You are on page 1of 1

Ringkasan karangan 1/2009

Bahagian A (i): Ringkasan


[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah
penglibatan rakyat Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.

Misi menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas yang bermula pada tahun 2003 akhirnya
sempurna sekembalinya Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Bumi selepas 11 hari berada di Stesen Angkasa
Antarabangsa (ISS) semalam. Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama
Yuri Gagari dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi Bumi, namun beliau dikatakan lewat. Malah, catatan
Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan ke-141 amat bermakna kepada negara kerana berlangsung bersempena dengan
50 tahun usia kemerdekaan tanah air.

Penglibatan ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan
angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa
boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara menjadi kebanggaan kita sekali gus melonjakan nama
Malaysia di arena antarabangsa. Kejayaan menjadikan Program Angkasawan Negara satu realiti pastinya membuka
mata dunia betapa negara kecil di peta dunia ini amat serius membangunkan industri angkasa lepas. Kejayaan ini telah
menutup tanggapan orang ramai bahawa program ini membazirkan wang rakyat. Malah sebelum ini ramai yang tidak
yakin misi ini akan membuahkan hasil. Selain itu, tanggapan negara maju yang usaha Malaysia menyertai misi tersebut
untuk menandingi negara lain dapat dihapuskan.

Sesungguhnya selepas mencatat rekod kejayaan ini ialah kelangsungan program angkasawan negara
terutama dari sudut penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar. Minat generasi muda baik di peringkat tadika terhadap
penerokaan angkasa lepas akan berkembang. Disebabkan Sheikh Muszaphar selamat kembali ke Bumi maka program-
program untuk mendidik rakyat Malaysia tentang angkasa lepas akan menarik perhatian masyarakat. Begitu juga
dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada
penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke ISS akan menerima respon yang baik daripada orang ramai.
Kita berharap Sheikh Muszaphar akan memberi ceramah di seluruh pelosok negara tentang pengalamannya di angkasa
untuk menarik minat masyarakat tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan hasil penyelidikan Sheikh Muszaphar di
ISS bakal membuka lembaran baharu bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit
kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas yang besar jumlahnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak
bakal angkasawan yang dilahirkan di negara kita mampu bersaing dengan calon-calon dari negara luar. Sesungguhnya
kejayaan angkasawan pertama kita mesti ada susulannya sebagai bukti bahawa negara serius menyertai masyarakat
antarabangsa meneroka angkasa.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana pengarang


“Meneruskan Kejayaan Teroka Angkasa Lepas”, Utusan Malaysia, 22 Oktober 2007)

Bahagian A (ii): Pemahaman


[10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan–soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1 Berikan maksud rangkai kata kelangsungan program. [2 markah]

2 Apakah tanggapan negatif sebelum misi ke angkasa lepas dijalankan? [4 markah]

3 Pada pendapat anda, mengapakah Malaysia mengambil masa yang lama untuk melahirkan seorang angkasawan iaitu
46 tahun setelah angkasawan Rusia berjaya menerokai angkasa lepas? [4 markah]

You might also like