You are on page 1of 10

Tugasan 1 Individu

Bincangkan masa depan dan cabaran Bahasa Melayu dalam pendidikan,


pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara.

Sebenarnya, jika diteliti pada hari ini Bahasa Melayu mempunyai masa depan
yang agak suram jika dilihat dari konteks penggunaan dan perkembangan bahasa itu
sendiri. Hal ini demikian kerana walaupun Bahasa Melayu mempunyai kedudukan
yang terjamin iaitu dari segi penggunaan yang meluas oleh rakyat Malaysia dan
diperakui oleh Perlembagaan Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara ia tidak digunakan dengan baik mengikut standard yang sepatutnya.
Malahan, negara juga masih belum berjaya menghasilkan seratus peratus murid-
murid yang mendapat keputusan sekurang-kurang lulus dalam peperiksaan awam
bagi subjek Bahasa Melayu seperti PMR dan SPM. Penuntut di peringkat pengajian
tinggi pula menerima pendidikan mereka dengan menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar bagi kebanyakan subjek yang ditawarkan oleh pihak
universiti.
Jika kita meneliti sejarah negara sejak Akta Pendidikan 1996 diperkenalkan,
Bahasa Melayu mula menerima cabaran dalam dunia pendidikan. Hal ini demikian
kerana pelbagai perubahan telah dilakukan oleh pihak kerajaan disebabkan
peredaran zaman dan perkembangan teknologi maklumat yang pesat seperti
pelaksanaan Akta IPTS 1996 dan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sememangnya
memberikan kesan kepada Bahasa Melayu itu sendiri. Perubahan demi perubahan
yang berlaku itu turut membawa bersama isu dan cabaran yang dihadapi oleh para
guru Bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring
dengan perkembangan dunia semasa.
Masyarakat bandar kini yang semakin mementingkan penggunaan dan
pembelajaran Bahasa Inggeris telah menyebabkan pembelajaran Bahasa Melayu
semakin mencabar. Tugas guru yang sedia ada dalam memberikan pengajaran dan
bimbingan pengetahuan tentang Bahasa Melayu serta tugas pentadbiran lain, kini
menggalas satu lagi peranan baharu bagi menanamkan keyakinan terhadap bahasa
kebangsaan ini dalam diri dan jiwa murid-murid. Justeru, guru perlu kreatif dan
inovatif dalam mencari dan mengubah suai pendekatan agar selari dengan
keperluan pelajar. Dalam masa yang sama, guru juga perlu bijak dalam memupuk
sikap cintakan bahasa kebangsaan kepada pelajar yang telah dimomokkan dengan
kepentingan Bahasa Inggeris agar tidak menimbulkan konflik lain.
Selari dengan keyakinan yang tinggi terhadap Bahasa Inggeris, hal ini telah
membawa kepada perubahan sikap yang ketara dalam kalangan pelajar terhadap
Bahasa Melayu. Guru menggalas beban dalam menjadikan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu lebih lancar dan tersusun serta menarik agar ia
diminati oleh para pelajar. Maka dengan itu, bahasa yang digunakan dan
disampaikan juga perlulah disesuaikan dengan aliran dan keperluan semasa.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu khususnya bagi
pengajaran kemahiran menulis memerlukan contoh-contoh sesuai yang terbaik dan
menggunakan Bahasa Melayu yang standard. Keadaan ini memerlukan guru
menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek kemahiran
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dalam konteks ini guru perlu
mendalami ilmu bahasa dan ilmu pendidikan agar selari dengan perkembangan
semasa. Dengan pengetahuan bahasa dan ilmu pendidikan yang mendalam, para
guru Bahasa Melayu akan dapat mendepani segala cabaran dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah serta menjadi pakar rujuk kepada rakan
sekerja atau golongan yang memerlukan bantuan.
Selain itu, isu pengajaran Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan
kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu. Natijahnya, guru besar atau pengetua
terpaksa meminta guru bukan opsyen untuk mengisi kekosongan ini. Dalam hal ini,
Nik Safiah Karim (1980) berpendapat bahawa ramai guru yang bukan sahaja tidak
dapat mengajar Bahasa Melayu dengan baik, tetapi penguasaan Bahasa Melayu
mereka juga amat lemah. Jika ini berlaku, maka ia akan mewujudkan masalah dalam
melahirkan pelajar yang benar-benar berketerampilan dari aspek penguasaan
bahasanya. Kesan daripada situasi seperti itu, maka akan lahirlah masyarakat yang
makin jahil tentang bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sendiri.
