You are on page 1of 3

JUMAAT, 9 JANUARI 2015 @ 7:44 AM

Hikmah banjir luar biasa di Kelantan


Mohd Ayop Abd Razid

ayop_60@yahoo.com
Kemusnahan akibat banjir di Kelantan adalah sangat besar. Ia dianggarkan
berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta). Justeru, pemulihan kesan
bencana alam itu terutama di Kuala Krai dan Gua Musang memerlukan
kerjasama kerajaan negeri dan Pusat.
Sebagai kerajaan yang prihatin dan berpegang kepada semangat
persekutuan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengadakan perbincangan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Ahmad Yakob kelmarin bagi mencari jalan membantu pemulihan
pasca banjir.
Hasil daripada perbincangan itu, Kerajaan Pusat dan kerajaan PAS
Kelantan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani
Pascabanjir Peringkat Negeri. Usaha murni Kerajaan Pusat itu sangat besar
maknanya terutama dalam usaha membangunkan semula negeri itu.
Jawatankuasa yang akan dipengerusikan bersama oleh Ahmad dan Datuk
Seri Mustapa Mohamed yang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO
Kelantan itu akan mengkaji semua aspek pembangunan di negeri itu
selepas musnah dilanda malapetaka banjir baru-baru ini.
Pulih kehidupan rakyat
Rakyat Kelantan tentu mengalu-alukan jalinan kerjasama itu kerana tumpuan utama
untuk memulihkan kehidupan rakyat yang menjadi mangsa banjir luar biasa.
Mengikut Muhyiddin, langkah pertama yang akan dilakukan adalah memastikan
semua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.
Pastinya masalah yang dihadapi 2,660 isi rumah yang kediaman mereka musnah
sama sekali akan diberi keutamaan seperti disebut Muhyiddin bahawa fokus
jawatankuasa itu ialah memastikan semua mangsa banjir terutama yang kehilangan
rumah atau rosak teruk mempunyai tempat berlindung buat sementara waktu
sehingga rumah kekal dapat disiapkan.
Antara alternatif yang disarankan oleh Menteri Besar Kelantan sendiri ialah mencari
rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan untuk penempatan
sementara mangsa banjir sementara menunggu projek rumah sementara siap. Bagi
mangsa yang kehilangan rumah, tetapi masih mempunyai tapak, kerajaan akan
menimbang membina semula rumah mereka.

Langkah lain ialah memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir supaya mereka
dapat memulakan kehidupan selepas sudah lama tidak ada pendapatan sepanjang
tempoh banjir. Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan bekalan makanan kering
seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari selepas
mangsa kembali ke rumah yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat.
Sebelum ini Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera RM50 juta
untuk negeri dilanda banjir. Ia bagi membantu meringankan beban yang dihadapi
rakyat di negeri berkenaan, terutama di Kelantan yang mengalami banjir luar biasa.
Rakyat prihatin, simpati
Pada masa sama, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik
terus menghulur sumbangan melalui badan bukan kerajaan untuk disalurkan kepada
mangsa banjir di Kelantan. Sumbangan dan pembabitan syarikat swasta dan badan
korporat juga sangat membantu. Apa yang penting ialah penyelarasan
menyampaikan bantuan itu perlu berkesan dan agihannya sampai sama rata kepada
mangsa dengan tumpuan lebih kepada kawasan yang paling teruk terjejas.
Ada beberapa perkara penting lain yang harus diberi keutamaan segera oleh
jawatankuasa terbabit seperti pemulihan perkhidmatan bekalan air paip dan
perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur. Walaupun Keretapi Tanah Melayu Bhd
(KTMB) menjangkakan pemulihan mengambil masa setahun, ramai yang
mengharapkan ia dipulihkan lebih awal, sekurang-kurangnya sebelum menjelang
Aidilfitri kerana pengangkutan kereta api menjadi alternatif penting anak negeri
Kelantan untuk pulang beraya di kampung masing-masing.
Hakikatnya, banjir luar biasa yang melanda negeri itu turut memperlihatkan
hikmahnya, iaitu kita perlu bersatu menguruskan keadaan yang dihadapi. Kerajaan
negeri harus terus memberi komitmen untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat
demi kebajikan rakyat Kelantan. Malah, ramai yang mengharapkan ia menjadi
landasan penyatuan rakyat negeri Kelantan.
Pemikiran politik kepartian tidak harus menjadi penghalang kepada kerjasama murni
itu. Kita mengharapkan pemimpin politik di negeri itu lebih terbuka dan bersatu untuk
memulihkan keadaan. Yang penting lihatlah hikmah di sebalik bencana itu. Mungkin
selepas ini pemulihan kawasan dilanda banjir teruk akan mengalami pemulihan lebih
baik dari sebelumnya, manakala mangsa banjir pula akan mendapat sesuatu yang
lebih baik bagi menggantikan apa yang mereka hilang.
http://www.bharian.com.my/node/28043

SELASA, 13 JANUARI 2015 @ 11:25 PM

PM Thai arah tentera bantu mangsa banjir


di Kelantan
PATTANI: Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha, mengarahkan
pasukan tentera di selatan negara berkenaan supaya membantu mangsa banjir di
Kelantan.
Panglima Tentera Bahagian ke-4, Leftenan Jeneral Prakarn Chollayuth, berkata
Prayuth juga mengarahkan semua badan kerajaan di selatan Thailand memberi
bantuan kepada mangsa bencana itu secepat mungkin.
Prakarn berkata, Unit Keselamatan Dalam Negeri Bahagian ke-4 akan mula
menerima barangan keperluan dan peralatan membina rumah serta membaiki
kenderaan yang rosak bermula hari ini.
"Untuk permulaan, kami merancang membawa sumbangan ke tiga kawasan di
Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah pada 17 dan 18 Januari,"
katanya pada sidang media di Kem Sirinthorn, Yarang, di sini hari ini.
Beliau berkata, pusat penyelaras bagi menerima sumbangan berkenaan ialah di
Pejabat Gabenor wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.
"Bagi penduduk yang ingin menghulurkan bantuan boleh berurusan di Pejabat
Gabenor di empat wilayah tersebut," katanya.
Bulan lepas, bencana banjir turut melanda selatan Thailand membabitkan wilayah
Yala, Pattani dan Narathiwat.
- BERNAMA

You might also like