You are on page 1of 72

PERSEPSI GURU PENDIDIKAN ISLAM TERHADAP ISU-ISU TINGKAH LAKU

AGRESIF PELAJAR DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DALAM DAERAH


SEMPORNA

BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pendahuluan

Dalam bab ini, penyelidik akan menghuraikan berkenaan pendahuluan kajian yang
dijalankan yang meliputi beberapa komponen penting kajian seperti tujuan kajian,
objektif kajian, persoalan dan justifikasi kajian. Di samping itu bab ini juga akan
membincangkan secara terperinci berkenaan kerangka konseptual kajian,
kepentingan kajian, batasan kajian serta definisi operasional serta semua perkara
yang meliputi aspek-aspek yang berkaitan Perbincangan dalam bab ini umumnya
meliputi aspek-aspek yang berkaitan dengan latar belakang kajian. Ia
membincangkan pernyataan masalah kajian yang menyentuh isu-isu tertentu
berkaitan dengan tajuk kajian ini. Antara isu-isu yang akan ditonjolkan dalam bab ini
ialah berkaitan kepincangan tingkahlaku pelajar yang agresif, kes-kes dan isu-isu
yang berkaitan dengannya terutama yang melibatkan pelajar sekolah menengah di
Malaysia. Turut juga dibincangkan dalam bahagian ini ialah beberapa komponen
penting kajian. Pada akhir bab ini pula turut diketengahkan rumusan bagi
menjelaskan lagi hala tuju tema dan tajuk kajian.

1.2 Latar Belakang Kajian

Kementerian Pelajaran mendedahkan bahawa kira-kira 76,300 atau 1.09 peratus


daripada tujuh juta pelajar di negara ini terbabit dalam pelbagai masalah disiplin
(Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2005). Kita dapat melihat setiap sekolah yang ada di
rantau Asia ini mahupun di pelusuk dunia ini 80 peratus daripada masalah-masalah
yang dihadapi oleh setiap sekolah ialah masalah disiplin iaitu gejala salah laku pelajar

1
yang serius. Kemerosotan disiplin pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah
perlu dipandang serius oleh semua pihak agar ia tidak berlanjutan. Malah sikap
terbuka sesetengah sekolah yang mendedahkan kes salah laku pelajar mereka, perlu
dipuji dan dicontohi. Jika disorok sampai bilapun masalah ini tidak dapat diselesaikan.
(Sharifah Rinah Sh.Ismail, 2005).

Dengan kata lain, tingkah laku agresif dan keganasan remaja yang terdiri
daripada pelajar sekolah merupakan satu fenomena yang kian melanda di sekolah.
Pelajar sekolah tidak dapat atau tidak berpeluang meluahkan perasaan hatinya akan
cenderung bersikap agresif. Sama ada mereka menentang arahan guru, ataupun
mencabar kewibawaan guru-guru serta pengetuanya. Selain itu, mereka juga
merosakkan harta kerajaan untuk melepaskan geram. Mereka tidak takut pada
dendaan dan hukuman sebaliknya berasa bangga di kalangan teman dan rakan
sebaya apabila tindakan disiplin dikenakan kepada mereka (Muhd Mansur dan Siti
Nordinar, 1988).

Apakah yang mendorong kepada perbuatan seperti ini? Adakah guru atau
ibubapa harus dipersalahkan? Terdapat pelbagai faktor yang mendorong pelajar
bertingkahlaku sedemikian antaranya faktor dalaman pelajar itu sendiri atau faktor-
faktor luaran yang mempengaruhinya. Walau apa pun faktornya, para guru dan
pentadbir sekolah perlu memahami dan peka akan tindakan yang dilakukan oleh para
pelajar berkenaan. Dengan itu, bagi mencapai tujuan di atas, diketengahkan melalui
kajian ini berkaitan ciri-ciri yang seringkali ditunjukkan oleh pelajar sekolah yang
bertingkah laku agresif.

Pengkaji cuba untuk meneliti dengan lebih dekat ciri-ciri pelajar agresif di
samping mencari faktor yang menyumbang perlakuan agresif di kalangan pelajar
sekolah. Akibat salah faham, perasaan dendam, sakit hati, geram, kecewa dan marah
yang bercampur aduk, pelajar mungkin bertindak agresif seperti memukul guru,
merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya (Hairunaja Najmuddin, 2003).
Insiden seorang pelajar membelasah gurunya sebagaimana yang dilaporkan dalam
akhbar (Berita Harian, 24 Mei 2002: 13) di Muar, seorang guru cedera di belasah
menggunakan kerusi plastik oleh pelajar tingkatan dua ketika peperiksaan di Sekolah
Menengah Raja Muda di Parit Jawa. Berdasarkan senario tadi, kita sering tertanya-

2
tanya apakah yang menyebabkan pelajar bertindak sedemikian. Terdapat pelbagai
faktor yang menyumbang perlakuan pelajar tersebut, antaranya faktor didikan
ibubapa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya, emosi, sikap dan sebagainy

1.3 Permasalahan Kajian

Dewasa ini kita sering mendengar dan membaca daripada media massa mengenai
masalah-masalah yang menimpa pelajar sama ada masalah disiplin yang melibatkan
sekolah maupun masalah sosial yang melibatkan keselamatan masyarakat seperti
ponteng sekolah, merokok, mencuri, merogol, menagih dadah, membunuh dan
sebagainya. Apa yang kita lihat kenakalan melampau remaja di sekolah-sekolah
sebenarnya bukan perkara baru. Sejak sedekad kebelakangan ini, kenakalan
melampau sudah menjadi satu trend di kebanyakan sekolah. Hal ini telah seringkali
dibangkitkan oleh guru-guru, juga menjadi satu agenda utama dalam mesyuarat
guru-guru dan PIBG sekolah (Abdul Jalil Ali, 2001).

Langkah Perdana Menteri melancarkan program ‘Satu Keluarga, Satu


Kaunselor’ pada 4 Februari 2007 menerusi Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat mencerminkan betapa seriusnya gejala sosial yang
melanda golongan muda mudi pada masa kini. Antara masalah yang sering dikaitkan
dengan gejala sosial ialah budaya ‘Mat Rempit’, penagihan dadah, gejala ponteng
sekolah, tingkah laku seksual, budaya lepak, berpeleseran dan sebagainya.
Kepincangan sosial yang berlaku ini semakin hebat berleluasa sejak beberapa tahun
kebelakangan. Suntikan gejala negatif yang baru seperti buli, rempit, bohsia, bohjan,
berpeleseran di kelab-kelab malam, meminum arak, bekerja sebagai pelayan (GRO),
penyalahgunaan dadah dan sebagainya juga semakin membimbangkan. Di samping
itu, terdapat juga sesetengah golongan remaja yang turut mempunyai akhlak dan
peribadi yang rendah seperti biadap dan kurang ajar kepada guru, ibu bapa dan
penjaga.

Isu pelajar samseng atau berkelakuan agresif di sekolah nampaknya menjadi


satu perkara yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Pendedahan media massa
beberapa kes yang menggeparkan negara dan dunia pendidikan negara

3
memperlihatkan isu ini umpama api dalam sekam, jika tidak di bendung sejak awal
ianya mungkin akan merebak dan mengeruhkan lagi suasana tidak harmoni institusi
pendidikan negara. Isu pelajar agresif yang sinonim dengan isu masalah disiplin
pelajar amat menarik perhatian masyarakat secara berterusan. Kebimbangan dalam
kalangan masyarakat disebabkan mereka berpendapat pelajar ini merupakan
generasi pelapis masa hadapan. Kenyataan tersebut digambarkan oleh Khaidzir
Ismail (2007) bahawa penglibatan pelajar dalam jenayah mengundang pelbagai
masalah masyarakat kerana mereka adalah modal insan yang akan menyumbang
kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Pada tahun 1977, banyak kes yang keluar di akhbar mengenai kesalahan
yang dilakukan oleh pelajar - pelajar sekolah seperti mengugut guru di luar sekolah.
Seramai 565 orang pelajar menganggotai kumpulan kongsi gelap, memukul guru,
pelajar mengetuai kumpulan gangster, mencuri dan sebagainya. 1,719 pelajar
melakukan jenayah ditahan, dan banyak lagi kes yang dilakukan oleh pelajar, bukan
saja pada tahun 1977, tapi hinggalah pada beberapa tahun kebelangan ini.
Berdasarkan Berita Harian pada 12 Julai 2001 yang lalu telah melaporkan bahawa
dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan
remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja
perempuan.

Menurut Marzita Abdullah (2004), sepanjang tahun 2002 sehingga 2004


sebanyak 5,807 pelajar diperiksa dalam operasi ponteng sekolah (Ops Sayang) yang
dijalankan oleh polis di seluruh negara. Sebanyak 4,097 orang (71 peratus) pelajar
lelaki dan 1,710 pelajar perempuan terlibat dalam pemeriksaan sepanjang operasi
berkenaan. Bagaimanapun, daripada statistik tersebut, jumlah pelajar perempuan
yang diperiksa semasa operasi itu adalah melebihi pelajar lelaki di Pulau Pinang. Di
Kuala Terengganu pada 9 Ogos 2005 yang lepas, seorang remaja 17 tahun, bekas
pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara, selepas membakar
kereta Proton Wira milik guru Sainsnya, beliau bertindak lagi, kali ini cuba membakar
kereta Mercedes-Benz milik bekas pengetua sekolahnya pula.

Marzuki Yusoff (2005) pula membincangkan satu lagi kes di mana seorang
pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor yang

4
kehilangan buah pinggang kirinya baru-baru ini setelah dibelasah sekumpulan pelajar
di asrama sekolahnya. Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok,
dadah, lari dari rumah dan judi bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan
menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah
sebanyak 328 kes manakala bagi tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Di antara jenis-
jenis dadah yang dikesan di kalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy,
menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-
kesan dadah.

Bagi masalah disiplin yang lebih parah, murid terlibat dalam kes merokok,
dadah, lari dari rumah dan berjudi. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah, statistik
tahun 1999 menemui sebanyak 328 kes. Tahun 2000 pula meningkat kepada 448 kes
(Marzuki Yusoff, 2005). Antara jenis dadah menjadi kegemaran murid adalah ganja,
heroin, pil ectasy, menghidu gam dan meminum ubat batuk. Justeru, penyelesaian
dilaksanakan dengan mengguna pakai pelbagai strategi, teori atau model. Misalnya,
penubuhan Majlis Sosial Negara yang melibatkan beberapa kementerian untuk
berkolaborasi bagi menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan murid.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),
Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berkolaborasi dengan memperkenalkan
pelbagai strategi penyelesaian menerusi pembentukan objektif sesebuah aktiviti bagi
mewujudkan persekitaran hidup yang sihat dalam kalangan murid (Laporan Dewan
Negara, 11 Disember 2013).

Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25 Ogos 2000 melaporkan bahawa


10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng dan menghidu
gam. Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari
sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30 Mei 1998 pula melaporkan
terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri. Terdapat
beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan imej yang hebat dan
kedewasaan, ingin mencuba, dan mengikut tingkah laku ibu bapa, pengaruh rakan
sebaya dan iklan serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan
yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk
tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan

5
dari rumah semakin membimbangkan. Kisah seorang pelajar lelaki Sek. Men. Teknik,
Batu Pahat Johor hilang sebelah buah pinggangnya akibat dipukul dan dibelasah
dengan teruk oleh lapan orang pelajar. Kita juga dikejutkan dengan pendedahan
sekolah berasrama penuh berprestij iaitu Sekolah Tunku Abd. Rahman (STAR) yang
terlibat dengan kegiatan ala samseng di mana mereka menubuhkan sebuah
pertubuhan haram ala samseng. Akibat daripada pendedahan itu, dua puluh orang
pelajar sekolah itu dibuang sekolah.

Isu keganasan pelajar ini mencetuskan kebimbangan dikalangan ibubapa,


guru-guru dan masyarakat umumnya. Tingkahlaku agresif pelajar seperti memukul
guru dan pelajar, membunuh, mengugut dan pelbagai kes jenayah tidak boleh
dipandang mudah. Ini adalah kerana para pelajar merupakan aset negara yang
penting yang bakal menentukan hala tuju negara kelak. Justeru itu, melalui kajian
kes ini adalah wajar bagi pengkaji meneliti ciri-ciri yang sering ditunjukkan oleh
pelajar yang berkelakuan agresif dan ganas sama ada dari aspek akademik, amalan
keagamaan, hubungan guru-murid dan disiplin sekolah. Hasil kajian yang dilakukan
ke atas keempat-empat aspek ini membolehkan pihak sekolah khasnya membuat
persediaan dan pemantauan ke atas pelajar-pelajar yang cenderung bertindak ganas
hasil daripada ciri-ciri atau karekteristik yang ditunjukkan oleh mereka.

1.4 Objektif Kajian

Secara khususnya, objektif kajian yang dijelaskan ialah :

1) Mengenal pasti persepsi GPI terhadap faktor-faktor pelajar yang bertingkah


laku agresif
2) Mengenal pasti persepsi GPI terhadap ciri-ciri pelajar yang bertingkah laku
agresif
3) Mengenal pasti strategi yang digunakan oleh GPI bagi mengendali pelajar
yang bertingkah laku agresif
4) Mengenal pasti pemboleh ubah dominan yang boleh dikaitkan dengan sikap
agresif pelajar.

6
Secara umumnya, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti apakah ciri-ciri yang
ditunjukkan oleh pelajar-pelajar yang bertingkah laku agresif berserta penggalian
faktor dan strategi penyelesaian masalah bagi isu tersebut.

1.5 Persoalan Kajian

1) Apakah ciri-ciri pelajar yang bertingkah laku agresif menurut GPI


2) Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada tingkah laku agresif
pelajar menurut GPI
3) Apakah strategi yang sesuai digunakan oleh sekolah bagi mengawal dan
memantau pelajar yang bertingkah laku agresif menurut GPI
4) Apakah pemboleh ubah dominan yang boleh dikaitkan dengan sikap agresif
pelajar

1.6 Kepentingan Kajian

Tingkahlaku agresif yang ditunjukkan oleh pelajar semakin membimbangkan.


Banyak kajian telah dilakukan untuk mengkaji keseriusan masalah ini. Kajian-kajian
berkenaan faktor-faktor pelajar berkelakuan agresif memberi ruang kepada pengkaji
untuk melihat secara lebih dekat ciri-ciri yang ditunjukkan oleh pelajar yang
bertindak ganas ini. Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk membekalkan
maklumat kepada pihak sekolah khasnya kepada guru-guru, kaunselor dan guru
disiplin sekolah dalam mengenal pasti faktor, ciri-ciri pelajar yang agresif dan
seterusnya dapat mengambil langkah untuk mengawal, berwaspada dan menyelami
cara berhubung dengan pelajar tersebut. Hasil daripada kajian ini juga diharap dapat
memberi maklumat yang penting dan memberikan sumbangan idea ke arah
menangani tingkah laku pelajar agresif dan seterusnya dapat membentuk jati diri
pelajar ke arah yang lebih baik.

Selain itu, kajian yang dijalankan ini juga bertujuan untuk membekalkan
maklumat kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah
untuk terus memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam menangani isu disiplin

7
pelajar yang kian meruncing hari demi hari. Diharapkan pihak JPN dan PPD dapat
menyalurkan bantuan yang sewajarnya agar hasrat pendidikan di Malaysia bagi
melahirkan pelajar yang harmonis dan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani
dan intelek dapat direalisasi dengan jayanya. Selain itu, kajian ini juga penting untuk
menaikkan taraf akademik dalam daerah Semporna khasnya seiring dengan
keperluan menurunkan kadar masalah disiplin dalam daerah ini.

Seterusnya, kajian ini juga amat penting untuk kemaslahatan pelajar. Kes-
kes disiplin yang berlaku di sekolah yang dikendalikan tanpa pengetahuan yang
mendalam terhadap komunikasi dan tindakan yang sewajarnya digunakan untuk
menghadapi pelajar bermasalah ini bukan sahaja tidak memberi kesan kepada
perubahan pelajar, malah dibimbangi tanpa pendekatan yang sesuai sikap pelajar
akan menjadi semakin agresif. Para pelajar, walau apa juga kesalahan yang
dilakukan tetap mempunyai hak untuk dikendali dengan cara yang betul tanpa
menjatuhkan maruah mereka, selaras dengan tuntutan agama Islam yang telah
menyusun tatacara terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuklah tatacara
mengendalikan pelajar bermasalah. Dengan itu, pelajar akam dapat memperbaiki diri
dan mempunyai masa depan yang cerah.

Akhir sekali, diharapkan kajian ini dapat memberi kesedaran kepada pengkaji
sendiri tentang peri pentingnya mempelajari dan memahami keperluan pelajar bukan
sahaja dari aspek rohani malah aspek emosi dan fizikal di samping mengenal pasti
faktor, ciri-ciri dan strategi mengatasi pelajar bertingkah laku agresif ini

1.7 Batasan kajian

Dalam kajian ini terdapat beberapa limitasi atau batasan yang dikenalpasti. Kajian ini
berbentuk kualitatif yang hanya memberi tumpuan kepada guru-guru subjek
Pendidikan Islam dan dua orang guru bukan dari latar belakang opsyen Pendidikan
Islam tetapi mempunyai kaitan rapat dalam prosedur mengendali pelajar agresif iaitu
kaunselor dan guru disiplin yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan
Tagasan, Semporna sahaja. Peserta kajian yang dipilih mestilah sekurang-kurangnya
sudah mempunyai latar pengalaman mengajar yang melebihi 3 tahun. Tujuan kajian

8
ini juga adalah untuk meninjau pandangan guru-guru yang terlibat mengenai isu-isu
berkaitan pelajar yang bertingkah laku agresif dan hanya menggambarkan kes-kes
yang berlaku di sekolah terpilih. Kajian ini hanya menggunakan instrumen temu bual
sahaja sebagai dapatan data. Justeru itu, dapatan kajian ini sepenuhnya bergantung
kepada keupayaan informan untuk menjawab setiap soalan temu bual yang
diberikan. Kajian ini adalah berbentuk kajian kes, oleh itu walaupun dapatan kajian
dapat memberi penerangan, interpretasi dan pemahaman terhadap kes yang ingin
dikaji tetapi dapatan kajian tidak boleh digeneralisasikan. Oleh itu data dan hasil
kajian ini tidak boleh digunakan untuk membuat generalisasi ke atas isu-isu pelajar
yang bertingkah laku agresif di seluruh Malaysia.

1.8 Definisi Operasional

Istilah-istilah dalam konteks kajian dijelaskan seperti berikut;

1.8.1 Persepsi

Persepsi ialah gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran tentang sesuatu,
pandangan menerusi pancaindera atau tanggapan. Persepsi pada hakikatnya adalah
proses kognitif yang dialami setiap orang di dalam memahami tentang sesuatu
perkara baik melalui penglihatan, pendengaran, penghayatan dan perasaan
sementara itu yang dimaksud proses kognitif adalah proses atau kegiatan mental
yang dilakukan secara sedar dan nyata seperti berfikir, mengetahui, memahami dan
kegiatan konsepsi mental seperti sikap, kepercayaan dan pengharapan yang
kesemuanya merupakan faktor penentu atau yang mempengaruhi perilaku.

