You are on page 1of 28

LAPORAN LAWATAN ILMIAH KE INDAH WATER KONSORTIUM SDN.

BHD MELAKA (IWK)

Pada 1 Ogos 2013 yang lalu, seramai 21 orang guru pelatih bersama seorang pensyarah pengiring daripada IPG Kampus Perempuan Melayu telah menyertai lawatan ilmiah ke Indah Water Konsortium Sdn.Bhd. Lawatan ini diadakan bagi memenuhi keperluan kursus bagi subjek Sains, Teknologi & Masyarakat (SCE 3114). Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendedahkan guru pelatih mengenai

sistem pembetungan yang moden dan efisien untuk semua rakyat Malaysia demi memastikan air kumbahan dirawat sebelum disalirkan ke dalam sistem pengairan. Selain itu, lawatan ke Indah Water juga akan mendedahkan kami dengan penggunaan teknologi dan kepakaran yang cukup dalam mengendalikan jenterajentera dan makmal yang cekap dalam mengawasi sistem kumbahan yang dijalankan. Tambahan pula, lawatan ini bermatlamat untuk melahirkan guru yang mempunyai kefahaman tentang proses pemuliharaan air dan tanah khususnya di negeri Melaka. Sebelum lawatan bermula, beberapa prosedur penting perlu dilakukan. Setelah jawatankuasa pelaksana dibentuk, kertas kerja mula dirangka. Pengesahan daripada pihak pentadbir IPG mengambil masa kira-kira hampir dua minggu. Setelah kertas kerja mendapat pengesahan secara rasmi, kami mula menghubungi pihak IWK Konsortium untuk memaklumkan mengenai lawatan kami. Pihak IWK amat berbesar hati menerima kunjungan ilmiah ini. Kami lebih banyak berhubung dengan menggunakan kiriman emel kerana lebih mudah dan tidak mengambil masa. Pihak pengurusan IWK juga sentiasa memberi layanan yang baik jika kami menghubungi mereka. Setelah mendapat surat daripada IWK, kami meneruskan beberapa prosedur lain seperti membuat tempahan penggunaan bas dan pesanan barang daripada stor pusat IPG. Setiap permohonan berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada pihak IPG.

Kami bertolak dari IPG pada jam 8.00 pagi dengan menaiki bas. Kami tiba di sana pada jam 8.30 pagi dengan disambut mesra pegawai IWK iaitu Puan Azira Binti Sulong. Setibanya di sana, kami diminta untuk ke dewan mesyuarat untuk mendengar taklimat keselamatan dan pengenalan tentang Indah Water Konsortium Sdn.Bhd. Taklimat ini disampaikan oleh En.Johari Bin Mat Jusin yang juga merupakan seorang pegawai di tempat tersebut. Taklimat keselamatan merupakan prosedur penting yang perlu disampaikan kepada semua pelawat bagi memastikan pelawat mengikut langkah keselamatan yang betul sekiranya berlaku kecemasan. Kemudian, Puan Azira menerangkan serba sedikit maklumat mengenai proses dan teknologi yang digunakan untuk merawat air kumbahan di pusat tersebut. Puan Azira menayangkan slaid powerpoint bagi menerangkan cara air dirawat di mana menggunakan teknologi canggih. Beliau juga menerangkan bahawa Indah Water di Malaysia merupakan antara syarikat yang berjaya menguruskan sisa kumbahan dengan baik dan menjadi contoh kepada negara-negara Asia Tenggara lain. Tambahan pula, menurut Puan Azira, pengurusan pembuangan sludge adalah yang terbaik berbanding negara Asia Tenggara yang lain. Malaysia telah membuat satu inovasi iaitu dengan menggunakan sludge tersebut dijadikan sebagai baja organik. Malah pihak Indah Water Konsortium Melaka juga telah bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk membekalkan sludge yang telah dirawat untuk dijadikan baja bagi pokok hiasan di sekitar bandaraya Melaka. Selepas taklimat diberikan, kami dibawa melawat ke sekitar kawasan IWK. En Johari dan Puan Azira menunjukkan beberapa peralatan yang digunakan oleh IWK dalam proses rawatan air kumbahan. Antara tempat yang kami lawati ialah seperti Sludge Dewatering, Clarifier, Tanker Sludge Receiving Station, Aeration Tank Facilities, Sludge Holding Tank (SHT), Polymer Dissolving Tank, Sludge Dewatering Unit, dan Sludge Cake Storage Yard. Beliau telah menerangkan fungsi setiap satu peralatan teknologi di situ dan proses yang berlaku. Kami dibawa melawat ke setiap tempat yang berbeza peralatan dan pemprosesan. Tempat pertama yang kami lawati adalah tanker sludge receiving station. Di sini, kami diterangkan tentang fungsi peralatan tersebut. Sludge yang dikumpul akan disimpan di dalam tangki ini. Apabila sludge tersebut mencapai aras yang dikehendaki, operasi pemprosesan akan terhenti secara automatik untuk

