You are on page 1of 27

Memantap dan Memartabatkan Bahasa Melayu di Masa Depan

Bahasa Melayu (BM) telah berkembang dari bahasa ibunda (vernakular) ke lingua franca ke bahasa
kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di ruang sejarah negara ini. BM
menjadi alat terpenting proses pembinaan bangsa di dalam rangka perpaduan dan integrasi kebangsaan.
Dari semenjak 1956 BM merupakan bahasa pengantar sekolah rendah dan sekolah menengah Melayu.
Pada 1970 pula dijadikan bahasa pengantar untuk semua sekolah kebangsaan serta jenis kebangsaan
dan pada 1983 disempurnakan di peringkat universiti (IPTA).

Namun perlu disedari bahawa kedudukan pencapaian BM seperti yang dinyatakan diatas, adalah usaha
para pejuang dan pergerakan pertubuhan Melayu. Abdullah Munsyi di dalam Hikayatnya telah
menyatakan perlu ada usaha belajar BM oleh orang Melayu pada masa itu. Raja Ali Haji pula telah
berusaha memulakan kitab-kitab BM melalui Bustan-ul-Kitabin dan Kitab Pengetahuan Bahasa. Za’ba
pula telah menyambung usaha berkenaan melalui Pelita BM dan Ilmu Mengarang Melayu. Walau pun
disedari atau tidak, Za’ba tidak merujuk kepada usaha Raja Ali Haji. Sewaktu Kolej Melayu Melaka (1911-
1921) ditubuhkan seorang pesnyarah kolej berkenaan iaitu Mohd Shah Yusuf telah menulis Senjuh
Suratan untuk digunakan sebagai teks di kolej berkenaan. Usaha Za’ba kemudian disambung oleh Asmah
Haji Omar di dalam Nahu Melayu Muktahir, serta akhirnya oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakan
melalui Tatabahasa Dewan.

Dari segi buku-buku teks, tidak dinafikan peranan para penerbit yang menerbitkan pelbagai buku-buku
berbahasa Melayu. Dari Pejabar Karang Mengarang di SITC, ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
hinggalah ke penerbit swasta dan penerbit universiti. Penerbitan buku-buku BM bukan sahaja mengenai
BM tetapi segala bidang ilmu di dalam BM; termasuk kitab-kitab agama oleh pelbagai penerbit yang
muncul di awal abad ke 20 seperti di Riau, P.Pinang, Singapura, Melaka, Kelantan dan lain-lain. Tidak
terkira juga segala naskah tulisan tangan yang banyak disalin di Alam Melayu di samping pelbagai
penerbitan majalah, surat khabar, serta karya-karya sastera.

Dari segi pergerakan, usaha untuk memoden BM telah dipelopori oleh Pakatan Belajar dan Mengajar
BM Di Raja Johor (1888). Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang menerbitkan
Majalah Guru, Persatuan Sahabat Pena (PASPAM), ASAS 50 menyambung peranan meletakkan asas-asas
kukuh perjuangan BM dan persuratan Melayu. Para inteligensia Melayu mengadakan Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu untuk meletakkan lanskap BM, persuratan dan
kebudayaan Melayu di dalam sebuah negara yang bakal merdeka dan berdaulat. Perjuangan BM,
persuratan dan kebudayaan Melayu dilanjutkan oleh PENA (1960), GAPENA (1970) dan lain pertubuhan
pada masa itu dan masa kini.
Di peringkat institusi pula, selain dari Kolej Melayu Melaka (1911-1921), Sultan Idris Teachers Training
Collage (SITC) pada 1921, Malay Women Teachers Training Collage (MWTC) pada 1935, Jabatan
Pengajian Melayu (1953), kemudian dinaik-taraf kepada Akademi Pengajian Melayu (1992), Maktab
Bahasa (1958) di Bukit Senyum, kemudian di Lembah Pantai (1959), Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) pada 1970. Semuanya di dalam kerangka menjadikan BM, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu
sebagai usaha pendidikan dan pengajian serta menjadikan tapak pembinaan BM sebagai bahasa ilmu.
UKM adalah kemuncak kepada peranan sebuah institusi untuk pembinaan tersebut.

BM sebagai satu science of knowladge bermula bukan sahaja melalui usaha Raja Ali Haji, Za’ba, tetapi
juga munculnya ilmuan dan ahli akademik yang berwibawa dari segi kesarjanaan dan keintelektualan.
Para ilmuan seperti Yunus Maris, Asmah Omar, Nik Safiah, Abdullah Hassan, Raja Mukhtaruddin Dain,
Farid Onn, Hamid Mahmud, Mashudi Kader, Hashim Musa, Awang Sariyan dan lain-lain telah memberi
sumbangan besar kepada pembinaan BM sebagai satu science of knowledge itu.

Akta Perundangan

Payung terbesar dari segi perundangan ialah peruntukan yang terdapat di dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengkanun kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan
bagi Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini menegaskan BM digunakan di semua peringkat rasmi,
khasnya di dalam pemerintahan dan pentadbiran bagi semua negeri di dalam Persekutuan. Ini juga
meliputi seluruh saluran komunikasi serta penyiaran rasmi kerajaan sama ada radio, televisyen dan
apa jua rangkaian yang sehubungan dengannya. Oleh kerana itu, setiap penyiaran dan pengumuman
rasmi oleh semua peringkat kepimpinan eksekutif dan birokrasi mestilah di dalam BM.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 152, terdapat juga Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963
1967, yang disemak dalam 1971 kemudian dikenali Akta A554, Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan dan
Perluasan 1983), yang mengandungi undang-undang terpinda sebagaimana berkuat-kuasa pada 15
Julai 1983. Akta ini menegaskan bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud rasmi. Akta ini di dalam
Perkara 9, memperuntukan tulisan bahasa bahasa kebangsaan adalah tulisan rumi, tetapi tidak
melarang penggunaan tulisan Jawi. Melalui pindaan dan perluasan 1983, segala prosiding dalam
Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa
kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris.
Di bahagian awal Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah dicatatkan bahawa dasar pendidikan
kebangsaan memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Akta yang sama di
dalam Perkara 17 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa-bahasa pengantar utama
di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan
yang ditubuhkan di bawah Seksyen 18 atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh
menteri daripada subseksyen ini.

Di dalam kerangka ini saya berpendapat bidang pengajian tinggi awam juga tidak boleh bercanggah
dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Yang amat menghairankan ialah adanya IPTA yang
secara disedari telah dengan berani mengendalikan kuliah dalam bahasa Inggeris. Alasan yang
diberikan kerana PPSMI. Isu memberi kuliah di dalam bahasa Inggeris sudah berlaku semenjak 1992
apabila Perdana Menteri Mahathir pada masa itu berusaha untuk melonggarkan Dasar Pendidikan
Kebangsaan di IPTA. Sekarang ini, semakin berleluasa apabila ramai pelajar antarabangsa belajar di
pelbagai fakulti di IPTA.

