You are on page 1of 13

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/320858903

Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya: Cabaran dan Harapan

Conference Paper · September 2017

CITATIONS READS

0 13,513

2 authors:

Ab Halim Tamuri Nur Hanani Hussin


National University of Malaysia Ministry of Education, Malaysia
78 PUBLICATIONS   233 CITATIONS    6 PUBLICATIONS   2 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Quran Education for Special Children: Teacher as Murabbi View project

Ensiklopedia Pendidikan Islam View project

All content following this page was uploaded by Nur Hanani Hussin on 05 November 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PEMBELAJARAN ABAD KE 21 DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA:
HARAPAN DAN CABARAN1

Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri


Rektor,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Dr. Nur Hanani Hussin


Bahagian Pendidikan Islam,
Kementerian Pendidikan Malaysia

ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan membincangkan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 dalam konteks
kepelbagaian budaya di negara ini khususnya dan dunia amnya. Pembelajaran Abad Ke 21(PA21) antaranya
bertujuan mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik di dalam usaha memupuk sikap positif
dan timbul rasa hormat terhadap perbezaan etnik, bangsa, budaya. Nilai pelbagai budaya seharusnya
difahami sebagai satu set nilai yang berjalan dalam masyarakat Malaysia. Semua murid yang berbeza
daripada aspek etnik, keturunan, bahasa, adat resam dan budaya mendapat pendidikan yang adil dan sama
rata. PA21 menekankan lima daripada enam aspirasi murid menyentuh pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, etika dan kerohanian dan identiti nasional. Dalam era globalisasi, pengurusan jurang
generasi perlu diuruskan dengan baik supaya ia berupaya memberikan kesan positif terhadap cara
komunikasi guru yang berkesan malah dapat memupuk motivasi dalam murid untuk belajar. Empat cabaran
utama yang dihadapi ialah isu Islamophobia, hubungan yang renggang antara murid Islam dan bukan Islam,
budaya generasi abad ke 21, dan jurang persepsi dan ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran. PA21 dalam
kepelbagaian budaya merupakan satu strategi dan perspektif baharu untuk memahami variasi pelajar dari
masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang budaya. Usaha bertujuan membina identiti nasional iaitu
rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional dan berpegang
teguh dengan prinsip Rukun Negara.

1Kertas Kerja Ucaputama Seminar Pedagogi Antarabangsa ke-8 (PEDA8) anjuran IPG Ilmu Khas, Kuala
Lumpur, Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada
19 September 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, Malaysia.

1
PENDAHULUAN

Secara umumnya, dalam zaman ledakan globalisasi, pengaruh media massa dan juga media
sosial adalah amat besar ke atas generasi muda, khususnya golongan murid dan remaja.
Berbanding dengan generasi terdahulu, proses pendidikan, sosialisasi dan kematangan
pada masa kini berlaku dengan keadaan yang berbeza-beza berdasarkan kepada faktor
persekitaran dan budaya yang ada. Kewujudan bahan-bahan dari dalam atau luar negara
menerusi lawan web dan berbagai aplikasi media sosial yang ada telah menimbulkan
masalah yang besar kepada perkembangan msayarakat khususnya dalam kalangan remaja
masa kini. Keadaan ini menjadi lebih serius kepada mereka akibat kesibukan ibubapa yang
menyebabkan mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada pendidikan anak-anak
dan mereka secara bebas melayari laman-laman web tanpa pemantauan, bimbingan dan
kawalan yang sesuai. Dalam pendidikan pula, impak yang paling jelas ialah perubahan cara
dan pendekatan pengajaran guru-guru kerana situasi pada masa kini juga telah merubah
pengajaran dan kesannya kaedah pembelajaran murid-murid. Maka, keadaan ini
memberikan pengaruh yang besar kepada pelaksanaan kurikulum sistem pendidikan yang
ada dan proses kemenjadian murid-murid.