Krisis identiti Bahasa Melayu yang mengalami penjenamaan semula
kepada Bahasa Malaysia secara tidak langsung telah mengikis kewibawaan
bahasa itu sendiri. Perubahan demi perubahan dari segi nama dengan mula
menggunakan Bahasa Melayu kemudian menggunakan Bahasa Malaysia;
kembali menggunakan Bahasa Melayu dan kini berbalik semula kepada Bahasa
Malaysia, sedikit sebanyak mencemarkan imej bahasa kebangsaan ini dan mungkin
mengelirukan pelajar dan masyarakat umum. Pihak berkenaan harus mengkaji
semula penjenamaan ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan
terhadap para pelajar. Persoalan yang bermain dalam minda pelajar ialah yang mana
satu betul sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia.
Menurut seorang guru Bahasa Melayu yang mengajar di sebuah sekolah di
Selangor, seorang pelajar pernah bertanya kepada dirinya, adakah kebudayaan
Melayu itu sama dengan kebudayaan Malaysia? Kemudian pelajar itu sendiri yang
memberikan jawapannya. Menurutnya, kebudayaan Malaysia merangkumi budaya
semua kaum yang terdapat di negara ini. Justeru, ini bermakna bahasa Malaysia
ialah bahasa-bahasa yang digunakan oleh semua kaum di Malaysia yang
merangkumi bahasa yang dituturkan oleh orang Melayu, orang Tionghoa, iaitu
Bahasa Mandarin dan orang India, iaitu Bahasa Tamil.
Justeru, dalam mendepani isu dan cabaran ini, pihak berwajib dan para guru
Bahasa Melayu harus bekerja keras dan membuat anjakan dinamik untuk mengatasi
cabaran yang getir ini bagi melestarikan dan memartabatkan Bahasa Melayu ke
peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, Bahasa Melayu juga terpaksa menghadapi cabaran dalam bidang
pendidikan apabila terpaksa bersaing dengan Bahasa Inggeris yang kini semakin
diberikan perhatian yang lebih oleh pihak-pihak tertentu. Bahasa Inggeris kembali
memberikan cabaran terhadap Bahasa Melayu apabila kerajaan memperkenalkan
polisi penswastaan dan pensyarikatan apabila pengkorporatan institusi pengajian
tinggi awam dan pusat pendidikan tinggi swasta diwujudkan. Hal ini bermakna,
berlakunya perubahan dasar terhadap bahasa dan pendidikan negara yang
membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris dengan lebih luas lagi. Gejala ini telah
menjadikan martabat dan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa ilmu tercabar.
Menurut Asmah Haji Omar (2003), ada beberapa faktor yang menyebabkan
keadaan ini boleh terus berlaku. Pertama, kenyataan yang menyatakan bahawa
penguasaan Bahasa Inggeris sangat penting untuk menyediakan seseorang pelajar
untuk menyumbang kepada pembinaan negara peringkat tinggi sebagai seorang
birokrat atau teknokrat atau profesion-profesion lain. Kedua, Bahasa Inggeris
menjadi bahasa komunikasi dalam kalangan kelas atasan dan kelas menengah bagi
bukan Melayu dan komunikasi akan dijalankan dalam Bahasa Melayu sekiranya ada
orang Melayu dalam proses komunikasi tersebut (Asmah Haji Omar, 2003a:74).
Ketiga, orang Melayu (golongan elit yang berpendidikan barat) sendiri merasa lebih
selesa menggunakan Bahasa Inggeris kerana tidak perlu memikirkan sangat tentang
penggunaan sistem sapaan yang dikatakan ketat dalam Bahasa Melayu (Asmah Haji
Omar, 2003a:74). Keempat, kurangnya bahan rujukan dan buku teks yang ditulis
dalam bahasa tempatan (Bahasa Melayu) sama ada karya asli ataupun terjemahan
(Hashim Haji Musa, 2004:164). Kelima, penggunaan yang meluas Bahasa Inggeris
dalam sektor swasta dan bidang perindustrian dan perdagangan serta penggunaan
Bahasa Inggeris sebagai pengantar pendidikan tinggi di IPTA dan IPTS (Hashim Haji
Musa, 2004:164).
