You are on page 1of 1

Keropok lekor atau keropok batang merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur

Semenanjung Malaysia, khususnya di Terengganu yang terkenal. Perkataan "Lekor" bermaksud


"Lingkar" dalam bahasa Melayu Terengganu yang menggantikan ejaan "ar" kepada "or" di akhir suku
kata. Oleh itu maksud Keropok Lekor ialah Keropok yang berlingkar. Keropok diperbuat daripada isi
ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan
tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus
didalam air panas.

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya
dengan iodin semulajadi.

Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang
pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor di beberapa negeri lain selain
Terengganu.

Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih
lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat sejuk beku bagi
mengelakkan baunya mencemari makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan
direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok berasa tawar.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi
bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji
biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk.
Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk
selepas digoreng.

Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor
yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan
keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang
apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

You might also like