You are on page 1of 6

1.

0 Pengenalan

Rancangan pengajaran harian merupakan satu rekod khas yang disediakan oleh guru
sebelum menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pada asasnya,
rancangan pengajaran merupakan catatan mengenai perancangan yang berkaitan sesi
pengajaran. Rancangan pengajaran haruslah disiapkan dengan baik dan tersusun sebelum
sesi pengajaran dimulakan. Hal ini kerana, rancangan pengajaran yang sempurna dapat
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan dengan sendirinya menjadikan proses
pengajaran berjalan dengan lancar dan teratur. Bukan itu sahaja, rancangan pengajaran
harian akan mengelakkan berlakunya kesilapan yang boleh mengganggu proses
pengajaran. Antara perkara yang penting dalam penulisan rancangan pengajaran dan
pembelajaran ialah hari, tarikh, Matapelajaran, Kelas, Masa, Tajuk, Objektif, Kemahiran yang
ingin dicapai, Aktiviti dan Refleksi.

2.0Komponen Rancangan Pengajaran Harian

Persediaan mengajar melibatkan tiga peringkat iaitu perancangan mengajar, perancangan


penyampaian pengajaran dan perancangan penilaian.

2.1 Perancangan mengajar

Perancangan adalah proses pertama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Perancangan meliputi aktiviti-aktiviti penentuan topik dan isi yang hendak disampaikan,
kebolehan sedia ada murid-murid serta objektif pengajaran yang hendak dicapai selepas
sesuatu aktiviti pengajaran. Maklumat umum yang perlu diketahui ialah kelas, tarikh, masa,
dan bilangan murid. Kelas merujuk kepada kumpulan murid dalam sesebuah kelas khusus
yang akan menerima pengajaran Guru perlu tahu kelas yang akan diajar kerana kelas yang
berbeza biasanya menunjukkan tahap kognitif kebolehan yang berbeza. Jadi, guru perlu
menitikberatkan tahap dan keupayaan murid semasa merancang pengajaran harian.
Tarikh dan masa pula merujuk kepada tempoh sesuatu pengajaran dilaksanakan di
dalam kelas. Masa atau waktu amat penting pada setiap guru kerana ia membezakan
kesediaan pelajar dan guru perlu merancang aktiviti yang sesuai. Murid biasanya lebih cergas
dan lebih bersedia menerima pelajaran pada waktu pagi daripada waktu tengah hari. Tempoh
waktu pengajaran sama ada satu waktu atau dua waktu berkembar.
Bilangan murid merujuk kepada jumlah bilangan murid dan ia boleh dibahagikan
kepada bilangan murid lelaki dan perempuan.
Seterusnya, tajuk dan topik juga merupakan komponen penting dalam rancangan
pengajaran harian. Tajuk dan topik perlulah dinyatakan seperti yang terdapat dalam
kurikulum. Tajuk dan topik yang hendak disampaikan dalam proses pengajaran dan
kemahirannya haruslah mengikut Dokumen standard Kurikulum Pentaksiran. Sesetengah
mata pelajaran juga dibahagikan kepada bidang-bidang tertentu seperti tilawah Al-Quran
dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

Selain tajuk, guru juga menitikberatkan kemahiran. Kemahiran merujuk kepada


kemahiran tertentu seperti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa inggeris serta
kemahiran generik bestari meliputi kemahiran belajar, berfikir, fasilitator, mentaksir menilai,
teknologi maklumat dan komunikasi.

Komponen seterusnya ialah pengetahuan sedia ada murid. Pengetahuan sedia ada
merujuk kepada pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang sudah ada pada murid
sebelum pelajaran baru yang dirancang oleh guru. pengetahuan ini boleh merujuk kepada
topik-topik yang sudah disampaikan kepada murid sebelum ini, mungkin melalui mata
pelajaran yang berlainan atau tahun yang berlainan, dan juga pengalaman murid sendiri.
Pengetahuan sedia ada sangat penting kerana tanpa menentukan pengetahuan sedia ada
murid, murid tidak mampu memahami topik yang diajar oleh guru. Murid-murid tidak akan
boleh belajar dengan berkesan sekiranya mereka tidak diajar menulis perkataan sebelum
mereka menguasai kemahiran menulis huruf abjad. Demikian juga bagi murid-murid yang
belum menghafal sifir darab dengan betul diajarkan dengan operasi bahagi. Oleh itu, dalam
usaha menyediakan isi pengajaran untuk disampaikan dengan berkesan, guru haruslah
menentukan kebolehan murid yang sedia ada terlebih dahulu.

