You are on page 1of 2

Contoh Esei 4

Tema 4: Konflik Antarabangsa


Soalan: Huraikan faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia

Perang Dunia Kedua yang tercetus pada tahun 1938 meninggalkan impak yang
besar kerana bukan sahaja melibatkan negara-negara di Eropah tetapi termasuk
negara-negara di Asia dan Afrika. Jepun merupakan salah sebuah negara Asia yang
terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua. Terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia.
Salah satu daripada faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia ialah wujudnya
gerakan nasionalisme yang melampau di Jepun. Kita Ikki merupakan seorang
pelampau yang mempelopori aliran baharu nasionalisme di Jepun. Beliau
berpendapat pembentukan semula negara Jepun oleh tentera atas nama maharaja
perlu dilakukan. Beliau menolak amalan demokrasi Barat dan Parlimen Jepun yang
mudah terjebak dalam amalan rasuah. Aliran ini menyebabkan berlakunya
pergeseran antara parti pemerintah dengan golongan tentera. Kejayaan golongan
tentera mengambil alih tampuk pemerintahan Jepun membolehkan mereka
mengukuhkan kekuatan tenteranya bagi menghadapi kuasa Barat.

Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929 turut mendorong kepada meletusnya
Perang Dunia Kedua. Krisis ekonomi dunia ini telah menyebabkan golongan petani
dan rakyat Jepun dibebani kemiskinan. Petani yang tidak berpuas hati dengan
pemerintah akhirnya telah menyatakan sokongan kepada tentera. Pada tahun 1936,
golongan tentera memberontak dan berjaya menguasai kerajaan. Kerajaan Jepun
kemudiannya berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan.

Kepentingan ekonomi Jepun juga mendorong kepada kancah Perang Dunia Kedua.
Dasar Pemodenan Meiji berjaya memacu ekonomi Jepun sehingga menjadi negara
industri yang kuat. Kepesatan ekonomi Jepun turut meningkatkan permintaan ke
atas bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri. Bagi mendapatkan
bekalan bahan mentah dan pasaran, Jepun telah melaksanakan dasar imperialisme.
China dan Manchuria yang kaya dengan arang batu, kapas dan sutera telah
menjadi sasaran Jepun. Belanda, Britain, AS dan Perancis bimbang dasar
imperialisme Jepun ke kawasan lain seperti Indo-China dan Asia Tenggara
menjejaskan kepentingan mereka.

Selain itu, isu keselamatan negara Jepun juga menjadi faktor meletusnya Perang
Dunia Kedua. Pada penghujung abad ke-19, Jepun bangkit sebagai kuasa yang kuat
di Asia. Yoshida Shoin, tokoh intelek Jepun menegaskan bahawa Jepun perlu
memperkukuhkan pertahanannya. Yamagata Aritomo, salah seorang pemimpin
kerajaan Meiji telah mengetengahkan konsep garis kepentingan negara. Konsep ini
merujuk kepada kawasan bersempadanan atau berhampiran dengan Jepun
dianggap mempengaruhi keselamatan Jepun. Oleh itu, garis kepentingan negara ini
wajar diperkukuhkan. Penekanan ke atas konsep ini menyaksikan Jepun cuba
meluaskan garis kepentingan negara dengan menyerang Rusia [1905], Korea
[1910], China [1895 & 1937], Manchuria [1932], Indo-China dan Asia Tenggara
[1941].

Jelas sekali dasar pemodenan Meiji berjaya menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa
yang kuat di rantau Asia. Dasar imperalisme dan ancaman kuasa Barat telah
mendorong Jepun bertindak memperkuatkan pertahanan negaranya. Kekuatan
Jepun menjadikan negara tersebut bersedia berdepan dengan kuasa Barat dan juga
sebarang kemungkinan peperangan.

You might also like