You are on page 1of 15

“KPM akan berusaha menjadikan Sekolah Kebangsaan lebih beraspirasi nasional,

meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar, membangunkan budaya


sekolah yang cemerlang, meningkatkan kualiti kepimpinan, pengurusan dan guru-guru,
menyeimbangkan nisbah guru dari pelbagai etnik serta meningkatkan penglibatan dan
rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap Sekolah Kebangsaan.”

(YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, 2005)

Pendahuluan

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

Dalam tempoh 15 tahun akan datang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)

berhasrat membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa

Malaysia yang maju, memastikan akses, ekuiti dan kualiti yang menjadi tunjang agenda

pendidikan dapat diteruskan serta merintis dan menerajui perubahan demi melonjakkan

sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia pada tahun 2020.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 merupakan satu

dokumen perancangan pembangunan yang meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur,

pengisian dan tenaga manusia. Matlamat PIPP adalah untuk menghasilkan pendidikan

berkualiti untuk semua. Dua pendekatan utama telah dikenalpasti sepanjang tempoh

RMK-9 iaitu:

Pendekatan Pertama :

Menyelesaikan Tugas Yang Masih Belum Selesai dan Kesamarataan Peluang


Pendidikan.

 Memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama

tanpa mengira lokasi, kaum, kelompok kurang upaya, Orang Asli dan suku

minoriti lain.
 Memastikan semua pelajar menguasai kemahiran membaca, menulis dan

mengira (3M) dan tidak ada pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan

akibat kemiskinan, berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

 Perluasan ke semua jenis sekolah dan lokasi akan ditingkatkan untuk

memastikan semua pelajar mendapat akses ICT khususnya capaian kepada

internet.

Pendekatan Kedua :

Kecemerlangan Institusi Pendidikan

 KPM akan memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang telah mencapai

tahap cemerlang (mengekalkan kecemerlangan dan mampu

mempertingkatkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi).

 KPM akan mengenal pasti sekolah-sekolah dalam kluster Sekolah

Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Berasrama

Penuh (SBP), Sekolah Premier, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah

Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah 100 tahun (Centennial),

Sekolah Bestari serta sekolah-sekolah Putrajaya dan Cyberjaya.

Asas pembangunan PIPP ialah bersesuaian dengan misi nasional. Ia

merangkumi dasar-dasar Pembangunan Negara bersesuaian dengan Dasar Pendidikan

Kebangsaan. Pun begitu, PIPP dibangunkan berasaskan Islam Hadhari serta Pelan

Integriti Nasional.

Namun, teras asas PIPP terbahagi kepada empat aspek iaitu akses, ekuiti kualiti

dan kecekapan serta keberkesanan pengurusan pendidikan. Akses merujuk kepada

tahap capaian sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Di samping itu, dapat
menzahirkan ketulusan dalam pembangunan pendidikan. Pendidikan merupakan modal

atau ekuiti yang bernilai dalam pembentukan modal insan. Kualiti produk yang bakal

dihasilkan daripada PIPP juga dititikberatkan. Generasi yang berkualiti sejajar dengan

kecekapan dan keberkesanan pembangunan pendidikan.

Walau bagaimanapun, kerjasama dan komitmen warga pendidikan serta pihak

berkepentingan perlu dalam usaha memastikan PIPP mencapai kejayaan. Di samping

itu, sistem penyampaian, pemantauan dan penilaian dalam pendidikan juga perlu dijana

ke arah kejayaan PIPP.

Teras strategik PIPP adalah membina negara bangsa dan membangunkan

modal insan melalui memperkasakan sekolah kebangsaan serta merapatkan jurang

pendidikan. Di samping memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan

kecemerlangan institusi pendidikan. Ringkasnya, PIPP bermatlamatkan pendidikan

berkualiti untuk semua.