Memang tidak dinafikan bahawa ledakan ilmu pengetahuan dan kemajuan
sains dan teknologi kini yang pesat banyak ditulis dalam Bahasa Inggeris dan
bahasa-bahasa utama dunia. Namun, proses untuk memperolehi ilmu-ilmu tersebut
boleh dilakukan dalam bahasa apa sekalipun. Penyampaian dan pembudayaan ilmu
pengetahuan kepada rakyat seharusnya dilakukan dalam bahasa yang paling mudah
difahami oleh rakyat iaitu bahasa kebangsaan mereka sendiri (Hashim Haji Musa,
2004:164). Ilmu-ilmu yang berasal daripada pelbagai bahasa boleh diambil, diolah
dan diterjemahkan kepada Bahasa Melayu. Proses ini lebih berkesan untuk
menerapkan ilmu kepada masyarakat yang mendukung bahasa tersebut. Walau
bagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris tidak ditegah sekiranya hal ini tidak
melibatkan acara rasmi kerajaan. Komunikasi antara bukan Melayu terutamanya
golongan kanak-kanak haruslah digalakkan menggunakan bahasa kebangsaan
kerana dengan latihan akan menjadikan golongan ini makin cekap dan yakin untuk
menggunakan Bahasa Melayu apabila meningkat dewasa kelak. Sejak Bahasa
Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, komunikasi
antara kaum dengan menggunakan Bahasa Melayu telah banyak meningkat. Situasi
positif ini berpunca daripada perancangan yang teliti dalam melaksanakan
pengajaran semua mata pelajaran (kecuali Bahasa Inggeris) dalam Bahasa Melayu.
Bagi orang Melayu sendiri yang masih keberatan untuk menggunakan bahasa
sendiri dengan alasan kurang selesa adalah tidak munasabah. Ada pepatah
menyatakan, bahasa menunjukkan bangsa. Oleh itu, betapa pandainya seseorang
Melayu itu berbahasa Inggeris dia tetap dan masih seorang Melayu juga. Orang
Jepun atau Perancis tidak akan berbicara sesama sendiri dengan menggunakan
bahasa asing. Pada pendapat mereka, jika itu berlaku ia boleh diibaratkan seperti
menderhaka kepada negara dan bangsa. Betapa kuatnya semangat orang-orang
Jepun dan Perancis terhadap bahasa mereka sehingga mereka menyanjungi
keindahan dan kelebihan bahasa mereka. Maka, tidak hairanlah mengapa dua
bangsa ini pernah menjadi antara kuasa penjajah yang digeruni oleh musuh suatu
ketika dahulu dan bangsa mereka juga masih lagi dihormati sehingga ke hari ini.
Kekurangan bahan rujukan dan bahan terjemahan dalam Bahasa Melayu
berlaku ekoran daripada kurangnya bilangan para ilmuwan, ahli sains dan teknologi
tempatan yang mampu bergiat di barisan hadapan dan juga kurangnya jumlah pakar,
pensyarah dan profesor bertaraf dunia yang mahir dalam Bahasa Melayu untuk
menyampaikan ilmu terkini (Hashim Haji Musa, 2004:163/164). Masalah ini akan
dapat diatasi sekiranya galakan dan latihan dapat diberikan kepada pakar-pakar,
para pensyarah dan para profesor untuk terus berusaha membuat penyelidikan dan
pembangunan (R&D) mereka dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai
medium kajian. Dengan cara ini, Bahasa Melayu akan mempunyai nilai saintifik dan
komersial dalam penerbitan buku-buku ilmiah dan jurnal-jurnal.
Pada tahun 1951, menurut Laporan Jawatankuasa Barnes mengakui bahawa
pentingnya Bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat
kebangsaan sebagai alat mencapai perpaduan. Kemudian, kedudukan Bahasa
Melayu bertambah baik apabila Laporan Razak 1956 menegaskan bahawa Bahasa
Melayu mesti diajar di semua sekolah, dijadikan salah satu pelajaran mustahak untuk
mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National
Certificate of Education) dan mencadangkan semua Sekolah Menengah Jenis
Kebangsaan wajib mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Laporan Razak
1956 disusuli oleh Laporan Rahman Talib yang kemudian dijadikan Akta Pendidikan
1961 apabila dua tindakan yang menyuburkan perkembangan Bahasa Melayu iaitu
pertama, menukar bahasa pengantar Inggeris pada peringkat sekolah rendah
dengan Bahasa Melayu dan kedua, peperiksaan umum peringkat sekolah menengah
dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja iaitu Bahasa Melayu. Akta Pendidikan
1996 telah diperkemaskan dengan tindakan seperti mewajibkan kelulusan dalam
Bahasa Melayu untuk naik ke sekolah menengah, mewajibkan kelulusan dalam
Bahasa Melayu bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, menambah bilangan guru
terlatih dan guru khas Bahasa Melayu untuk sekolah menengah jenis kebangsaan
dan menambah dengan pesatnya sekolah menengah kebangsaan di seluruh negara.
