You are on page 1of 2

JURNAL MINGGU 1

(13 JULAI 17 JULAI 2014)


1. MASALAH
Sepanjang berada di Sekolah Kebangsaan Bukit Mundok pada minggu pertama
ini bagi menjalani Praktikum Fasa 2, saya telah berupaya mengenalpasti satu
masalah yang sering berlaku di dalam kelas khusunya ketika berlangsung proses
pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pembelajaran koperatif
(cooperative learning). Saya telah mengenalpasti bahawa apabila sesuatu aktiviti
bercorak berkumpulan diadakan di dalam kelas, tidak semua murid akan
melibatkan diri mereka sepenuhnya secara aktif di dalam sesebuah kumpulan itu
ketika aktiviti P&P dibuat.

2. ANALISIS
Setelah menganalisis masalah berkaitan penglibatan murid dalam aktiviti
berkumpulan ini secara terperinci, saya telah mengesan punca mengapa
berlakunya masalah ini. melalui pemerhatian dan analisis yang dilakukan,
masalah ini berlaku disebabkan setiap murid tidak ditekankan dengan jelas
tentang peranan mereka dalam aktiviti P&P yang dibuat. Sebagai contoh dalam
mata pelajaran sains, apabila mereka diberikan tugas untuk membuat peta
minda dalam kertas mahjung secara berkumpulan, hanya sebilangan murid yang
gigih berbincang dan membina peta minda sementara yang lain hanya
memerhati dan bercakap-cakap dengan rakan mereka. Selain itu faktor bilangan
ahli yang terlalu ramai dalam kumpulan turut mempengaruhi penglibatan murid
secara aktif. Mereka akan tidak memberi komitmen yang penuh kerana sudah
ada ahli kumpulan mereka yang melakukan kerja yang disuruh. Di samping itu,
perbezaan kepandaian individu turut memainkan peranan penting. Sekiranya
semua ahli dalam kumpulan tersebut adalah lemah, sudah pasti kumpulan ini
akan mengalami masalah untuk melakukan kerja kerana tiada ketua yang
mampu membimbing serta memberikan idea.

3. CADANGAN
Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan supaya setiap murid dijelaskan
secara terperinci tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam
sesuatu aktiviti yang dijalankan. Sebagai contoh, apabila melakukan aktiviti
lakonan di dalam bilik darjah, setiap murid akan dijelaskan peranan mereka
dalam aktiviti lakonan tersebut. Begitu juga dalam aktiviti membina peta minda
dalam kertas mahjung. Setiap mereka akan dibahagikan tugas supaya setiap
mereka akan jelas dengan aktiviti yang dilakukan serta tidak berlaku perkara
seperti tidak mengendahkan atau tidak mengambil peduli tentang aktiviti yang
dijalankan. Selain itu juga, bilangan ahli bagi setiap kumpulan seharusnya tidak
melebihi 3 orang kerana dikhuatiri mereka akan bermain dan tidak melakukan
kerja kerana terlalu ramai ahli kumpulan. Dalam pada itu juga, guru seharusnya
peka dalam pembahagian ahli kumpulan. Pembahagian ahli kumpulan mestilah
berdasarkan tahap murid. Sebagai contoh, dalam sesebuah kumpulan itu murid
haruslah terdiri daripada murid yang pandai sederhana dan lemah. Jangan
membahagikan murid secara rawak kerana ini mungkin akan menyebabkan
murid yang lemah akan terkumpul sekali. Hal ini secara tidak langsung
mengakibatkan aktiviti kumpulan tidak dapat berjalan lancar.

4. KESIMPULAN
Melalui cadangan penambahbaikan ini, diharapkan agar masalah dihadapi pada
minggu ini dapat di atasi secara optimum yang mungkin untuk masa yang akan
datang kelak. Diharapkan agar penglibatan murid dalam P&P secara
berkumpulan dapat berjalan dengan baik dengan adanya komitmen padu
daripada semua ahli kumpulan dalam melaksanakan tugasan diberi.

Disediakan oleh; Disemak oleh;

(AHMAD FERDAUS BIN NORHASIM) (ROSDI BIN OMAR)
Pelajar 6 PISMP Sains Pensyarah Pembimbing,
IPG Kampus Sultan Mizan Praktikum Fasa 2,
Besut, Terengganu. IPG Kampus Sultan Mizan.

You might also like