungnya boleh dilaksanakan.

Menurut pengkaji dan sarjana sains sosial, masalah sosial di negara ini sering kali dikaitkan dengan proses pembangunan dan transformasi sosial yang berlaku secara mendadak. Selepas merdeka, Malaysia mengorak langkah bagi mengubah daripada negara berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Pembangunan pesat dilaksanakan melalui proses perindustrian, perbandaran dan pemodenan sekali gus menjadi pemangkin kepada proses transformasi dalam masyarakat. Dalam kerancakan proses pembangunan ini,

berlaku krisis nilai dan keterasingan sosial dalam kalangan sesetengah kelompok masyarakat khususnya golongan muda daripada keluarga berstatus sosioekonomi yang rendah. Hal ini disebabkan oleh ketidakupayaan kelompok tersebut untuk memenuhi tuntutan umum masyarakat berhubung status sosial, pekerjaan dan pemilikan harta benda. Akibatnya, berlaku pelbagai masalah sosial khususnya jenayah yang membabitkan kelompok tersebut.

Kajian sarjana-sarjana sains sosial dan pihak polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada golongan muda yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru, tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu faktor utama kurangnya pemupukan nilai moral dan sifat tanggungjawab dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga. Sepatutnya, di gelanggang inilah tempat permulaan kanakkanak dibesarkan sama ada menjadi baik ataupun buruk.

Hakikat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan

tingkah laku sosial anak-anak jarang disedari oleh mereka yang bergelar ibu bapa. Memburukkan lagi keadaan, mereka pula menjadi model yang merosakkan pembentukan sahsiah anak-anak mereka menerusi perlakuan yang menyimpang. Keadaan ini diakui oleh sarjana-sarjana yang merumuskan bahawa kehidupan berkeluarga yang semakin rapuh dengan masalah dalam keluarga, keadaan ekonomi keluarga yang secara relatif rendah serta kawalan sosial keluarga yang kurang berkesan menjadi faktor penyumbang kepada masalah sosial masyarakat terutamanya anak-anak remaja.

Tahap sosioekonomi keluarga juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku individu. Status sosioekonomi merujuk kepada latar belakang hidup seseorang seperti berasaskan pendapatan, pekerjaan dan pendidikan. Kajian yang dijalankan ke atas pelajar-pelajar lelaki di sekolah menengah terhadap tingkah laku devian, mendapati pelajar-pelajar yang terbabit berasal daripada status sosioekonomi yang rendah. Dalam pada itu, anak-anak yang mempunyai taraf sosioekonomi keluarga yang rendah mempunyai potensi yang tinggi untuk terjebak dalam gejala devian berbanding dengan anak-anak yang datangnya daripada keluarga yang berstatus sosioekonomi tinggi. Hal ini terjadi mungkin disebabkan kurangnya interaksi dan pemerhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kemesraan dan sosialisasi antara ibu bapa dan anak menjadi amat tipis sehinggakan anak-anak merasakan diri mereka tiada tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi perasaan mereka. Hal ini secara tidak langsung berpotensi menjadikan anak-anak ini individu bermasalah dan tidak

bertanggungjawab.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh sarjana-sarjana sains sosial, keadaan sosioekonomi yang rendah mempengaruhi tahap kesedaran sosial serta tingkah laku individu. Ia menjadi penyebab apabila terdapat sesetengah golongan yang berstatus sosioekonomi rendah ini tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah lantaran kekangan kewangan. Tambah menyedihkan apabila sebahagian daripada golongan ini sebenarnya ialah ibu bapa yang langsung tidak pernah bersekolah. Mereka beranggapan bahawa sekolah hanyalah sebagai persediaan untuk anak-anak sebelum melangkah ke alam dewasa. Mereka tidak menyedari bahawa aspek pendidikan dan pengetahuan dalam bidang agama, moral, kepenggunaan, undang-undang dan pelbagai teknologi semasa perlu dipelajari oleh setiap individu. Pendidikan dan pengetahuan ini akan menjadi penyuluh kehidupan agar seseorang itu tidak mudah terpedaya atau hidup tanpa haluan dan rasa tanggungjawab hatta kepada diri sendiri sekalipun. Dalam konteks yang lebih luas, pendidikan dan pengetahuan berupaya meningkatkan ketahanan moral dan sosial masyarakat bagi menghadapi cabaran arus pemodenan.

Sekolah merupakan perantara pendidikan bagi anak-anak sebelum memasuki ke institusi pengajian tinggi. Setiap rakyat di Malaysia diarahkan untuk ke sekolah demi meningkatkan ilmu pengetahuan dan demi melahirkan pelapis negara yang berkualiti. Sekolah memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Namun, kenapakah kita masih menyaksikan pelajar-pelajar yang tidak menghormati satu sama lain? Mengapakah nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, mematuhi undang-undang dan peraturan serta hormat-menghormati masih kurang dipraktikkan oleh para pelajar seluruh negara?

