You are on page 1of 22

KEMAJUAN BAHASA MELAYU

DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA:


CABARAN DAN PELAN TINDAKAN
Prof. Dr. Awang Sariyan
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu
Kerajaan Malaysia di China
Beijing Foreign Studies University
[Kertas kerja yang disampaikan dalam Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam
(DMDI) di Melaka pada 12-14 Oktober 2011 dengan tema Dunia Melayu Dunia Islam
pada Abad Ke-21]
Pendahuluan
Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu lebih setengah abad yang silam di
Malaysia, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum
tahun 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak
untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan cita-cita dan
ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana
bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep
kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak
sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama
Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan,
2006, 2007 dan 2009). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa
bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama
lebih setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang dan
seterusnya tidak akan bererti apa-apa dengan hanya membicarakan perkembangan
bahasa tersebut sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi
sekelompok umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya
dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan daripada sudut
perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras
bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa yang
menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan
sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan
dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara. Sesungguhnya perkembangan
bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati
diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah
pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina
tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan
perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur
kemajuan bangsa.
Di peringkat supranasional pula, pembicaraan tentang perkembangan dan perancangan
bahasa Melayu wajarlah pula dipertalikan dengan cita-cita besar membentuk persatuan
umat Melayu sebagai mahawangsa atau bangsa besar, yang di sisi rencam dengan

kepelbagaian etnik dan budayanya di seluruh alam Melayu, masih dapat menampilkan
keperibadian yang bernaung di bawah tonggak-tonggak utama tamadun, terutama
bahasa Melayu dan agama Islam.
Bahasa Melayu sebagai Salah Satu Asas Kebangsaan dan Kenegaraan
Dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan tentang sejarah perjuangan kebangsaan untuk
menuntut kemerdekaan tanah air, telah dihuraikan bahawa kebangkitan semangat
kebangsaan yang berlangsung di negara ini merupakan kebangkitan semangat yang
holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad pada pembebasan
daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan turut merangkum aspek
bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan juga. Maka itu, muncul dalam kosa kata
bahasa Melayu frasa nasionalisme bahasa atau nasionalisme linguistik, dengan
pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan
memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan.
Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di
Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada tahun 1922), wartawan,
sasterawan, bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
(1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti kemerdekaan tanah air.
Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 sebagai badan perancangan
bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun yang sama dengan penubuhan badan
itu.
Pada pihak Kerajaan (yang bertaraf kerajaan sendiri sejak tahun 1955) sebelum
memperoleh kemerdekaan pada waktu itu, penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun
1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut
memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara ini. Pancang
yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa
Rahman Talib (1960) itulah yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan
diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996. Falsafah di baik penetapan
bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara itu
berkaitan rapat dengan agenda perpaduan kebangsaan, pembangunan yang berasaskan
acuan sendiri dan juga pendemokrasian pendidikan.
Dengan menggunakan bahasa penghantar utama yang sama, iaitu bahasa Melayu,
dicita-citakan berhasilnya pemupukan persefahaman dan tolak ansur yang membentuk
perpaduan kebangsaan. Demikian pula, kemajuan dalam bidang pendidikan negara
berlangsung dalam acuan sendiri apabila bahasa kebangsaan dijadikan asas untuk
membentuk pemikir, tenaga ilmu dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang. Yang tidak
kurang pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu untuk melaksanakan
pendemokrasian pendidikan dalam kalangan semua keturunan yang pada zaman
Inggeris telah ternafi sebahagiannya apabila bahasa Inggeris menjadi wahana
pendidikan kelas atasan dan golongan elit, sementara pendidikan berbahasa Melayu dan
bahasa vernakular Cina dan Tamil bertaraf pendidikan kelas kedua.

Tempoh babak-babak tertentu dalam lebih setengah abad silam sebenarnya dapat
dikatakan diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah.
Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang
benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya
dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah bermula dengan
perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan
dalaman. Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan
rapat dengan adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam
soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak
sosial yang jelas.
Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan Melayu diterima
sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh redha oleh orang Melayu atas
kepentingan untuk mencapai kemerdekaan dan beberapa asas kenegaraan yang
berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu
sejak zaman menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya 1955)
sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan diberikan.
Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta
Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan. Sebagaimana
kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020, iaitu tahun sasaran pencapaian negara
maju bagi Malaysia, kontrak sosial tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja sebagai
asas kenegaraan Malaysia.
Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan
entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan
bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu
menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya
sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga
kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan bahasa yang ada
pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.
Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa penghantar
utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu mengisi erti pendemokrasian
pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada
sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya
kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam zaman
penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan,
bukan sistem yang memisah-misahkan empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga
aliran vernakular Melayu, Cina dan India). Penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa
pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian banyak kajian,
termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO) memungkinkan proses pengilmuan
masyarakat menjadi lebih berkesan. Dalam tempoh kira-kira tiga dekad pelaksanaan
bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970

sebagai titik tolaknya), telah terhasil beberapa juta ahli ilmu, birokrat, teknokrat,
profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian
besar mereka terdidik dalam sistem kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya
bahasa Melayu, sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas (Tingkatan
Lima).
Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang tentang
kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah
terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam
kalangan generasi muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif
seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan memperhatikan kehidupan
di alam persekolahan pasti dapat menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil
menjadi wahana yang membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa
anak didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi
sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang
aspek itu dapat dilakukan.
Cabaran dan Hambatan
Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam pelaksanaan dasar bahasa yang berkaitan
erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan
pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami
peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu
disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan,
yang umumnya lebih dipertalikan sejumlah orang dengan pembangunan fizikal,
sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar
kemajuan. Malang sekali bahawa sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu
yang menjadi warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya
sebagai bangsa asal penduduk negara ini.
Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam
bidang ekonomi, umumnya ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya
dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang
Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang
angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.
Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh kepemimpinan terdahulu,
khususnya pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, dihayati dan diperkukuh
pelaksanaannya, nescaya kita tidak berhadapan dengan masalah ketidaktentuan dalam
pelaksanaan dasar negara sehingga kita seringkali menjadi tikus yang membaiki labu.
Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah.
Sebagai contoh, dalam soal yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris
dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah serta universiti, diagnosis yang dilakukan
ternyata silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap juga. Kiasan
yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, bekas Naib Canselor pertama Universiti
Teknologi Malaysia amat tepat menggambarkan diagnosis yang silap itu, iaitu Lain
yang luka lain yang dibebat.
Penyakit yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan