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pada beberapa tahun lalu (2007), telah diarahkan oleh
Naib Canselor Rafiah Salim untuk menukar bahasa pengantar ke bahasa Inggeris. Mulai 2008, 30
peratus dari kursus-kursus ditukar ke Bahasa Inggeris, dan pada 2010 sebanyak 80 peratus. Semua ini
di dalam kerangka untuk mengejar KPI Pengantarabangsaan. Alhamdulillah dengan segala hujah
akhirnya mendapat pengecualian. Isu pengantarabangsaan ini akan menjejaskan kedudukan BM di
IPTA.

Di sudut yang lain terdapat satu institusi yang amat penting di dalam usaha memantapkan BM, iaitu
Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP yang ditubuhkan pada 1956, melalui Ordinan No. 25, 1959, dikenali
Akta 213, Akta 930, Akta DBP (Pindaan dan Perluasan 1995). DBP ditubuhkan dengan tujuan untuk
membangun bahasa kebangsaan dan kesusasteraan kebangsaan serta penerbitan di dalam bahasa
kebangsaan. Bukan sahaja DBP bertujuan meperjuangkan tujuan berkenaan, Lembaga Pengelola DBP
juga mempunyai tugas atau tujuan yang sama; seperti yang dicatat di dalam Perkara 5, (i) untuk
memperkembang, memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan
teknologi, (ii) untuk memperkembangkan bakat sastera khasnya dalam bahasa kebangsaan, (iii) untuk
mencetak dan menerbit buku-buku, majalah-majalah, dalam bahasa kebangsaan, (iv)
menstandardisasikan ejaan dan sebutan dan membentuk istilah-istilah akademik yang sesuai dalam
bahasa kebangsaan.

Peranan DBP bukan sekadar untuk membina dan memperkayakan BM, tetapi berusaha untuk
mempertingkat kedudukan BM sebagai bahasa ilmu. DBP bukan sekadar menerbitkan buku-buku ilmu
di dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi tetapi berusaha menuntut peranan dan
kerjasama dari semua tenaga akademik di dalam akademia.

Di samping DBP, terdapat satu lagi agensi kerajaan yang melaksanakan dasar kebangsaan iaitu Pihak
Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bidang kuasa PBT tertakluk kepada Akta
171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang mengandungi segala pindaan hingga Januari 2006.
Perlaksanaan Akta ini berhubung bahasa kebangsaan tidak boleh bercanggah dengan peruntukan di
dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Perlaksanaan bahasa kebangsaan
meliputi nama jalan, bangunan, dan taman perumahan serta lain-lain premis; dan papan tanda iklan.

Cabaran

Cabaran utama BM sebagai bahasa kebangsaan apabila berhadapan dengan multi-lingualism.


Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak menghalang penggunaan bahasa-bahasa lain, termasuk
bahasa ibunda, (vernakular) yang diamalkan di negara ini. Perlembagaan tidak menghalang penggunaan
dan amalan multi-linguality di negara ini. Hatta pembelajaran bahasa ibunda jika cukup syarat juga tidak
dihalang oleh Akta Pendidikan. Wujudnya sekolah Cina dan Tamil atau Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil
juga tidak dihalang berbanding di negara jiran.

Cabaran yang dihadapi ialah apabila terdapatnya pihak yang tidak mahu menerima guru-guru bukan
Cina untuk mengajar BM di sekolah jenis kebangsaan; atas alasan bahawa guru-guru BM hendaklah
menguasai bahasa Cina. Ini bermakna pihak berkenaan secara halus menolak perlaksanaan bahasa
kebangsaan dan mengutamakan dwi-bahasa; malah pengajaran BM di sekolah berkenaan tidak dalam
BM tetapi di dalam bahasa Cina. Tindakan sedemikian akan melambatkan dan mengurangkan daya
kefasihan para pelajar di dalam BM. Dengan daya kefasihan yang amat sederhana akan mengurangkan
proses interaksi antara kaum intuk mencapai perpaduan nasional.

Persoalan multi-lingualism yang selama ini dibangkitkan oleh beberapa pihak dituntut atas kepentingan
pendemokrasian dan hak asasi manusia. Tanpa mereka sedari bahawa ruang dan lanskap yang
diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perlaksanaan di negara ini adalah demokratis dan
sudah memenuhi tuntutan hak asasi manusia. Terdapat negara jiran yang menghapuskan sekolah Cina
lantaran kekhuatiran terhadap ideologi komunisme. Sekarang ini pula menutup sekolah Melayu kerana
mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan lambang pemodenan.
Seperti yang disinggung di atas, cabaran selanjutnya menjadikan BM sebagai bahasa ilmu di dalam
semua bidang. Usaha untuk menggagalkan ini sudah dilakukan semasa perlakasanaan PPSMI pada 2002.
Penyakit ini telah menular ke IPTA dan sudah meluas di IPTS. Atas nama multilingualism juga akan
mengagalkan perlaksanaan BM sebagai bahasa ilmu, lantaran ada yang khuatir berlanjutnya “hegemoni
Melayu”. Ada pihak pentadbiran IPTA yang mahu mendaki tangga ranking universiti-universiti di dunia,
maka persoalan penerbitan dan citation di dalam jurnal ISI; pengantarabangsaan fakulti dan pelajar
menjadi sasaran. Usaha-usaha sedemikian juga akan memperlahankan usaha menjadikan BM sebagai
bahasa ilmu. Cakrawala pengilmuan dan keilmuan dalam BM tidak akan tercapai, BM cuma sekadar
bahasa sekolah rendah dan menengah di kampung-kampung sahaja.

Perlu disedari bahawa pendidikan pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan sudah merupakan satu
industri. Pemerintah mungkin akan mengurangkan beban perbelanjaan di dalam bidang ini.
Mengantarabangsakan IPTA tempatan adalah langkah yang paling sederhana mudah untuk
mendapatkan pendapatan. Di dalam kerangka ini BM cuma jadi satu mata pelajaran wajib untuk para
pelajar, tidak sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Pengajian tinggi sebagai satu industri akan
memerangkap IPTA di dalam kancah kapitalisme. Kapitalisme juga akan digunakan sebagai alasan untuk
memberi otonomi kepada IPTA mengurus dana belanjawan tahunan. Kemungkinan besar ruang fizikal
IPTA akan dimajukan untuk menjana pendapatan supaya otonomi berkekalan kerana mahu
mengurangkan subsidi ke atas pendidikan tinggi.

Di sudut lain pula industri dan pasar (market) pula telah menentukan warna dan citra serta penampilan
para graduan untuk direkrut ke dalam industri. Bahasa Inggeris mungkin juga bahasa Cina menjadi
syarat utama. Pasar dan industri yang menentukan. Sehingga kini pihak swasta malah syarikat-syarikat
milik kerajaan belum lagi melaksanakan BM di dalam pengurusan seharian mereka. Nilai ekonomi BM
menjadi persoalan, begitu juga nilai ekonomi keluaran IPTA. Anak-anak kampung menjadi mangsa di
dalam persaingan “kalah-mati” liga super institut pendidikan tinggi.

Disedari atau tidak usaha-usaha transformasi ekonomi negara ini juga akan memberi cabaran yang amat
besar kepada BM. Usaha kerajaan untuk membawa bakat-bakat terbaik Malaysia melalui Talent
Coporation, turut juga akan menjejaskan peluang lulusan IPTA tempatan di dalam dunia pekerjaan.
Jaguh –jaguh kampung akan berhadapan bakat-bakat yang sudah diantarabangsakan. Persoalan
handicapped akan berlanjutan lagi.