Semua orang menyedari bahawa sekolah merupakan institusi terpenting dalam pembentukan ilmu pengetahuan dan sahsiah. Isu-isu yang timbul berhubung dengan tahap kejayaan pembentukan nilai murni dan sahsiah pelajar perlu direnung dan dibuat kajian secara kritikal. Sistem pentadbiran sekolah seperti pengawalan disiplin, penetapan hukuman dan kaedah pembelajaran yang terlampau ekstrem boleh memberi kesan terhadap pembentukan pelajar. Pengawalan disiplin yang terlampau ketat boleh memberi tekanan kepada pelajar. Mereka akan rasa terkongkong ekoran tidak boleh melakukan perkara yang mereka gemari walhal mereka berpendapat perkara tersebut tidak menjadi kesalahan. Sekiranya pelajar dihukum dan merasakan hukuman yang diberikan tidak munasabah, hal ini mampu mencetuskan perasaan tidak puas hati pelajar terhadap sekolah.

Selain itu, kaedah pembelajaran yang tidak sistematik berpotensi untuk menumbuhkan sikap negatif dalam diri pelajar. Masalah yang lebih serius akan timbul jika kemerosotan terus berlaku dalam perhubungan di antara guru dan pelajar. Tambahan pula, suasana belajar yang kurang menarik disebabkan gaya penyampaian ilmu, hubungan dengan guru yang bersifat terlalu formal dan kurangnya perhatian secara individu oleh guru boleh mempengaruhi tingkah laku sosial pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar mudah berasa bosan. Selanjutnya mengakibatkan pelajar hilang minat untuk duduk di dalam kelas dan mendorong ke arah berlakunya kes ponteng sekolah. Natijahnya, sebahagian daripada kelompok ini akan tercicir dalam pelajaran dan menjejaskan pembentukan sahsiah yang sihat.

Laporan salah laku serta isu-isu negatif yang melibatkan segelintir kelompok pelajar oleh media massa menimbulkan persoalan tentang keberkesanan fungsi sekolah sebagai tempat untuk menyuburkan peribadi murni dalam kalangan pelajar. Tambahan pula, seperti menjadi syarat wajib apabila kecemerlangan sesebuah sekolah diukur daripada segi pencapaian akademiknya semata-mata. Lantaran itu, tuntutan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang pencapaian akademik inilah yang menyebabkan guru-guru bertungkus-lumus melatih pelajar agar cemerlang dalam peperiksaan. Waktu pengajaran dan pembelajaran juga dimanipulasikan untuk mencapai matlamat ini. Akibatnya, tugas untuk membentuk sahsiah serta perkembangan psikologi para pelajar semakin dipinggirkan.

Pembelajaran moral secara akademik di dalam kelas memerlukan kebijaksanaan guru. Pendekatan yang silap boleh mewujudkan keadaan yang dinamakan dilema real-life kepada pelajar. Keadaan ini terbentuk apabila pelajar yang boleh menjawab soalan berkaitan isu moral dengan betul tetapi dalam situasi sebenar kehidupan mungkin membuat keputusan berbeza iaitu mengikut keutamaan masing-masing. Keadaan ini akan diburukkan lagi dengan pengaruh persekitaran yang tidak kondusif dengan isu moral tersebut.

Pengaruh media massa dalam kehidupan masyarakat Malaysia dewasa ini tidak perlu dipersoalkan lagi. Sama ada media elektronik atau media cetak, keduaduanya amat diperlukan sebagai sumber maklumat utama dan hiburan setiap lapisan masyarakat.. Sememangnya diakui media massa banyak memberikan manfaat, namun kita tidak boleh lupa bahawa media massa juga merupakan salah satu punca berlakunya gejala keruntuhan moral secara tidak langsung kepada

10

generasi muda. Filem dan program televisyen yang dibawa dari negara Barat selalunya menonjolkan nilai-nilai kehidupan masyarakat Barat yang jauh

bertentangan dengan budaya dan amalan kita masyarakat Timur. Misalnya, dipaparkan dengan bangganya pelbagai keruntuhan akhlak dalam pergaulan muda-mudi seperti pornografi, seks luar nikah dan homoseksual. Seolah-olah amalan tersebut tidak melanggar norma-norma manusia yang beragama. Selain itu, nilai moral yang sering dipaparkan ialah anak-anak sudah tidak lagi menghormati ibu bapa mereka. Anak-anak kononnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa batasan atas nama hak asasi. Ironinya, tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa apabila ibu bapa menjadi tua sering kali diabaikan.

Pendedahan remaja terhadap budaya kuning secara berterusan akan menimbulkan masalah dalam perubahan tingkah laku fizikal, verbal, sosial dan jenayah dalam kalangan mereka yang terlibat. Golongan kanak-kanak dan remaja akan mudah terpengaruh dan meniru bulat-bulat perlakuan yang mereka tonton. Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila ibu bapa dengan sengaja menjadikan media elektronik ini sebagai instrumen alternatif bagi melepaskan diri daripada tanggungjawab mendidik anak-anak.

