You are on page 1of 11

1

1.0 PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum terkenal di merata dunia.
Tiga kaum yang utamanya adalah Melayu, Cina dan India selain mempunyai puluhan etnik
di Sabah dan Sarawak. Malaysia pernah mengalami titik hitam dalam sejarahnya apabila
pernah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu. Ia merupakan
kemuncak perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka baik dari segi eknomi, politik
mahupun sosial.
Maka, bagi mengelakkan situasi yang sama berulang, kerajaan telah melancarkan
satu dasar yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 dengan
mempraktikkan strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya
membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang
pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum selain untuk mempercepatkan
proses penyusunan semula masyarakat Malaysia demi memperbetulkan ketidak
seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan
kaum mengikut fungsi ekonomi.
Sungguhpun tidak dinafikan ramai dalam kalangan Bumiputera yang memasuki
arena pentadbiran negara, namun ekonomi itu masih dimonopoli oleh golongan tertentu
yang mempunyai kepentingan. Ketidakadilan dalam agihan kekayaan negara mengikut etnik
seperti yang diharapkan DEB yang menyasarkan pemilikan 30.0% pemilikan Bumiputera
telah mengakibatkan berlakunya tindak balas keganasan akibat daripada keterdesakan
dalam kehidupan. Masalah sosial semakin menjadi-jadi, rasuah dan kroni, setinggan,
masalah kecurian akibat kemiskinan mengundang bencana kepada negara dan sekiranya
dibiarkan, letusan rusahan etnik seperti yang pernah berlaku dahulu mungkin berulang
kembali.

2.0 DEFINISI
2.1 Ekonomi
Ekonomi menurut kamus dewan ditakrifkan sebagai suatu politik ilmu yang berkaitan dengan
asas-asas pengeluaran, pembahagian, penggunaan barang-barang, dan perkhidmatan
serta masalah yang bersangkutan . Ia juga merjujuk kepada suatu sistem atau cara
pengeluaran meliputi pembahagian dan penggunaan harta atau barang-barang serta
perkhidmatan.
2

2.2 Kemiskinan
Miskin menurut Kamus Dewan bermaksud serba kekurangan barang-barang keperluan
hidup atau papa. Oleh itu, kemiskinan bolehlah ditakrifkan sebagai suatu paras
kesejahteraan di bawah keperluan miniumum isi rumah daripada segi pemakanan, pakaian,
perumahan, kesihatan dan keperluan-keperluan asas yang lain bagi memenuhi tuntutan
duniawi. Dalam kontek Negara, Kemiskinan diukur dengan membandingkan paras mutlak
pendapatan isi rumah dengan pendapatan yang diperlukan bagi perbelanjaan minimum atau
dikenali juga sebagai pendapatan garis kemiskinan.
2.3 Perpaduan
Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan perpaduan
sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan, dan perihal berpadu
(bergabung menjadi satu, sepakat dan lain-lain). Dalam pengertian yang lain, perpaduan
bererti hubungan erat yang bersifat toleransi bagi mencapai matlamat secara jujur dan
ikhlas. Perpaduan juga adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat bagi
membentuk satu identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara.

3.0 DASAR EKONOMI BARU
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu program sosio ekonomi diperkenalkan oleh bekas
Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato Hussien. Matlamat tersurat DEB
adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam
konteks strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi
kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan
untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta mempercepatkan proses
penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan
ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum
mengikut fungsi ekonomi.
Dasar ini diperkenalkan pada tahun 1970. Dasar ini diperkenalkan dalam usaha
mendokong perlembagaan Negara dalam menjaga hak melayu disamping tidak
meminggirkan hak bangsa lain. Selain daripada itu, dasar ini juga meliputi semua kaum di
Malaysia terutama dalam mencapai objektif yang pertama.


