You are on page 1of 11

KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

PENDIDIKAN JARAK JAUH

http://sarjana.tripod.com/pjj1.html

PENGENALAN

Pada zaman teknologi moden yang semakin mencabar ini, manusia perlu melengkapkan diri dengan
berbagai-bagai ilmu pengetahuan untuk meningkatkan mutu kehidupan . Di negara maju, istilah
Pendidikan Jaraj Jauh (PJJ) bukan lagi merupakan istilah baru . Sistem PJJ telah diterima di seluruh
dunia sebagai pendidikan yang sah dan diakui setanding dengan bentuk pendidikan yang lain .

Kalau kita renungkan kembali sejarah permulaan perkembangan dan keagungan Islam, kaedah
penyampaian maklumat atau pengetahuan atau apa sahaja yang ingin disampaikan secara jarak jauh
kepada seseorang atau kumpulan yang berjauhan telah digunakan secara meluas pada masa itu .
Rasulullah S.A.W menyampaikan berita tentang kebenaran dan kejituan Islam kepada Maharaja
Habshi di Benua Afrika yang ketika itu menganut agama Kristian. Perutusan Rasulullah S.A.W
menerusi salah seorang panglima baginda telah menyedarkan Maharaja Habshi tentang kewujudan
agama daripada Allah S.W.T yang diturunkan kepada Rasul pilihan-Nya .

Maka dari sini kita dapat lihat bahawa sejak dahulu lagi ilmu atau agama Islam dapat disebarkan
menerusi surat, manusia, kenderaan dan sebagainya . Jelaslah bahawa penyampaian maklumat atau
penyampaian ilmu pengetahuan secara jarak jauh ternyata berkesan .

Apakah yang dimaksudkan dengan Pendidikan Jarak Jauh ?

Istilah Pendidikan Jarak Jauh sebenarnya menimbulkan beberapa perbalahan pendapat


mengenainya. Ada yang berpendapat ia merupakan kaedah pembelajaran yang mengasingkan
pelajar dengan institusi yang menawarkannya. Bagaimanapun pendapat itu tidak begitu tepat kerana
kaedah penawaran telah mengalami banyak evolusi, iaitu daripada kaedah yang paling daif kepada
kaedah yang paling canggih .

Di dalam satu ruangan Dewan Masyarakat (Mac 1995) ada dinyatakan bahawa PJJ merupakan satu
sistem pendidikan yang menekankan konsep belajar sendiri (self directed learning) . PJJ
meminimumkan interaksi antara pelajar dengan pelajar dan antara pelajar dengan pensyarah .

Dari segi kebiasaan kaedah ini membenarkan penggunaan bahan-bahan cetak dan bahab-bahan
pelbagai media (multimedia) pendidikan sebagai bahan penyampaian daripada institusi kepada
pelajar . Para pelajar perlu belajar sendiri dan institusi hanya menyediakan bantuan yang paling
minimum sama ada bantuan dari segi kemudahan akademik atau kemudahan pasarana
(infrastruktur) yang lain .

Objektif

Beberapa objektif ditekankan oleh PJJ, antaranya :

memberi peluang kepada individu yang berkelayakan mengikuti program secara sambilan
mengimbangkan penyebaran peluang ke IPT bagi mereka yang berada atau bertugas di luar
bandar

menyedia dan meningkatkan tenaga mahir yang diperlu negara yang sedang pesat bergerak
ke tahap negara maju

ia juga merintis jalan ke arah program pendemokrasian pendidikan

mengimbangkan pertambahan yang besar kepada pelajar kini yang mengikuti program di
kolej-kolej swasta secara berkembar, khususnya dengan IPT luar negara .

Terdapat beberapa aspek yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan PJJ .
Antaranya ialah :

Kemudahan sokongan bertambah baik . Contohnya perkhidmatan khidmat nasihat kepada


pelajar, kemudahan peralatan pembelajaran seperti komputer dan video, bahan
pembelajaran, dan buku rujukan yang mencukupi di perpustakaan .

Perkembangan komunikasi teknologi terbaru seperti komputer, video telefaks dan satelit .

Sokongan daripada kerajaan . Contohnya di United Kingdom, kerajaan Britain memberi


bantuan kepada universiti terbuka untuk melaksanakan program PJJ . Kerajaan Malaysia pula
merancang untuk menubuhkan universiti terbuka tidak lama lagi .