Persepsi merupakan aktiviti yang saling bergabung dalam diri individu, maka
apa yang ada dalam diri individu tersebut akan turut aktif dalam membentuk
persepsi. Oleh itu persepsi dapat dibentuk kerana perasaan, kemampuan berfikir,
pengalaman-pengalaman individu yang berbeza antara satu sama lain, maka dalam
memberikan persepsi sesuatu perkara, hasilnya mungkin akan berbeza antara
individu satu dengan individu yang lain (Davidoff dalam Walgito, 2000) . Persepsi

9
seseorang tidak hadir begitu saja, tentu ada faktor yang mempengaruhi. Faktor-
faktor ini yang menyebabkan mengapa dua orang yang melihat sesuatu mungkin
memberikan interprestasi yang berbeza tentang dalam menghuraikan sesuatu yang
dilihatnya. Secara umum dapat dikatakan bahawa terdapat 3 faktor yang
mempengaruhi persepsi seseorang terhadap sesuatu iaitu:

i. Diri orang yang berkenaan itu sendiri, apabila seseorang melihat


sesuatu dan berusaha memberikan interprestasi tentang apa yang
dilihatnya itu, ia dipengaruhi oleh karakteristik individu yang turut
mempengaruhi seperti sikap, motif, kepentingan, minat, pengalaman
dan harapan.

ii. Sasaran persepsi tadi tersebut sasaran itu mungkin berupa orang,
benda atau peristiwa. Sifat-sifat sasaran itu biasanya berpengaruh
terhadap persepsi orang yang melihatnya. Dengan kata lain gerakan,
suara, ukuran, tindak-tanduk dan ciri-ciri lain dari sasaran persepsi itu
turut menentukan cara pandang orang melihatnya.

iii. Faktor situasi, persepsi harus dapat dilihat secara kontekstual yang
berarti dalam situasi mana persepsi itu timbul perlu juga diberi
perhatian. Situasi merupakan fakta yang turut berperanan dalam
mengembangkan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara
(Siagian, 1989).

Justeru, definisi persepsi yang beroperasi dalam kajian ini ialah suatu
pendapat dan pandangan seseorang terhadap sesuatu atau sesorang berdasarkan
pengalaman, pemerhatian dan jangkaan minda. Dalam konteks kajian ini, persepsi
merupakan terjemahan pendapat para peserta kajian terhadap isu-isu pelajar agresif
yang penah dialami, dikendali atau diperhati sepanjang perkhidmatan sebagai guru
di lokasi kajian.

10
1.8.2 Guru Pendidikan Islam

Secara umumnya, guru ditakrifkan sebagai individu yang bertanggungjawab


menyampaikan ilmu atau mengajar juga boleh diseut sebagai tenaga pengajar atau
pendidik (Hawkins, 2003). Mook Soon Sang (2009) pula menyatakan bahawa guru
adalah pendidik dan pengasuh bertujuan untuk melaksanakan tugas-tugas yang
berkaitan aspek mendidik dan mengasuh muridnya.

Dalam konteks pendidikan Islam perkataan “pendidik” sering disebut sebagai


murabbi, mu’allim, mu’addib, mudarris, dan mursyid. Menurut peristilahan yang
digunakan dalam pendidikan dalam konteks Pendidikan Islam, kesemua istilah ini
mempunyai definisi dan konsep tersendiri serta tugasan masing-masing seperti
berikut:-

i- Murabbi
seseorang yang mendidik dan mempersiapkan orang yang di didik agar
mampu mengaplikasi serta mampu mengatur dan memelihara hasil
kreativitinya supaya tidak menimbulkam mudarat bagi dirinya, masyarakat
sekelilingnya dan alam di sekitarnya.

ii- Muallim
merupakan seseorang yang menguasai ilmu dan berkemampuan untuk
mengembang dan menyebarkan ilmu tersebut serta menjelaskan
fungsinya dalam kehidupan. Mampu memberi pencerahan dari sudut teori
dan praktikal, sekaligus melakukan pemindahan ilmu pengetahuan itu dari
aspek mental dan fizikal.

iii- Muaddib
adalah seorang guru yang mampu mempersiapkan pelajar untuk
mengambil tanggungjawab terhadap pembangunan generasi berkualiti
pada masa hadapan.

11
iv- Mudarris
seseorang yang memiliki kepekaan intelektual dan sering memperbaharui
pengetahuan secara berterusan serta berusaha melahirkan pelajar yang
cerdas dan berketerampilan seiring dengan bakat dan kemampuan
mereka.

v- Mursyid
adalah seseorang yang mampu memperlihatkan dirinya sebagai contoh
ikutan serta penasihat kepada anak-anak didiknya.

Melalui perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa definisi operasi bagi


guru Pendidikan Islam dalam kajian ini adalah sekumpulan individu yang
mengamalkan ajaran agama Islam dan mengajarkannya kepada orang lain. Mereka
ialah golongan arif dan alim serta boleh dijadikan pakar rujuk berkenaan hukum
hakam dalam Islam.

1.8.3 Tingkah Laku

12
Dari sudut istilah tingkah laku adalah suatu kegiatan atau aktiviti yang bersangkutan
yang dapat diamati secara langsung mahupun tidak. Tingkah laku manusia adalah

suatu aktiviti yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Secara oprasional tingkah laku
dapat diertikan sebagai suatu respon organisme atau seseorang terhadap
rangsangan dari luar subjek tersebut. Tingkah laku adalah sebagai suatu aksi reaksi
organism terhadap lingkungan. Tingkah laku baru terjadi apabila ada sesuatu yang
diperlukan untuk menimbulkan reaksi, yakni yang disebut rangsangan. Bermaksud,
rangsangan tersebut akan menghasilkan reaksi atau perilaku tertentu.

Menurut Ribert Kwick (1974), tingkah laku adalah tindakan atau perilaku


suatu organisme yang dapat diamati dan bahkan dapat dipelajari. Secara umumnya
perilaku manusia pada hakikatnya adalah proses interaksi individu dengan lingkungan
sebagai manifestasi nyata bahawa dia adalah makhluk yang hidup. Dalam kata lain,
kes tingkah laku merupakan aktiviti yang timbul kerana adanya stimulus dan respon
serta dapat diamati secara langsung mahupun tidak langsung.

1.8.4 Agresif

Menurut Azizi (2004), agresif ialah sebarang tingkah laku yang dirancang untuk
mencederakan orang lain, iaitu tingkah laku yang harus dielakkan. Kekecewaan,
kejengkelan, dan serangan semuanya mudah menyebabkan seseorang itu berasa
marah. Perasaan marah ini adalah satu daripada unsur yang penting untuk
menghasilkan tingkah laku agresif. Biasanya seseorang yang marah lebih cenderung
untuk bersikap agresif. Ada juga seseorang itu bertindak agresif tanpa merasa
agresif. Oleh itu, faktor untuk mengawal tingakah laku agresif sama penting dengan
menimbulkan perasaan agresif. Pengetahuan lampau merupakan mekanisme penting
untuk menentukan manusia yang bertingkah laku agresif.

Agresif secara umumnya didefinisikan sebagai tingkah laku yang menyakiti


orang lain. Selain itu tindakan agresif ini mempunyai kaitan dengan tingkahlaku
antisosial dan delikuen (Connor, 2002). Manakala menurut Baron dan Bryne (1981),
agresif adalah tingkahlaku yang diarahkan ke matlamat untuk merosak,

13
mencederakan dan menyakiti orang lain. Menurut Baron dan Richardson (1994),
tingkahlaku agresif ialah sebarang tingkahlaku yang bermotivasikan dari kemarahan,
keganasan dan sifat ingin bertanding. Tingkahlaku di arahkan kepada orang atau
objek lain ataupun diri sendiri dan boleh dilihat sebagai satu tujuan untuk
mengganggu, membahayakan dan memusnahkan sesuatu.

Dari segi sejarah, ahli jenayah merujuk tingkah laku melanggar peraturan
biasa iaitu agresif sebagai pesalah. Kenyataan terdapat ratusan kajian telah
menggunakan istilah agresif untuk menerangkan tingkah laku menyimpang atau
tingkah laku biasa. Ahli psikologi pula menggunakan istilah seperti tingkah laku anti-
sosial, tingkah laku bermasalah dan kelakuan bermasalah atau kecelaruan. Reed &
Baali, (1972) menyatakan bahawa ahli sosiologi, psikologi, psikiatri dan guru
mempunyai istilah yang berbeza bagi kumpulan agresif ini. Pada pandangan ahli
sosiologi, pesalah juvana adalah individu yang tidak sahaja melakukan tingkah laku
agresif tetapi dilabel sebagaimana masyarakat bertindak balas terhadapnya. Ahli
psikologi pula menumpukan bukan sahaja pada tingkah laku agresif tetapi termasuk
cara juvana berfikir manakala ahli psikiatri pula menitikberatkan tahap emosi dan
sikap yang dikenali sebagai patologi mental.

Masyarakat mempunyai pandangan berlainan tertakluk pada sama ada


mereka pernah terseksa atau terpengaruh oleh tingkah laku agresif itu. Reed & Baali,
(1972) menjelaskan bahawa tingkah laku agresif ialah tingkah laku yang berlainan
daripada norma-norma biasa yang telah ditetapkan oleh institusi tertentu. Kelainan
ini mungkin boleh diterima atau tidak boleh diterima oleh masyarakat. Stumphauzer
(1986) mentakrifkan pesalah juvana sebagai remaja yang lakukan tingkah laku
agresif. Untuk menjadi pesalah yang rasmi, remaja atau kanakkanak tersebut telah
mencabul undang-undang negara atau kehakiman kerajaan. Salah laku ini boleh
merangkumi ponteng, buli, gangsterisme, merokok, mencuri, peras ugut, menghisap
dadah, perlanggaran disiplin hingga ke jenayah berat.

Menurut Ee (1995), tingkah laku agresif merupakan tindakan untuk


mengeluarkan, mencederakan atau merosakkan punca ancaman atau kekecewaan.
Baron dan Bryne (1981) menukilkan bahawa agresif adalah apa sahaja bentuk
tingkah laku yang diarahkan ke matlamat untuk merosak, menyakiti atau

14
mencederakan orang lain. Secara tuntasnya, definisi agresif yang berfungsi dalam
kajian ini adalah suatu pola sikap yang melampau yang ditunjukkan oleh pelajar
dalam apa juga situasi atau kemungkinan, samada mengakibatkan kerosakan,
kecederaan atau perbuatan yang melampaui batas.

1.9 Kerangka Konseptual

Ciri-ciri

PERSEPSI Guru Pendidikan


Islam Faktor

Strategi Kawalan &


Pantauan

Rajah 1.1 : Kerangka Konsep Persepsi Guru Pendidikan Islam


Terhadap Ciri-Ciri, Faktor dan Strategi Kawalan dan Pantauan Bagi Isu-Isu Pelajar
Yang Bertingkah Laku Agresif.

Rajah 1.1 menunjukkan persepsi guru Pendidikan Islam terhadap ciri-ciri dan faktor
pelajar agresif serta strategi yang digunakan untuk mengawal dan memantau pelajar
yang bertingkah laku agresif. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal
pasti pembolehubah yang boleh dikaitkan dengan sikap agresif pelajar. Pengalaman
para guru di sekolah banyak membantu kajian ini dalam menjelaskan keadaan
sebenar para pelajar yang bertingkah laku agresif.

15
1.10 Rumusan

Di dalam bahagian ini telah membincangkan dengan panjang lebar berkenaan isu-isu
pelajar yang bertingkah laku agresif yang meliputi permasalahan kajian, tujuan
kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, batasan kajian dan definisi istilah yang
berkaitan. Seterusnya perkara yang akan disentuh adalah mengenai tinjauan literatur
mengenai tingkah laku agresif yang berlaku di kalangan remaja terutamanya pelajar
sekolah.

BAB 2

KAJIAN LITERATUR

2.1 Pendahuluan

Tinjauan literatur ini akan menjelaskan mengenai teori penyimpangan (Devian)


tingkahlaku manusia yang diketengahkan oleh ahli psikologi. Ianya bertujuan untuk
memberi kefahaman yang lebih lanjut mengenai fenomena yang melibatkan tingkah
laku agresif pelajar di sekolah. Dengan adanya teori ini, mungkin kita dapat
memahami fenomena ini dengan lebih mudah. Selain itu, bahagian ini juga akan
memberi tumpuan kepada kajian-kajian lalu mengenai tingkah laku agresif.

2.2 Pendekatan Teori

Umumnya, perspektif atau pendekatan teori , memberi perhatian kepada persoalan


utama iaitu sumber, punca atau akar umbi tingkah laku agresif yang terdapat pada
manusia. Teori-teori yang akan dinyatakan adalah berkaitan tentang perkara yang

16
mencetuskan sikap agresif. Dengan adanya pendekatan teori ini, pengkaji akan dapat
melihat dan memahami proses kajian ini Terdapat pelbagai pendekatan teori yang
sering dikaitkan menjadi penyebab kepada tingkah laku agresif, antaranya;

2.2.1 Teori Naluri Agresif

Teori ini adalah satu teori klasik tentang agresif yang telah disarankan oleh Sigmund
Frued dan Konrad Lorenz. Mereka menyatakan setiap manusia dilahirkan dengan
tenaga naluri keagresifan dan tenaga ini membina satu dorongan dalaman yang
harus dipuaskan. Setiap manusia mempunyai naluri mati atau thanatos yang terjelma
dalam bentuk dorongan-dorongan agresif yang menggerakkan kita ke arah
kebinasaan dan keganasan. Oleh itu manusia agresif akibat wujudnya naluri mati ini.
Freud percaya bahawa manusia mempunyai dorongan semulajadi untuk
menghancurkan orang lain (Ma’rof Redzuan 2001).
Naluri agresif manusia akan membentuk dorongan-dorongan yang tertentu
agar naluri tersebut dipuaskan. Cara yang digunakan untuk memuaskan dorongan
tersebut ialah dengan bertingkahlaku agresif sama ada berbentuk antisosial atau
prososial. Menurut Mahmood Nazar (1992), tingkah laku agresif yang dilakukan ini
merupakan proses katarsis iaitu proses meluahkan perasaan secara agresif. Proses
ini dapat dilihat dalam rajah di bawah.

Naluri Membentuk dorongan Tingkahlaku Katarsis


agresif yang harus dipuaskan agresif

Naluri agresif
dapat dipuaskan

RAJAH 1.2
Teori Naluri Keagresifan Sigmund Frued
Sumber: Pengantar Psikologi, 1992, hlm. 335

17
Bermula dengan naluri agresif yang wujud dalam setiap diri individu, manusia
terdorong melakukan sesuatu untuk kepuasan dirinya. Kepuasan ini mungkin
terpaksa dipenuhi dengan aktiviti yang agresif iaitu proses katarsis berlaku.
Seseorang pelajar yang berdendam dan geram terhadap gurunya boleh bertindak
ganas seperti melawan guru, merosakkkan harta benda sekolah dan sebagainya.
Jikalau tenaga keagresifan ini tidak dilepaskan keluar, maka tenaga ini akan
dipendam dan menjadi lebih teruk serta boleh menimbulkan masalah yang lain
kerana individu yang mengalami katarsis akan mempelajari cara untuk
bertingkahlaku agresif (Mahmood Nazar, 1992).

2.2.2 Teori Pembelajaran Sosial (Albert Bandura)

Tingkah laku agresif tidak dapat dinafikan merupakan sebahagian daripada tingkah
laku berisiko remaja. Teori Pembelajaran Sosial yang diperkenalkan oleh Albert
Bandura sangat relevan dengan penyelesaian masalah tingkah laku agresif dan
keganasan. Menurut Bandura (1977), Teori Pembelajaran Sosial didefinisikan sebagai
satu pembelajaran yang berlaku dengan memerhati orang lain melakukan sesuatu
atau menjadikan seseorang sebagai model tingkah laku. Ini bererti persekitaran dan
juga orang-orang yang signifikan akan mempengaruhi tingkah laku. Bandura (1977)
juga menyatakan seseorang individu akan memerhatikan sesuatu tingkah laku
daripada orang lain yang signifikan dengannya dan menyimpan maklumat yang
diperhatikan secara kognitif dan seterusnya mempersembahkan tingkah laku
tersebut. Justeru itu, tingkah laku agresif dipelajari daripada persekitaran social
seperti interaksi dengan keluarga, rakan sebaya, media massa dan konsep kendiri
individu (Mahmood Nazar, 2001).

Di dalam teori Pembelajaran Sosial Bandura (1977), beliau telah membuat


analisis yang menyatakan bagaimana manusia belajar melalui pemerhatian.
Pembelajaran adalah melalui peniruan, mengajuk dan memadan. Biasanya, setiap
individu terutama kanak-kanak akan menilai sesuatu perkara berasaskan kepada

18
perkara yang pernah dilihat oleh mereka daripada orangorang yang signifikan dan
persekitaran. Bandura (1977), mendapati kanak-kanak akan mencontohi tingkah laku
agresif selepas menonton filem yang berunsurkan aksi agresif (Eron, 1982). Menurut
Maarof (2003), Bandura menekankan bahawa manusia belajar dengan cara
memerhatikan tingkah laku orang lain. Pembelajaran pemerhatian, yang dinamakan
juga sebagai pemodelan terhasil apabila manusia atau kanak-kanak memerhatikan
tingkah laku orang lain atau mereka yang signifikan dan mencatatkan kesan tingkah
laku tersebut. Kebanyakan pola percakapan, gaya berpakaian, tingkah laku negatif
dan agresif dan pelbagai tingkah laku dipelajari melalui pemodelan. Remaja atau
lingkungan pelajar cenderung untuk menjadikan ibu bapa, pelakon filem, ahli sukan,
guru-guru dan seumpamanya sebagai model yang menjadi ikutan atau lebih dikenali
sebagai idola. Ini menjelaskan kepada kita mengapa tingkah laku berbeza-beza
mengikut masyarakat dan budaya.

Albert Bandura (1977) juga menganggap pemodelan merupakan suatu


demonstrasi yang penting tentang peranan kognitif dalam pembelajaran. Namun
begitu, tidak semestinya semua tingkah laku model ditiru. Remaja cenderung meniru
tingkah laku yang diberikan peneguhan positif berbanding dengan tingkah laku yang
diberikan hukuman. Sementara itu, sekiranya tidak diketahui peneguhan dan
hukuman yang diperolehi, anak-anak atau remaja cenderung meniru tingkah laku
model yang berstatus tinggi, menarik, yang disukai dan berjaya atau malahan
mereka mengandaikan bahawa tingkah laku mereka itu sering membawa kepada
peneguhan. Bandura (1977) telah menjalankan satu kajian yang menunjukkan hasil
melalui beberapa orang kanak-kanak pra sekolah yang ditunjukkan sebuah adegan
orang dewasa yang memukul patung bernama Bobo. Kemudian, apabila kanak-kanak
tadi dibiarkan bersendirian dengan patung yang lain, mereka telah memukul patung
tersebut sebagai mana telah dilakukan oleh orang dewasa dalam adegan yang telah
dilihat sebentar tadi. Kadar tingkah laku agresif adalah sama seperti apa yang telah
dilakukan oleh orang dewasa pada sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa amat
mudah bagi kanak-kanak meniru sesuatu perlakuan tanpa mengetahui apakah
perlakuan tersebut wajar atau tidak.

