You are on page 1of 10

Pengenalan Matapelajaran Umum (MPU) di UniKL:

Persepsi Pelajar Terhadap Modul U3 Amalan Islam di Malaysia: Satu tinjauan awal.

Mohd @ Mohamed Bin Mohamed Zin


Mohd@unikl.edu.my
Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute

ABSTRAK:

Pengenalan dan penyelarasan Mata Pelajaran Umum (MPU) di institut pengajian tinggi awam (IPTA)
dan swasta (IPTS) seluruh negara yang bermula september 2013 telah membuka era baru dalam
pendidikan tinggi negara. Secara umumnya dengan pengenalan MPU yang dibahagikan kepada empat
unit iaitu U1, U2, U3 dan U4, tiada lagi mata pelajaran khusus yang fokus kepada subjek berkaitan
bidang pengajian Islam. Sebaliknya aspek ketamadunan dijadikan sebagai sebahagian daripada mata
pelajaran teras melalui subjek TITAS (Tamadun Islam & Tamadun Asia) dan menjadi subjek WAJIB
kepada semua pelajar berbilang kaum. Terdapat suara-suara kebimbangan terhadap matlamat
pendidikan Islam kerana tiada subjek khusus untuk pelajar Muslim berkaitan pengajian Islam. Sekilas
pandang ianya seolah memperlihatkan ketidakseriusan kita dalam menjana modal insan dan halatuju
yang kabur terhadap masa depan dan transformasi pendidikan Islam. Kajian ringkas ini akan cuba
meneliti perlaksanaan salah satu unit daripada komponen MPU iaitu modul U3 Amalan Islam di
Malaysia yang dilaksanakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan meninjau persepsi pelajar
terhadap modul tersebut yang diperkenalkan khusus untuk pelajar Muslim.

Katakunci: Mata pelajaran umum, Pengajian Islam. Tamadun Islam, Transformasi Pendidikan.

1.0 PENDAHULUAN.

Pengenalan dan penyelarasan Mata Pelajaran Umum (MPU) di seluruh institut pengajian tinggi di
Malaysia pada september 2013 menjadi suatu titik permulaan baru ke arah pelupusan subjek
Pengajian Islam secara langsung di universiti atau institut pengajian tinggi negara. Pengukuhan subjek
TITAS sebagai subjek tunggal yang mewakili semangat Pengajian Islam dan juga diwajibkan kepada
semua pelajar IPT seolah memberikan petanda awal ke arah kegerhanaan aspek pendidikan Islam di
persada pendidikan negara. Walau bagaimanapun, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai salah satu
institusi pengajian tinggi yang bernaung di bawah MARA telah mempelopori inisiatif penting dan
berani kerana memutuskan untuk terus mengekalkan subjek Pengajian Islam di dalam struktur
pengajian melalui sistem MPU di bawah Unit 3. UniKL memutuskan untuk mengekalkan subjek
berkaitan pengajian Islam melalui pengenalan subjek baru dengan penjenamaan semula sebagai MPU
2313 Amalan Islam di Malaysia agar sesuai dengan semangat keMalaysiaan.

1
2.0 LATAR BELAKANG KAJIAN.

Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (Dahulu dikenali sebagai MFI) merupakan antara
kampus terawal diwujudkan di bawah Universiti Kuala Lumpur yang ditubuhkan oleh MARA pada
2002. UniKL MFI merupakan salah satu daripada Pusat Latihan Teknikal Termaju (Advanced technical
training centre) dalam bidang teknologi kejuruteraan yang fokus dalam bidang automotif, elektrik,
mekanikal dan penyelenggaraan.