Memperkasa Sekolah Kebangsaan

Sistem pendidikan di Malaysia telah berkembang di atas kekuatan dalam

kepelbagaian jenis sekolah mengikut aliran dan sejarah penubuhannya. Namun,

kerajaan telah berusaha memperkasa sekolah kebangsaan kerana yakin bahawa

sekolah kebangsaan merupakan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan, kerjasama

dan semangat cintakan negara di kalangan generasi muda.


Ketika ini majoriti murid, iaitu sekitar 2.3 juta pelajar atau 76.3 peratus daripada

sejumlah 3.1 juta pelajar sekolah rendah berada di 5,789 buah sekolah kebangsaan di

seluruh negara.

Di kalangan 5,789 buah Sekolah Kebangsaan ini pula, 4,036 daripadanya

berada di luar bandar, 1,453 merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM), 309 merupakan

Sekolah Bantuan Modal, 651 adalah sekolah dua sesi, 1,414 tidak mempunyai bekalan

air awam, 768 tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan 1,988 masih belum

mempunyai makmal dan bilik komputer.

Strategi Pelaksanaan bagi Memperkasakan SK

1. Perluasan Program Prasekolah

i. Menambah bilangan kelas prasekolah KPM

Usaha menyediakan peluang pendidikan prasekolah di sekolah-sekolah

kebangsaan di seluruh negara juga telah dipertingkatkan. Kini KPM sudah berjaya

menyediakan peluang kepada 77,000 daripada 192,000 kanak-kanak yang tidak

mengikuti pendidikan prasekolah khususnya di luar bandar dan pedalaman. Matlamat

KPM ialah untuk memperluaskan pendidikan prasekolah kepada 36 peratus daripada

lebih 500,000 kanak-kanak berumur antara 5 hingga 6 tahun di negara kita. Dalam

tempoh RMKe-9, sebanyak RM327.3 juta diperuntukkan bagi menyediakan lebih

daripada 3,100 kelas yang mana 80 peratus daripadanya adalah di luar bandar dan

pedalaman.
ii. Menggunakan kurikulum Prasekolah Kebangsaan

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan perlu digubal semula agar dapat dapat

bersaing dengan prasekolah swasta lain yang semakin mendapat sambutan. Sebagai

contoh dari segi kurikulum yang digunakan perlu memenuhi kehendak semasa.

Lantaran dapat memberi kesan yang positif kepada kemajuan murid daripada pelbagai

aspek perkembangan. Selain itu, langkah kerajaan menaikkan kadar peruntukan geran

per kapita adalah amat bertepatan sekali kerana ia mampu memantapkan pelaksanaan

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan untuk kanak-kanak yang mengikuti pengajian di pra

sekolah agar segala aktiviti yang dirancangkan itudapat dijalankan dengan lebih

berkesan lagi.

iii. Memastikan murid berkeperluan khas mendapat program prasekolah

Seiring dengan iltizam kerajaan untuk merealisasikan program pendidikan untuk

semua, golongan yang kurang bernasib baik juga tidak diabaikan. Penambahan kelas-

kelas pendidikan khas adalah diharapkan dapat membuka mata ibu bapa yang sering

mengangap kanak-kanak istimewa ini tidak perlu ke sekolah. Dengan adanya kelas-

kelas prasekolah pendidikan khas ini adalah diharapkan golongan istimewa ini dapat

mempelajari sesuatu bagi menghadapi kehidupan seterusnya.

iv. Memastikan guru dan pembantu guru mencukupi dan terlatih

Warga pendidik yang mengajar di sekolah kebangsaan pula mestilah mempunyai

semangat mengajar yang jitu yang terdiri daripada kumpulan guru dari pelbagai kaum

yang cekap, terlatih, dan komited dengan tugas yang diamanahkan. Selain itu,

penambahan pembantu khas untuk guru prasekolah ini mampu mengurangkan kerja-

kerja pengkeranian yang sentiasa mencuri masa guru sekolah.