lepasan sekolah dan universiti tidak diatasi dengan pembaikan dalam pengajaran bahasa
itu tetapi dengan menjadikan bahasa Inggeris bahasa penghantar subjek-subjek yang
berkaitan dengan sains dan matematik dan subjek-subjek teknikal. Kajian yang telah
dilakukan (misalnya Juriah Long et al., 2004 dan Norhashimah, 2004) menunjukkan
bahawa bukan sahaja pencapaian pelajar dalam subjek bahasa Inggeris tidak meningkat,
bahkan subjek matematik dan sains merudum dengan nyatanya. Lebih malang lagi,
pencapaian dalam subjek bahasa Melayu pun terkena tempiasnya. Kajian Kementerian
Pelajaran Malaysia sendiri menunjukkan bahawa hanya 4% guru sains dan matematik
yang mengajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya keputusan UPSR dan PMR 2008
memperlihatkan kemerosotan yang nyata dalam mata pelajaran sains, matematik dan
bahasa Inggeris sebagai kesan pelaksanaan PPSMI (program pengajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris). (Berita Harian, 10 September 2011)
Dengan perkataan lain, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan bahawa upaya
membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain yang menunjang kehidupan
bertamadun belum sepenuh-penuhnya berhasil. Perlu diakui bahawa ada penjawat
awam, sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan sumbangan
bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara. Namun, dapat disaksikan
betapa besarnya golongan yang menurut orang Indonesia masa bodoh (tidak peduli)
akan nasib bahasa Melayu. Pembinaan sikap bahasa ternyata perlu menjadi salah satu
keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad
mendatang dan seterusnya. Anggota masyarakat perlu disedarkan bahawa kecukupan
sandang pangan (pakaian dan makanan) bukan satu-satunya matlamat kehidupan
kerana ada agenda yang lebih besar daripada sekadar hidup untuk makan. Sekali lagi
kita perlu belajar daripada sikap perihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun
mencapai ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi kepada
nasib bahasa dan budaya mereka.
Amat menyedihkan bahawa kian kabur pemahaman dan penghayatan sesetengah
kalangan tentang peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan
kenegaraan negara ini. Kekaburan dan malahan ketiadaan konsep kebangsaan dan
kenegaraan yang berasaskan bahasa dalam minda sesetengah kalangan itu terpancar
dalam bentuk sikap, pernyataan dan tindakan. Tidaklah sukar mencari contohnya.
Pengutamaan bahasa asing dalam majlis dan urusan tertentu masih agak leluasa sebagai
fenomena yang umum, hatta dalam urusan rasmi yang menurut Perkara 152 dalam
Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa
kebangsaan. Mesyuarat yang bercampur aduk antara bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dengan bahasa asing sehingga menimbulkan fenomena bahasa rojak dalam
urusan rasmi masih belum betul-betul sirna dalam bidang pentadbiran.
Meskipun berlaku perkembangan yang ketara dalam pelaksanaan penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara, namun kajian yang
dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 memperlihatkan keadaan
yang belum cukup memuaskan. Di sini saya petik rumusan kajian tersebut:
1. Tahap Penggunaan Bahasa Melayu
Secara keseluruhannya, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi
kerajaan mencapai tahap yang memuaskan dengan kebanyakan dokumen ditulis dalam
bahasa Melayu sepenuhnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi merupakan

peratusan tertinggi, iaitu 93.22%. Ini menunjukkan bahawa penjawat awam peka dan
mengutamakan penggunaan bahasa Melayu semasa menulis surat rasmi.
Kepekaan dan pengutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam memo juga tinggi, iaitu
86.24% menggunakan bahasa Melayu seluruhnya. Namun, dapatan menunjukkan
penggunaan bahasa Melayu lebih rendah berbanding dengan surat rasmi, mungkin
disebabkan tanggapan sesetengah pegawai bahawa memo dalaman merupakan
dokumen yang kurang rasmi berbanding surat rasmi kerajaan. Oleh yang demikian,
terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih ketara. Namun, bagi dokumen yang
lain, tahap penggunaan bahasa Melayunya lebih rendah, dan yang paling ketara ialah
Laporan Tahunan yang hanya mencapai 57.78% dalam penggunaan bahasa Melayu
sepenuhnya, sementara 11.11% menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dan 31.11%
menggunakan campuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris.
Ini menunjukkan bahawa tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi
kerajaan masih perlu diberi perhatian dan tahap kepekaan serta jati diri penjawat awam
perlu ditingkatkan..

Demikian juga, hilangnya penghormatan kepada bahasa Melayu dalam pelbagai majlis
rasmi negara hanya disebabkan adanya sejumlah kecil orang asing di majlis berkenaan
pun masih menjadi fenomena yang menyebakkan. Di sisi itu, terasa begitu sulit hendak
memahamkan kalangan yang bertanggungjawab tentang citra bandar, pusat
pentadbiran, kawasan perumahan dan tempat awam yang lain tentang mustahaknya
bahasa Melayu diberi tempatnya yang wajar, sehingga tidak terfikir sama sekali oleh
Perbadanan Putrajaya, misalnya, untuk memberikan citra pusat pentadbiran negara
dengan nama yang berciri kebangsaan, di balik berasa megah dengan Boulevard, Parcel,
Presint dan sebagainya. Alangkah janggalnya juga bahawa di tengah-tengah sekian
banyak wisma di bandar pentadbiran Putrajaya yang diberi nama dalam bahasa Melayu
tiba-tiba wujud Palace of Justice! Syukurlah dalam kalangan pemimpin di Malaysia ada
orang yang prihatin seperti Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan,
Komunikasi dan Kebudayaan, sehingga suara hati pejuang bahasa dapat sampai ke
nuraninya dan kemudian muncul nama yang indah Istana Kehakiman.
Peristiwa yang paling besar yang menunjukkan betapa cairnya penghayatan akan
peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun negara menurut acuan sendiri
ialah perubahan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam
sistem pendidikan negara, apabila pada tahun 2002 diputuskan pengajaran sains dan
matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan dua subjek itu dilaksanakan
dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003. Institusi pengajian tinggi awam telah
pun mula menyertai institusi pengajian tinggi swasta dalam penggunaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa penghantar utama, khususnya dalam penyampaian kuliah kursus-kursus
sains dan teknologi. Bahkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya yang menjadi
pusat ilmiah pengajian Melayu pun telah diarah memulakan pengajaran ehwal bahasa,
sastera dan budaya Melayu dalam bahasa Inggeris, bermula dengan 30% pada tahun
2007 dan beransur-ansur ditingkatkan sehingga menjadi 70%. Syukurlah bantahan
kepada kepemimpinan Universiti Malaya berjaya menghentikan pelaksanaan arahan
tersebut, tetapi soalnya sehingga bila kita perlu berhadapan dengan situasi berjihad
memerangi sikap pelik bin ajaib seumpama itu!