Penutup
Adalah amat wajar untuk kita renungi bersama apakah tindakan yang boleh Sekretariat Pengajian
Sastera dan Bahasa Melayu Universiti-Universiti di Malaysia (SPESBAM) lakukan. Saya ingin mengajak
semua yang terlibat untuk bersama-sama mengambil tindakan bersatu dan bersepadu menghadapi
cabaran-cabaran di atas. Jika kita tidak berhati-hati seluruh pusat pengajian sastera dan bahasa Melayu
akan diperkecilkan sebagai service department atau ditutup akhirnya.

Dari pengalaman Akademi Pengajian Melayu dan resolusi Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa
Dunia pada 2009 di Johor Bahru, anjuran Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa UPSI, DBP, dan
Yayasan Warisan Johor; maka saya ingin mencadangkan satu sekretariat atau jawatankuasa kebangsaan
bersama mengantarabangsa BM di dunia. APM kini memfokuskan pengantarabangsaan BM di China dan
Thailand. Adalah difahamkan bahawa terdapat 160 Pusat Pengajian Melayu dan Indonesia di dunia. APM
tidak mampu untuk merealisasikan usaha ini secara sendirian. USM sudah ada hubungan yang mantap
dengan universiti-universiti di German, dan secara bersama dapat diperluaskan keseluruh Eropah, Rusia,
dan lain-lain wilayah. SPESBAM juga perlu berkerjasama dengan IPTA/ IPTS di Indonesia dan Brunei
untuk memperluaskan peranan BM sebagai bahasa antarabangsa.

Kita tidak mampu menghadapi persaingan yang semakin hebat ini. Bersama-sama kita memikirkan
bidang ilmu BM dapat diperluaskan bukan sekadar persoalan tatabahasa tetapi mencari ruang yang
applied dan hands on yang membolehkan para graduan berfikiran praktis, kerana tidak ramai yang ke
universiti kerana ilmu semata-mata, tetapi untuk pekerjaan dan kerjaya. Dari sudut yang lain kita perlu
berusaha mengekal dan mempertahankan martabat BM di negara ini. Kita perlu meyakinkan pihak yang
memerintah bahawa apabila segala ilmu diajar di dalam BM akan memudahkan proses pemahaman dan
pentaakulan maka akan mempercepatkan segala proses kemajuan.

http://tintailmumelayu.blogspot.my/2011/04/memantap-dan-memartabatkan-bahasa.html
http://rtkasensei90.blogspot.my/2012/10/topik-5-masa-depan-dan-cabaran-bahasa.html

BAHASA MELAYU DIPERINGKAT ANTARABANGSA

1.0. PENGENALAN

Menurut Prof Dr. Awang Sariyan, tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut
Bahasa Melayu dalam satu wawancara dengan Bernama di kediamannya yang terletak di pinggir kota
( 2011 ) bahawa sejak abad ke-7 pada zaman Srivijaya ( di Sumatera ), Bahasa Melayu sudah menjadi
bahasa yang bukan kecil peranannya. Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa
pentadbiran bagi Srivijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat
besar pada waktu itu. Dan sebagai kuasa besar, Srivijaya bukan sahaja menggunakan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pentadbiran malah sebagai bahasa perdagangan dan juga bahasa pengajian agama pada
masa itu. Itulah saatnya peranan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa perhubungan umum
dari rantau Alam Melayu telah digunakan oleh semua bangsa tidak hanya oleh bangsa dalam kalangan
Alam Melayu, bahkan oleh orang dari India dan China. Begitu tingginya kedudukan Bahasa Melayu
ketika itu boleh disimpulkan juga bersaksikan pelbagai dokumen dan penulisan jika digarap dari sudut
sejarah. Antaranya catatan pengembara Cina I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat
pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan Bahasa Melayu. I-Ching dalam misi
penjajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ke-7. Ini jelas
menunjukkan Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu meskipun untuk pengembangan
agama Buddha di ibu negeri Sriwijaya kerana pada waktu itu syiar Islam belum sampai di Alam Melayu.
Beliau turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang
bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa
tamadun tinggi. Van Linschotten menulis bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja amat
harum namanya tetapi juga dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri Timur.

Menurut Dr. Awang lagi seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn yang banyak menulis mengenai
Kepulauan Melayu menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana
sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di
Eropah. Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke Alam Melayu mahu tidak
mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu, dimana sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa
Melayu dianggap sebagai golongan yang tidak terpelajar.

1.1. KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU

Zaman Kesultanan Melayu meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai sekitar abad 13 hingga 19
sesudahnya kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan
sebagai bahasa tamadun Melayu. Peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun
baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan
diplomatik. Bahasa Melayu pada waktu itu sudah menjadi bahasa yang sangat luas penyebaran dan
penggunaannya, bukan sahaja oleh orang Melayu bahkan bangsa-bangsa lain seperti Arab, India, China,
Parsi dan Eropah. Kita tahu di Alam Melayu terdapat pelbagai kelompok bangsa asing termasuk Eropah
yang datang baik untuk tujuan penjajahan, perdagangan dan tujuan penyebaran agama, masing-masing
menggunakan Bahasa Melayu. Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamadun ketika itu,
apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun 15 ke atas seperti Hukum
Kanun Melaka yang terkenal itu, di samping Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Johor, Undang-
Undang Siak dan sebagainya. Malah ulamak besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke Alam
Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh. Menariknya, Nuruddin al-Raniri
ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun beliau bukan orang Melayu.

Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu, “Sesiapa sahaja yang datang ke Alam Melayu perlu belajar
dan menguasai Bahasa Melayu walaupun dalam apa jua bidang iaitu pentadbiran, perdagangan,
malah dalam soal-soal agama pun mesti dalam Bahasa Melayu,” kata Dr. Awang lagi yang pernah
menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka ( 1999-2004 ).

Oleh itu, Bahasa Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa dan
tamadun besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa
perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah
kerajaan Sriwijaya. Pada zaman Kesultanan Melayu dari sekitar abad ke 13 hingga abad 19 bahasa
Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu dengan menjadi
bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa
perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi ( Awang Sariyan 2002 ). Maka tidaklah
menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu
pada abad ke-16 sebagai yang berikut :
‘ Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di
seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di
amna-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti Bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai
bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau
kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di
Parsi bahkan lebih jauh dari negara itu dan disebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina. ( Nik Satiah
Karim, el.at, 2004 )

Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa
tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa
diplomatik, Lingua Franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan
bahasa sastera ( Collins, 1999 dan Awang Sariyan, 2000 ).