Tindakan ini bertujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai asas perpaduan
rakyat berbilang keturunan atau maksud lain untuk menjadikan Bahasa Melayu
sebagai salah satu asas pembinaan negara (Awang Sariyan, 2004:43,44,45).
Pendidikan Bahasa Melayu kini merupakan kesinambungan pelaksanaan
yang terdahulu yang masih menumpukan kepada tujuan pemupukan perpaduan
rakyat, proses pengilmuan masyarakat dan penyemaian nilai-nilai kehidupan
bersama melalui bahasa kebangsaan (Awang Sariyan, 2004:49). Usaha-usaha yang
dijalankan dalam pendidikan kini lebih menekankan kepada aspek kualiti untuk
meningkatkan lagi mutu pendidikan dan manusia yang dihasilkan melalui pendidikan.
Pada tahun 1996, kedudukan Bahasa Melayu mula dicabar dengan hebat
apabila Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) Seksyen 17 (1) diperkenalkan oleh
kerajaan. Akta ini memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan Malaysia untuk
mengecualikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan.
Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua
institusi pendidikan dalam sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis
kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi
pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri Pendidikan daripada subseksyen ini.
(Undang-Undang Malaysia Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), 1996:26)
Dengan pengisytiharan undang-undang ini, penggunaan Bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) makin
bertambah dan penggunaan Bahasa Inggeris di IPTA juga makin meningkat (Hashim
Haji Musa, 2004:165). Walaupun pengisytiharan undang-undang telah dilakukan
tetapi diharapkan pihak kerajaan dapat mengawal penggunaan Bahasa Inggeris di
IPTA supaya ia tidak mengatasi kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan membuat lagi kejutan yang menggemparkan
seluruh penduduk di Malaysia apabila mengarahkan Kementerian Pendidikan
Malaysia melaksanakan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI). Arahan ini berlaku apabila didapati penguasaan Bahasa Inggeris dalam
kalangan murid-murid amat membimbangkan terutamanya dalam kalangan murid di
luar bandar. Maka dengan itu, Bahasa Melayu telah dikorbankan kerana kelemahan
pengajaran subjek Bahasa Inggeris. Kajian akademik mengenai pelaksanaan dasar
pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah menunjukkan bahawa
kira-kira 20% atau setengah juta pelajar Melayu akan keciciran dalam kedua-dua
subjek tersebut sekiranya dasar ini tetap diteruskan. Berita ini adalah sesuatu yang
amat menakutkan. Dapatan kajian selanjutnya menunjukkan bahawa 50% anak
Melayu hanya memperoleh gred C bagi Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) . Hal ini bermakna, murid-murid ini tidak akan mampu
meneruskan pengajian mereka sehingga tingkatan 5 sekiranya mereka gagal
menguasai Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar bagi subjek Sains dan
Matematik (Mingguan Malaysia, 27/3/2005b). Ekoran daripada keadaan itu, Kongres
Pendidikan Melayu Kedua pada 26 Mac 2005 telah menggesa pihak kerajaan
supaya mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran
mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kerana ini boleh mengancam
kedaulatan dan jati diri bangsa Melayu (Mingguan Malaysia, 27/3/2005d).
Senario di atas telah menunjukkan penguasaan Bahasa Inggeris yang masih
lagi lemah walaupun telah dijalankan pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris. Ditambah pula dengan pengurangan masa pengajaran dalam
Bahasa Melayu yang telah diambil alih oleh Bahasa Inggeris telah menyebabkan
kepentingan dan nilai Bahasa Melayu semakin berkurangan. Hal ini seterusnya akan
mengakibatkan kurangnya kesedaran dan perasaan hormat untuk menggunakan
Bahasa Melayu dengan betul.
Sementara itu, Awang Sariyan melihat kemerosotan Bahasa Melayu dalam
dua aspek iaitu aspek taraf dan mutu.