PEMBELAJARAN ABAD KE 21

Pendidikan masa kini bukan hanya untuk melahirkan warganegara yang baik tetapi lebih
memfokuskan kepada warganegara global yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan
motivasi untuk menangani isu-isu kemanusiaan dan persekitaran. Dalam konteks Malaysia
pula khususnya, Pembelajaran Abad Ke 21(PA21) dalam kepelbagaian budaya adalah
untuk mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik di Malaysia agar dapat
menghapuskan prasangka dan streotaip kaum dalam usaha memupuk sikap positif dan
timbul rasa hormat terhadap perbezaan etnik, bangsa, budaya. Nilai pelbagai budaya
seharusnya difahami sebagai satu set nilai yang berjalan seiring dalam sistem sosial
sesebuah masyarakat.
Dalam Panduan Pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21 (2017), terdapat kemahiran-
kemahiran kritikal yang seharusnya dikuasai dalam PA21 yang dikemukakan oleh
Persatuan Pendidik Amerika menyatakan terdapat empat kemahiran spesifik yang paling
penting iaitu kemahiran pemikiran kritikal, komunikasi, kolaborasi, dan kreativiti
(4C). Dinyatakan juga, menurut James (2017) kebelakangan ini terdapat pula usaha untuk
menambah 2C dalam PA21 iaitu kewarganegaraan (citizenship) dan karektor (character).
Selain, panduan tersebut juga merujuk kepada Model Osler dan Starkey (2005) yang
menjelaskan dalam aspek kewarganegaraan seorang pelajar seharusnya tahu peranan
masing-masing sebagai warganegara berhubung soal status, hak, amalan dan kompetensi.

2
Manakala dalam aspek pembangunan karektor pula, PA21 diharapkan mempunyai
kebolehan dan kemahiran untuk memimpin dan berkolaboratif dengan orang lain.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-dalam Anjakan 3:
Melahirkan rakyat yang menghayati nilai menjelaskan “Murid hari ini akan mewarisi dunia
yangpenuh dengan cabaran hebat, daripada kemusnahan alam sekitar hinggalah kepada
konflik bersenjata. Untuk berjaya mengharungi segala cabaran ini murid bukan sahaja
perlu memiliki kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti, belas
kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan
beretika. Pada masa yang sama, pembangunan warganegara yang global perlu diimbangi
dengan pembangunan identiti nasional yang kukuh.
Dengan demikian, setiap murid meninggalkan alam persekolahan sebagai seorang
warga global yang telah dipupuk dengan nilai teras sejagat dan memiliki identiti nasional
yang utuh. Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian, yang
seterusnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela;
penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik; menghindari perbuatan rasuah
dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti. Selain itu, setiap
murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka,
atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar, serta negara (Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, 2012).

KONSEP KEPELBAGAIAN BUDAYA

Al-Quran secara jelas menyatakan manusia dijadikan daripada pelbagai kaum dan
kelompok dengan tujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kepelbagaian
budaya merupakan konsep atau idea yang berkaitan kepercayaan, pengakuan dan
pengiktirafan terhadap keanekaragaman dan unsur kepelbagaian budaya dan etnik yang
wujud yang mempengaruhi gaya hidup, pengalaman sosial dan identiti peribadi sesuatu
bangsa. Kepelbagaian budaya merangkumi pemahaman, penghargaan dan penilaian
terhadap budaya seseorang dan etnik masyarakat. Penilaian ini bukan bermakna bersetuju
dengan budaya berkenaan tetapi melihat bagaimana anggota sesuatu komuniti etnik
mengekspresikan nilai-nilai budaya mereka dan penerimaan bangsa lain terhadap
kebudayaan tersebut (Noraini, 2015).
Dengan itu, konsep kepelbagaian budaya adalah konsep pendidikan yang memberi
peluang pendidikan kepada semua murid yang berbeza daripada aspek etnik, keturunan,
bahasa, adat resam dan budaya untuk mendapat pendidikan yang adil dan sama rata dan
berinteraksi serta memahami setiap rakan dalam bilik darjah dengan baik. Hal ini dapat
dicapai dengan apabila PA21 menekankan lima daripada enam aspirasi murid menyentuh
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian dan identiti
nasional.

3
Penekanan konsep kepelbagaian budaya dalam PA21 adalah untuk memupuk etika
dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi
dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak
membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang
kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat
untuk membentuk individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan
komuniti dan negara.