2.0. KELUNTURAN MARTABAT BAHASA MELAYU

Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah ( Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia )
dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi
bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa
perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan
Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk
kepentingan ekonomi iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya sebagai bahasa pengantar
di sekolah vernakular Melayu sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa
Tamil di sekoah vernakular India. Inggeris benar-benar telah melaksanakan dasar pecah-belah dan
perintahnya dan pada waktu yang sama telah membenamkan bahasa Melayu. Sistem pentadbiran dan
undang-undang pada zaman Kesultanan Melayu didasarkan pada asas kemelayuan ( dan Islam sebagai
tunjangnya ) telah dirobah oleh Inggeris dengan menggunakan sistem sekularnya. Jawatankuasa Barnes
( 1951 ) memperlihatkan perubahan pandangan sedikit tentang Bahasa Melayu, apabila mengakui
betapa pentingnya bahasa Melayu dalam membentuk sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan
tetapi masih tetap mengutamakan pendidikan dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu tetap
setakat menjadi bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah sahaja. Usulnya agar sistem pendidikan
hanya berlandaskan dua bahasa penghantar iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditentang kuat
oleh masyarakat Cina dan India.
Menjelang kemerdekaan, usaha memartabatkan semula bahasa Melayu telah diupayakan, khususnya
oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan dengan
berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa tersebut
yang dikenal sebagai Penyata Razak dan kemudian diperkuat oleh usul Jawatankuasa Penyemakan
Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 yang dikenal sebagai Penyata Rahman Talib telah dijadikan asas
penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang selama 35 tahun menjadi asas sistem pendidikan kebangsaan
sebelum diluluskan Akta Pendidikan 1996. Malah akta pendidikan yang baharu itu pun, khususnya dalam
Seksyen 17 masih mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama
sistem pendidikan negara. Setahun menjelang kemerdekaan juga peristiwa penting yang berkaitan
dengan usaha memartabatkan semula bahasa Melayu ialah Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka,
sebagai hasil desakan rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, khususnya Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu Ketiga ( 1956 ). Kesediaan kerajaan pada waktu itu memenuhi tuntutan rakyat
merupakan kebijaksanaan yang tepat untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang
berupaya menjadi wahana bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui
perancangan korpus bahasa dalam bidang kosa kata ( umum dan khusus ), sistem ejaan, tatabahasa,
sebutan dan laras bahasa.

Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu
asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi dan bahasa ilmu.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah berhasil menjadi asas terbentuknya konsep negara
yang berdaulat dan telah menjadi faktor pemersatuan rakyat yang ampuh sehingga terbentuk
perpaduan kebangsaan. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana komunikasi
rasmi yang menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai
sektor. Sektor utama negeri seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman serta
media massa telah mencapai tahap kemajuan dan kecekapan yang membanggakan melalui bahasa
Melayu sebagai wahana utamanya. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan
berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang
belajar dalam bahasa kebangsaan tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik
serta keekslusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasikan oleh bahasa Inggeris.
Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang melanjutkan pengajian di luar negara,
memperoleh ilmu dalam bahasa asing, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa sehingga
peringkat menengah atas sekurang-kurangnya iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran
asas kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan.

Namun apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-
bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu
sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang
telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta
Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah
satu tunggak pembinaan Negara.

Walau bagaimanapun dengan tentangan-tentangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan


dalam beberapa aspek iaitu kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang iaitu
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan
Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-
undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas tetapi kian mengecil.
Apabila subjek-subjek yang berteraskan Sains dan Matematik diputuskan diajarkan dalam bahasa
Inggeris ( sehingga unjurannya menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sehingga akan
mencapai 80% dalam sistem pendidikan negara), misalnya pasti tidak dapat memenuhi aspirasi
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota
masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya
dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam
bahasa basahan ( yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau isltilah linguistiknya peralihan kod,
bahasa sms, bahasa sembang di internet dan sebagainya ) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi
menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Demikian juga,
semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan,
termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan
bahasa asing ( misalnya precint, parcel dan boulevard ).

Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu
dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang
berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut :

· Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara
152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi seperti
mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi dan sebagainya yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu
seperti yang ditafsirkan sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan.
· Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan bahasa dalam sektor tertentu seperti
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam ( melibatkan pihak berkuasa
tempatan ), penyiaran ( melibatkan Kementerian Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia ).

· Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan
beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa
Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus di IPTA
dan juga pengecualian pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa
Melayu sebagai subjek wajib.

· Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa
Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadang kala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan
masyarakat ( pemimpin, profesional dan orang awam ) untuk mengutamakan penguasaan bahasa
Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.

· Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam
kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu
tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,
sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu ukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan
pulangan ekonomi, misalnya dalam hal peluang pekerjaan. Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih
besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada
tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.

· Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian
dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP
mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan
dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( menurut laporan The Star pada 1
Januari 2004 ) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi
pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, melalui media juga, mengajak
masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit, lalu menyeru agar
digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan, dan dengan tidak
segan-silu atau berasa hormat kepada salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan,
mengisytiharkan bahawa urusan di kementeriannya kebanyakannya dilaksanakan dengan menggunakan
bahasa Inggeris.
3.0. CABARAN DAN MASA HADAPAN BAHASA MELAYU ABAD KE 21

Cabaran ialah sesuatu iaitu unsur atau faktor yang mencabar, menguji kemampuan dan ketabahan
seseorang atau sesuatu organisasi ( Kamus Dewan Edisi ke-4, 2005 ). Oleh itu cabaran bahasa Melayu
dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju abad ke-21 atau
dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenai sebagai era globalisasi merupakan satu
zaman yang penuh dengan cabaran terutama kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Permulaan abad
ke-20 merupakan era penjajah Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi
Semenanjung Tanah Melayu dan Utara Borneo, Belanda bagi Kepulauan Sumatera,Jawa, Selatan Borneo,
Sulawesi, Maluku, Madura dan Bali dan Sepanyol bagi Kepulauan Filipina ( Prof. Dr. Hashim Haji Musa,
2009 ). Keadaan yang sedemikian telah meyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu
bermulanya kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Dalam konteks
ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa
penghantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai
barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
lingua franca di rantau ini. Pada masa ini juga bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sengit
terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara iaitu Perkara 152 yang menyatakan
bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang
diperkasakan dan dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan bahasa
Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan mencabar kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Menurut Prof. Dato’ Awang Had Salleh, dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa
Malaysia menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ibunda kepada orang-orang keturunan
Melayu. Jadi, Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu
menjadi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan ini hendaklah digunakan di dalam urusan rasmi
dalam semua bidang. Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan Bahasa Kebangsaan tetap
berjalan lancar. Untuk memenuhi kehendak tersebut, pada peringkat awal, Bahasa Kebangsaan telah
diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah rendah atau menengah, khususnya sekolah yang
bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu. Pada peringkat yang terkemudian, apabila kedudukan
Bahasa kebangsaan ini sudah cukup matang dan stabil, barulah wujud pula keperluan untuk
memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk keperibadian Malaysia, maka istilah Bahasa
Malaysia telah digunakan.

Gelombang arus globalisasi tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh bahasa Inggeris itu sendiri.
Fenomena ini memperlihatkan berlakunya imperialisme bahasa. Yang dimaksudkan dengan
imperialisme bahasa ialah dasar meluaskan kuasa dan pengaruh negara ke dunia melalui diplomasi dan
kekuatan tentera, terutama sekali dengan mendapatkan tanah jajahan ( Oxford Fajar Advanced
Learner’s English-Malay, 2000). Definisi imperialisme yang dimaksudkan ini harus diperluaskan lagi. Kini
bahasa juga boleh dianggap sebagai satu bentuk imperialisme.
Penggunaan bahasa dalam teknologi komunikasi kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Kesan
daripada penguasaan bahasa Inggeris dalam teknologi komunikasi bukan sahaja akan menggugat
kedudukan bahasa Melayu malah budaya Melayu itu sendiri. Jelasnya imperialisme bahasa yang
didokong oleh laungan globalisasi menjadi satu faktor penyebab kepada kemerosotan nilai bahasa
Melayu.

