You are on page 1of 3

MUHAMMAD AZHAR BIN SHANIL (267826)

1.Jelaskan tentang sejarah lagu kebangsaan Malaysia.

Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri,
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama ‘Negaraku’
dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu
“Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda
dalam buangan di Pulau Seychelles. ‘Negaraku’ menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk
kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.
Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari
kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang
ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun
empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu
Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan
Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain. Skor lagu ‘Negaraku’ telah
disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik,
Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan
A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh
satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-
Sultan Tanah Melayu.

Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam di ambang 31
Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam bersejarah tersebut, bendera Union Jack telah
diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan
‘Negaraku’. Bermula dari detik inilah, lagu ‘Negaraku’ terus kekal menjadi lagu rasmi negara.
2. Huraikan tentang sejarah bendera kebangsaan Malaysia (Jalur Gemilang).

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi
sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga
terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda
dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu
biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas
dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri
dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri
Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur,
Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci
murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan
Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan
Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara
Komanwel.

Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah
mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang
bakal dibentuk. Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut,
seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan.
Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik
Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang. Walau
bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang
yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja dan
telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950,
Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua
Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei
1950. Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan
di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-
pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan
berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu
Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan
putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura
dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Bendera ini dikenali sebagai bendera Malaysia.
Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Walaupun Singapura dikeluarkan dari
Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada
padanya.
Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun
kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika
itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur
Gemilang.

Susunan Keutamaan Bendera

Susunan keutamaan bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan
DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang Di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70,
Perlembagaan Persekutuan, Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Selaras dengan perlantikan Ke
bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV , kedudukan Susunan
Kekananan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri, maka susunan keutamaan bendera yang
diperuntukkan di bawah Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 bagi bendera Malaysia dan negeri-negeri
adalah berubah seperti berikut:

KEUTAMAAN NEGERI/WILAYAH KEUTAMAAN NEGERI/WILAYAH

1. Malaysia

2. Kedah

3. Pahang

4. Terengganu

5. Perlis

6. Selangor

7. Negeri Sembilan

8. Johor

9. Perak

10. Kelantan

11. Pulau Pinang

12. Melaka

13. Sabah

14. Sarawak

15. Wilayah Persekutuan

You might also like