You are on page 1of 20

Bendera Persekutuan Tanah Melayu Berkibar di London

Sambutan Kemerdekaan negara di London pada 31 Ogos 1957 telah diadakan di Malaya House, No. 57, Trafalgar Square. Bendera Persekutuan telah dinaikkan selepas pengisytiharan Kemerdekaan dibacakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu di United Kingdom iaitu Encik Nik Ahmad Kamil. Acara sambutan secara besar-besaran yang bermula sejak 26 Julai tahun itu telah berlangsung selama 36 hari dan dimeriahkan oleh lebih 1,000 pelajar dari Tanah Melayu yang berada di United Kingdom.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Pengumuman Tarikh Kemerdekaan di Melaka


Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka. Pengumuman ini dibuat pada 20 Februari 1956, setibanya rombongan kemerdekaan dari London. Melaka dipilih sebagai tempat pengisytiharan atas syor UMNO Bahagian Kuala Kangsar bagi menebus semula maruah bangsa. Ini kerana, di Melaka bermulanya sejarah kerajaan Melayu yang masyhur dan juga bermulanya penjajahan oleh kuasa asing.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Perarakan Menuntut Kemerdekaan


Satu perarakan bersejarah Perarakan Menuntut Kemerdekaan telah diadakan pada 7 Julai 1954, di Kuala Lumpur. Ia merupakan perarakan yang julung-julung kali diadakan bertujuan untuk menuntut kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Perarakan dirancang dan disertai oleh ahliAhli UMNO dan MCA.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Perbarisan Tamat Darurat


Perbarisan Tamat Darurat negara kita diadakan pada 1 Ogos 1960. Darurat berlaku di Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1948 dan tamat pada 31 Julai 1960. Sepanjang 12 tahun darurat, akhirnya pada 19 April 1960, Tuanku Hishamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin telah berkenan mengisytiharkan penamatan tempoh darurat. Perbarisan kemenangan ini telah diadakan di Padang Kelab Selangor dengan melibatkan semua unit bersenjata Persekutuan Tanah Melayu dan British.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 5 Ogos 1957


Upacara menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di antara Raja-Raja dengan wakil Baginda Queen, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray di King's House, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957 Seramai 15 orang penandatangan utama, iaitu . Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, lapan orang Raja-Raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (selain daripada Yang Dipertuan Besar). Perjanjian ditandatangani dengan menggunakan pena yang khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957 dalam 40 salinan (20 salinan Bahasa Melayu dan 20 salinan Bahasa Inggeris).
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Istiadat Pertabalan YDPA


Istiadat Pertabalan Yang di Pertuan Agong yang pertama, Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad telah dilangsungkan pada 2 September 1957 Upacara penuh adat-istiadat Raja. raja Melayu itu telah berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur. Istiadat ini disusuli 21 tembakan meriam, paluan nobat dan gendang kebesaran Diraja. Sebagai tanda kuat kuasa, sebilah keris panjang Diraja telah diserahkan kepada Yang di Pertuan Agong selepas penyistiharan pertabalan dibacakan. Dengan pertabalan ini, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong secara rasminya mengetuai Persekutuan Tanah Melayu.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Rancangan Buku Hijau


Rancangan Buku Hijau atau Gerakan Bumijaya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 20 Disember 1974 di bilik gerakan Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Tujuan utama diperkenalkan rancangan ini ialah untuk menambahkan hasil pengeluaran makanan dan memaksimumkan penggunaan tanah. Antara rancangan yang diberi penekanan ialah galakan tanaman jangka pendek dan penternakan ayam itik dan juga pemeliharaan ikan air tawar. Naskah Rancangan Buku Hijau diterbitkan sebagai panduan umum.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Tun Hussein Onn Bapa Perpaduan


Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga, dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru merupakan anak sulung kepada pasangan Dato Onn Jaafar dan Datin Halimah. Dari jurai keturunan keluarga yang aktif dalam bidang politik merupakan cucu kepada DatoJaafar. Pada 15 Januari 1976, bertempat di Istana Negara, Tun Hussein telah mengangkat sumpah dan secara rasmi telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga. Sebagai seorang pemimpin negara beliau dikenali sebagai Bapa Perpaduan sebagai mengenang jasa dan usahanya mempupuk perpaduan di dalam negara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Ulangtahun Kemerdekaan Ke-20


Ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 20 telah disambut secara besar-besaran pada 31 Ogos 1977 Satu perhimpunan dan perarakan . raksasa telah diadakan di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Sebanyak 21 buah kereta berhias telah mengambil bahagian dalam perarakan raksasa itu bagi memperingati 20 peristiwa penting yang berlaku sejak Malaysia merdeka. Lebih 15,000 peserta daripada pelbagai pertubuhan, kanak-kanak, badan-badan kerajaan dan anggota tentera telah mengambil bahagian dalam perhimpunan hari kebangsaan yang membawa tema " 20 Tahun Bersatu Maju".
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Yang Di-Pertuan Agong Pertama


Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan dipilih sebagai Yang di Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos 1957. Pemilihan ini dibuat melalui Persidangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 3 Ogos 1957 di Dewan Mesyuarat Majlis Kerja Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur. Baginda yang berkelulusan undang-undang dibayar gaji bulanan sebanyak $ 15,000.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Kereta Merdeka
Kereta Merdeka merupakan kereta yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman sekembalinya dari London untuk ke Padang Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956 bagi mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Turut serta dalam rombongan yang diarak menaiki Kereta model Nash Rambler Custom Convertible 1951 yang menggunakan nombor pendaftaran M4442 ini ialah Pemimpin MCA, Leong Yew Koh dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab Abdul Aziz.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Mat Kilau
Fail Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (No. 715/1895, 1957/0060584) merupakan antara koleksi yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia. Fail ini mengandungi laporan telegram yang dikirim oleh Inspektor Curtis kepada Residen British Selangor bagi melaporkan kehadiran Mat Kilau dan beberapa pengikut di Teluk Bunga, Tembeling pada 19 Oktober 1895. Mat Kilau bin Imam Rasul, Pahlawan Melayu Pahang yang tersohor kerana keberanian dan kegagahannya, diburu oleh pihak British kerana bersama-sama dengan ayahnya pahlawan Tok Gajah serta Datuk Bahaman menentang campur tangan British di negeri Pahang.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan


Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak di Jalan Parameswara, Banda Hilir, Melaka ini dibuka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1985 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-28. Matlamat penubuhannya adalah untuk mengenang dan memperingati jasa pengorbanan para pejuang kebebasan kemerdekaan negara. Memorial ini ditempatkan di bangunan yang asalnya dikenali sebagai Malacca Club yang dibina sekitar tahun 1911 dengan berkedudukan berhadapan dengan Padang Pahlawan yang telah merakamkan detik sejarah pengisytiharan tarikh kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Memorial Tunku Abdul Rahman


Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, terletak di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur dibuka dengan rasminya pada 11 November 1994 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ia didirikan sebagai memperingati dan mengenang jasa serta sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Bapa Kemerdekaan negara. Bahan-bahan yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar dan juga bahan-bahan persendirian Tunku. Memorial ini juga merangkumi bangunan residensi iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ia dibuka setiap hari kepada pelawat kecuali Isnin.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Permasyhuran Malaysia
Permasyhuran Malaysia diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka. Pengisytiharan ini adalah lanjutan perjanjian pada 9 Julai 1963 yang ditandatangani di Malborough House iaitu Pejabat Perhubungan Commonwealth di London. Perjanjian ini di antara Persekutuan Tanah Melayu, United kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, negeri Sabah, Sarawak dan Singapura Digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Rancangan Malaysia Pertama


Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) 1966-1970, merupakan rancangan pembangunan yang dilaksanakan ke seluruh negara selepas termeterainya penubuhan Malaysia. Rancangan ini dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tun Abdul Razak Hussein di Dewan Rakyat pada 15 Disember 1965. RMK-1 ini melibatkan perbelanjaan sejumlah RM10.5 billion dengan sejumlah RM4.55 billion diperuntukkan bagi sektor awam dan RM5.95 billion untuk sektor swasta. Penekanan yang diberi ialah kepada bidang pelajaran, kesihatan, perhubungan, pertahanan dan keselamatan dalam negeri.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Rukunegara
RUKUNEGARA dirangka hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Ia mengandungi lima prinsip yang menjadi kunci perdamaian antara kaum, bertujuan mencapai kemajuan bangsa. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah berkenan mengisytiharkannya pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-13. Lima prinsip tersebut ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang & Kesopanan dan Kesusilaan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Tun Abdul Razak Datuk Hussein


Tun Abdul Razak ialah anak sulung kepada Datuk Hussein bin Mohd. Taib (Orang Kaya Indera Shahbandar), Pahang dan Hajah Teh binti Daud. Dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pahang. Tun Abdul Razak secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua pada 22 September 1970. Tun Abdul Razak telah diberi gelaran sebagai 'Bapa Pembangunan' kerana telah bertanggungjawab meletakkan batu asas kepada pembangunan negara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Tun Fatimah Hashim