3.1 CABARAN BAHASA MELAYU DALAM BIDANG POLITIK

Syed Husin Ali ( 1996; 164-171 ) pernah mengulas kenapa berlakunya fenomena peminggiran bahasa
Melayu ini. Antara faktor yang ditekankan adalah faktor politik seperti berikut :

· Cita-cita untuk mencapai kemajuan melalui pemodenan. Ini menyebabkan mereka menekankan
perkembangan ekonomi serta kemajuan industri dan menggalakkan sikap ’go global’ lebih daripada yang
lain yang mempunyai implikasi juga terhadap bahasa.

· Golongan korporat peringkat tinggi dan pertengahan mempunyai pengaruh yang besar dalam
politik di peringkat pusat dan negeri. Sekarang ini bukan guru-guru Melayu, tetapi golongan korporat
inilah yang berpengaruh dalam politik. Sikap mereka terhadap bahasa Inggeris memang serius.

· Akibat pengaruh globalisasi yang dominan sekarang, para pemimpin politik lebih terpengaruh
dengan dasar liberal. Mereka melihat bahawa dasar ekonomi, budaya serta bahasa yang liberal adalah
popular dan dapat memperluas pengaruh politik mereka.

Dengan beralasan arus global ini, pihak berkuasa telah mengubah dasar pendidikan dengan
mengarahkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Alasannya agar rakyat Malaysia tidak
terpinggir dengan kemajuan pesat teknologi moden dewasa ini.

Payung terbesar dari segi perundangan ialah peruntukan yang terdapat di dalam perkara 152
Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengkanun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini menegaskan bahasa Melayu digunakan di semua
peringkat rasmi, khasnya di dalam pemerintahan dan pentadbiran bagi semua negeri di dalam
Persekutuan. Ini juga meliputi seluruh saluran komunikasi serta penyiaran rasmi kerajaan, sama ada
radio, televisyen dan apa jua rangkaian yang sehubungan dengannya. Oleh kerana itu, setiap penyiaran
dan pengumuman rasmi oleh semua peringkat kepimpinan eksekutif dan birokrasi mestilah di dalam
bahasa Melayu.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 152, terdapat juga Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963,
yang disemak dalam 1971 kemudian dikenali Akta A554, Akta Bahasa Kebangsaan ( Pindaan dan
Perluasan 1983 ), yang mengandungi undang-undang terpinda sebagaimana berkuat-kuasa pada 15 Julai
1983. Akta ini menegaskan bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud rasmi. Akta ini di dalam Perkara
9, memperuntukan tulisan bahasa kebangsaan adalah tulisan rumi, tetapi tidak melarang penggunaan
tulisan Jawi. Melalui pindaan dan perluasan 1983, segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan,
Mahkamah Tinggi atau mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan atau bahasa
Inggeris.

Di awal Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) telah dicatatkan bahawa dasar pendidikan kebangsaan
memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Akta yang sama di dalam
Perkara 17 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa-bahasa pengantar utama di semua
institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang
ditubuhkan di bawah Seksyen 18 atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri
daripada subseksyen ini.

Sementara itu, bidang pengajian tinggi awam juga tidak boleh bercanggah dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun
pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa Melayu
telah menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996
diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Keadaan belum reda, satu cabaran telah muncul iaitu pada tahun 2003, penggunaan bahasa Inggeris
bagi semua matematik dan sains dalam semua peringkat. Namun, pejuang-pejuang bahasa bersatu
tenaga untuk memastikan bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini seperti termaktub dalam
Perlembagaan negara, perkara 152. Akhirnya, tahun 2012 penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan
matematik dihapuskan.

Munculnya abad ke-21, telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat persaingan sengit atau
cabaran daripada bahasa Inggeris. Pada tahun 2010, Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Perdana Menteri
telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam
bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa.

Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman sesuatu perkara
dengan menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada yang menganggap bahawa orang Melayu atau negara
ini tidak akan maju jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan
bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan dan banyak negara lain masih
menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang. Pemerkasaan bahasa ibunda mereka telah
menjadikan negara mereka maju malah lebih maju daripada negara barat. Selain itu, masyarakat sudah
mula menunjukkan pentingnya peneguhan dan penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
dan bahasa kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya bahasa Melayu dan
kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan mahir menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr.
Nik Safiah Karim ( 1993 ), Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat
dari perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan dan dalam
beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita boleh berbangga dengan
kejayaan tersebut. Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu dalam bentuk penggemblengan usaha
daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan untuk melestarikan ( mengekalkan atau menetapkan )
sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak perlu
bekerjasama untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar cabaran abad ke-21 tidak
meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem pendidikan atau pentadbiran.
3.2 CABARAN BAHASA MELAYU DALAM KEMAJUAN TEKNOLOGI

MAKLUMAT (ICT).

Pada masa ini bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat impak yang
besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Bahasa teknologi maklumat yang
paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada
penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa
teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu
diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita harus berfikiran positif dan
memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain
bahasa ibunda. Negara Korea Selatan dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang
sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap
dipelajari. Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani ( 2007;50 ) bahawa Jepun tidak berganjak daripada
menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehingga ke peringkat pengajian tinggi dalam semua
bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan di
peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugi, Rusia, Mandarin
dan lain-lain turut disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan televisyen dan lain-lain. Walau
bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya.

Teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang
pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat
seperti komputer peribadi, telekomunikasi media dan sebagainya. Seterusnya, kemunculan internet
telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan
diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Permasalahan ini
secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau
Nusantara ini. Lebih-lebih lagi negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di
negara ini. Negara Jepun maju dalam teknologi maklumat namun bahasa ibunda tetap terjaga dan
terpelihara. Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi bermakna
penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia.
Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama internet dunia di Amerika
Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft,
Dell, Hewlett-Pachard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa tinggi.

Oleh itu, masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran
perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Usaha
supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat mempelajari
pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini kita
percaya perkembangan bahasa Melayu dan terus bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan
adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh menterjemahkan ke dalam
bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu. Secara langsung bahasa Melayu dalam sains dan teknologi
maklumat akan terus meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa
dalam buku Sosiolinguistik Lanjutan. ( 2009;61 ) bahawa bahasa penguasaan ilmu sains dan teknologi
yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan rakyat merupakan faktor utama
dalam pembangunan sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi
faktor utama pula kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu
pengetahuan sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah
dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat itu sendiri.