Di samping itu, perkembangan teknologi Internet juga menjadi faktor yang melunturkan nilai-nilai murni masyarakat kita. Trend penggunaan Internet di Malaysia menunjukkan peningkatan yang semakin ketara tanpa mengira lapisan umur. Terdapat juga kanak-kanak yang berusia seawal umur 5 tahun sudah didedahkan dengan laman seperti Twitter, Facebook dan sebagainya. Anak-anak

11

bebas melayari Internet dari bilik masing-masing menerusi talian tanpa wayar. Mereka bebas melayari ke mana-mana laman web yang mereka inginkan sama ada laman yang berfaedah mahupun sebaliknya. Keadaan ini telah menyebabkan sesetengah daripadanya terdorong untuk melayari laman web yang tidak sepatutnya seperti laman web lucah, seks menyimpang, ideologi melampau, dan sebagainya.

Pendedahan kepada budaya kuning menerusi Internet pada peringkat umur kanak-kanak dan remaja memberi kesan yang buruk kepada pembentukan moral mereka yang masih hijau. Mereka tidak berupaya untuk membezakan dengan jelas apa yang betul dan apa yang salah lantaran kemampuan pertimbangan moral mereka belum matang. Tambahan pula, mereka cenderung untuk mendaftarkan sebahagian besar maklumat sebagai betul kerana tiada maklumat yang sesuai untuk dibuat perbandingan. Interpretasi yang salah ini akan berterusan sehingga mereka dewasa dan menjadi individu yang rosak moral dan fikirannya. Di samping itu, perbuatan asyik menghabiskan masa di hadapan skrin komputer mempunyai kecenderungan untuk menjadikan seseorang individu itu antisosial dan

mengabaikan keperluan sosial individu lain di sekeliling mereka. Akibatnya mereka akan menjadi seseorang yang mementingkan keseronokan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab terhadap keperluan individu lain dalam ruang lingkup

masyarakat dan persekitarannya.

Sejak beberapa dekad yang lepas, kepesatan teknologi dan pembangunan yang mendadak menjadikan sosialisasi masyarakat kita banyak berubah. Keghairahan mengejar kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang

12

individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Budaya hidup umpama enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, seseorang itu bertindak tanpa

mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain.

Menurut statistik, gejala sosial banyak berlaku di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ini membuktikan masyarakat bandar mempunyai interaksi yang lemah antara satu sama lain berbanding masyarakat di kawasan perkampungan. Keadaan ini disebabkan penduduk bandar mempunyai masa yang terhad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai anggota masyarakat. Di samping itu, mereka menjadikan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain dengan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya dalam kebanyakan situasi. Sikap ini menyebabkan remaja kini merasakan diri mereka bebas untuk melakukan sebarang aktiviti tanpa batasan. Mereka merasakan diri mereka berkuasa dan tidak boleh dikawal oleh sesiapa pun mahupun pihak berkuasa. Tambahan pula, remajaremaja tersebut mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang menjadi pendamping rapat mereka.

Secara umumnya, rakan sebaya ialah teman di mana remaja bertindak balas, berinteraksi dan mendapat hubungan serta memerlukan kerjasama yang erat antara satu sama lain. Seorang remaja yang mempunyai tingkah laku baik tetapi oleh kerana ingin diterima oleh ahli kumpulan di sebuah sekolah yang baru dimasuki, dia terpaksa mengikut budaya kumpulan tersebut walaupun

bertentangan dengan sifat asalnya. Ini banyak berlaku kepada pelajar yang tidak

13

ada rakan di tempat baharu. Oleh kerana ingin diterima sebagai rakan, mereka sanggup berubah daripada sikap asal yang baik dan bertanggungjawab kepada sikap-sikap negatif, seterusnya menghancurkan diri dan masa depan.

Berlanjutan daripada faktor-faktor di atas, wujud suatu faktor psikologi yang merupakan elemen kognitif yang dipanggil konsep kendiri dalam pembentukan sahsiah dan tingkah laku remaja. Sebenarnya konsep kendiri juga merupakan salah satu penyumbang secara tidak langsung ke arah timbulnya gejala sosial dalam kalangan masyarakat kita. Secara umumnya, konsep kendiri dibahagikan kepada tiga komponen iaitu perihal diri sendiri, penerimaan diri iaitu perasaan yang dipunyai dan ditimbal balik antara diri dengan orang lain dan nilai diri iaitu hasil dari penerimaan diri tadi. Golongan yang dianggap mempunyai kendiri yang positif ialah golongan yang menilai positif diri mereka. Misalnya, apabila mereka merasakan diri mereka disukai oleh orang di sekeliling mereka, mereka beranggapan diri mereka berguna dan bernilai. Maka, mereka akan membuat tindakan untuk menjadi yang terbaik dan menjadi insan yang berguna dalam masyarakat. Sebaliknya golongan yang mempunyai kendiri yang negatif pula menganggap diri mereka sebagai tidak dikehendaki dan tidak berguna. Mereka merasakan diri mereka tidak diperlukan dan menganggap diri sendiri seperti melukut di tepi gantang. Pada peringkat ini sebenarnya mereka mengalami kecelaruan intrinsik akibat rangsangan tidak baik yang diterima oleh mereka tanpa mereka disedari. Lazimnya, golongan ini mempunyai masalah berinteraksi dengan masyarakat sekeliling serta cenderung bertindak melulu tanpa ada rasa tanggungjawab sedikit pun.