GENERASI PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Dalam era globalisasi, murid boleh mendapatkan informasi dan ilmu di hujung jari dengan
mengakses internet di mana sahaja. Hal ini menjadi cabaran kepada guru yang tidak
melengkapkan diri mereka dengan ilmu komunikasi menggunakan teknologi. Ini
bermaksud akan terdapat jurang generasi yang lebar dan luas antara guru dengan murid
jika guru-guru tidak menguasai teknologi terkini dalam pendidikan. Dalam usaha mencapai
matlamat pendidikan, pengurusan jurang generasi perlu diuruskan dengan baik di dalam
bilik darjah untuk memahami perbezaan dan persamaan di antara generasi supaya ia
berupaya memberikan kesan positif terhadap cara komunikasi guru yang berkesan malah
dapat memupuk motivasi dalam murid untuk belajar (Nur Hanani 2015).
Dalam membincang isu ini, kita perlu melihat kepada konsep dan pemikiran setiap
tahap generasi yang ada kerana ianya memberiakn kesan kepada perkembangan budaya
dan cara hidup mereka. Dalam hal ini, kita boleh merujuk kepada pandangan Tapscott
(2008) yang membahagikan demografi manusia kepada beberapa kelompok berikut: (i)
Pre Baby Boom (lahir pada 1945 dan sebelumnya), (iii) The Baby Boom (lahir antara 1946
– 1964), (iii) The Baby Bust / Generasi X (lahir antara 1965 – 1976), (iv) The Echo of the
Baby Boom / Generasi Y (lahir antara 1977 – 1997), (v) Generation Net / Generasi Z (lahir
antara 1998 hingga 2009) dan (vi) Generation Alpha / Generasi A (lahir pada 2010).
Dengan demikian, jika seorang guru generasi X yang lahir pada tahun 1966 (berusia 50
tahun pada 2016) dan mengajar murid generasi Z yang lahir pada 2001 (berusia 15 tahun
pada 2016) sememangnya terdapat jurang generasi yang luas antara mereka untuk
disepadankan.
Perbezaan ini tidak hanya disandarkan pada perbezaan luaran semata-mata bahkan
melibatkan cara pemakaian, cara berkomunikasi dan cara bertutur, tetapi ia turut
melibatkan soal yang lebih abstrak, iaitu makna diri generasi itu sendiri. Perbezaan antara
generasi perlu diuruskan dengan penuh bijaksana kerana setiap generasi mempunyai
kelainan dan perbezaan kepercayaan, nilai, budaya, perspektif, kegemaran, kemahiran dan
personality. Perbezaan atau jurang dapat dikurangkan jika setiap generasi berusaha
memahami ciri-ciri perbezaan dan berusaha membangunnya untuk kejayaan bersama.

4
Menurut Tapscott (2008), generasi Z adalah golongan yang dilahirkan tahun 1998
hingga 2009. Generasi Z adalah generasi teknologi. Mereka telah mula melayari internet
dan web seiring dengan usia mereka sejak mereka masih belum bercakap. Generasi Z telah
dibimbing dan digalakkan oleh ibu bapa menggunakan dunia laman sosial sejak kecil lagi.
Dengan kata lain, generasi Z membesar di dalam dunia yang semuanya berhubung
menerusi teknologi sejak dari awal lagi. Disebabkan mereka lebih mesra untuk
berkomunikasi secara maya, generasi ini dikatakan kurang mempunyai kemahiran
komunikasi serta kurang kemahiran interpersonal. Apakah akan wujud satu budaya baru
serta nilai-nilai terkini yang dibina untuk mereka? Ini adalah cabaran yang utama dihadapi
dalam menghadapi generasi dibesarkan dalam dunia di era media sosial.
Pada zaman ini murid boleh mendapatkan informasi dan ilmu di hujung jari dengan
mengakses internet di mana sahaja. Hal ini menjadi cabaran kepada guru yang tidak
melengkapkan diri mereka dengan ilmu komunikasi menggunakan teknologi. Ini
bermaksud akan terdapat jurang generasi yang lebar dan luas antara guru dengan murid
jika guru-guru tidak menguasai teknologi terkini dalam pendidikan.
Cabaran untuk memahami generasi ini dan bagaimana guru-guru dapat
berkomunikasi dengan berkesan dengan mereka di dalam dan luar sistem pendidikan.
Dengan budaya berbeza dan pemikiran yang berlainan, maka adakah guru mampu
membawa kefahaman beliau dengan realiti semasa murid-murid. Generasi digital ini
sangat mahir dengan semua gajet terkini seperti alat-alat komunikasi dan telefon bimbit
berinternet namun persoalannya ialah adakah ianya semakin memantapkan
perkembangan remaja atau meruntuhkan pemikiran dan cara mereka bertindak dalam
menangani sesuatu perkara.

