You are on page 1of 14

KONSEP DAN CIRI-CIRI UNIVERSITI TERBUKA

Pendidikan terbuka mula terkenal setelah kerajaan United Kingdom menukarkan nama University of the Air kepada Open University pada pertengahan tahun 1960. Semenjak itu perkataan terbuka (open) telah digunakan secara meluas. Kebanyakan pusat pengajian tinggi menggunakan istilah terbuka seperti Open University United Kingdom, Korean National Open University, Bangladesh Open University, Univertisas Terbuka Indonesia dan British Columbia Open University (Yusup Hashim dan Sharifah Alawiyah, 1999). Universiti terbuka menggunakan istilah pengajaran dan pembelajaran secara terbuka. Pembelajaran secara terbuka merupakan suatu usaha baru ke arah pendemokrasian pendidikan. Penggunaan istilah terbuka telah membuka peluang kepada satu sistem pendidikan yang lebih terbuka daripada segi syarat-syarat kemasukan, konstrain masa, kos pengajian, jarak, sekatan sosial, budaya dan jantina. Sistem pembelajaran secara terbuka ini merupakan satu pendekatan pendidikan yang memberikan lebih penekanan kepada pelajar berbanding guru atau institusi. Pelajar diberi pilihan dalam mencorakkan aktiviti pembelajaran mereka. Kebiasaannya universiti terbuka menggunakan kaedah yang digunakan oleh pendidikan jarak jauh dan kemudahan teknologi pendidikan. Pendekatan ini juga menukarkan peranan guru daripada pemberi sumber pengetahuan kepada fasilitator pembelajaran. Kesemuanya ini akan memberi justifikasi daripada segi kos efektif, keberkesanan dan kesamaan (Johnson, 1990).

Menurut Rowntree (1994), sistem pendidikan terbuka ialah sesuatu yang unggul dan harus diusahakan bukannya sesuatu yang tetap. Beliau menjelaskan pendidikan terbuka perlu mengikut kemahuan pelajar dengan kos yang berpatutan. Pelajar boleh menetapkan masa dan tempat pengajian, memilih isi dan urutan kursus serta prosedur penilaian pembelajaran. Pelajar juga boleh menentukan cara belajar contohnya menggunakan video, internet ataupun buku yang dirasakan lebih efektif dan sesuai dengan kehendak pelajar. Dengan demikian, konsep yang digunakan oleh Universiti Terbuka lebih luas dan longgar berbanding Universiti arus perdana. Ini tidak bermakna mutu program pendidikan terbuka itu tidak berkualiti dan boleh dikompromi. Longgar dalam konsep pendidikan terbuka ialah yang berkaitan dengan falsafah dan polisi iaitu pelajar lebih bebas memilih tepoh masa dan cara belajar, kaedah, media dan kandungan kursus yang hendak diikuti. Hal ini menunjukkan bahawa konsep pendidikan terbuka ini lebih mengutamakan kehendak pelajar dalam beberapa perkara di samping menawarkan pendidikan yang bermutu dan berkualiti. Dengan kata lain, sistem pendidikan terbuka atau open learning adalah suatu keadaan dimana setiap individu dapat belajar tanpa restriksi apapun (Bates, 1995). Di Asia Tenggara, hampir semua negara anggota ASEAN memiliki institusi dan menjalankan sistem pendidikan terbuka, kecuali Brunei. Brunei merupakan negara kecil, kaya, berpenduduk sedikit, yang mana semua penduduknya dapat diakomodasi dengan baik oleh pendidikan dengan sistem konvensional. Bagi tujuan masa hadapan, Brunei juga mempertimbangkan pembukaan institusi pendidikan dengan sistem terbuka untuk pendidikan lanjutan dan latihan bagi warganya yang ingin melanjutkan pendidikan sambil bekerja (Simbran, 2006).