Sokongan dari masyarakat awam

Usaha penyelidikan yang konsisten ke atas PJJ untuk mempertingkat mutu pengajaran dan
pembelajaran .

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN JARAK JAUH DI MALAYSIA

Memaklumi sejarah sistem pendidikan negara kita yang masih muda dan berlatarbelakangkan
sejarah yang berbeza daripada apa yang berlaku di negara lain, maka perkembangan pendidikan
jarak jauh di negara kita tidaklah begitu pesat sebagaimana yang berlaku di Eropah atau negara maju
yang lain.

Walaupun ada setengah-setengah pendapat yang menyatakan bahawa sebelum tahun 1970 belum
ada lagi sistem pendidikan jarak jauh secara rasmi di Malaysia. Tetapi sebenarnya bibit gagasan untuk
merancang ke arah melaksanakan sistem jarak jauh telah mula difikirkan oleh Kementerian Pelajaran
masa itu, iaitu apabila mereka merangka Program Pelajaran Sambilan dan Lanjutan sebagaimana
yang tersurat dalam Penyata Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1964. Kalau kita bandingkan
pula perancangan dasar pelajaran kita tentang pendidikan jarak jauh dengan apa yang berlaku di
negara-negara lain seperti Jepun, Thailand dan Indonesia maka sebenarnya negara kita telah maju ke
hadapan lebih awal lagi dalam perancangan, tetapi tertinggal dari segi perlaksanaannya.
Universiti Malaya telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1964 supaya
mengwujudkan Jabatan Pengajian Sambilan dan Lanjutan tetapi kerana masalah dalaman khususnya
permasalahan kakitangan maka penubuhan jabatan tersebut tidak terlaksana. Universiti Sains
Malaysia dan Universiti Pertanian Malaysia yang telah menyahut cadangan Penyata Perancangan
Pelajaran Tinggi Kementerian Pelajaran 1964 dengan masing-masingnya mewujudkan Rancangan
Pengajian Luar Kampus (RPLK) yang benar-benar merealisasikan konsep pendidikan jarak jauh di
negara ini dan merupakan program formal Universiti Sains Malaysia, dan Pusat Pengembangan dan
Pendidikan Lanjutan (PPPL) yang menawarkan program-program tak formal Universiti Pertanian
Malaysia.

Di negara ini, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan pusat pengajian tinggi yang pertama
mengorak langkah ke arah PJJ sejak sepuluh tahun yang lalu . Pencapaian dan kejayaannya amatlah
membanggakan .

Selain itu, Institut Teknologi MARA (ITM) yang juga merupakan salah satu lagi pusat pengajian tinggi
mempunyai tanggungjawab untuk mendidik bumiputera menjadi profesional yang berkaliber,
berdikari dan berilmu bagi mencapai pembangunan-sosioekonomi negara .

Sesuai dengan falsafah dan matlamatnya, ITM telah memperkenalkan program PJJ dengan tujuan
melahirkan lebih ramai kaum bumiputera yang berilmu dan berkelayakan . Program itu dilaksanakan
oleh Pusat Pendidikan Luar institut tersebut .

Oleh kerana keberkesanan program PJJ ini maka pada tahun 1996, Universisti Kebangsaan Malaysia
(UKM) telah memulakan pengambilan baru program ini . Ianya mendapat sambutan yang
menggalakkan dengan pengambilan seramai 2300 orang . Sehingga kini PJJ UKM mempunyai 12
pusat wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak .

Begitu juga di Universiti Utara Malaysia, di mana seramai 303 orang mahasiswa perintis program
Pendidikan Jarak Jauh telah mendaftar di universiti tersebut . Program PJJ UUM yang pertama itu
menawarkan kursus ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan kepujian (BBA Hons.) .

Seperti di universiti-universiti yang lain, Universiti Malaya juga telah mengadakan program PJJ yang
tersendiri . PJJ UM memberi penekanan kepada sains dan teknologi dan meneruskan penekanan
sepenuhnya kepada kursus profesional dan separa profesional seperti kejuruteraan dan pengurusan .