mengelakkan pemanasan melampau. Kemudian ,tempat kedua yang kami lawati adalah Aeration Tank Facilities. Di sini, terdapat dua proses yang berlaku iaitu anoksid dan aerobik. Perbezaan antara tangki anoksid adalah ia mempunyai pengadun boleh tenggelam. Manakala tangki aerobik mempunyai blower bagi tujuan proses pengudaraan air. Seterusnya, kami melawat ke Clarifier. Di sini, proses pengasingan antara sisa pepejal dan cecair berlaku menggunakan graviti. Sisa kumbahan akan dipindahkan ke sludge holding tank menggunakan pam di mana operasi ini dikawal oleh mesin automatik. Tempat terakhir yang kami lawati adalah di pusat pengumpulan sludge yang akan dijadikan sebagai baja. Longgokan sludge atau baja ini dikumpul di satu kawasan yang besar dan akan diambil oleh Majlis Bandaraya Melaka. Pihak luar juga boleh membeli baja tersebut untuk tujuan pembajaan tanaman hiasan dan sebagainya. Terdapat dua jenis rawatan loji iaitu mekanikal yang terdiri dari lagun berudara dan bukan mekanikal yang menggunakan kolam oksida. Kedua-dua kaedah rawatan aliran efluen ini sangat penting bagi menjamin air yang disalurkan semula ke laut dan sungai menepati piawaian antarabangsa dan selamat serta bersih daripada sebarang penyakit jangkitan air seperti taun dan kolera. Proses rawatan efluen lazimnya melibatkan dua proses iaitu proses primer dan sekunder. Proses rawatan primer terdiri dari stesen pengepam, sebuah kebuk dan tangki pemendapan utama manakala proses rawatan sekunder pula melibatkan efluen yang telah dienapcemar melalui proses pencernaan lapis turas. Kumbahan yang belum dirawat akan melalui satu tapisan skrin yang diperbuat daripada batang keluli berukuran 20-40 mm. Selain berfungsi membuang bahan-bahan ampaian bersaiz besar, ia juga meyekat aliran masuk sedimen dan bahan kasar yang boleh mengganggu mesin pengoksidaan. Efluen ini seterusnya akan dimasukkan ke dalam tangki-tangki pemendapan yang berfungsi secara graviti bagi mengasingkan komponen pepejal dan cecair.

Rajah 1: Peringkat-peringkat rawatan efluen Terdapat beberapa jenis tangki yang digunakan oleh IWK semasa proses pemendapan ini, antaranya ialah tangki septik dan tangki imhof. Tangki septik mempunyai dua ruang utama di mana bahagian atas ialah pengumpulan sedimen terampai manakala ruang di bawah merupakan pengumpulan efluen. Enapcemar yang terkumpul mestilah dibuang pada sela masa yang tertentu antara satu hingga lima tahun dan pembinaannya mestilah jauh dari sumber atau laluan air. Diperingkat rawatan sekunder, efluen lazimnya telah diuraikan melalui kaedah biologi. Melalui proses ini, sekurang-kurangnya 90 peratus sedimen terampai dan BOD (Bio Oxygen Demand) telah dapat dikurangkan melalui struktur rawatan di kolam fakultatif, lagun berudara ataupun kolam oksida. Melalui lagun berudara misalnya, BOD dapat disingkirkan antara dua hingga enam hari. Proses ini digerakkan melalui pam pengudaraan yang membekalkan udara sempurna kepada kolam. Selain itu, rawatan sekunder juga menggunakan kaedah kolam oksida. Kolam oksida mempunyai dua kolam selari di peringkat pertama dan dua kolam di peringkat kedua. Pengenapan efluen dan lumpur akan berlaku di tangki pertama dan setelah beberapa hari ia akan disalurkan ke tangki kedua untuk rawatan melalui pencernaan biologi sebelum dibuang ke sungai. Terdapat sebahagian lebihan efluen yang masuk