Guru perlu merujuk dokumen standard kurikulum pentaksiran dalam merangka


rancangan pengajaran harian. Dokumen standard kurikulum pentaksiran menyediakan dua
standard iaitu standard kandungan dan standard pembelajaran. Standard kandungan
merupakan pernyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan
dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard
pembelajaran pula merupakan penetapan kriteria atau penunjuk kualiti pembelajaran yang
boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Bagi komponen objektif pula, objektif terbahagi kepada dua iaitu objektif umum dan
objektif khas. Objektif umum merupakan pernyataan pencapaian jangka panjang tentang apa
yang akan diperolehi dan dikuasai oleh murid setelah melalui proses pembelajaran yang boleh
dijadikan asas penilaian sumatif pada akhir sesuatu jangka masa. Objektif khas pula
merupakan satu pernyataan pencapaian dalam tempoh waktu pengajaran dan pembelajaran
seperti yang tercatat dalam jadual waktu tentang apa yang akan diperolehi dan dikuasai oleh
murid setelah melalui proses pembelajaran yang boleh dijadikan asas penilaian formatif dan
sumatif.
Objektif sangat berkait rapat dengan hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran
merupakan satu pernyataan yang menetapkan apa yang murid akan tahu (isi kandungan)
atau boleh lakukan (kemahiran) sebagai hasil daripada aktiviti pembelajaran. Hasil
pengajaran biasanya ditunjukkan dalam bentuk pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Berikutnya, penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada


pemilihan strategi yang sesuai dengan tujuan untuk memperolehi hasil pencapaian objektif
pengajaran dalam peringkat optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh
ditentukan berdasarkan kaedah dan teknik pengajaran seperti kaedah demonstrasi,
penyoalan, perbincangan dan lain-lain. Di samping itu, kaedah keseluruhan kelas, kaedah
kumpulan dan kaedah individu juga harus diambil kira semasa menentukan strategi
pengajaran dan pembelajaran.

Antara komponen terpenting dalam rancangan pengajaran harian ialah penerapan


nilai, penggabungjalinan dan penyerapan dan rentasan. Penerapan nilai merupakan nilai-
nilai murni yang ingin diterapkan kepada murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Antara contoh nilai yang perlu diterapkan ialah nilai bersungguh-sungguh,
bekerjasama dan sebagainya. Penggabungjalinan pula ialah proses mengintergrasikan
berbagai-bagai kemahiran untuk menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan
menyeluruh serta mengelakkan bosan dalam satu pengajaran dan pembelajaran. Penyerapan
dan rentasan pula ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai murni, kemahiran
berfikir dan kemahiran bernilai tambah dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh
menyerap maklumat daripada matapelajaran lain bagi memastikan murid memahami tajuk
yang diajar.
Komponen yang seterusnya ialah pemilihan sumber. Pemilihan sumber dalam proses
penyampaian merujuk kepada penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan
bahan bantu dapat membentuk konsep yang tepat daripada isi pelajaran yang sedang
disampaikan dengan menggunakan prinsip pengajaran daripada konkrit kepada abstrak. Guru
perlu kreatif dalam menyediakan bahan sumber seperti gambar, carta, kad imbasan atau
menggunakan teknologi komputer dan sebagainya bagi mewujudkan suasana yang menarik.
guru juga perlu bersikap kreatif bagi memilih sendiri isi pelajaran daripada sumber-sumber
lain sebagai bahan tambahan. Bahan-bahan ini boleh secara maujud atau tidak maujud.

Penentuan strategi sangat berkait rapat dengan penentuan masa. Penentuan masa
dalam sesuatu waktu pelajaran biasanya diagihkan kepada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran seperti set induksi, penyampaian guru, aktiviti guru dan murid, aktiviti
pembelajaran murid serta penutup. Guru perlu merancang strategi dan mengambil kira
pembahagian masa supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan
sempurna. Masa perlu banyak diperuntukan kepada pelajar kerana proses pengajaran dan
pembelajaran pada abad ke-21 berorentasikan murid. masa yang diperuntukan bagi guru
mengajar hendaklah dikurangkan seboleh-bolehnya tidak melebihi satu pertiga daripada
waktu pelajaran.

Pemeringkatan isi juga merupakan komponen yang penting dalam rancangan


pengajaran harian. Dalam proses penyampaian, isi pelajaran yang telah dipilih hendaklah
disampaikan mengikut urutan yang sesuai. Tujuan utama menyusun isi pelajaran mengikut
prinsip-prinsip pengajaran adalah untuk memudahkan serta mempertingkatkan kefahaman
murid-murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara prinsip-prinsip bagi
penyampaian isi ialah daripada mudah kepada kompleks, daripada dekat kepada jauh,
daripada konkrit kepada abstrak, daripada pengetahuan sedia ada kepada pengetahuan baru
yang hendak dipelajari dan daripada kemahiran sedia ada kepada kemahiran baru yang
hendak dipelajari.

2.2 Perancangan penyampaian pengajaran

Terdapat tiga komponen utama dalam perancangan penyampaian pengajaran iaitu set
induksi, langkah perkembangan dan penutup. Dalam merancang kedua-dua komponen ini,
beberapa perkara lain perlu difikirkan dan diambil kira oleh guru seperti kaedah dan teknik
pengajaran serta pembelajaran yang sesuai, masa, pemeringkatan isi, pemilihan dan
penyediaan sumber, bahan dan alat serta aktiviti yang sesuai.

