You are on page 1of 22

ARKIB : 04/01/2014

Pelajar serang guru ditahan


Oleh SHOLINA OSMAN
pengarang@utusan.com.my

Suspek berumur 17 tahun dibawa ke mahkamah untuk direman kerana menyerang seorang guru di Kompleks Mahkamah
Kangar, Perlis, semalam.
KANGAR 3 Jan. - Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan
Kuala Perlis dekat sini kerana didakwa mencederakan seorang guru lelaki dengan kerambit pada
hari pertama persekolahan semalam.
Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar lelaki itu ditegur oleh guru berkenaan kerana
menggayakan rambut ala 'punk'.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek lelaki
berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi ini di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini.
"Turut dirampas ialah senjata yang digunakan untuk mencederakan guru lelaki tersebut iaitu
gunting kecil yang telah diubah suai menjadi kerambit," katanya pada sidang akhbar di
pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Ismail, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu
terhadap pelajar berkenaan bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan
kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah terbabit supaya
dapat melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan insiden pelajar membawa senjata ke
sekolah tidak berulang.
"Kita juga mahu memastikan persekitaran sekolah bebas daripada sebarang kejadian jenayah,"
ujarnya.
Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan
yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala 'punk' dan
mewarnakan rambut.
Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk
bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.
Pelajar itu dikatakan bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga
mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik
Kesihatan Kuala Perlis.

Guru tampar pelajar hingga pekak



MARANG Seorang pelajar sebuah sekolah di sini, berkemungkinan pekak selepas
ditampar guru Isnin lalu.
Mohd Jazman Jailani, 15, mendakwa ditampar guru lelaki itu kira-kira jam 11 pagi
selepas dia dituduh memancitkan tayar kereta seorang guru perempuan, bersama
beberapa murid lain.
Kejadian itu berlaku apabila guru lelaki terbabit mengarahkan dia dan seorang lagi
rakannya ke bilik guru untuk disoal siasat berhubung kejadian tersebut.
Apabila tiba di bilik guru, cikgu itu bertanya mengenai tayar kereta cikgu (perempuan)
yang pancit minggu lalu. Saya menafikan saya terlibat.
Dia tidak percaya dan menampar pipi kiri saya dengan kuat. Telinga saya rasa
berdengung sampai sekarang, katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Jazman berkata, dia tidak segera memberitahu ibunya mengenai tindakan guru
itu.
Ibunya, Norlaila Jusoh, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak
keempat daripada tujuh beradik itu bangun tidur kira-kira jam 5 petang hari tersebut
dan mengadu sakit telinga.
Saya membawa anak ke Klinik Kesihatan Gong Balai, di sini, sebelum ke Hospital
Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut. Doktor
mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya, katanya.
Keluarga Mohd Jazman membuat aduan di Balai Polis Merchang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika
dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat. Sinar
Harian


Guru didakwa tumbuk, tendang murid gara-
gara tidak bawa buku sekolah
Astro Awani|

ACP Jaafar Baba - Foto Astro AWANI
IPOH: Akibat tidak membawa buku sekolah, empat orang pelajar di sebuah Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina di Sitiawan, Perak didakwa telah ditumbuk dan ditendang oleh guru mereka.

Mangsa dua lelaki dan dua perempuan masing-masing pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua
itu cedera di bahagian badan, pinggang, perut dan dagu akibat perbuatan guru tersebut.

Pihak polis yang bertindak atas laporan mangsa telah merakam percakapan kesemua mangsa
serta guru berusia tiga puluh empat tahun itu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Jaafar Baba memberitahu guru tersebut turut mempunyai kes
yang sama pada Januari lalu namun perkara tersebut diselesaikan secara baik antara pihak
sekolah, PIBG dan keluarga pelajar.

"Siasatan awal kita dapati kejadian ini ada kaitan dengan tidak membawa buku latihan. Yang
satu lagi itu berkemungkinan berkaitan dengan perbuatan yang tidak sengaja dan sebagainya
yang berkaitan dengan botol air,"

"Guru terbabit telah dipanggil semalam dan rakaman percakapan telah pun dibuat. Maknanya
kita akan kumpul kesemua maklumat dan juga termasuklah laporan perbuatan ini dan kita akan
panjangkan perkara ini kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan sewajarnya." katanya
lagi.

Kesemua mangsa telah mendapat rawatan pesakit luar di hospital Seri Manjung.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mana jika di bersabit
kesalahan, guru tersebut bakal dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda
RM2000 atau kedua-duanya sekali.


GURU PUKUL MURID SEHINGGA MATI

1.0 1.0PENGENALAN

Sistem pendidikan merupakan salah satu elemen utama negara bagi mencapai taraf negara maju
dan membangun sejajar dan selaras dengan Wawasan 2020. Semua pihak memainkan peranan yang
sangat penting bagi meningkatkan sistem pendidikan di negara ini terutamanya para guru. Menurut
Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh . (Syed Ismail Bin syed Mustapa.
Ahmad Subki Bin Miskon: Julai 2010: m.s; 5 ).
Guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem
pendidikan itu baik, sekiranya egen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin
disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya.