KEPERLUAN AKADEMIK

Syarat Kemasukan
Salah satu cara untuk mencapai matlamat bagi menghasilkan keluaran yang bermutu ialah dengan
menentukan bahawa faktor kemasukan juga mestilah bermutu. Dalam konteks institusi maka
kelayakan pelajar yang diterima masuk mestilah baik dan layak. Sebagai contoh syarat kemasukan
yang telah digunakan oleh USM, memandangkan ia adalah salah sebuah universiti lazim maka syarat
kemasukan yang dikenakan kepada pelajar dalam kampus juga dikenakan kepada pelajar yang
mengikuti secara luar kampus walaupun ada pertimbangan lain diberikan.

Untuk program sastera umpamanya pelajar yang diterima terdiri daripada calon yang
mempunyai sijil penuh di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan dan mendapat kepujian dalam
Bahasa Malaysia pada peringkat SPM. Bagaimanapun kelonggaran mungkin diberi kepada
mereka yang tidak mempunyai Sijil Penuh di peringkat STP, tetapi mestilah mempunyai
pengalaman dalam salah satu perkhidmatan awam atau swasta.

Untuk program Sains pula calon mestilah mempunyai satu prinsipal di peringkat STP dalam
Matematik dan sekurang-kurangnya satu lagi daripada Fizik/Kimia/Biologi; atau satu prinsipal
di peringkat STP dalam Fizik, Kimia dan Biologi dan lulus Matematik pada peringkat subsidiari
atau kepujian dalam Matematik Tambahan diperingkat SPM. Atau mempunyai diploma
daripada maktab-maktab perguruan dalam matapelajaran Sains dan Matematik serta
pengalaman mengajar di peringkat menengah selama tiga tahun juga dibenarkan memohon.

Untuk program Sains Pemulihan pula calon mestilah bumiputra dan lulus SPM dalam aliran
sains dan mempunyai pengalaman bekerja.

Syarat-syarat am pula umur calon sekurang-kurangnya 21 tahun kecuali untuk program Sains
Pemulihan, iaitu pelajar berumur 19 tahun juga boleh memohon. Bagi pemohon daripada
kalangan guru pula, mereka mestilah berumur tidak melebihi 34 tahun dan telah disahkan
dalam jawatan masing-masing. Semua calon yang memohon mestilah mempunyai
pengalaman bekerja selama lima tahun kecuali calon program Sains Pemulihan .

Syarat-syarat khas pula setiap pemohon perlu mendapat surat kebenaran daripada majikan
masing-masing untuk mengikuti Rancangan Pengajian Luar Kampus .

Syarat-syarat asas kemasukan di atas memanglah setara sebagaimana syarat kemasukan ke program
penuh masa universiti-universiti tempatan yang lain .

Program Pengajian

Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan

Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar yang mengikuti bidang Sains Kemasyarakatan.
Pengkhususan yang boleh diikuti oleh pelajar dalam program ijazah ini ialah bidang Ekonomi, Sains
Politik dan Antroplogi/Sosiologi . Semua pelajar diperlukan mengambil kursus-kursus asas dalam
Sains Kemasyarakatan sebelum membuat pengkhususan dalam salah satu bidang di atas .
Sebenarnya perancangan juga dibuat untuk menawarkan bidang-bidang lain seperti bidang
Pembangunan dan Pengurusan, tetapi oleh sebab permasalahan kekurangan kakitangan usaha
tersebut ditangguhkan .

Sarjana Muda Sastera


Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar yang mengikuti program Ilmu Kemanusiaan. Pengkhususan
yang boleh diikuti oleh pelajar terdiri daripada bidang Sejarah, Kesusasteraan dan Geografi .
Rancangan untuk menambahkan bidang pengkhususan seperti bidang Komunikasi dan Bahasa
Melayu juga telah difikirkan . Sebagai syarat tambahan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti bidang
Sains Kemasyarakatan/Ilmu Kemanusiaan, mereka juga dikehendaki mengambil pengkhususan kecil
yang dikenali dengan Minor dalam satu bidang lain yang boleh dipilih daripada pusat pengajian atau
daripada Pusat Pengajian aliran Sastera yang lain .

Sarjana Muda Sains

Ijazah yang dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program pengajian dalam bidang
Sains Tulen . Empat bidang pengkhususan yang ditawarkan ialah bidang Fizik, Kimia, Biologi dan
Matematik .