Oleh itu, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat, bahasa Melayu perlu seiring
dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini disebabkan pelbagai maklumat yang terkandung
dalam pelbagai jenis teknologi maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu, benar-
benar sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu dan teknologi maklumat itu sendiri
merupakan saluran yang cukup penting, canggih, pantas serta cekap. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya
perlu bersaing dengan teknologi maklumat, sebaliknya ia patut bersepadu dengan jayanya. Dengan cara
ini bahasa Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat pelbagai
bidang dalam dunia serba teknikal ini. Untuk melaksanakannya lebih banyak buku dan pengarang
diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang Informasi
Teknologi (IT). Sehubungan itu, portal www. malaycivilization.com yang dibina khas di ATMA itu
cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di
ruang siber. Pendek kata, pintu untuk memperkembangkan bahasa Melayu sudah bertambah baik dan
semakin menjadi lebih menarik.

3.3 CABARAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA.

Pada abad ke-21 terdapat beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan penggunaan bahasa
Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan
ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Tidak dinafikan keaslian bahasa ibunda tercemar akibat
kemasukan dan percampuran istilah yang diguna pakai oleh masyarakat di negara kita termasuk orang
Melayu ketika bertutur sesama rakan. Menurut sejarah, bahasa rojak sudah mula dapat dikesan ketika
Zaman Parameswara lagi iaitu pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Di Melaka ketika itu terdapat 84
bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan maka tidak hairan bahasa rojak dijadikan bahasa
perantara untuk berurusan dalam pelbagai hal. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk
berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21 sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan
remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Selain itu, kebanyakan pengacara majlis atau program di
televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk
mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan pengacara
pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu tetapi sebaliknya berlaku dalam pertengahan
program hingga akhir, kemudian pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penonton majoritinya
berbahasa Melayu. Memang tidak dinafikan bahawa rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris maka terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka.
Menurut Nik Safiah Karim ( 2004 ), ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli iaitu satu ayat dalam satu
bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Contohnya ialah ” Saya mengambil keputusan untuk pergi,
then I thought I should consult my father.” Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan
atau program televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu
memberi cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka amat membimbangkan dan boleh
merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21
iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan mereka menggunakan
bahasa rojak dan berlakunya kerancuan bahasa. Menurut Prof. Dr. Hashim Hj. Musa kerancuan bahasa
ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi,
kosa kata, istilah dan sebagainya yang menyebabkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi
pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini terdapat beberapa
perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms. Misalnya perkataan-perkataan seperti
kang ( nanti ), a’kum ( assalamualaikum ), w’lam ( waalaikumussalam), dowang
( mereka ), tipon ( telefon ). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer
( saya ), dier ( dia ) dan nko ( engkau ). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler
( bila ). Keracunan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan
keteraturan, kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu kerana menjejas sistem dan peraturannya
yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan
kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi yang
akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan oleh pengguna bahasanya.

3.4 CABARAN BAHASA MELAYU TERHADAP SIKAP MASYARAKAT.

Dalam abad ke-21 sikap masyarakat atau penutur amat penting dalam penggunaan bahasa Melayu.
Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal kerana menggunakan bahasa
Melayu, maka sudah pasti bahasa Melayu akan terkubur pada suatu hari nanti. Oleh itu, sikap
masyarakat atau penutur merupakan cabaran yang sebenarnya bagi bahasa Melayu. Jadi pada abad ke-
21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap
bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih
selesa bertutur dalam bahasa Inggeris. Akibatnya mereka tidak mahu menggunakannya dan tidak kisah
terhadap bahasa sendiri. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti
perkembangan bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka
bertutur dalam bahasa Inggeris. Begitu juga apabila seminar atau pembentangan di dalam dewan
walaupun hanya seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris.
Oleh itu, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara
berhati-hati pada abad ke-21 supaya bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri.
Nik Safiah Karim dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan
bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya
itu sendiri.

Hakikatnya dalam abad ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi saingan
dengan bahasa Inggeris tetapi diharap senario ini tidak menjadi satu cabaran besar hingga menggugat
kedudukan bahasa Melayu. Kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal
sehingga sekarang dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa.

3.5 CABARAN BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN.

Dunia era globalisasi kini memperlihatkan perkembangan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam
teknologi maklumat memberi kesan secara langsung dan tidak secara langsung dalam kehidupan dan
sistem pendidikan. Perubahan demi perubahan berlaku membawa bersama isu dan cabaran terhadap
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para guru
Bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring dengan perkembangan dunia
semasa. Masyarakat bandar kini semakin mementingkan bahasa Inggeris telah menyebabkan
pembelajaran bahasa Melayu kini semakin tercabar. Tugas guru yang sedia ada dalam memberikan
pengajaran dan bimbingan pengetahuan tentang bahasa Melayu serta tugas pentadbiran lain, kini
menggalas satu lagi peranan baharu bagi menanamkan keyakinan terhadap bahasa kebangsaan ini.
Justeru, guru perlu kreatif dan inovatif dalam mencari dan mengubah suai pendekatan agar selari
dengan keperluan pelajar. Dalam masa yang sama guru perlu bijak dalam memupuk sikap cintakan
bahasa kebangsaan kepada pelajar yang telah dimomokkan dengan kepentingan bahasa Inggeris agar
tidak menimbulkan konflik lain.

Cabaran yang paling hebat dan mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini
ialah penerapan dasar baru ( meskipun menyalahi akta Dasar Pelajaran Kebangsaan ) menyaksikan
penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pada tahun 2003. Penggunaan
bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bukanlah jalan penyelesaian
bagi memperbaiki kelemahan atau meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Langkah itu
bukan sahaja tidak dapat membantu mengatasi masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar
malah dikhuatiri akan menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Dengan
masalah kurangnya guru yang berupaya mengajarkan mata-mata pelajaran tersebut dalam bahasa
Inggeris kerana mereka terlatih dalam bahasa kebangsaan sewaktu megikuti kursus pendidikan dan
pada waktu yang sama pelajar sendiri menghadapi masalah memahami ilmu dalam bahasa Inggeris.
Dalam hubungan dengan nasib dan masa hadapan bahasa Melayu yang diberi fungsi sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, pengurangan peranannya sebagai bahasa pengungkap ilmu
dan pengetahuan dengan sendirinya akan melemahkan kekuatan bahasa itu kerana keutuhan suatu
bahasa banyak bergantung pada ilmu dan pemikiran yang didukungnya. Apabila fungsi suatu bahasa
terhad pada fungsi sosialnya semata-mata iaitu untuk komunikasi biasa, bahasa itu menjadi pincang
kerana tidak memenuhi fungsinya sebagai bahasa wahana pelbagai bidang ilmu, pemikiran, teknologi,
ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Sejarah bahasa Melayu sejak berabad-abad lalu menunjukkan
bahawa keutuhannya bukan sahaja berasaskan peranannya sebagai lingua franca tetapi juga pada
fungsinya dalam pelbagai bidang.
Munculnya abad ke-21 telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat saingan sengit atau cabaran
daripada bahasa Inggeris. Setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun pelaksanaan sepenuhnya
dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran
yang tidak diduga apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS
dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut
Bahasa Melayu dalam satu wawancara dengan Bernama ( Jun;2011 ), Akta Pendidikan 1996, institusi
pengajian tinggi swasta masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar utama. Menurut beliau lagi Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar
bahasanya sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu
sebagai bukti kemampuan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi. Ketetapan mengajarkan tiga mata
kuliah teras IPTS iaitu Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Agama atau Moral tampaknya menjadi
dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu kecuali IPTS milik kerajaan
seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.