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era
baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu semata-mata.
Berbanding sistem pendidikan pada masa kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara
pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi-
situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru
harus lebih inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan
pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai
knowledge worker dalam era revolusi maklumat abad ke-21

Pendapat Liberman, 1956, profesion merujuk kepada suatu pekerjaan yang melaksanakan fungsi
soSial yang penting. Untuk mencapai fungsi tersebut, tahap kemahiran tertentu dan suatu
pengalaman pengetahuan sistematik berasaskan teori yang dipegang oleh seseorang individu
diperlukan. Suatu profesion ialah suatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan
kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat,
menikmati autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai
tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan
hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan. ( Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah,
2010,M.s: 2-3 )
Menurut Kamus Dewan ( 2005 ), profesion ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan
pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas. Aspek keguruan
dianggap sebagai satu profesion apabila guru memperoleh pengetahuan atau kemahiran melalui
latihan dalam suatu tempoh masa yang panjang, meningkatkan profesionalisme, komited kepada
klien dan mempunyai kuasa autonomi dalam membuat keputusan. (Noriati A.Rashid, Boon Pong
Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-4). Profesion keguruan merupakan salah satu bidang pekerjaan
yang disanjung tinggi dan merupakan bidang pekerjaan yang dipandang mulia oleh masyarakat. Guru
adalah merupakan seorang insan yang sentiasa diperhatikan oleh seluruh ahli masyarakat. Setiap
tingkah laku, gerak geri dan aktiviti yang dilakukan akan dinilai oleh semua orang, terutamanya anak
didik di sekolah masing-masing
Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, malahan tingkah laku
dan amalan baik mereka akan sentiasa menjadi ikutan dan rujukan oleh semua pihak. Oleh itu,
profesion keguruan mempunyai kod etika yang perlu dipatuhi oleh setiap guru bagi memastikan
tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Mengikut
pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku
atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam
konteks pekerjaan, merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang
dituntut oleh syarak
Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seringkali mendapat liputan
menyeluruh dan senantiasa dilaporkan melalui media cetak atau media elektronik. Paparan isu ini
sering kali dijadikan isu yang hangat dan menjadi topik perbualan serta perbincangan oleh lapisan
masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di serata dunia secara khususnya. Pelbagai
masalah yang melibatkan etika perguruan sering dilaporkan melibatkan kes tingkah laku negatif yang
dilakukan oleh guru seperti kes rasuah, gangguan seksual, dera dan sebagainya
Sebagai contohnya isu penderaan iaitu guru memukul murid hingga menyebabkan kematian yang
dilaporkan oleh Berita Harian yang bertarikh 31 Mac 2012 telah menjadikan isu ini semakin hangat
diperkatakan di segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu guru memukul muridnya sehingga
menyebabkan kematian ini, menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika
perguruan yang telah ditetapkan dengan melakukan penderaan fizikal ke atas muridnya. Isu
berkaitan dengan penderaan guru terhadap muridnya merupakan isu yang semakin berleluasa dari
hari ke hari. Persoalannya mengapa isu ini berlaku
Kejadian penderaan fizikal yang dilakukan oleh guru yang semakin berleluasa ini merupakan kejadian
yang bukan berlaku di tempat kerja mahupun di tempat awam tetapi ianya berlaku di institusi
sekolah yang dianggap sebagai tempat yang paling selamat oleh semua pihak. Kejadian penderaan
ini semakin menular di sekolah di mana mangsanya ialah murid-murid yang dikategorikan sebagai
kanak-kanak atau golongan yang lemah jika dibandingkan dengan guru. Penderaan fizikal yang
dilakukan oleh para guru ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak
murid di bawah jagaan mereka. Seringkali kita dengar bahawa terdapat tingkah laku negatif yang
dilakukan oleh guru tidak kira guru itu muda atau tua. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah
bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.



2.0 ANALISIS DAN ULASAN ARTIKEL ISU MURID DIPUKUL HINGGA MATI
Artikel yang dipilih ialah berkaitan dengan kes seorang guru sekolah agama memukul muridnya yang
berusia 7 tahun sehingga menyebabkan kematian. Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah agama di
Arau, Perlis ini, merupakan tragedi yang mengecewakan. Lebih-lebih lagi suspek adalah merupakan
tenaga pengajar sekolah agama berkenaan. Mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee dikatakan dipukul
dan dibelasah oleh gurunya yang berusia 26 tahun atas sebab kesalahan mencuri RM7. Murid
tersebut dipukul selama 2 jam menyebabkannya pengsan akibat daripada kecederaan di kepala dan
tubuh badan kesan daripada pukulan yang bertubi-tubi oleh guru berkenaan.
Kes yang berlaku ini mendapat liputan meluas oleh media-massa kerana kes ini melibatkan suspek
yang menyandang jawatan sebagai seorang guru iaitu satu pekerjaan atau profesion yang sangat
dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling. Merujuk sumber Berita Harian (2012), Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah
guru sehingga maut adalah jenayah serius yang tidak boleh dimaafkan. Beliau juga berkata,
walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu
tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid. Hal ini adalah bertentangan
dengan akauntabiliti keguruan terhadap murid. Setiap guru perlu lebih mengutamakan kebajikan
dan keselamatan murid daripada hal-hal lain.
Isu berkaitan guru memukul muridnya sehingga menyebabkan kematian ini merupakan kes yang
boleh dikategorikan sebagai kes penderaan kanak-kanak. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bila ibu
bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah
kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apa lagi
dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak, (sumber: Berita
Harian, 2012).
3.0 DEFINISI PENDERAAN