Atas nama pragmatisme, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa
pengucapan intelektual beransur-ansur terhakis sehingga tidaklah mustahil bahawa
akhirnya bahasa Melayu yang dikenal dan digunakan orang kelak hanya bahasa Melayu
untuk tujuan komunikasi sehari-hari sahaja dan bahasa Melayu tinggi tidak menjadi
citra penting lagi sebagai cerminan tamadun bangsa Melayu. Hujah bahawa bahasa
Melayu akan terus perkasa dan diperkasakan dalam keadaan bahasa Melayu dinafikan
peranannnya sebagai bahasa ilmu menjadi hujah yang membingungkan dan sekali gus
tidak masuk akal.
Syukurlah bahawa pada tahun 2009 telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri yang merangkap tugas Menteri
Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Mohd. Yassin bahawa PPSMI dimansuhkan dan
digantikan dengan program MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Meningkatkan
Bahasa Inggeris). Muncul sinar harapan bahawa bahasa Melayu terus menjadi bahasa
penghantar utama sistem pendidikan di peringkat persekolahan.
Sekian banyak peristiwa seumpama itu sebenarnya berpunca daripada tiada atau
kurangnya pengertian bahawa bahasa Melayu berperanan dalam pembentukan konsep
kebangsaan dan kenegaraan. Lebih mendasar daripada itu, masih banyak orang yang
tidak dapat memahami apakah hubungan antara bahasa dengan pembinaan diri, bangsa
dan negara, disebabkan terbelenggu oleh pemahaman bahawa bahasa tidak lebih
daripada suatu kemahiran yang mekanis sebagai alat komunikasi semata-mata (bahkan
lebih buruk lagi apabila yang difahami dengan peranan bahasa sebagai alat komunikasi
itu terbatas pada komunikasi asas seperti perbualan sehari-hari sahaja, bukan
komunikasi pemikiran dan budaya tinggi). Usaha memberikan pemahaman yang betul
tentang erti bahasa dalam kehidupan bertamadun tampaknya tidaklah pula mudah
kerana hal itu pun tidak begitu jelas pembudayaannya dalam masyarakat, termasuk
dalam sistem pendidikan.
Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu
Tempoh lebih setengah abad yang lalu turut memperlihatkan kepesatan usaha
memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut sistem ejaan, peristilahan, kosa
kata umum, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa. Kisah kejayaan perancangan bahasa
dalam bidang korpus itu telah saya rumuskan dalam beberapa tulisan sebelum ini (lihat,
misalnya, makalah saya dalam A. Rahim Bakar dan Awang Sariyan, 2005). Terlepas
daripada polemik linguistik dan sosiolinguistik tentang sistem bahasa yang dimantapkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli
ilmu dalam pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mencapai
kemantapan korpusnya. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu telah dimanafaatkan
dengan agak meluas dalam pelbagai ranah.
Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah dan tafsiran, seperti
adanya istilah pembakuan, penstandardan, penyelarasan atau yang lain, mempunyai erti
yang penting juga dalam rangka pembinaan tamadun bangsa dan negara. Perancangan
korpus bahasa berperanan mengisi erti taraf atau kedudukan bahasa Melayu yang
dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa
komunikasi umum. Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

(yang bermakna bahasa negara) jika sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat
dikenal sosok bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan
pentadbiran negara bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan relatif seragam
dalam hal ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum, tatabahasa dan laras bahasanya
sehingga tidak dapat menjadi wahana komunikasi pentadbiran yang cekap dan
berkesan? Demikian pula, apatah eritnya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika
sistem bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan berdaya
mengungkapkan hal-hal ilmu?
Dalam kaitannya dengan semua keperluan itulah maka usaha pemasyarakatan bahasa
yang baik, teratur dan santun perlu terus-menerus dilaksanakan. Mana-mana bangsa
yang bertamadun memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa
basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep
dan budaya tinggi. Sehubungan dengan itu, pembudayaan berbahasa dengan santun
(dengan pengertian berbahasa menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik
dan peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan strategi yang
lebih berkesan, khususnya melalui institusi pendidikan, pentadbiran dan media massa.
Tempoh lebih setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan dalam
penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan
masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai tahap yang cukup memuaskan
jika diukur daripada sudut penggunaan bahasa Melayu tinggi. Dengan tidak
bermaksud menafikan peranan bahasa sehari-hari, tampaknya bahasa Melayu tinggi
yang dapat juga diistilahkan sebagai bahasa terbina (elaborated code menurut istilah
Bernstein), sebagai lawan bahasa terhad (restricted code) belum membudaya dengan
mantap dalam kalangan yang seharusnya menguasainya. Masih banyak karya ilmiah
yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara
penggunaan bahasa Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat,
bangunan, syarikat dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi impian untuk kita
menyaksikan pidato, ucapan, syarahan dan perbahasan yang mencerminkan bahasa
Melayu tinggi, dengan kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya.
Seringkali harapan kita untuk menikmati wawancara atau ucapan yang bermutu
penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak tercapai, malahan
perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula mencerminkan kemurnian dan taraf
Parlimen itu sendiri, disebabkan bahasa Melayu tinggi yang seharusnya digunakan
bertukar menjadi bahasa Melayu rendah, kadangkala dengan carutan dan maki hamun.
Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan pelaksanaan yang
telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul dalam diri sendiri tidak membantu
keutuhan bahasa Melayu. Sebagai contoh, pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan
untuk membentuk bahasa lisan formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan pada
tahun 1980-an, dan pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah dan Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR) bermula pada tahun 1988. Dengan
keputusan Kabinet pada tahun 2000, sebutan baku dihadkan dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu sahaja, tidak lagi merentas kurikulum seperti selama 12 tahun
sebelumnya dan badan penyiaran tidak lagi mempunyai suatu piawai sebutan baku
sebagaimana yang telah dilaksanakan selama lebih satu dekad oleh sekurang-kurangnya
sebuah stesen televisyen (TV3).

Dalam perkembangan pelbagai media alternatif kini, terutama laman sosial seperti
Facebook, Twitter, blog, sms dan sembang internet, fenomena sejumlah pengguna
bahasa menggunakan ragam bahasa yang amat tidak formal dan malahan ragam bahasa
ciptaan baharu kian menghakis ragam bahasa formal. Sistem ejaan, pilihan kata dan
struktur ayat dalam media alternatif itu sudah memperlihatkan kecenderungan
sejumlah pengguna bahasa tidak dapat membedakan sifat bahasa yang peribadi dengan
sifat bahasa yang berkaitan dengan khalayak yang luas. Daripada segi kemantapan
sistem bahasa Melayu, fenomena ini dikhuatiri menjadi hambatan kepada
perkembangan bahasa Melayu rasmi dan bahasa Melayu tinggi. Pandangan ini tidak
bermaksud menafikan hak seseorang menggunakan bahasa menurut ideoleknya, tetapi
kurangnya perhatian kepada penggunaan bahasa yang berasaskan sistem bahasa,
terutama dalam menghadapi khalayak yang luas dan berbagai-bagai dibimbangi akan
memberikan kesan kepada kemantapan sistem bahasa Melayu yang unggul. Demikian
juga halnya dengan kian kurangnya kawalan penggunaan kata dan ungkapan yang
memenuhi sistem nilai yang beradab, santun dan tertib.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ANTARABANGSA
DAN UPAYA PENGANTARABANGSAANNYA
Istilah pengantarabangsaan yang saya gunakan bagi bahasa Melayu dalam kertas kerja
ini barangkali mengundang persoalan: Mengapakah bahasa Melayu perlu
diantarabangsakan, seolah-oleh bahasa tersebut belum bertaraf antarabangsa? Prof Dr.
James T. Collins (1999) dalam kritiknya terhadap pertanyaan Wajarkah bahasa Melayu
diantarabangsakan yang diajukan oleh seorang wartawan muda akhbar setempat
kepadanya menegaskan bahawa bahasa Melayu tidak perlu diantarabangsakan kerana
bahasa Melayu memang sudah bersifat (bertaraf) antarabangsa. Bahasa Melayu memang
telah mencapai taraf antarabangsa sejak lebih seribu tiga ratus tahun lalu (Collins 1999),
dengan memperhitungkan Kerajaan Sriwijaya sebagai titik tolak pengantarabangsaan
bahasa Melayu. Pada zaman itu bahasa Melayu telah berinteraksi dengan bahasa
Sanskrit yang mewakili kebudayaan India.
Apabila Islam datang ke alam Melayu pada sekitar abad ke-10 (malah sumber Aceh
menyatakan bahawa Islam telah tiba di alam Melayu pada abad ke-8 lagi), bahasa
Melayu mengalami interaksi dengan satu lagi bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Arab
dan di sisi itu juga kemudian bahasa Parsi. Kegiatan penerjemahan teks daripada bahasa
Arab kepada bahasa Melayu telah berlangsung, seperti usaha penerjemahan Aqaid alNasafi (1590) yang merupakan kitab tertua dalam bahasa Melayu (al-Attas, 1988).
Dengan demikian bahasa Melayu telah diantarabangsakan daripada sudut kandungan
bahasa itu sendiri dan pada waktu yang sama daripada sudut peranannya juga, iaitu
sebagai bahasa yang digunakan dalam ranah hubungan antarabangsa, khususnya
sebagai bahasa diplomasi. Antaranya termasuklah surat Sultan Aceh kepada kapitan
Inggeris, James Lancester (1601), surat Sultan Alauddin Shah Aceh kepada Harry
Middleton (1602) dan surat Sultan Aceh kepada raja Inggeris, King James (1612) (Nik
Safiah Karim et al., 1996).
Selain itu, bahasa Melayu telah mula mendapat perhatian sarjana Barat sehingga seawal
abad ke-17 telah terhasil sejumlah buku tatabahasa dan kamus seperti karya de
Houtman (1603), Albert Ruyl (1611), Casper Wittens dan Sebastian Danckaerts (1623),

David Haex (1631) dan lain-lain.