3

3.1 Data ekonomi
Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung
Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin.Dari jumlah semua keluarga miskin
86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan bandar. Kadar kemiskinan
mengikut kaum dicatatkan pada Jadual 1.1
Kaum Kadar Kemiskinan
(Peratus)
Kemiskinan Pendapatan
Purata Keluarga Sebulan (RM)
Melayu 64.8 172.00
Cina 26.0 394.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00
Jadual 1.1 : Kadar Kemiskinan dan Pendapatan Purata Mengikut Etnik 1970
Sementara itu, kadar pemilikan modal modal saham dalam kalangan bumiputera
hanya 2.4% peratus sahaja. Peratusan ini jauh lebih kecil berbanding dengan kadar
pemilikan yang dimiliki oleh kelompok bukan Bumiputera seperti yang dicatatkan pada
Jadual 1.2.
Pemilikan Jumlah Pemilikan (RM
Juta)
Peratus
Bumiputera Perseorngan dan
Agensi Amanah
279.6 4.3
A. Bumiputera 168.7 2.6
B. Agensi Amanah 110.9 1.7
Bukan Bumiputera 2233.2 34.0
Warganegara Asing 4051.3 61.7
Jumlah 6564.1 100
Jadual 1.2 : Kadar Pemilikan Modal Saham dalam Syarikat Berhad Berdasarkan Kelompok
1970.
Apabila dilihat dari sudut pembahagian pekerjaan pada tahun 1970 pecahan mengikut kaum
adalah seperti berikut (%).


4

Sektor-sektor Melayu Cina India Lain-lain
Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
Perniagaan, Perdagangan,
Pentadbiran Awam,
Pelajaran, Pertahanan dan
Kemudahan Awam

42.6

45.5

10.7

1.2
Jadual 1.3 :Pecahan Dalam Sektor Pekerjaan Mengikut Etnik Pada Tahun 1970

4.0 FAKTOR KEGAGALAN DEB
4.1 Kelembapan Ekonomi
Akibat kelembapan ekonomi dunia yang berpanjangan pada tahun 1980an, pertumbuhan
ekonomi negara turut terjejas dan catatan pertumbuhan pada kadar purata 5.8% sahaja.
Krisis ekonomi dunia telah mengurangkan penekanan terhadap penyusunan semula
masyarakat dan lebih menumpukan kepada maklamat DEB yang pertama iaitu membasmi
kemiskinan. Kerajaan telah mengambil langkah dengan menyediakan peluang pekerjaan
kepada golongan menganggur yang terdiri daripada kalangan pekerja biasa dan
berpelajaran tinggi serta golongan miskin di samping mengurangkan pengenalan fungsi
ekonomi mengikut kaum. Kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia ini juga, kemampuan
Bumiputera serta ruang untuk kerajaan melabur dan membeli ekuiti adalah terhad,
memandangkan lebih banyak tumpuan diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi.
4.2 Sikap orang Melayu
Antara faktor kegagalan DEB itu sendiri adalah disebabkan oleh sikap orang Melayu. Tidak
dapat dinafikan DEB berjaya mewujudkan kelas menengah Melayu yang ramai yang rata-
rata menjawat jawatan tinggi disektor kerajaan dan swasta melalui peluang pendidikan
kepada orang melayu. Walau bagaimanapun, orang Melayu tetap gagal menjadi pemain
utama dalam aktiviti ekonomi.
Orang Melayu dikatakan terlalu manja kerana mendapat hak keistimewaan orang
Melayu dan sikap inilah yang menyebabkan orang Melayu terus tersungkur di persada
ekonomi negara kerana terlalu mengharapkan bantuan yang dihulurkan oleh agensi
kerajaan berpaksikan Ketuanan Melayu. Orang Melayu terlalu mengharapkan polisi politik
untuk membaik pulih kedudukan orang Melayu.
5