Bagi negara berkembang di Asia Tenggara, pendidikan terbuka menyediakan akses bagi warga yang tinggal di daerah terpencil, baik bagi yang hidup di bahagian benua seperti di Vietnam, Myanmar, dan Kemboja ataupun yang tinggal di pulau terpencil seperti di Indonesia dan Filipina. Sistem ini menjadi pilihan ramai kerana lebih murah dan releva bagi golongan berpendapatan rendah. Dengan demikian sebahagian besar negara berkembang di ASEAN berkeinginan untuk memanfaatkan sistem ini bersesuaian dengan situasi dan keadaan setempat. Walaupun begitu terdapat beberapa negara seperti Laos PDR yang memerlukan bantuan terutama daripada segi pendanaan daripada negara luar agar negara tersebut dapat mengembangkan pendidikan dengan sistem terbuka (Souvannasy, 2006). Pendidikan terbuka juga telah berkembang luas di beberapa buah negara di Asia Tenggara. Thailand telah membuka institusi ini sejak 1978, untuk menyediakan peluang pendidikan yang sama-rata bagi semua peringkat usia, lokasi dan gender. Peluang ini turut dibuka kepada yang telah bekerja (Vesarach, 2006). Singapua pula telah membuka SIM University (UniSIM) yang memberikan peluang pendidikan bagi golongan dewasa yang bekerja. Selain itu, beberapa institusi swasta menjalankankan program usahasama dengan menawarkan peluang pengajian dengan menggunakan pendekatan sistem terbuka untuk menarik mahasiswa pendatang yang berasal dari negara Asia Tenggara (SEAMOLEC, 2006). Memandangkan peningkatan jumlah penduduk yang tinggi di Asia dan terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti, maka Singapura telah memanfaatkan peluang tersebut dengan menyediakan program pendidikan secara terbuka bagi golongan yang telah bekerja. Peluang yang menguntungkan ini turut dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh Malaysia. Selain bertujuan untuk kepentingan warga sendiri, sistem pendidikan terbuka di Malaysia turut berhasrat untuk menarik mahasiswa asing mendapatkan peluang pelajaran. Kerjasama dengan universiti terkemuka dunia turut dilakukan bagi meningkatkan kredebiliti dan kecekapan pengurusan (Ali, Fadzil, & Kaur, 2006).

Secara umumnya pendidikan secara terbuka di Malaysia mengamalkan sistem sepertimana pendidikan jarak jauh yang mendokong konsep pemisahan antara pengajar dan pelajar. Kemajuan sistem ini amat penting kerana ia memberi pilihan pendidikan kepada segenap lapis masyarakat yang mahu menimba ilmu dengan cara yang berbeza daripada pendidikan formal (Shireen Haron, Feb 1995).. Pembangunan sosial dan ekonomi penting untuk memastikan taraf hidup yang baik bagi rakyat dalam sesebuah negara. Segala kemajuan yang dikecapi sekarang telah menarik ramai pelabur asing melabur di Malaysia. Hal ini kerana terdapatnya sumber tenaga kerja terlatih, bertanggungjawab dan berpengatahuan di Negara ini. Keadaan ini merupakan satu galakan untuk menarik lebih ramai pelabur datang ke negara ini. Program yang telah mula mendapat tempat bagi golongan yang telah bekerja ini memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kelayakan. Keperluan ini dapat memastikan perkembangan ilmu yang sihat demi pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik yang pesat (Mohd.Noor Saleh, 1994). Oleh itu program ini membantu dalam melahirkan generasi yang berpengetahuan dan berilmu. Ini selaras dengan perkembangan sektor awam dan swasta dimana tanggungjawabnya semakin besar dan komplek. Sehubungan dengan itu, sektor ini memerlukan mereka yang berkaliber, berdedikasi dan berpengetahuan untuk memastikan mutu kerja dan perkhidmatan terus meningkat ke tahap keberkesanan yang optima. Dengan ini pendidikan menjadi agenda penting dan harus dijadikan sebagai satu kegiatan yang berterusan dalam kehidupan manusia. Bagi menjamin sistem ini berjalan dengan lancar, kemudahan media telah disediakan samada dalam bentuk media cetak ataupun media elektronik. Bahan utama yang digunakan ialah media cetak yang telah diolah dalam bentuk kendiri. Ini bermaksud bahan pengajaran ini telah direka supaya berkebolehan menyampaikan isi pelajaran dan meransang pembelajaran pelajar. Media-media yang lain juga digunakan seperti pita video dan televisyen (Rozhan Hj. Mohammed Idrus, 1994).