2. Pemantapan Kurikulum

i. Memastikan semua murid Tahap 1 menguasai 3M

KPM telah memperkenalkan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)

bagi memastikan murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran membaca dan

menulis selepas enam bulan mengikuti persekolahan. Murid-murid yang mempunyai

masalah pembelajaran akan mengikuti kelas pemulihan. Program ini amat penting

kerana murid-murid ini tidak boleh dibiarkan tanpa pengetahuan dan kemahiran apabila

melangkah ke peringkat menengah atas kelak.

ii. Memperkenalkan program bagi pelajar berkeperluan khas

Selain itu, kecacatan tidak menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan.

Selain menambahbaik kemudahan di sekolah pendidikan khas sedia ada, KPM akan

membina dua lagi sekolah menengah pendidikan khas vokasional dan melipatganda

kemudahan di sekolah harian kepada orang kurang upaya melalui program integrasi di

seluruh negara. Sehubungan dengan itu, pengubalan kurikulum yang bersesuai dan

relevan mampu memantapkan lagi modul-modul pengajaran dan pembelajaran bagi

murid-murid pemulihan khas ini agar lebih menarik dan interaktif.

iii. Meningkatkan akses dan pilihan program di peringkat menengah

Hakikat yang perlu diterima ialah bukan semua murid itu cerdik dan mahir dalam

semua bidang yang diajar disekolah. Setiap pelajar mempunyai kemahiran dan

kebolehan masing-masing. Terdapat pelajar yang malas membaca tetapi mahir dan

amat berminat dalam aktiviti-aktiviti seperti pertukangan dan kemahiran hidup.

Sehubungan itu, langkah KPM memperluaskan mata pelajaran Mata Pelajaran

Vokasional (MPV) amatlah bertepatan sekali. Ini memberi peluang kepada pelajar-

pelajar ini berdikari apabila tamat alam pesekolahan nanti.

iv. Memperkenalkan Bahasa Cina dan Tamil


Mata pelajaran bahasa seperti Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan sebagai

mata pelajaran elektif. Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan juga mencakupi

inisiatif menyediakan peluang seluas-luasnya untuk murid-murid mempelajari bahasa

Mandarin dan bahasa Tamil. Inilah usaha secara telus untuk menarik minat ibu bapa

bukan Melayu memilih sekolah kebangsaan selaras dengan hasrat KPM untuk

melahirkan generasi yang menguasai lebih dua bahasa termasuk bahasa Inggeris yang

berperanan sebagai warga global di masa akan datang.

v. Memperluas j-QAF

Selain itu, bagi menarik minat ibu bapa Islam pula, usaha memperkasakan

sekolah kebangsaan juga melibatkan pelaksanaan program j-QAF. Program ini telah

dirintis pada tahun 2004 dan diperluaskan ke 1,221 sekolah pada tahun 2005 dan

dalam tempoh RMKe-9, program ini akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh

negara.

Perubahan-perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan di peringkat global

yang memberi kesan ke atas daya saing sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu

usaha berterusan akan terus memantapkan kurikulum sekolah bagi memastikan

kurikulum yang disediakan sentiasa relevan dan berkualiti. Sistem penyampaian

pendidikan akan dipertingkat dengan mengkaji semula dan mengemaskini kandungan

kurikulum dengan mengambilkira bidang baru, mereka bentuk mata pelajaran, kursus

dan program baru dan mengukuh pembelajaran berpusatkan pelajar.

3. Pemantapan Kepimpinan Pengetua / Guru Besar dan Kualiti Guru


i. Memantapkan kepimpinan Pengetua / Guru Besar

Penganjuran bengkel dan latihan perlu dianjurkan dengan lebih kerap untuk para

pendidik bagi meningkatkan mutu kepemimpinan dalam bidang hubungan manusia,

kemahiran interpersonal dan kemahiran teknikal. Selain itu, latihan kepekaan yang

memberi fokus kepada hubungan manusia dan kemahiran interpersonal ini boleh

memberi peluang pengetua untuk mengenali diri mereka dan kesan tingkah laku

terhadap orang lain. Kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh oleh pengetua boleh

digunakan untuk memotivasikan staf di bawah kepimpinannya.

