You are on page 1of 1

Dasar-dasar ekonomi secara keseluruhannya ialah tapak, panduan falsafah, peraturan dan

cara mencapai sesuatu matlamat ekonomi negara. Dasar ekonomi juga merujuk usaha
untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan mundur kepada maju dalam
pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). Pada peringkat awal,
terutama sebelum tahun 1971, sebahagian besar program pembangunan ekonomi negara
bertumpu kepada usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang diukur melalui
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertambahan dalam pendapatan per kapita.
Sememangnya dari setahun ke setahun, kedua-dua unsur ini menunjukkan peningkatan.
Namun, masih berlaku masalah kemiskinan dan penguasaan sektor ekonomi tidak
seimbang antara kaum. Misalnya, jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan
golongan miskin masih terlalu besar, monopoli sektor ekonomi oleh sesebuah kaum masih
ketara dan masalah pengangguran dalam kalangan penduduk yang menyebabkan gejala
sosial sering berlaku.

Program pembangunan ekonomi perlu dirancang bagi memastikan seluruh rakyat


memperoleh keperluan asas ( makanan, pakaian dan tempat tinggal ) dan keperluan-
keperluan besar lain seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan hak-hak kemanusiaan.
Selain itu, ringkasnya dapat dirumuskan bahawa strategi pembangunan ekonomi negara
selepas merdeka adalah untuk mencapai pembangunan yang seimbang bagi semua sektor
ekonomi, perpaduan kaum dan kestabilan politik.

Selepas tragedi 13 Mei 1969 , sebagai sebuah negara yang tergolong dalam kumpulan
Negara Dunia Ketiga ketika itu Malaysia sedang merancang pelbagai pembangunan
ekonomi bagi membolehkan negara ini mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (New
Industrialised Country). Hal ini kerana, kebanyakan negara maju di Barat yang tergolong
dalam kategori negara dunia pertama ialah sebuah negara perindustrian. Justeru, negara-
negara Dunia Ketiga termasuk Malaysia ketika itu merancang pelbagai program
pembangunan terutama dalam sektor industri untuk mencapai tahap atau status seperti
negara-negara Barat.

Justeru, beberapa buah dasar digubal dan diaplikasikan di negara ini. Antaranya ialah
dasar-dasar yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi negara. Pembentukan
dasar-dasar ini penting kerana bukan sahaja bermotifkan perpaduan rakyat, malahan
mencakupi semua aspek kehidupan dan kemanusiaan dalam negara. Dasar-dasar ini juga
dibentuk dengan mengambil kira setiap peringkat umur, kaum, taraf sosial dan agama
supaya lahir sikap bertolak ansur, berperikemanusiaan, bertanggungjawab dan nilai-nilai
murni yang lain dalam kehidupan. Sejajar dengan itu juga, dasar-dasar yang berkait dengan
pembangunan sosial turut diperkenalkan.

You might also like