Kemerosotan dalam aspek taraf berlaku apabila penggunaan Bahasa Melayu
dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini
ternyata bukan semakin meluas tetapi semakin mengecil. Bahkan, kemerosotan
dalam aspek mutu berlaku apabila percampuran ragam bahasa basahan sehingga
Bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Sekiranya semua pihak berusaha dengan ikhlas untuk memperkasakan lagi
kedaulatan Bahasa Melayu dengan semangat patriotisme dan nasionalisme,
masalah keciciran anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik mungkin tidak
akan timbul. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
pendidikan telah terbukti berjaya menghasilkan ribuan malahan jutaan anak Malaysia
daripada semua golongan etnik yang berjaya dalam bidang akademik.
Pengajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sepatutnya dapat
melahirkan rakyat Malaysia yang bangga dan hormat kepada bahasa
kebangsaannya sebagai simbol kedaulatan negara dan pada masa yang sama boleh
menggunakan Bahasa Inggeris sebagai jendela kepada dunia yang luas (Asmah Haji
Omar, 2003:75)
Dalam era kapitalis yang didepani dengan ledakan dunia digital tanpa
sempadan, kini bahasa Melayu seakan-akan tidak mampu berdaya saing daripada
segi ekonomi sehingga menjadi hilang martabatnya meskipun dianggap bahasa itu
selamat kerana dilindungi oleh Perlembagaan apabila merujuk kepada Perkara 152
dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini demikian kerana, dalam aspek ekonomi
masyarakat di Malaysia lebih gemar menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesuatu
urusan perniagaan. Jika usahawan berbangsa Cina pula, sudah pasti mereka akan
memilih untuk berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin. Ekonomi di Malaysia pada
hari ini dikuasai oleh masyarakat Malaysia yang berbangsa Cina. Maka, Bahasa
Melayu dalam konteks ekonomi Malaysia tiada tempatnya walaupun ia menjadi
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kita hanya boleh melihat Bahasa
Melayu digunakan dalam pendidikan awal mengenai ekonomi di peringkat sekolah
rendah dan menengah sahaja. Manakala, di peringkat pengajian tinggi para pelajar
jurusan ekonomi perlu belajar segala subjek yang berkaitan dengan ekonomi seperti
perakaunan, perdagangan dan sebagainya dalam Bahasa Inggeris. Maka, apabila
mereka bekerja dalam sektor korporat yang melibatkan pengurusan kewangan dan
perakaunan, mereka akan terus menggunakan Bahasa Inggeris apatah lagi ketika
berurusan dengan para usahawan dan para pelabur dari luar negara. Inilah cabaran
yang perlu diatasi oleh Bahasa Melayu dalam bidang ekonomi. Bahasa Melayu perlu
mengambil alih peranan Bahasa Inggeris. Maka, untuk merealisasikan impian ini
masyarakat Melayu perlulah menguasai kembali sektor ekonomi di Malaysia.
Nilai ekonomi sesuatu bahasa bermaksud kebolehan bahasa itu
mengungkapkan ilmu yang ada. Kebolehan bahasa itu bergantung kepada kekuatan
penuturnya. Kekuatan penuturnya dari sudut ekonomi berkait dengan bilangan
penutur dan mutu bahasanya. Jatuh bangun atau kuatnya sesuatu bahasa itu amat
berkaitan dengan keikhlasan atau kesungguhan penuturnya untuk menggunakan
bahasa tersebut. Keikhlasan dan kesungguhan penutur jatinya menggunakan
bahasa itu mampu menarik pengguna lain untuk menggunakan bahasa tersebut bagi
melaksanakan urusan yang berkaitan. Sesuatu bahasa itu juga harus mampu
mengungkapkan ilmu yang saban hari bertambah dengan pelbagai disiplin ilmu
baharu yang wujud untuk menjadikan bahasa itu bernilai ekonomi. Dengan yang
demikian kesungguhan penutur dan kemampuan serta sifat bahasa itulah yang akan
menentukan sama ada bahasa itu mampu dinobatkan sebagai bahasa yang
mempunyai nilai ekonomi ataupun tidak. Untuk membuktikan bahasa Melayu
mempunyai nilai ekonomi, kita harus melihat dari perspektif sejarah dari dahulu
sehingga kini dan peluang yang mampu ditawarkan oleh bahasa tersebut sebagai
bahasa bernilai ekonomi dalam mendepani cabaran ilmu pada masa akan datang.