Interaksi bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Barat kemudian, terutama bahasa
Inggeris, telah memungkinkan bahasa Melayu menambah kekayaannya yang sedia ada,
baik dalam bidang fonologi, kosa kata, sintaksis mahupun wacana. Bahasa Melayu telah
mencapai tahap saling terjemah (inter-translatibality) yang tinggi dengan bahasa-bahasa
moden yang lain.
Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa
Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini
bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana
halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama
lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland,
Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan
Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana,
Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius,
Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan,
Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991).
Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara
bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang
pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat
perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada
penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.
Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan
bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada
penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta
mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan
potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti
pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The
Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu
bahasa yang amat pesat berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa
antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah
bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari
oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan
tersebut.
Semangat untuk mengantarabangsaan bahasa Melayu kini sebenarnya merupakan
kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina. Upaya kita
kini sebenarnya lebih merupakan salah satu upaya meningkatkan taraf antarabangsa
yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, untuk memenuhi keperluan perkembangan
zaman. Hal ini selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini
jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu
sebelum datangnya penjajah masih jauh daripada yang kita dambakan. Meskipun
bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan
demikian melayakkannya bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana
kehidupan moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih agak samar. Bahasa
Melayu dalam era ini belum dapat dilihat sebagai bahasa perdagangan, bahasa ekonomi,
bahasa ilmu dan bahasa teknologi di peringkat antarabangsa. Pengajaran bahasa Melayu

kepada penutur asing mudah-mudahan dapat beransur-ansur meningkatkan peranan


bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Potensi besar bahasa Melayu yang menimbulkan keperluan perencanaan pengajaran
bahasa Melayu kepada penutur asing ialah wujudnya pusat-pusat pengajian di seluruh
dunia yang mengajarkan bahasa Melayu (dengan pengertian bahasa Indonesia juga).
Bahasa Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di
New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diajarkan dan diteliti di rantau Asia
Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara.
Di Eropah Barat, kajian tentang bahasa dan sastera Melayu-Indonesia telah mencapai
tahap yang mapan, meskipun harapan banyak bergantung pada tokoh-tokoh tertentu.
Kegiatan pengajaran-pemelajaran dan penelitian bahasa, sastera dan budaya Melayu
dapat dikatakan meriah di benua tersebut, terutama di pusat-pusat tradisional pengajian
Melayu seperti Leiden, London, dan Paris. Di Leiden, Kerajaan Malaysia telah
menubuhkan Kursi Pengajian Melayu untuk benua Eropah.
Selain itu, terdapat juga pengajian Melayu di Itali. Di Jerman pula, sebagai kesan
munculnya minat masyarakatnya terhadap Indonesia, lima buah universiti di negara
tersebut mengajarkan bahasa Melayu-Indonesia. Kelima-limanya itu ialah Universiti
Hamburg, Universiti Cologne, Universiti Bonn, Universiti Frankfurt, dan Universiti
Passau. Di sisi itu, ada juga perhatian kepada Dunia Melayu, termasuk bahasa Melayu di
Universiti Bochum, di Universiti Kassel, dan di Universiti Giesen. Universiti Frankfurt,
di bawah Pusat Pengajian Asia Tenggara telah mula memperkenalkan bahasa Melayu
varian Malaysia pada tahun 2004 apabila Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dilantik
sebagai Profesor Tamu untuk memperkenalkan dan mengajarkannya kepada pelajar dari
seluruh Eropah. Secara berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007, Prof. Dr. Awang
Sariyan pula dilantik menjadi Profesor Tamu untuk memberikan kuliah intensif kepada
sejumlah 20 orang lebih calon Magister (sarjana) tentang perbandingan bahasa Melayu
varian Malaysia dan varian Indonesia, tatabahasa bahasa Melayu dan sosiolinguistik
bahasa Melayu.
Di bahagian lain benua Eropah, khususnya di Portugal dan di Skandinavia tampak juga
adanya minat terhadap bahasa Melayu. Di Perancis, telah lama berkembang pengajian
Melayu, khususnya pengajian Indonesia di beberapa buah institusi ilmiah di Paris.
Kemudian mula berkembang pengajaran bahasa dan sastera Melayu di Universiti La
Rochelle di selatan Perancis pada tahun 2002. Sebagai hasil kerjasama yang terjalin
dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu
(MABM), pelajar dari universiti itu telah dihantar ke DBP untuk program latihan
industri pada tahun 2003. Telah ada juga ada ura-ura pembukaan program pengajian
Melayu di Institut Asia dan Afrika Tiblisi, Georgia (surat Prof. Dr. Guram Chikovani,
Rektor TIAA kepada pemakalah, bertarikh 25 Oktober 2005).
Di Amerika Syarikat, universiti yang mula-mula mengadakan pengajaran dan penelitian
bahasa Melayu-Indonesia ialah Universiti Yale dan Universiti Cornell. Sesudah itu
pengajian bahasa Melayu-Indonesia dipergiat melalui Program Musim Panas yang
kemudian merangkumkan pelibatan Universiti Hawaii dan Universiti CaliforniaBerkeley. Kini bahasa Melayu diajarkan juga di Universiti Wisconsin, Universiti Ohio,
Universiti Michigan, Universiti Illinois, dan Universiti Arizona (Ismail Hussein, 1995).