Dengan mengambil contoh negara maju seperti Amerika dan United Kingdom, kebanyakkan institusi pendidikan terbuka menggunakan pelbagai media penyampaian maklumat seperti radio, televisyen,video, komputer dan satelit dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran, pembelajaran dan prestasi pelajar. Segala peralatan untuk berkomunikasi seperti telefon, faksimili dan E-mail digunakan secara meluas. Setiap media penyampaian maklumat ini memberi kesan yang berbeza kepada proses pembelajaran pelajar. Menurut Anthony Bates (dipetik dalam Keith.H, 1993) teknologi yang digunakan hendaklah dipengaruhi oleh bidang tugas pelajar dan kos seharusnya rendah. Apa yang berlaku di negara kita adalah kos yang merupakan perkara yang terpenting terpaksa ditanggung oleh pelajar itu sendiri. Walaubagaimanapun dengan adanya pelbagai media penyampaian maklumat akan menambahkan minat dan motivasi pelajar untuk terus belajar dan seterusnya akan meningkatkan mutu pelajaran mereka. Walaupun begitu, dalam sistem pendidikan terbuka tidak semua kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan melalui media. Beberapa kegiatan seperti tutorial dan praktikum dilaksanakan secara bersemuka sebagaimana yang dilakukan oleh sistem pendidikan konvensional. Untuk mengatasi permasalahan praktikum, terutama praktikum sains yang memerlukan pengalaman pembelajaran dalam makmal, beberapa institusi ini menerapkan pendekatan blended learning, iaitu mengkombinasikan pembelajaran dalam makmal konvensional dengan pembelajaran melalui media elektronik sebagaimana yang dilakukan dalam pembelajaran mokrobiologi di University of Salamanca. Keterampilan yang bersifat non manual diajarkan secara virtual, sedangkan keterampilan manual dilatihkan melalui pengalaman laboratorium yang sebenarnya (Sancho, et al., 2006).

Sesungguhnya semakin luas jarak yang wujud dalam perhubungan pendidikan terbuka ini, semakin kompleks dan mencabar peranan pensyarah dalam menggunakan segala sumber media komunikasi yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Pelajar yang mengikuti program ini jika dibandingkan dengan pelajar sistem konvensional mempunyai interaksi yang minimum bukan sahaja dengan pensyarah, tetapi juga dengan rakan sekuliah. Berkongsi fikiran dan idea dalam kalangan rakan sekuliah merupakan satu kegiatan yang sihat dan berfaedah dalam proses pembelajaran. Namun terdapat sesetengah pelajar yang bernasib baik kerana mempunyai rakan sepejabat atau kenalan rapat yang sekuliah dengan mereka, maka mereka boleh belajar secara kumpulan Seterusnya aktiviti pembelajaran secara berkumpulan ini membantu meningkatkan proses pemahaman pelajar. Hal ini mendatangkan masalah kepada pelajar yang tidak mampu melaksanakannya kerana pelajar tersebut tidak dapat berbincang dan menyelesaikan masalah berkaitan pembelajaran. Ini kerana pendidikan terbuka mengamalkan konsep pengasingan antara pelajar dengan pengajar. Proses pembelajaran dalam suasana "pengasingan" merupakan satu gejala yang tidak sihat (Shireen Haron, April 1995). Bagi merapatkan jurang pengasingan ini mestilah wujud daya usaha dalam kalangan semua pihak yang terlibat khususnya institusi pendidikan itu sendiri, pensyarah dan juga para pelajar. Terdapat pelbagai berfaedah jika pelajar mengambil daya usaha untuk mengadakan kumpulan kecil untuk berbincang tentang segala maklumat pembelajaran. Kaedah ini dinama peer tutoring iaitu pelajar sekuliah mengambil daya usaha untuk membantu antara satu sama lain. Untuk berjaya dalam pendidikan seseorang pelajar itu haruslah mempunyai motivasi untuk belajar dan melaksanakan kegiatan pendidikan secara berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.

