You are on page 1of 2

Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki, ligamen dan tendon, lapisan otot, fascia serta

saluran darah dan saraf. Sakit tapak kaki kebiasaannya berpunca daripada radang selaput atau fascia
pada tapak kaki yang dikenali sebagai ‘Plantar Fasciitis’.

Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti
Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, umumnya pesakit akan selalu mengadu sakit di tapak kaki
terutama selepas bangun dari tidur ataupun melakukan aktiviti berjalan dan berdiri terlalu lama.

“Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah akan menggangu kehidupan seharian pesakit apabila
tidak dapat bergerak dengan pantas sehingga menyebabkan tugas harian tidak dapat dilaksanakan
dengan sempurna,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di
sini.

Al Hafiz berkata, kesedaran masyarakat terhadap masalah yang dihadapi pada anggota kaki amat
rendah dan ramai yang menganggap kesakitan yang ditanggung merupakan perkara kecil serta akan
pulih sekiranya mendapat rehat yang mencukupi.

“Masyarakat masih tidak menyedari kesakitan yang ditanggung kadangkala boleh mendatangkan
kesan negatif kepada pesakit itu sendiri kerana sakit pada tapak kaki secara umumnya terbahagi
kepada tiga bahagian iaitu jari kaki, depan tapak kaki dan belakang kaki.

“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita
bertumit tinggi yang tidak selesa atau sempit,” jelasnya lagi.

Tambah Al Hafiz, kesakitan pada bahagian depan tapak kaki biasanya melibatkan tulang metatarsal
(kelima-lima tulang pada kaki yang menyambung pergelangan kaki kepada jari-jari kaki) dan tulang
sesamoid (tulang berbentuk nodul bujur yang terletak di dalam tendon dan melongsor di atas
permukaan tulang lain).

“Individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetis, pesakit jantung atau yang alami
kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.
“Golongan wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki
berbanding lelaki dan biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat serta pertambahan
berat badan,” katanya.

Menurut Al Hafiz lagi, antara rawatan yang selalu dilakukan terhadap pesakit ialah dengan memberi
ubat tahan sakit bagi mengurangkan radang selain merujuk kepada pakar fisioterapi bagi melatih
pesakit melakukan senaman tertentu untuk mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari
penyakit ini semakin teruk.

“Sekiranya rawatan tersebut tidak berkesan, doktor akan memberikan rawatan suntikan steroid
pada bahagian fascia yang berfungsi untuk mengurangkan serta menghilangkan sakit dalam tempoh
tiga hingga enam bulan.

“Langkah berikutnya jika rawatan tadi tidak berkesan, doktor akan memberi injeksi ‘botulium toxin’
pada bahagian fascia dan otot di kaki bagi melemahkan otot yang ketat dan memudahkan senaman
regangan namun begitu kos injeksi ini agak mahal dan hanya kes-kes yang tertentu sahaja akan
diberi keutamaan,” ujarnya.

Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa jika kesemua rawatan yang dilakukan tidak berjaya atau tahap
sakit yang semakin serius, pembedahan akan dilakukan bagi merawat penyakit ini

You might also like