Kursus Sains Pemulihan

Kursus bidang Sains yang setaraf dengan peringkat Sijil Tinggi Pelajaran atau peringkat Matrikulasi .
Program ini dikhususkan kepada pelajar bumiputera yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat
kemasukan untuk mengikuti RPLK Sains . Matlamatnya ialah untuk melengkapkan dan mengukuhkan
kelayakan akademik asas pelajar supaya mereka mampu bertanding apabila memasuki ijazah kelak .

TEKNOLOGI PENDIDIKAN JARAK JAUH

Pada akhir-akhir ini teknologi maklumat berkembang begitu pesat sekali, seiring dengan itu teknologi
pendidikan jarak jauh juga bergerak cepat mengikut rentak perubahan teknologi maklumat. Pendek
kata jikalau dilihat dari segi kecanggihan teknologi perhubungan yang wujud sekarang, maka tidak
ada satu tempat pun yang boleh dianggap jauh di dunia ini. Demikian juga takrifan yang
memberatkan pada pengasingan antara institusi dengan pelajar yang menjadi faktor pembeza antara
pembelajaran bersemuka dengan jarak jauh juga mungkin perlu difikirkan kembali.

1. Penghasilan Modul Terancang

Modul ialah bahan cetak yang menjadi pilihan utama kebanyakkan institusi jarak jauh di dunia
sebagai alat pengajaran yang dapat mengantikan tempat pensyarahan. Oleh kerana ia berfungsi
sebagai penganti pensyarah maka penghasilannya mestilah memasukkan unsur sentuhan
kemanusiaan (human touch) seperti gaya penulisan yang menarik contohnya, lucu tetapi
membimbing. Mencipta ungkapan yang mewakili benda-benda yang boleh disentuh atau boleh
didengar dan sebagainya. Memang terdapat had-had kemampuan pengajaran melalui bahan cetak
ini. Bagaimanapun jikalau penulisannya memasukkan unsur-unsur interaktif maka matlamat untuk
menjadi modul terancang sebagai alat pengajaran yang berkesan akan tercapai. Semua kelemahan
dan kekurangan akibat ketidakmampuan bahan cetak boleh sahaja diatasi dengan menggunakan
bahan pengajaran bentuk lain.

Seperti pernah disentuh dalam bahagian perlaksanaan organisasi, pada mulanya RPLK hanya
mengirimkan rangka kuliah dan nota kasar kuliah dalam kampus serta senarai bacaan sahaja kepada
pelajar di pusat-pusat Wilayah. Tetapi setelah hampir dua dekad berpengalaman mengendalikan
sistem jarak jauh maka banyak kelemahan yang telah diatasi dan banyak pembaharuan yang telah
diketengahkan, semuanya demi untuk memperbaiki dan meningkatkan keberkesanan bahan cetak
untuk kegunaan pelajar yang bersendirian.

Pembaharuan teknik penghasilan bahan cetak PPLK mula terserlah apabila status berubah dari Unit
ke Pusat Pengajian. Penghasilan modul terancang PPLK sebenarnya telah melalui beberapa tahap
seperti yang berikut: tahap perancangan; tahap pembagunan; tahap pengeluaran; dan tahap
penilaian.

2. Penghasilan Bahan Media

Bahan media bukan cetak merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan jarak jauh.
Terdapat beberapa institusi jarak jauh yang lebih menekankan penggunaan bahan berbagai-bagai
media sebagai alat penyampai utama dibandingkan dengan bahan cetak. PPLK (USM) sendiri
sebenarnya telah menetapkan matlamat supaya 30% bahan berbagai-bagai media perlu disediakan
sebagai tambahan alat penyampai pembelajaran kepada pelajar yang belajar secara bersendirian.
Bagaimanapun dalam melaksanakan matlamat tersebut PPLK perlu prihatin kerana kita maklum
penggunaan bahan multimedia yang berlebihan akan mengurangkan keberkesanan kos rancangan
yang ditawarkan.

Audio Kaset

Beberapa kursus Sains, Sastera dan juga Sains Kemasyarakatan memang memerlukan bahan audio
berserta bahan grafik untuk membantu pemahaman konsep yang abstrak. Konsep kuantum yang
abstrak dalam Fizik Moden umpamanya lebih mudah difahami dengan bantuan audio kaset dan
grafik.

Mutu penghasilan bahan audio juga telah meningkat kerana adanya input daripada pihak pereka
pengajaran dan pihak pemangkin yang terdiri daripada kakitangan teras PPLK yang berwibawa untuk
memasukkan unsur-unsur pedagogi ke dalam penghasilan dan juga sebagai penggalak penghasilan
bahan media.

