You are on page 1of 1

Keropok lekor merupakan salah satu makanan tradisional negeri Terengganu.

Merupakan makanan jenis kudapan yang selalunya dihidangkan ketika minum


petang di negeri Terengganu. Keenakan rasanya menjadikan ia satu makanan yang
popular di kalangan rakyat Malaysia khususnya di Terengganu. Ini dapat dibuktikan
dengan deretan bas dan kereta yang berkunjung ke gerai-gerai yang menjual keropok
pada musim cuti persekolahan dan cuti-cuti umum yang lain apabila rombongan
dari luar negeri Terengganu datang.

Bagaimana perkataan "keropok" terhasil? Kisahnya bermula puluhan tahun yang


dulu, di mana para nelayan mendapat hasil laut yang banyak. Hasil tangkapan ikan
yang banyak membuatkan penduduk di tepi pantai mencipta satu makanan yang
baru. Makanan yang pada asalnya tiada nama dan diberikan nama sempena cara
pembuatannya. Pada zaman awal pembuatan keropok, orang kampung
menggunakan isi ikan dicampur dengan tepung sagu. Apabila kedua-dua bahan
dicampur dan diuli, adunan tersebut dihempuk-hempuk dan menghasilkan bunyi
"kelepok". Lama-kelamaan, perkataan "keropok" digunakan dan dijadikan nama
kepada hidangan istimewa ini.

Seperti sedia maklum, terdapat dua jenis keropok di Terengganu. Keropok lekor dan
keropok keping. Keropok keping dihasilkan dengan cara memotong nipis adunan
ikan dan dijemur di tengah panas untuk menghasilkan keropok segera yang boleh
disimpan pada tempoh yang lama. Cuma perlu digoreng dengan minyak yang panas
dalam masa kurang 5 saat, hidangan keropok keping tersedia dan boleh dimakan
begitu sahaja atau pun dengan sos cili.

Bagaimana pula dengan keropok lekor? Bagaimana perkataan "lekor" terhasil?


Selepas adunan ikan siap, adunan tersebut digentel untuk menjadikannya panjang
seperti sosej. Tetapi pada zaman dahulu, ada sesetengah yang menggentel keropok
menjadikannya panjang lebih kurang 3 kaki. Keropok yang panjang ini dilingkarkan
seperti menggulung tali untuk disimpan. Perkataan "lekor" adalah dari perkataan
"lingkar" yang disebut dalam dialek Terengganu. Maka terjadilah perkataan
"keropok lekor" yang kita santap ketika minum petang bersama teh 'o'.

You might also like