Perlu diingatkan bahawa DEB hanya mensasarkan penglibatan 30.0% Bumiputera
dalam bidang ekonomi, pencapaian 20.0% pada masa itu dilihat sebagai satu kejayaan
yang besar. Namun, ia bukanlah hasil atau iklim semula jadi kerana kemampuan kerana
timbulnya isu sangsi tentang kemampuan Bumiputera untuk bersaing jika iklim biasa
dikembalikan. Bahkan, kerajaan sendiri mengatakan bahawa hampir semua 20.0% milik
Bumiputera akan hilang jika perlindungan yang ada sekarang dihapuskan. Malah, ada
pendapat mengatakan bahawa 30.0% pemilikan Bumiputera seperti yang dihasratkan DEB
telah pun dicapai tetapi 10.0% peratus daripada yang diperolehi oleh Bumiputera itu telah
dijual balik kepada bukan Bumiputera untuk mendapat keuntungan cepat.
4.3 Ekonomi Cina
Tidak ada sesiapa yang dapat menyangkal dakwaan bahawa sememangnya ekonomi
dikuasi oleh orang Cina sehingga sekarang bahkan sebelum DEB diperkenalkan lagi.
Sungguhpun pembasmian kemiskinan seperti yang dinyatakan DEB tidak mengira kaum
tetapi konsentrasi diberikan kepada orang Melayu kerana mengambi kira perlembagaan
yang memperuntukkan hak keistimewaan pada Melayu. Polisi politik yang diperkenalkan ini
gagal menyaingi kekuatan kuasa ekonomi yang sewaktu itu memang dipegang oleh
golongan Cina. Polisi-polisi ciptaan DEB sungguhpun mendapat restu dari wakil kaum-kaum
lain khususnya dari kaum Cina, tetapi restu itu adalah dari golongan Cina yang memegang
kuasa politik.
Sejak awal lagi, polisi DEB dibantutkan atau disabotaj oleh pemegang kuasa
ekonomi pada masa itu. Hal ini kerana berlaku pertentangan polisi daripada politik dengan
kuasa pemegang ekonomi. Usaha untuk memajukan orang Melayu tidak berhasil kerana
berlaku sabotaj bahkan juga mungkin rasuah dalam kalangan pemimpin dan penguasa
ekonomi pada masa itu.
4.4 Korupsi dan Kroni
Manusia tidak akan lari daripada sikap memperjuangkan sesuatu yang memberi kebaikan
keatas dirinya atau keluarganya. Pernah terjadi di Malaysia apabila pemimpin mencipta
kemiskinan dimana DEB dieksploitasi untuk kepentingan peribadi pemimpin.
Dalam kata lain, DEB yang dalam bentuk asalnya membabitkan intervensi kerajaan
tidak dimatangkan menerusi kaedah kreatif institusi pro-bisnes, menyebabkannya mudah
dipandang negatif dan dituduh perosak serta anti pasaran. Banyak contoh pemimpin politik
Melayu berebut-rebut sekongkol dengan kroni memfaraidkan GLC dan aset milik awam
ciptaan DEB yang akhirnya mengakibatkan masalah korupsi dan kronisme yang digunakan
6

sepenuhnya oleh musuh sebagai hujah menentang DEB. Sesetengah pemimpin politik
Melayu mengambil kesempatan mengkroni Dasar Penswastaan, bukan saja dulu, bahkan
kini perkara yang sama juga berlaku.
Salah guna kuasa politik berleluasa dalam melaksana Dasar Penswastaan yang
diperkenalkan seterusnya mengetepikan DEB. Contohnya, kes penswastaan rangkaian
hospital pakar milik Pantai Holdings Bhd kepada individu swasta kroni pilihan pemimpin
tinggi politik Melayu itu sendiri demi memenuhi tuntutan peribadi.

5.0 IMPLIKASI SOSIAL
Sesuatu dasar yang mulanya digubal untuk memberi kebaikan kepada keseluruhan
masyarakat di Malaysia namun akhirnya memberi kesan atau impak yang tidak baik kepada
negara disebabkan oleh faktor-faktor yang telah dinyatakan tadi. Berikut adalah antara
implikasi sosial yang tercetus akibat kegagalan DEB.
5.1 Kemiskinan Bandar
Kemiskinan bandar berlaku disebabkan ketidakupayaan merebut peluang ekonomi oleh
kerajaan, tidak berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Program Rakyat Termiskin,
berserah kepada nasib dan pergolakan dalam institusi keluarga. Kemiskinan bandar sering
dikaitkan dengan produktiviti ekonomi yang rendah, pendapatan isi rumah yang kurang,
kesukaran untuk mendapatkan kesampaian kepada kemudahan-kemudahan dan peluang-
peluang ekonomi.
Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diperkenalkan oleh kerajaan
dibawah DEB kurang memberi impak terhadap matlamat DEB itu sendiri untuk membasmi
kemiskinan disebabkan oleh proses pembandaran. Penduduk bandar mencapai 53%
daripada jumlah penduduk pada tahun 1993 dan peratusannya semakin meningkat tahun
demi tahun. Kekurangan rumah kos rendah ditambah pula dengan harga rumah yang
melambung menyebabkan ramai golongan penghijrah mendirikan kawasan setinggan di
tanah kerajaan yang mencacatkan pemandangan persekitraan bandar terutamanya.
5.2 Perpaduan
Selepas peristiwa berdarah yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dahulu telah
mewujudkan suatu dasar bagi memupuk perpaduan. Namun begitu, terdapat kesilapan yang
mengakibatkan struktur sosialitu sendiri goyah. Masyarakat ditekankan dengan elemen
7