Dalam satu kajian lain, Bandura (1977) telah membuat perbandingan antara
tingkah laku ibu bapa yang mempunyai anak yang terlalu agresif dan anak yang

19
terkawal. Teori Bandura (1977), menyatakan bahawa tingkah laku anak sepatutnya
selari dengan tingkah laku ibu bapa. Kajian tersebut mendapati ibu bapa yang
mempunyai anak yang terkawal terdiri daripada ibu bapa yang tidak agresif dan
boleh mengawal tingkah laku mereka, manakala ibu bapa yang mempunyai anak
yang terlalu agresif adalah terdiri daripada mereka yang juga bersikap agresif. Teori
Pembelajaran Sosial menekankan kepada proses peniruan sebagai bertanggung
jawab kepada pembelajaran tingkah laku. Pemerhatian tingkah laku orang lain
merupakan sebagai proses peniruan yang akan membentuk tingkah laku devian
seseorang. Peniruan melalui pemerhatian merupakan satu proses pembalajaran
tanpa penglibatan pengalaman lepas secara langsung (Renfrew, 1997).

2.2.2 Teori Behaviorisme

Ciri dari teori ini adalah mengutamakan unsur-unsur dan bahagian kecil, bersifat
mekanisma, menekankan peranan lingkungan, mementingkan reaksi atau tindak
balas, menekankan pentingnya latihan,mementingkan mekanisma hasil belajar,
mementingkan peranan kemampuan dan hasil belajar yang diperoleh adalah hasil
perilaku yang diinginkan. Pada teori belajar ini sering disebut S-R psikologi ertinya
bahawa tingkah laku manusia dikendalikan oleh ganjaran dan pengukuhan atau dari
lingkungan. Dengan demikian dalam tingkah laku ini terdapat jalinan yang erat
antara reaksi-reaksi tingkah laku dengan rangsangannya. Guru yang menggunakan
pandangan ini berpandapat bahawa tingkah laku remaja merupakan reaksi terhadap
rangsangan dan tingkah laku pula adalah merupakan hasil pembelajaran. Skinner
(1977 ) memfokuskan penelitian tentang perilaku dan menghabiskan kariernya untuk
mengembangkan teori tentang Reinforcement. Beliau percaya bahawa
perkembangan keperibadian seseorang atau perilaku yang terjadi adalah sebagai
akibat dari respon terhadap adanya rangsangan dari luaran. Dengan kata lain, kita
menjadi seperti apa yang kita inginkan kerana mendapatkan hasil dari apa yang kita
inginkan tersebut.

20
Bagi Skinner (1977 ) juga, hal yang paling penting untuk membentuk
keperibadian seseorang adalah melalui hasil dan hukuman. Pendapat ini tentu saja
amat mengabaikan unsur-unsur seperti emosi, fikiran dan kebebasan untuk memilih
sehingga Skinner menerima banyak kritikan atas pandangan ini. Menurut teori
behavioristik, belajar adalah perubahan tingkah laku sebagai akibat dari adanya
interaksi antara stimulus dan respon. Seseorang dianggap telah belajar sesuatu
apabila ia mampu menunjukkan perubahan tingkah laku. Dengan kata lain,
pembelajaran merupakan bentuk perubahan yang dialami oleh siswa dalam hal
kemampuannya untuk bertingkah laku dengan cara yang baru sebagai hasil interaksi
antara rangsangan dan respon. Menurut teori ini, yang terpenting adalah input yang
berupa rangsangan dan keluaran atau output yang berupa respon. Sedangkan apa
yang terjadi di antara rangsangan dan respon dianggap tidak penting kerana tidak
boleh dinilai.

Faktor lain yang juga dianggap penting dalam aliran behavioristik adalah
faktor pengukuhan (reinforcement) adalah apa sahaja yang dapat memperkuat
timbulnya respon. Apabila pengukuhan ditambahkan (positive reinforcement) maka
respon akan semakin kuat. Begitu juga bila pengukuhan dikurangkan (negative
reinforcement) respon pun akan tetap dikuatkan. Pengkaji behavioris menjelaskan
bahawa pembelajaran adalah sebagai suatu proses perubahan tingkah laku
menggunakan pengukuhan dan hukuman sebagai rangsangan untuk merangsang
tingkah laku pelajar. Pendidik yang masih menggunakan kerangka behavioristik
biasanya merencanakan kurikulum dengan menyusun isi pembelajaran menjadi
bahagian-bahagian kecil yang dinilai dengan suatu kriteria tertentu. Kemudian,
bahagian-bahagian tersebut disusun mengikut hierarki bermula dari yang mudah,
sederhana sehingga kompleks (Paul, 1997).

Pandangan teori behavioristik telah cukup lama diguna pakai oleh para
pendidik. Namun dari semua teori yang ada, teori Skinner (1977 ) yang paling besar
pengaruhnya terhadap perkembangan teori belajar behavioristik. Program-program
pembelajaran seperti Teaching Machine, Pembelajaran Berprogram, modul dan
program-program pembelajaran lain yang berpijak pada konsep hubungan stimulus-
respon serta mementingkan faktor-faktor pengukuhan (reinforcement), merupakan
program pembelajaran yang menerapkan teori belajar yang dikemukakan Skinner

21
(1977). Teori behavioristik banyak dikritik kerana seringkali tidak mampu
menjelaskan situasi pembelajaran yang kompleks disebabkan terlalu banyak
pembolehubah atau hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan yang dapat diubah
menjadi sekadar hubungan stimulus dan respon. Teori ini tidak mampu menjelaskan
penyimpangan-penyimpangan yang terjadi dalam hubungan stimulus dan respon.
Pandangan behavioristik juga kurang dapat menjelaskan adanya variasi tingkat emosi
pembelajaran walaupun mereka memiliki pengalaman pengukuhan yang sama.
Pandangan ini tidak dapat menjelaskan mengapa dua remaja yang mempunyai
kemampuan dan pengalaman pengukuhan yang relatif sama, tetapi mempunyai
perilaku yang berbeza terhadap suatu pelajaran. Pandangan behavioristik hanya
mengakui adanya stimulus dan respon yang dapat diamati. Mereka tidak
memperhatikan adanya pengaruh pikiran atau perasaan yang mempertemukan
unsur-unsur yang diamati tersebut.

Teori behavioristik juga cenderung mengarahkan pelajar untuk berfikir secara


linear, konvergen, tidak kreatif dan tidak produktif. Pandangan teori ini bahawa
proses pembelajaran merupakan suatu proses pembentukan, iaitu membawa pelajar
menuju atau mencapai taraf tertentu, sehingga menjadikan pendidik tidak bebas
berkreatif dan berimaginasi. Skinner (1977) dan tokoh-tokoh lain yang mendukung
teori behavioristik ini sememangnya tidak menganjurkan penggunaan hukuman
dalam proses pembelajaran. Namun apa yang mereka sebut dengan pengukuhan
negatif (negative reinforcement) cenderung membatasi pelajar untuk berfikir dan
berimaginasi. Menurut Guthrie (1991), hukuman mempunyai peranan penting dalam
proses pembelajaran. Namun ada beberapa alasan mengapa Skinner (1977 ) tidak
sependapat dengan Guthrie (1991), iaitu pengaruh hukuman terhadap perubahan
tingkah laku sangat bersifat sementara, kesan psikologi yang buruk mungkin akan
terjadi sekiranya hukuman berlangsung dalam suatu jangka masa yang lama.
Hukuman yang mendorong pelajar untuk mencari cara lain meskipun salah dan
berisiko agar mereka dapat membebaskan diri dari hukuman tersebut. Dengan kata
lain, hukuman dapat mendorong seseorang melakukan perkara yang kadangkala
lebih buruk dan berisiko berbanding kesalahan yang dilakukan. Skinner (1977) lebih
percaya kepada apa yang disebutnya sebagai pengukuhan negatif.

22
Pengukuhan negatif tidak sama dengan hukuman. Perbezaannya terletak
pada persoalan bilakah hukuman harus diberikan (sebagai stimulus) agar respon
yang muncul berbeza dengan respon yang sedia ada, sedangkan pengukuhan negatif
(sebagai stimulus) hendaklah dikurangkan agar respon yang sama menjadi semakin
kuat. Sebagai contoh seorang pelajar perlu dihukum kerana melakukan kesalahan.
Jika pelajar tersebut masih melakukan kesalahan yang sama, maka hukuman harus
ditambahkan. Tetapi jika sesuatu yang berlaku tidak menyenangkan pelajar sehingga
ia terdorong untuk melakukan kesalahan, hukuman akan dikurangkan dan
pengurangan ini akan mendorong pelajar untuk memperbaiki kesalahannya, maka
inilah yang disebut sebagai pengukuhan negatif. Lawan dari pengukuhan negatif
adalah pengukuhan positif. Kedua-duanya bertujuan untuk memperkuatkan respon.
Namun bezanya adalah pengukuhan positif menambah hukuman, sedangkan
pengukuhan negatif mengurangkan hukuman demi memperkuat respon.

2.2.4 Model Patterson

Tingkahlaku agresif seseorang didorong daripada perlakuan antisosial. Antisosial


adalah sejenis perbuatan agresif yang menyalahi undang-undang dan nilai
masyarakat. Tingkahlaku antisosial yang serius adalah seperti membunuh, merogol,
rompakan bersenjata menikam, menembak dan sebagainya. Banyak teori-teori yang
telah dihasilkan untuk membuktikan faktor-faktor individu bertingkahlaku antisosial,
misalnya teori kekecewaan oleh Beskowitz dan Model Patterson yang menerangkan
perkembangan tingkahlaku antisosial yang bermula dengan kegagalan keluarga
dalam mengawal disiplin kanak-kanak. Ini dapat dilihat kepada gambarajah di bawah
yang menjelaskan bagaimana bermulanya perkembangan tingkahlaku antisosial yang
boleh membawa kepada perlakuan agresif.

Early childhood Middle childhood Early adolescence

Rejection
by normal
peer
Poor
Commitment
parental
23 to deviant
discipline
peer group
and
monitoring
Child
Delinquency
conduct
problems

Academic
failure

RAJAH 1.3 : Model Patterson Yang Menerangkan Tingkah Laku Antisosial Yang
Bermula Dengan Kegagalan Keluarga Dalam Mengawal Displin Kanak-Kanak

Menurut Patterson, perkembangan tingkah laku anti sosial bermula sejak awal
kanak-kanak lagi. Ini dibuktikan dalam model yang telah di bina oleh beliau. Oleh
kerana tingkahlaku antisosial ini bermula sejak awal kanak-kanak, maka keluarga
adalah faktor yang banyak menyumbang kepada sikap antisosial remaja. Selain itu,
dalam model perkembangan antisosial, Patterson menyatakan bahawa perlakuan ini
bermula di sebabkan kawalan disiplin yang kurang serta pengaruh persekitaran
keluarga yang sering mengalami tekanan dan gemar menggunakan paksaan. Dalam
situasi ini, ahli keluarga cuba mengawal antara satu sama lain dengan pelbagai cara
seperti menjerit, mengugut dan memukul (Sigelman & Rider, 2003).

Bertitik tolak daripada faktor keluarga ini, pelajar terdorong untuk bertindak
agresif di sekolah. Ianya juga menyumbang kepada perkembangan tingkahlaku
permusuhan, devian, agresif dan kurang kawalan diri. Pelajar ini tidak diterima oleh
rakan sebaya di sekolah, sering disalahkan oleh guru dan gagal dalam akademik,
bermusuh dengan rakan sedarjah, bersatu menubuhkan clique kumpulan devian
yang berkenderungan tidak mementingkan akademik dan sebagainya. Ciri-ciri yang
ditunjukkan oleh pelajar-pelajar yang berkelakuan agresif ini perlu diberi perhatian
oleh guru-guru dan pentadbir sekolah supaya perkara yang lebih buruk tidak terjadi
dan dapat dikawal daripada terus merebak.

2.2.5 Teori Kekecewaan-Agresif

24
Teori Kekecewaan Agresif ini menyatakan bahawa tingkah laku devian agresif ialah
salah satu tindak balas semula jadi terhadap kekecewaan yang dialami oleh manusia.
Menurut Sigmund Freud (1950) melalui teori psikoanalisisnya, menyatakan bahawa
setiap manusia secara semula jadinya menginginkan keseronokan dan cuba
mengelak kesakitan. Apabila kedua-dua keinginan itu tidak dapat diperolehi oleh
manusia, manusia akan bertindak agresif. Setiap individu mempunyai kecenderungan
secara semula jadi atas faktor biologi menjadi agresif bila kecewa. Kenyataan ini
disokong melalui hipotesis kekecewaan-agresif yang menyatakan bahawa tingkah
laku agresif adalah disebabkan kekecewaan.

Pernyataan ini telah disokong oleh Kenneth dan Moyer (1961) yang telah
mengemukakan hipotesis kekecewaan agresif. Durkheim (1987) berpendapat
perasaan kecewa yang dialami oleh pelajar merupakan satu faktor penyebab kepada
perlakuan gengsterisme di sekolah. Penyelidik ini berpendapat tekanan yang dialami
oleh pelajar untuk mencapai gred yang baik dalam peperiksaan dan tindakan disiplin
yang keras membangkitkan perasaan kecewa dan seterusnya perlakuan
gengsterisme berlaku di sekolah. Berdasarkan teori psikoanalisis, Kenneth dan Moyer
(1961) telah mengemukakan hipotesis kekecewaan-agresif. Menurut teori
kekecewaan-agresif, tingkah laku agresif adalah disebabkan oleh kekecewaan. Setiap
individu mempunyai kecenderungan secara semula jadi atas faktor biologi menjadi
agresif bila kecewa.

2.2.6 Teori Ajukan Sosial

Selain daripada teori-teori di atas, terdapat teori lain yang dapat menerangkan
tentang peranan ibu bapa dan rakan sebaya dalam perkembangan tingkah laku
delinkuen remaja. Teori tersebut adalah Teori Ajukan Sosial yang telah diperkenalkan
oleh Moffitt (1993). Teori Ajukan Sosial ini menerangkan mengapa seseorang itu
mula terlibat dengan kumpulan rakan sebaya devian semasa remaja. Menurut Moffitt
(1993), wujud jurang kematangan semasa seseorang itu mencapai tahap
keremajaan, keadaan ini terjadi apabila seseorang itu telah mencapai tahap
kematangan bilologikal namun masih mempunyai tahap pemikiran sama seperti
kanak-kanak. Oleh kerana, seseorang itu mencapai tahap kematangan biologi seawal

25
umur 10 tahun namun masih tidak mempunyai panduan yang betul untuk diguna
semasa zaman dewasa, oleh itu seseorang remaja terpaksa untuk mencari jalan lain
sebagai tuntutan status kedewasaan mereka.

Dalam keadaan ini, remaja akan tertarik dengan rakan sebaya dan kumpulan
rakan sebaya lain yang sama seperti remaja tersebut iaitu berada di dalam proses
mencari tingkah laku kedewasaan dan mencapai status untuk menjadi dewasa.
Kajian lain menyasarkan bahawa interaksi antara ibu bapa dan anak serta penolakan
rakan sebaya merupakan faktor perantara dalam pembangunan tingkah laku negatif
remaja. Dishion et al. (1994), menggunakan model tekanan dan pertemuan untuk
menerangkan perkembangan tingkah laku negatif. Dalam model ini, ketidak sejajaran
penguatan daripada ibubapa kepada anak mereka merupakan punca tekanan dan
tingkah laku anti sosial. Tingkah laku ini kemudiannya terbawa-bawa kepada
keadaan lain seperti hubungan dengan rakan sebaya. Tingkah laku anti-sosial ini
menyebabkan kepada keadaan remaja menghadapi masalah penolakan daripada
rakan sebaya. Kegagalan dalam pemilihan rakan sebaya tersebut pula, menyebabkan
remaja terpaksa bertukar kepada tingkah laku negatif dan sterusnya bergaul dengan
rakan sebaya yang negatif.

Dalam keadaan lain, bagi mentafsirkan tentang teori ajukan sosial, model ini
menerangkan bahawa remaja akan mencari kumpulan rakan sebaya yang negatif
apabila mereka gagal dalam pengalaman pertama mereka dengan kumpulan rakan
sebaya yang normal. Penolakan daripada rakan sebaya menyebabkan keperluan
sosial remaja tidak dapat dipenuhi, yang mana remaja kemudiannya memilih
kumpulan rakan sebaya yang lain untuk berkongsi tingkah laku aggresif mereka.
Teori Ajukan Sosial Sebagai Model Kajian Daripada teori-teori berkaitan dengan
tingkah laku negatif yang telah diterangkan di atas. Pengkaji telah memilih Teori
Ajukan Sosial yang telah diperkenalkan oleh Moffitt (1993) sebagai model untuk
mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi masalah tingkah laku agresif di kalangan
pelajar sekolah. Teori ini sangat sesuai digunakan, kerana teori ini melihat tingkah
laku negatif sebagai tingkah laku yang dipelajari dan bukannya satu tingkah laku
yang wujud secara semula jadi dalam diri individu. Teori ini menunjukan proses
bagaimana bermulanya masalah tingkah laku agresif seseorang remaja itu. Menurut
teori ini seseorang remaja itu akan mencapai tahap kematangan biologi seawal umur

26
10 tahun Moffit (1993), tetapi pada peringkat umur ini remaja tersebut masih tidak
mengenali cara hidup dan sikap yang sesuai dengan mereka. Dalam keadaan ini,
individu yang paling penting dalam menentukan kehidupan remaja ialah ibubapa
pelajar itu sendiri. Penguatan daripada ibu bapa kepada anak mereka merupakan
punca tekanan dan tingkah laku anti sosial.

Tingkah laku ini kemudiannya terbawa-bawa kepada keadaan lain seperti


hubungan dengan rakan sebaya. Apabila remaja yang tidak mendapat penguatan
yang secukupnya daripada ibubapa, mereka mungkin gagal dalam pergaulan dengan
rakan sebaya yang seterusnya terpaksa mencari rakan sebaya yang negatif. Pada
keadaan tersebut bermulalah masalah tingkah laku agresif. Perkembangan tingkah
laku dan penglibatan dengan kumpulan rakan sebaya negatif boleh difahami melalui
rangka kerja yang diperkenalkan oleh Bronfenbrenner (1979). Menurut teori yang
diperkenalkan oleh beliau, seseorang individu bergaul dengan berbagai sistem dalam
kehidupan harian. Mikrosistem seperti rumah dan sekolah, merupakan perkara yang
kanak-kanak akan terlibat secara langsung. Tingkah laku yang dipelajari daripada
salah satu mikrosistem akan terbawa-bawa kepada mikrosistem yang lain. Dalam
keadaan ini, tingkah laku yang dipelajari dari rumah, dalam konteks hubungan
ibubapa dan anak, akan terbawa-bawa ke sekolah dan digunakan dalam
menjalankan hubungan dengan rakan sebaya. Manakala faktor penolakan daripada
rakan sebaya akan mengundang kepada penglibatan dengan rakan sebaya yang
negatif. Kesan daripada persekitaran rumah merupakan faktor utama di dalam kajian
tentang kanak-kanak dan remaja, iaitu sebagai penyebab mereka cenderung untuk
bergaul dengan sistem lain dalam kehidupan mereka (Jackson & Fondacaro, 1999).