14

Pendedahan pelbagai gejala buruk dan masalah sosial yang dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti betapa rendahnya asas kepada nilai-nilai moral iaitu rasa tanggungjawab dalam kalangan anggota masyarakat. Hakikat ini patut disedari dan diinsafi oleh semua sarjana, pemikir dan pembuat dasar untuk mencari jalan penyelesaian yang bijak lagi berkesan bagi memupuk sifat tanggungjawab dalam kalangan anggota masyarakat. Langkah-langkah cadangan serta penyelesaian perlu mengambil kira faktor-faktor penyebab digabungkan secara struktural dengan faktor psikologi dan keagamaan,

kekeluargaan, persekitaran sosial, persekitaran pendidikan serta peranan pihak berkuasa.

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SIFAT TANGGUNGJAWAB

Pada hari ini, para ibu bapa terpaksa mempersiapkan diri masing-masing dengan kemahiran keibubapaan terutama dalam aspek psikologi dan keagamaan bagi menghadapi cabaran-cabaran mendidik anak-anak. Hakikat ini perlu diakui kerana persekitaran dunia tanpa sempadan yang dialami oleh generasi sekarang terlalu jauh berbeza berbanding beberapa dekad yang lepas.

Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk peribadi yang positif seawal yang mungkin dalam diri anak-anak mereka. Seperti juga pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud nilai-nilai moral yang positif perlu dipupuk semenjak daripada kecil oleh ibu bapa.

15

Tujuannya supaya apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, benih-benih asas nilai murni seperti bertolak ansur, bersopan santun dan bertanggung jawab telah sedia tertanam dalam diri anak-anak mereka.

Sebagai permulaan dalam pendidikan sahsiah anak-anak, mereka perlu sentiasa diperingatkan tentang perilaku dan sifat tanggungjawab. Ia boleh dibuat dalam bentuk peringatan dan juga delegasi tugas yang mampu mereka lakukan. Seterusnya pelaksanaan tanggungjawab oleh anak-anak boleh diberi ganjaran dan insentif sebagaimana kajian psikologi yang telah dilakukan menunjukkan bahawa pemberian ganjaran merupakan pembentuk tingkah laku yang sangat berkesan. Manakala kegagalan melakukan tugasan pula harus dikenakan peneguhan negatif seperti dendaan. Dalam konteks psikologi, dendaan merupakan kaedah

mengenakan sesuatu yang tidak menyenangkan kepada individu agar individu dipaksa untuk mengubah tingkah laku yang tidak baik kepada tingkah laku yang boleh diterima. Hasilnya kelak anak-anak ini tidak akan mudah melibatkan diri dalam sebarang perlakuan devian atau delinkuen seperti menconteng dinding sekolah, kerana mereka tahu harta benda sekolah adalah milik kerajaan dan adalah satu perkara yang salah dan tidak boleh dimaafkan sekiranya sengaja melakukannya.

Ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan dan ke mana anak mereka pergi. Ibu bapa yang prihatin juga sudah pasti akan memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka bagi mengelakkannya terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. Keprihatinan ibu bapa juga boleh ditonjolkan dengan membantu pelajaran dan masalah anak masing-masing. Langkah ini

16

seiring dengan pendapat pakar psikologi yang menyatakan bahawa individu lebih cenderung untuk bertingkah laku dengan melihat orang lain yang dianggap sebagai model. Individu akan mengamalkan apa yang dilihat sebagai tingkah laku yang perlu diamalkan. Proses ini bermula seawal seseorang individu itu dilahirkan ke dunia ini sehingga memasuki alam persekolahan. Oleh itu, langkah pemupukan sifat tanggungjawab yang paling efektif mesti dimulai oleh ibu bapa dengan mempamerkan contoh tingkah laku terbaik dalam pergaulan mereka. Ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati dan bertanggungjawab sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu sentiasa memperbaiki diri bagi mencapai sahsiah dan penampilan yang terbaik. Ibu bapa yang sedemikian akan menimbulkan perasaan hormat anakanak yang akan mentaati setiap peringatan dan teguran mereka.