Selain itu, secara keseluruhannya kita akan dapati bahawa kos mengendalikan pendidikan terbuka adalah lebih rendah daripada sistem konvensional secara bersemuka. Ini merupakan senario pada sebilangan besar daripada pelajar yang telah mengikuti pengajian secara ini. Walaupun pada prinsipnya perkara tersebut memang sebenarnya berlaku, tetapi ini bergantung kepada penggunaan media dan bilangan pelajar yang mengikutinya. Semakin canggih media yang digunakan dalam penyampaian bahan pembelajaran dan semakin sedikit bilangan pelajar yang mengikutinya, maka kos per pelajar semakin tinggi bahkan lebih tinggi daripada pelajar institusi konvensional. Walau bagaimanapun, jika kita melihat waktu adalah wang dan sistem pendidkan ini merupakan keutamaan kepada latihan dan peningkatan kemahiran serta pengetahuan mereka yang sedang bekerja, sudah jelas kos yang diperlukan adalah lebih rendah daripada sistem konvensional dan ini ditambah pula dengan bilangan pelajar yang ramai akan merendahkan lagi kos per pelajar. Pernyataan ini juga berlaku dengan syrat pelajar berijazah dalam waktu minimun. Jika waktu pengijazahan dipanjangkan maka kos per siswazah yang dikeluarkan bertambah tinggi, semakin panjang tambahan daripada waktu minimum maka ianya lebih tinggi daripada sistem konvensional (Rumble, 1988).

Sistem pendidikan jarak jauh juga mengamalkan pembelajaran kendiri yang mana boleh dilihat sebagai usaha pembelajaran yang dilakukan oleh seseorang pelajar tanpa ada bimbingan terus daripada guru. Dalam kata lain pembelajaran kendiri bermaksud segala aktiviti pelajar dilakukan sendiri oleh pelajar tanpa pertolongan langsung daripada seseorang. Terdapat tiga ciri pembelajaran kendiri iaitu guru dan murid terpisah secara fizikal pada kebanyakan waktu, komunikasi dilakukan melalui pertolongan media dan pelajar terpisah daripada pelajar lain.

Apabila pelajar bersendirian, ini bermakna pelajar perlu melakukan aktiviti secara kendiri dengan tidak dibantu oleh guru atau lain-lain pelajar secara berhadapan. Ia juga memberi beberapa kelonggaran dan kebebasan kepada pelajar dalam memilih objektif pembelajaran, cara untuk belajar dan penilaian kepada pembelajaran. Pelajar juga bebas untuk menentukan masa dan tempat untuk belajar (Ab.Rasid Mat Zin,1994). Selain daripada itu dalam keadaan berjauhan dengan rakan-rakan pelajar yang lain, ia dapat mengelakkan pengaruh rakan-rakan. Ini bermaksud perbandingan kemajuan antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain tidak berlaku Menurut Wedemeyer dalam Keegan 1986, kematangan seseorang pelajar kendiri itu sangat penting, iaitu peranannya dalam menentukan pengendalian aktiviti pembelajaran itu sentiasa diteruskan. Pendorong utama disini ialah maksud dan tujuan yang hendak dicapai oleh pelajar dan ia perlu tahu secara mendalam berkaitan pengajian yang diikuti. Seperti mana yang kita ketahui bahawa terdapat beberapa kebaikan dalam pembelajaran kendiri, namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga beberapa keburukan atau gangguan dalam pembelajaran ini. Gangguan disini bermaksud faktor fizikal dan psikologi yang mengganggu pembelajaran namun tidak menyekat pembelajaran. Di antaranya ialah persediaan diri pelajar dimana keadaan diri pelajar perlu bersedia dan memberikan komitmen sepenuhnya. Dalam keadaan yang letih tentulah pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Ini sering terjadi apabila pelajar baru balik dari pejabat atau selepas membuat aktiviti luar (Ab.Rasid Mat Zin, 1994). Menurut France Henri dan Anthony Kaye (dipetik dari Keegan D. 1993) terdapat 2 gangguan iaitu gangguan dalaman dan gangguan luaran. Faktor dalaman merujuk kepada perasaan marah, tekanan emosi dan takut manakala faktor luaran pula ialah keadaan yang panas, peralatan yang tidak mencukupi, bunyi bising dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai seorang dewasa dan anggota masyarakat, adalah menjadi kebiasaan untuk kita melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti kemasyarakatan. Ini serba sedikit akan menjejaskan ketenangan dan tumpuan kepada pembelajaran. Pergeseran peribadi di antara suami isteri, rakan sepejabat apatah lagi dengan ketua sendiri tentulah mengganggu ketenangan fikiran seseorang pelajar itu. Ketenangan dan ketenteraman sangat penting untuk pelajar menumpukan konsentrasi kepada sesuatu pelajaran. Seninya konsep universiti terbuka ialah tidak memerlukan pensyarah yang ramai, kerana sebilangan kecil kakitangan akademik teras sahaja sebagai pengurus kursus yang mana bahan pembelajaran kendiri boleh disediakan dengan adanya kerjasama daripada pensyarah-pensyarah universiti tempatan ataupun pihak swasta yang berkelayakan. Maka isu kekurangan dan kesukaran untuk mendapatkan pensyarah yang mencukupi tidak timbul terutama dalam keadaan sekarang ini di mana tarikan ke swasta lebih daripada menjadi pensyarah universiti. Dengan cara ini setiap kepakaran yang ada dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik di negara yang juga boleh digunakan oleh pelajar universiti konvensional. Di samping itu, kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen yang penting dalam pendidikan secara terbuka. Sewart (1978) telah memperkenalkan teori yang mementingkan kesinambungan pengajaran dan pembelajaran pelajar. Teori ini berasaskan kepada pengalaman beliau bertugas di Open University, United Kingdom. Beliau tidak yakin bahawa keseluruhan bahan pembelajaran yang dibekalkan kepada pelajar dapat menggantikan semua tugas yang dilaksanakan oleh guru konvensional. Jika bahan ini mampu menggantikan tugas guru maka sudah tentu kos penyediaan bahan menjadi sangat tinggi kerana bahan yang dihasilkan itu seharusnya boleh berinteraksi dengan setiap pelajar. Hal ini menunjukkan bahawa dalam sesebuah organisasi, perkhidmatan orang perantaraan sangat diperlukan bagi menghubungkan individu dengan organisasi.