2.3 Kajian Lepas dan Literatur Berkaitan

Tingkah laku agresif yang ditunjukkan oleh pelajar semakin membimbangkan.


Banyak kajian telah dilakukan untuk mengkaji keseriusan masalah ini. Kajian-kajian
berkenaan faktor-faktor pelajar berkelakuan agresif memberi ruang kepada pengkaji
untuk melihat secara lebih dekat persoalan faktor dan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh
pelajar yang bertindak ganas ini di samping mencari jalan penyelesaian terhadap isu
tersebut. Pada zaman sekarang, tingkah laku agresif dianggap bagaikan satu wabak

27
yang semakin merebak di kalangan manusia. Tambahan pula, terdapat banyak berita
yang melaporkan tentang kes-kes berunsur tingkah laku agresif yang melibatkan
golongan remaja dan awal dewasa. Golongan yang dimaksudkan adalah termasuk
pelajar sekolah dan pelajar yang menuntut di pusat pengajian tinggi. Pembongkaran
kes jenayah remaja bermula dari pembunuhan seorang pelajar berpunca daripada
peras ugut wang RM5 sahaja. Rentetan peristiwa itu pihak polis telah mengaitkan
kes-kes yang tidak sihat dilakukan oleh pelajar seperti terlibat dadah, pembunuhan,
kongsi gelap, curi, pecah rumah dan sebagainya. Sehingga kini, lebih 100 tangkapan
telah dibuat di seluruh negara. (Berita Harian, 26 Februari 1997:3 dalam kajian Ishak
Harun, Azman Konil dan Ahmad Mohd. Yasin, 2004).

2.3.1 Kajian Ciri-Ciri Pelajar Agresif

Cornett, M. H. dalam Kauffman (1993) memberi gambaran mengenai ciri-ciri pelajar


yang mengalami Aggressive Conduct Disorder sebagai seorang yang mempunyai
desakan yang melampau, suka berhujah dengan rakan sebaya dan tingkah laku
fizikalnya yang agresif. Pelajar ini juga menunjukkan respon yang mendadak sama
ada dalam akademik maupun tingkah laku sosial. Mereka juga tidak berfikir terlebih
dahulu sebelum memberi respon, contohnya apabila ditanya soalan mereka akan
bertindakbalas serta merta tanpa memikirkan jawapannya. Ini terjadi kerana para
pelajar ini lemah dalam menyelesaikan masalah. Oleh itu, mereka tidak dapat
menyelesaikan konflik secara positif.

Cotton (2001) menyatakan masalah disiplin murid adalah isu global. Misalnya,
pada tahun 2012 di Amerika Syarikat, perbahasan mengenai masalah disiplin murid
sekolah kerajaan menduduki tempat kedua dalam bancian yang dijalankan oleh Phi
Delta Kappa mengenai perspektif masyarakat terhadap sekolah kerajaan (Lowell &
Gallup, 2012). Dalam bancian tersebut, 43 peratus peserta menyatakan salah laku
murid merupakan masalah utama dan perlu perhatian serius. Implikasinya,
sebahagian guru di Amerika Syarikat terdorong untuk bertukar kerjaya kerana murid
serta ibu bapa telah mula berani untuk mengambil tindakan undang-undang
terhadap pihak sekolah (Public Agenda with Support from Common Good , 2013).
Selanjutnya, di Britain, kajian Department of Education England (2012) mengenai

28
disiplin murid menemui setiap sebuah daripada lima buah sekolah menengah di
Britain dikategorikan sebagai “kurang baik”.

Di Singapura, keseriusan masalah disiplin murid dinyatakan oleh Teh (2013)


bahawa pada tahun 1980-an dan 1990-an, masalah utama mengenai disiplin murid
adalah berkaitan dengan persekitaran bilik darjah. Murid kurang mendengar nasihat
guru, mengganggu proses PdPc dengan membuat bising di dalam bilik darjah,
mengganggu murid lain dan tidak melengkapkan tugasan sekolah. Namun, bermula
tahun 2000, masalah tersebut semakin meruncing dengan penglibatan murid dalam
penyalahgunaan dadah, buli dan hubungan seks. Di China, dasar buka pintu oleh
kerajaan telah menyebabkan generasi muda mula dingin dengan amalan murni yang
diajarkan oleh Confucius. Implikasinya, 45 peratus guru sekolah rendah
menghabiskan waktu mereka di sekolah untuk menyelesaikan masalah disiplin murid
(Shen, 2009).

Malah, kajian Shen, Xianchen, dan Hiroshi (2000) serta Ding (2008)
menggambarkan suasana menjadi semakin kritikal dengan penglibatan murid dalam
vandalisme, penyalahgunaan dadah, ugutan, gangguan murid lain, menganggotai
kumpulan samseng dan mencuri. Begitu juga di Malaysia, masyarakat semakin
bimbang dengan peningkatan kes jenayah yang melibatkan murid. Misalnya, kajian
tinjauan Marzita Abdullah (2003) mengenai masalah disiplin murid di Malaysia
sepanjang tahun 2002 sehingga 2004 menemui seramai 5,807 murid ditangkap di
luar kawasan sekolah dalam operasi ponteng sekolah oleh anggota Polis Diraja
Malaysia. Jumlah tersebut yang melibatkan seramai 4097 orang murid lelaki dan
1710 murid perempuan terlibat dalam tangkapan sepanjang operasi berkenaan.

Selain itu, kajian oleh James Garbarino (2002) menunjukkan kebanyakan


yang melakukan kesalahan juvana adalah terdiri daripada mereka yang mengalami
masalah sosial dan tidak tahu menyelesaikan masalah. Mereka juga dicirikan sebagai
seorang yang ganas, tidak dapat mengawal tingkah laku dan selalu mengikut gerak
hati atau naluri. Mereka juga kurang sensitif terhadap persekitaran sosial dan lebih
suka mendatangkan mudarat serta mempunyai niat untuk merosak dan
mendatangkan bahaya kepada orang lain. Antara ciri lain yang ditunjukkan ialah
mereka mudah memberi respon yang agresif . Garbarino (2002) juga menambah

29
remaja yang didedahkan dengan suasana yang ganas berkemungkinan juga membei
tindakbalas yang ganas.

Menurut Arieff Salleh dan Wardah Mokhtar (2003) menyatakan bahawa


kecelaruan personaliti antisosial banyak berlaku di kalangan lelaki. Antara cirinya
ialah suka menipu dirinya dan juga orang lain, lari dari rumah, tidak suka belajar,
melawan guru, suka bergaduh, mencuri, melakukan hubungan seks tanpa nikah dan
melanggar peraturan yang dibuat oleh masyarakat. Individu yang terlibat dalam
masalah ini sukar menyedari berhubung perilakunya yang sumbang dan mengambil
masa yang panjang untuk membetulkan semula perilaku tersebut.

Selain itu, antara ciri yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dan remaja yang
bertingkah laku agresif ialah mereka tidak menunjukkan pencapaian yang baik di
sekolah. Mengikut analisis yang dilakukan oleh Maguin & Loeber (1996) dalam
Moeller (2001) mendapati 35 % kanak-kanak yang rendah pencapaian akademik
lebih berkecenderungan akan menjadi delinkuen berbanding dengan 20% yang baik
dalam bidang akademiknya. Antara sebabnya ialah kanak-kanak yang mempunyai
kemahiran akademik yang lemah akan berasa kecewa dan hilang motivasi untuk
meningkatkan akademik dan seterusnya menjadi antisosial dan bertingkahlaku
agresif.

Terdapat dua kategori tingkah laku agresif di kalangan pelajar iaitu berbentuk
instrumental (penyerang proaktif) dan matlamat (penyerang reaktif). Tingkah laku
agresif yang instrumental ialah berkaitan dengan sesuatu tujuan untuk mendapatkan
sesuatu. Contohnya mencederakan sesuatu atau seseorang untuk mendapatkan
sesuatu atau hendak menang dalam sesuatu permainan. Tingkah laku ini bukan
bertujuan untuk mencederakan tetapi bertujuan untuk mendapatkan matlamat yang
diingini. Golongan ini percaya keagresifan dapat mendatangkan keuntungan dan
harga diri dapat dipertingkatkan dengan mendominasi orang lain sebelum perkara
yang serius berlaku.

Tingkah laku yang berbentuk matlamat (penyerang reaktif) mempunyai


tujuan untuk mecederakan pihak lain. Contohnya mencederakan sesuatu kerana
perasaan benci atau iri hati. Golongan ini bersikap bermusuhan yang tinggi dan

30
bertindak balas agresif berbanding golongan lain (Azizi, 2004). Dari sudut biologi,
Maccoby dan Jacklin (1980) berpendapat remaja lelaki lebih agresif berbanding
remaja perempuan. Olweus (1980) pula mendapati remaja lelaki berumur 16 tahun
dan suka membuli rakannya menganggap mereka agresif dari segi pertuturan dan
fizikal biasanya mempunyai tahap testosterone yang tinggi berbanding remaja lelaki
yang tidak agresif.

Terdapat tiga aspek utama yang dikaitkan dengan dorongan keagresifan. Tiga
aspek itu ialah:

i- Tenaga bantuan/ganjaran

Mekanisme pelajaran yang tertama berlaku ialah tenaga


bantuan/ganjaran. Apabila tingkah laku tertentu diberikan ganjaran,
individu tersebut menjadi lebih suka mengulangi pada masa akan
datang. Sebaliknya apabila dihukum, dia jarang mengulangi kesilapan
itu (Azizi, 2004). Kesimpulannya tingkah laku agresif ialah sempadan
utama mempelajari tingkah laku dan tenaga bantuan ialah fasilitator
utama bagi keagresifan.

ii- Peniruan

Peniruan ialah mekanisme lain yang berbentuk tingkah laku. Semua


orang menpunyai kecenderungan yang tinggi untuk meniru. Peniruan
ini berlanjutan kepada hampir semua tingkah laku termasuk
keagresifan (Azizi, 2004). Keagresifan kadang kala bukan sahaja tidak
diperlukan tetapi dibenarkan dan diperlukan, contohnya ketika
diserang. Tingkah laku ini dibentuk dan ditentukan oleh apa yang
dilakukan oleh orang lain dan diperhatikan oleh pelaku. Tindakan
agresif banyak dicetuskan akibat daripada peniruan dan pemerhatian
terhadap tingkah laku orang lain. Pelajar yang mulanya menjadi
pemerhati terhadap pelakuan agresif, kemudiannya akan turut terlibat.

31
Menurut Olweus (1998), mengapa pemerhati menjadi agresif
dan turut melakukan perkara yang sama adalah kerana wujudnya
peniruan. Mangsa tindakan agresif pula akan bertukar menjadi agresif
akibat daripada peniruan juga. Mereka akan melepaskan kemarahan
terhadap mangsa yang lebih lemah dan seterusnya melakukan apa
yang telah mereka alami.

iii- Naluri

Sigmund Freud (1950) berpendapat bahawa keagresifan disebabkan


oleh faktor naluri biologi yang mewujudkan musuh dorongan desakan
kebebasan. Manusia mempunyai tanggapan antara dorongan
membina atau kemusnahan. Dorongan semula jadi atau naluri mati
adalah semula jadi, namun naluri ini tetap mewujudkan dorongan
musuh menuntut pembebasan.

Zaman remaja merupakan satu tempoh kehidupan yang diselubungi oleh


harapan, cabaran, dan ketegangan yang tertentu. Antara lain, tiga faktor yang
memberi sumbangan kepada kegeloraan hidup di zaman remaja ialah perubahan
fizikal yang amat cepat dan pencapaian kematangan jantina, kedudukan remaja
sebagai manusia pinggiran dan keperluan untuk menyediakan diri bagi dunia dewasa.
(Nik Aziz Nik Pa, 1998). Erikson (1963) menjelaskan bahawa pada zaman remaja,
seseorang berhadapan dengan satu cabaran kritis, iaitu pembentukan dan
pengembangan identiti diri. Kegagalan untuk mengatasi cabaran tersebut boleh
membuat remaja mengalami krisis kekeliruan tentang peranan hidup mereka.

2.3.2 Kajian Faktor Tingkah Laku Agresif

Menurut kajian yang tingkah laku agresif yang melibatkan media massa
dijalankan oleh Prof. Madya. Md. Nor Othman di dalam Samsudin A.Rahim (1998),
didapati bahawa berbanding remaja bukan Melayu, remaja Melayu mempunyai tabiat
media yang paling negatif di mana rata-ratanya lebih sukakan majalah berbentuk
murahan dan hiburan seperti URTV, Variapop, Gila-Gila, Gelihati, Ujang dan

32
sebagainya berbanding dengan majalah yang berbentuk ilmiah seperti Dewan Siswa,
Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan sebagainya. Begitu juga, dengan program-
program TV yang ditonton, didapati mereka lebih meminati program berbentuk
hiburan seperti rancangan Melodi, Pop Kuiz melebihi program yang berbentuk
keagamaan dan maklumat semasa selain mengetengahkan penggunaan internet
yang disalahgunakan di mana remaja dengan mudah dapat meneroka laman-laman
web seks sekaligus membentuk ciri-ciri agresif dalam diri mereka.

Menurut kajian Zahiruddin (2001), tingkah laku yang sering dilakukan oleh
pelajar-pelajar kesan menonton rancangan media yang berunsurkan keganasan ialah
seperti berjudi, mencuri, melawan guru, melawan pengawas, memeras ugut,
membuli, menyertai kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, membawa senjata
berbahaya, mencabul kehormatan, mengancam, menceroboh, mengedar dadah,
menunjuk perasaan dan bertaruh secara besar-besaran dalam sesuatu permainan.
Kajiannya juga mendapati pada tahun 2000, tingkah laku jenayah dalam kalangan 52
pelajar-pelajar mencatatkan 970 kes berbanding dengan 1600 kes pada tahun
sebelumnya yang memperlihatkan penurunan sebanyak 630 kes. Walaupun
perangkaan kajiannya mencatatkan penurunan secara keseluruhan kegiatan jenayah
tetapi jumlah pelajar yang terlibat dalam kes menyalahgunakan dadah meningkat.

Dalam kajian Zahiruddin (2000) pula, mendapati pada tahun 2000 terdapat
sebanyak 96 kes berbanding dengan 31 kes pada tahun 1999. Ini mencatatkan
peningkatan sebanyak 83.33%. Menurut kajiannya, media merupakan di antara
penyumbang utama terhadap pembentukan ciri-ciri tingkah laku agresif dalam
kalangan pelajar. Beliau merumuskan tingkah laku ini adalah akibat daripada contoh-
contoh negatif yang dipertontonkan oleh media dan menjadi salah satu faktor
mempengaruhi jiwa pelajar ke arah tingkah laku devian dan delinkuen atau lebih
tepat lagi kesalahan juvana.

Kajian yang hampir sama juga dilakukan oleh Musa (2000) terhadap para
pelajar sekolah menengah di sekitar Lembah Kelang dan Kuala Lumpur. Analisa
kajiannya mendapati kesan menonton kisah-kisah yang memaparkan keganasan seks
menyebabkan pelajar-pelajar melakukan tingkah laku lucah dalam kategori berumbu-
cumbuan, berkhalwat, membawa bahan lucah ke sekolah, mengintai pelajar

33
perempuan, menggunakan kata-kata lucah, isyarat lucah, melukis, menulis kata-kata
dan gambar lucah. Kajiannya juga mendapati ramai pelajar terlibat dengan tingkah
laku seks seperti bercumbu-cumbuan dan berkhalwat yang mencatat peratusan
sebanyak 31.8% daripada jumlah responden yang dikaji. Kajiannya merumuskan
peningkatan tahap tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar adalah disebabkan
oleh punca makro iaitu peranan yang dimainkan oleh media massa.

Isu tingkah laku agresif di kalangan pelajar boleh dilihat daripada pelbagai
sudut sumber. Langkah mengenalpasti isu ini amat penting kerana hanya dengan
mengetahui punca-punca maka strategi penyelesaian yang berkesan dapat diatur
dengan rapi. Setakat ini telah banyak kajian yang dilakukan oleh para sarjana
mengenai masalah tingkah laku agresif para remaja atau pelajar sekolah. Moeller
(2001) menyatakan terdapat banyak faktor yang menjadi punca tingkah laku agresif,
antaranya ibubapa yang agresif berkecenderungan mempunyai anak yang agresif,
faktor media massa, faktor sosial dan budaya, rakan sebaya, genetik dan biologikal.
Begitu juga dengan dengan status sosioekonomi (Farrington, 1978) dan pengaruh
jiran (Glueck & Glueck, 1968).

Selain itu, tingkah laku agresif juga disebabkan oleh faktor dalaman yang
membangkitkan dan mengarahkan tingkah laku ke arah sesuatu matlamat. Mengikut
konsep motivasi, tingkah laku agresif tidak muncul secara kebetulan, tetapi
disebabkan oleh faktor-faktor yang berasal dari dalaman dan luaran seseorang.
Faktor dalaman seperti kekecewaan (frustration) yang dialami oleh seseorang.
Kekecewaan bermaksud reaksi seseorang individu terhadap halangan ataupun
kegagalan untuk mencapai tujuan tertentu yang diingini (Feldman, 1994)

Berkowitz (1993) menekankan kaitan antara kekecewaan dan tingkah laku


agresif dilihat sebagai kesan daripada kaitan antara rangsangan aversif dengan
agresif. Insiden aversif ini termasuklah kesesakan, kesakitan, serangan dan suhu di
sekeliling manusia boleh menyebabkan seseorang agresif. Ini bermakna kekecewaan
yang dialami oleh pelajar-pelajar dan rangsangan luaran seperti suasana bilik
darjah yang tidak selesa, sikap guru dan juga sikap keluarga boleh mendorong
pelajar untuk bertindak agresif. Antara lain, Moeller (2001) menambah kekecewaan
yang dialami disebabkan oleh keperluan mereka untuk memperoleh penghargaan,

34
keselamatan, kebebasan dan kasih sayang selalunya tidak dipenuhi sehingga mereka
melakukan tingkahlaku antisosial bagi mengurangkan perasaan tegang. Tujuannya
untuk mengatasi kekecewaan dengan melakukan berbagai cara seperti bergaduh,
mengugut, mencederakan orang lain dan sebagainya.

