You are on page 1of 14

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/266912399

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH


ISLAM

Chapter · April 2014

CITATIONS READS

0 6,172

2 authors, including:

Fathi Yusof
Universiti of Technology Malaysia, Kuala Lumpur
17 PUBLICATIONS 10 CITATIONS

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Critical Study on Malaysian Electoral System View project

The Application of Islamic Criminal Law in Malaysia View project

All content following this page was uploaded by Fathi Yusof on 16 October 2014.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM
DI KELANTAN DAN BRUNEI1

Oleh:
Dr Muhammad Fathi Yusof & Dr Nazri Mansur

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

Undang-undang jenayah Islam adalah sebahagian dari syariat Islam yang syumul. Syariat Islam ialah asas
kepada undang-undang yang dikehendaki oleh Allah S.W.T sebagaimana yang termaktub dalam Al-
Quran atau As-Sunnah. Syariat Islam merupakan hukum Allah S.W.T yang mengandungi persoalan
aqidah (kepercayaan), syariat (perundangan), akhlak dan lain-lain perkara berkaitan urusan kehidupan
yang diturunkan kepada manusia. Al-Quran menjelaskan:

Maksudnya: Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan agama
itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak
mengetahui. (Al-Jaatiyah 18)

Undang-undang jenayah Islam diamalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW. Ia juga pernah diamalkan di
Tanah Melayu tetapi dipinggirkan selepas kedatangan penjajah. Kini usaha untuk kembali mendaulatkan
undang-undang Islam ini giat dijalankan oleh pendokong perjuangan Islam.

1
Diterbitkan dalam Muhammad Fathi Yusof & Ahmad Nazri Mansur. 2014. “Perlaksanaan Undang-undang
Jenayah Islam di Kelantan dan Brunei.” In: (Editor, Azhar Yahya) Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah: Teori &
Realiti, KUIZM Publication. Pp. 133-150
1
Di Alam Melayu zaman ini undang-undang Islam jenayah telah dilaksnakan di Brunei dan Acheh. Di
Malaysia, terdapat enakmen-enakmen undang-undang jenayah Islam di Terengganu dan Kelantan.
Walau bagaimana pun, oleh kerana beberapa halangan, ia belum dapat dikuatkuasakan. Kertas ini
bertujuan untuk menjelaskan perkembangan semasa perlaksanaan undang-undang Islam di Brunei dan
Kelantan.

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI BRUNEI

Menurut Mohamad Hashim Kamali dalam tulisannya menyatakan; “Secara amnya perlaksanaan hudud
dilihat sebagai suatu komponen penting dalam pergerakan kebangkitan Islam dan tentunya tidak terhad
di Kelantan atau Malaysia sahaja”.

Langkah yang diambil oleh Kerajaan Brunei untuk melaksanakan hukum hudud adalah menjadi
sebahagian daripada kebangkitan dan kesedaran tentang kewajipan dan tanggungjawab pemerintah
untuk melaksanakannya.

Kerajaan Brunei sendiri yang pernah diwakili oleh pihak Darul Ifta’ (pejabat Mufti Brunei) telah datang
ke Kelantan pada 2006 untuk meneliti dan mengkaji tentang beberapa perkara berkaitan dengan
enakmen undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993. Ia bertujuan melakukan persiapan bagi
mendraf undang-undang jenayah Islam untuk dilaksanakan di Brunei. Perkara ini turut diperakui sendiri
oleh pihak Mufti Brunei semasa kunjungan hormat YAB Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yakob pada
akhir tahun 2013 yang lalu.

Ini menggambarkan sumbangan Kelantan dan perkaitannya dalam konteks perlaksanaan hudud yang
dijalankan oleh pihak Kerajaan Brunei berkuat kuasa 1 April 2014.