CABARAN PEMBELAJARAN ABAD KE 21 DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA

Keperluan pendidikan di abad ke 21 ini memerlukan satu lonjakan dan paradigma baharu
kerana kepelbagaian budaya dan kerencaman cabaran yang perlu dihadapi. Malah, dasar
global langit terbuka atau globalisasi telah membuka semua ruang dan peluang kepada
remaja untuk menerima apa juga bentuk pengaruh sama ada positif atau negatif. Pada
abad ini, ledakan informasi menjadikan Malaysia mengalami kemajuan yang dramatik
dalam berbagai aspek kehidupan. Pendekatan positif dan suasana kondusif dengan murid-
murid perlu diwujudkan agar mereka dapat menerima maklumat, informasi, pandangan
dan idea melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Terdapat
beberapa cabaran PA21 dalam kepelbagaian budaya antaranya:
Pertama, isu Islamophobia dan prasangka terhadap orang Islam dalam kalangan
orang bukan Islam menjadi semakin ketara selepas peristiwa 11 September 2001. Malah
orang Islam telah dianggap sebagai pengganas. Prasangka buruk bukan hanya kepada
orang Islam sahaja tetapi juga menyentuh soal agama Islam itu sendiri. Prasangka ini

5
berlaku kerana masyarakat bukan Islam di Barat bahkan di Malaysia sendiri tidak
mendapat penerangan yang jelas terhadap kesucian ajaran Islam. Hal ini kerana sumber
dan saluran media barat memberi gambaran yang buruk dan berat sebelah terhadap umat
Islam dan agama Islam.
Kedua, menurut Mior Khairul Azrin (2011) terdapat hubungan yang renggang
antara murid Islam dan bukan Islam, kurangnya pergaulan antara murid Islam dan
murid bukan Islam terutama selepas waktu sekolah, kurangnya pengetahuan dan tidak
memahami dengan mendalam mengenai budaya, amalan, dan adat resam sesuatu kaum.
Permasalahan hubungan yang renggang ini mungkin disebabkan murid tidak memahami
konsep bersosialisasi dalam Islam. Bahkan sebagai pelaksana kurikulum, guru seharusnya
meneliti setiap budaya murid-murid dan mempunyai pengetahuan mendalam terhadap
murid untuk meningkatkan prestasi pengajaran mereka. Hal ini selaras dengan kajian oleh
Abdul Razaq et al. (2010), berkaitan kepelbagaian pelajar dan sekolah: satu kajian kes di
negeri Pahang menunjukkan bahawa pelajar masih lagi mempunyai perspektif yang
sederhana dan tidak memuaskan tentang konsep kepelbagaian budaya yang wujud di
sekolah. Hal ini berlaku kerana pihak sekolah dan guru kurang memberikan pendedahan
dan dorongan kepada pelajar dalam menerima kepelbagaian di sekolah. Dalam
melaksanakan PA21 ini, terdapat beberapa isu penting yang berkaitan dengan budaya
sesuatu komuniti atau masyarakat yang perlu diberikan perhatian khususnya dalam
masyarakat yang multi etnik dan multi agama.
Ketiga, budaya generasi abad ke 21 mengakses and melayari media baru yang
semakin berkembang setiap masa. Mengikut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2015,
terdapat 10.4 juta orang pengguna aktif Facebook, 3.5 juta orang pengguna twitter dan 5.6
juta orang yang menjadi pengguna Instragram. Selain itu, data juga menunjukkan bahawa
21.9 juta (73%) penduduk Malaysia menggunakan aplikasi Whatsapp yang secara nisbah
dengan jumlah penduduk adalah yang ketiga tertinggi di seluruh dunia. Malah, data juga
menunjukkan 19.2 juta (64%) orang penduduk adalah pengguna internet yang mana
mereka menggunakan 2.8 jam sehari untuk melayari laman-laman web sosial. Selain
dapatan juga menunjukan bahawa 16.5 juta (55%) penduduk Malaysia adalah pengguna
aktif dalam media sosial. (Malaysia Social Media Statistic 2014, 2016). Malah tahap
penggunaan ini dijangka akan meningkat khususnya Facebook dijangka pada tahun 2019
dijangka terdapat 13.2 orang pengguna Facebook di Malaysia (Malaysia number of
Facebook users, 2016).
Kewujudan media sosial kini merupakan cabaran baru dalam dunia pendidikan
kerana ianya telah digunakan secara amat meluas dalam generasi muda. Media sosial yang
popular seperti Facebook, Facebook Messenger, YouTube, Instragram, Whatsapp,
Telegram, Wechat, Google+, Linkedin, Skype, Line telah digunakan secara meluas di negara
ini. Penggunaan media sosial menjadi semakin popular di Malaysia menjadi satu budaya
baru dengan kewujudan alat mudah alih tanpa wayar seperti broadband, Streamyx, P1