Video

PPLK juga tidak ketinggalan dalam usaha menerapkan kemudahan video sebagai salah satu
komponen penyampai sistem jarak jauh. Bagi PPLK projek penghasilan video mula giat diramcang
dan dilakukan mulai tahun 1988 kerana adanya sumbangan peruntukan penyelidikan strategik,
khusus untuk menghasilkan video yang berkualiti tinggi.

Video berkemampuan memainkan peranan membantu pengajaran pelajar dirumah dan sebagai alat
penyebar pengetahuan. Maka menjadi matlamat PPLK untuk menghasilkan video yang berkait rapat
dengan kursusu yang ditawarkan dan sedapat-dapatnya sesuai juga sebagai video dokumentasi untuk
tontonan masyarakat dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana dengan penghasilan audio kaset, penghasilan video juga menggunakan pendekatan
yang sama, iaitu input pereka pengajaran dan pemangkin amat diperlukan, supaya video yang
dihasilkan akan menepati matlamat penghasilan video yang bermutu tinggi dengan persembahannya
yang interaktif bukan talking head sebagaimana video yang dihasilkan oleh kebanyakkan institusi
jarak jauh yang lain.
3. Teknologi Komunikasi

Seperti dibincangkan PPLK sangat prihatin dalam menerapkan peralatan teknologi tinggi sebagai alat
penyampai. Seberapa boleh PPLK akan mengoptimumkan kemampuan modul terancang sebagai alat
pembelajaran yang berkesan. Memang menjadi strategik pentadbiran untuk menggunakan segala
kemudahan dan alat asas pembelajaran yang sedia ada semaksimum mungkin, sebelum mengorak
langkah menimbangkan penggunaan kemudahan dan alat yang lebih canggih dan mahal.

Siaran Radio

Sejajar dengan gagasan Penyata Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi 1964 yang mengcadangkan
penggunaan siaran radio sebagai alat penyampai pendidikan, maka melalui sidang 1979/1980 RPLK
telah mendapat kerjasama daripada pihak RTM untuk menyiarkan rancangan luar kampus di radio
selama setengah jam melalui Rangkaian Nasional, rakaman dan suntingan pada masa itu dilakukan di
Stesyen RTM Pulau Pinang.

Siaran Telesidang (Teleconference)

Perkataan siaran digunakan disini, kerana walaupun pada asasnya kemudahan ini hanya
menggunakan talian telefon biasa, tetapi pada setengah cawangan pula ada yang terhubung dengan
menggunakan kemudahan mikro gelombang. PPLK sebenarnya telah merancang sejak awal 1984 lagi
untuk menerapkan teknologi satelite conferencing.

Bagaimanapun apabila dibincangkan dengan pihak Telekom di Kuala Lumpur pada awal 1985
nyatanya rancangan tersebut sukar untuk dilaksanakan. Antara masalah yang merencatkan
pelaksanaan ialah kerumitan untuk mendapatkan persetujuan antarabangsa tentang "frekuensi
satelit" yang hendak digunakan dan masalah sewaan kemudahan satelit yang sangat mahal.

Komputer Sidang

Komputer sidang merupakan media yang digunakan oleh PJJ negara maju. Pelajar boleh menyertai
"persidangan" tersebut dengan syarat mereka memiliki sebuah komputer, talian telefon, dan modem.
Banyak pelajar, pensyarah, dan kakitangan institusiboleh berkomunikasi dengan cara ini. Media ini
membolehkan penyelengara dibuat serentak untuk tujuan pentadbiran, memberi panduan, dan
arahan serta mewujudkan hubungan komunikasi antara pelajar dengan pensyarah.