Selain kekecewaan, ketidakstabilan emosi seperti marah dan sebagainya yang


ditunjukkan oleh pelajar juga boleh merangsang berlakunya tingkah laku agresif.
Tambah Muhd Mansur (1988) pula, marah adalah emosi yang mengarah kepada
tingkah laku agresif. Oleh itu, situasi yang menyebabkan atau melahirkan marah
patut ditentukan. Semasa remaja, sebab kemarahan itu selalunya berasaskan kepada
faktor sosial di mana remaja berasa terperangkap dengan situasi yang mengaibkan,
merasakan diri tidak berguna, ditentang dan dipulaukan. Ciri-ciri emosi yang tidak
stabil seperti marah, sedih yang teramat sangat dan sebagainya yang ditunjukkan
oleh pelajar-pelajar di dalam kelas dapat menberi ruang kepada guru untuk
mengenal pasti dan menilai sikap dan tingkah laku mereka supaya tidak bertindak
keterlaluan dan seterusnya bertingkahlaku agresif.

Dalam zaman revolusi teknologi dan ledakan maklumat, pembentukan identiti


diri merupakan satu proses yang kompleks. Antara lain pembentukan identiti diri
membabitkan pembinaan identiti jantina dan identiti pekerjaan yang sesuai. Menurut
Hurlock (1973), golongan remaja mengalami gangguan emosi seperti bimbang akan
kegagalan lebih cenderung membuat penyesuaian semasa bertembung dengan
situasi baru. Jika tidak ada penyesuaian yang memuaskan di antara individu dengan
persekitarannya, maka remaja akan menghasilkan tingkah laku yang menyimpang.
Perlakuan ini akan menimbulkan masalah sosial yang besar kepada masyarakat dan
negara.

Begitu juga dengan aplikasi teori oleh pakar pendidikan bagi menyelesaikan
masalah disiplin dalam kalangan murid. Misalnya, teori Pembelajaran Sosial oleh
Bandura (1977) seperti yang dibincangkan sebelum ini yang menegaskan tingkah
laku individu dipengaruhi oleh persekitaran. Dengan kata lain, sekiranya murid
melihat objek yang baik maka tingkah laku mereka dipengaruhi oleh objek tersebut.
Suasana yang serupa bagi objek yang kurang baik diperlihatkan kepada mereka.
Manakala individu yang pasif akan menerima apa sahaja yang diperlihatkan kepada

35
mereka (Englander, 2008). Selanjutnya, masyarakat dunia diperkenalkan dengan
Teori Peneguhan oleh Skinner (1979). Aplikasi teori tersebut menekankan tingkah
laku seseorang individu dibentuk menerusi proses peneguhan atau hukuman.
Kekurangan teori tersebut adalah andaian bahawa motivasi murid meningkat hanya
sekiranya mereka diberikan peneguhan. Dengan kata lain, tingkah laku murid
berubah hanya dalam jangka waktu sementara (Englander, 2008).

2.4 Rumusan

Secara kesimpulannya, bahagian ini telah membentangkan mengenai faktor-faktor


pelajar bertingkahlaku agresif selain mengetengahkan pelbagai pendekatan teori
yang sering dikaitkan menjadi penyebab kepada tingkahlaku agresif. Namun dalam
kajian ini, hanya teori Naluri yang dikemukakan oleh Sigmund Frued dan Konrad
Lorenz yang akan digunakan. Kajian-kajian lepas berkaitan isu-isu pelajar yang
bertingkahlaku agresif juga diketengahkan termasuk pengaruh media massa
terhadap peningkatan tahap keagresifan tingkah laku di kalangan pelajar sekolah
secara khusus. Telah banyak kajian dilakukan berkenaan tingkah laku agresif pelajar
tidak kira di dalam atau di luar negara, tetapi belum ada kajian yang dijalankan
terhadap persepsi guru Pendidikan Islam secara berfokus dan mengambilkira
peranan GPI yang sebenarnya lebih meluas bukan sahaja di bilik darjah sebagai
pembentuk minda akademik, malah di luar bilik darjah sebagai pendidik akhlak dan
tingkah laku pelajar. Justeru diharap dengan adanya kajian ini, dapat membantu
menambahkan maklumat berkaitan tingkah laku agresif melalui pelbagai sumber dan
sudut lebih-lebih lagi dari sudut kerohanian.

36
BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pendahuluan

Bab ketiga ini akan memperincikan tentang metodologi dan kaedah penyelidikan
yang dijalankan bagi mencapai objektif dan menjawab persoalan kajian yang telah
dibincangkan dalam bab satu kajian ini. Metodologi merangkumi reka bentuk kajian
yang akan dilaksanakan, persampelan kajian, kaedah pengumpulan data serta
kaedah penganalisisan data oleh penyelidik. Sehubungan itu, bab ini akan
membincangkan reka bentuk untuk kajian yang akan dijalankan, populasi dan sampel
yang terlibat dalam kajian yang telah dijalankan, instrumen kajian yang telah
digunakan dalam kajian, prosedur-prosedur dalam menjalankan kajian ini serta
penganalisisan data iaitu bagaimana data dianalisis selepas kerja pemungutan data
dijalankan.

37
3.2 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini dilaksanakan sepenuhnya menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif.


Kajian kualitatif adalah kajian ke atas suatu situasi dan individu untuk mendapatkan
maklumat secara terperinci serta mendalam (Rosinah Edinin, 2012). Kajian ini
dijalankan dalam kawasan atau tempat yang kecil dan melibatkan individu dalam
kawasan tertentu sahaja. Antara contoh kajian kualitatif ialah kajian yang berkaitan
etnografi, kajian kes dan kajian sejarah. Ting Len Siong et al. (2013) menyatakan
bahawa kajian kualitatif bersesuaian dengan jenis kajian yang bertujuan untuk
menggambarkan sesuatu situasi, fenomena, masalah atau keadaan tanpa
memberikan bukti bersifat numerik.

Jenis penyelidikan yang digunakan oleh penyelidik dalam kajian ini ialah
kajian kes dengan memfokuskan kepada skop yang lebih spesifik iaitu persepsi guru
Pendidikan Islam terhadap isu-isu berkaitan tingkah laku agresif pelajar. Kajian kes
digunakan sebagai pendekatan penyelidikan kualitatif untuk memahami individu,
situasi atau fenomena yang dikaji. Kajian kes ialah suatu kaedah khusus untuk
memahami tindakan individu, institusi, komuniti atau sekumpulan subjek kajian
tertentu (Chandra & Sharma, 2010). Yin (1994) pula menyatakan bahawa kajian kes
akan dapat memberikan penghuraian yang lebih menyeluruh sesuatu peristiwa
dengan lebih mendalam. Ini selaras dengan pandangan Feagin, Orum dan Sjoberg
dalam Tellis (2000) yang menyatakan kaedah kajian kes adalah satu metodologi
yang ideal apabila penyelidikan yang mendalam dan menyeluruh diperlukan.

Menurut Mohd Majid Koting (2004), reka bentuk kajian adalah teknik dan
kaedah tertentu untuk memperoleh maklumat yang diperlukan bagi menyelesaikan
masalah. Reka bentuk kajian yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah kaedah
kualitatif dengan menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual. Dapatan kajian
pula diperoleh melalui sesi temu bual yang akan dilakukan oleh penyelidik bersama-
sama dengan informan. Temu bual juga dianggap sebagai satu pertemuan antara
penyelidik dengan informan untuk menggumpulkan data secara tidak langsung
ataupun pihak-pihak yang berkaitan dengan informan. Penyelidik perlu
mengemukakan bentuk soalan yang relevan dengan fokus kajian (Ackyord &
Hughes, 1992). Dengan menggunakan kaedah temu bual ini, penyelidik akan
membuat satu set soalan terbuka berkaitan dengan soalan kajian yang telah

38
ditetapkan. Semasa soalan diberikan, penyelidik tidak akan memberikan tekanan
ataupun mempengaruhi pandangan yang diberikan oleh informan. Aras soalan juga
adalah berfokus dan mengikut kemampuan.

Pendekatan Kualitatif

Kajian Kes

Kaedah Temu bual

Berstruktur Separa Struktur

RAJAH 1.4 : Reka Bentuk Kajian

3.3 Sampel dan Populasi Kajian

Persampelan yang digunakan di dalam kajian ini adalah bertujuan (Purposive


Sampling). Kategori persampelan ini merujuk kepada prosedur persampelan di mana
sekumpulan subjek yang mempunyai ciri-ciri tertentu dipilih sebagai sampel kajian.

39
Hal ini menyebabkan subjek-subjek kajian lain dalam populasi tidak berpeluang untuk
dipilih sebagai sampel kajian. Penyelidik juga akan mengenal pasti informan yang
mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang tinggi di dalam isu yang
ingin dikaji. Sebelum kajian dijalankan, penyelidik telah mendalami dengan teliti latar
belakang informen dengan fokus kajian yang dilakukan. Justeru, dalam kajian ini
sampel kajian adalah terdiri daripada tiga orang guru opsyen Pendidikan Islam sesi
pagi, satu orang guru kaunseling dan satu orang guru disiplin di Sekolah Menengah
Kebangsaan Tagasan, Semporna menjadikan jumlah keseluruhan sampel kajian ialah
lima orang dan telah pun berkhidmat sebagai guru melebihi tiga tahun pada masa
temu bual dijalankan.

3.4 Lokasi Kajian

Lokasi kajian yang dipilih untuk menjalankan kajian ini ialah di SMK Tagasan
Semporna. Sekolah ini dipilih disebabkan beberapa faktor pendorong, seperti gred
sekolah, jumlah pelajar dan guru, faktor geografi, isu-isu terkini melibatkan tingkah
laku agresif pelajar dan sebagainya.

3.5 Kaedah Pengumpulan Data

Pemilihan tentang kaedah pengumpulan data dalam sesuatu kajian sebenarnya


adalah bergantung kepada masalah yang hendak dikaji. Pengkaji perlu memahami
masalah yang hendak dikaji untuk menentukan apakah data yang dapat
menyumbang kepada penyelesaian yang sesuai terhadap masalah yang dikaji.
Kaedah pengumpulan data yang sesuai dan tepat akan membantu dalam
menyumbang data sahih dan ini akan membantu pengkaji untuk menyelesaikan
masalah kajian dengan berkesan (Ting Len Siong et al., 2013)

Data kualitatif diperoleh melalui beberapa cara iaitu seperti temu bual,
pemerhatian dan analisis dokumen (Othman Lebar, 2007). Dalam penyelidikan

40
kualitatif, pengkaji sendiri adalah instrumet utama dalam pengumpulan data yang
terlibat. Bagi mendapatkan data yang kukuh, para pengkaji perlu berada dalam
situasi yang ingin dikaji. Ini bermakna, penyelidik akan menjadi sebahagian daripada
peserta kajian.

Dalam kajian ini, terdapat dua kaedah utama yang digunakan oleh pengkaji.
Kesemua kaedah ini adalah bersesuaian dengan pendekatan kualitatif iaitu melalui
kaedah temu bual yang diadakan melibatkan informan guru untuk mendapatkan
maklumat sokongan berkaitan tajuk kajian yang dijalankan. Kaedah temu bual akan
digunakan di dalam penyelidikan ini. Temu bual ialah satu set perbualan dengan
bertujuan untuk mendapatkan maklumat khusus. Kaedah ini juga merupakan
pengutipan data yang melibatkan interaksi bersemuka antara pengkaji dengan
informen.

Penyelidik akan menggunakan temu bual tidak berstruktur semasa sesi


dijalankan. Soalan yang akan dikemukakan bersifat terbuka dan boleh diubah atau
disesuaikan mengikut kefahaman atau kepercayaan informan. Informan akan
diberikan kebebasan untuk memberikan pandangan dengan hasrat memupuk
penerokaan idea bagi mendapatkan jawapan terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan
dalam situasi tidak formal selagi masih berada dalam hala tuju dan dasar soalan yang
sama. Temu bual tidak berstruktur ini juga akan membantu penyelidik melakukan
pemerhatian tentang tingkah laku informan dan memberi komen serta menyoal
secara spontan dengan merujuk kepada fokus kajian. Dalam masa sama, kaedah ini
berupaya mewujudkan hubungan dua hala yang akan dapat meningkatkan
kepercayaan antara penyelidik dan responden (Ting, 2013).

Kajian kualitatif ini akan menggunakan lebih daripada satu kaedah


pengumpulan data bagi memudahkan proses pengesahan atau verifikasi data. Proses
ini disebut sebagai triangulasi data yang turut membantu penyelidik memperkaya
data yang diperolehi secara mantap, menyeluruh dan boleh berkembang. Menurut
Olsen (2004), penggunaan triangulasi ini boleh meningkatkan keyakinan dengan
keputusan kerana kaedah yang berbeza digunakan tetapi akan membawa hasil yang
sama.

41
3.6 Instrumen Kajian

Kajian ini akan menggunakan beberapa alat kajian. Oleh kerana kajian ini berbentuk
kualitatif, alat kajian yang digunakan adalah berbentuk protokol soalan-soalan.
Pembinaan protokol ini adalah berdasarkan kepada tujuan kajian, persoalan kajian
dan kerangka konsep pengkaji. Soalan-soalan dalam temubual ini berbentuk
berstruktur dan separa berstruktur, menggunakan laras bahasa yang sesuai, tepat
dan jelas. Penyelidik akan menyediakan satu set soalan temu bual yang dirancang
dengan memberi fokus kepada soalan kajian. Penyelidik akan membina satu set
soalan yang berkaitan agar dapat menjawab skop kajian. Walaupun soalan telah
ditetapkan, namun boleh berlaku pertambahan soalan spontan yang dirasakan
berkaitan dengan tajuk kajian semasa sesi temu bual dilaksanakan. Bilangan soalan
yang dicadangkan adalah lima sahaja dan berfokus. Ciri-ciri soalan yang dibina juga
akan menepati aspek kerelevenan, jelas, pendek dan mudah difahami serta eksplisit.

Bagi memastikan perkembangan semasa fasa penyelidikan dijalankan,


penyelidik turut menggunakan instrumen rakaman video dan rakaman audio. Kedua-
dua instrumen ini amat penting kerana penyelidik dapat memastikan semua data dan
rekod kajian dapat dilihat dan menyokong dapatan sedia ada. Rakaman video bukan
hanya dapat merekodkan segala perbualan dan bunyi tetapi segala pergerakan juga
dapat ditangkap melalui kamera video. Bahan rakaman ini adalah sangat berguna
untuk melihat dan mengkaji semula sesuatu situasi yang telah dirakamkan dengan
cara yang lebih berkesan dibandingkan rakaman audio. Konteks situasi lebih jelas
dilihat dan pola tingkah laku boleh dikesan di samping mengkaji komunikasi secara
verbal dan bukan verbal. Manakala, rakaman audio dapat merekodkan segala
perbualan dan bunyi dalam sesuatu situasi untuk dimainkan semula dan dijadikan
bukti kajian. Bahan rakaman ini dapat membantu penyelidik menganalisis semula
apa yang berlaku dan membuat interpretasi serta refleksi supaya situasi itu dapat
difahami dengan lebih mendalam.

Instrumen kajian yang turut boleh diguna pakai dalam mendapatkan jawapan
kajian ini ialah melalui senarai semak. Kaedah ini digunakan untuk mengenal pasti
secara ringkas bidang-bidang kerja yang telah dilakukan oleh informen. Penyelidik

42
akan menggunakan satu set senarai semak yang ringkas berdasarkan apa yang
diperhatikan secara terperinci semasa informan menjalankan tugasnya di sekolah.

3.7 Prosedur Analisis Data

Dalam penyelidikan kualitatif, Menurut Ratcliff (2005) dan Chua (2006), pelbagai
teknik boleh digunakan sama ada satu atau lebih. Dalam kajian ini kesemua data
yang dikumpul akan dianalisis melalui dua kaedah utama yang bersesuaian dengan
kaedah penyelidikan kualitatif iaitu melalui analisis temubual dan analisis
pemerhatian. Menurut Creswell (1998) proses analisis data kualitatif adalah saling
berkaitan. Penggunaan lebih daripada dua kaedah dapat dianalisis secara bersilang
ataupun dipanggil proses triangulasi untuk mengesahkan data yang diperoleh.
Analisis kandungan kualitatif akan dianalisis menggunakan analisis tema dengan
pengekodan dan pengkategorian. Selalunya proses data berlaku secara berterusan.
Proses analisis data akan dimulakan dengan persediaan data yang telah diperoleh
sepanjang kajian dijalankan. Data yang diperoleh akan ditakrifkan mengikut unit
analisis untuk membina kategori dan tema pengekodan melalui teks sampel yang
diperoleh. Selepas proses pengekodan dijalankan, penyelidik akan membuat
kesimpulan daripada data yang diperoleh sebelum laporan dan hasil kajian
dikemukakan.

Selepas penyelidik mengumpul data yang diperlukan sepanjang kajian melalui


kaedah temu bual, semua data akan dikumpulkan. Transkrip temu bual, rakaman
video, audio dan catatan senarai semak akan diteliti sekali lagi bagi memastikan tidak
ada mana-mana data yang tercicir dan belum melalui proses pengekodan. Setelah
proses analisis transkrip data selesai, penyelidik akan menyusun data mengikut
bahagian yang akan digunakan untuk melalui semula proses pengekodan seperti
data yang telah dianalisis di peringkat awal tadi. Setiap prosedur analisis data dalam
kajian ini akan dijelaskan secara lebih terperinci seperti di bawah:

3.7.1 Analisis Temubual

43
Menurut Shamsina Shamsuddin (2013), data temu bual yang diperoleh perlu ditaip
lengkap untuk memudahkan proses menganalisis dijalankan dan perlu menggunakan
ayat perkataan sebenar yang diperoleh daripada informan sendiri. Analisis secara
manual dilakukan dengan membaca keseluruha temu bual untuk mendapatkan
gambaran menyeluruh tentang pandangan atau kenyataan informan. Kemudian
kategori akan dibuat dengan membahagikannya kepada tema-tema yang lebih kecil.
Menurut Bogden dan Biklen (1998), pengekodan adalah proses membina kategori,
tema atau pola berkenaan sesuatu bidang kajian. Kod latar, kod definisi, kod
perspektif, kod aktiviti, kod strategi, kod peristiwa dan kod pendekatan adalah antara
kategori yang terlibat dalam kajian ini.

Seterusnya, penyelidik akan meletakkan nombor atau kod bagi setiap temu
bual, atau membahagikan nota-nota lapangan kepada bahagian-bahagian tertentu
mengikut tarikh data dipungut. Setiap lambakan data akan disusun mengikut
kategori, contohnya data yang berfokus kepada amalan penerapan nilai di dalam
kelas informan 1 akan dilabelkan sebagai INO(1)PI dan seterusnya.

3.8 Triangulasi dan Kesahan

Salah satu cara untuk menjadikan data kualitatif mempunyai kepercayaan yang tinggi
adalah dengan melaksanakan triangulasi antara data (Wiersma 1991; John Van
Maaneen, 1983). Triangulasi antara data dalam kajian ini melalui beberapa cara yang
dipilih supaya data yang dikutip benar-benar mencapai tahap kepercayaan yang
tinggi, iaitu triangulasi data temu bual antara sesama GPI dan informan sokongan,
triangulasi antara data temu bual dengan data pemerhatian serta triangulasi antara
data kualitatif dengan kuantitatif.