6
Wimax dan Unifi semakin meluas dikalangan masyarakat telah berkembang kepada
peningkatan pengguna di negara ini.
Hasil daripada perkembangan dan kemajuan teknologi dan kemudahan asas yang
sempurna, impak budaya media baru bukan sahaja dirasai oleh remaja di kawasan bandar
sahaja, malah ianya turut melibatkan cara dan budaya golongan remaja di kawasan luar
bandar (Ab. Halim 2015). Malah, pihak media sering menggunakan alasan hak dan
kebebesan seperti hak dalam demokrasi, kebebasan bersuara dan juga hak individu bagi
membolehkan mereka melaksanakan berbagai-bagai bentuk rancangan dan program yang
akhirnya telah merosakkan budaya dan cara hidup serta pegangan agama seseorang. Ini
menjadi semakin serius apabila konsep “budaya tanpa sempadan” digunakan bagi
menyebarkan maklumat. Syed Ali Ashraf (1997:1) menyatakan kebimbangan tentang isu
“kebebasan bersuara” ini diawal-awal era perkembangan teknologi maklumat sebagaimana
kenyataannya:

…it [the media] has become a very powerful instrument in the hands of human
beings to cultivate or destroy moral values, to affect and control the minds of
people by those who have the power over these media. In the name of freedom
and human rights, various big and small companies have started putting up
programmes with little censorship or restriction. Whether these programmes
will be good or bad depends on what is meant by good or bad and who
determines what is good and what is evil.

Keempat, cabaran bagi para pendidik untuk menghubungkan jurang persepsi dan
ilmu antara guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran . Tidak dinafikan
bahawa faktor dunia tanpa sempadan dan ledakan globalisasi telah memberikan kesan
yang signifikan dalam pembangunan warga negara serta keberkesanan pelaksanaan sistem
pendidikan di Malaysia. Tempoh pendedahan yang tinggi terhadap media massa dan sosial
memberikan kesan yang negatif terhadap pegangan nilai-nilai akhlak pelajar. Kewujudan
berbagai saluran television, radio dan ditambah pula jutaan laman web menjadi isu dalam
pendidikan remaja khususnya remaja-remaja Muslim. Apa yang jelas terdapat hubungan
yang signifikan antara pendedahan media masa dan sosial dengan perkembangan sosio-
psikologi remaja. Dalam konteks Malaysia, penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat
Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia dan dijangka akan terus meningkat pada
masa akan datang. Kemudahan jaringan internet dan penjualan berbagai alat mudah alih
tanpa wayar yang murah dan mudah didapati menyebabkan penggunaan media sosial
dalam kalangan masyarakat semakin meningkat di negara ini.
Seeloknya, pembelajaran yang berkesan akan dapat memastikan murid-murid
dibangunkan dengan sokongan yang mantap daripada pengajaran guru dalam dan luar
bilik darjah. Apa yang utama ialah keberkesanan Pendidikan Abad Ke-21 ini bukan sekadar
tertumpu pada prasarana dan susun atur bilik darjah tetapi penentu utama kejayaan