Merujuk sumber Wikipedia Bahasa Melayu (2012), Penderaan kanak-kanak bermaksud dera ataupun
satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada
mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dera
bermaksud pukulan, mendera, seksa, denda dan hukuman. Manakala penderaan pula merujuk
kepada perbuatan mendera terhadap kanak-kanak.
Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of Education (1970)
telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan sengaja oleh orang yang
berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke atas sesorang yang melakukan
sesuatu yang tidak menyenangkan. Oleh itu, dalam konteks isu yang dibincangkan ini, guru tersebut
telah melakukan penderaan terhadap muridnya sebagai hukuman terhadap kesalahan yang
dilakukan bagi membentuk disiplin murid tersebut. Namun begitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menyatakan bahawa setiap sekolah termasuklah sekolah agama rakyat perlu mempunyai kaedah
standard dalam menguruskan soal disiplin pelajar.
Penderaan berlaku kerana si pendera adalah lebih kuat dan bertenaga secara fizikal serta lebih
berkuasa secara mental dan psikologi daripada yang didera. Murid yang menjadi mangsa terhadap
penderaan yang dilakukan oleh guru sekolah agama tersebut adalah dikategorikan sebagai kanak-
kanak kerana umurnya belum menjangkau 18 tahun dan ke atas. Penderaan terhadap kanak-kanak
dibahagikan kepada empat jenis penderaan yang utama, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual,
penderaan kerana mereka diabaikan penjagaan dan penderaan emosi (Malaysia 1991).

4.0 JENIS-JENIS PENDERAAN
4.1 Penderaan Fizikal
Pakar perubatan mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh menyebabkan
kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk (Silverman 1968 dan
Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak dan patah tulang (ONeil et al.
1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson
1974). Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara dan alat yang digunakan untuk mendera selain
memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi
atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik
atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya.
4.1 Penderaan Seksual
Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu
seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau
mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah
dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur. Akta Perlindungan Kanak-
kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang yang terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak
adalah apabila dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa
aktiviti yang bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau
persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi
memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

4.2 Penderaan Pengabaian Penjagaan
Penderaan kerana diabaikan penjagaan didefinisikan secara rumusan daripada Akta Perlindungan
Kanak-kanak sebagai kegagalan ibu bapa untuk memenuhi keperluan asas anak seperti pemberian
makanan, pakaian, kediaman, rawatan perubatan, tidak memberi penyeliaan atau pengawalan anak
daripada terlibatnya dengan kumpulan jahat atau bahaya moral dan tidak melindungi mereka
daripada bahaya sehingga kanak-kanak terpaksa menjaga diri sendiri dan menjadi pengemis.
Pengabaian kanak-kanak merujuk pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi
keperluan asas seperti keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal
(Ammerman & Hersen, 1990:28).
4.3 Penderaan Emosi
Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi mental dan
emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga atau individu yang paling hampir
dengan kanak-kanak tersebut. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat sebagai sedih, marah,
meradang, geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O Hagan, 1993:22). Penderaan emosi
merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-
kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak
dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-
takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak.
Oleh itu, ternyatalah di sini bahawa kes penderaan yang dibincangkan ini adalah jenis
penderaan fizikal. Terdapat kesan-kesan melecet pada tangan akibat diikat seperti yang dilaporkan
dan ini menyebabkan mangsa koma selepas dipukul oleh guru berkenaan.
5.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA PENDERAAN
5.1 Tekanan Bebanan Kerja
Menurut Kamus Dewan (1999), tekanan membawa maksud sesuatu desakan atau paksaan yang
diterima oleh seseorang. Manakala Kamus Oxford Advanced Learners (1983) mendefinisikan
tekanan atau dalam Bahasa Inggerisnya stress sebagai pressure; condition causing hardship,
disquiet. Seyle (1964) adalah orang yan pertama menggunakan terma tekanan mendefinisikannya
sebagai satu set fizikal dan psikologikal yang bertindak balas kepada keadaan dan pengaruh yang
sebaliknya. Manakala Kamus Behavioral Sciencemedefinisikan tekanan sebagai satu keadaan fizikal
atau tekanan mental yang menyebabkan perubahan dalam sistem saraf autonomi.
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan
tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca
dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam hal ini, guru yang menghadapi tekanan adalah
guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan
sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan
yang berguna kepada masyarakat.
Guru terpaksa melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar,
menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian
terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman
mereka. Oleh itu, kadangkala mereka akan bertindak diluar jangkaan semata-mata untuk
memuaskan kehendak dalaman mereka yang selama ini tidak dapat dipenuhi berikutan bebanan
kerja yang terlalu banyak.
5.2 Kurang Memahami Etika Perguruan
Selain itu, punca berlakunya kes penderaan yang melibatkan guru ini adalah disebabkan guru
tersebut kurang memahami etika keguruan yang telah digariskan. Guru yang memahami etika
keguruan tidak akan tergamak untuk melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya
sendiri. Hal ini berbeza pula dengan kes yang telah berlaku kepada guru tersebut kerana telah
melanggar kod etika guru yang telah digariskan ini. Hal ini sedikit sebanyak telah memberikan
gambaran bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami kandungan yang telah termaktub di
dalam kod etika guru.
Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971),
mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan bagi pembentukan tatasusila guru. Etika
perguruan ini akan menjadi satu panduan kepada guru dalam melaksanakan tugasan harian sebagai
guru. Berdasarkan kod etika perguruan yang telah ditetapkan, sepatutnya setiap ahli profesion iaitu
guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan serta perkara yang tidak boleh dilakukan
sebagai seorang guru. Tetapi, apa yang berlaku di dalam kes ini adalah sebaliknya.