Kerajaan Brunei terlebih dahulu berjaya melaksanakannya berbanding dengan Kerajaan Kelantan yang
masih memerlukan beberapa perkara melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan
tersebut. Ini kerana sikap Sultan Brunei Hassanal Bolkiah yang mengambil tanggungjawab sebagai
pemerintah untuk melaksanakan kewajipan melaksanakan hudud. Sultan Hassanal Bolkiah bertitah

2
menerusi pengenalan hudud ke dalam sistem perundangan, "akan memenuhi tanggungjawab kita
kepada Allah".

Selain daripada enakmen undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993, Kerajaan Brunei turut
menjadikan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pas di
Terengganu sebagai rujukan. Ini dinyatakan sendiri oleh pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa)
dan Jabatan Mufti Brunei semasa lawatan Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Yahaya Ali ke Brunei
baru-baru ini.

Mulai April tahun 2014, Kerajaan Brunei akan secara beransur-ansur menginstitusikan hukuman seperti
sebatan, memotong anggota badan dan merejam, susulan daripada kebenaran untuk Kod Penal Syariah
yang baru.

Perancangan pelaksanaan undang-undang Islam yang diputuskan kerajaan berkenaan dilakukan secara
berperingkat iaitu selepas enam bulan pertama diikuti dengan 12 bulan dan seterusnya selepas 24
bulan.

Kerajaan Brunei menggunakan media radio dan televisyen di Brunei untuk memberikan kefahaman
melalui siaran khas mengenai undang-undang Islam sebelum ia dilaksanakan mulai April 2014,
antaranya termasuk melibatkan pegawai Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) untuk menerangkan
perkara itu kepada rakyat.

Namun disebalik usaha murni yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Brunei tersebut, terdapat beberapa
suara kritikan meresap ke dalam media sosial mengkritik usaha ke arah melaksanakan hudud, dan ini
menyebabkan Sultan Hassanal memberi amaran keras. Antara titah baginda ; "Mereka tidak boleh
dibenarkan melakukan penghinaan ini tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke
mahkamah, mereka akan menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah
pada April,”

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI MALAYSIA

3
Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah telah menjadi hasrat dan
cita-cita pejuang Islam di Malaysia sejak sekian lama. Apabila PAS mula memerintah Kelantan pada
tahun 1990, satu pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini
menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik dan mengamal
undang-undang. Hasilnya pada tahun 1993, satu Rang Undang-undang Jenayah Syariah II telah
diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kelulusan undang-undang ini merupakan satu kejayaan
besar kepada perjuangan Islam di dalam negara.

Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan keras dari pemimpin negara pada waktu itu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang
menyatakan secara jelas larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan akan
diambil jika ia diteruskan. Dengan mengambilkira amaran itu dan pengalaman kerajaan Kelantan di
bawah PAS pernah berdepan dengan pengisytiharan darurat dan dirampas kuasa melalui tindakan
MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) pada tahun 1977, maka hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan.

Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan PAS (1999-2004)
apabila Enakmen Jenayah Syariah 2002 telah diluluskan. Undang-undang ini telah diperkenan oleh
DYMM Sultan Terengganu pada 2 Sempember 2002, disiarkan dalam warta pada 23 September 2002
dan diisytiharkan berkuatkuasa pada 27 Oktober 2003. Namun, ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana
tiada kerjasama dari kerajaan Persekutuan Malaysia.

Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu belum dapat dilaksanakan, ia
merupakan satu kejayaan dalam dakwah kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia.
Pertamanya, ia membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan
sempurna dan baik melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan ijtihad yang
berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam sebuah negara berbilang kaum. Ketiga, ia
menunjukkan bahawa pejuang Islam benar-benar jujur ingin melaksanakan hukum Allah, bukan sekadar
menjadikannya sebagai retorik datau propaganda politik. Keempat, ia menjinakkan hati masyarakat agar
semakin dekat dengan syariat Islam dan yakin dengan kemampuan Islam menyelesaikan kemelut
jenayah yang membarah.

4
Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, kini parti nasionalis sekular seperti UMNO sudah mempunyai sikap
terbuka untuk menerima hudud. Soal keikhlasan mungkin boleh dipertikaikan. Apa yang penting suara
desakan dari dalam parti itu menunjukkan kejayaan dakwah ke arah pelaksanaan Islam. Demikian juga
dengan lonjakan ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.

Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut pelaksanaannya. Apakah sebenarnya penyelesaian kepada
penguatkuasaan yang tertangguh ini. Di manakah ia sepatutnya bermula.

MELAKSANAKAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH

Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993
Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu. Halangan
pertama ialah halangan politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak
memberikan kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah halangan perundangan.
Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan perundangan.

Halangan Perundangan

Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965
mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2 Akta itu memperuntukkan bahawa:

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-


undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang
menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu
persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada
Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan
kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang
menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang
bertulis:

5
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan
dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga
tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa
gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop kesalahan iaitu ‘kesalahan-kesalahan terhadap
rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop
kesalahan ini ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu sendiri. Dalam enakmen-
enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi,
muncikari, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabiie, musahaqah dan seumpamanya. Bahkan
bentuk kesalahan yang ada dalam jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun sudah ada dalam
undang-undang hari ini. Lihat contohnya seksyen 22 hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)
1995. Sesetengah kesalahan yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga diperuntukkan dalam
Kanun Keseksaan. Contohnya seseorang yang didakwa melakukan kesalahan liwat, dia tertakluk kepada
dua undang-undang iaitu enakmen jenayah syariah dan juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini
dapat disimpulkan bahawa kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain seperti
yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah tidak bercanggah dengan Akta. Jika
hukuman bagi kesalahan itu ada disebut dalam ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai
sebahagian dari jenayah Syariah.

Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah dari sudut
hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada had hukuman maksimun tiga tahun penjara atau denda
RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Had inilah merupakan
halangan sebenar kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.

Mamandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman yang lebih tinggi seperti iaitu seratus
rotan dan penjara yang lebih lama, maka ia dikira pertentangan dengan Akta. Demikian juga hukuman
yang tidak disebut oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh berkuat kuasa kerana
bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan undang-
undang Persekutuan akan dikira tidak sah dan batal.

6
Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat pindaan ke atas Seksyen 2 Akta Mahkamah
Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 iaitu dengan menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar
yang ditetapkan oleh enakmen-enakmen terbabit.

Adakah bercanggah dengan Perlembagaan?

Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara enakmen jenayah syariah Kelantan dengan
Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4 secara jelas menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan
adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah
terbatal. Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah tidak boleh bercanggah
dengan Perlembagaan.

Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74 memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan
Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat
undang-undang dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Jika mana-mana kerajaan
membuat undang-undang diluar bicang kuasanya, undang-undang itu adalah pertentangan dengan
Perlembagaan.

Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia mengadakan kesalahan-
kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang sebahagian besarnya bertindan dengan
kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-
kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah
dengan butiran 1, Senarai Negeri yang menghadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam
setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.

Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan masih boleh dipertikaikan. Ini
kerana, jika ia dianggap bercanggah maka undang-undang ke atas kesalahan berjudi, muncikari, zina,
sumbang mahram, persetubuhan luar tabiie, musahaqah, zina dan qazaf yang sedia ada kini dalam
enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah. Namun setakat ini tiada orang
yang mencabarnya, dan ia diterima umum sebagai undang-undang yang sah.

7
Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud
lwn. Kerajaan Malaysia2. Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah seksyen 298A Kanun
Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu kesalahan baru iaitu melakukan tindakan di atas asas
agama, yang boleh menjejaskan perpecahan atau menyebabkan atau menjejaskan keharmonian di
antara rakyat yang menganut agama yang sama atau berbeza. Mereka dituduh melakukan tindakan
yang menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib
dan imam yang tidak bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A adalah ultra vires
dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘intipati dan isi’ (pith and substance) berkaitan dengan agama Islam
yang tertakluk kepada bidangkuasa negeri, dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undang-
undang tersebut.

Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung telah memutuskan dengan majoriti tiga daripada
lima orang hakim, bahawa tindakan yang dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan
‘keselamatan awam’ yang tertakluk kepada bidangkuasa Persekutuan, sebaliknya ia menyentuh secara
langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah bidangkuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :

Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya, setakat untuk perlaksanaan ke atas
orang-orang Islam, seksyen yang dipertikaikan ini adalah satu undang-undang yang bertujuan
untuk memastikan agama Islam diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan
yang dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang dipertikaikan ini, saya
tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung kepada kuasa perundangan berasaskan
ketenteraman awam kerana penggunaan kuasa tersebut akan menyebabkan pertembungan
secara langsung dengan kuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang dan mengawal
urusan amalan agama Islam.3

2
(1988) 1 MLJ 119

3
Ibid, hlm 122

8
Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan keputusan pengisytiharan pembatalan
seksyen berkenaan menjelaskan;

…apa yang perlu diambilkira adalah isi atau intipati kepada sesuatu statut bukannya bentuk atau
sifat luarannya… sebanyak mana pun ‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan
perundangan’ tidak dapat menutup penyamaran dalam perundangan. Matlamat, tujuan dan
bentuk seksyen yang berkenaan mesti diterokai untuk mengenalpasti rupa sebenar dan intipati
sesuatu undang-undang dan untuk mengenalpasti kategori undang-undang tersebut…4

Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat sebenar yang membawa kepada kewujudan
seksyen 298A Kanun Keseksaan itu. Walaupun diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan
ketenteraman awam, tetapi hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan
hampir dengan tujuan undang-undang itu diperkenalkan.

Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa perundangan terpenting kerajaan negeri iaitu
hal ehwal agama Islam. Contohnya dalam kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama
dan Adat Melayu Negeri Terengganu [1979] 1 MLJ 157, mahkamah telah mutuskan bahawa persoalan
wakaf adalah di bawah bidangkuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai Negeri, Jadual
Kesembulan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu Enekmen Pentadbiran Undang-undang
Islam Terengganu 1955 adalah berkuatkuasa. Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat
undang-undang kepada kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme seperti Perkara 76 yang
membenarkan kerajaan Persekutuan membuat undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri
dengan sebab-sebab tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai kuasa perundangan mutlak ke atas
urusan agama Islam. Jika di lihat kepada pendekatan yang telah digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat
andaikan bahawa enakmen jenayah syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan
Terengganu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

4
Ibid, hlm. 123

9
Halangan politik

Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan politik. Jika ada kemahuan politik kekangan yang
wujud dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika
kekangan politik ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin kelancaran
pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa)
1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan
hukuman-hukuman seperti potong tangan, sebat dan mati. Peluasan kuasa ini bukan hanya dapat
dinikmati oleh Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk negeri-negeri lain.

Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa, agar tidak dianggap wujud percanggahan antara
enakmen jenayah syariah dan undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai perkara-
perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu digugurkan dari Butiran 1 Senarai Negeri. Bagi
memberikan ruang yang lebih selesa perkataan jenayah syariah dan skopnya perlu dimasukkan dalam
Senarai Negeri.

Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus kepada Kelantan dan Terengganu untuk
meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah. Pada dasarnya bidangkuasa
jenayah adalah di bawah bidangkuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan, namun Parlimen
boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen jenayah syariah boleh
berkuatkuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah ini.

Hak bukan Islam

Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar dengan penguatkuasaan undang-undang
jenayah syariah di Kelantan. Persoalan hak asasi sewajarnya menjadi pertimbangan mereka. Ini kerana
hasrat untuk diadili melalui undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan
untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan
Persekutuan. Jika mereka dihalang untuk mendapat keadilan melalui sistem perundangan Islam,
mereka sebenarnya dinafikan hak asasi untuk mengamalkan agama mereka sendiri.

10
Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang jenayah syariah juga merupakan hak demokratik
rakyat Kelantan. PAS secara terbuka dan jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undang-
undang Islam. Undi majoroti yang diberikan kepada PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 1990,
1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat Kelantan untuk mengamalkan
undang-undang jenayah Islam. Menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna
menafikan hak demokratik rakyat Kelantan.

