You are on page 1of 2

CADANGAN TEKS UCAPAN YDP PIBG SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH

KEBANGSAAN TAMAN NIRWANA 2014



Terima kasih Saudari/a Pengacara Majlis,
1. Yang Dihormati Tuan Hj Abd Hamid bin Hussain
Pemangku Yang Dipertua (MPAJ)
2. Yang Berusaha Puan Maizan binti Hashim (GURU BESAR)
3. Yang Dihormati Dato Hj Mustapha bin Yaakub (NYDP PIBG)
4.Yang Dihormati Puan Aliza bt Mohamad Ngasari (GPK PENTADBIRAN)
5. Yang Dihormati Puan Norehan bt Rimin (GPK HEM)
6. En. Halidon b. Samsuri (GPK KO-KURIKULUM)
7. Yang Dihormati Puan Thevalatha Naidu a/p Thambirajah
Penyelia Petang SK Taman Nirwana
8. Ahli jawatankuasa PIBG, ahli jawatankuasa pelaksana majlis, barisan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid serta
hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum w.b.t dan salam 1 Malaysia.
Alhamdulillah bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya saya dapat hadir bersama
tuan-tuan dan puan-puan dalam satu lagi upacara penting iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah
Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang bagi tahun 2014.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,
Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dalam majlis ini,
khususnya kepada para pelajar dan ibu bapa yang telah menunjukkan keintelektualan dan sahsiah yang cemerlang.
Tahniah dan terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion peguruan sehingga mampu
melahirkan modal insan yang berkualiti baik dari segi akademik mahupun sahsiah. Semoga majlis yang amat
bermakna ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan gemilang dan
terbilang. Sehubungan dengan itu, saya berharap pihak sekolah dan PIBG dapat bekerjasama mendepani segala
cabaran dan permasalahan yang timbul. Pihak sekolah dan ibu bapa, sebaik-baiknya wujudkan suasana kolaboratif
dengan sentiasa berbincang. Hindarkan sebarang perbalahan kerana ini tidak menguntungkan, malah merugikan
semua pihak.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,


Memandangkan pendidikan mampu menyuburkan kualiti kehidupan dan bersifat dinamik, guru-guru perlu
mewujudkan tanggapan yang positif terhadap diri dan kerjayanya. Perkara ini penting kerana masyarakat akan

membuat tanggapan terhadap guru berasaskan cara mereka berfikir, berpakaian, bercakap dan berinteraksi dengan
pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa dan masyarakat pula, hendaklah

bersifat rasional dan jangan cepat melatah menyalahkan pihak sekolah apabila timbul sesuatu masalah, terutama
berkaitan masalah disiplin anak-anak. Saya percaya, Tuan Guru Besar merupakan seorang individu yang
bertanggungjawab dan mahukan sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan baik serta kondusif. Cuma kadangkala
masalah disiplin berlaku tanpa disangka dan sebagai ibu bapa, keikhlasan Tuan Guru Besar mengurus sekolah perlu
dilihat secara positif.
Kita juga patut sedar, sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan semasa,
memenuhi tuntutan zaman dan lingkungan. Walau bagaimanpun, kita mungkin perlu mengimbau sejenak dan
menginsafi betapa bertuahnya kita berada di bumi Malaysia dengan menikmati pelbagai peluang pendidikan
ditawarkan. Apa yang paling penting adalah kesungguhan dan keinginan kita mengejar setinggi mana pencapaian
yang dikehendaki. Kita juga perlu membuat persiapan bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sudah tentu tidak
sama lagi dengan yang ada pada masa semalam,hari ini dan mungkin juga esok hari. Menginsafi hakikat ini, maka
tidak syak lagi bahawa sistem pendidikan itu sebenarnya menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui diri dengan
ilmu dan tekad yang baru pada setiap masa.

Oleh hal yang demikian tuan-tuan dan puan-puan, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada ibu bapa agar
senantiasa merebut peluang sebarang yang ada. Saya menyarankan para pelajar, guru-guru malahan ibu bapa
sentiasa memberi nilai tambah kepada diri dengan terus belajar dan menambah ilmu supaya kita semua akan terus
relevan dengan perubahan serta peredaran zaman. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pendidikan yang
mengutamakan aspek akademik semata-mata akan menyebabkan lahirnya generasi yang pintar tetapi tidak mampu
menonjolkan kebestariannya dalam tindakan atau

membuat keputusan. Oleh itu, aspek kemanusiaan tidak seharusnya diketepikan kerana melaluinya terdapat
beberapa pertimbangan atau budi bicara bagi membolehkan pembentukan sahsiah yang seimbang. Lantaran itu,
golongan pendidik, ibu bapa dan masyarakat hendaklah membuka minda dan mengemaskinikan pengetahuan sedia
ada sambil meneruskan usaha untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga
berakhlak mulia, berhemah tinggi, dan disegani pada peringkat global.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,
Sempena Majlis Hari Anugerah SK Taman Nirwana ini, saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan syabas
kepada seluruh warga SK Taman Nirwana, PIBG, ibu bapa dan para pelajar cemerlang kerana komited sehingga
dapat menjayakan program sekolah. Saya selaku perasmi akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pihak
sekolah untuk melahirkan modal insan gemilang dan terbilang. Akhir kata kepada Tuan Guru Besar, Yang Dipertua
dan ahli jawatankuasa PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, guru-guru dan semua pihak yang terlibat
menjayakan majlis ini saya ucapkan terima kasih, kerana sesungguhnya perpaduan dapat dibentuk melalui majlis
seperti ini. Sehubungan itu saya sekian kalinya berdoa semoga sekolah ini akan terus mencapai kejayaan seperti
mana yang mereka hajati dalam masa yang terdekat ini.
Sekian, wabilahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.
Terima kasih.

You might also like