Menurut Chirstopher Scott (1961), kebolehpercayaan terhadap data yang


dipungut daripada temu bual dibuat melalui rujuk silang secara sistematik terhadap
maklumat yang disediakan oleh informan pada barisan yang sama.
Kebolehpercayaan dicapai apabila maklumat yang sama diulang beberapa kali dalam
satu barisan daripada seorang informan dan penyelidik boleh menggunakan teknik ini
semasa proses pengekodan data melalui transkripsi temu bual. Salah satu cara

44
pengkaji untuk mencapai kepercayaan yang tinggi terhadap temu bual yang
dijalankan adalah melalui triangulasi antara data temu bual informan utama iaitu GPI
dengan temu bual informan sokongan. Pengkaji menjelaskan kepada informan utama
iaitu GPI bahawa temu bual yang dijalankan dalam pengumpulan data bagi kajian ini
adalah meliputi temu bual bersama dengan guru disiplin dan kaunselor. Hasil yang
diharapkan adalah wujud keselarasan yang jelas dan tinggi bagi setiap tema yang
dibina di antara temu bual dengan GPI dan informan sokongan yang terlibat dan
akan dibincangkan dalam bahagian dapatan kajian. Contohnya adakah strategi
pemantauan dan kawalan pelajar bertingkah laku agresif mempunyai persamaan
antara GPI dan informan sokongan ataupun tidak.

3.9 Rumusan

Dalam bab ini, secara keseluruhannya pengkaji ingin menjelaskan tentang kaedah
penyelidikan yang digunakan dari segi reka bentuk kajian, pemilihan populasi dan
sampel, instrumen penyelidikan, kaedah menganalisis data dan prosedur kajian.
Semua kaedah ini dilakukan secara berturutan bagi memudahkan pengkaji mencapai
objektif kajian yang telah ditentukan berkenaan persepsi GPI terhadap pelajar
bertingkah laku agresif yang berlaku di sekolah yang telah dipilih sebagai lokasi
kajian.

45
BAB 4

DAPATAN KAJIAN

4.1 Pendahuluan

Bahagian ini akan menerangkan dapatan kajian mengenai ciri-ciri, faktor dan cara
mengatasi pelajar yang bertingkahlaku agresif. Bab ini secara khusus akan
mengemukakan keputusan temubual yang telah dijalankan terhadap lima orang
informan yang terdiri daripada tiga orang guru Pendidikan Islam, seorang guru
kaunseling dan seorang guru disiplin. Soalan temubual seperti yang telah demografi
informan, dapatan kajian dan penutup.

Hasil daripada analisis dapatan mentah yang dilakukan jelas telah


mengetengahkan tiga tema utama iaitu faktor yang mendorong pelajar
bertingkahlaku agresif, ciri-ciri pelajar yang bertingkahlaku agresif dan strategi yang
biasa digunakan oleh para peserta kajian dalam menghadapi isu-isu berkaitan pelajar
bertingkah laku agresif. Percampuran latar belakang informan yang berbeza-beza
adalah salah satu cara bagi mendapatkan data kukuh yang dapat memberikan

46
perbandingan sekiranya terdapat perbezaan persepsi antara informan dalam
menginterpretasi isu-isu pelajar yang betingkah laku agresif. Disebabkan kajian
berfokus kepada guru Pendidikan Islam sebagai informan utama, pendapat dari
guru-guru dengan latar belakang berbeza tetapi masih berada dalam lingkungan
kajian akan memberi impak yang lebih jelas terhadap dapatan kajian yang ingin
diketengahkan.

4.2 Profil Informan

Terdapat tiga ciri demografi bagi peserta kajian yang dihuraikan dalam bab ini. Ciri-
ciri tersebut ialah jantina, tempoh perkhidmatan sebagai guru dan jawatan yang
disandang di sekolah.

i) Informan Pertama

Peserta pertama yang ditemubual merupakan seorang guru lelaki bagi matapelajaran
Pendidikan Islam dan menyandang jawatan sebagai ketua panitia Pendikan Islam di
SMK Tagasan. Beliau telah berkhidmat sebagai guru selama sebelas tahun bermula
dari tahun 2005 sehingga kini. Pengalaman mengajar beliau yang lebih lama amat
membantu dalam kajian ini. Pengkaji mengekod informan pertama sebagai INO(1)PI.

ii) Informan Kedua

Peserta kajian yang kedua merupakan seorang wanita yang juga seorang guru
Pendidikan Islam. Beliau telah berkhidmat sebagai guru di SMK Tagasan selama
hampir empat tahun dan telah diberikan tanggungjawab untuk menyandang jawatan
sebagai ketua panitia bagi matapelajaran Tasawwur Islam. Informan kedua ini amat
diperlukan bagi memberi gambaran jelas mengendalikan pelajar-pelajar menengah

47
atas iaitu di kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5 yang mana rata-ratanya telah
menjangkau usia remaja dan sedang dalam proses peralihan ke alam dewasa.
Pengkaji mengekod informan kedua sebagai INO(2)PI.

iii) Informan Ketiga

Informan ketiga merupakan seorang guru lelaki yang juga mengajar subjek
Pendidikan Islam di SMK Tagasan. Pengalaman mengajar beliau selama enam tahun
telah melayakkan beliau menyandang beberapa tanggungjawab penting bukan
sahaja dalam panitia Pendidikan Islam tetapi juga diberi amanah sebagai setiausaha
Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi SMK Tagasan. Sikap beliau yang mesra
dengan para pelajar dapat membantu penyelidik dalam mencungkil isu-isu tingkah
laku agresif ini dengan lebih jelas. Informan ketiga dikodkan sebagai INO(3)PI.
iv) Informan Keempat

Bagi mengukuhkan kajian ini, pendapat serta pandangan dari guru-guru di luar
konteks Pendidikan Islam juga perlu diambil kira. Informan keempat merupakan
seorang kaunselor perempuan yang telah berkhidmat selama enam tahun dalam
dunia pendidikan. Meskipun khidmat beliau di SMK Tagasan baru mencecah empat
tahun, namun jumlah kes melibatkan pelajar yang telah dikendalikan oleh beliau
amat membantu penyelidik untuk mencungkil isu tingkah laku agresif ini dengan
lebih mendalam. Sebagai seorang kaunselor, beliau juga banyak mengaplikasikan
teori-teori psikologi dalam mengendalikan pelajar bermasalah. Pengkaji
mengekodkan informan keempat sebagai INO(4)K.

v) Informan Kelima

Informan terakhir merupakan seorang guru lelaki yang mengajar subjek Teknologi
Maklumat. Pengalaman mengajar beliau telah mencecah 20 tahun. Walaupun
perkhidmatan beliau di SMK Tagasan baru menjangkau usia dua tahun, namun
kredibiliti beliau yang tegas telah melayakkan beliau untuk diberi tanggungjawab
sebagai guru disiplin di sekolah. Kekerapan beliau mengendalikan kes-kes disiplin
pelajar amat membantu pengkaji mendapatkan data-data yang jelas berkaitan
dengan tajuk yang hendak dikaji. Informan kelima ini dikodkan sebagai INO(5)D.

48
Hasil daripada temu bual berstruktur dan separa berstruktur yang telah
dijalankan oleh penyelidik terhadap lima orang informan di atas, hasil temubual yang
dijalankan telah berkembang kepada beberapa subtema. Terdapat dua subtema
telah timbul di dalam tema faktor pendorong iaitu faktor dalaman yang melibatkan
kendiri dan sikap. Manakala subtema kedua ialah faktor luaran yang terdiri daripada
pengaruh rakan sebaya dan kondisi keluarga. Dalam tema ciri-ciri pelajar agresif pula
terdapat enam subtema yang dikenal pasti iaitu buli, vandalisme, seks,
penyalahgunaan dadah, rokok dan gangsterisme. Selain itu juga, terdapat empat
subtema telah dikenal pasti dalam tema strategi iaitu penguatkuasaan peraturan,
kem pemulihan akhlak, mentor rohani dan peranan kaunselor dan guru disiplin.

PENILAIAN TEMA SUB TEMA

 Faktor dalaman
- Kendiri
- Emosi
Faktor  Faktor pendorong

 Faktor luaran
- Pengaruh rakan
- Keluarga

 Ponteng
 Curi
Ciri  Ciri-ciri pelajar  Buli
agresif  Vandalisme
 Seks
 Penyalahgunaan dadah
 Merokok
 Tidak solat

49
 Penguatkuasaan
peraturan
Strategi  Strategi mengendali  Kem pemulihan akhlak
pelajar agresif  Sesi muhasabah
 Mentoring
 Peranan kaunselor dan
guru disiplin.

Jadual 4.1 : Tema yang timbul melalui analsis data temu bual berstruktur dan
separa berstruktur

4.3 Dapatan Kajian

Dapatan kajian telah menghasilkan tiga tema utama dan 15 subtema mengikut data-
data yang telah ditemui hasil daripada temuduga yang dijalankan. Tema-tema utama
ini merupakan jawapan kepada persoalan kajian yang telah dinyatakan dalam bab 1.

4.3.1 Faktor Pendorong Kepada Tingkah Laku Agresif Pelajar

Bagi tema faktor pendorong kepada tingkah laku agresif pelaar, terdapat dua faktor
utama dapat dikenalpasti iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman
merupakan faktor diri pelajar itu sendiri yang mempengaruhi tingkahlaku agresif
yang ditunjukkannya. Hal ini dinyatakan oleh tiga informan yang terlibat;

“....puncanya dari sendiri juga. Seperti petikan ayat al-Quran Allah


ada sebut tentang suatu kaum tu tidak akan berubah kalau tidak dari
diri sendiri. Untuk masalah-masalah agresif ni pun dari pelajar tu
sendiri...” – INO(1)PI

“...sikap murid tu. Kalau pun kawan-kawan yang ajak buat jahat, dari
diri sendiri jugak tu yang pilih nak ikut ke tak. Sentiasa ada pilihan...”
– INO(2)PI

50
“...budak-budak tertentu saja ni. Nakal ba diorang. Yang lain OK saja,
baik-baik juga. Ada la tu sesuatu dalam diri budak-budak agresif ni
yang tidak settle...” – INO(5)D

Selain itu, faktor emosi juga merupakan faktor dalaman yang dikenal pasti
mendorong pelajar bertingkahlaku agresif sebagaimana respon dua orang informan
yang lain;

“...tidak boleh juga salahkan seratus peratus pada pelajar tu. Kita tidak
tahu kan emosi dia...sebab kalau mahu difikir-fikir, diorang jadi agresif
tu sebab mahu tunjuk perasaan...maksudnya gambaran emosi diorang
tu diluahkan dalam bentuk ekstrem...” – INO(3)PI

“...kita kena faham pelajar ni. Psikologi banyak mainkan peranan lagi-
lagi bila umur remaja. Perbuatan dia yang ganas tu mungkin lah kita
boleh kawal kan, tapi emosi dia pemikiran dia tu lebih mendalam. Kita
boleh denda perbuatan, tapi boleh ke nak denda emosi? – INO(4)K

Faktor luaran juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi para pelajar
bertingkahlaku agresif. Faktor luaran yang dikemukakan oleh peserta kajian adalah
terdiri daripada faktor rakan sebaya dan kondisi keluarga dan dinyatakan oleh
kesemua lima peserta kajian seperti berikut:

“...pelajar ni kebanyakan masanya dengan kawan. Apa yang kawan


buat, dia pun ikut lah...”

“...di rumah pula kurang didikan, kurang perhatian. Keluarga mainkan


peranan penting sebenarnya... – INO(1)PI

“...Basic didikan agama di rumah kena kuat lah. Kalau jenis keluarga
yang ambil perhatian pada anak-anak, nurture asas-asas agama dari
kecil takkan jadi benda tak elok. Tapi kalau yang keluarga tak
pedulikan anak-anak, sibuk lah, krisis tak habis-habis...tu yang anak-
anak ikut pengaruh kawan...dapat kawan baik takpe, dapat kawan
negatif buruk juga lah akibatnya...” –INO(2)PI

51
“...kebanyakannya yang bermasalah keluarga biasa buat hal ni. Kesian
juga bila fikir nasib diorang. Parents bercerai...keluarga
miskin...kesian...”

“...biasalah kan jiwa remaja memang cepat terpengaruh dengan


kawan....” –INO(3)PI

“...pelajar yang masuk bilik kaunseling untuk session selalunya bila


tanya pasal family diorang mengelak. Itu tanda memang ada problem
lah tu. Bila tanya kawan sorang lagi yang kononnya partner in crime
tu pun sama. Family problem juga. Sebab tu diorang ngam...saling
memerlukan...” –INO(4)K

“...sebab ikut kawan lah tu. Kawan makan najis dia ikut lah juga.
Sebab keluarga juga. Berapa orang sudah saya tangkap buat masalah
disiplin saya bawa sendiri balik rumah jumpa ibubapanya. Macam-
macam kisah saya jumpa. Keluarga serba kekurangan, serba kelebihan
pun masalah juga. Ada yang insaf lepas saya datang jumpa ibubapa,
ramai juga lah yang tidak berubah...” –INO(5)D

Berdasarkan kepada petikan di atas, dapat disimpulkan bahawa pembolehubah


luaran iaitu pengaruh rakan sebaya dan kondisi ibubapa atau keluarga memberi
kesan yang sangat mendalam terhadap faktor yang mendorong pelajar bertingkah
laku agresif.

4.3.2 Ciri-ciri Pelajar Bertingkah Laku Agresif

Ciri-ciri pelajar yang bertingkah laku agresif merupakan ciri-ciri lazim dan dominan
yang ditunjukkan oleh para pelajar yang bertingkah laku agresif. Ciri-ciri ini kerapkali
dilihat oleh guru-guru yang sering berdampingan dengan pelajar. Antara ciri-ciri yang
didapati hasil daripada temu bual dengan para peserta kajian adalah gejala ponteng
sekolah, buli, vandalisme, seks, penyalahgunaan dadah dan rokok. Antara respon -
respon peserta kajian ialah:

52
“...yang biasa saya nampak secara umumnya dalam sekolah ni...murid
suka ponteng kelas. Ada datang sekolah, tapi kelas tidak masuk.
Kadang-kadang tu kelas subjek tertentu saja dia masuk. Kalau dia
suka dia masuk la. Kalau tidak dia lagi suka merayau-rayau dalam
kawasan sekolah ganggu pelajar lain...” – INO(1)PI

“...kes pelajar mencuri pun kerap sudah berlaku kebelakangan ni.


Guru-guru pun pernah jadi mangsa...” –INO(1)PI

“...saya pernah kendalikan sorang murid ni, tingkatan tiga. Buku


kehadiran selalu kosong. Bila dia datang saya terus tanya apa masalah
dia. Rupanya dia datang sekolah tapi setakat di luar pagar saja. Takut
dengan kawan katanya dibuli...” – INO(2)PI

“...blok form 6 tu ya Allah, entah apa je yang dirosakkan. Berani tu


diorang pecah masuk kelas tingkatan 6. Tulisan di dinding sekolah,
dalam tandas, dalam kelas macam-macam. Belum kira meja kerusi
pintu yang patah-patah. Heiii...ganas sungguh budak-budak ni...” –
INO(2)PI

“...pernah saya berkejaran dengan pelajar ni...lucu juga. Bila sudah


dia panjat pagar sekolah masuk dalam sawit tu saya surrender la.
Saya kejar sebab kedapatan merokok dalam tandas lelaki. Berkepul-
kepul asap...seronok dia...” –INO(3)PI

“...ada yang mengantuk dalam kelas, tidak fokus, mata merah-merah.


Saya tanya sakitkah? Kawan-kawan lain jawab...bekas berbatu tu,
ustaz! Terkejut saya. Tapi memang lain keadaan pelajar tu...mungkin
betul juga berbatu...” –INO(3)PI

“...di sekolah ni kes-kes pukul dan lawan guru tidak lah seteruk di
tempat lain. Budak sini masih ada rasa hormat lagi dengan cikgu.
Takut juga la diorang kalau kena sergah. Tapi pernah sekali tu kita
terima aduan gangguan seksual. Pelajar petang, menengah rendah tu
dah boleh buat benda tak elok...” –INO(4)K

“...macam-macam perangai pelajar ni sebenarnya. Panjat pagar,


ponteng sekolah, buli kawan-kawan, paw duit kawan. Kawasan sawit

53
kat belakang sekolah ni la port diorang nak lari. Merokok lagi...alahai,
mengalahkan orang besar dah tu...” –INO(4)K

“...kebanyakan kes yang melalui saya ni selalunya kes caught in the


act. Mungkin sebab saya guru disiplin kan, jadi saya boleh cium sudah
tempat kegiatan nakal diorang ni. Merokok dalam tandas, ber dating
dalam sawit, pernah saya jumpa dating dalam bilik stor kosong entah
macam mana diorang boleh buka pintu stor tu...bila ja saya dapati
terus saya sergah dan kejar...” –INO(5)D

Selain daripada ciri-ciri general yang digambarkan oleh para peserta kajian
berkenaan ciri-ciri pelajar bertingkah laku agresif, terdapat juga beberapa aspek
yang timbul dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku agresif iaitu dalam amalan
keagamaan seharian pelajar itu sendiri. Aspek yang ketara ditonjolkan adalah
berkaitan dengan solat. Pelajar yang agresif ini tidak mendirikan solat dengan
sempurna sebagaimana yang telah difardhukan serta lemah dalam penghayatan
agama yang mengakibatkan nilai-nilai murni sebagai seorang pelajar kurang
ditonjolkan. Ini adalah berdasarkan respon informan dalam kalangan guru Pendidikan
Islam;

“...solat tu penting, tiang agama. Pelajar sekolah ni sepatutnya tiada


masalah untuk solat. Surau dekat saja dengan kelas...hanya beberapa
langkah. Kalau perhatikan surau tu kosong saja waktu tengahari. Tiada
murid mahu singgah solat. Terutamanya murid sidang pagi...” –
INO(1)PI

“...dari segi akhlak pun kita boleh nampak. Pelajar yang aktif program
surau kita percaya diorang mesti cukup solat 5 waktu. Berbeza betul
perangai yang dengan pelajar biasa yang tidak cenderung pada ibadah.
Budak-budak surau ni baik-baik belaka, senang hati cikgu dibuatnya...”
–INO(2)PI

54
Berdasarkan ciri-ciri pelajar yang bertingkahlaku agresif seperti yang
dikemukakan oleh peserta kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri ini kerapkali
ditunjukkan oleh pelajar-pelajar terbabit. Oleh itu, para guru perlulah peka terhadap
ciri-ciri yang ditunjukkan oleh pelajar ini dan berusaha untuk menggunakan
pendekatan yang sesuai agar tindakan yang lebih agresif dapat dibendung.