Selain itu, para pengetua hendaklah diberi peluang untuk meningkatkan

pengetahuan teknikal seperti kepemimpinan pembelajaran, pembinaan kurikulum dan

kaedah pembelajaran serta pendedahan terhadap pengurusan sumber manusia

hendaklah dijalankan yang memberikan penekanan amalan peningkatan produktiviti dan

teknik memotivasikan kakitangan dibawahnya. Pengetahuan dan kemahiran ini juga

dapat menyokong pengetua merancang program perkembangan staf.

Sehubungan dengan itu, sebelum dilantik ke jawatan pengetua, bakal pengetua

hendaklah mengikuti beberapa kursus yang melibatkan pentadbiran sekolah. Ini boleh

mengelakkan pengetua memulakan pengendalian sekolah melalui proses trial and error.

ii. Meningkatkan kualiti guru

Guru atau pendidik merupakan golongan yang amat penting sebagai agen

pembangunan dan perubahan minda ummah serta bertanggungjawab dalam

memperkasakan bidang pendidikan di negara ini. Secara realitinya arus perubahan

dunia pendidikan masa kini menuntut guru-guru untuk terus berusaha gigih
mengekalkan keistimewaan profesion keguruan yang dahulunya disanjung tinggi oleh

semua lapisan masyarakat. Tugas guru mula berubah daripada mengajar semata-mata

kepada mendidik anak-anak bangsa. Sesungguhnya guru berperanan sebagai

penyemai benih yang baik agar dapat tumbuh menjadi pohon yang segar, rendang,

berbuah manis, berakar tunjang dan mampu menjadi tempat untuk bernaung.

Sehubungan itu, dalam memilih calon-calon pendidik yang akan mewarnai dunia

pendidikan, pihak KPM haruslah memilih bakal-bakal guru yang mempunyai watak

pendidik yang menepati kehendak dunia pendidikan dan bukannya calon pendidik yang

hanya menjadikan profesion perguruan sebagai memenuhi bidang kerjaya semata-mata.

Selain itu, pihak KPM mesti memastikan setiap guru mengajar matapelajaran mengikut

opsyen masing-masing untuk memastikan guru tersebut mempunyai pengetahuan yang

dalam tentang matapelajaran yang diajarnya serta bertindak sebagai pemudah cara

semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan.

Disamping itu, pengenalan kad laporan bagi mengenalpasti jumlah bengkel atau

kursus yang perlu disertai adalah suatu usaha yang mampu meningkatkan

profesionalisme guru tersebut. Melalui kad laporan ini, pihak sekolah boleh menilai

sejauhmana kesanggupan dan akuantabiliti seseorang guru terhadap tugas yang

diamanahkan. Sehubungan dengan itu, guru-guru perlu mempersiapkan diri dan

bersedia dengan perubahan-perubahan yang berlaku didalam bidang pendidikan agar

mereka tidak ketinggalan.

4. Pengukuhan Budaya Sekolah


i. Mewujudkan SK yang berbudaya cemerlang, iklim dan budaya sekolah yang

sihat

Sekolah Kebangsaan yang berbudaya cemerlang dan mempunyai iklim serta

budaya sekolah yang sihat perlu diwujudkan untuk menjadikan sekolah lebih kondusif

dalam pembentukan moral dan sahsiah pelajar. Iklim sekolah yang kondusif seperti

mewujudkan sekolah berwatak. Contohnya sekolah berwatak Kadet Remaja Sekolah

boleh meminimumkan masalah disiplin di sekolah.