Jika ditinjau daripada sudut keagamaan pula, penyelidik mendapati konsep atau kaedah yang digunakan ibu bapa dalam membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan remaja berdasarkan ajaran Islam tidak jauh bezanya dengan pendekatan psikologi yang diamalkan negara-negara Barat. Sebilangan besar ibu bapa selalu memikirkan tentang pendidikan anak-anak mereka iaitu mendahulukan perihal agama sebagai teras atau tonggak dalam kehidupan rumah tangga. Pematuhan kepada peraturan dan hukum agama membawa kepada kecemerlangan bukan sekadar dari sudut lahiriah sahaja tetapi ia merangkumi kemantapan rohani yang sebenar. Dalam Islam, pengukuhan keimanan akan menjadikan seseorang itu sebagai seorang penganut yang soleh. Mereka yang sedemikian akan sentiasa jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai makhluk Allah. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud

17

setiap orang daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas kepimpinan itu.

Seseorang yang mengaku beragama Islam akan menyelami Rukun Islam yang pertama iaitu Percaya Kepada Allah. Percaya di sini bermaksud percaya dengan segala kekuasaan dan sifat-sifat Allah. Kepercayaan dengan sepenuh hati sepatutnya menjadikan seseorang yang beragama Islam takut untuk melakukan kecurangan kerana sedar akan akibatnya di akhirat kelak. Sebagai contoh mereka sepatutnya sedar bahawa segala gerak-geri serta niat mereka tidak dapat disorok daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui. Selain itu, agama-agama lain juga menganjurkan penganut-penganutnya supaya berbuat baik pada sebilang masa dengan mengamalkan nilai-nilai yang murni. Tiada agama di dunia ini, sama ada agama samawi atau agama ardi yang menyuruh umatnya melakukan kejahatan dan kemusnahan. Lantaran itu, penerapan nilai-nilai murni menerusi agama dalam masyarakat Malaysia merupakan asas yang amat penting kepada pengukuhan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Ibu-bapa dalam masyarakat majmuk Malaysia perlu mengambil berat aspek ini dengan titik mulanya dalam perkitaran keluarga masing-masing.

Selain rumah, sekolah merupakan institusi murni yang sepatutnya berperanan membentuk sahsiah dan peribadi pelajar. Di sekolah yang terdapat pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Melaluinya, para pelajar mempelajari adat dan budaya kaum lain. Mereka juga belajar menerima, memahami dan menghormati satu sama lain walaupun mereka dari latar belakang bangsa dan kaum yang berbeza. Di sekolah juga terdapat sekelompok pendidik

18

yang berilmu iaitu guru yang menghabiskan sebahagian besar masa dengan berinteraksi dengan pelajar. Berdasarkan pelbagai perspektif tentang pembentukan tingkah laku bermasalah dalam kalangan remaja, guru-guru boleh membantu pelajar membentuk tingkah laku positif yang dapat diterima oleh masyarakat umum. Bagi mencapai hasrat ini, guru-guru perlu mempunyai kemahiran psikologi dan kaunseling yang khusus. Di sekolah, tugas guru bukan sekadar ingin memenuhi hasrat ibu bapa daripada aspek akademik semata-mata tetapi yang lebih penting ialah mendidik pelajar menjadi manusia dewasa yang seimbang daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Hakikat bahawa guru memainkan peranan penting dalam perkembangan personaliti kanak-kanak memang tidak dapat dipersoalkan. Secara langsung, guru akan mempengaruhi perasaan kanak-kanak terhadap dirinya sendiri dengan cara bagaimana guru tersebut membetulkan tingkah lakunya. Dalam proses ini, mereka mula melihat diri mereka daripada kaca mata guru dengan label si cerdik, pemalas, anak emas guru dan sebagainya. Kesannya, pelajar-pelajar yang

bersikap negatif akan bertindak melulu dengan terus menghukum diri sendiri serta enggan berubah disebabkan percaya bahawa sifat tersebut akan terus kekal selamanya dalam diri mereka. Di sinilah guru perlu berperanan dengan mengenali pelajar dengan lebih dekat agar masalah pelajar dapat diketahui.

Guru

juga

perlu

memahami

bahawa

pelajar

mempunyai

pelbagai

pengalaman dan latar belakang. Pelajar-pelajar ini telah menjadikan individuindividu lain sebagai model tanpa mereka sedari. Maka wujudlah pelbagai tingkah laku yang menimbulkan pelbagai masalah disiplin di sekolah. Guru perlu melayan

19

pelajar tersebut secara berbeza kerana kepelbagaian pengalaman mereka. Mereka perlu dilayan sebagai individu secara berasingan dan bukan secara kolektif. Walaupun agak sukar untuk guru melakukannya kerana jumlah pelajar yang ramai, namun hakikat yang perlu diterima oleh guru ialah mereka adalah seorang pendidik. Semua guru perlu sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku dalam kawasan sekolah mahupun dalam bilik darjah. Remaja yang baik tingkah laku perlu dipupuk untuk terus mengekalkan tingkah laku tersebut. Berilah insentif dalam bentuk pujian, hadiah, masa rehat dan pelbagai bentuk peneguhan positif yang lain. Manakala bagi pelajar yang bermasalah pula harus dikenal pasti penyebab kepada masalah tersebut dan perlu diselesaikan sama ada menerusi pendekatan psikologi atau kaunseling.