7
adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid bukan berpusatkan
guru. Peranan guru semakin mencabar kerana guru perlu menjadi pemudahcara yang
efektif kepada murid dalam sesuatu aktiviti pembelajaran di dalam kelas malah di luar bilik
darjah. Semua lapisan warga pendidikan perlu mempersiapkan diri dengan Pengajaran dan
Pembelajaran Abad ke-21 kerana mereka adalah jentera pelaksana untuk segala dasar dan
kurikulum yang dibangunkan. Secara umumnya dapat difahami bahawa pembelajaran abad
ke-21 merupakan satu bentuk pembelajaran yang memerlukan murid menguasai isi
kandungan sambil menghasilkan, mensintesis dan menilai maklumat daripada pelbagai
mata pelajaran dan sumber-sumber yang luas dengan memahami dan menghormati
budaya berbeza (Mek Nah Bakar, 2016). Ringkasnya, terdapat empat prinsip utama yang
dalam pembelajaran abad ke-21 iaitu:

a. Pengajaran berpusatkan murid


b. Pembelajaran secara kolaboratif
c. Pembelajaran secara kontekstual
d. Intergrasi dengan masyarakat

Berdasarkan boleh dinyatakan bahawa terdapat sepuluh ciri pembelajaran abad ke-
21yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh para pendidik (Tuan Naufal Tuan Khaled,
2017). 10 ciri utama tersebut adalah seperti berikut:

1. Berpusatkan pelajar – Pelajar berperanan penting dan guru sebagai pembimbing


atau fasilitor dan pembelajaran meletakkan minat pelajar sebagai keutamaan
2. Penggunaan komputer – Alat penting untuk kelas abad ke 21 yang sangat
membantu dalam pengajaran dan pembelajaran
3. Pembelajaran aktif – Penglibatan yang lebih aktif sama ada dengan perbincangan
bersama rakan, atau pun penggunaan komputer
4. Pembelajaran kendiri – Kelas boleh berfungsi dengan pelbagai aras pembelajaran
dengan pelajar memainkan peranan yang lebih aktif
5. Persekitaran yang kondusif – Suasana dan persekitaran tidak terlalu sesak dan
peralatan mengajar yang asas seperti papan putih interaktif dan LCD projektor
6. Pelajar faham dan mematuhi arahan – Proses pembelajaran dirancang dengan
teliti dan tersusun berdasarkan kepada peraturan kelas, prosedur dan notis
ditampal di ruang khas bagi memudahkan pelajar sentiasa berada dalam landasan
yang betul
7. Saling hormat menghormati – Keperluan saling hormat menghormati antara guru
dan pelajar dan guru perlu menggalakkan pelajar berucap dengan yakin dan
menghargai pendapat mereka. Pelajar perlu belajar bekerjasama dan menghormati
rakan sekelas

8
8. Pelajar bertanggungjawab terhadap pelajaran mereka – Pelajar digalakkan untuk
terlibat aktif dalam pembelajaran kerana mereka akan lebih bertanggungjawab
dengan pembelajaran mereka.
9. Penilaian berasaskan pencapaian – Guru sentiasa menjalankan penilaian dengan
pelbagai kaedah tanpa terikat dengan sesuatu bentuk ujian sahaja
10. Pembelajaran kolaboratif – Pembelajaran secara berkolaborasi perlu
diaplikasikan kerana ia merupakan kaedah paling berkesan dalam pembelajaran
yang berkesan.

Maka, pendekatan baharu perlu dilaksanakan khususnya dalam kalangan murid-


murid dan pelajar-pelajar di semua peringkat pendidikan. Pakar-pakar pendidikan dari
berbagai bidang telah mengkaji berbagai bentuk konsep baru, amalan pengajaran dan
pembelajaran, pedagogi, strategi, kaedah, pendekatan dan teknik yang boleh diaplikasikan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21.

HARAPAN PA21 DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA

Seharusnya kita perlu kenal-mengenal dan bantu membantu antara satu sama lain agar
kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai. Ini selaras dengan firman Allah
SWT dalam surah al-Hujurat, 49:13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang
lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih
taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan Nya
(keadaan dan amalan kamu)”.

(Abdullah Basmeh 2013)

Sejajar dengan aspirasi murid untuk membina identiti nasional iaitu rakyat
Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional dan
berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara untuk memupuk perpaduan dan masa
depan Malaysia. Setiap murid tanpa mengira etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau
lokasi harus berbangga menjadi rakyat Malaysia. Pencapaian matlamat patriotisme ini
memerlukan semangat keterangkuman tinggi yang diperoleh dengan belajar memahami
perbezaan dan bertolak ansur, menerima dan menghormati orang lain, serta hidup
bersama dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia. Identiti nasional juga memerlukan

9
setiap murid memahami sejarah Malaysia, berkongsi pengalaman dalam dan luar sekolah,
dan berkongsi aspirasi untuk masa depan Malaysia.
Secara lebih spesifik, kepelbagaian budaya di Malaysia menjadi satu peluang bagi
guru Muslim dan pelajar Muslim menampilkan diri sebagai contoh terbaik dalam aspek
personaliti, komunikasi sebagainya kepada murid-murid lain di sekolah. Menyedari hakikat
sebagai khalifah (Al-Baqarah 2: 30) dan hamba untuk beribadat (al-Zaariyat 51:56)
seharusnya mencerminkan diri sebagai ummat terbaik (Ali Imran 3:110) dalam aspek
menyatupadukan negara bangsa ke arah kecemerlangan.