Selain itu, permuafakatan antara sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-

guru (PIBG) di peringkatan sekolah seterusnya jawatankuasa bertindak di peringkat

PPD, JPN dan KPM turut sama menyumbang ke arah meminimumkan masalah disiplin

pelajar di sekolah.

5. Pemantapan Aktiviti Kokurikulum dan Sukan

i. Menambahbaik aktiviti kokurikulum dan sukan

Program sukan dan kokurikulum perlu terus dimantapkan dengan

melipatgandakan penyertaan murid dalam pelbagai aktiviti kokurikulum bagi membina

sahsiah, disiplin, semangat patriotik dan sifat kepimpinan di kalangan murid. Dalam

RMKe-9, Kerajaan memperuntukkan RM160.1 juta bagi meningkatkan prasarana dan

peralatan sukan, terutamanya Pusat Sukan Daerah dan Negeri serta memperluas dan

meningkatkan program dan aktiviti sukan di sekolah. Rancangan Integrasi Murid Untuk

Perpaduan atau RIMUP juga akan dipergiatkan lagi bagi menggalakkan aktiviti sukan

dan kokurikulum antara sekolah bagi memupuk perpaduan di kalangan murid pelbagai

kaum.

1
ii. Meningkatkan penyertaan pelajar

Usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan sukan

adalah perlu. Ini kerana tanpa penglibatan pelajar, objektif aktiviti tersebut tidak akan

dapat dicapai. Terutamanya dari aspek interaksi sosial dalam kalangan pelajar. Mereka

akan mewujudkan komunikasi yang sihat melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum

dan sukan.

Langkah KPM meningkatkan geran per kapita aktiviti kokurikulum daripada

RM2.50 kepada RM10.00 untuk sekolah rendah dan RM12.00 untuk sekolah menengah

mulai tahun 2006 telah menyemarakkan lagi penganjuran aktiviti kokurikulum di sekolah

yang selama ini amat bergantung kepada yuran khas dan wang suwa serta sumbangan-

sumbangan pihak-pihak tertentu dalam menganjur sesuatu kejohanan sukan. Dengan

mempunyai sumber kewangan yang kukuh itu semua aktiviti sukan dan persatuan dapat

dijalankan dengan lebih efisien.

Selain itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum telah dijadikan syarat

kemasukan ke IPTA mulai tahun 2006. Ini bermakna para pelajar tidak hanya bertindak

sebagai ulat buku semata-mata tetapi mereka perlu melibatkan diri dengan pelbagai

aktiviti disekolah. Keseimbangan antara kurikulum dan kokurikulum ini mampu

melahirkan para pelajar yang seimbang dalam semua aspek dan mempunyai jati diri

yang kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

6. Penambahbaikan Sistem Sokongan

i. Menambahbaik sistem sokongan


Memantapkan pemuafakatan warga sekolah, keluarga dan komuniti.

Menambahkan lagi program pemuafakatan bagi keutuhan sistem sokongan. Sebagai

contoh, hubungan guru dan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pelbagai masalah atau cadangan dapat diselesai dan dijayakan menerusi sistem

sokongan yang berkesan. Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah

entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta

tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan

masalah, birokrasi dan isu yang timbul.

Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan

serta pembangunan pelajar dan sekolah. PIBG yang bertindak sebagai entiti utama,

membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta

maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi

akademik dan kokurikulum pelajar.

ii. Menambah bilangan pembantu guru

Memperluaskan perkhidmatan pembantu murid di sekolah pendidikan khas dan

program pendidikan khas integrasi. Dengan kata lain, meningkatkan lagi bilangan

pembantu guru dalam program pendidikan khas integrasi. Membekalkan guru beredar

bagi program pendidikan khas, pendidikan muzik, bahasa cina, bahasa tamil dan

bahasa-bahasa antarabangsa. Selain itu, mewujudkan jawatan guru beredar yang mana

akan dapat menambah bilangan pembantu guru bagi meringankan beban guru-guru.

