You are on page 1of 6

PENGENALAN

Istilah pentaksiran digunakan dalam menyatakan pelaksanan pengujian bahasa. Ketika proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan di bilik darjah, guru perlu mendapatkan maklumat
tentang pencapaian murid-muridnya untuk mengukur pencapaian murid melalui penilaian
berterusan. Penilaian hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran
dan pembelajaran (P & P). Ia merupakan satu proses pengumpulan maklumat berkenaan
dengan kemajuan dan prestasi murid. Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah
memberikan penekanan kepada empat konsep utama iaitu pentaksiran, pengujian, penilaian
dan perkaitan dan perbezaan antara pentaksiran, pengujian dan penilaian.

PENTAKSIRAN, PENGUJIAN, PENILAIAN DAN PENGUKURAN


Pengukuran, penilaian dan pengujian adalah salah satu bahagian dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ketiga-tiga konsep, walaupun mempunyai tafsiran yang berbeza
dari segi pengertian, tujuan dan ciri-ciri, memangnya ada kaitan rapat dengan proses
pelaksanaan. Malah, ketiga-tiga perkara ini saling membantu dalam pencapaian matlamat yang
sama dalam proses pendidikan.

PENTAKSIRAN
Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan
tahap sesuatu ciri yang diperolehi seseorang individu. Pentaksiran adalah bertujuan sebagai
salah satu proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.
Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang
merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan
maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga
Peperiksaan Malaysia, 2000). Bagi Mokhtar Ismail (1985), pentaksiran ialah langkah untuk
menentukan tahap sejauh mana seseorang memiliki sifat tertentu
Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai
untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
1

Aspek-aspek utama pentaksiran instrumen, kumpulan yang ditaksir (kumpulan sasaran), respon
(proses menguji @ pengujian), kumpulan penaksir (penguji) dan skor (pengukuran).
Pentaksiran juga dapat digunakan untuk menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran
dan pembelajaran. Seterusnya, mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran
dan pembelajaran serta membantu guru untuk membaiki pengajaran dan pembelajaran. Melalui
pentaksiran yang dijalankan, guru dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
Terdapat beberapa kaedah yang biasa digunakan dalam menjalankan pentaksiran iaitu
seperti pemerhatian, lisan dan penulisan. Pentaksiran boleh juga dibuat tanpa menggunakan
pengujian. Sebagai contoh, kemahiran melukis seseorang murid boleh diukur melalui
pemerhatian sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Justeru,
kita boleh menganggapkan pentaksiran sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran
dengan menggunakan kaedah tertentu.
Pentaksiran tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental seseorang
sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Ketinggian fizikal
seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur yang tepat seperti
penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh
dianggap mengetahui dua kali ganda daripada murid yang mendapat skor 45, walaupun skor 90
itu dua kali ganda 45. Seseorang murid yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh
dianggap sebagai tidak mempelajari/ mengetahui tentang sesuatu pelajaran yang diajar guru.
Ini jelas menunjukkan ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat
sebagaimana ukuran ketinggian fizikal murid menggunakan pembaris. Justeru, seseorang guru
perlu menggunakan alat yang tepat bagi menjalankan pentaksiran yang tepat. Jika alat yang
digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.

PENGUKURAN
Pengukuran ialah suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui
angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan
menggunakan instrumen. Pengukuran juga bertujuan untuk menentukan tahap sejauh mana
seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.

Sebagai contohnya, Azizul mendapat markah 80 peratus dalam ujian Bahasa Melayu.
prestasi Azizul tidak dapat dinyatakan sama ada baik atau sebaliknya. Ini kerana kita hanya
mengukur tanpa menentukan nilai. Pengukuran adalah menjurus kepada banyak mana skor
atau markah yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.

PENGUJIAN
Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya
pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan murid dalam sesuatu subjek di sekolah. Ujian
adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur penguasaan murid dalam sesuatu subjek.
Tuckman (1975 ) mendefinisikan ujian sebagai sejenis atau alat pengukuran yang biasanya
digunakan untuk mengetahui tentang seseorang.
Tahap penguasaan murid biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada
jawapan yang diberi. Tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian
berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat.. Pengujian dapat dianggap
sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set
instrumen atau satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau
perubahan seseorang individu atau murid.
Proses pengujian bermula dengan peringkat persediaan, pelaksanaan (pentadbiran
ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Proses pengujian membolehkan guru
mengetahui sama ada murid-muridnya telah menguasai tahap kemahiran yang telah dipelajari.
Guru perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat
dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini
berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.
Hasil daripada pemarkahan jawapan murid, satu ukuran yang disebut sebagai markah
akan diberikan kepada murid tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi
murid yang diuji. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada muridmuridnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

PENILAIAN
Gay ( 1985 ) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik
semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang
telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat
pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, guru berkenaan mengukur
pencapaian murid melalui ujian yang dijalankan.Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan
menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai prestasi
murid berkenaan. Penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat atau data yang
berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali. Dari
segi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas
sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan
pembelajaran dicapai. Penilaian akan membolehkan anggaran dapat dibuat sama ada matlamat
yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya.