Ada beberapa faktor yang digunakan untuk membangunkan ekonomi
sesebuah negara. Salah satu faktor penting adalah peranan yang dimainkan oleh
bahasa. Bahasa merupakan alat atau medium yang dapat menyampaikan sains dan
teknologi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi sesebuah
negara. Oleh hal yang demikian, bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan dan sistem perniagaan menjadi bahasa yang mampu
membantu membangunkan perkembangan ekonomi negara.
Bagi cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu dalam aspek pentadbiran
kerajaan, Bahasa Melayu masih lagi dicabar oleh penggunaan Bahasa Inggeris yang
lebih meluas. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, namun
masih banyak urusan rasmi negara yang dijalankan dalam Bahasa Inggeris.

...antara faktor yang menjadi punca kemerosotan itu ialah penjawat awam
yang kurang menitikberatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan
rasmi seperti mesyuarat, pekeliling dan majlis rasmi.
(Mingguan Malaysia, 27/3/2005a)

Petikan akhbar di atas membuktikan betapa para penjawat awam sendiri pun
masih kurang mengutamakan Bahasa Melayu dalam pelaksanaan urusan-urusan
rasmi kerajaan. Selain itu, kita juga boleh melihat dan menilai apabila slogan
Kepimpinan Melalui Teladan yang digembar-gemburkan oleh para pemimpin
kerajaan seakan-akan hangat-hangat tahi ayam apabila para pemimpin negara
sendiri kelihatan gah bertutur dalam Bahasa Inggeris ketika majlis rasmi kerajaan
pada peringkat domestik. Apatah lagi jika majlis itu bertaraf antarabangsa yang
melibatkan kehadiran rakyat asing, martabat bahasa Melayu dilihat rendah duduknya
malah kadang-kadang dipinggirkan. Daripada tulisan pada latar pentas sehinggalah
iklan pada kain rentang di tepi jalan dan seterusnya pengacaraan majlis dan sesi
ucapan, semuanya menggunakan Bahasa Inggeris. Tidak cukup dengan itu, jika kita
menonton berita di televisyen, sekiranya para pemimpin kerajaan ditemu bual oleh
para wartawan mereka sendiri tidak menggunakan Bahasa Melayu yang standard
sebaliknya mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Namun,
yang lebih mengguris hati kita sebagai orang Melayu ialah apabila para pemimpin
kerajaan itu sendiri bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris apabila ditemu bual
oleh wartawan tempatan. Situasi seperti ini menunjukkan betapa Bahasa Melayu itu
sendiri tidak diangkat martabatnya oleh para pemimpin negara ini sendiri.
Selain itu, jika kita melihat dari dalam mahkamah pula, kita dapat melihat dan
mendengar para hakim dan peguam yang masih gagal menguasai Bahasa Melayu
dengan fasih dan sempurna lebih-lebih lagi bagi mereka yang berbangsa Cina dan
India. Malah, para hakim dan peguam juga lebih selesa menggunakan Bahasa
Inggeris dalam mengendalikan sesebuah kes perbicaraan di dalam mahkamah.
Walhal, hakim dan peguam tersebut hanya mendapat pendidikan tinggi di Malaysia
sahaja dan perkara yang paling menyedihkan kita sendiri ialah individu yang dihakimi
itu ialah orang Melayu tempatan. Segala dokumen pertuduhan, notis perbicaraan
dan dokumen berkaitan yang difailkan turut menggunakan Bahasa Inggeris
walaupun plaintif atau defendan ialah warganegara Malaysia yang fasih berbahasa
Melayu. Undang-undang negara tidak boleh mensabitkan perlakuan tersebut sebagai
melanggar Perlembagaan kerana telah dimaktubkan dalam Perlembagaan bahawa
bahasa lain (merujuk kepada Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda selain bahasa
Melayu) boleh digunakan di dalam mahkamah.
Berdasarkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu dalam
aspek pendidikan, ekonomi negara dan pentadbiran kerajaan, dapatlah disimpulkan
di sini bahawa masa depan Bahasa Melayu sebenarnya tidak secerah matahari di
langit siang. Jika tersilap langkah, tidak mustahil Bahasa Melayu akan menerima
nasib yang sama seperti Bahasa Sanskrit yang telah pupus ditelan zaman. Pelbagai
cabaran perlu diatasi dengan sebaik mungkin supaya Bahasa Melayu dapat terus
dikekalkan identitinya dan dikembangkan ke seluruh dunia agar ia mampu menjadi
salah satu bahasa ilmu yang utama di dunia.

You might also like