7. Peningkatan Prestasi Akademik SK

i. Memastikan semua pelajar mendapat peluang bersekolah


Di dalam usaha memastikan tiada murid yang tercicir dalam sistem persekolahan

semua pihak harus memainkan peranan yang sewajarnya. Masyarakat setempat perlu

peka dengan keadaan sekeliling bagi memastikan tiada murid yang tidak bersekolah.

Peranan yang diaminkan oleh TV3 dalam, rancangan bersamamu di TV3 telah berjaya

mengenalpasti beberapa keluarga di negara kita yang gagal meneruskan persekolahan

akibat daripada faktor kemiskinan. Justeru, terdapat pihak yang berwajib harus yang

mengambil langkah yang perlu dalam usaha membantu pelajar tersebut bersekolah

sebagaimana pelajar lain. Ini kerana keciciran itu kelak akan merugikan bangsa dan

negara pada masa depan.

ii. • Memantapkan program intervensi

PIPP juga memastikan bahawa sekolah kebangsaan perlu melepasi standard

minimum prestasi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Sebagai contoh,

memastikan lebih 50% murid mendapat 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan

terpilih.

Memantapkan program pemulihan, pengayaan, pengukuhan dan kelas

pembelajaran ringan. Ini bertujuan meningkatkan peratusan tahap intervensi di kalangan

pelajar. Lantaran memperluaskan program latihan guru untuk kelas bercantum,

permulihan dan pendidkan khas.

8. Meningkatkan Kualiti Prasarana dan Prestasi SK


i. Meningkatkan kualiti prasarana SK

Melalui PIPP, Kementerian Pelajaran akan menyediakan infrastruktur dan

kemudahan asas mencukupi serta berkualiti termasuk melengkapkan prasarana SK,

mengubah suai dan menaiktaraf sekolah lama dan kurang selamat dan menambah

bilangan bilik darjah sejajar dengan keperluan semasa. Keperluan meningkatkan kualiti

prasarana ini penting bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan

selesa di sekolah.

ii. Meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan pendidikan

Memastikan infrastruktur dan kemudahan pendidikan mengikut piawaian KPM.

Dengan kata lain, peningkatan kualiti infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang

memenuhi kehendak semasa. Sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi,

peningkatan tersebut harus seiringan. Indikator yang ingin dicapai ialah menjelang tahun

2010, semua sekolah kebangsaan akan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan

pendidikan yang berkualiti tinggi.

iii. Menambah bilangan sekolah satu sesi sekolah rendah dan menengah

Dalam usaha memberi keselesaan, PIPP akan melaksanakan strategi

menambahkan bilangan sekolah satu sesi. Sekolah satu sesi dilihat wajar dalam usaha

memberi pendidikan kepada murid daripada pelbagai aspek. Lebih banyak masa murid

di sekolah akan secara tidak langsung menjana generasi yang sentiasa menghargai

masa. Di samping dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan di sekolah. Dengan kata

lain, tiada kekangan masa dan tempat bagi pelajar dan guru menjalankan aktiviti

pembelajaran kurikulum dan kokurikulum.

Kesimpulan
Selain itu, program-program sokongan dan bantuan yang diadakan turut

menyumbang ke arah meningkatkan kadar penyertaan dan mengurangkan keciciran di

kalangan murid miskin. Oleh itu, program sokongan dan bantuan seperti Kumpulan

Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Baucar Tuisyen, Rancangan Makanan

Tambahan, Program Susu Sekolah dan Skim Pinjaman Buku Teks perlu diperluaskan

dan KPM haruslah telus dalam urusan pemilihan dan pengagihan dengan

memperkemaskan lagi prosedur dan proses di semua peringkat.

Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan juga melibatkan langkah

meningkatkan disiplin, keselamatan, kebersihan dan kesihatan di sekolah-sekolah. Pada

akhirnya, kita berharap melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan, kita

akan dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif yang membolehkan

pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan.

You might also like