Prof. Dr James Collins, pakar dialektologi Melayu yang selama dua dekad berkhidmat di
Universiti Kebangsaan Malaysia sejak akhir tahun 2008 telah bertugas sebagai Pengarah
Pusat Pengajian Asia Tenggara yang sebahagiannya mengupayakan pengembangan
bahasa Melayu dalam program ilmiahnya di Amerika Utara.
Di Australia, pengajaran dan penelitian bahasa Melayu terdapat di Universiti Sydney, di
Universiti Melbourne, di Universiti Kebangsaan Australia, di Universiti La Trobe, dan di
Universiti Monash. Di samping itu, bahasa Melayu diajarkan di Curtin University of
Technology di Perth, di Universiti Australia Selatan, di Kampus Bendigo Universiti La
Trobe, di Universiti Griffith, di Universiti James Cook, di Universiti Deakin, di Universiti
Flinders, di Universiti Queensland Selatan, di Universiti Murdoch, di Universiti
Tasmania, di Universiti Kolej Wilayah Utara, dan di Sekolah Bahasa-bahasa Angkatan
Udara Diraja. Di Victoria sahaja, terdapat sejumlah 120,000 orang pelajar bahasa
Melayu (khususnya variasi Indonesia) dari peringkat sekolah rendah hingga universiti
(Awang Sariyan, 2004).
Besarnya minat masyarakat Australia terhadap bahasa dan budaya Melayu walau
bagaimanapun tidak pula menempiaskan minat yang sama besarnya kepada New
Zealand sebagai satu lagi jiran Barat bagi Asia. Namun demikian bahasa Melayu ada
diajarkan di Universiti Auckland dan di Universiti Victoria, di samping di Kolej
Rongitoto. Malah Kursi Pengajian Melayu yang diusahakan atas kerjasama kerajaan
Malaysia dengan New Zealand ditempatkan di Universiti Victoria, Wellington. Pada
hemat penulis (dan juga penilaian bekas penyandang Kursi Pengajian Melayu di New
Zealand, dalam percakapan tidak rasmi di Universiti Malaya pada awal 2009), Kursi
tersebut lebih sesuai ditempatkan di Universiti Melbourne di Australia.
Sebagai hasil promosi bahasa Melayu oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)
melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, di Australia, khususnya di Melbourne, Universiti
Deakin telah memberikan kepercayaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Universiti Putra Malaysia mengendalikan kursus bahasa Melayu kepada pelajarpelajarnya yang didatangkan ke Malaysia dalam tempoh sebulan setengah bermula pada
penghujung tahun 2004. Kumpulan kedua pelajar Universiti Deakin yang dihantar ke
Universiti Putra Malaysia mula mengikuti kursus pada 19 Disember 2005 untuk tempoh
sebulan setengah dan program yang sama diteruskan pada tahun 2006.
Di negara-negara Asia Timur, bahasa Melayu mendapat tempat yang cukup
membanggakan. Di Jepun, pada akhir tahun 1980-an ada lima buah institusi pendidikan
tinggi yang mempunyai jurusan bahasa Indonesia, iaitu Universiti Pengajian Asing
Osaka, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Universiti Tenri, Universiti Kyoto Sangyu, dan
Universiti Setsunan. Selain itu, ada sebelas universiti yang ikut mengajarkan bahasa
Melayu walaupun tidak mempunyai jabatan khas bahasa Melayu, iaitu Universiti Kyoto,
Universiti Takushoku, Universiti Nohon, Universiti Sophia, Universiti Ajia, Universiti
Daitobunka, Universiti Senshu, Universiti Tokto, Universiti Tokyo Nogyo, Universiti
Waseda, dan Universiti Pengajian Asing Kota Kobe.
Di Republik Rakyat China, pengajian bahasa Melayu mencapai kemantapan di Universiti
Peking dan di Universiti Bahasa Asing di Beijing dan di Universiti Pengajian Asing
Guangdong, Guangzhou. Institusi yang baru memulakan pengajaran bahasa Melayu
ialah Universiti Komunikasi Beijing (2004). Perkembangan mutakhir yang meyakinkan

ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di


Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mula diisi pada awal tahun 2008 oleh
Prof. Dr. Awang Sariyan. Peningkatan taraf program bahasa kepada pengajian Melayu di
universiti tersebut yang menjadi asas penubuhan Kursi Pengajian Melayu telah bermula
pada tahun 2005.
Atas usaha Universiti Pengajian Asing Beijing, khususnya Pengarah Pusat Pengajian
Melayu China di BFSU, Prof. Wu Zong Yu, program bahasa Melayu telah dimulakan di
Universiti Peribumi Guangxi di China Selatan pada bulan September 2008. Pada tahun
2010 pula, Universiti Peribumi Yunnan di kota Kunming telah memulakan program
bahasa Melayu dan maklumat mutakhir yang saya peroleh, bagi dua kumpulan pelajar
tahun 2010 dan 2011, terdapat 79 orang pelajar. Hingga kini, telah ada tujuh buah
universiti di Republik Rakyat China yang mempunyai program bahasa/pengajian
Melayu, iaitu tiga buah di kota Beijing, sebuah di kota Guangzhou, sebuah di kota
Louyang, sebuah di kota Nanning dan sebuah di kota Kunming. Dengan peningkatan
hubungan dagang, pendidikan dan kebudayaan yang kian meningkat, dijangka bahawa
beberapa buah universiti di provinsi-provinsi lain akan menubuhkan program
bahasa/pengajian Melayu.
Demikian pula di Korea Selatan bahasa Melayu diajarkan di Universiti Pengajian Asing
Hankuk dan di Universiti Pengajian Asing Busan. Dari Universiti Busan inilah
munculnya sarjana pengagum dan peneliti sejarah tulisan Jawi, iaitu Kang Kyoung
Seock. Di Asia Utara pula, iaitu di Rusia, pengajaran dan pengajian bahasa satu sastera
Melayu sudah sekian lama bertapak di Moskow dan di Leningrad.
Dengan agak meluasnya perhatian terhadap bahasa Melayu-Indonesia di pusat-pusat
pengajian sedunia, maka memang amat relevan dibincangkan isu-isu yang berkaitan
dengan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing. Meskipun matlamatnya masih
lebih tertumpu pada minat ilmiah dan kebudayaan, dengan sedikit-sedikit pada peluang
pekerjaan, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memungkinkan pengajaran bahasa
Melayu kepada penutur asing itu mencapai kesan yang sebaik-baiknya.
DBP pula dalam rangka mengisi agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu telah
mengambil langkah menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dengan
kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan memulakan operasinya dalam tahun
2000. Antara bidang yang ditangani termasuklah pengajaran bahasa Melayu kepada
penutur asing. Di samping mengutus tenaga pengajar (seperti ke Republik Rakyat Cina,
Korea, Eropah, Thailand, Sri Lanka, Kemboja dan sebagainya), usaha menyusun buku
dan modul pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing telah dimulakan. Pada
bulan Ogos dan September 2005, telah diadakan Kursus Bahasa Melayu untuk Munsyi
Antarabangsa dengan pelibatan penatar bahasa Melayu dari Thailand, Kemboja dan Sri
Lanka, iaitu penatar yang sebelumnya telah menerima kurus bahasa Melayu di negara
masing-masing atas usaha DBP.
Merancang untuk Setengah Abad Mendatang dalam Abad Ke-21
Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara
untuk setengah abad mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya.
Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada
pendokumentasian strategi perancangan itu. Namun, dalam kertas kerja ini saya sekadar

mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit


banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang.
1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu
i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan
penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP
dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang
menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama
hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan
dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa
kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan
kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain. Amatlah ironis halnya
apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan
kesalahan lalu lintas,misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar
peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta
pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama
tidak diberi perhatian sama sekali.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya. Mana-mana
pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa
Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu
dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang
ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan
bidang perdagangan yang selama ini menyekat penguatkuasaan penggunaan bahasa
Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah luput tarikh (sebilangannya diaktakan
sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur
penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu.
iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan
sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah
dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara. Ketetapan bahawa bahasa Melayu
menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, baik di peringkat
persekolahan mahupun di peringkat pengajian tinggi perlu dipatuhi dan diisi dengan
program yang lebih terancang, dengan tidak menolak keperluan menguasai bahasabahasa asing untuk penguasaan ilmu, kemahiran dan unsur positif kebudayaan lain.
Program penguasaan bahasa-bahasa asing yang perlu hendaklah dirancang dengan rapi
agar tercapai hasrat untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa (atau bahasabahasa asing) yang penting, tetapi tidak sampai mengorbankan atau meminggirkan
kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai salah satu acuan negara. Kejayaan
Universiti Kebangsaan Malaysia melahirkan puluhan ribu siswazah dan sarjana dalam
pelbagai bidang ilmu dengan berbahasa penghantar bahasa Melayu, termasuk penulisan
tesis doktor falsafah dalam bidang sains dan teknologi patut dijadikan asas kekuatan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak
perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara

Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit


institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain hendaklah
menyusun langkah yang lebih strategis agar benar-benar memenuhi tanggungjawab
sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan
kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus
untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu sebagai
agenda negara.
v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan
dasar bahasa, dalam bidang-bidang utama kenegaraan, seperti pentadbiran, pendidikan,
kehakiman dan media massa (khususnya media kerajaan). Jabatan ini boleh
ditempatkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab
memastikan mutu perkhidmatan yang baik, termasuk dalam bidang bahasa dan
komunikasi. Dua aspek penting perlu diaudit, iaitu pelaksanaan dasar bahasa
kebangsaan dan mutu bahasa yang digunakan.
vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan
sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya.
Gangguan terhadap pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah
memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan tidak seharusnya wujud. Bidang
kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus
terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri. Dalam pada
itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuantujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa
dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa
pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP. DBP perlu terus kreatif dan
inovatif dalam gerak kerjanya.
2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi
i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian,
jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau
memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi
Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk
turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan
komponen bahasa Melayu tinggi dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen
tersebut. Konsep bahasa sebagai warisan tidak tampak atau warisan tidak ketara
sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu
dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya
dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat
membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili
realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang
dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai
bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan demikian tidaklah menular fenomena
sekerat ular sekerat belut (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais
Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguh-sungguh kita

bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada
konteks dan situasinya. Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku
digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima
penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah.
3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional
Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau
dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan
Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam
upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan
kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja
pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu
hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita
yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa.
Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu
Dunia Islam (DMDI) perlu disemarakkan terus. Dewan Bahasa dan Pustaka yang
memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis
Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) (yang sudah mula beroperasi sejak tahun 2000
perlu mengaktifkan semula badan antarabangsa itu.
PERTIMBANGAN STRATEGI
Pertimbangan strategi pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing bergantung
pada beberapa asas. Jack C. Richards (1991), misalnya, menyebut perkara yang berikut
sebagai asas utama keberkesanan sesuatu program bahasa:
1. Faktor sosiobudaya
2. Faktor gaya pengajaran dan pemelajaran
3. Faktor pelajar
4. Ciri-ciri program (persediaan pengajar, kesahan kurikulum dan prosedur
pengujian, ragam pelajar, bahan, penyelarasan tenaga)
Asmah Haji Omar (2003) membincangkan faktor-faktor yang berikut sebagai asas
pengajaran yang berkesan bagi program pengajaran bahasa kepada penutur asing:
1. Mengenal pasti keperluan pelajar
2. Menghadapi kumpulan pelajar yang keperluannya pelbagai
3. Keutamaan: fungsi atau bentuk?
4. Pendedahan kepada fungsi-fungsi bahasa
5. Pertimbangan wacana dan lakuan bahasa
6. Pengajaran nahu
7. Peraturan Sosial dan Budaya
8. Pemilihan variasi bahasa
9. Penyusunan dan pengelolaan butir-butir pengajaran
Untuk makalah ini, saya memusatkan perhatian pada lima aspek yang utama, iaitu:
1. Pelajar
2. Pengajar

3. Kurikulum dan Kaedah


4. Sumber/bahan
5. Pengujian dan penilaian
PELAJAR
Aspek pelajar meliputi isu:
1. peringkat, sama ada rendah, menengah, pengajian tinggi atau asas,
pertengahan, maju;
2. kelompok,sama ada pelajar insitutusi pengajian, profesional atau orang
awam;
3. tujuan dan keperluan mempelajari bahasa Melayu.
Kedua-dua variabel di atas menentukan pengajar, kurikulum dan kaedah, sumber atau
bahan dan pengujian dan penilaian yang sesuai dengan peringkat dan kelompok
berkenaan. Di Kemboja dan di Sri Lanka, misalnya, terjadi keadaan kursus bahasa
Melayu yang disertai oleh pelbagai peringkat usia dan latar belakang demografi lain yang
amat berbeda. Sewaktu pemakalah memberikan kursus bahasa Melayu di Seam Reap,
Kemboja, dalam tahun 2003, misalnya, kursus berkenaan dihadiri oleh peserta semuda
12 tahun dan setua 60 tahun. Di Sri Lanka, guru bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP
dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu mengalami masalah berhadapan dengan
pelajar semuda belasan tahun dan setua 70-an dan dengan pelbagai latar belakang
pendidikan dan kerjaya. Masalah yang dihadapi oleh pengajar dengan mudah dapat
diduga, terutama berkaitan dengan bahan dan kaedah pengajaran dan juga kesan
psikologi pada kedua-dua pihak, iaitu pengajar dan pelajar. Maka itu, sebaik-baiknya
pelajar perlu dikelompokkan menurut sekurang-kurangnya dua variabel yang pertama
itu tadi.
Sebaik-baiknya dikenal pasti juga tujuan dan keperluan pelajar mempelajari bahasa
Melayu. Di Universiti Hankuk, di Universiti Busan dan di Universiti Pengajian Asing
Beijing serta di Universiti Penyiaran Beijing, ada pelajar yang mempelajari bahasa
Melayu untuk tujuan ilmiah tetapi ada juga yang bertujuan untuk mendapatkan kerja di
sektor pelancongan, penyiaran dan diplomasi. Pengajar tampaknya perlu berusaha
menyeimbangkan pengajaranya untuk memenuhi dua keperluan itu. Dalam kes yang
lain, pengajaran bahasa Melayu kepada diplomat dan profesional yang lain memerlukan
strategi yang berlainan daripada strategi pengajaran kepada pelajar di institusi
pengajian. Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Linguistik Malaysia untuk doktor
dari Pakistan, anjuran Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, misalnya, memerlukan
pengajar menumpukan perhatian pada keperluan doktor-doktor berkenaan
berkomunikasi dengan pesakit, di samping komunikasi sosial yang lazim.
Di Universiti Frankfurt, program intensif pengajaran bahasa Melayu anjuran bersama
DBP dan Universiti Frankfurt (2004) selama sebulan setengah yang dikendalikan oleh
Prof. Dr. Abdullah Hassan dengan bantuan Prof. Dr. Bern Nothofer dan Prof. Dr. H.
Steinhaeur dan kemudian dikendalikan berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007 oleh
Prof. Dr Awang Sariyan sebagai Profesor Tamu, berteraskan keperluan memahami
persamaan dan perbedaan antara bahasa Melayu variasi Malaysia dengan bahasa
Melayu variasi Indonesia. Maka penekanan pengajaran adalah pendedahan aspek kosa