MFI ditubuhkan pada tahun 1995 hasil projek kerjasama di antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh
MARA dengan kerajaan Peranchis yang diwakili oleh JF Boccard dan AFPI
(http://www.unikl.edu.my/web/unikl-mfi/campus-overview). Kedudukan kampus ini di Bandar Baru
Bangi, Selangor 25 kilometer daripada Kuala Lumpur. Kedudukannya yang strategik di sekitar Lembah
Kelang menjadikan ianya cukup sesuai dijadikan sampel kajian yang mewakili sebahagian daripada
pelajar UniKL. Kampus ini telah banyak berjasa melahirkan para graduan dalam bidang teknikal yang
berjaya memenuhi sebahagian daripada keperluan negara sebagai pekerja mahir dan separuh mahir.
Sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta, UniKL tertakluk kepada polisi dan perubahan yang
dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dari masa ke semasa. Pengenalan konsep
matapelajaran umum (MPU) yang menggantikan mata pelajaran wajib (MPW) dengan penstrukturan
baru pengajian umum oleh KPT turut dirasai oleh UniKL.

Pengenalan konsep MPU oleh kerajaan sebagai dasar baru dalam pendidikan tinggi bermakna ianya
akan terikat dengan empat unit utama yang ditetapkan dengan matapelajaran tertentu. Persoalan yang
timbul dengan pengenalan konsep MPU ialah, tidak ada lagi matapelajaran Pengajian Islam yang wajib
diambil oleh pelajar seperti sebelum ini. Walau bagaimanapun, UniKL sebagai sebahagian daripada
institusi pengajian tinggi di bawah MARA telah memutuskan untuk memperkenalkan juga subjek
berkaitan agama Islam yang diletakkan di bawah U3. Subjek berkaitan agama Islam ini dinamakan
sebagai Amalan Islam di Malaysia dengan kod MPU 2313. Subjek ini walau bagaimanapun hanya
diwajibkan kepada pelajar peringkat diploma sahaja.

Pengenalan mata pelajaran MPU 2313 ini sudah tentu menerima reaksi berbeza daripada pelajar
terhadap kewajaran penawaran subjek ini. Adakah ianya masih dianggap masih relevan untuk dipelajari
oleh para pelajar di pusat pengajian tinggi teknikal. Jika ianya masih relevan dan diperlukan oleh
pelajar, apakah topik-topik yang menarik untuk dipelajari. Persoalan-persoalan inilah yang ingin
diselami oleh penulis untuk melihat persepsi pelajar terhadap mata pelajaran MPU 2313 ini.

Istilah Persepsi dalam kamus Oxford (2014) atas talian bermaksud kebolehan untuk melihat,
mendengar atau menyedari sesuatu melalui pancaindera. Kefahaman, kesedaran dan penilaian terhadap
sesuatu perkara. (http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/perception). Proses di mana
seseorang menterjemahkan apa yang dirasai melalui derianya dalam kehidupannya terhadap apa yang
berlaku disekelilingnya. Persepsi seseorang bepereranan memberikan panduan terbaik dan praktikal
kepada manusia dalam menentukan sikap dan tingkah laku (www.bussinessdictionary.com)

Kamus Merriam Webster memberikan maksud persepsi sebagai Satu cara seseorang berfikir tentang
atau cara memahami sesuatu atau seseorang. Kebolehan untuk memahami atau mengesan sesuatu
melalui pancainderia, penglihatan, tanggapan daya memahami atau menanggapi sesuatu
(http://www.merriam-webster.com/dictionary/perception).

2
3.0 METODOLOGI KAJIAN.

i- Reka Bentuk Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang berbentuk kajian tinjauan. Kajian ini
menggunakan satu set soal selidik yang bertujuan mendapatkan maklumat daripada pelajar di Universiti
Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) untuk melihat persepsi pelajar terhadap subjek
baru di bawah U3 iaitu Amalan Islam di Malaysia. Subjek ini diwajibkan kepada pelajar diploma
beragama Islam di seluruh kampus UniKL bermula semester September 2013.

ii- Instrumen Kajian.