10

Perkhidmatan

orang perantaraan

ini diperlukan untuk menghubungkan bahan

pembelajaran dengan pelajar. Pelajar akan mendapat maklum balas dengan lebih pantas. Pelajar juga mendapat hasil pembelajaran yang lebih efisyen hasil darpada interaksinya dengan orang perantaraan seperti tutor, pembantu pelajar atau penyelaras sumber. Sebuah tempat khas diwujudkan seperti pusat pembelajaran, pusat sumber atau pusat wilayah bagi membolehkan pelajar berinteraksi dengan orang perantaraan atau dengan bahan yang telah dibekalkan. Di samping itu, pendidikan terbuka mengamalkan sistem penilaian bagi amali dan tugasan di pusat-pusat wilayah. Maka sering timbul persoalan mengenai kualiti dan kesahihannya. Sebenarnya, aspek kualiti sangat dijaga supaya sama dengan kualiti pelajar yang mengikuti pembelajaran secara konvensinal. Oleh sebab itu, perjalanan amali di pusat-pusat wilayah dijaga rapi oleh tutor-utor sambilan yang berkelayakan. Mereka telah dilantik oleh pihak universiti bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun hanya sebahagian sahaja aktiviti amali yang dijalankan di pusat-pusat wilayah sementara yang lain memerlukan peralatan yang sofistikated dan dijalankan sewaktu kursus intensif terutamanya kursus diperingkat tinggi manakala pensyarah pula digalakkan menggred sendiri amali berkenan. Sementara tugasan pula turut digred oleh pensyarah kursus bagi menjamin kualiti dan kesahannya (Md Noor Saleh, 2002). Penilaian yang menyumbang kepada gred akhir dikategorikan sebagai penilaian sumatif. Walau bagaimanapun, peringkat-peringkat tertentu seperti aktiviti, tugasan dan peperiksaaan berterusan boleh dikategorikan sebagai penilaian formatif untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran pelajar dan tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk mengatasinya. Kaedah yang dijalankan ini untuk memastikan kualiti graduan yang dihasilkan berada pada tahap yang paling tinggi setara dengan graduan yang dikeluarkan secara konvnsional seterusnya meningkatkan mutu pendidikan negara.

11

Secara keseluruhannya segala bentuk pendedahan maklumat berkaitan universiti terbuka perlu disebar luas kepada segenap lapis masyarakat supaya konsep yang digunapakai oleh universiti ini boleh diterima dan mendapat tempat dalam hati setiap warganegara. Sistem universiti terbuka di England merupakan satu contoh yang terbaik untuk kita contohi. Ribuan pelajar pendidikan terbuka telah lulus dan berjaya dalam kerjaya mereka melalui sistem ini. Seterusnya pendidikan terbuka membuka peluang luas bagi mereka yang bekerja untuk menimba ilmu pengetahuan. Walaupun mereka bekerja dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, mereka masih boleh belajar. Pendidikan terbuka mempunyai berbagai kaedah dalam menyampaikan maklumat dengan menggunakan teknologi, seperti video sidang akan membolehkan latihan diikuti oleh pekerja di tempat kerja. Hal ini penting kerana pekerja dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya. Di samping itu mereka tidak perlu keluar dari pejabat ke destinasi lain untuk diberi latihan. Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir, terlatih dan berilmu akan menguntungkan setiap negara. Kemahiran ini penting untuk menjamin pertumbuhan sosial dan ekonomi yang sihat. Oleh itu, kewujudan universiti terbuka perlu dimanfaatkan dan diberi perhatian oleh semua pihak sebagai usaha mewujudkan warganegara yang berilmu seterusnya melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

