You are on page 1of 4

REFLEKSI HARI KESIHATAN 2013 HIDUP SIHAT PILIHAN BIJAK PJ PIAGOS Pada 7 Mac 2013, Hari Kesihatan 2013

telah diadakan bertempat di Dewan Dato Razali Ismail dengan tema Hidup Sihat Pilihan Bijak. Program ini dianjurkan oleh kumpulan guru pelatih PISMP ambilan Januari 2011 Semester 5 pengkhususan Pendidikan Jasmani (PJ PIAGOS). Program ini adalah sebahagian daripada tugasan Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI) kursus Program Kesihatan Sekolah (PKE 3104) di bawah seliaan Puan Jamaliyah binti Ahmad. Program ini bermula pada pukul 9 pagi hingga pukul 2 petang. Tuan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Puan Rohana Binti Kamaruddin telah merasmikan Hari Kesihatan 2013. Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya pameran, pemeriksaan kesihatan, ceramah, jualan dan permainan kecil. Antara agensi yang terlibat sepanjang program ini ialah PROSTAR, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Tabung Darah Hospital Klang, IPD Pudu, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Bulan Sabit Merah Malaysia, KPJ Ampang Puteri dan Eye Riz Optometriz. Antara kekuatan yang saya peroleh sepanjang mengendalikan program ini ialah saya dapat belajar cara surat menyurat dengan pihak dan agensi luar. Saya telah dilantik sebagai setiausaha program dan ini merupakan kali pertama saya mendapat jawatan sebegini. Banyak perkara yang saya belajar terutamanya apabila melibatkan pihak atasan institut serta cara-cara membuat permohonan rasmi dengan pihak luar. Saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada para pensyarah dan juga para kakitangan pejabat pentadbiran institut sepanjang menyiapkan surat-surat yang perlu dihantar kepada agensi luar. Kekuatan seterusnya ialah saya dapat melatih diri saya menguruskan masa saya sebagai seorang guru pelatih. Memandangkan beban kerja yang bertambah, saya perlu bijak menguruskan tanggungjawab saya sebagai guru pelatih dengan komitmen yang lain. Seterusnya, saya dapat menambahkan kandungan pengetahuan dan pengalaman saya sebagai seorang bakal guru mengenai program kesihatan. Program ini merupakan program wajib untuk dikendalikan oleh setiap guru

Pendidikan Jasmani di sekolah nanti. Jadi, pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh hari ini pasti berguna kelak. Saya juga dapat menambahkan pengetahuan saya apabila saya melawat setiap agensi yang membuat pameran pada Hari Kesihatan 2013. Paling mendapat perhatian saya adalah pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang dibuat di dalam bas bergerak. Yang terakhir, saya dapat membuat pemeriksaan kesihatan pada tubuh badan saya. Saya dapat mengetahui kondisi dan tahap kesihatan tubuh badan saya apabila saya membuat pemeriksaan kesihatan. Terdapat beberapa kelemahan yang saya kesan sepanjang mengendalikan program ini. Yang pertama, kekurangan pengalaman dan pengetahuan dalam urusan surat-menyurat menyebabkan beberapa kali surat ditolak pihak atasan. Hal ini menyebabkan urusan membuat permohonan kepada agensi luar tergendala.

Seterusnya, kelemahan seterusnya adalah berlaku kesilapan komunikasi antara pihak kami dan HEP yang menyebabkan ramai guru pelatih tidak berpeluang mengunjungi program kami. Hal ini juga berpunca kerana kekurangan hebahan dan hebahan hanya dibuat pada saat-saat akhir. Namun, rata-rata pengunjung berpuas hati dengan program yang kami anjurkan kerana lebih banyak agensi yang terlibat. Sebagai penambahbaikan, saya perlu memastikan semua urusan surat menyurat dibuat terlebih awal agar dapat mengenalpasti kesilapan. Pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh sepanjang program ini akan saya gunakan jika saya perlu mengendalikan program lain pada masa akan datang. Selain itu, saya perlu sentiasa mengambil tahu perkembangan setiap jawatankuasa agar segala persiapan program berjalan lancar. Ini dapat mengelakkan ahli jawatankuasa tidak membuat kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Selain itu, hebahan perlu dibuat lebih awal samada melalui poster ataupun melalui media social agar lebih ramai warga institut datang ke program ini.

GAMBAR SEMASA HARI KESIHATAN 2013

Tuan Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Puan Rohana Binti Kamaruddin melawat agensi yang membuat pameran sempena Hari Kesihatan 2013

Guru pelatih Semester 5 yang terlibat sebagai pembantu agensi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)

Aktiviti menderma darah yang dikendalikan oleh Tabung Darah Hospital Klang

Guru pelatih Semester 5 menunjukkan demonstrasi pertolongan cemas kepada para pengunjung pameran

You might also like