Satu set borang soal selidik telah dibina oleh pengkaji untuk melihat persepsi pelajar terhadap subjek
Amalan Islam di Malaysia. Soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu A dan B. Bahagian A
melibatkan maklumat latar belakang responden kajian, sementara bahagian B dipecahkan kepada empat
bahagian. Bahagian A berkaitan relevansi atau keperluan subjek diperkenalkan. Bahagian B berkaitan
dengan topik-topik yang disukai dan digemari oleh pelajar. Bahagian C berkaitan bentuk penilaian
yang digemari oleh pelajar. Bahagian D berkaitan kewajaran bentuk penawaran subjek dalam sistem
pendidikan mengikut semester. Semua soalan akan dijawab oleh pelajar berdasarkan skala Likert lima
tahap. Skala satu menunjukkan tahap sangat tidak bersetuju dan skala lima menunjukkan tahap sangat
bersetuju dengan pernyatan yang dikemukakan dalam soal selidik.

iii- Populasi dan Sampel Kajian.

Kajian ini yang melibatkan 103 pelajar UniKL MFI dan masih bertaraf kajian awal dan masih perlu
kepada penambahbaikan untuk kajian selanjutnya yang lebih besar. Responden kajian terdiri daripada
para pelajar semester jun 2014 di kampus Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL
MFI) di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

iv- Prosedur Pengumpulan dan Penganalisisan Data.

Data-data daripada borang soal selidik yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian Pakej Statistik
Sains Sosial (SSPS 22) dan dihuraikan secara statistik deskriptif bagi menunjukkan kekerapan,
peratusan dan min atau purata sahaja.

4.0 DAPATAN KAJIAN.

A- Latar belakang akademik responden.

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa hampir separuh daripada responden terdiri daripada lepasan
matrikulasi dan diploma iaitu seramai 49 orang atau 48 peratus. Kumpulan kedua terbesar ialah
daripada pelajar lepasan SPM iaitu sebanyak 35.3 peratus dan selebihnya daripada pelbagai latar
belakang pendidikan seperti ditunjukkan dalam Jadual 1 berikut.

3
Jadual 1: Latarbelakang Akademik Responden

Bil Latar belakang Akademik Bilangan Peratusan

1 Sek Menengah Kebangsaan 48 40.8


2 Sekolah Teknikal/ vokasional 38 36.9
3 Sekolah Menengah Agama 8 7.8

Jumlah 103 100

B- Nilai Min keseluruhan dimensi kajian.

Empat bahagian atau fokus kajian melibatkan keperluan penawaran subjek di institute pengajian tinggi,
topik-topik pembelajaran yang digemari pelajar, bentuk penilaian yang disukai pelajar dan status atau
bentuk penawaran subjek sepanjang penagajian. Jadual 2 di bawah boleh dirujuk untuk mendapat
gambaran tersebut berdasarkan nilai purata atau Min.

Jadual 2: Min 5 dimensi utama kajian

Bil 5 Dimensi/ bahagian Nilai Min

1 Relevansi penawaran subjek 4.3806


2 Topik bermanfaat bahagian A 4.5650
3 Topik bermanfaat bahagian 4.4874
4 Bentuk penilaian disukai 3.9165
5 Bentuk penawaran subjek 3.4214

C- Relevansi dan manfaat penawaran subjek

Dapatan kajian menunjukkan bahawa penawaran subjek Amalan Islam di Malaysia di UniKL MFI
masih diterima dengan baik dan dianggap memberikan manfaat kepada pelajar dalam pembelajaran
mereka. Dapatan ini ditunjukkan dalam jadual 3 berikut.

Jadual 3: Relevansi keperluan penawaran subjek

Bil Keperluan/ relevansi subjek Nilai Min Peratusan

1 Bantu pelajar bina sahsiah yang baik 4.7184 94.2


2 Bantu perbaiki CGPA 4.5146 90.3
3 Untuk tangani masalah sosial 4.5825 92.3
4 Perlu terus diajar di IPT 4.6602 91.3
5 Tidak setuju tidak dikira dalam CGPA 2.5728 28.2

4
D- Topik pembelajaran yang diminati atau digemari.

Topik pembelajaran yang paling diminati pelajar ialah berkaitan Konsep asas dalam Islam, diikuti topik
al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan. Maklumat lanjut dipaparkan dalam jadual 4.