4.3.3 Strategi Mengendali Pelajar Bertingkah Laku Agresif

Sebagai langkah pencegahan, pengawalan dan pemulihan, pelbagai strategi telah


dikenal pasti berdasarkan respon para peserta kajian bagi memastikan pelajar-pelajar
yang berpotensi untuk bertindak agresif dapat diredakan. Selain itu, ianya juga
bertujuan untuk mendidik pelajar ke arah penghayatan tingkah laku yang
bersesuaian dengan identiti pelajar sekolah. Daripada dapatan kajian, didapati
strategi yang diambil bagi tujuan di atas ialah antaranya penguatkuasaan peraturan
sekolah, kem ibadah dan akhlak, mentoring, sesi muhasabah dan peranan kaunselor
dan guru disiplin. Peserta kajian telah menyatakan seperti berikut;

“...saya setuju kalau peraturan sekolah ni dikaji semula. Lebihkan


sedikit hukuman atau denda untuk pelajar yang agresif ni rasanya
tidak lah merugikan sesiapa. Mana lah tahu ada perubahan...”

“...kemenjadian murid di sekolah ni melibatkan semua pihak. Cikgu


bukan kerja mengajar saja semata-mata. Cadang lah buat program
pemulihan akhlak ka, kem ibadah ka...khas untuk pelajar bermasalah
ni. Kita berusaha lah saja kan...” –INO(1)PI

“...penerapan agama ni penting sangat-sangat...ustaz ustazah perlu


sampaikan penghayatan Islam tu pada pelajar...kalau setakat ajar
guru opsyen lain pun boleh ajar...tapi nak bagi lekat dalam hati tu
rasanya ustaz ustazah lebih terror. Mungkin setiap kali lepas kelas
pendidikan Islam boleh ambil masa 5 minit untuk sesi muhasabah ke
kan...” –INO(2)PI

55
“...saya cadangkan supaya semua guru jadi kaunselor...semua guru
jadi guru disiplin. Janganlah kaunselor dengan guru disiplin saja yang
gerakkan peraturan...guru-guru lain pun sama...budak-budak ni kan
amanah kita juga...” –INO(3)PI

“...kalau untuk unit saya ni selalu juga buat program kaunseling untuk
pelajar. Perlu bijak selami hati budi diorang. Bila dah selam tu kena
bimbing betul-betul lah. Jangan hari ni jaga, esok biarkan. Nanti
budak-budak makin confused...makin menjadi-jadi krisis identiti...”

“...saya pernah terfikir nak cadang satu program mentoring untuk


pelajar bermasalah ni...sorang guru boleh lah pegang lima orang
budak ke untuk dipantau...buat macam adik atau anak sendiri pun
takpe...tujuannya nak bagi budak-budak ni ada role model. Yelah, kat
rumah kadang-kadang family sendiri pun abaikan diorang. So why not
kita berbagi tanggungjawab tu di sekolah pula...lagipun pelajar ni suka
kalau ada orang ambil perhatian kat diorang lebih-lebih lagi cikgu.”–
INO(4)K

“...saya anggap diri saya ni sebagai penguatkuasa undang-undang.


Sebab tu pelajar takut. Peraturan wajib dilaksanakan tidak kira siapa.
Asal buat hal, kita denda. Cuma yang jadi lemah semangat tu bila kita
denda ada juga orang yang tidak puas hati. Cikgu-cikgu sendiri pula
tu...sepatutnya sokonglah saya kan...jatuh air muka saya depan murid
bila kawan-kawan sendiri yang tegur tindakan saya salah...janganlah
begitu kan...” –INO(5)D

Berdasarkan kepada petikan di atas, menunjukkan bahawa strategi yang


seharusnya dilaksanakan bagi mengendali atau membendung isu-isu pelajar
bertingkah laku agresif ini memerlukan kerjasama dari seluruh warga sekolah. Ini
amat penting bagi memastikan setiap program yang dijalankan dapat terlaksana
dengan jayanya dan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berpekerti mulia dapat
dicapai dengan jayanya.

4.4 Rumusan

56
Berdasarkan dapat kajian yang telah diteliti dan dinilai oleh penyelidik, kesemua
peserta kajian mempunyai persepsi yang hampir sama apabila menjawab persoalan
temu bual yang berkaitan dengan faktor, ciri dan strategi menangani tingkah laku
agresif pelajar. Hasil menunjukkan bahawa terdapat kepelbagaian pendapat
berkenaan strategi mengendali pelajar-pelajar agresif terutama dalam kalangan
informan utama iaitu guru Pendidikan Islam di mana GPI jelas memberi persepsi
yang cenderung kepada penerapan konsep dan nilai Islam itu sendiri. Sebagai
contoh, mengaitkan salah satu ciri agresif pelajar adalah tidak menunaikan solat
fardhu. Dari sudut pandang Islam, solat merupakan suatu kewajiban yang
dilaksanakan dan mampu memberi impak positif terhadap diri seseorang. Seperti
yang disebutkan dalam al-Quran : ‘...sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari
perbuatan keji dan mungkar...’

Oleh itu, penyelidik menyimpulkan bahawa sesi temu bual yang dijalankan
telah berjaya menjawab persoalan kajian yang ingin diketengahkan iaitu tentang
persepsi GPI terhadap isu-isu tingkah laku agresif pelajar di samping berjaya
mendapatkan kepelbagaian data melalui peserta kajian dengan latar belakang yang
berbeza.

57
BAB 5

PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

5.1 Pendahuluan

Pada bahagian terakhir ini penyelidik akan membincangkan hasil analisis data
terhadap peserta kajian mengikut persoalan kajian yang telah ditetapkan,
merumuskan hasil kajian, membincangkan implikasi dapatan kajian dengan lebih
mendalam dan akhir sekali mengulas cadangan bagi penyelidikan masa hadapan.

5.2 Ringkasan Hasil Kajian

Kajian ini dijalankan oleh pengkaji adalah untuk melihat persepsi guru Pendidikan
Islam mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pelajar yang bertingkah laku agresif
meliputi persoalan faktor atau pembolehubah yang mempengaruhi para pelajar
bertingkah laku agresif. Selain itu, ciri-ciri pelajar bertingkah laku agresif juga telah
dikenal pasti melalui kaedah temu bual yang telah dijalankan terhadap beberapa

58
orang peserta kajian di samping mengetahui pendekatan dan strategi yang
berpotensi untuk tujuan membendung tingkah laku agresif ini juga turut dikaji.
Kajian ini merupakan kajian kes yang dijalankan secara kualitatif. Peserta yang
diambil adalah terdiri daripada lima orang guru yang berkhidmat di Sekolah
Menengah Kebangsaan Tagasan, Semporna, Sabah terdiri dari tiga orang guru
Pendidikan Islam, seorang kaunselor dan seorang guru disiplin. Alat kajian yang
digunakan adalah beberapa protokol soalan berstruktur dan separa berstruktur bagi
tujuan temu duga individu. Tema faktor, ciri dan strategi yang dihasilkan adalah
berdasarkan persoalan kajian dan dianalisis secara kualitatif.

5.3 Perbincangan Dapatan Kajian

Pengkaji akan membincangkan mengenai faktor yang mendorong pelajar


bertingkahlaku agresif, ciri-ciri pelajar yang bertingkahlaku agresif dan tindakan atau
strategi yang diambil oleh pihak sekolah bagi membendung tingkah laku agresif
pelajar.

5.3.1 Faktor Pelajar Bertingkah Laku Agresif

Hasil dapatan kajian mendapati, terdapat dua faktor utama yang mendorong pelajar
bertingkah laku agresif iaitu faktor dalaman terdiri daripada diri sendiri dan faktor
emosi manakala faktor luaran pula terdiri daripada perkara yang melibatkan
pengaruh rakan dan kondisi keluarga pelajar itu sendiri. Faktor dalaman
memperlihatkan bahawa diri pelajar itu sendiri yang bertanggungjawab membentuk
dirinya sendiri sama ada untuk menjadi baik atau sebaliknya, sebagaimana yang
diketengahkan oleh peserta kajian bahawa pelajar itu sendiri mengawal dirinya
daripada terpengaruh dengan rakan-rakan yang agresif. Manusia sentiasa
mempunyai pilihan antara kebaikan dan keburukan, hanya yang mempengaruhi
pilihan tersebut adalah desakan akal dan nafsu semata-mata. Sekiranya pelajar ini
mempunyai kawalan dalaman yang kuat, maka dia dapat menguasai keadaan. Begitu

59
juga sebaliknya jika pelajar mempunyai kawalan diri yang lemah akibat sesuatu
situasi seperti kekecewaan, pengabaian, perasaan marah dan sebagainya maka
pelajar itu akan mudah untuk dipengaruhi.

Dollard et al. dalam Feldman (1994) menguatkan hujah bahawa tingkah laku
agresif juga dipengaruhi oleh faktor dalaman yang mencetuskan ( trigger) dan
memandu seseorang untuk memilih tingkah laku tertentu bagi mencapai sesuatu
matlamat. Faktor dalaman seperti kekecewaan ( frustration) yang dialami oleh
seseorang. Kekecewaan bermaksud reaksi seseorang individu terhadap halangan
ataupun kegagalan untuk mencapai tujuan tertentu yang diingini. Dalam konteks ini,
kekecewaan dipercayai mencetuskan tingkah laku negatif yang akhirnya tingkah laku
agresif terhasil. Mengikut konsep motivasi pula, tingkah laku agresif bukan sesuatu
yang terhasil secara kebetulan, akan tetapi ia disebabkan oleh faktor-faktor yang
bertitik tolak dari pergolakan dalaman mahu pun luaran seseorang. Keagresifan
tingkah laku hanya sebagai suatu terjemahan luaran bagi meredakan pergolakan
dalam diri. Eng (2013) menyokong kenyataan ini menerusi laporan KPM mengenai
masalah disiplin pelajar bagi tahun 2003 yang melaporkan bahawa pelajar sekolah
menengah lebih kerap terlibat dalam tingkah laku agresif dan kurang berdisiplin
disebabkan kurang berupaya untuk mengawal diri sendiri. Mereka lebih cenderung
melayan pergolakan dalam diri seperti marah, kecewa, ketidakpuasan hati dan
kurang mempunyai visi.

Selain itu, pemboleh ubah emosi juga merupakan pendorong kepada tingkah
laku agresif pelajar. Emosi yang tidak stabil memberi kesan yang besar kepada
kehidupan sosial pelajar terutama dari segi tingkah lakunya terhadap orang lain.
Seperti yang dijelaskan oleh Muhd Mansur (1988) bahawa marah adalah emosi yang
mengarah kepada tingkahlaku agresif. Oleh itu, situasi yang menyebabkan atau
melahirkan marah patut ditentukan. Semasa remaja, sebab kemarahan itu selalunya
berasaskan kepada faktor sosial di mana remaja berasa terperangkap dengan situasi
yang mengaibkan, merasakan diri tidak berguna, ditentang dan dipulaukan. Ciri-ciri
emosi yang tidak stabil seperti marah, sedih yang teramat sangat ini menjadi
pencetus kepada tingkah laku agresif pelajar.

60
Kawalan emosi perlu dilatih oleh setiap remaja dan kesan ini akan
mempengaruhi tingkah laku. Emosi yang stabil akan berlakunya dengan tindakan
balas seseorang terhadap situasi yang dihadapi. Dalam bilik darjah, terdapat pelbagai
keadaan emosi ditujukan oleh remaja. Oleh itu, guru perlu sensitif memerhatikan
perbezaan emosi remaja. Kebolehan meramal emosi juga dikenali sebagai kemahiran
pengajaran melalui air muka. Gangguan emosi dalam kalangan murid-murid
berpunca daripada persekitaran sekolah yang tidak kondusif. Contohnya, gangguan
emosi berpunca daripada masalah kesesakan dalam kelas yang boleh mewujudkan
kecenderungan murid untuk melakukan kesalahan disiplin seperti ponteng kelas,
menyendiri, murung, marah dan sebagainya. Peristiwa dalam keluarga melibatkan
perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan kanak-kanak dan ia
mempengaruhi pengembangan emosi mereka.

Selain faktor dalaman, faktor luaran seperti pengaruh rakan dan kondisi
keluarga sebagaimana yang diperolehi daripada dapatan kajian juga amat
menyumbang kepada perlakuan agresif pelajar. Kajian Moeller (2001) menyatakan
bahawa, terdapat banyak faktor yang menjadi punca tingkah laku agresif antaranya
ialah didikan dari ibubapa yang agresif. Maka dalam hal ini, anak-anak yang
dibesarkan dalam suasana yang agresif juga akan cenderung mempunyai tingkah
laku yang agresif juga. Moeller (2001) juga menyebut berkenaan faktor media
massa, faktor sosio-budaya, rakan sebaya, genetik dan biologikal juga mendorong
kepada cetusan tingkah laku agresif ini. Pengkaji melihat faktor pendedahan
terhadap media massa juga adalah sewajarnya berada dalam kawalan ibubapa dan
keluarga. Ibubapa harus menyelia program-program televisyen yang ditonton oleh
anak supaya mereka tidak dipengaruhi oleh unsur negatif, misalnya menghalang
mereka daripada menonton filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama,
akhlak, budaya timur dan wawasan negara.

Selain itu, ibubapa juga boleh memainkan peranan dengan memberi komen-
komen yang mengajar mana satu perbuatan yang baik dan mana yang buruk sambil
menonton. Dengan cara sedemikian, ibu bapa dapat berkomunikasi dengan anak-
anak mereka sambil merapatkan lagi tali perhubungan keluarga. Ibubapa yang
terlalu sibuk bekerja dilihat lebih cenderung untuk mengabaikan keperluan keluarga
dari sudut mental dan rohani. Ibubapa seharusnya bijak mengemudi keluarga dari

61
segenap sudut terutama apabila anak-anak mula menginjak usia remaja. Hasil
didikan ibubapa dalam institusi keluarga akan menentukan sejauh mana pelajar
tersebut dapat berinteraksi dengan keadaan persekitarannya.

Selain itu, ibubapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap


pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral mampu mendorong
remaja membezakan antara intan dengan kaca lantas melatih remaja mengawal
tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibubapa bahawa tanggungjawab
mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum kepada
anak-anak mereka adalah tidak benar sama sekali. Ibubapa juga harus memastikan
bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Didikan agama
yang dibekalkan dapat memastikan anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang
kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam kancah
maksiat dan jenayah atau apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri
dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Faktor luaran yang seterusnya akan dibincangkan adalah faktor pengaruh


rakan sebaya. Tidak dapat disangkal bahawa mempunyai kawan adalah suatu
keperluan dalam diri semua individu. Manusia tidak akan dapat menjalani kehidupan
bersendirian. Setiap individu adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam
kajian ini, pengkaji melihat rakan sebaya sebagai suatu pembolehubah yang amat
mempengaruhi kehidupan para pelajar memandangkan kebanyakan pelajar
menghabiskan masa yang banyak dengan rakan-rakan berbanding ibubapa.
Kenyataan ini juga ada disebut oleh hampir kesemua informan dalam kajian ini.

Ahli sosiologi telah mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-


kanak ataupun kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama.
Kumpulan rakan sebaya ini memainkan peranan sebagai agensi tidak formal yang
memberikan pengalaman yang tidak dapat diperoleh daripada keluarga dan juga di
sekolah. Bagi para pelajar, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan
masalah dan pengganti ibubapa terutamanya bagi golongan yang mempunyai
masalah di rumah. Justeru, mereka amat mementingkan rakan-rakan dan juga akan
mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh
menggelapkan masa depan sendiri didorong atas sifat ingin tahu. Ringkasnya, rakan

62
sebaya yang negatif akan menyebabkan disiplin pelajar itu turut merosot dengan
drastiknya.

Secara tuntasnya, hasil dapatan temu bual ke atas kesemua informan


menunjukkan tema dan subtema yang sama tidak kira persepsi guru Pendidikan
Islam mahu pun guru-guru yang lain. Persepsi terhadap persoalan yang pertama
iaitu apakah faktor yang mendorong pelajar bertingkah laku agresif jelas
menunjukkan tidak ada perbezaan persepsi yang ketara dalam kalangan para guru.
Kesemua lima peserta kajian jelas bersetuju bahawa faktor diri sendiri, faktor emosi,
faktor pengaruh rakan sebaya dan faktor keluarga adalah pembolehubah yang
mempengaruhi tingkah laku agresif pelajar.

5.3.2 Ciri-Ciri Pelajar Bertingkah Laku Agresif

Hasil kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri yang ditunjukkan oleh pelajar yang
bertingkahlaku agresif adalah kerap ponteng sekolah, suka membuli, merosakkan
harta benda sekolah (vandalisme), penyalahgunaan dadah, seks dan merokok.
Pengalaman yang dikemukakan oleh peserta kajian berkenaan ciri-ciri yang pelajar
yang berkelakuan agresif menunjukkan bawa para pelajar ini cenderung untuk
menimbulkan keadaan atau suasana yang tidak selesa dan tegang di sekolah.
Kenyataan ini dikukuhkan lagi oleh kajian Garbarino (2002) yang menyatakan
bahawa pelajar agresif ini kurang sensitif terhadap persekitaran sosial dan lebih suka
mendatangkan mudarat serta mempunyai niat untuk merosak dan mendatangkan
bahaya kepada orang lain yang akhirnya menghasilkan fenomena vandalisme dan
buli.

Selain itu, ciri-ciri pelajar bertingkah laku agresif yang agak ketara ditonjolkan
oleh peserta kajian adalah sikap suka ponteng kelas. Ini turut didapati hasil analisis
yang dilakukan oleh Maguin & Loeber (1996) dalam Moeller (2001) yang mendapati
bahawa sebilangan 35% pelajar yang rendah pencapaian akademik lebih
berkecenderungan akan menjadi delinkuen berbanding dengan 20% yang baik
dalam bidang akademiknya. Ini menunjukkan bahawa minat yang kurang terhadap
ilmu, disusuli sikap malas belajar mendorong pelajar mengalih perhatian kepada

63
perkara-perkara yang tidak sewajarnya. Arieff Salleh dan Wardah Mokhtar (2003)
juga mengulas mengenai ciri-ciri kecelaruan personaliti anti-sosial iaitu tidak suka
belajar. Bermaksud pelajar lebih suka kebebasan dan menganggap perbuatan
merayau-rayau di kawasan sekolah dan tidak masuk ke kelas adalah suatu bentuk
pencapaian kerana berjaya bebas dari kongkongan guru. Pelajar agresif juga
kerapkali menunjukkan ciri-ciri memberontak seperti merosakkan harta sekolah.

Dalam kajian ini juga didapati bahawa terdapat beberapa kes pelajar yang
terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan aktiviti seks walaupun tidak dapat
dihuraikan secara jelas bagi menghormati kerahsiaan pelajar dan pihak sekolah.
Walaubagaimana pun, keadaan ini bukanlah suatu fenomena asing jika berhadapan
dengan golongan remaja. Dalam usia sebegini lah kecenderungan mereka mencuba
sesuatu yang baru amat kuat. Lebih-lebih lagi jika dipengaruhi oleh rakan-rakan
sebaya dan menganggap perbuatan itu hanyalah suatu transisi pengalaman sebelum
menginjak alam dewasa. Keseronokan yang dicari melalui aktiviti tersebut akan
memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap kesihatan diri, malah boleh
menjejaskan masa depan pelajar itu sendiri. Kenyataan ini juga di sokong oleh satu
data kajian Brener et al., 1999; Gottfredson, 1996; Kaufman et al., 2000; Marzuki
Yusoff, 2005; Nansel et al., 2001 yang mendapati bahawa pelajar lelaki lebih
cenderung melakukan salah laku disiplin seperti peras ugut, kecederaan
menggunakan senjata api, buli, meminum alkohol dan menyalahgunakan dadah.