kata dan struktur antara kedua-dua variasi itu, selain aspek sistem bahasa Melayu dan
aspek sosiolinguistiknya.
PENGAJAR
Pengajar bahasa Melayu kepada penutur asing menghadapi cabaran yang lebih berat
daripada pengajar bahasa Melayu kepada penutur ibunda atau penutur kedua (dalam
kes di Malaysia orang Melayu ialah penutur ibunda dan orang Cina, India dan kumpulan
etnik lain sebagai penutur kedua). Daripada segi linguistik, pengajar perlu sedikit
banyak mempunyai maklumat kontrastif antara bahasa Melayu dengan bahasa ibunda
pelajar. Pengalaman pemakalah memberikan kursus kepada penatar dari Sri Lanka
menunjukkan bahawa mereka terpengaruh oleh struktur M-D (akibat pengaruh bahasa
Tamil dan Sinhalese).
Pengajar yang berkesan dalam program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur
asing ialah pengajar yang bersedia memahami latar sosiobudaya, sistem nilai dan sistem
bahasa ibunda pelajarnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan pelajar yang
dibincangkan sebelum ini dengan sendirinya harus diperhitungkan oleh pengajar.
KURIKUKULUM DAN KAEDAH
Kurikulum program bahasa Melayu kepada penutur asing pertama-tamanya bergantung
pada tujuan dan keperluan pelajar itu sendiri. Pada umumnya semua pelajar perlu diberi
pendedahan dan penguasaan empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur,
membaca dan menulis. Bagaimanapun peringkat, kelompok dan tujuan akan
menentukan pemberatan yang sesuai.
Doktor dari Pakistan yang dilatih oleh Persatuan Linguistik Malaysia ternyata
memerlukan kemahiran mendengar dan bertutur lebih banyak daripada kemahiran
membaca dan menulis, kerana tujuan dan keperluan mereka belajar bahasa Melayu
adalah untuk berkomunikasi dengan pesakit di Malaysia. Maka kemahiran membaca
dan menulis tidak terlalu dititikberatkan walaupun tetap perlu diberikan. Pelajar di
Universiti Pengajian Asing dan di Universiti Pernyiaran Beijing, misalnya, mempelajari
bahasa Melayu sebagai bahasa formal untuk tujuan ilmiah dan juga kerjaya. Maka
kurikulumnya meliputi aspek yang menyeluruh. Selain kemahiran mendengar, bertutur,
membaca dan menulis, penguasaan sistem bahasa, terutama tatabahasa direncanakan
dengan agak mendalam. Bahkan tulisan Jawi pun diajarkan. Di Kemboja, peserta kursus
baru mengenal bahasa Melayu di peringkat yang amat asas; maka tenaga pengajar yang
lantik oleh DBP menyediakan kurikulum yang amat asas dengan menitikberatkan aspek
lisan dan sedikit-sedikit aspek tulisan. Tidak ada sama sekali pengajaran tatabahasa
secara formal.
Pengalaman menunjukkan bahawa untuk kelompok dan untuk tujuan apapun,
pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing lebih sesuai berteraskan kaedah terus,
dengan kadangkala berbantukan kaedah terjemahan. Hanya di peringkat tertentu, iaitu
apabila pelajar telah menguasai bahasa Melayu, kaedah kod-kognitif yang menekankan
penguasaan rumus mungkin sesuai diterapkan, khususnya untuk pelajar yang telah
sampai pada peringkat analisis linguistik.

SUMBER ATAU BAHAN


Pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran program
pengajaran bahasa kepada penutur asing menjadi cabaran yang tidak kurat besarnya.
Pengajar tidak boleh memilih dan menyediakan bahan menurut kesukaan dan minat
peribadinya. Prinsip yang paling penting ialah kesesuaian bahan itu untuk peringkat
usia tertentu, untuk peringkat program (permulaan, pertengahan atau maju), kelompok
tertentu (berasaskan kerjaya dan lain-lain).
Dalam hal pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran
inilah pengajar perlu memasukkan unsur-unsur sosiobudaya yang melatari bahasa
Melayu agar penguasaan bahasa Melayu oleh pelajar asing itu tidak terpisah daripada
konteks sosiobudayanya. Pengalaman pemakalah mengajar pelajar dari Universiti
Deakin, Melbourne, Australia menunjukkan bahawa mereka perlu diorientasi, dengan
pengertian diberi pendedahan kepada situasi sosiobudaya di Malaysia kerana selama ini
mereka mempelajari bahasa Melayu yang berlatarbelakangkan sosiobudaya di
Indonesia.
Menyepadukan bahan untuk meliputi kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur,
membaca dan menulis), sistem bahasa (tatabahasa, kosa kata dan sebagainya) dan juga
kandungan bahasa (ilmu dan maklumat serta aspek sosiobudaya) merupakan cabaran
terbesar kepada pengajar. Modul yang biasa dianjurkan oleh pemakalah (dan juga oleh
sejumlah pengajar lain) ialah penyediaan dan penyusunan bahan yang berteraskan tema
tertentu, misalnya pada peringkat asas tema yang berkaitan dengan diri. Selain
mengisi tema itu dengan struktur atau binaan bahasa (kata, frasa, ayat dan wacana) yang
sesuai, tema itu perlu diisi dengan maklumat atau ilmu yang berkaitan (misalnya nama,
usia, pekerjaan atau tahun/bidang pengajian, hobi dan sebagainya. Aspek sosiobudaya
yang dapat dikaitkan, misalnya, ialah kata ganti nama diri dan bentuk sapaan yang betul
dalam bahasa Melayu apabila merujuk kepada diri sendiri dan diri orang lain.
Bahan itu pula mestilah berbagai-bagai bentuk dan konteksnya. Maksudnya pengajar
perlu menyediakan bahan berbentuk audio, video, grafik, lukisan, brosur, iklan dan
karya kreatif. Daripada segi konteksnya, perlu disediakan bahan yang berkaitan dengan
pelbagai aspek kehidupan, daripada yang asas seperti diri kepada keluarga, masyarakat,
kesenian, sukan, rekreasi, reka cipta, dan di peringkat yang tinggi boleh tentang politik,
pemikiran dan sebagainya.
PENGUJIAN DAN PENILAIAN
Pengujian dan penilaian yang dilaksanakan perlu selaras dengan objektif pengajaran.
Bagi pelajar yang mengikuti program pelajaran bahasa Melayu sebagai mata kuliah atau
kursus di insitutusi pengajian, ujian yang berkaitan dengan kemahiran bahasa yang
empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) dan sistem bahasa (tatabahasa dan
yang lain-lain) perlu diberikan. Bagi pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk
tujuan khusus, seperti doktor dari negara asing, mereka tidak perlu diberi ujian yang
meliputi semua aspek kemahiran dan sistem bahasa, sebaliknya diuji penguasaan
komunikatifnya sahaja. Yang lebih penting dalam program pengajaran bahasa Melayu
kepada penutur asing ialah instrumen pengujian dan penilaian yang diagnostik sifatnya,
iaitu yang dapat memberikan maklumat tentang pencapaian pelajar dari waktu ke