Jadual 4: 5 Topik pelajaran yang dianggap paling bermanfaat

Bil Topik paling digemari Nilai Min Peratusan

1 Al-Quran dan al-Sunnah sumber rujukan 4.7379 95.2


2 Konsep asas dalam Islam 4.6505 96.1
3 Kekeluargaan/ perkahwinan 4.6408 94.2
4 Manusia dan agama 4.6117 94.2
5 Perundangan Islam 4.4854 92.2

E- Bentuk penilaian paling digemari.

Bentuk penilaian paling digemari atau disukai pelajar ialah soalan berbentuk objektif atau aneka pilihan
dengan pilihan jawapan A, B, C atau D. Pilihan kedua ialah dalam bentuk dokumentari atau projek
berkumpulan sebagaimana boleh dilihat dalam jadual 5 berikut.

Jadual 5: Bentuk penilaian paling digemari.

Bil Bentuk penilaian Nilai Min Peratusan

1 Objektif/ aneka pilihan 4.4466 88.3


2 Dokumentari kumpulan 4.1165 76.7
3 Projek kumpulan 4.0000 75.8
4 Tugasan kajian kumpulan 3.8835 66.0
5 Esei 3.1359 40.7

F- Bentuk penawaran subjek sepanjang pengajian di IPT


Sebahagian besar responden iaitu 76.7 peratus tidak bersetuju jika subjek berkaitan Pengajian Islam
tidak ditawarkan sepanjang pengajian di institut pengajian tinggi atau ditawarkan hanya sebagai subjek
elektif atau pilihan sahaja. Maklumat lanjut sebagaimana ditunjukkan dalam jadual 6 di bawah.

Jadual 6: Bentuk dan kekerapan penawaran subjek dalam struktur pengajian

Bil Bentuk penawaran subjek Nilai Min Peratusan

1 Tak setuju jika tidak ditawarkan 1.7864 76.7


2 Ditawarkan sebagai subjek pilihan 4.1165 76.7
3 Ditawarkan sekali sahaja 4.0000 75.8
4 Ditawarkan tiga kali 3.8835 66.0
5 Ditawarkan setiap semester 3.1359 40.7

5
5.0 PERBINCANGAN DAN RUMUSAN.

5.1 Penerimaan pelajar terhadap subjek berkaitan Pengajian Islam masih baik.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara umumnya subjek berkaitan Pengajian Islam masih
diterima oleh pelajar. 91.3 peratus pelajar berpendapat ianya perlu terus diajar di institut pengajian
tinggi kerana dapat membantu mereka membina sahsiah yang baik (94.2%), menangani masalah sosial
masyarakat (92.3%) dan membantu mereka memperbaiki Purata Nilai Gred Kumulatif atau CGPA
mereka (90.3%). Subjek ini yang diperkenalkan dan dipantau oleh kerajaan melalui Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) secara umumnya diajar dalam Bahasa Malaysia dan dianggap tidak begitu sukar
untuk mencapai gred yang baik.

Pembinaan sahsiah berkait rapat dengan unsur akhlak yang sangat dititikberatkan dalam ajaran Islam.
Dalam kajian sosiologi, dikatakan bahawa hubungan fenomena keagamaan begitu rapat kaitannya
dengan fenomena akhlak. Bahkan didapati kedua-dua fenomena tersebut berkait sebati sehingga sulit
untuk dibezakan. Sehingga fenomena akhlak itu lebih dikenali sebagai fenomena keagamaaan.
Perkaitan yang sebati ini mentafsirkan bahawa akkhlak itu telah diwarnai oleh nilai agama. Ertinya
akhlak itu telah diberikan nilai keagamaan dan nilai kekudusan yang wajib dipelihara dan
dipertahankkan. Sudah pasti bahawa akhlak yang mempunyai nilai keagamaan atau nilai kekudusan itu
akan memberikan kesan yang positif kegiatan hidup dalam satu masyarakat. Tidaklah keterlaluan kalau
suatu masyarakat merupakan petanda baik kepada kemajuan dan keutuhan suatu masyarakat (Mohd
Sulaiman Yasin. 1992).