PERBEZAAN ANTARA PENGUJIAN, PENGUKURAN, PENILAIAN DAN PENTAKSIRAN.


Terdapat beberapa perbezaan antara pengujian, pengukuran, penilaian dan
pentaksiran. Perbezaan boleh dilihat antara pengujian, pengukuran, penilaian dan pentaksiran
dari sudut definisi, cara pelaksanaan, tujuan, bentuk dan liputan.
Perbezaan yang pertama ialah dari segi definisi. Pengujian didefinisikan sebagai satu
alat untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang atau sesuatu. Selain itu, pengujian
turut didefinisikan sebagai satu proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan
supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan murid dalam sesuatu kursus atau pun
tugasan. Pengukuran pula boleh diertikan sebagai satu proses kuantifikasi dengan memberi
nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Penilaian pula didefinisikan sebagai
suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan
dan pentaksiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan
berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.

Pentaksiran pula membawa maksud satu

proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan


tentang sesuatu proses pendidikan. Ia merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul merekod,

memberi skor dan meninterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang bagi sesuatu
tujuan.
Perbezaan antara keempat-empatnya juga boleh dilihat dari segi tujuannya. Pengujian
dijalankan bertujuan mengesan kelemahan murid dalam sesuatu topik. Tujuan pengukuran
pula dilaksanakan untuk menempatkan murid berdasarkan keputusan peperiksaan yang telah
dijalankan melalui pengujian. Pengukuran juga bertujuan untuk memberi penghargaan seperti
sijil. Penilaian juga mempunyai tujuannya yang tersendiri. Penilaian dijalankan oleh guru untuk
menilai sejauhmana tercapainya hasil pembelajaran dan objektif pembelajaran. Penilaian juga
dilaksanakan untuk membantu guru merancang sesi pengajaran pada masa akan datang dan
merancang program-program yang bakal dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
Pentaksiran pula bertujuan mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman
serta pertimbangan tentang proses yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran.
Perbezaan yang seterusnya ialah dari segi cara pelaksanaan.

Pengujian boleh

dilaksanakan semasa dan selepas sesuatu pengajaran tersebut dilaksanakan.

Alat yang

digunakan untuk melaksanakan pengukuran ialah soalan, senarai semak, dan tugasan.
Pengukuran pula dilaksanakan oleh guru setelah murid melaksanakan ujian.

Guru

melaksanakan pengukuran dengan menggunakan rajah dan jadual dengan bantuan komputer.
Penilaian pula dilaksanakan apabila proses pengujian dan pengukuran telah selesai
dilaksanakan.

Penilaian dilaksanakan untuk memperbaiki dan merancang pengajaran dan

pembelajaran yang akan datang berdasarkan kajian dan pentaksiran yang telah dilakukan.
Selain itu, terdapat perbezaan dari segi bentuk pengujian, pengukuran/pentaksiran dan
penilaian. Pengujian dijalankan dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan dan bertulis, manakala
pengukuran/pentaksiran menjalankan bentuk set ujian bertulis dengan markah dan gred,
seterusnya penilaian dijalankan dalam bentuk jadual atau gred berdasarkan teknik perangkaan.
Dari segi masa juga terdapat perbezaan proses ini dijalankan iaitu pengujian dilaksanakan
selepas masa pembelajaran, pengukuran/pentaksiran dijalankan juga selepas pembelajaran,
manakala penilaian dijalankan sebelum, semasa dan selepas pembelajaran.
Dari segi liputan, pengujian terhad pada sesuatu kemahiran atau pembelajaran sahaja,
manakala pengukuran/pentaksiran boleh dilaksanakan didalam sesuatu peringkat pembelajaran
dan penilaian boleh dilaksanakan dari sesuatu pembelajaran tertentu ke seluruh kurikulum.
Seterusnya, keputusan pengujian menunjukkan prestasi sesuatu kemahiran atau penguasaan
pembelajaran yang spesifik,manakala pengukuran/pentaksiran menunjukkan pencapaian
5

secara relatif, dan yang terakhir penilaian menunjukkan pencapaian keseluruhan tetapi tidak
semestinya membayangkan kebaikan seseorang individu.

PENUTUP
Tiga konsep utama dalam Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah iaitu Pengujian,
Pentaksiran dan Penilaian adalah salah satu bahagian dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Ketiga-tiga konsep ini, walaupun mempunyai tafsiran yang berbeza dari segi
pengertian, tujuan dan ciri-ciri, sememangnya ada kaitan rapat dengan proses pelaksanaan.
Malah, ketiga-tiga perkara ini saling membantu dalam pencapaian matlamat yang sama dalam
proses pendidikan. Ketiga-tiga konsep ini dapat membantu untuk mengenalpasti kedudukan
dan pencapaian pelajar serta memperbaiki cara penyampaian pengajaran seorang guru. Oleh
yang demikian guru perlu menyediakan ujian yang sesuai terhadap murid mengikut tahap
mereka. Melalui ujian yang dilakukan guru dapat menilai tahap dan kedudukan murid serta
membantu kelemahan mereka.

You might also like