PENUTUP

PA21 dalam kepelbagaian budaya merupakan satu strategi dan perspektif baharu untuk
memahami variasi pelajar dari masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang budaya.
Dengan itu hubungan yang lebih harmoni dapat dapat diwujudkan semasa berinteraksi.
Strategi ini seharusnya dapat membantu para pelajar memahami kepelbagaian budaya
yang ada di negara ini supaya matlamat pendidikan untuk memberi kesedaran kepada
pelajar-pelajar tentang wujudnya pelbagai nilai, budaya, agama dan bangsa dalam
masyarakatnya serta terdapat pula persamaan-persamaan dalam budaya berbagai dapat
dicapai. Cabaran-cabaran dalam mendidik generasi abad 21 yang digalas oleh guru yang
berada di sekolah di setiap ceruk Malaysia adalah untuk membentuk masyarakat yang
majmuk yang telah menjadi landasan kepada UNESCO untuk mengembangkan teras-teras
dalam pendidikan yang asas, iaitu, teras yang keempat: learning to live together. Ini
bermakna, PA21 seharusnya mampu untuk mewujudkan suasana supaya pelajar
merasakan mereka mampu untuk hidup bersama dengan orang lain yang berbeza etnik,
suku, bangsa, bahasa, budaya dan agama agar agenda pendidikan negara `pendidikan
berkualiti, insan terdidik dan negara sejahtera’ dapat dicapai sehinggalah membentuk
`baldatun tayyibatun warabbun ghafur’.

RUJUKAN

Abdullah Basmeih. (2013). Al-Quran al-Karim. Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada


pengertian al-Quran: (30 juz). (Cetakan 22). Kuala Lumpur, Malaysia: Darulfikir
Ab. Halim Tamuri, Salleh Amat dan Zuria Mahmud. 2005. ”Permasalahan Pelajar Fakir
Miskin di Daerah Sabak Bernam”. Jurnal Pendidikan. 30: 21-34.
Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail. 2009. “Hubungan antara pegangan nilai moral dengan
media masa: Tinjauan ke atas remaja Melayu luar bandar”. SARI. 27(1): 199-212.
Ab. Halim Tamuri. 2014. “al-Quran dan Alam sebagai sumber ilmu Sains dalam pendidikan”
dalam Khalijah Mohd Saleh (ed). Pendidikan Islam Beteraskan Tauhid. Bangi:
Penerbit UKM