Kajian menunjukkan bahawa kesan buruk daripada mengenepikan agama dalam kehidupan adalah
besar. Mereka yang tidak berpegang kepada agama atau kurang menghayati ajaran agama akan terdedah
kepada kecelaruan minda dan seterusnya melahirkan sistem nilai yang rosak dan menyeleweng. Kajian
di dua buah sekolah di Johor pada 2003 (Utusan Malaysia) mendapati, bahawa semua kes-kes salah-
laku yang berlaku di sekolah dan juga di luar sekolah berpunca daripada masalah yang sama. Kesalahan
disiplin di sekolah yang dilaporkan ialah seperti melanggar peraturan sekolah, datang lewat, ponteng
kelas, tidak membuat kerja rumah, melawan guru dan biadab terhadap guru. Kajian tersebut mendapati
ramai di kalangan pelajarnya yang bermasalah didapati tidak sembahyang atau tidak mendalami hal
ajaran agama (baik Islam atau agama lain).

Laporan Utusan Malaysia pada 23 mei 2006 mengenai lebih 51,000 pelajar tahun 2 hingga 6 di
Terengganu yang tidak tahu bersolat amat membimbangkan kita. Apatah lagi sebagai penduduk
Malaysia yang mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih menggusarkan ialah angka itu
mungkin meningkat berkali ganda jika kajian yang sama dilakukan di negeri lain. Di mana silapnya
sehingga berlaku sedemikian. Malaysia sudah mengamalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran negara sejak 1985 lagi. Secara logiknya, tidak patut timbul masalah tidak tahu solat dalam
kalangan umat Islam di negara yang kita sayangi ini.

5.2 Subjek berkaitan Pengajian Islam sebagai pilihan atau elektif.

76.7 peratus responden bersetuju bahawa subjek berkaitan Pengajian Islam ditawarkan sebagai subjek
pilihan / elektif sahaja dan sekali sahaja sepanjang pengajian (75.8%). 43.7 pula tidak setuju ianya
ditawarkan tiga kali sepanjang pengajian. Peluang untuk meneruskan subjek sebegini sepatutnya
digunakan dengan sebaiknya oleh institut pengajian tinggi untuk memperkukuhkan keududukan subjek
tersebut dan menggunakan peluang sebaiknya untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembelajaran
kepada para pelajar. Sekurang-kurangnya pelajar akan belajar perkara-perkara penting dan konsep asas
dalam agama Islam melalui subjek tersebut walaupun hanya ditawarkan sekali sahaja sepanjang

6
pengajian mereka. Jika mereka lulus dengan gred C maka mereka dikira lulus dan tidak ada lagi
sebarang subjek agama perlu diambil.

Inilah di antara isu yang sedang dibincangkan sekarang di institut pengajian tinggi, di mana pelajar
hanya belajar subjek agama sekali sahaja sepanjang tiga atau empat tahun pengajian di kolej atau
universiti. Persoalannya, cukupkan sekadar belajar tiga jam seminggu pelajaran berkaitan agama Islam
kemudian mengharapkan mereka menjadi warga yang cemerlang dalam akademik dan memiliki sahsiah
unggul. Mereka inilah yang apabila tamat belajar nanti akan mengisi jawatan-jawatan kosong dalam
perkhidmatan awam negara dan juga agensi swasta. Mampukah generasi X atau Y yang hanya belajar
agama tiga jam seminggu selama satu semester membawa obor semangat Islam dalam hidup mereka.
Sejauhmana ilmu yang dipelajari selama tiga jam seminggu berupaya membina jatidiri dan sahsiah
mereka?.