waktu, bukan semata-mata pada akhir program yang mungkin tidak bertepatan dengan
pencapaian sebenar pelajar.
ISU VARIASI BAHASA MELAYU: VARIASI MALAYSIA ATAU INDONESIA?
Umumnya ada dua variasi bahasa Melayu yang dominan, iaitu variasi Malaysia dan
variasi Indonesia. Bahasa Melayu Brunei masih amat rapat dengan variasi Malaysia jika
dibandingkan dengan variasi Indonesia dan oleh itu dapat dikelompokkan dalam variasi
Malaysia. Fakta menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari dan diajarkan
kepada penutur asing di sebahagian besar pusat pengajian di negara asing ialah bahasa
Melayu variasi Indonesia yang dikenal sebagai bahasa Indonesia. Variasi Malaysia baru
diperkenalkan di beberapa pusat pengajian, seperti di Universiti Pengajian Asing
Hankuk dan Universiti Pengajian Asing Busan, kedua-duanya di Korea. Di Eropah baru
sahaja dimulakan usaha memperkenalkan bahasa Melayu variasi Malaysia apabila
Universiti Frankfurt, Jerman mengendalikan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh
pelajar dari seluruh Eropah dan juga Rusia (kali pertama pada tahun 2004 dan
kemudian pada tahun 2006 dan 2007, dengan mendatangkan profesor dari Malaysia).
Universiti Deakin, Australia pun baru setahun memulakan pendedahan pelajarnya
kepada bahasa Melayu variasi Malaysia apabila pelajarnya dihantar ke Malaysia untuk
mengikuti kursus bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Pada hemat pemakalah, isu ini tidaklah terlalu besar dan tidak harus dijadikan halangan
untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Majlis Antarabangsa
Bahasa Melayu (MABM) telah memutuskan bahawa bahasa Melayu yang didukung oleh
majlis tersebut ialah bahasa Melayu supranasional, yang tidak ditandai ciri khusus
mana-mana negara. Meskipun tampak mudah tetapi rumusan itu memang kurang
realistik, kerana variasi Indonesia dan variasi Malaysia akan tetap tampak wujudnya.
Maka itu, jalan sebaik-baiknya ialah memperkenalkan kedua-dua variasi itu apabila
perlu supaya pelajar asing memperoleh manfaat untuk destinasi yang berbeda, iaitu
Malaysia dan Indonesia. Terbitnya Kamus Bahasa Melayu Nusantara (DBP Brunei
Darussalam, 2003) yang memasukkan lema variasi di Malaysia, di Indonesia dan di
Brunei Darussalam banyak membantu pemahaman pelajar asing tentang perbedaan
yang wujud, terutama tentang makna kata yang berbeda.
Daripada sudut ejaan, dapat dikatakan bahawa tidak wujud perbedaan yang terlalu jauh
sehingga pelajar asing tidak akan menghadapi masalah besar berhadapan dengan teks
dalam bahasa Melayu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Demikian juga istilah
dalam pelbagai bidang ilmu sebahagian besarnya telah diselaraskan. Kedua-dua aspek
itu, iaitu sistem ejaan dan istilah bagi bahasa Melayu mencapai keselarasan yang relatif
tinggi berkat kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam
- Indonesia - Malaysia (Mabbim) yang telah bermula pada tahun 1972.
KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN
Kesediaan dan persediaan yang dimaksudkan oleh pemakalah ialah bahawa negaranegara berbahasa Melayu, khususnya Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam perlu
pertama-tamanya mempunyai kesediaan untuk menggerakkan program pengajaran
bahasa Melayu kepada penutur asing secara bekerjasama dan menjadikannya agenda

negara-negara berbahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu


diaktifkan terus dengan dukungan semua negara berbahasa Melayu, meskipun inisiatif
pembentukannya diupayakan oleh Malaysia. Perlu ada pemeruntukan dana bersama
untuk segala program kebahasaan dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, apabila diadakan Minggu Bahasa dan Persuratan Melayu (seperti yang
pernah diadakan di Australia dan di Eropah), semua negara berbahasa Melayu perlu ikut
serta menjayakannya, daripada tahap perencanaan, pendanaan dan pengisian program.
Demikian juga,
rogram Bahasa Indonesia untuk Penutur Asing (BIPA) yang telah lebih maju daripada
program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing di Malaysia (dan mungkin di
Brunei Darussalam juga) hendaklah dimanfaatkan bersama serta diubahsuaikan
menurut keperluan tertentu. Dengan perkataan lain, perlu ada perencanaan bersama
dalam kalangan negara-negara berbahasa Melayu untuk menyediakan kurikukulum,
menyarankan kaedah, penyusunan bahan dan ujian tara bagi program bahasa Melayu.
Jika untuk bahasa Inggeris ada British Council, untuk bahasa Perancis ada Alliance
Francaie dan untuk bahasa Jerman ada Institut Goethe, maka untuk bahasa Melayu
perlu ada badan yang diberi amanah mengajarkan bahasa Melayu di peringkat
antarabangsa, dan paduan kerjasama antara negara-negara berbahasa Melayu akan
memungkinkan gagasan itu berhasil dengan lebih segera. Dengan demikian tidak
berlaku persaingan atas nama negara, sebaliknya berlangsung kolaborasi yang
menguntungkan bahasa Melayu dan negara-negara berbahasa Melayu.
Aspek lain yang perlu diberi perhatian khusus ialah penyediaan bahan ajar bahasa
Melayu melalui internet yang ternyata jauh lebih berkesan dan meluas khalayaknya serta
interaktif pula jika dibandingkan dengan penyediaan bahan atau modul pelajaran dalam
bentuk bercetak semata-mata. Untuk menjayakan program ini, diperlukan kepakaran
mengolah bahan ajar bahasa Melayu untuk disalurkan melalui internet.
Penutup
Demikianlah secara ringkas kupasan tentang isu-isu yang berkaitan dengan bahasa
Melayu dalam tempoh lebih setengah abad yang lalu dan renungan dalam menghadapi
setengah abad mendatang dalam abad ke-21. Saya mengaku bahawa tidak banyak hal
yang baharu dalam kupasan itu kerana isu taraf dan mutu bahasa Melayu memang
senantiasa berulang dalam pola yang sama tampaknya, dari zaman kita mula merdeka
hingga kita mendekati usia setengah abad kemerdekaan.
Mudah-mudahan segala yang terlanjur silapnya dapat dibaiki dan tidak diulang. Sesat di
hujung jalan balik ke pangkal jalan. Jadilah kita umat yang syukur akan nikmat Allah
atas kurnia-Nya memberikan bahasa yang telah mencapai tingkat bahasa ilmu dan
pemikiran dan juga bahasa antarabangsa pada satu zaman dahulu. Tanggunjawab
kitalah mempertahankan dan mengembalikan kegemilangan itu. Di sisi memperkukuh
kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan, upaya
mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa perlu dijadikan agenda
berterusan, jika kita hendak menyaksikan kejayaan bahasa Melayu merentas dunia,
sebagaimana Kerajaan Inggeris menngembangkan bahasa Inggeris melalui British
Council atau pemerintah Perancis mengembangkan bahasa Perancis melalui Alliance de
France dan pemerintah Jerman mengembangkan bahasa Jerman melalui Insitut Goethe.

Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah memperlihatkan kejayaan


membina rangkaian kerjasama sedunia dalam pengembangan bahasa Melayu perlu
dihidupakan semula.
Bibiliografi
Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan (Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi
Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala
Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.
Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur:
Persatuan Linguistik Melayu.
Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan
Penakatan Tamadun. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2006. Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa, kertas kerja
Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan AlMalik Faisal, Petaling Jaya (15 April 2006). Terbit dlm. Abdullah Hassan. Mengapa
Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik.
2006. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Awang Sariyan. 2007. Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu. Ucap
Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau
Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri
Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.
Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala
Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan Kertas Kerja Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006).
Juriah Long et al. 2004. Laporan Kajian Kesediaan Guru dan Pelajar dalam Pengajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka (tidak diterbitkan).
Hassan Ahmad. 2000. Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norhashimah Jalaluddin. 2006.Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris: Konflik antara Dua Darjat dlm. Abdullah Hassan (Ed.). Mengapa Kami
Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala
Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah
Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

You might also like