ke pemandat turas di mana efluen akan dimampatkan, dikeringkan dan seterusnya dibuang ke tempat pelupusan sampah. Proses menyahbauan dilakukan melalui kaedah penghadaman aerob yang diudarakan selama 4 hingga 10 hari. Pada masa kini, IWK telahpun menggunakan aerator cereka bagi mengurangkan kandungan BOD sehingga 95 peratus. Pada peringkat permulaan Indah Water beroperasi masih ramai yang tidak tahu apa fungsi sebenar Indah Water tetapi dengan publisiti yang lebih menyeluruh ramai yang telah mula memahami dan membuka mata mengenai fungsi sebenar IWK. Tidak dapat dinafikan peranan Indah Water amat penting untuk memastikan alam sekitar bersih dan tidak tercemar bersesuaian dengan moto IWK sebagai Syarikat Pembentungan Nasional Anda. Peranan IWK adalah mengendali dan menguruskan kesemua perkhidmatan pembentungan negara. Selain itu, IWK juga bertanggungjawab menyelia rangkaian paip pembentung yang menyambungkan premis-premis terus ke loji rawatan efluen. IWK juga berperanan mengutip caj dan bayaran untuk setiap perkhidmatan yang ditawarkan. Di atas kuasa yang diberikan kepada IWK, maka seharusnya IWK memainkan peranan yang penting dalam mempertingkatkan pengurusan efluen negara. Ini termasuklah melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan khusus yang disediakan seperti membaikpulih dan menaikkan taraf loji rawatan efluen yang sedia ada. Tambahan pula, IWK berperanan dalam menyelia rangkaian paip pembentung dan stesen pam. Selain itu, IWK juga memainkan peranan dalam membuat penyelenggaraan loji rawatan efluen. IWK juga berperanan membina loji rawatan efluen yang baru di kawasan perumahan atau bandar yang tidak mempunyai loji rawatan berpusat. Malah, IWK menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik yang berjadual dari premis-premis yang memerlukan perkhidmatannya dan kerja ini akan dikenakan caj. Indah Water Konsortium di Malaysia juga berperanan dalam merawat dan melupuskan enapcemar bagi memastikan ia mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan.

Sebagai bakal guru, apa yang diperoleh sepanjang mengendalikan lawatan ilmiah ini adalah kami dapat mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan agensi luar iaitu Indah Water Konsortium Melaka (IWK) bagi mendapatkan kelulusan mengadakan lawatan ke tempat mereka. Kami dapat mempelajari bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik dan berkesan bagi memudahkan urusan. Sebagai bakal guru, kemahiran komunikasi sangat penting di mana guru menjadi tempat rujukan mendapatkan maklumat bagi murid-murid, ibu bapa dan juga masyarakat setempat. Tanpa komunikasi yang baik, guru tidak akan dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan berkesan dan segala urusan akan berjalan dengan tidak lancar. Melalui lawatan ini juga, kami dapat mempelajari kemahiran pengurusan iaitu menguruskan satu lawatan ilmiah di mana pengurusan lawatan ini dilakukan secara berkumpulan yang mempunyai tiga orang ahli sahaja. Ini merupakan pengalaman pertama kami mengendalikan lawatan ilmiah dengan hanya tiga orang ahli sahaja. Sebelum ini kami mengendalikan lawatan dalam kumpulan yang besar dan urusan pembahagian tugas menjadi lebih mudah. Namun, melalui pengurusan lawatan ilmiah yang hanya melibatkan kami bertiga, skop tugas menjadi lebih besar. Kami tidak menganggapnya sebagai beban malah menjadikannya sebagai satu cabaran yang perlu digalas. Sebagai seorang bakal guru, kami perlu menghadapi tugas menguruskan satu lawatan ilmiah di sekolah kelak. Jadi, sedikit sebanyak pengalaman menguruskan lawatan ini menjadi titik tolak kepada kami dalam menjadikannya sebagai pengalaman baru untuk diaplikasikan di sekolah kelak. Ini kerana di sekolah, mejadi satu kemestian kepada guru untuk mengendalikan tugas menguruskan satu lawatan ilmiah contohnya seperti lawatan ke zoo, Petrosains dan juga ke tempat lain. Selain itu, melalui lawatan ini juga, kami dapat mempelajari semangat bekerjasama dalam satu pasukan. Walaupun bekerjasama dalam satu pasukan kecil ,namun kami tetap bersatu dan membahagikan tugas dengan sama rata dan melakukannya bersama-sama. Sebagai seorang bakal guru, pengalaman

bekerjasama dalam satu pasukan amat diperlukan terutamanya ketika berada di sekolah kelak. Kerjasama yang baik sebagai satu pasukan dengan rakan sekerja iaitu guru-guru lain akan menjadi faktor kejayaan sesuatu kerja dan segala tugas akan menjadi lebih mudah.