Set induksi merupakan kaedah atau cara seseorang guru memulakan pengajaran. Set induksi
yang baik akan dapat menarik perhatian murid kepada pelajaran, bersedia menerima
pelajaran baru dan menggalakkan pembelajaran murid. seseorang guru perlu merancang set
induksi yang kreatif, menarik dan berkaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
guru boleh menjalankan set induksi dengan pelbagai cara seperti menggunakan alat atau
bahan bantu mengajar, bersoal jawab dan mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada atau
isi pelajaran lepas. masa yang digunakan bagi set induksi biasanya adalah antara tiga hingga
lima minit. Set Induksi boleh dilakukan dengan beberapa cara. Antaranya ialah menstruktur
objektif pengajaran yang ingin dicapai. Struktur ini membolehkan murid mengurus pemikiran
mereka dan mengintegrasikan dengan idea atau kandungan pelajaran yang baru. Guru juga
boleh merumuskan pelajaran lalu supaya ada kandungan dan idea baharu tersebut ada kaitan
dengan pelajaran lalu. Guru juga boleh kemukakan isu yang berkaitan dengan topik dan
meminta murid untuk meyenaraikan tentang apa yang murid ingin tahu mengenainya.

Selepas menyediakan murid kepada pelajaran melalui set induksi, guru meneruskan
pelajaran dengan menyampaikan isi kandungan sebenar kepada murid menerusi langkah-
langkah perkembangan. Guru perlu jelas tentang tujuan setiap lungkah yang dipilih agar aliran
idea menjadi tersusun dan berurutan. Guru boleh menggunakan model empat langkah
penyelesaian masalah polya yang bermula dengan mendefinasikan masalah, menjana jalan
penyelesaian, menilai dan memilih alternatif, melaksana dan menyemak. Dalam fasa
perkembangan isi, guru dan murid akan meneroka kandungan pelajaran menggunakan
pelbagai kaedah dan teknik. Guru perlu memilih kaedah dan teknik yang melibatkan
penglibatan murid secara aktif dalam proses pembelajaran. Bukan itu sahaja, guru juga perlu
menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan membuat penilaian kendiri terhadap tahap
penguasaan mereka. Guru boleh mengakhiri fasa perkembangan dengan melakukan kuiz
atau latihan bertulis supaya dapat menilai kefahaman murid sepanjang fasa perkembangan.

Langkah terakhir dalam komponen perancangan pengajaran adalah fasa penutup.


Fasa ini bertujuan untuk mengikat semua yang telah dipelajari dalam waktu ini. Antara cara
untuk melakukan penutup ialah melaksanakan sesi soal jawab dengan meminta pelajar
mengemukakan soalan-soalan yang dapat mengukuhkan pemahaman mereka. Seterusnya,
merumuskan isi-isi penting dengan mengaitkan konsep yang dipelajari dengan konsep yang
lebih besar. Bukan itu sahaja, guru juga perlu nyatakan tentang perkara yang akan dipelajari
dalam kelas akan datang secara ringkas supaya dapat memberi gambaran awal kepada
murid.
Terdapat dua jenis penutup iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif
bertujuan untuk mengukuhkan segala isi pelajaran dan kemahiran yang telah dipelajari
melalui pernyataan rumusan atau kesimpulan pelajaran manakala penutup sosial pula
bertujuan untuk memberi motivasi yang dapat menyentuh perasaan pencapaian objektif
kepada murid-murid supaya mereka ingin terus belajar.
Persediaan penilaian

Guru boleh melakukan penilaian kendiri dengan melakukan refleksi. Refleksi merupakan alat
untuk membantu guru agar menjadi lebih baik. Dengan melakukan refleksi serta membuat
penilaian ke atas sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah berlalu, guru akan
memperoleh celik akal tentang bentuk-bentuk tindakan yang akan diambil apabila
menghadapi masalah pengajaran pada masa akan datang. Guru seharusnya mencatat
refleksi ke dalam jurnal pengajaran sebaiknya dilakukan tanpa menangguhkan kerana seperti
murid guru juga akan berkecenderungan untuk lupa. Guru boleh menilai diri sendiri dengan
melakukan kaedah penyoalan untuk mencatat refleksi. Antara contoh soalan yang mungkin
membantu adalah seperti “Adakah proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan
baik?” “Apakah kaedah dan teknik lain yang boleh saya gunakan” dan “Adakah murid terlibat
secara aktif” dan sebagainya.

Penutup

Rancangan pengajaran merupakan satu dokumen perancangan pengajaran yang harus


disediakan oleh guru sebelum proses pengajaran dan pembelajaran. Persediaan mengajar
yang disediakan dengan baik akan membantu guru dalam melaksanakan pengajaran bagi
mencapai objektif yang ditetapkan dan memastikan aktiviti di dalam kelas berjalan dengan
teratur. Rancangan pengajaran harian juga menjadi asas penilaian kualiti pengajaran
pembelajaran dan merancang tindakan susulan untuk melaksanakan penambahbaikkan
pengajaran dan pembelajaran.

Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada
pembelajaran pelajar. Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh
pengajaran guru sepanjang tahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan murid. Isi
kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak
sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan.

You might also like