You are on page 1of 3

TEKS SYARAHAN PERPADUAN DI MALAYSIA

Sejambak kasih sekalung budi buat Pengerusi Majlis, panel hakim yang adil lagi
bijaksana, penjaga masa yang setia dengan detik-detik saat yang berlalu dan
mendatang, barisan guru-guru yang dihormati, seterusnya para hadirin yang budiman
penegak perpaduan negara.
Salam sejahtera! Dan Salam Perpaduan!

Petang hari pergi ke pekan,


Pulang membawa sebungkus laksa;
Hidup muhibah perlu diamalkan,
Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Mari kita selami dan mendalami sejenak, dalam kehidupan kita ini, adakah kita
telah benar-benar memahami erti nikmat kebahagian sebenar? Ada orang berkata,
mempunyai wang, kereta, rumah besar bak mahligai, aset serta simpanan yang
banyak, itulah kebahagian. Tapi, adakah itu nikmat kebahagiaan sebenar yang kita
inginkan?

Justeru itu, pada pagi yang berbahagia ini, saya ingin mengajak hadirin yang
budiman untuk bersama-sama menghalusi tajuk syarahan saya iaitu ‘Perpaduan di
Malaysia’.

Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, keamanan bermaksud tenang, damai dan
tenteram, bebas daripada keadaan kacau bilau, peperangan, pergaduhan dan bebas
daripada gangguan yang tidak menyenangkan. Inilah yang ingin kita kecapi melalui
perpaduan.

Hadirin yang dimuliakan,

Malaysia, adalah sebuah negara yang unik dan makmur. Walaupun


penduduknya berbilang bangsa, agama, adat resam dan budaya, namun kita tetap
mampu untuk hidup aman di bawah satu bendera pusaka iaitu Jalur Gemilang. Ramai
pemimpin dunia yang mengagumi keamanan dan kemajuan yang kita kecapi. Kejayaan

1
demi kejayaan yang kita perolehi ini tidaklah datang melayang, dan tidak pula datang
bergolek melainkan hasil daripada perpaduan dan kerjasama pelbagai kaum di
Malaysia.
Hadirin yang dikasihi,

Bersyukurlah kerana kita dilahirkan di Malaysia sebuah negara yang dikurniakan


dengan nikmat keamanan dan kedamaian. Kita beruntung kerana tidak dibelenggu
dengan ketakutan dan kesengsaraan. Masih segar dalam ingatan kita, tragedi yang
berlaku puluhan tahun, Israel dengan rakus dan ganas telah membedil, menceroboh
dan merobek keamanaan sebuah negara kerdil yang bernama Palestin. Ribuan nyawa
awam termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terkorban. Apakah kita
tidak memikirkan apa perasaan ibu bapa mereka tatkala melihat sekujur tubuh anak
mereka di pangkuan, berdarah dan tak bernyawa?! Inilah harga sebenar sebuah
keamanan yang didamba-dambakan. Oh, begitu mahal sekali.

Hadirin yang dikasihi,

Jika di Palestin, bunyi dentuman dan percikan api meragut ratusan malahan
ribuan nyawa, akan tetapi di Malaysia, dentuman dan percikan bunga api ini
menandakan bermulanya perayaan besar seperti sambutan Tahun Baru Cina. Mantan
Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam amanatnya
sempena Tahun Baru Cina 2009 menegaskan bahawa “Negara ini milik kita semua.
Oleh itu, marilah kita berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kesajahteraan ini”.

Hadirin yang budiman,

Hari ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang aman di mata dunia.
Namun, ‘lautan mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan”. Walaupun ada
segelintir pihak yang cuba mewujudkan suasana tidak harmoni dengan menimbulkan
isu-isu sensitif, namun semuanya di murnikan dengan semangat perpaduan rakyat
Malaysia.

2
Hadirin sekalian,

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Sekiranya rakyat negara ini
tidak bersatu, bolehkah dan dapatkah negara kita terus kekal aman sehingga ke hari
ini? “tepuk dada dan tanyalah hati’. Ayuh! Kita pelihara dan jaga bumi Malaysia nan
bertuah ini! Marilah kita satukan tekad kita agar menjadi satu bangsa yang cintakan
perpaduan dan keamanan tanpa mengira bangsa, pangkat, warna kulit dan agama.
Semai dan tanamkanlah benih kemesraan, nescaya akan tumbuhlah pohon perpaduan
di sekeliling kita.

Sebelum kaki melangkah pergi, sebelum bicara ternoktah disini, izinkan saya
menyulam serangkap pantun buat hadirin yang ada di sini.

Cantik bergugus buah mangga,


Masak dipetik satu per satu;
Walaupun berlainan bangsa budaya,
Kerana muhibah hidup bersatu.

Sekian dan terima kasih.

You might also like