You are on page 1of 5

Aktiviti 4.3 Tajuk : Mengapakah PPSMI menimbulkan konflik? Bagaimanakah penyelesaiannya?

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa perantara bagi mata pelajaran tersebut di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI ini telah menjadi isu perdebatan hangat sejak dilaksanakan pada tahun 2003 oleh Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Akhirnya dasar ini dimansuhkan pada tahun 2012 oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beberapa kajian yang telah dilakukan. Perlaksanaan PPSMI ini telah menimbulkan konflik nasional akibat menerima pelbagai pendapat tentang ketidakpuasan hati ramai pihak. Pada asalnya dasar ini mempunyai matlamat untuk melahirkan pelajar bertaraf dunia. Tetapi perlaksanaannya telah mendapat respon negatif oleh masyarakat. Ramai yang berpendapat bahawa penggunaan bahasa asing merosakkan kedudukan Bahasa Kebangsaan malah ia juga member kesan negatif kepada prestasi pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Terutama pelajar di luar bandar yang mengalami penurunan dalam prestasi mata pelajaran Sains dan Matematik. Mengapa ia terjadi? Ini kerana mereka belajar dalam bahasa yang mereka tidak fahami menjadikan komunikasi tidak berkesan dalam mata pelajaran tersebut. Selama 6 tahun kita mengalami penurunan peratusan pencapaian secara mendadak dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini walaupun tidak merujuk secara khusus kepada dasar PPSMI tetapi ia mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007. Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata
1

berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003. Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003. Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain. Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus). Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus). Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketigatiga kategori pencapaian sains juga merosot secara mendadak. Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua atau asing.

Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi. Kebanyakan masalah berlaku dikalangan murid berbangsa Melayu kerana mereka lemah dalam Bahasa Inggeris. Mereka dilahirkan dan dibesarkan dengan penggunaan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu maka apabila pengajaran dilakukan dalam Bahasa Inggeris, mereka sukar untuk memahaminya. Berbanding dengan murid yang berbangsa Cina, India dan lain-lain, mereka telah memahami Bahasa Inggeris sejak mereka lahir lagi. Maka mudah bagi mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Pada zahirnya kewujudan dasar ini untuk meningkatkan prestasi dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid kita, tetapi tindakan ini salah sekali. Seharusnya kita mengkaji mengapakah murid kita amat lemah dalam matapelajaran Bahasa Inggeris dan cuba mengatasi masalah ini tanpa melibatkan matapelajaran lain dan menjatuhkan lagi prestasi matapelajaran lain. Pendapat saya, untuk meningkatkan Bahasa Inggeris, kita perlulah mewajibkan murid berbahasa Inggeris pada hari-hari tertentu dalam waktu persekolahan. Tindakan ini akan lebih menjadikan murid berkeyakinan dalam pertuturan Bahasa Inggeris di sekolah. Kebanyakan guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik telah mendapati pelajar Melayu kerap bertanya maksud sesuatu istilah Bahasa Inggeris sama ada di dalam teks atau buku rujukan mereka. Bukan sahaja murid Melayu, malah ada juga murid Cina turut tidak faham istilah Bahasa Inggeris tersebut. Guru tersebut terpaksa menjadi translator kepada mereka menterjemah perkataan berikut ke Bahasa Melayu agar difahami. Dapat dilihat bahawa guru seolah-olah mengajar terjemahan bahasa dan bukannya mengajar Sains dan Matematik. Selain daripada itu, kebanyakan murid tidak memahami soalan yang diberikan dalam Bahasa Inggeris tetapi sekiranya terdapat soalan dalam Bahasa Melayu mereka senang faham dan terus menjawabnya. Kes-kes seperti ini bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi turut berlaku di kawasan bandar. Bukan semua murid Cina di bandar bijak dalam Bahasa Inggeris.

Kita perlu imbas kembali zaman dahulu, walaupun Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu, ramai juga murid yang berjaya dengan cemerlang diperingkat universiti sehingga menjadi orang yang berguna dikalangan masyarakat. Kefahaman murid dalam mata pelajaran yang diajar adalah amat penting sekali. Kita harus memperbaiki kelemahan Bahasa Inggeris di kalangan murid disamping memperkasakan Bahasa Kebangsaan kita. Bagaimanakah caranya untuk memperbaiki kelemahan Bahasa Inggeris ini? Caranya, yang pertama pembelajaran anak-anak bermula dari rumah, sebagai ibu bapa kita perlu memberi pendedahan berhubung penguasaan Bahasa Inggeris kepada anak sejak kecil. Kanak-kanak berusia antara empat atau lima tahun dikatakan mudah untuk mempelajari bahasa. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Ini kerana pada peringkat usia yang sangat muda, mereka tidak berasa malu untuk belajar dan cuba bercakap dalam Bahasa Inggeris berbanding apabila sudah meningkat usia. Kedua, berikan anak-anak bahan bacaan berbahasa Inggeris seperti surat khabar, majalah, komik dan lain-lain. Mereka akan terdidik daripada awal membaca bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris. Ketiga, membenarkan mereka menonton program televisyen berunsur pendidikan dalam Bahasa Inggeris seperti Baby TV, National Geography, Discovery, Animal Planet, TVIQ dan lain-lain. Melalui tontonan siaran dalam Bahasa Inggeris contohnya siaran kartun, kanak-kanak akan terbiasa mendengar pertuturan dalam Bahasa Inggeris dan kebiasaannya mereka akan meniru gaya pertuturan tersebut. Sehinggakan kita tidak sedari bahawa mereka lebih bijak bertutur dalam Bahasa Inggeris kesan daripada pengaruh televisyen. Keempat, benarkan anak-anak bergaul dengan rakan sebaya yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah memberi galakan kepada anak-anak bergaul dengan kanak-kanak dari bangsa lain yang fasih bertutur Bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, mereka dapat mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris melalui pertuturan sesama mereka. Kesimpulannya, PPSMI bukanlah langkah paling sesuai untuk memperkukuh Bahasa Inggeris dikalangan pelajar. Ia hanya cuma membantu sedikit sahaja pennguasaan Bahasa Inggeris. Sememangnya PPSMI tidak begitu membantu meningkatkan kemahiran pelajar
4

Berbahasa Inggeris kerana kemahiran berbahasa diperoleh daripada pertuturan, penggunaan tatabahasa dan kosa kata yang betul untuk membina struktur ayat. Adakah dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik menjadikan pelajar ini mahir membina ayat dengan betul dalam Bahasa Inggeris dan fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris? Jawapannya tidak.

You might also like