5.3 Topik pembelajaran yang disukai pelajar.

Topik paling disukai pelajar ialah berkenaan Konsep Asas Islam diikuti topik al-Quran dan al-Sunnah
sebagai sumber rujukan, perkahwinan dan kekeluargaan, manusia dan agama serta perundangan Islam.
Topik yang dipelajari di dalam Konsep Asas Islam termasuklah persoalan Islam, Iman dan Ihsan,
Maqasid as-Syariah, Tasawwur Islam dan Manusia dan Agama. Topik-topik tersebut antara lain
mengetengahkan persoalan akidah yang mengukuhkan keimanan seseorang. Topik Manusia dan Agama
memberikan kesedaran tentang keperluan manusia kepada Tuhan dan agama sebagai panduan dalam
hidup.

Ibn Khaldun (2002: 77-78)) dalam al-Mukaddimah menyatakan bahawa mengajar anak-anak
mendalami al-Quran merupakan simbol dan pekerti Islam. Orang-orang Islam telah mengamalkan
ajarannya di semua kota-kota, kerana ia memperkukuhkan hati dengan kepercayaan terhadap Islam
yang tidak berbelah bahagi dan memperteguh keimanannya, yang diperolehi daripada al-Quran dan
beberapa hadith. Al-Quran telah menjadi dasar pengajaran Talim dan tapak bagi semua kebiasaan-
kebiasaan yang diperolehi kemudiannya. Sebab bagi hal-hal ini ialah apa yang diajarkan kepada
seseorang anak itu adalah lebih mengesani dirinya dalam (daripada apa pun juga), ia menjadi asas bagi
semua pengetahuan yang diperolehi setelah itu. Pengaruh daripada kesan pertama yang diterima oleh
hati merupakan tapak bagi semua tradisi ilmiah.

Syeikh Muhammad al-Ghazali (1994) menyatakan bahawa antara kelemahan umat Islam hari ini ialah
mereka membaca al-Quran secara membuta-tuli. Sebenarnya umat lain menyedari keadaan kaum
Muslimin terhadap al-Quran. Oleh itu kita dapati beberapa siaran radio antarabangsa memperuntukkan
waktu untuk menyiarkan bacaan al-Quran. Radio London (BBC) menyediakan program harian bacaan
al-Quran, barangkali juga Israel menyiarkan bacaan al-Quran pada masa-masa tertentu, kerana mereka
yakin umat Islam hari ini hanya mampu mendengar tetapi tidak memahaminya.

Abdullah Nasih Ulwan (1984:115)) meletakkan dua asas penting dalam usaha pembentukan dan
pembinaan peribadi Muslim (Islah al-fard) iaitu melalui pendidikan Dhomir dalaman dan beristiqamah
dengan Syariat Allah swt. Tarbiyyah aqidah dan Dhomir ini dilakukan melalui pelaksanaan ibadah
pada waktunya, melazimkan ibadah sunat, mengingati mati dan menghayati kekalutan dan huru-hara di
Mahsyar. Inilah di antara faktor yang mampu memperkasakan jiwa dan kemanusiaan di samping
kekuatan aqidah ketuhanan. Faktor kedua iaitu Istiqamah dengan syariat Allah swt. Iaitu sentiasa
berpegang dan beramal dengan Manhaj Islam dalam semua bidang termasuk aqidah, ibadah, akhlak,
muamalat dan bukan melaksanakannya secara terpilih-pilih sahaja. Gabungan tarbiyyah Dhomir di
sudut dalaman dengan istiqamah dengan Syariat di sudut luarannya akan membawa ke arah lahirnya
Muslim yang seimbang, Soleh dan beristiqamah serta melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya.