Apa yang menarik dalam tema ciri-ciri ini adalah aspek yang dianggap penting
oleh pengkaji serta peserta kajian yang terdiri daripada guru Pendidikan Islam adalah
berkenaan dengan amalan keagamaan pelajar terutamanya solat. GPI menjelaskan
persepsi bahawa solat merupakan benteng kepada tingkah laku yang tidak baik dan
ganas. Sekiranya amalan solat diabaikan, ini akan memberi kesan kepada
pembentukan tingkah laku yang murni. Dapatan ini hanya dinyatakan oleh GPI
sahaja. Ini bermakna, GPI melihat keagresifan tingkah laku pelajar dari sudut
kerohanian selain juga menyatakan sudut pandang yang general bagi setiap guru
biasa dalam menginterpretasi ciri-ciri pelajar bertingkah laku agresif.

Kesimpulannya, setelah mengenal pasti ciri-ciri yang ditunjukkan oleh pelajar-


pelajar agresif ini, para guru, kaunselor, pentadbir atau semua pihak yang terlibat

64
akan dapat memahami dan mendalami jiwa pelajar ini seterusnya meningkatkan
usaha dalam menghasilkan pendekatan atau strategi terbaik untuk menangani isu ini
sesuai dengan kehendak pelajar.

5.3.3 Strategi Menangani Pelajar Bertingkah Laku Agresif

Melalui dapatan kajian juga, pengkaji dapat melihat strategi-strategi atau tindakan
yang diambil oleh para guru khususnya GPI bagi menangani pelajar yanag
bertingkah laku agresif ini. Antaranya termasuklah menguatkuasakan peraturan
sekolah, mengadakan program, peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak
terutamanya kaunselor dan guru disiplin. Berdasarkan kepada ciri-ciri yang
ditunjukkan oleh pelajar agresif, guru-guru di sekolah sewajarnya merancang aktiviti
yang dapat memenuhi keperluan pelajar ini agar mereka tidak terus terabai dan
melakukan perkara yang melanggar norma-norma masyarakat.

Seterusnya, pihak pentadbir sekolah juga boleh menangani masalah disiplin


murid dengan cara memperketat pelaksanaan peraturan sekolah, mengenakan
hukuman yang berat kepada mereka yang terlibat supaya menjadi teladan kepada
murid yang lain. Dalam mengatasi masalah disiplin pelajar, pihak sekolah patut
memainkan peranan utama. Pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang
sewajarnya di atas masalah disiplin di sekolah. Pihak disiplin sekolah mesti
berfungsi dengan baik dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Guru-guru
juga perlu diberi kuasa untuk melaksanakan peraturan sekolah selain meletakkan
tanggungjawab total kepada guru disiplin.

Pelaksananan disiplin di sekolah-sekolah perlu tegas. Strategi melaksanakan


dan mengawal disiplin perlu bersesuaian dengan jumlah pelajar kerana
pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang berlainan. Tanggungjawab
menegakkan disiplin tidak terhad kepada guru disiplin atau pengetua sahaja, bahkan
memerlukan kerjasama antara semua pihak. Semua guru adalah guru disiplin. Bagi
kes-kes tertentu seperti tingkah laku antisosial seperti merokok, penyalahgunaan
bahan terlarang, ponteng sekolah atau kelas, buli dan sebagainya harus
melaksanakan hukuman keras ke atas pelajar-pelajar. Ini disebabkan pelajar yang

65
melakukan kesalahan disiplin tidak akan merasa sedih dan menyesal sekiranya tidak
dihukum. Pelajar akan sering untuk mengulangi kesalahan yang sama berulang kali
akibat tidak ada penegasan denda yang membuatkan mereka insaf dan tidak mahu
melakukan perkara itu lagi.

Selain itu, konsep denda yang dilaksanakan juga akan membuatkan para
pelajar yang lain juga dapat mengambil iktibar dan teladan apabila melihat rakan
mereka dihukum. Tidak dinafikan peranan kaunselor dalam memberikan kata-kata
rangsangan ke arah perubahan sikap pelajar. Namun jika hanya mengharapkan sesi
kaunseling semata-mata tanpa ada denda atau hukuman pelajar akan kurang
terangsang untuk berubah. Kaunseling lebih bertindak sebagai pemberi kesedaran
manakala hukuman adalah sebagai pengajaran kepada kesalahan yang telah
dilakukan oleh pelajar. Maka, kesedaran seseorang pelajar yang bertingkah laku
agresif ini amat memerlukan gabungan pendidikan secara lembut iaitu kaunseling
dan pendidikan keras iaitu hukuman dari guru disiplin. Tambahan pula, tindakan
memberi hukuman seperti merotan menurut Islam, Buddha dan Kristian adalah tidak
salah jika bertujuan untuk memberi pendidikan selagi tidak mendatangkan mudarat
kepada pelajar.

Lebih menarik pada pandangan penyelidik ialah kemunculan beberapa idea


dan pendapat dari GPI dalam menjawab persoalan strategi atau pendekatan yang
sesuai bagi menangani isu-isu tingkah laku agresif di kalangan pelajar. GPI
menekankan aspek pembinaan rohani berbanding hukuman atau denda. Rata-rata
mencadangkan agar dilaksanakan program-program berbentuk muhasabah dan
pemantapan ibadah kepada para pelajar. Suatu kajian oleh oleh Kyriacou dan Martin
(2010), menyatakan bahawa masyarakat telah mengambil pendekatan untuk
mengamalkan agama, peraturan dan budaya untuk mendisiplinkan seseorang
individu. Hal tersebut demikian disebabkan oleh pola pemikiran masyarakat di barat
telah mula menyedari kelemahan sistem, peraturan dan dasar yang digubal oleh
manusia bagi menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Justeru,
mereka membuat kesimpulan mengenai keperluan kepada pemantapan disiplin
khususnya melalui agama (O’Neill & Stephenson, 2012). Dapatan kajian Wan
Norasiah Wan Ismail (2003) mengenai gejala sosial dalam kalangan remaja FELDA
juga menyamai dapatan kajian ini. Kajian beliau mendapati faktor penyumbang

66
utama penglibatan remaja dalam gejala negatif seperti meminum arak,
penyalahgunaan dadah dan menonton video lucah disebabkan memiliki didikan
agama yang rendah. Kajian tersebut beliau turut menjangkakan generasi FELDA
Islam masa depan akan menghadapi kemerosotan akhlak sekiranya remaja masa kini
tidak disediakan dengan pendidikan agama yang mencukupi khususnya dalam aspek
tauhid dan ibadah.

Jangkaan tersebut turut menyamai pandangan Yusuf Al-Qaradawi (1985) iaitu


sekiranya pelajar ketandusan aqidah, mereka akan mudah terpengaruh dengan
agenda negatif yang menafikan tauhid Uluhiyah. Implikasinya, pelbagai kemungkaran
akan mereka laksanakan yang mengakibatkan kemerosotan dalam kehidupan
bersosial. Mereka akan lupa untuk bersolat, membaca Al Quran dan melanggari
hukum hakam agama dengan melaksanakan tegahan. Jangkaan pandangan tokoh
tersebut turut menggambarkan faktor persekitaran dalaman dan luaran diri murid
amat mempengaruhi pembentukan akhlak mereka pada masa hadapan. Gambaran
tersebut dilaporkan Ibn Miskawayh dalam kitab beliau bertajuk Falsafatuhu al-
Akhlaqiyya wa Masadiruha. Pandangan tersebut dirungkai semula oleh Mohd Nasir
Omar (1998) dengan menyatakan bahawa tingkah laku seseorang dipengaruhi oleh
dua faktor penyumbang iaitu bersifat tabii seperti berasa takut kepada sesuatu,
mudah ketawa dan sukar menangis. Keduanya, tingkah laku seseorang murid
dipengaruhi oleh disiplin diri yang bermula dengan pemikiran kendiri yang dibentuk
secara formal seperti proses PdPc dan informal (berkawan). Selanjutnya,
persekitaran luaran dan dalaman pula akan menyokong pembentukan amalan secara
konsisten. Dalam konteks kajian ini, tingkah laku pelajar berupaya dibentuk melalui
pembinaan kurikulum yang menjadi garis panduan guru untuk mendidik pelajar
seperti penambahan elemen muhasabah dalam refleksi pengajaran di bilik darjah.

5.4 Kesimpulan Dapatan Kajian

Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi guru


Pendidikan Islam terhadap isu-isu pelajar bertingkah laku agresif adalah lebih
menjurus kepada pemantapan rohani. GPI menyedari bahawa akhlak dan
kepentingan pendidikan keagamaan adalah kritikal dalam membentuk generasi

67
berakhlak selari dengan rentak pembangunan negara. Pelbagai dasar, sistem,
perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan pendidikan di
negara ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat
Malaysia yang memiliki keperibadian yang mulia dan seimbang (Suzalie Mohamad,
2003). Komitmen padu ini dapat dilihat melalui beberapa transformasi yang berlaku
terhadap kurikulum di Malaysia iaitu Kurikulum Bersepadu dan digantikan dengan
Kurikulum Standard yang digubal hasil dari semakan terhadap kurikulum terdahulu.
Kedua-dua jenis kurikulum yang berteraskan Falsafah Pendidikan Negara
menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu menyeluruh, peluang
dan kualiti pendidikan yang sama bagi semua murid dan pendidikan sepanjang
hayat. Penggubalan dasar tersebut bertujuan untuk membentuk sebuah generasi
yang seimbang dan harmoni dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan mereka kepada Tuhan (Abdul Hafiz Mat
Tuah, Zakaria Stapa, & Ahmad Munawar, 2012).

GPI juga peka terhadap penyampaian kandungan pengajaran yang berkesan


kerana dipercayai berupaya mempengaruhi tingkah laku murid bagi membentuk
generasi berakhlak mulia (Bowen & Bowen, 2009). Hal tersebut selari dengan
dapatan kajian Muhammad Faizal A. Ghani et.al (2016) mengenai strategi
penyelesaian masalah disiplin murid Islam. Kesemua peserta kajian telah bersepakat
untuk menyetujui pengajaran guru Pendidikan Islam berupaya menyelesaikan
masalah disiplin murid Islam dalam aspek akhlak, amalan membaca Al Quran,
amalan solat, pemahaman mengenai hukum agama, aktiviti bersosial dan
penggunaan bahan tegahan. Namun, kebanyakan murid Islam beranggapan
Pendidikan Islam sebagai salah satu mata pelajaran yang membantu meningkatkan
gred akademik berbanding kepentingan untuk amalan. Gambaran jelas diberikan oleh
Suzalie Mohamad (2003) bahawa anggapan murid terhadap Pendidikan Islam adalah
mata pelajaran teras yang perlu lulus untuk memperbaiki gred akademik semata-
mata. Oleh itu, adalah menjadi suatu cabaran terhadap GPI untuk mengembangkan
peranan sebagai murabbi, mursyid, mudarris, muallim dan bersedia menambah satu
lagi nilai iaitu sebagai hakim kepada pelajar untuk menilai dan menjatuhkan
hukuman sewajarnya berlandaskan kehendak agama Islam.

68
Selanjutnya, beberapa cadangan penyelesaian isu tingkah laku agresif oelajar
juga diketengahkan seperti melalui proses pengajaran dan pembelajaran mata
pelajaran Pendidikan Islam. Objektif penggubalan mata pelajaran tersebut adalah
untuk mengasuh, mendidik dan mengembangkan potensi murid dalam aspek
jasmani, rohani, intelek dan emosi bagi melahirkan insan seimbang yang mampu
untuk membangunkan diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam. Di
samping itu juga, pembelajaran mata pelajaran tersebut berupaya untuk
mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat.
Justeru, kesemua pihak terlibat terutamanya, guru, pentadbir dan pelajar sendiri
seharusnya menyedari kepentingan mata pelajaran Pendidikan Islam ini bukan
sahaja salah satu mata pelajaran yang diajar sebagai komponen teras peperiksaan
semata-mata, tetapi juga sebagai salah satu mekanisme untuk membangunkan diri
manusia berdasarkan ajaran Islam. Selanjutnya, berperanan untuk membangunkan
keluarga dan masyarakat menjadi negara yang diredhai Allah.

5.5 Implikasi Dapatan Kajian

Dapatan kajian ini membawa kepada beberapa implikasi, antaranya seperti berikut;

5.5.1 Implikasi Kepada Guru

Sering diwar-warkan suatu istilah yang menyatakan bahawa guru adalah ibubapa
pelajar di sekolah. Sebagai golongan yang dipandang tinggi oleh pelajar, guru
hendaklah berperanan sebagai pemantau aktiviti pelajar sewaktu di sekolah. Sikap
pihak pentadbiran sekolah dan masyarakat amnya. Para guru akan mendapat
manfaat dari hasil kajian ini di mana mereka dapat menilai ciri-ciri tingkahlaku pelajar
yang agresif, seterusnya menggunakan pendekatan yang sesuai untuk mendidik
mereka. Penambahbaikan terhadap kemahiran yang berkaitan dengan komunikasi
guru-pelajar juga amat digalakkan agar hubungan baik dapat diwujudkan sekaligus
mencetus suasana hormat-menghormati serta saling memahami antara kedua-dua
pihak. Dengan ini, pelajar akan merasa diri mereka bernilai dan diberi perhatian yang
akhirnya membawa kepada perubahan tingkah laku pelajar.

69
5.5.2 Implikasi Kepada Pentadbir Sekolah

Bagi pihak sekolah pula, kajian ini memberi implikasi yang sangat luas. Jika sekiranya
sebelum ini kawalan disiplin kurang memuaskan mengakibatkan pelajar semakin
berani bertindak agresif, maka adalah wajar bagi pihak sekolah menyediakan
suasana yang selamat di sekolah dengan cara mengemaskini langkah-langkah
kawalan disiplin di sekolah. Ketegasan pihak pentadbir amat diperlukan bagi
menangani krisis tingkah laku pelajar yang agresif ini di samping mewujudkan
suasana pembelajaran yang harmonis di sekolah. Peranan pihak pentadbir sekolah
juga adalah untuk memastikan setiap warga pendidik bersatu dan bekerjasama bagi
membendung isu ini dan tidak hanya bergantung kepada kuasa dan usaha guru
kaunseling dan guru disiplin semata-mata. Dalam erti kata lain, pihak sekolah adalah
satu jambatan yang menghubungkan kesemua komponen dan lapisan pihak yang
boleh menjayakan matlamat mengurangkan isu-isu pelajar agresif di sekolah.

5.5.3 Implikasi Kepada Ibubapa

Peranan utama ibu bapa untuk menghadapi isu tingkah laku agresif ini ialah memberi
didikan dan perhatian yang cukup kepada anak-anak. Ibubapa haruslah memberikan
didikan agama yang paling asas sekurang-kurangnya kepada anak-anak sejak dari
kecil lagi ibarat pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Taraf hidup
keluarga yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian akan
memberi kesan buruk terhadap perkembangan tingkah laku anak-anak.
Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan
anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak
sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.
Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan
antara ibubapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat
bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu pelajar yang bermasalah dengan
mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibubapa juga perlu memastikan bahawa

70
nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah Bagai me
ncurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja
perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada
mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak
mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda
dan wang ringgit.

Secara tuntas, implikasi kajian ini berupaya membantu pihak berkepentingan dalam
pendidikan menangani masalah tingkah laku agresif pelajar khususnya pihak sekolah
dan keluarga. Pentadbir sekolah dan guru berupaya menjadikan dapatan kajian ini
sebagai panduan untuk menyelesaikan isu-isu disiplin pelajar menerusi pelbagai
proses. Manakala, ibubapa dan masyarakat berupaya berganding bahu dengan pihak
sekolah dengan mewujudkan persekitaran rumah yang kondusif bagi meredakan
pergolakan dalaman anak-anak dan mengembalikan fokus mereka terhadap
pelajaran dan masa hadapan yang gemilang.

5.6 Cadangan kajian lanjutan

Kajian ini merupakan kajian kecil yang hanya dijalankan kepada 5 orang guru di
Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan Semporna. Oleh itu, untuk mendapatkan
gambaran yang lebih menyeluruh mengenai isu-isu pelajar yang bertingkah laku
agresif, sewajarnya kajian yang menggunakan informan yang lebih ramai perlu
diadakan. Selain itu, pengkaji mencadangkan agar kajian seterusnya dijalankan
dengan mengguna pakai pendekatan dan metodologi yang lebih meluas seperti
analisis dokumen dan pemerhatian agar kajian yang dilaksanakan dapat
menghasilkan data dan kesahan yang kukuh.

Menurut pengkaji, adalah satu usaha yang amat baik sekiranya kajian
berkenaan tingkah laku agresif yang seterusnya dibuat dalam konteks kuantitatif
yang boleh digeneralisasikan kepada semua guru atau sekolah di Malaysia secara
khusus. Kajian seterusnya juga boleh memfokuskan tentang pembinaan modul atau
prosedur baharu untuk mengendali kes-kes berkaitan dengan pelajar yang agresif
selain memperkembangkan persoalan kajian meliputi pelbagai aspek lain yang belum

71
diteroka secara mendalam terutama yang berkaitan dengan hubungan pengamalan
agama terhadap tingkah laku agresif pelajar.

5.7 Kesimpulan

Yusuf Al-Qaradawi (1985) menyatakan bahawa tingkah laku yang buruk terhasil
disebabkan mereka kurang memenuhi syarat menepati hak kepada Allah dan
makhluk dalam erti kata lain mereka kurang mendekatkan diri dengan Allah swt.
Hasil daripada kajian ini, pengkaji menyimpulkan bahawa persepsi GPI terhadap isu
pelajar bertingkah laku agresif adalah suatu pendapat yang cenderung kepada
konsep Islam itu sendiri berbanding persepsi yang diberikan oleh dua peserta kajian
yang bukan dari kalangan GPI. Beberapa perkara harus diambil perhatian dalam
menangani isu pelajar agresif ini lebih-lebih lagi pendekatan agama. Pengkaji sendiri
berpendapat bahawa, hubungan keagamaan dengan pembentukan tingkah laku ada
suatu fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Pendapat ini bukanlah menidakkan
keberkesanan teori-teori barat dalam isu tingkah laku ini, tetapi tiada salahnya jika
cuba melaksanakan pemulihan ke atas pelajar mengikut sudut agama. Akhir sekali,
penglibatan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan perubahan sikap para
pelajar agar gejala agresif dapat dibendung daripada terus menular dan berpotensi
membantutkan kemajuan negara di masa akan datang.

72

You might also like