Melalui lawatan ini, kami dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang penggunaan teknologi bagi merawat sisa kumbahan. Ilmu ini sangat penting untuk dikuasai terutamanya bagi bakal guru yang mengambil opsyen Sains seperti kami. Penguasaan ilmu mengenai teknologi yang canggih dalam menguruskan sisa kumbahan merupakan satu ilmu tambahan dan perlu dikuasai kerana teknologi ini dijalankan dalan negara kita sendiri. Namun begitu, pihak IWK lebih berpendapat lawatan ini lebih sesuai dijalankan selepas bulan puasa berlalu. Ini kerana sepatutnya pihak IWK ingin membawa kami ke tempat loji lain dan kami dapat membuat perbandingan dan perbezaan. Namun, akibat kekangan masa, tempoh lawatan juga hanya setengah hari, lawatan ke loji lain tidak dijalankan. Untuk mengatasi masalah ini, sepatutnya kami berbincang dengan pihak IWK untuk menetapkan tarikh sejajar dengan tentatif program yang mereka sediakan. Sebagai seorang bakal guru, kami perlu membekalkan ilmu pengetahuan di dada kerana ilmu Sains tiada batasan dan perlu sentiasa diterokai. Ilmu pengetahuan ini perlu didedahkan kepada masyarakat terutamanya murid-murid sekolah kerana merekalah generasi yang akan mencorakkan masa hadapan. Justeru, pendedahan ilmu pengetahuan Sains seperti ini akan meningkatkan nilai kualiti seorang guru yang bertindak sebagai agen penyebar maklumat. Akhir sekali, sebelum meninggalkan IWK, kami telah memberi cenderamata kepada pihak IWK sebagai tanda terima kasih di atas penerimaan kunjungan kami ke sana. Kami bertolak pulang ke IPG pada jam 1 tengah hari.

Disediakan Oleh, ......................................................... (NUR AMIRAH BINTI MOHD ZAIN) Setiausaha Lawatan, IPG Kampus Perempuan Melayu,Melaka.

LAMPIRAN GAMBAR

\ Peserta lawatan berkumpul di garaj bas sebelum bertolak ke IWK Konsortium Sdn. Bhd Sg. Udang, Melaka.

Bacaan doa diketua oleh Saudari Nur Azira Farhana

Peserta lawatan meninjau sekitar pejabat IWK Konsortium setelah tiba di sana

Jurutera operasi, Puan Siti Nurazira memberikan taklimat kepada peserta mengenai proses operasi IWK Konsortium Sdn. Bhd

Peserta lawatan mendengar penerangan taklimat yang diberikan.

En. Johari memberikan taklimat keselamatan kepada kami.

Bahan sludge yang berbeza kepekatannya.

Peserta lawatan mencuba beberapa kelengkapan keselamatan yang digunakan oleh pekerja IWK Konsortium semasa menjalankan operasi.

Bersedia untuk memulakan sesi lawatan field trip ke kawasan loji operasi IWK.

Pensyarah pengiring, Puan Fatimah bt Yusof turut serta ketika lawatan ke loji IWK Konsortium.

Sampah sarap yang ditemui di Sludge Receiving Station

Sisa kumbahan yang belum dirawat.

Sludge Cake Storage tempat pengumpulan sisa pepejal. Tidak mempunyai bau yang kurang menyenangkan.

Bahan kimia yang digunakan untuk merawat sisa kumbahan

Sludge Dewatering Unit

Motor Control Centre Room. Segala operasi dikawal menggunakan sistem komputer

Aeration Tank Facility

Blower Room yang mempunyai cirri dinding yang unik untuk tujuan operasi

Aeration Tank digunakan untuk menyisihkan bendasing di dalam air sebelum dirawat sepenuhnya

Hasil sludge yang digunakan untuk tujuan pertaniah. Digunakan sebagai baja.

Sesi field trip ke tapak loji selesai

Penyampaian cenderahati daripada IPGKPM kepada IWK Konsortium

Sesi bergambar kenangan

Ahli kumpulan yang bertanggungjawab menguruskan lawatan ke IWK Konsortium.

You might also like