10
Ab. Halim Tamuri. 2015. “Standardization of Islamic education excellence in the world.”
Kertas kerja dibentangkan di International Seminar Islamic Education in Global
Era” di Institut Agama Islam Negeri Raden Intan Lampung, Indonesia pada28
Disember 2015.
Ab. Halim Tamuri. 2015. “Educating Teacher For Muallaf: The Tawhidic Base”, Jurnal
Hadhari 7 (2): 1-10
Ab. Halim Tamuri, Mariam Abd. Majid, Muhammad Yusuf Marlon Abdullah dan Syarul
Azman Shaharuddin. 2016 “Dakwah Terhadap Kaum Cina Di Malaysia: Peluang
Dan Ancaman” dibentang dalam Persidangan Meja Bulat: Isu-isu Saudara Muslim
Malaysia 2016 di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor pada 5 April
2016
Abdul Rahman Embong, 2000, Wacana globalisasi: Malaysia menangani globalisasi : peserta
atau mangsa?. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Razaq Ahmad, Anisa Saleha, et al. 2010. “Kepelbagaian Pelajar Dan Sekolah:Satu
Kajian Kes Di Negeri Pahang”. Jurnal Pendidikan Malaysia. 35(2): hlm:87-95.
Ab- Dawud, Sulayman ibn al-Asti`ath al-Sijistani, 1989. Sunan Abi Dawud, Vol. 3, Beirut: al-
Maktab al-Isl«m», 1989), pp. 832-833
Francis, L.J. 1997.“The socio-psychological profile of the teenage television addict”. Muslim
Education Quarterly. 15 (1): 6-19.
Al-Faruqi. Ismail R. 1992. Al-Tawḥīd: Its implications for thought and life. Virginia:
International Institute of Islamic Thought.
Ghazali Basri,1980. Kristianisasi Sebagai Sebuah Gerakan Satu Tinjauan Sosiologi. Petaling
Jaya: Budaya Ilmu.
Halstead, J.M., 1996. “Liberal Values and Liberal Education”, in J. Mark Halstead and Monica
J. Taylor (eds.). 1996. Values in Education and Education Values. London: The
Falmer Press.
Hassan al-`Anani, 1990. Freedom and Responsibility in Qur’anic Perspective, translated by
M.S. Kayani, Indianapolis: American Trust Publication.
James Ang Jet Ing. 2017. “Kehendak Pendidikan abad ke-21” dalam Panduan Pelaksanaan
Pendidikan Abad ke-21. 2017. Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan
Malaysia
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab.Halim Tamuri. 2011. Dasar Akidah Muslim. Skudai: Penerbit
UTM.
Mashuq Ally, 1997. “Islam” in Peggy Morgan and Clive Lawton (eds.), Ethical Issues in Six
Religious Traditions, Edinburgh: Edinburgh University Press.
Mek Nah Bakar. 2016. Modul amalan pedagogi dalam pembelajaran abad ke-21. Kuala Lipis:
Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.
Mior Khairul Azrin Mior Jamaluddin. 2011. Sistem Pendidikan Di Malaysia:Dasar,
Cabaran Dan Pelaksanaan Ke Arah Perpaduan Nasional. Jurnal Sosiohumanika
4(1): 2-16.
Mughess-uddin. 1997. “An Islamic Framework of Media Ethics: Problems and Challenges”,
Hamdard Islamicus, Vol. XX (4): 57-67.
National Education Association (NEA), 2010. Preparing 21st century students for a global
society: An Educator Guide for the “four Cs”: http://www.nea.org. /assets/docs/A-
Guide-to—four-C.pdf

11
Norsaleha Mohd. Salleh (2015) Penghayatan akidah, ketenangan hati dan ketenangan
rohani pelajar sekolah menengah kebangsaan di Malaysia. (Tesis Ph.D). Fakulti
Pendidikan, Universiti KebangsaanMalaysia.
Noraini Omar, 2015. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berfokuskan Kepelbagaian
Budaya Murid: Kajian kes di Negeri Sarawak. Tesis Ph.D UKM
Nur Azween Zakaria & Nidzam Sulaiman. 2008.Media Alternatif Sebagai Agen Perluasan
Ruang Bersuara Kajian Kes Pilihan Raya Umum Ke-12. Prosiding Seminar Politik
Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi
MARA.
Nur Hanani Hussin, 2015. Pengajaran Ibadat Dalam Kalangan Guru Cemerlang Pendidikan
Islam. Tesis Ph.D Universiti Kebangsaan Malaysia
Osler, A dan Starkey, H. 2005. Changing cizitenship: Democracy and inclusion in education.
Maidenhead: Open University Press.
Panduan Pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. 2017. Institut Aminuddin Baki, Kementerian
Pendidikan Malaysia
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015. 2012. Kementerian Pendidikan
Malaysia
Syed Ali Ashraf, 1997. “Mass Media Communications, Religion and Education”. Muslim
Education Quarterly. 15(1): 1-3.
Taspcott, Don (2008). Grown Up Digital: How the Net Generation is Changing Your World.
Columbus: McGraw-Hill

Rujukan Laman web

“Malaysia Social Media Statistic 2014” http://blog.malaysia-asia.my/2015/03/malaysia-


social-media-statistics-2014.html

“Malaysia number of Facebook users 2019”,


http://www.statista.com/statistics/490484/number-of-thailand-facebook-users/

Tuan Naufal Tuan Khaled. 2017, “Apakah Pendidikan Abad Ke-21”,


https://www.sistemguruonline.my/2017/03/pendidikan-abad-ke-21.html

12

View publication stats

You might also like