E-mail

Selari dengan penggunaan komputer sebagai salah satu alat komunikasi terkini, ianya boleh
digunakan untuk penghantaraan maklumat atau pesanan secara individu dengan menggunakan E-
mail, perbualan dalam bentuk kecil, penghantaraan pesanan atau berita, bahan syarahan kuliah atau
maklumat lain. Maklumat ini dimasukkan ke dalam komputer supaya pengguna boleh membaca dan
menerima maklumat, menyertai kuiz, membuat latihan serta membuat kajian kes. Pengguna tidak
dipaksa untuk menjawab pada masa yang ditetapkan, malah pengguna mempunyai masa untuk
memikirkan dan menyusun jawapan serta menaip semula ke dalam komputer.
IMPLIKASI PENDIDIKAN JARAK JAUH

Pembangunan Sosial dan Ekonomi

Pembangunan sosial dan ekonomi penting demi memastikan taraf hidup yang senang bagi rakyat
sesebuah negara. Dengan kemajuan yang dicapai sekarang, didapati pelabur asing amat gemar
melabur di negara ini. Hal ini demikian kerana tenaga kerja di Malaysia kebanyakannya terlatih,
bertanggungjawab, dan berpengetahuan. Maka dengan itu pelabur asing tidak perlu menghabiskan
wang melatih semula pekerjanya. Keadaan ini merupakan satu galakan untuk menarik pelabur
datang ke negara ini.

Dengan adanya program PJJ, mereka yang bekerja boleh meningkatkan kelayakan, kemahiran, dan
pengetahuan. Matlamat Dasar Ekonomi Baru sudah tercapai. Kini kita bergerak ke arah mencapai
matlamat Dasar Pembagunan Negara dan Wawasan 2020. PJJ penting untuk Malaysia kerana
program ini akan memperbanyak lagi rakyat yang berpengetahuan dan ilmu. Sesungguhnya
pendidikan itu penting dan harus dijadikan sebagai satu kegiatan yang berterusan dalam kehidupan
manusia.

Menurut keterangan yang telah diberikan oleh Pengarah Pusat PJJ, UM, Dr. Nasrudin Abdul Rahim di
dalam ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 2 Mac 1998) adalah seperti berikut :

" Ini juga sehaluan dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang meletakkan sasaran untuk mencapai
tahap 40 peratus rakyat Malaysia berusia 25 hingga 40 tahun mendapat pendidikan tinggi pada 2005.
Ini disebabkan selain saluran biasa mengambil terus pelajar ke kampus, PJJ menjadi satu alternatif
dari segi menambah peluang pendidikan tinggi. "

Sektor awam dan sektor swasta semakin besar dan kompleks tanggungjawabnya. Sektor ini
memerlukan mereka yang berkaliber, berdedikasi, dan berpengetahuan untuk memastikan mutu
kerja dan perkhidmatan terus meningkat ke tahap keberkesanan yang optimum. Walau
bagaimanapun, untuk mengembangkan PJJ, pelajar, pensyarah, masyarakat umum, dan ahli akademik
harus memainkan peranan yang lebih aktif dan agresif.

Alternatif Pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi

Penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam amat terhad di masa kini, kerana
penghantaran pelajar belajar di luar negeri telah dikurangkan akibat daripada krisis ekonomi yang
melanda negara . Fenomena ini juga disebabkan oleh peningkatan prestasi pelajar di dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia . PJJ merupakan salah satu
alternatif pelajar-pelajar tersebut menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam .

Menurut keterangan Timbalan Pengarah PJJ UKM, Prof. Madya Dr. Yahaya Mahamood di dalam
ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 18 Mei 1998) yang menyatakan bahawa :

" Selain itu, ia juga meningkatkan peluang pengajian di peringkat tertinggi secara lebih ekonomikal
dan efisien seperti yang terkandung dalam tujuan program-program berkenaan yang ditaja oleh
setiap fakulti di UKM ."

Menurut beliau lagi, " Secara umumnya PJJ UKM ini ialah untuk menyediakan lebih banyak tempat di
peringkat pendidikan ijazah . Secara khususnya ia memberi peluang kepada individu berkelayakan
mengikuti program secara sambilan selain mewujudkan peluang pengajian kepada mereka yang
bertugas di luar bandar. "

Menurut keterangan yang diberikan oleh Pengarah Pusat PJJ, UM, DR. Nasrudin Abdul Rahim di
dalam ruangan Wawancara di Berita Harian (Isnin, 2 Mac 1998) yang menyatakan bahawa :

" Kita memang berharap perkara ini berlaku, tetapi kita tidak optimistik sangat . Namun kita berharap
dapat menampung sebahagian pelajar yang tidak dapat melanjutkan pengajian di luar negara tetapi
dalam masa yang sama di negara kita terdapat banyak universiti swasta yang menyediakan tempat
untuk pelajar-pelajar ini ."