5.3 Tiada Kesedaran Agama
Tiada kesedaran agama juga boleh membawa kepada gejala penderaan guru terhadap anak
muridnya sepertimana yang berlaku terhadap guru tersebut. Guru tidak menghayati apa yang
diajarkandalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya bekerja dengan ikhlas,
amanah dan penuh bertanggungjawab. Kerja adalah satu ibadah dan ramai di antara guru yang
bekerja tetapi tidak bersungguh-sungguh dan tidak amanah.
Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin
menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Oleh
itu hal ini akan menyebabkan berlakunya kes penderaan seperti yang telah dilakukan oleh guru
tersebut terhadap anak muridnya. Walaupun kes yang dibincangkan ini melibatkan guru sekolah
agama, namun di sini jelas menunjukkan perbuatan guru tersebut bukan mencerminkan beliau
sebagai seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikirkan secara logiknya,
mana mungkin kes seperti ini akan berlaku kepada seorang guru sekolah agama yang telah kita sedia
maklum mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.

5.4 Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu punca berlakunya kes penderaan di sekolah yang
melibatkan guru dan murid. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan
diri dan tidak mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka
sendiri dan telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah manakala emosi
mereka sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan
penyalahgunaan dadah mereka akan mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain.
Kesan penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan perubahan sikap individu tersebut. Mereka
akan mudah menjadi panas baran oleh sebab kitaran darah dalam badan mereka bergerak dengan
cepat. Maka, tidak hairanlah sekiranya dikatakan guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah
akan mudah melakukan penderaan terhadap anak muridnya.
6.0 IMPLIKASI KES PENDERAAN FIZIKAL
Sekiranya masalah penderaan fizikal yang melibatkan guru dan murid sekolah ini tidak dibendung
dengan baik, mungkin masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan dan akibat daripada
perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada guru
tersebut sahaja, namun kesannya akan turut dirasai oleh mangsa penderaan itu sendiri, guru-guru
lain, sekolah, masyarakat dan sebagainya.

6.1 Terhadap Guru
Masalah yang berlaku ini akan menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin renggang
di mana semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam
situasi ini, murid akan berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu,
hubungan guru dengan rakan sejawatannya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi
mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan perbuatan mendera anak muridnya.
Akibatnya, guru tersebut akan mengalami tekanan emosi dan konflik jiwa yang serius. Mengikut
Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi contohnya
masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga.
6.2 Terhadap Murid
Murid-murid yang didera akan mengalami kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh badan dan
kesan penderaan ini dapat dilihat oleh penglihatan. Malah ia juga akan menyebabkan pertumbuhan
murid-murid yang didera ini terjejas. Malah, kesan penderaan terhadap murid juga boleh
menyebabkan kematian seperti kes yang dibincangkan ini. Malah, guru yang bersikap suka mendera
dan memukul ini akan memberi kesan atau mempengaruhi murid-murid lain untuk melakukan
perbuatan yang sama kepada rakan-rakan mereka yang lemah kerana guru merupakan role-model
kepada murid-murid. Menurut Mahathir (1999), guru-guru dituntut agar mempunyai sahsiah dan
akhlak yang boleh diteladani oleh murid dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu.
Sahsiah yang dipamerkan oleh guru ini akan menjadi panduan dan diteladani oleh murid-murid di
sekolah. Maka, hal ini akan sekaligus menjejaskan sistem pendidikan yang terdapat di negara kita.

6.3 Terhadap Profesion Perguruan
Isu penderaan ini hanya dilakukan oleh segelintir guru sahaja, tetapi seperti kata pepatah Kerana
nila setitik rosak susu sebelanga. Kesan daripada tingkah laku segelintir guru ini akan merosak dan
mencemarkan imej profesion perguruan. Tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru akan
menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh lapisan masyarakat. Masyarakat lebih
cenderung melihat dan menilai sesuatu yang negatif berbanding perkara yang positif. Tambahan
pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.
Selain itu, gejala penderaan yang berlaku ini juga memberi kesan kepada profesion perguruan yang
menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini akan mengakibatkan
profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Kesannya
kerajaan tidak dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana
kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998),
penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan
menurun di kaca mata masyarakat.
6.4 Terhadap Sekolah
Apabila isu penderaan ini memberi kesan kepada guru dan murid, secara tidak langsung isu ini juga
akan memberi kesan kepada sekolah. Dengan berlakunya kes-kes penderaan ini, reputasi dan imej
sekolah akan jatuh. Sekolah adalah sebagai sebuah organisasi formal yang mempunyai matlamat
tertentu. Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), sekolah adalah satu masyarakat kecil yang
mempunyai budaya tersendiri.
Sekiranya budaya penderaan diamalkan di sesebuah sekolah dan tidak dibendung dengan kadar
segera, masyarakat tidak lagi mengganggap sekolah sebagai sebuah institusi yang selamat untuk
mereka menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah tersebut. Hal ini juga akan
menyebabkan sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan
berkualiti kepada murid-murid.