Seterusnya,

corak

personaliti

yang

dipamerkan

oleh

guru

akan

mempengaruhi personaliti pelajar. Guru yang bersifat mesra dan menerima pelajar atau muridnya akan menggerakkan mereka menjadi lebih bertanggungjawab sebagai seorang pelajar. Manakala, seorang guru yang negatif atau tidak mempedulikan murid akan memusnahkan motivasi anak muridnya dan menjadikan mereka merasa tersingkir. Oleh itu, semua guru haruslah mempunyai keikhlasan serta personaliti yang positif dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai guru di sekolah.

Setiap individu yang hidup satu kelompok masyarakat yang sama seperti kampung atau unit perumahan tertentu mempunyai peranan penting dalam pembangunan sahsiah. Penglibatan mereka yang lebih dewasa dalam aktiviti kemasyarakatan memberi contoh dan teladan yang baik kepada generasi muda.

20

Amalan gotong-royong yang diamalkan secara ikhlas akan melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai sahsiah yang baik. Selain itu, amalan rumah terbuka serta ziarah-menziarahi pada musim-musim perayaan juga merupakan amalan positif yang akan menyemarakkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Melalui aktiviti ini, jiran tetangga yang berlainan latar belakang akan saling mengenali dan beramah mesra sesama mereka. Natijahnya, mereka akan lebih memahami keperluan sosial serta tanggungjawab sebagai jiran masing-masing.

Pada peringkat nasional, Kementerian Pendidikan perlu sentiasa membuat kajian keberkesanan kurikulum Pendidikan Moral dan Kewarganegaraan bagi mengembalikan keunggulan sahsiah dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, negara kita perlu mencontohi negara Jepun yang berjaya memupuk semangat patriotisme rakyatnya. Walaupun negara mereka semakin maju, tetapi masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Justeru, bagi memupuk semangat cinta akan negara serta menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar, maka perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Selain itu, guru-guru juga memerlukan orientasi baru agar turut memberi perhatian pada sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak didik mereka dan tidak hanya berusaha membimbing mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Sementelah itu, pihak sekolah juga perlu mempergiatkan lagi aktiviti kokurikulum dengan mencari pendekatan baru bagi menarik penyertaan pelajar. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan secara sistematik merupakan medium yang paling berkesan dalam membentuk sikap murni seperti bertanggungjawab,

21

bekerjasama, berdikari dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Aktiviti gotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah akan menanamkan perasaan

bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka. Seterusnya mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala

kemudahan yang disediakan untuk kegunaan orang ramai.

Langkah terakhir iaitu langkah yang paling efektif bagi memupuk kesedaran sivik serta nilai-nilai murni ialah menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Negara kita sebenarnya mempunyai undang-undang serta peraturan yang hampir sama seperti kebanyakan negara lain. Perbezaannya hanyalah daripada aspek penguatkuasaan. Sebagai contoh, jika kita berkunjung ke negara jiran kita, Singapura, kita akan mendapati rakyatnya sangat patuh dengan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Sebenarnya sikap tersebut merupakan hasil daripada ketegasan kerajaan Singapura mendidik sikap

rakyatnya. Malahan, penguatkuasaan ini begitu meluas sehinggakan kepada penggunaan tandas awam. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan terus dikenakan denda dan hukuman.

Di negara kita, aspek penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap segelintir rakyat yang muflis kesedaran siviknya. Jika tidak, golongan ini akan menjadi parasit moral kepada generasi muda dengan meracun sahsiah mereka dengan perlakuan yang buruk. Bagi memastikan penguatkuasaan ini dapat

dilakukan dengan berkesan, pihak penguat kuasa perlu menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan agensi-agensi penguat kuasa yang lain dan jika perlu

22

dengan

pasukan

keselamatan.

Kerjasama

ini

membolehkan

mereka

mengoptimumkan kos operasi dengan berkongsi sumber serta kelengkapan guna sama seperti CCTV dan peralatan-peralatan lain. Di samping itu, teknik penguatkuasaan perlu dipelbagaikan dengan anggota-anggota penguat kuasa berpakaian awam boleh diatur gerak pada sebilang masa di tempat-tempat awam bagi memantau perlakuan mereka yang melanggar peraturan. Pendekatan ini akan mewujudkan keadaan berjaga-jaga yang tinggi terhadap pengguna-pengguna kemudahan awam. Seterusnya, hukuman yang dikenakan mesti mendatangkan kesan mendidik serta mencegah kepada pesalah-pesalah dengan tidak

mengehadkannya dalam bentuk kompaun wang ringgit sahaja.