Kos dan Yuran Pembelajaran

Kos dan yuran bagi PJJ tertakluk kepada pengurusan universiti yang menyediakan program tersebut .
Yuran dan kos operasi atau pengendalian perlu dilihat dari semua aspek . PJJ tertakluk kepada
ketetapan universiti . Sebagai contoh, universiti-universiti sidang video memerlukan kos yang lebih
tinggi berbanding dengan teknologi lain yang digunakan sebagai media perantaraan . Yuran pula
bergantung kepada kursus yang ditawarkan dan jumlah pelajar yang mengikutinya .

Kawalan Kualiti Graduan PJJ

Kawalan kualiti adalah penting di dalam program PJJ ini . Inisiatif diambil oleh pusat-pusat yang
dibuka oleh universiti untuk mengambil kedatangan pelajar, memastikan pelajar mengikuti kelas,
menerima nota kuliah dan sebagainya . Penilaian yang dibuat semasa program mengambil kira kerja
kursus dan lain-lain lagi . Selain itu kualiti graduan adalah terjamin kerana mereka diawasi dari
berbagai aspek sepanjang program tersebut . Sebagai contoh, sekiranya peperiksaan yang dijalankan
di luar Kuala Lumpur akan ditempatkan di unversiti atau pusat pengajian tinggi yang mempunyai
kerja sama atau persefahaman dengan universiti .

Dari segi pengajaran pula, kualiti tidak akan merosot kerana jam kredit yang ditawarkan adalah
sedikit kepada pelajar. Oleh itu, mereka boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada pengajian
masing-masing.

Bagi memastikan kualiti graduan PJJ adalah setaraf dengan graduan saluran biasa, kursus-kursus yang
ditawarkan melalui modul ini bukan sahaja dipastikan terlebih dahulu sama dengan keperluan pelajar
saluran biasa, malah keperluan lain turut diseragamkan. Modul kursus misalnya, sebelum dihantar
kepada pelajar, terlebih dahulu ditaksir oleh tenaga berpengalaman dalam bidang berkenaan.

KESIMPULAN

Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang menggunakan konsep bilik darjah maya merupakan
alternatif terbaik kepada para pelajar di negara ini untuk mendapatkan ilmu pengetahuan secara
formal, tanpa perlu berulang-alik ke sekolah.

Maklumat tentang sistem PJJ disebar luas untuk pengetahuan orang awam supaya keraguan
terhadap sistem tersebut dapat dihapuskan. Sistem universiti terbuka di England merupakan satu
contoh yang terbaik. Ribuan pelajar PJJ telah lulus dan berjaya dalam kerjaya mereka melalui sistem
ini.

PJJ membuka peluang luas bagi mereka yang bekerja untuk menimba ilmu pengetahuan. Walaupun
mereka bekerja dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, mereka masih boleh belajar. PJJ
mempunyai berbagai kaedah. Kaedah menyampaikan maklumat dengan menggunakan teknologi
seperti video sidang akan membolehkan latihan diikuti oleh pekerja di tempat kerja. Hal ini penting
kerana pekerja dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya. Di samping itu mereka tidak
perlu keluar dari pejabat ke destinasi lain untuk diberi latihan.

Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir, terlatih dan berilmu akan menguntungkan setiap negara.
Kemahiran ini penting untuk menjamin pertumbuhan sosial dan ekonomi yang sihat.
BIBILIOGRAFI

Dr. Karsono Ahmad Dasuki,1993. Konsep dan Sistem Pendidikan Jarak Jauh. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Shireen Haron, 1995. Pendidikan Jarak Jauh (Bahagian 1). Dewan Masyarakat, Januari 1995.

Shireen Haron, 1995. PJJ: Meningkatkan Lagi Golongan yang Berilmu (Bahagian 2). Dewan
Masyarakat, Februari 1995.

Shireen Haron, 1995. PJJ: Penggunaan Komputer Penting (Bahagian 3). Dewan Masyarakat, Mac
1995.

PJJ UKM Sedia Lebih Banyak Peluang Belajar. Berita Harian, 18 Mei 1998.

PJJ UM Tekankan Sains, Teknologi. Berita Harian, 2 Mac 1998.

303 Pelajar PJJ UUM Mendaftar. Berita Harian, 15 Jun 1998.

Program PJJ UKM Dapat Sambutan. Berita Harian, 29 Jun 1998.

You might also like