Tun Fatimah Hashim merupakan wanita pertama yang menduduki barisan menteri Kabinet Malaysia. Dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Muar, Johor. Mula bergiat dalam politik dengan menjadi ahli UMNO ketika berusia 21 tahun dengan memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Cawangan Pergerakan Kaum Ibu Kampung Nong Chik, Johor Bahru. Pada 11 Oktober 1956, beliau dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO. Tun Fatimah bertanding dan menang dalam Pilihan raya Umum 1959, 1964 dan 1969 bagi kawasan Jitra, Kedah. Mula memegang jawatan sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20 Mei 1969 sebelum bersara pada Februari 1973. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Yusof, bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah dan dikurniakan enam orang anak.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Ulang Tahun Ke-10 Kemerdekaan Negara


Ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara pada tahun 1967, telah disambut dengan penuh meriah. Satu acara perarakan telah diadakan bermula dari Parlimen ke Taman Bunga, Kuala Lumpur. Pada acara tersebut Tunku Abdul Rahman dibawa menaiki gajah diiringi ke pentas di Taman Bunga untuk menyampaikan surat perisytiharan Pembukaan Pesta Sepuluh Tahun Merdeka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-4, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Bunga Kebangsaan
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan pemilihan bunga raya (Hibiscus rosasinensis) sebagai bunga kebangsaan pada perasmian Majlis Pameran M.A.H.A di Turf Club, Selangor pada 28 Julai 1960. Antara faktor pemilihannya ialah ia menjadi bunga kegemaran ramai selain dikenali dengan satu nama sahaja di seluruh negara. Keistimewaan lain ialah kerana mempunyai kuntuman dan warna yang menarik.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Hotel Federal
Hotel Federal terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dibuka secara rasmi pada 28 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Projek pembinaan Hotel Federal bermula pada awal 1957, sejurus selepas Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan negara. Tujuan pembinaannya ialah untuk memenuhi keperluan penginapan tetamu negara. Kesemua 90 bilik penginapannya telah digunakan sebagai penginapan rasmi delegasi dan diplomat dari seluruh dunia yang tiba di Kuala Lumpur untuk meraikan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Keganasan Komunis di Malaya - Darurat


Bahan terbitan bertajuk Communist Banditry in Malaya oleh Jabatan Penerangan ini melaporkan peristiwa darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada Jun 1948. Antara kandungannya ialah undang-undang yang dikuatkuasakan, strategi dan corak serangan pengganas komunis, siri keganasan yang dilakukan, langkah kerajaan untuk membendungnya, bilangan yang terkorban, pelaksanaan Rancangan Briggs berkaitan penempatan semula penduduk serta propaganda dan kempen perang saraf yang dijalankan. Terbitan ini juga menyenaraikan kronologi penting dari Jun 1948- Disember 1950.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Pasukan Force 136


Pasukan Force 136 ialah nama kod pasukan khas gerakan bawah tanah yang ditubuhkan semasa Perang Dunia Kedua. Penubuhannya bertujuan menentang Jepun dan sekutunya di Asia Tenggara. Markasnya berpusat di Ceylon (Sri Lanka) dan India. Di Tanah Melayu, Force 136 diketuai oleh Mejar Tengku Mahmood Mahyideen. Beliau telah diberi kepercayaan sebagai Pegawai Pemerintah Force 136 bahagian Melayu dan melatih anggotanya cara perang gerila untuk menduduki semula Tanah Melayu.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Suruhanjaya Pilihanraya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957 Pilihan raya umum pertama dikendalikan SPR ialah pada tahun 1959. . Sehingga kini SPR telah mengendalikan 11 pilihan raya dan yang Terakhir ialah pilihan raya umum 2004. Pada awal penubuhan, SPR dianggotai seorang Pengerusi dan 2 orang ahli. Datuk Dr. Mustapha Al Bakri telah dilantik sebagai Pengerusi SPR yang pertama pada 4 September 1957, dibantu oleh Lee Ewe Boon dan Ditt Singh. Perkara mengenai SPR termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 Perlembagaan Persekutuan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan 31 Ogos 1957


Upacara mengangkat sumpah jawatan selepas negara mencapai kemerdekaan diadakan pada 31 Ogos 1957, pukul 11 pagi bertempat di Balairung Seri, Istana Negara. Istiadat didahului oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama. Ini diikuti oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Hisamuddin Alam Shah. Kemudiaan ia diikuti Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Hakim Besar serta ahli jemaah Menteri.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Gelaran Bapa Kemerdekaan


Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan gelaran Bapa Kemerdekaan Tanah Air. Penganugerahan ini telah dipersetujui hasil daripada Persidangan UMNO pada 29-30 Jun 1957. Pengurniaan secara rasmi telah diadakan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Sultan Selangor. Anugerah gelaran ini diberikan sebagai mengenang jasa perjuangan membebaskan tanahair dan sebagai pengasas perpaduan kaum.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Kad Pengenalan Persekutuan Tanah Melayu