Menerusi pelaksanaan peraturan dan undang-undang yang tegas, orang ramai akan sentiasa lebih bertanggungjawab semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka. Amalan baik ini jika diteruskan dalam jangka masa yang panjang akan menjadi budaya hidup mereka serta diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga secara berpadu agar generasi muda dapat dibentuk dan dikawal supaya membesar dalam acuan yang mementingkan nilai-nilai murni daripada memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. Mereka semua perlu sedar bahawa tanpa bimbingan, kanak-kanak dan remaja tidak akan sedar bahawa nilai dan interpretasi pandangan mereka kadangkala bertentangan dan tidak selari dengan norma-norma masyarakat. Oleh itu, remaja perlu dibantu untuk membaiki tingkah laku mereka supaya lebih

23

bertanggung jawab kerana mereka merupakan modal insan yang perlu digilap dan diasuh agar menjadi aset yang berguna kepada negara. Warga masyarakat yang lebih dewasa pula perlu memperlihatkan sifat lebih bertanggungjawab agar dapat dicontohi oleh generasi muda.

PENUTUP

Konklusinya, sejarah pembangunan negara-negara maju yang terdahulu menunjukkan bahawa semakin meningkatnya proses pemodenan dan

perindustrian, maka semakin banyak pula persoalan sosial yang timbul. Cabaran ini perlu disambut walaupun ada harga yang harus dibayar oleh kita semua demi menjadikan negara kita sebuah negara maju kelak.

Namun, penyusutan nilai-nilai murni terutamanya rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Masa untuk menuding jari mencari pihak tertentu untuk dipersalahkan sudah berlalu dan tidak akan memberi faedah yang hakiki malah membuka pekung kita sendiri betapa kita tidak mempunyai ikhtiar dan daya untuk memulihkan keadaan.

Buat permulaan, semua pihak dalam agensi-agensi kerajaan yang relevan, para sarjana, pemikir, pembuat dasar serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan perlu meluaskan horizon pemikiran masing-masing bagi mengenal pasti faktorfaktor penyebab kepada kebejatan ini. Ia perlu diselidiki secara mendalam dengan merangkumi semua aspek sosial, psikologi, budaya dan ekonomi. Seterusnya, pihak-pihak berwajib perlu bekerjasama serta mengambil langkah sederap dalam

24

kerangka nasional bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu ini. Sebarang perancangan kepada pelan atau program transformasi sosial harus mengambil kira kepentingan setiap peringkat lapisan masyarakat dengan penumpuan khusus kepada kanak-kanak dan remaja.

Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan perlu diberi keutamaan setanding dengan bidang sains dan teknologi. Hasilnya nanti diharap dapat membantu penggubalan dasar sosial negara demi kesejahteraan masyarakat bagi mendepani cabaran pada masa hadapan. Semoga suatu hari nanti pada tahun 2020, negara kita akan mencapai status negara maju dengan setiap warganya mempunyai mentaliti kelas pertama.

(4,998 patah perkataan)

25

RUJUKAN

Buku dan Artikel: Alexander Brown (2009). Personal responsibility: Why it matters. Amerika Syarikat. Continuum. Azlina Abdullah (2010). Tema dan isu penyelidikan mengenai gejala sosial pada dekad pertama abad 21 di Malaysia. Universiti Darul Iman Malaysia. Craig M. Dove (2008). Nietzsche's ethical theory: Mind, self and responsibility. United Kingdom. Continuum. Daniel Nettle (2007). Personality: What makes you the way you are. United Kingdom. Oxford University Press. David Halpern, Clive Bates, Geoff Mulgan, Stephen Aldridge, Greg Beales dan Adam Heathfield (2004). Personal responsibility and changing behaviour: The state of knowledge and its implications for public policy. United Kingdom. Prime Ministers Strategy Unit. Crown Copyright. David S. Landes (1998). The wealth and poverty of nations: Why some are so rich and some so poor. Amerika Syarikat. W W Norton & Company. Duane P. Schultz dan Sydney Ellen Schultz (2009). Theories of personality. Amerika Syarikat. Wadsworth, Cengage Learning. Ezhar Tamam, Jusang Bolong, Mohamad Rezal Hamzah dan Zamree Yaakob (2007). Masalah sosial dan kesedaran sivik generasi muda daripada keluarga berpendapatan rendah di bandar. Kuala Lumpur. Institut Penyelidikan Pembangunan Belia. Gene Bedley (1985). The Big-R, Responsibility: Cultivating and encouraging responsible behavior. Amerika Syarikat. People-Wise Publications. Haas, L dan Hunziker, M. (2006). Building blocks of personality type: A guide to using the eight-process model of personality type. Amerika Syarikat. United Business Press. Ingmar Persson (2006). The retreat of reason: A dilemma in the philosophy of life. Amerika Syarikat. Oxford University Press Inc. Jabatan Perdana Menteri. Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju. Putrajaya. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). 28 Januari 2010. Jay Maddock (2012). Public health: Social and behavioral health. Croatia. InTech