Berdasarkan perkara-perkara di atas boleh dikatakan kesan jangka pendek dan panjang ini bukan sahaja
menimbulkan masalah kepada pelajar, guru dan institusi pengajian tinggi malah jangka panjangnya
boleh memberi kesan kepada dasar pendidikan zaman penjajah sebenarnya mengundang masalah
jurang kaum yang pernah berlaku satu ketika dulu iaitu ’Pengalaman 13 Mei’.

4.0 KESIMPULAN.

Dari alaf ke alaf bahasa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun dan juga dalam
hubungan politik, diplomatik dan perniagaan antara negara dan kumpulan di dunia. Dalam konteks ini
kita lihat bahawa bahasa merupakan faktor yang penting dalam persaingan kuasa antarabangsa pada
peringkat negara dan komuniti atau kumpulan. Penaklukan sesuatu bangsa terhadap bangsa lain turut
melibatkan penggunaan bahasa penakluk dalam komuniti yang ditakluknya, baik secara penguatkuasaan
undang-undang atau secara resapan sosial. Walau apa pun juga caranya, kemasukan bahasa asing
terutama Bahasa Inggeris yang berkuasa itu menimbulkan keadaan persaingan antara bahasa. Keadaan
yang seperti inilah yang menimbulkan kesedaran kepada tanah-tanah jajahan atau taklukan bahawa
sebahagian daripada identiti mereka yakni yang diwujudkan melalui bahasa mereka mulai terpendam.
Dari itu timbullah perjuangan menegakkan kembali bahasa sebagai satu ideologi kerana dalam bahasa
terdapat pemaujudan kuasa dan juga ideologi [ Fairclough 1989:12 ]. Persaingan bahasa paling hebat
dalam sejarah bangsa manusia terdapat dalam alaf kedua Masihi, khususnya abad ke-20 kerana pada
abad inilah munculnya perjuangan kebangsaan yang menyeluruh dengan terbentuknya negara-negara
yang merdeka dari kuasa penjajahan. Tetapi dalam abad inilah juga terdapatnya kecenderungan negara-
negara dunia untuk menjadi sepakat dalam pemilihan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris.
Sebagai warganegara Malaysia kita perlu mempunyai wawasan yang sama untuk membina dan
membangunkan negara yang bersatu padu, penuh toleransi dan jelas citranya sebagai satu bangsa
Malaysia. Semua orang tahu bahawa kita boleh bersatu melalui satu bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi yakni bahasa negara sendiri kerana melaluinya hubungan budaya komunikasi dan nilai dapat
dikongsi bersama. Dalam batas-batas ketentuan Perlembagaan Negara, kita sudah memilih satu Dasar
Bahasa Negara. Kita perlu memahami kebebasan buat mana-mana kaum dan suku bangsa kita
menggunakan bahasa sendiri atau dialek dalam konteks tempatan atau persendirian. Kita memiliki
bahasa Negara dan bahasa rasmi yang satu.

Di samping itu, telah banyak langkah diambil untuk memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu
terbukti dengan ucapan Mantan Perdana Menteri yang ke-5 iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
ketika merasmikan Seminar Persahabatan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University ( BFSU ),
China pada 29 Mei 2009. ( Sumber:Berita Harian (14.06.2009 ) mengejutkan pihak tertentu di Negara ini
kerana menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Pada abad ke-21 ini patut dijadikan abad untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu seperti
yang pernah dialami oleh bahasa itu pada abad ke-15. Untuk memastikan bahasa Melayu kembali
gemilang sebagai bahasa dunia dan setanding dengan bahasa-bahasa utama yang lain, beberapa
tindakan yang positif dan sedang diambil, khususnya oleh pihak Malaysia dengan kerjasama pelbagai
pihak, ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP yang ditubuhkan pada 1956, melalui Ordinan No. 25, 1959,
dikenali Akta 213, Akta 930, Akta DBP ( Pindaan dan Perluasan 1995 ). DBP ditubuhkan dengan tujuan
untuk membangun bahasa kebangsaan dan kesusasteraan kebangsaan serta penerbitan di dalam bahasa
kebangsaan. Bukan sahaja DBP bertujuan memperjuangkan tujuan berkenaan, Lembaga Pengelola DBP
juga mempunyai tugas atau tujuan yang sama; seperti yang dicatat di dalam perkara 5,

· Untuk memperkembang, memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk


sains dan teknologi

· Untuk memperkembangkan bakat sastera khasnya dalam bahasa kebangsaan

· Untuk mencetak dan menerbit buku-buku, majalah-majalah, dalam bahasa kebangsaan

· Menstandardisasikan ejaan dan sebutan

· Membentuk istilah-istilah akademik yang sesuai dalam bahasa kebangsaan

Di samping DBP, terdapat satu lagi agensi kerajaan yang melaksanakan dasar kebangsaan iaitu Pihak
Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ). Bidang kuasa PBT tertakluk kepada Akta 171,
Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang mengandungi segala pindaan hingga Januari 2006. Perlaksanaan
Akta ini berhubung bahasa kebangsaan tidak boleh bercanggah dengan peruntukan di dalam
Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Perlaksanaan bahasa kebangsaan meliputi
nama jalan, bangunan dan tamah perumahan serta lain-lain premis dan papan tanda iklan.

Sebelum itu, sebuah dana penyelidikan tamadun Melayu-China yang diletakkan di bawah dewan Bahasa
dan Pustaka ( DBP ) telah dilancarkan pada 24 Mei lalu di Kuala Lumpur. Selain BFSU , DBP juga telah
menjalinkan hubungan dengan institusi lain seperti Radio Antarabangsa China ( CRI ), Universiti Peking
dan Institut Penyiaran Beijing. Pusat Bahasa Melayu ( PBM ) juga telah dirasmikan pada 20 Jun 1997 di
Beijing.

Di Malaysia pula, Pameran Bahasa, Sastera dan Budaya Malaysia-China dan Seminar Karya Agung
Melayu-China telah diadakan. Pameran dan seminar tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di DBP pada 20 Mei lalu. Sempena majlis itu, buku Tamadun China
dan Kamus Pelajar Bahasa Melayu-Bahasa Cina-Bahasa Inggeris telah dilancarkan. Pameran Bahasa,
Sastera dan Budaya Melaysia-China diadakan pada 18-31 Mei lalu di Galeri Keris Mas, DBP.
Perkembangan yang menakjubkan ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi salah
satu bahasa yang penting di dunia, apalagi semakin ramai pelajar antarabangsa seperti Amerika Syarikat
dan rantau Oceania berminat mengikuti pengajian bahasa itu. Bahasa Melayu diajarkan di universiti
Perancis, Britain, Belanda dan Australia. Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendidikan Victoria State,
Australia terdapat lebih 100,000 orang pelajar yang mengikuti pengajian bahasa Melayu.