keterlaluan peristiwa berdarah semata seolah tiada gambaran tentang perpaduan yang
digambarkan dan didoktrinisasikan melalui media massa.
Sifat-sifat utama perpaduan gagal difahami dan tidak disentuh oleh golongan
pemimpin ketika itu, antaranya elemen asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi.
Kebanyakkan daripada rakyat Malaysia sendiri beranggapan, sekiranya pembahagian kek
ekonomi seperti yang dirancang melalui DEB berhasil, maka secara automatik Malaysia
mampu mencapai perpaduan bersifat nasional. Namun, hasilnya ia tidak seperti yang
diharapkan. Perpaduan nasional telah ditafsirkan dengan fahaman sempit dan berubah
menjadi satu bentuk pertandingan merebut hak milik ekonomi..Asakan ganas perebutan hak
milik ekonomi bukan hanya menghasilkan konflik antara etnik, tetapi juga konflik dalaman
etnik tertentu.
5.3 Kawasan Setinggan
Usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada masa awal DEB dilancarkan diihat gagal dalam
mengatasi masalah kemiskinan bandar apabila banyak golongan bumiputera mendiami
kawasan setinggan Kerajaan mempunyai masalah peruntukan yang tidak cukup pada tahun
1994 untuk membiayai sepenuhnya perumahan kos rendah demi untuk mendahului projek-
projek yang bersifat mega seperti LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di
Sepang, Selangor yang bernilai RM 9.0 billion, maka akhirnya kerajaan terpaksa
menswastakan setinggan sebagai langkah menjayakan setiap rangka kerja kerajaan
memajukan negara.
Penswastaan setinggan diambil sebagai langkah alternatif iaitu dengan menyediakan
perumahan kos rendah melalui pihak swasta yang dijangka akan dapat menyelesaikan
masalah setinggan dengan lebih efisen sekaligus dapat membantu golongan miskin bandar
untuk menikmati kawasan perumahan yang selesa. Namun begitu, perumahan kos rendah
yang dibina melalui kontraktor yang diamanahkan mengambil peluang untuk menjana
keuntungan. Pembinaan rumah menggunakan bahan binaan yang bermutu rendah, ruang
yang sempit dan sebagainya membuatkan ramai penghuni setinggan tidak mahu berpindah
daripada kawasan mereka.