26

Publishing. Jerry M. Burger (2011). Personality. Amerika Syarikat. Wadsworth, Cengage Learning. Jess Feist dan Gregory J. Feist (2009). Theories of personality. Amerika Syarikat. McGraw-Hill. John Izzo (2012). Stepping up: How taking responsibility changes everything. Berrett-Koehler Publishers, Inc. John J. Macionis (2012). Social problems. Amerika Syarikat. Pearson Education, Inc. John Maltby, Liz Day dan Ann Macaskill (2010). Personality, individual differences and intelligence. United Kingdom. Pearson Education Limited. John Mirowsky dan Catherine E. Ross (2003). Education, social status and health. Amerika Syarikat. Walter de Gruyter, Inc. Jose Luis Bermudez (2006). Philosophy of psychology: Contemporary readings. Amerika Syarikat. Routledge. Kent Greenfield (2011). The myth of choice: Personal responsibility in a world of limits. Amerika Syarikat. Yale University Press. Lee Cronk (1999). That complex whole: Culture and the evolution of human behavior. Amerika Syarikat. Westview Press. Linda A. Mooney, David Knox dan Caroline Schacht (2009). Understanding social problems. Amerika Syarikat. Wadsworth, Cengage Learning. Marc Fleurbaey (2008). Fairness, responsibility and welfare. Amerika Syarikat. Oxford University Press. Mardi J. Horowitz (1998). Cognitive psychodynamics: From conflict to character. Amerika Syarikat. John Wiley & Sons, Inc. Melissa E. Jordan (2011). Personality traits: Theory, testing and influences. Amerika Syarikat. Nova Science Publishers, Inc. Michael E. Lamb dan Marc H. Bornstein (2011). Social and personality development: An advanced textbook. Amerika Syarikat. Psychology Press. Richard M. Sorrentino, Dov Cohen, James M. Olson dan Mark P. Zanna (2005). Culture and social behavior: The Ontario Symposium, Volume 10. Amerika Syarikat. Lawrence Erlbaum Associates Publishers. Robert A. Baron dan Nyla R. Branscombe (2012). Social psychology. Amerika

27

Syarikat. Pearson Education, Inc.

Robert J. Sternberg (2009). Cognitive psychology. Amerika Syarikat. Wadsworth, Cengage Learning. Roger Fritz (2008). The power of a positive attitude: Discovering the key to success. Amerika Syarikat. American Management Association. Roy F. Baumeister dan Brad J. Bushman (2011). Social psychology and human nature. Amerika Syarikat. Wadsworth, Cengage Learning. Tom Schuller, John Preston, Cathie Hammond, Angela Brassett-Grundy dan John Bynner (2004). The benefits of learning: The impact of education on health, family life and social capital. Amerika Syarikat. Routledge Falmer. Walter Sinnott-Armstrong (2008). Moral psychology: The evolution of morality. United Kingdom. The MIT Press. William Kornblum dan Joseph Julian (2012). Social problems. Amerika Syarikat. Pearson Education, Inc. Wolfgang Stroebe (2011). Social psychology and health. Amerika Syarikat. Open University Press.

Internet: Chang Lee Hoon. Pendekatan dalam pendidikan moral. Universiti Malaya. http://pendidikanmoral.um.edu.my/uploads/rujukan/pendekatan%20pendidikan%20 moral.pdf [17 Jun 2012] Dasar Pendidikan Kebangsaan (2012). Kementerian Pendidikan Malaysia. http://www.moe.gov.my/userfiles/file/BUKU%20DASAR.pdf [11 Jun 2012] James V Phelps . Promote employee self-responsibility: 10 ways to instill accountability. http://ezinearticles.com/?Promote-Employee-Self-Responsibility---10-Ways-toInstill-Accountability&id=1213556 [18 Jun 2012] Jeff Nickles. Smart living rule 1: take full responsibility for your life. http://mysuperchargedlife.com/blog/smart-living-rule-1-take-full-responsibility-foryour-life/ [18 Jun 2012]

28

Khalim Zainal. Memahami tingkah laku remaja bermasalah dari perspektif teori tingkah laku, humanistik, psikoanalitik dan tret personaliti. http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_09_2008/artikel%204%20%20khalim%20ms%2043-56.pdf [18 Jun 2012] Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Sukatan Pelajaran: Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. http://www.moe.gov.my/bpk/sp_hsp/psk/sp_psk_kbsr.pdf [17 Jun 2012] Martabatkan semula sivik. Utusan Malaysia Online. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0305&pub=Utusan_Malaysi a&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm [10 Jun 2012] Michelle Borba (2011). Raising responsible kids. http://www.micheleborba.com/blog/2011/04/16/raising-responsible-reliable-kids/ [18 Jun 2012] Rhonda Franz. Cultivating responsibility in your child. http://www.education.com/magazine/article/Independence_Responsibility/ [18 Jun 2012] Vishalache Balakrishnan. Penggunaan dilema real-life dalam pengajaran pendidikan moral. http://pendidikanmoral.um.edu.my/uploads/rujukan/real%20life%20dilema.pdf [13 Jun 2012]

29

You might also like