Bukan itu sahaja, malahan bahasa Melayu dituturkan oleh lebih daripada 250 juta orang penutur, yang
menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia, selepas bahasa Inggeris, Cina dan Hindi. Bahasa
Melayu digunakan bukan sahaja di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, bahkan di selatan
Thailand, selatan Kemboja, selatan Filipina, Laos dan Vietnam. Di Sri Lanka misalnya, kira-kira 60,000
penduduknya menggunakan bahasa Melayu. Pengarah The English Company ( UK ) Ltd, David Graddol
meramalkan bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang peling pesat berkembang, selain bahasa
Mandarin, Inggeris, Hindi dan Arab menjelang 2050.

Di samping itu, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu ( MABM ) yang ditunjangi oleh DBP sejak empat
tahun lalu turut dianggotai 30 buah negara dari Eropah, Amerika Utara, Asia Timur dan Oceania. MABM
menggerakkan empat bidang utama iaitu penerbitan, kegiatan kebahasaan, pengajaran bahasa serta
anugerah dan pengiktirafan. MABM juga sedang membangunkan sebuah gerbang web antarabangsa
mengenai pengajian Melayu yang dijangka siap setahun lagi. Semua negara anggota Majlis Bahasa
Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia ( MABBIM ) dalam sidang ke-43 baru-baru ini pula bersetuju
mendesak kerajaan negara-negara ASEAN menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.
Pada masa ini kira-kira 80 peratus penduduk ASEAN boleh bertutur bahasa Melayu.
Sesungguhnya Malaysia dan warga antarabangsa berkongsi pendirian dalam hal globalisasi dan orde
baru dunia yang harus diperkukuh melalui kerjasama erat dalam bidang kebudayaan dan kebahasaan.
Sokongan dan iltizam daripada kerajaan mampu menjayakan usaha tersebut sekali gus mencapai
wawasan DBP untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia menjelang
tahun 2020.

http://nazarinappgupm2012.blogspot.my/2012/12/bahasa-melayu-diperingkat-antarabangsa.html

http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp3mei6.pdf

PM: Langkah-langkah memartabatkan Bahasa Malaysia

Langkah-langkah memartabatkan Bahasa Malaysia

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa
kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi
membicarakan identiti Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama
Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan
berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif
yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?

Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di
semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan
lebih gemar memilih Bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding Bahasa Malaysia untuk
digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar
diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah
mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat Bahasa Malaysia
supaya tidak hilang ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga
harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi
langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan Bahasa Malaysia di peringkat lokal.Jika teras
pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan
datang tidak mengenali lagi perkataan 'melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi
membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.

Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus
dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan Bahasa Cina dan Bahasa
Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif
berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1 Malaysia
dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian
bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang
berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi
menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.

Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat
rencamangolongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap
keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian
Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM)
baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan
di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa'
dalam kalangan rakyat.

Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan
terhadap Bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya
serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa
rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa
adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri,
sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa
Bahasa Malaysia bukanlah sebuahwadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat
bagi mewujudkan rakyat kontemporariyang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat Bahasa Malaysia
sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan.
Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan
bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan Bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia.
Pepatah Melayu ada disebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah
itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa
kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

http://abihulwa.blogspot.my/2009/10/langkah-memartabatkan-bahasa-melayu.html

GPMS saran tiga perkara

Oleh RADHUAN HUSSAIN

utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Okt. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan tiga
perkara penting untuk diberi perhatian kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan.

Tiga langkah itu adalah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain
meminta pertimbangan kerajaan memberi kuasa penuh kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk
menguatkuasakan undang-undang atau kesalahan bahasa yang diluluskan pihak berkuasa tempatan
(PBT).

Satu lagi langkah yang disyorkan gabungan itu adalah meminta para pemimpin menunjukkan teladan
baik dengan menggunakan bahasa Melayu yang tepat terutama ketika bercakap kepada media.

Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tiga langkah itu perlu diberi perhatian
dalam usaha menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, istilah bahasa Melayu perlu dikembalikan semula sekali gus mengikis penggunaan istilah
bahasa Malaysia yang tidak tepat seperti diamalkan sekarang.

"Pada masa sama, GPMS meminta Kabinet berbincang semula untuk mengembalikan istilah bahasa
Melayu yang lebih tepat. Kita harap semua pihak tak kira kerajaan atau rakyat lebih serius melaksanakan
dasar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Semua saranan ini bersempena sambutan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan sepanjang bulan ini dan
kalau boleh sambutan biarlah bermula 1 Oktober seterusnya ke bulan-bulan lain, bukan terhad bulan
Oktober saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar menjelaskan, DBP sewajarnya diberi kuasa meluluskan penggunaan bahasa terutama pada
papan tanda atau iklan kerana walaupun telah mendapat kelulusan PBT, kesalahan penggunaan bahasa
masih ketara.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan biarlah tepat tanpa perlu
dicampur dengan bahasa asing.

"Kita sedia maklum, PBT mempunyai kuasa berkaitan papan tanda atau iklan tetapi biarlah mereka lebih
cakna dan sensitif mengenai penggunaan bahasa itu sendiri demi memartabatkan bahasa kebangsaan,"
tegasnya.

Mengenai bahasa yang digunakan oleh pemimpin, beliau berkata, setakat ini hanya Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa
Melayu yang tepat kepada media.

Katanya, ia penting memandangkan kata-kata seseorang menteri akan menjadi ikutan rakyat termasuk
pelajar dan golongan muda dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat membantu mengelak
timbul kekeliruan.

Nik Aziz minta martabatkan bahasa Melayu

KOTA BHARU 15 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pihak berkuasa tempatan
(PBT) di negeri ini mengkaji semula penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris di tempat-
tempat awam di kawasan mereka.

Beliau berkata, tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu boleh menyebabkan martabatnya
direndahkan dan diperlekehkan, sekali gus menjejaskan usaha menyemarak dan memperkasakan
bahasa itu.

Pada masa yang sama beliau turut mengakui tidak menyedari kecenderungan meluas terhadap
penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis-premis perniagaan di negeri ini.

Ini termasuk bagi beberapa bangunan di bandar ini yang menjadi mercu tanda baru seperti Kota Bharu
Trade Centre dan tulisan jawi pula sekadar digunakan bagi mengeja perkataan Inggeris itu.

''Memang betul teguran itu (menggunakan bahasa asing), ia mungkin disebabkan pemilik mahu ia
menjadi popular dan mengantarabangsakan bangunan mereka supaya dikenali oleh orang luar.

''Saya pun tidak sedar sebab suasana menyebabkan saya sebagai pemimpin turut hanyut dalam bahasa
Inggeris, saya rasa amat dukacita, saya minta kaji semula nama-nama ini," katanya pada sidang akhbar
selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat Wilayah Timur 2009 di sini,
semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohamad Yussop Ishak.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata,
penggunaan bahasa pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahu pun papan penunjuk
arah tidak harus menggambarkan seolah-olah berada di Hong Kong, Miami atau Hawaii.

''Saya secara peribadi akan memastikan bahasa Melayu akan menjadi bahasa pentadbiran dan urusan
rasmi yang utama dalam sistem pentabdiran di negeri ini.

''Justeru, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada
di kawasan masing-masing," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia bersama-sama DBP untuk memberikan suntikan baru dalam
gerakan memperkukuhkan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan citra negeri dan budaya bangsa.

You might also like