MEKANISME PERLAKSANAAN

Sesuatu undang-undang hanya menjadi adil dan berkesan jika di dilaksanakan dengan cara yang teliti,
saksama dan cekap. Dokumen perundangan sahaja tidak mencukupi. Kerajaan yang melaksanakan
undang-undang Islam perlu mempunyai garis panduan yang mencukupi, dokongan modal insan yang
berkelayakan dan cekap serta tenaga penguatkuasa yang sedia berkerjasama.

Berikut disenaraikan keperluan yang dimaksudkan itu:

1. Perlaksana Dokumentasi Perundangan. Ia termasuklah kaedah-kaedah atau peratauran-peraturan


sebatan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan pemenjaraan, kaedah-kaedah atau peraturan-
peraturan rejam dan sebagainya.
2. Persiapan Prasarana & Modal Insan. Kerajaan perlu memperkasakan agensi penguatkuasa,
pendakwaan dan kehakiman.
3. Integrasi Agensi Negeri dan Pusat. Penglibatan dan kerjasama agensi persekutuan yang terlibat
secara langsung iaitu Jabatan Penjara Malaysia, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan
Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.
4. Usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan. Perlu ada usaha sistematik, bersungguh-sungguh
dan berterusan untuk mendidik rakyat agar menjauhi jenayah.

PENUTUP

11
Perbincangan ini bertujuan untuk melihat aspek yang boleh diambil titik pertemuan bagi menyelaraskan
tindakan perlaksanaan Enakmen kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dengan pihak Kerajaan Persekutuan.
Keizinan untuk melaksanakan enakmen tersebut bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya ia mendapat
sokongan Kerajaan Persekutuan dan juga di kalangan ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada
pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa) 1965 dan seterusnya bersetuju serta menyokong
pindaan berkenaan.

Komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan Kelantan melalui kenyataan terbaru pada 2 April 2014
oleh YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob Menteri Besar Kelantan. Menurut beliau, satu rang undang-
undang persendirian (private bill) akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa)
1965 untuk memberi bidangkuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi
membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam enakmen hudud.

Beliau turut memberi jaminan, Kerajaan Negeri Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah (II) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015 sekiranya Kerajaan
Persekutuan memberi laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di
Parlimen.

RUJUKAN :

Abdul Aziz Bari, Pelaksanaan Syariah Dalam Konteks Perlembagaan Negara, Seminar Perlaksanaan
Syariah Islam di Malaysia-56 Tahun Merdeka: Halangan & Penyelesaian, 2013

Ahmad Ibrahim, Undang-undang Islam Di Mahkamah Sivil, Al-Ahkam Jilid 1,DBP Kuala Lumpur 1995

Lembaga Penyelidik Undang-undang, Perlembagaan Persekutuan(hingga 1 Mac 2010), International Law


Books Services 2010

Lembaga Penyelidik Undang-undang ,Undang-undang Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan (hingga 20


November 2001), International Law Books Services 2001

12
Lembaga Penyelidik Undang-undang ,Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1998 (Akta 585) (hingga 30 September 2000), International Law Books Services 2000

Mahmud Saedon A. Othman, Institusi Pentadbiran Undang-undang & Kehakiman Islam, DBP Kuala
Lumpur 1998

Mohamad Hashim Kamali, Terjemahan -Hukuman Dalam Undang-undang Islam; Suatu Penelitian
Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu,Ilmiah Publishers 2003

Mohd Azlim Zainury, Brunei Mampu Jadi Model Hudud,Sinar Harian, 2 Mac 2014

The Malaysian Insider, Pelaksanaan Hudud Brunei Tidak Mungkin Ditiru di Malaysia- Sun, Mar 2, 2014

Wartawan Sinar Harian , Akta Mahkamah Syariah 1965 Jadi Penghalang? , Sinar Harian, 17 November
2013

13

View publication stats

You might also like