You are on page 1of 3

Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj

BIODATA
Nama :Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Tarikh Lahir :08 Februari 1903
Tempat Lahir: Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda).

Pendidikan
1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar.
1916 - Penang Free School, Penang.
1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge.
1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.

Kronologi Perkhidmatan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


1931 Berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Kedah
1938 Pegawai daerah Sungai Petani dan kemudiannya di Kulim Kedah
1940 Timbalan Pengarah Pertahanan Awam di Kedah Selatan
1949 Pengerusi UMNO Kedah
1951 Dilantik sebagai Presiden UMNO
1954 Presiden Parti Perikatan
1955 Ahli Majlis Perundangan Persekutuan
1955 Ketua Menteri Tanah Melayu dan memegang portfolio Menteri Dalam Negeri
1955 Mengetuai delegasi kemerdekaan ke London
1956 Memegang portfolio tambahan sebagai Menteri Pertahanan dan
Keselamatan Dalam Negeri
1957 Ketua Menteri Tanah Melayu dan juga Menteri Hubungan Luar
1959 Ahli Parlimen Kuala Kedah, Kedah
1959 Ketua Menteri Tanah Melayu (selepas pilihanraya)
1963 Perdana Menteri Malaysia
1964 Selain dari tugas Perdana Menteri Malaysia, Tunku juga merupakan
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
1970 Bersara dari Politik

Pada 06 Disember 1990 di usia 87 tahun, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah meninggal
dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jenazah beliau telah diberi penghormatan terakhir
oleh orang ramai di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, sebelum
diterbangkan ke Alor Setar. Setibanya di Kedah, jenazah Allahyarham Tunku Abdul Rahman
diberi penghormatan terakhir oleh Sultan dan Sultanah Kedah di Balai Besar, sebelum
dikebumikan di Makam Diraja, Alor Setar. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang
besar dan jasanya sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia

JASA DAN SUMBANGAN


Kemerdekaan
Tunku Abdul Rahman Putra telah mengetuai misi ke London untuk berbincang dengan pihak
kerajaan British berkenaan kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan merdeka tersebut telah
sampai ke London pada 14 Januari 1956. Tunku telah bekerja keras dengan mendapatkan
sokongan dari semua kaum bagi memberi keyakinan kepada pihak British. Usaha beliau
tersebut telah menampakkan hasil apabila beliau telah menandatangani perjanjian
kemerdekaan di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956. Rentetan dari peristiwa itu,
Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan kemerdekaan dari pihak British. Pengisytiharan
kemerdekaan telah dilaungkan di hadapan dua puluh ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu
dan Raja-raja serta perwakilan dari tiga puluh negara Komanwel dan negara-negara asing
yang lain pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Perpaduan
Di bawah kepimpinan Tunku, beliau telah menjelajah seluruh pelusuk Negara untuk bertemu
dengan rakyat bagi membangkitkan kesedaran dan semangat perpaduan. Melalui usaha
tersebut, beliau telah mendapat sokongan dan kerjasama dari semua kaum. Ianya dapat
dilihat dengan wujudnya sebuah Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC.

Keamanan Negara
Dalam usaha Tunku Abdul Rahman Putra untuk mencapai kemerdekaan, beliau sedar bahawa
kemerdekaan Tanah Melayu hanya dapat dicapai sekiranya darurat ditamatkan. Justeru itu,
Tunku telah melantik dirinya sendiri sebagai menteri Pertahanan dan Keselamatan Dalam
Negeri. Perkara utama yang menjadi tumpuan beliau pada masa itu adalah ingin
menamatkan tempoh darurat. Ini kerana beliau melihat hanya melalui kemerdekaan sahaja
yang dapat merealisasikannya.
Pada 24 Disember 1955, satu perjumpaan telah diadakan dengan pihak PKM di Baling, Kedah.
Perjumpaan tersebut diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra sendiri dan juga disertai oleh
Tun Tan Cheng Lock selaku Presiden MCA dan David Marshall selaku Ketua Menteri Singapura.
Manakala pihak PKM diwakili Chin Peng sebagai ketua perwakilan, Rashid Maidin dan Chen
Tian. Tiga siri perjumpaan telah diadakan dalam masa dua hari itu.
Semasa rundingan tersebut, satu gencatan senjata telah diisytiharkan dan penarikan balik
pasukan keselamatan yang mengawal telah mengurangkan perasaan bimbang pihak komunis.
Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan kesanggupan beliau bekerjasama sekiranya PKM
menerima syarat-syarat penyerahan diri dan turut serta dalam pergerakan politik dengan
cara perlembagaan. Tunku telah mencadangkan kepada Chin Peng supaya meletak senjata.
Rundingan telah ditamatkan pada 29 Disember 1955. Dalam rundingan itu, Chin Peng
bersetuju apabila sebuah kerajaan persekutuan dipilih sebagai menerajui Tanah Melayu,
PKM akan meletak senjata dan membubarkan PKM. Pada 8 Februari 1956, Tunku telah
mengumumkan penarikan balik tawaran pengampunan. Pada 31 Julai 1960, Sultan Izzuddin
Shah, iaitu Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan tamatnya zaman darurat di Tanah
Melayu.

Perhubungan Antarabangsa
Dasar luar negara adalah penting dalam usaha menjalinkan persahabatan dan kerjasama
serantau dan negara-negara luar.
Tunku Abdul Rahman Putra telah memberi sumbangan yang baik kepada negara. Beliau telah
mula mengamalkan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memelihara keamanan dunia secara
bersama. Kerjasama antarabangsa amat penting untuk perkembangan ekonomi,
pelancongan dan kebudayaan. Beliau juga telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara
yang berkecuali.
Antara kerjasama Malaysia dalam pertubuhan serantau adalah seperti Persatuan Asia
Tenggara (ASA), MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia), Association of Southeast
Asian Nations (ASEAN). Malaysia juga termasuk dalam negara-negara Komanwel, Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam dan Pertubuhan Negara-
negara Berkecuali.
Persatuan Asia Tenggara (ASA) merupakan idea Tunku Abdul Rahman Putra. Idea tersebut
telah dikemukakan kepada Presiden Filipina yang pada masa itu iaitu Carlos P. Garcia dan
akhirnya telah ditubuhkan secara rasminya pada bulan Julai 1961 di Bangkok, Thailand.
Objektif penubuhan adalah untuk menjalin kerjasama dalam bidang perdagangan,
pelajaran, pertanian dan perusahaan.
Penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura untuk membentuk Malaysia
telah mendapat tentangan daripada Indonesia. Bagi meredakan keadaan, Tunku telah
mengadakan satu mesyuarat di Manila, Filipina. Dengan itu, maka tertubuhnya sebuah
pertubuhan yang di panggil MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia).
ASEAN pula telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand. Antara
negara-negara yang menyertai ASEAN pada ketika itu adalah Malaysia, Singapura, Filipina,
Indonesia dan Thailand. Ianya bermatlamatkan pengembangan ekonomi, sosial dan
kebudayaan serantau. Malaysia juga menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) pada 17 September 1957 dan merupakan anggota WHO (Pertubuhan Kesihatan
Sedunia), ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains &
Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu), FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian) dan WB
(Bank Dunia). Beliau juga telah mencadangkan penubuhan Pertubuhan Negara-negara Islam
(OIC) dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama bagi Pertubuhan itu.

You might also like