7
Pelajar-pelajar dalam bidang teknikal akan fokus sepenuhnya terhadap bidang pengkhususan mereka
dan jika tidak ada satu dasar atau polisi yang seragam daripada Kerajaan. Maka ada kemungkinan suatu
masa nanti matapelajaran berkaitan agama Islam akan lupus daripada silibus pengajian. Inilah di antara
cabaran besar dalam bidang pendidikan masakini. Risiko terputusnya bidang akademik daripada sistem
nilai dan kemasyarakatan. Sistem pendidikan yang melahirkan manusia robot dan mesin tanpa nilai
murni dan kemasyarakatan.

apabila saintis Islam menghubungkan kajiannya dengan kewujudan Pencipta, maka asas akidah, iman
dan takwalah yang menjadi garis pemisah antara saintis barat dengan saintis Islam. Dalam banyak hal
ilmu teknologi dan ilmu alat adalah berguna untuk manusia. Ia bergantung kepada sikap dan nilai yang
ada pada pengguna. Sekiranya pengguna kepada alat atau teknologi adalah orang yang beriman dan
bertakwa maka alat dan teknologi tidak akan disalahgunakan. Sebaliknya sekiranya alat dan teknologi
digunakan oleh mereka yang tidak beriman dan bertakwa, tidak ada batasan dan halangan sesuatu untuk
disalahgunakan untuk kepentingan nafsu dan naluri kerana apa yang dilakukan tidak dirujuk kepada
Allah dan redha-Nya dan tidak dihubungkan dengan halal-haram atau makruf-munkar. (Sidek Baba.
Majalah i. 2006).

5.4 Bentuk Penilaian yang disukai pelajar

Pelajar ternyata cukup menggemari bentuk penilaian yang dibuat melalui soalan aneka pilihan atau
objektif yang memberikan pilihan jawapan A, B, C dan D. 88.3 peratus pelajar memilih soalan
objektif sebagai pilihan utama diikuti tugasan berbentuk dokumentari dan projek berkumpulan. Soalan
berbentuk esei atau penulisan sangat tidak popular dan tidak disukai pelajar di mana hanya disukai oleh
40.7 peratus pelajar sahaja. Mungkin ini berkait rapat dengan latar belakang pelajar di institut pengajian
tinggi teknikal yang berasaskan gaya pembelajaran yang berbentuk hands on atau praktikal. Mereka
tidak begitu menyukai penulisan berbentuk esei dan lebih selesa bermain dengan mesin dan fakta
teknikal.

Kerajaan menyasarkan peningkatan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional, teknik
dan kemahiran (Voctech) sebanyak 10 peratus kepada 20 peratus menjelang 2015. Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara langkah meningkatkan bilangan itu melibatkan
pembinaan tiga Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9) dan jumlah itu akan ditambah dalam RMK-10. "Pembinaan sekolah-sekolah ini memberi
peluang kepada sekurang-kurangnya 4,000 pelajar mengikuti pendidikan dalam aliran berkenaan.
(Utusan online. 9 julai 2010). Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian akan
menambah baik mata pelajaran vokasional di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan SMV
bagi membolehkan sekolah itu turut diiktiraf oleh pihak industri dan badan profesional. ''Tumpuan mata
pelajaran ini adalah bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran pekerjaan, keusahawanan dan jati diri
yang tinggi," ujarnya.

Tugasan berkumpulan boleh membantu pelajar mengembangkan kemahiran tertentu yang amat penting
dalam dunia professional yang cukup mencabar hari ini. Pengalaman positif daripada kerja
berkumpulan akan menyumbang secara positif ke arah pembelajaran dan kejayaan pelajar.

Antara beberapa kebaikan kerja atau tugasan berkumpulan ialah:

a- Meningkatkan produktiviti dan pencapaian lebih baik berbanding tugasan yang dilakukan secara
individu. Perbincangan dan perkongsian idea akan memperbaiki kefahaman terhadap apa yang
dipelajari.

8
b- Perkembangan kemahiran komunikasi (interpersonal skills) seperti kemahiran bercakap, mendengar,
kemahiran kepimpinan dan menjadi sumber motivasi kepada orang lain.

c- Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri hasil kerjasama dan interaksi dalam kumpulan.
(http://www2.le.ac.uk/offices/ld/resources/study/group-projects).