8

6.0 LANGKAH MENANGANI MASALAH
6.1 Rakyat
Antara langkah yang perlu dilakukan oleh rakyat secara keseluruhannya adalah memupuk
semangat perpaduan dalam kalangan mereka sendiri. Rakyat haruslah bergaul dan
memupuk persefahaman antara kaum dengan melakukan perkara-perkara asas seperti
memberi salam, bertegur sapa dan bertanya khabar dalam komuniti kecil seperti kawasan
perumahan demi memupuk persefahaman. Antara lain ialah kesungguhan untuk
mempelajari bahasa-bahasa yang ada di Malaysia untuk memenuhi tuntutan yang sama.
Contohnya, tidak semua perkataan yang dituturkan oleh bumiputera Brunei Sabah
membawa maksud yang sama dalam masyarakat Dusun. Natijahnya, apabila golongan
muda ini menguasai pelbagai bahasa, amalan percakapan yang sensitif atau biasa dalam
kaum yang sama namun merupakan perkataan yang berbisa dalam kaum yang berlainan
boleh dielakkan. Paling utama, masyarakat atau rakyat perlulah menghindari sebarang
tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan
yang dapat membangkitkan isu perkauman mengakibatkan pertelingkahan antara kaum,
seterusnya menjejaskan keamanan negara.
Dalam konteks kemiskinan walaupun terma kemiskinan itu adalah suatu yang subjektif untuk
diperdebatkan, namun sebagai sebuah negara seperti Malaysia yang sedang membangun,
kemiskinan sememangnya terjadi waima negara-negara maju seperti Amerika Syarikat
mempunyai masalah kemiskinan dan setinggan. Orang Melayu kebanyakkan mempunyai
masalah hasad dengki terhadap orang cina terutama apabila golongan ini mendominasi
hampir keseluruhan ekonomi negara. Sebagai warganegara berfikiran sejarah, seharusnya
masyarakat Melayu amnya menjadikan masalah ini sebagai suatu cabaran untuk lebih
memajukan diri. Penyakit hasad dengki dan suka menjatuhkan perniagaan orang lain
bukanlah sikap yang perlu ada dalam diri orang Melayu sekiranya mahu memajukan
bangsanya.
6.2 Kerajaan
Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar, kerajaan telah menukarkan Kementerian
Wilayah Persekutuan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar iaitu sebuah kementerian yang menyediakan satu pelan tindakan komprehensif
dalam melaksanakan program yang bersesuaian bagi menangani masalah kemiskinan
bandar di seluruh negara selain daripada berperanan dalam memperkukuh dan memperluas
program pembasmian kemiskinan bandar yang meruncing pada ketika itu.
9

Pertambahan penduduk kesan daripada kepesatan pembangunan bandar telah
mengundang kepada bertambahnya permintaan terhadap sektor perumahan oleh rakyat.
Namun, permintaan perumahan mampu milik oleh golongan miskin bandar tidak dapat
dipenuhi kerana pertambahan penduduk yang semakin meningkat. Hal ini kemudiannya
mewujudkan masalah setinggan.
Antara usaha yang dilakukan kerajaan ialah Program Pembangunan Rakyat Termiskin
(PPRT) iaitu satu program yang telah dijalankan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh iaitu
rancangan yang berlangsung pada tahun 1996 sehingga 2000. Manakala projek Perumahan
Rakyat (PPR) pula ialah salah satu program yang dilaksanakan dalam PPRT. Projek
Perumahan Rakyat telah dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara dengan
meletakkan objektif utama mengawal dan menempatkan semula setinggan serta memberi
kemudahan dan meringankan beban kepada golongan miskin. Golongan miskin ini diberi
bantuan dalam membina rumah yang lebih selesa ataupun mereka boleh memiliki rumah
yang dibina oleh kerajaan dengan harga yang lebih rendah dan mampu dimiliki.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memainkan peranan yang penting dalam menangani
masalah kemiskinan bandar. Ia mempunyai pelan strategik dalam melaksanakan setiap
program dan rancangan pembasmian kemiskinan bandar. Usaha yang dijalankan oleh PBT
ini disokong oleh pihak-pihak lain seperti sektor swasta, NGO ataupun persatuan penduduk.
PBT telah mengambil inisiatif dan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan projek
perumahan yang berskala besar bertujuan untuk menghapuskan ketidakseimbangan dalam
kalangan penduduk di kawasan bandar. Pada masa yang sama PBT juga menjamin akan
meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin bandar.
Isu-isu perumahan merupakan isu yang sukar untuk diselesaikan terutama sekali di bandar-
bandar besar seperti Kuala Lumpur. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan
badan yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah perumahan di Kuala Lumpur
selain bertanggungjawab dalam melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin di
sana. Antara yang dilakukan DBKL ialah membina rumah teres, rumah berkelompok, rumah
pangsa, rumah panjang (transit) untuk memenuhi keperluan perumahan golongan yang
berpendapatan rendah dan miskin di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1958.
Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas rasuah., tetapi yang membezakan
dalam tempoh satu-satu masa adalah tahap keseriusan jenayah rasuah yang berlaku.
Rasuah jika tidak diperangi habis-habisan akan memberi kesan yang buruk terutama
terhadap sistem pentadbiran negara.
10