6.5 Terhadap Ibu Bapa dan Masyarakat
Isu penderaan yang berlaku ini turut memberi kesan kepada ibu bapa dan masyarakat.
Hubungan yang terjalin di antara guru dan ibu bapa akan menjadi renggang disebabkan ibu bapa
tidak lagi mempercayai kredibiliti guru-guru tersebut untuk mendidik anak-anak mereka. Kebajikan
dan keselamatan yang seharusnya dititikberatkan oleh guru akhirnya terancam disebabkan oleh guru
sendiri. Hal ini akan merisaukan pihak ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Kesannya ada di antara ibu bapa yang membawa isu penderaan ini kepada pihak atasan seperti polis
dan peguam bagi mendapatkan keadilan bagi pihak anak mereka. Di samping itu juga, masyarakat
akan turut memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah kerana
tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.
7.0 CADANGAN / LANGKAH MENGATASI ISU PENDERAAN
Penderaan fizikal yang berlaku kepada murid ini merupakan salah satu isu yang sangat dipandang
serius oleh lapisan masyarakat. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan guru menghukum murid di
atas kesalahan atau kenakalan yang dilakukan oleh murid itu sendiri. Namun begitu, penderaan
bukanlah langkah yang terbaik untuk menghukum seseorang murid yang melakukan kesalahan.
Tingkah laku negatif seperti mendera yang dilakukan oleh guru tersebut hendaklah dibendung
dengan kadar segera. Menurut Lewis M. Beaker (2001), tingkah laku adalah sebarang perbuatan
yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar.
7.1 Tingkatkan Kesedaran Agama Dalam Diri
Antara langkah untuk mengatasi isu tersebut ialah dengan meningkatkan kesedaran agama. Setiap
guru hendaklah mendalami ilmu agama supaya setiap tingkah laku yang dilakukan adalah
berlandaskan kepada pegangan agama. Dengan mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan
sedar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sebaik yang
mungkin dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas. Menurut INTAN (1994),
ikhlas merupakan salah satu etika yang perlu diamalkan dalam pekerjaan. Ini bermaksud setiap
penjawat awam hati yang bersih, jujur dan suci. Jika seseorang itu ikhlas dalam kerjanya, ia akan
menjalankan tugas tersebut dengan sempurna dan menghasilkan output yang memuaskan secara
berterusan.
7.2 Wujudkan Khidmat Kaunseling Khas Untuk Guru
Selain itu, di setiap sekolah hendaklah diwujudkan khidmat bimbingan dan kaunseling yang
dikhaskan untuk guru bagi menangani isu penderaan fizikal terhadap murid di mana khidmat ini
dikendalikan oleh individu yang pakar dalam masalah ini. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini
bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar kaunseling
jika mereka terlibat atau mengalami masalah gangguan emosi yang boleh mengakibatkan mereka
bertindak di luar kawalan. Menurut Shertzer dan Stone (1981) menyatakan bahawa bimbingan
sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman,
pengetahuan dan kemahiran tertentu.
7.3 Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan undang-undang adalah merupakan langkah yang patut diambil oleh kerajaan
bagi mengatasi isu berkaitan dengan penderaan. Merujuk kepada rencana yang dikeluarkan oleh
Utusan Malaysia bertarikh 1 April 2001, Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa undang-undang adalah
peraturan hidup yang berkata-kata. Undang-undang berkata-kata melalui bahasanya yang tersendiri
iaitu bahasa undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman
dan sebagainya perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.
Mana-mana guru yang terlibat dengan tindakan undang-undang boleh dilucutkan jawatannya
sebagai seorang guru. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru lain supaya tidak melakukan
perkara yang sama berkaitan isu penderaan ini.
7.4 Melantik Guru yang Berkelayakan
Kerajaan hendaklah melantik guru-guru yang berkelayakan untuk menjawat profesion sebagai
seorang pendidik. Hal ini disebabkan, guru yang berkelayakan telah diberi latihan yang secukupnya
untuk menjadi seorang guru. Program-program dan kursus-kursus yang telah dijalani oleh individu
ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami etika keguruan yang telah digariskan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia contohnya seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
(PISMP).
8.0 RUMUSAN
Pandangan saya berkaitan dengan isu guru agama memukul anak muridnya sehingga
menyebabkan kematian ini adalah tidak wajar berlaku. Hal ini kerana tugas guru adalah sebagai
seorang pendidik dan pembimbing dan bukan sebagai pengancam keselamatan murid-murid.
Persoalan yang timbul ialah adakah perlu seorang guru membelasah muridnya sedemikian rupa?
Lebih-lebih lagi mangsa hanya berumur 7 tahun. Tidak sepadan langsung dengan suspek yang
berumur 26 tahun. Sekiranya memang benar bahawa murid tersebut melakukan kesalahan mencuri,
tindakan membelasah murid berkenaan secara melulu bukanlah jalan yang terbaik dalam
menyelesaikan sesuatu masalah.
Terdapat pelbagai cara yang lebih efektif dan berkesan yang boleh digunakan. Guru tersebut
tidak boleh bertindak tanpa alasan dan bukti yang kukuh. Tambahan pula sekiranya dakwaan yang
mengatakan bahawa murid tersebut mencuri adalah daripada percakapan murid-murid yang lain.
Dalam erti kata yang lain ialah hanya syak. Tindakan memukul dan membelasah murid tersebut bagi
saya adalah sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Lebih-lebih lagi bagi seorang guru yang
mempunyai pendidikan agama. Mencabut nyawa seseorang dengan tangan sendiri hanya kerana
syak dan wasangka, adalah tindakan yang paling dangkal sekali yang dibuat oleh seorang manusia
lebih-lebih lagi digelar seorang guru.
Menurut Abu Bakar Nordin (2003), peribadi dan sahsiah seorang guru akan menentukan
kedudukannya di mata masyarakat. Oleh itu, guru harus memiliki sifat profesionalisme yang tinggi.
Sebagai seorang pendidik, guru perlu menjadi contoh dan teladan kepada para murid dalam
pelakuan sehariannya supaya pendidik menjadi masyarakat yang dihormati dan disegani. Etika dan
tatasusila profesion perguruan yang menjadi pegangan harus sentiasa difahami, dihayati dan
diamalkan. Dengan mengamalkan etika keguruan yang telah digariskan, isu berkaitan dengan
penderaan seperti yang dibincangkan akan dapat dibendung dan diatasi dengan berkesan.

