You are on page 1of 1

Baca teks di bawah dengan sebutan dan intonasi yang sesuai.

PERMAINAN TRADISIONAL CONGKAK DAN WAU Permainan tradisional adalah sebahagian daripada cara berhibur bagi masyarakat pada zaman dahulu. Permainan ini juga dapat mengeratkan hubungan dalam masyarakat setempat. Oleh yang demikian, permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Walau bagaimanapun, ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga ke hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, sepak raga, gasing dan lain-lain lagi. Terdapat dua jenis permainan tradisional yang masih mendapat perhatian sehingga ke hari ini iaitu permainan wau dan congkak. Permainan wau juga dikenali sebagai layanglayang. Permainan wau amat digemari oleh penduduk- penduduk kampung. Wau direka dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama yang tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan dan wau barat. Namun begitu, wau bulan sangat digemari oleh orang Melayu. Permainan wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur talinya sehinggalah wau itu tinggi di udara. Oleh sebab itu, wau perlu dimainkan di kawasan lapang seperti di padang ataupun di sawah padi. Sementara itu, permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan itu memerlukan dua orang pemain. Alatan yang digunakan dalam permainan ini ialah papan congkak dan buah congkak. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil kampung. Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil rumah. Permainan ini dimulakan serentak dengan memasukkan sebiji buah ke dalam setiap kampung sendiri dan seterusnya memasukkan ke dalam rumah. Seterusnya buah hendaklah dimasukkan ke dalam kampung lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah, maka dia dikira mati. Permainan ini biasanya tidak memerlukan kawasan khusus untuk dimainkan. Lazimnya congkak boleh dimainkan di kawasan terbuka mahupun tertutup seperti anjung rumah, pondok dan sebagainya.

You might also like