6.0 PENUTUP DAN KESIMPULAN.

A- Subjek berkaitan Pengajian Islam perlu terus ditawarkan dan dikekalkan dalam struktur pengajian di
universiti kerana mendapat respon baik daripada responden kajian (76.7% tak setuju jika tak
ditawarkan).

B- Subjek berkaitan Pengajian Islam perlu terus ditawarkan (91.3%) dalam struktur pengajian di
universiti kerana berpotensi memberikan banyak manfaat dalam pembinaan sahsiah dan membantu
memperbaiki gred pencapaian purata

C- Subjek berkaitan Pengajian Islam perlu terus ditawarkan dalam struktur pengajian di universiti
walaupun hanya sekadar bertaraf subjek pilihan dan bukan wajib (76.7%)

D- Subjek berkaitan Pengajian Islam perlu terus ditawarkan dalam struktur pengajian di universiti
kerana pelajar masih berminat mempelajari topik berkaitan Konsep Asas Islam, al-Quran dan al-Sunnah
sebagai sumber hukum Islam, Perundangan dan Kekeluargaan Islam.

E- Subjek berkaitan Pengajian Islam perlu terus ditawarkan dalam struktur pengajian di universiti tetapi
secara agak santai dan tidak terlalu membebankan pelajar melalui bentuk penilaian yang susah dan agak
berat seperti soalan esei dan penulisan. Sebaliknya lebih sesuai melalui soalan berbentuk objektif atau
aneka pilihan dan tugasan berkumpulan.

F- Pelbagai strategi, kaedah dan pendekatan perlu dirangka untuk terus mengekalkan minat dan
momentum terhadap matapelajaran berkaitan Pengajian Islam pada masa akan datang. Pendekatan
pengajaran melalui penggunaan multimedia sebagai contoh, sudah menjadi satu pendekatan wajib bagi
para pensyarah universiti. Kaedah atau pendekatan menggunaka chalk & talk sudah ketinggalan.

9
Bibliografi

1- Al-Ghazali, Muhammad. (1994). Bagaimana Berinteraksi Dengan al-Quran. (Terj.) Muhammad


Rivai Batubara. ABIM: Petaling Jaya

2- Ibn Khaldun, 2002. Mukaddimah Ibn Khaldun. Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala
Lumpur.

3- Mohd Sulaiman bin Yasin. 1992. Akhllakk dan Tasawuf. Yayasan Salman: Bangi, Selangor

4- Al-Ulwan, Abdullah Nasih. 1984. Maalim al-Hadarah Fi al-Islam. Wa Atharaha Fi al-Nahdhah al-
Urubiyyah. Beirut: Dar al-Salam Wa Li al-Tibaah Wa al-Nasyr Wa al-Tauzi.

5- Majalah i. Jun 2006. Sidek Baba. Pemikir Sdn. Bhd. www.Karangkraf.com.

Rujukan atas talian

1- www.utusan.com.my. 2010. Utusan Malaysia. 9 Julai.

2- www.utusan.com.my. Mohd Radzi Mohd Zin. 2006. Didik anak bersolat. Utusan Malaysia, 23
mei.

3- www.utusan.com.my. Marzita Abdullah. 2003. Disiplin pelajar - Kadangkala berpunca daripada


guru. Utusan Malaysia, 30 september.

4- http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/perception, (atas talian, 18 0ktober 2014.).

5- http://www.businessdictionary.com/definition/perception.html. (Atas talian , 18 oktober 2014).

6- http://www.merriam-webster.com/dictionary/perception (Atas talian. 18 oktober 2014).

7- http://www.unikl.edu.my/web/unikl-mfi/campus-overview.

8- http://www2.le.ac.uk/offices/ld/resources/study/group-projects (Atas talian. 20 oktober 2014).

10

You might also like