9.0 REFLEKSI
Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini. Pelbagai isu yang berkaitan dengan guru
dan keguruan sering dibincangkan melalui media massa. Berdasarkan tugasan projek yang telah
diberikan ini, pelbagai manfaat telah saya perolehi. Dengan menjalankan tugasan projek ini, saya
dapat meningkatkan kefahaman tentang ruang lingkup kerjaya sebagai seorang guru pada masa
hadapan. Isu-isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan merupakan topik yang sering mendapat
liputan menyeluruh oleh semua pihak. Hal ini dapat memberi pendedahan kepada saya untuk lebih
matang dalam menempuhi isu-isu yang bakal berlaku apabila menjadi seorang guru pada masa
hadapan.
Tugasan projek ini juga mengkehendaki saya menganalisis, mengulas dan mengutarakan
pendapat berkaitan isu yang berkait dengan guru dan keguruan. Hal ini sekaligus akan dapat
mempengaruhi tindakan saya pada masa hadapan sekiranya menghadapi masalah yang berkaitan.
Sekiranya saya berada di dalam mana-mana situasi yang melibatkan isu guru dan keguruan seperti
yang berlaku pada masa kini, saya hendaklah bertindak secara matang. Tindakan yang saya ambil
hendaklah berlandaskan kepada profesionalisme sebagai seorang guru tanpa mengikut hawa nafsu
semata-mata.
Malah, dengan adanya tugasan projek ini, saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam
menangani setiap masalah yang berlaku. Hal ini disebabkan, bertindak tanpa berfikir akan
mendatangkan kesan yang negatif kepada individu itu sendiri. Jadi, setiap masalah yang berlaku akan
dapat diselesaikan sekiranya saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis dalam usaha untuk mencari
jalan penyelesaian. Tambahan pula, saya dapat mempelajari kemahiran baharu dengan adanya
penerapan unsur ICT semasa menjalankan tugasan projek ini. Tugasan ini memerlukan saya
membina sebuah blog laman ilmu secara berkumpulan. Hal ini memberi pengetahuan kepada saya
tentang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Kemahiran ini juga
dapat digunakan pada masa hadapan kerana sistem pendidikan pada masa kini amat mementingkan
penggunaan ICT dalam bidang pendidikan.

Murid Dibelasah Guru Mati Selepas 3 hari Koma

Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini. Pelbagai isu yang berkait dengan
guru dan keguruan sering dibincang melalui media massa. Isu kelayakan guru, kekerasan
guru sperti kejadian guru memukul murid sering boleh kami baca melalui surat khabar.

Isu yang ingin saya ulas dan analisis berlaku di sebuah Sekolah Agama Rakyat.
Sekolah Agama Rakyat adalah sekolah persendirian yang menawarkan pendidikan formal
dan sepenuh masa di peringkat rendah dan menengah dalam bidang agama Islam. Sekolah
Agama Rakyat tertakluk di bawah Enakmen Negeri dan perlu berdaftar dengan Jabatan
Agama Islam Negeri. Sekolah Agama Rakyat adalah berbeza dengan Sekolah Menengah
Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan yang ditadbir oleh Kementerian
Pendidikan.