Kesan amalan rasuah terhadap ekonomi ialah rasuah mempersulit kemajuan ekonomi
apabila kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai
dan efektif. Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya
perbelanjaan di luar akaun, belanja perundingan dengan pejabat yang korup dan serta risiko
pembatalan konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos
kerana birokrasi berjaya dicairkan namun sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya kerana pejabat
korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang baru. Rasuah
juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila syarikat
tertentu yang mempunyai hubungan dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan
industri yang tidak berdaya maju. Hal ini terjadi sehingga sekarang apabila ramai pemimpin
atasan hanya memilih syarikat tertentu lebih-lebih lagi dalam kalangan ahi keluarga untuk
mencapai kepuasan peribadi dan mengejar kemewahaan dunia tanpa memikirkan tentang
dosa dan pahala.
Tindakan awal yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah dengan membuktikan kesungguhan
mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum
pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan
bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa
ke muka pengadilan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
rakyat. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan
memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya.
Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa
memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman
yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.








11

7.0 KESIMPULAN
Tragedi hitam 13 Mei 1969 mengejutkan rakyat Malaysia lantas membangunkan para
pemimpin politik atas tersedar dari lamunan dan kembali kepada realiti bahawa perpaduan
nasional tidak boleh menyubur jika ketidakseimbangan sosioekonomi berlaku. Bagi
memastikan tragedi tersebut tidak berulang maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digubal
dengan bermatlamatkan perpaduan dengan menggunakan dua strategi iaitu pertama
membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan kedua menyusun semula masyarakat.
Walaupun DEB telah berakhir pada tahun 1990 semangatnya masih diteruskan melalui
dasar-dasar pengganti sehingga hari ini demi memastikan kelangsungkan DEB pada masa
dulu.. Hakikatnya tidak ada negara yang mampu maju dan makmur jika kaum majoriti
terpinggir dan ketinggalan dari segi sosioekonomi jika adapun sejarah telah menunjukkan
kemajuan dan kemakmuran tersebut bersifat sementara kerana negara berkenaan bukanlah
sebuah negara yang stabil.
Masalah sosial yang kebanyakkan berlaku pada hari ini merupakan impak yang diterima
akibat kegagalan DEB dahulu. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa DEB membolehkan
ramai kaum Bumiputera khasnya mendapat jawatan dalam sektor awal, namun hakikatnya,
kaum Bumiputera itu sendiri belum dapat menguasai ekonomi yang sepatutnya
berlandaskan nas-nas yang terkandung dalam perlembagaan. Masalah kroni dan rasuah
sehingga sekarang belum boleh dibanteras oleh pihak berkuasa kerana berlaku ketirisan
dalam integriti pada diri mereka sendiri kerana masing-masing hanya memikirkan
kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesanya terhadap negara. Masalah sosial lain
seperti gangguan di alam maya berpunca daripada perasaan iri hati kaum-kaum yang
terlibat baik kaum Melayu, Cina ataupun India.
Perkara penting yang harus dilakukan oleh kita sebagai rakyat adalah sentiasa berusaha
menjaga keamanan negara melalui perpaduan. Sifat tindas-menindas kaum tertentu harus
dielakkan kerana kita hidup dibawah satu payung yang sama walaupun berbeza dalam
banyak perkara. Setiap manusia memerlukan sebuah kehidupan yang selesa dan masing-
masing berusaha dalam mencapai kesempurnaan tersebut tetapi seharusnya melalui jalan
yang betul tanpa menindas antara satu sama lain. Paling utama adalah kita sebagai rakyat
harus berganding bahu bersama-sama kerajaan sekurang-kurangnya menyokong dalam
apa sahaja dasar yang membawa kebaikan kepada semua dalam mengatasi pelbagai
masalah negara seperti kemiskinan, perpaduan dan sebagainya.

You might also like