12

Bibliografi Aini Aman et, al (2000). Keberkesanan Kaedah Pengajaran PJJ Di Malaysia. dlm. Seminar Kebangsaan Pengajian Jarak Jauh Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. Ali, A, Fadzil, M., & Kaur, A., (2006). Open distance education in Malaysia. Diambil tanggal 27 Julai 2010, dari http://www.seamolec.org/odl-profile-southeastasia/year-2006-3. Bates, A.W. 1995. Technology, open learning, and distance education. New York: Routledge Fazilah Idris, et. al (2000). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pencapaian Pelajar PJJ UKM Dalam Program Bahasa Inggeris: Satu Tinjauan. dlm. Seminar Kebangsaan Pengajian Jarak Jauh Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia. Johnson, R. (1990). Open Learning: Policy and Practice. National Board of Employment Education & Training. Commissioned Report No. 4, Canberra, AGPS. Keegan, Desmond (1988), Distance Education: international Perspective, (Newyork: Routledge). Melor Md. Yunus, et. al. (2000). Mengapa Pelajar Gagal sehingga Diberhentikan. dlm. Seminar Kebangsaan Pengajian Jarak Jauh. Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd. Noor Saleh. (1994). Pendidikan Jarak Jauh. Retrieved January 24, from members.tripod.com/~sarjana/jarak3.html

13

Rowntree, D. 1994. Exploring open and distance learning. London: Kogan Page. Rumble G. 1998. The economics of mass distance education. Prospects 18(1): 91-102. Sancho, P., Corral, R., Rivas, T., Gonzlez, M.J., et al. (2006). A blended learning experience for teaching microbiology. American Journal of Pharmaceutical Education, 70(5), pg. U1, 9 pgs. Diambil tanggal 27 Julai 2010, dari http://www.pubmedcentral.nih.gov/articlerender.fcgi? artid=1637024. Schlosser, Lee Ayers dan Simonson, Michael (2006), Distance Education: Definition and Glossary of Terms, Second Edition, (Greenwich, Connecticut: Information age Publishing). SEAMOLEC. (2006). ODL profile in Southeast Asia. SEAMEO-SEAMOLEC. Diambil pada 27 Julai 2010, dari http://www.seamolec.org/odl-profile-southeast-asia/year2006-0. Shireen Haron, 1995. Pendidikan Jarak Jauh (Bahagian 1). Dewan Masyarakat, Januari 1995. Shireen Haron, 1995. PJJ: Meningkatkan Lagi Golongan yang Berilmu (Bahagian 2). Dewan Masyarakat, Februari 1995. Shireen Haron, 1995. PJJ: Penggunaan Komputer Penting (Bahagian 3). Dewan Masyarakat, Mac 1995 Simonson, Michael; Smaldino, Sharon; Albright, Michael; & Zvacek, Susan (2006), Teaching and Learning at a Distance, Third Edition, (Columbia, Ohio: Merril Prentice Hall).

14

Simbran, A.O. (2006). Open and distance education in Brunei Darussalam, a paper presented at the Ninth SEAMOLEC GB Meeting, 12-13 September 2006. Diambil pada 27 Julai 2010, dari http://www.seamolec.org/odl-profile-southeast-asia/year2006. Souvannasy, S. (2006). Open and distance education in LAO PDR. Diambil pada 27 Julai 2008, dari http://www.seamolec.org/odl-profile-southeast-asia/year-2006-2. Vesarach, P. (2006). Open and distance learning (ODL) in Thailand, Diambil pada 4 Ogos 2010, dari http://www.seamolec.org/odl-profile-southeast-asia/year-2006-7. Yusup Hashim dan Sharifah Alawiyah, 1999, Pendidikan Jrak Jauh, Teori dan Amalan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like