Kejadian ini berlaku di sebuah Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Islam Al-
Furqan di Jejawi, Perlis pada tahun yang lalu. Seorang murid agama dibelasah guru
sehingga mati selepas koma tiga hari di hospital. Murid berkenaan, Saiful Syazani Saiful
Sofidee yang berumur tujuh tahun merupakan seorang anak yatim kerana kematian ibu
sejak umur 2 tahun. Saiful mengalami pendarahan dalaman kerana dipercayai dibelasah
teruk oleh guru lelaki berusia 26 tahun yang juga warden asrama sekolah agama itu selepas
dituduh terbabit dalam kes mencuri RM 7 milik rakan sekelasnya.

Hanya kerana RM 7, tindakan guru berkenaan sama sekali tidak masuk akal dan
tidak boleh diterima oleh sesiapa juga. Dalam kejadian ini, mangsa ditangkap dan diikat
pada tingkap asrama dan dibelasah. Dan apabila mangsa berjaya melepaskan diri, guru
terbabit dilaporkan naik berang dan terus memukul kepala mangsa dan menggongcangkan
badan serta menolaknya dengan kuat ke dinding. Ini dipercayai menjadi punca utama
mangsa mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Perbuatan guru yang begitu kejam ini menimbulkan tanda tanya di dalam hati kita. Di
manakah perginya sifat kemanusiaan seorang guru apatah lagi seorang digelar guru agama
ataupun ustaz? Hanya kerana RM 7, boleh menyebabkan murid didera dengan sedemikian
teruk? Perkara ini patut diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa. Ia tidak harus dianggap
terpencil semata-mata kejadian ini berlaku di sekolah persendirian.

Ada lebih banyak cara yang lebih efektif dan berkesan yang boleh digunakan. Selain
itu, guru tersebut juga tidak boleh bertindak tanpa alasan dan bukti yang kukuh. Lebih-lebih
lagi kalau dakwaan datang hanya daripada percakapan pelajar-pelajar yang lain. Dengan
erti kata lain, hanya syak.

Tindakan membelasah pelajar terbabit memang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Lebih-lagi seorang guru yang berlatarkan pendidikan agama, tidakkah diajar dalam agama mengenai
cara mengatasi masalah dan juga mengajar? Kes ini sangat berat. Mencabut nyawa seseorang
dengan tangan sendiri, hanya kerana atas syak dan wasangka, adalah tindakan yang paling dangkal
sekali yang dibuat oleh seorang manusia.

Untuk mengelakkan daripada berlakunya peristiwa sedih yang sama, pihak berkuasa
seharusnya mengemaskinikan senarai semua sekolah yang bukan di bawah kelolaan Kementerian
Pelajaran terutama sekolah agama persendirian. Tenaga pengajar, warden asrama serta aspek
kebajikan pelajar harus diteliti. Sebarang usaha memperbaiki keadaan tidak harus hanya nampak
serius apabila berlakunya sesuatu kes penderaan, tetapi selepas itu kembali menyepi.

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya menyiasat dan menyimpan maklumat
semua sekolah persendirian bagi tujuan pemantau dan tidak menyerahkan tanggungjawab
berkenaan kepada pihak lain termasuk kerajaan negeri. Mereka tidak mempunyai pengalaman
menjaga hal ehwal sekolah, sehingga menyebabkan pelantikan guru dan warden dibuat tanpa
mengikut peraturan dan kelayakan tertentu.

Justuru, adalah wajar peranan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian
Pelajaran diperluaskan menerusi peruntukan undang-undang agar pembukaan sekolah
persendirian mendapat kelulusan kementerian supaya perkembangannya dapat dipantau
dari semasa ke semasa.

Namun, hakikat bagi peristiwa yang berlaku di Sekolah Agama Rakyat berpunca
daripada sikap guru atau kegagalan guru tersebut mengawal perasaan marahnya. Peristiwa
yang berlaku oleh guru ini harus ditengok dengan memperbesarkan. Guru-guru seharusnya
telah dilengkapi dengan semua kemahiran sebelum habis pengajian. Kawalan emosi
seharusnya telah dikuasai.

Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan peranan mereka dan membantu guru-
guru agar dapat menumpuh cabaran dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Mereka
hendaklah memastikan bahawa pada peringkat awal, guru-guru baru dan tidak
berpengalaman tidak dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang besar dalam
mendidik dan mendisiplinkan pelajar seperti menjadi guru disiplin atau warden.

Kes memukul murid sehingga mati di Jejawi ini merupakan satu contoh yang boleh
dijadikan iktibar oleh pentadbir sekolah. Guru yang berumur baru 26 tahun telah diberi tugas
sebagai warden asrama. Tanggungjawab yang diberikan kepada guru muda ini tentunya
amat berat.

Kemungkinan guru tersebut menghadapi tekanan dan akhirnya mengambil tindakan
mengikut emosi. Mungkin kejadian memukul murid sehingga mati ini tidak berlaku sekiranya
yang menangani masalah ialah guru yang lebih berpengalaman.

Dalam hal ini, seharusnya pihak pentadbir sekolah memberi peluang kepada guru-
guru baru untuk menimba pengalaman daripada guru-guru yang telah lama bertugas,
terutamanya dalam hal-hal berkaitan cara dan kaedah menangani pelajar bermasalah dan
tindakan yang wajar dalam mendisiplin pelajar. Biarlah mereka menjalankan tugas sebagai
penolong atau AJK bukannya ketua dalam sesuatu tugas yang berat seperti tugas sebagai
warden asrama.

Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan kualiti guru dan menyediakan guru
dengan pelbagai ilmu pengajaran , perhatian juga harus diberi terhadap faktor rohani guru.
Perkembangan staff untuk para guru dan wajib diadakan di sekolah hendaklah diisi juga
dengan kursus-kursus motivasi. Bukan pelajar sahaja harus dimotivasi tetapi para guru pun
perlu diberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang mendidik anak bangsa dengan niat
yang ikhlas.
Cabaran yang dihadapi oleh guru pada era globalisasi ini amat besar . Guru perlu
dimotivasi supaya rasa cinta akan profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun
pelbagai cabaran terpaksa ditempuh . Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah
menghadapi cabaran yang mendatang.



Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru
dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru
keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar. Adakalanya tekanan menyebabkan
mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-
pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui
bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi.
Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan
(Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007)

Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan
supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas
pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru.
Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan
mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan.

Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-
guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para
guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan
remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada
kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani
pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi
bersama-sama terutamanya dengan guru-guru yang baru dan tidak berpengalaman.

Lazimnya, guru-guru yang berpengalaman sedar bahawa penguatkuasaan peraturan
sekolah perlu dilaksanakan dengan cara yang berhemah. Pelajar-pelajar sekarang mudah
menentang sekiranya pendekatan yang digunakan guru bertentangan dengan jiwa mereka.
Mereka tidak sanggup menerima hukuman secara membuta tuli dan akan bertindak
menentang.

Sesungguhnya, untuk menangani salah laku pelajar, Kementerian Pelajaran telah
mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah)
1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar di tapak tangan atau di
punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Justeru itu,
hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain
yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Maka peristiwa memukul murid sehingga
mati tidak seharunya terjadi pada pendidikan zaman kini.

Guru seharusnya diberi peluang untuk bernafas. Cabaran mendidik dan
mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya
menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-
pelajar. Kebimbangan Ruhaiza Rusmin yang dinyatakan dalam tulisannya Guru Emosi,
Pelajar Melenting, ada benarnya. Beliau bimbang semangat berkobar-kobar guru akan
merundum. Ditakuti sikap kurang ajar pelajar akan mencantas dedikasi guru memberi ilmu
dan hal ini tentunya merugikan pelbagai pihak terutamanya ketika negara menuju Wawasan
2020.( Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007).
Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi
oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh kepercayaan
kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab mereka memberi
kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus dijadikan agenda utama
dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anak-anak diasuh dengan baik dan
diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu lebih mudah dilaksanakan. Tentunya
masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi disiplin sifar akan lebih mudah dicapai.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohamed Zakaria Mohd Noor ketika hadir majlis
perasmian Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Displin Murid Di Sekolah turut
menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan penting dan tidak
harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin yang berlaku
dalam kalangan pelajar. Menururt beliau lagi, ibu bapa dan penjaga harus bekerjasama
dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai anak mereka sama ada di
sekolah atau di luar sekolah ( Berita Harian, 19 Disember 2006).

Bagi pendapat saya, saya tidak menafikan kenakalan dan kedegilan kanak-kanak
tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan kita untuk
mendidik, namun seboleh-bolennya kita janganlah menggunakan kekerasan untuk
mendisiplinkan mereka. Saya tidak dapat bayangkan betapa sakitnya rasa dipukul oleh guru
seorang murid yang baru berusia 7 tahun.

Pada era ini cara kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah
diubah. Tindakan menggunakan kekerasan mungkin akan memburukkan lagi keadaan dan
akhirnya menyebabkan kematian. Hal ini demikian kerana kanak-kanak pada era ini terlalu
manja dan tidak tahan lasak. Kita harus banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan
dengan pedagogi untuk menjadi pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini.
Kita tidak lagi boleh berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera
mahupun angkasawan yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa
depan. Tebalkan rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi
kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita.

Guru boleh menggunakan banyak cara untuk menangani masalah disipiln murid dan
bukannya menggunakan kekerasan. Guru boleh mengunakan aplikasi dan strategi
komunikasi di dalam bilik darjah, emosi dan pengaruh persekitaran, kecerdasan emosi dan
afektif ataupun mengaplikasikan Teori Pembelajaran Behaviorisme dan lain-lain.

Sekiranya masih tidak dapat mengatasi masalah, guru boleh menyerahkan murid
bermasalah kepada guru kaunseling. Biar guru kaunseling yang berpengalaman menangani
masalah dan bukannya menggunakan kekarasan.

Pandangan ini merupakan cetusan minda peribadi yang tidak memihak atau
merendah-rendahkan sesiapa. Pandangan ini mungkin ada kelemahannya atau ada biasnya
pada orang lain, namun bagi saya sendiri, semua yang terlukis dan tertulis ini adalah lahir
dari hati. Jika ada yang tersentuh dengan pandangan ini, maaf dan ampun dipohon. Akan
tetapi, jika pendapat ini ada kebaikannya, jadikanlah sebagai panduan kita bersama untuk
menaikkan martabat dan darjat profesion perguruan di mata dunia.

You might also like