Kad Pengenalan mula diperkenalkan di Tanah Melayu semasa zaman darurat. Ia sebagai usaha untuk membendung kegiatan komunis dengan cara mengesan pergerakan dan kehadiran Komunis di kampung-kampung baru. Kad pengenalan perlu dibawa ke mana-mana sahaja oleh setiap penghuni ketika keluar dan masuk. Ia perlu ditunjukkan kepada pengawal yang bertugas di pusat-pusat pemeriksaan di setiap pintu masuk.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Pakaian Khas Menyambut Kemerdekaan


Tunku Abdul Rahman telah mengenakan pakaian khas sempena upacara pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Pakaian hasil ilham Tunku sendiri ini berdasarkan sejenis pakaian negeri Kedah iaitu baju muskat. Ia diubah suai lengkap dengan seluar satin hitam dan bersongket, selain samping dan tengkolok. Pakaian ini turut dipakai oleh menteri-menteri Melayu pada upacara penuh bersejarah tersebut. Encik G.K. Sediris Appuhamy dari Messrs, Gian Singh and Co., di Kuala Lumpur dipertanggungjawabkan menyediakan pakaian khas ini.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Pemasyhuran Kemerdekaan 1957


PEMASYHURAN Kemerdekaan adalah pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 31 Ogos 1957. Antara perkara yang dinyatakan dalam pemasyuhuran ini ialah semua negeri Melayu termasuk Melaka dan Pulau Pinang akan kekal menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka serta berpegang kepada prinsip-prinsip demokrasi. Pengisytiharan ini merupakan ekoran perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dibuat oleh Queen Elizabeth II dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 .
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Perasmian Stadium Merdeka Pada 30 Ogos 1957


Stadium Merdeka yang menjadi lokasi upacara pengisytiharan kemerdekaan negara telah dibuka dengan rasminya tepat pukul 9 pagi, 30 Ogos 1957 Majlis Perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Menteri . Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Pada hari pembukaan Stadium Merdeka bergema dengan sorokan lebih 15,000 hadirin termasuk pelajar sekolah, 700 tetamu kehormat dan ahli-ahli sukan dari 8 negara luar. Upacara tersebut juga diserikan dengan pertunjukan acara padang oleh 1,000 orang kanak-kanak sekolah dengan iringan pancaragam Askar Melayu Diraja.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Setem Merdeka 10 sen


Setem Merdeka bernilai 10 sen telah dikeluarkan oleh Jabatan Pos bagi memperingati Hari Kemerdekaan. Setem ini mengandungi gambar Tunku Abdul Rahman dengan berlatarbelakangkan suasana sambutan kemerdekaan. Ia merupakan rekaan Mohamed Abu Bakar Saman dari Kota Bharu, Kelantan hasil satu pertandingan mereka cipta setem. Setem ini mula dijual pada 31 Ogos di Pejaba Pos dan ejennya di seluruh negara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Suruhanjaya Reid
Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada tahun 1955. Tujuan penubuhannya ialah menyesorkan perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berdasarkan kepada amalan demokrasi berparlimen. Lord Reid, Sir Ivor Jennings (Britain) dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya dan ahli-ahlinya terdiri daripada Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya Reid telah mengadakan sebanyak 118 persidangan dari bulan Jun sehingga Oktober 1956.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan


Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman secara rasmi, tepat pukul 9.30 pagi, 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Tunku melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali dan disahut oleh hadirin seramai 20,000 orang yang memenuhi stadium. Ia disusuli seruan azan, diikuti dengan upacara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu diiringi oleh lagu kebangsaan Negaraku. Sebanyak 101 das tembakan dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu menjadi negara merdeka dan berdaulat. Sebanyak 26 perwakilan asing dan 21 tetamu khas turut serta pada upacara penuh gemilang itu.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Delegasi Kemerdekaan ke London 1956


Pada 18 Januari 1956, delegasi diketuai Tunku Abdul Rahman telah ke London untuk merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Ia disertai oleh Datuk Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman dan Encik H.S.Lee sebagai wakil Parti Perikatan. Empat wakil raja-raja Melayu ialah Datuk Panglima Gantang, Abdul Aziz Majid, Datuk Nik Ahmad Kamil dan Datuk Mohd Seth Mohd Said. Rundingan di Lancaster House ini berjaya memperoleh persetujuan daripada British dengan termeterainya Perjanjian Kemerdekaan pada 8 Februari 1956.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Dokumen fail 'Federation of Malaya Flags'


Dokumen bertarikh 7 Jun 1950 yang dipetik daripada fail Federation of Malaya Flags menjelaskan maksud simbol pada bendera Persekutuan Tanah Melayu. 11 jalur berwarna merah putih dan bintang pecah 11 adalah lambang perpaduan dan kerjasama sebelas negeri dalam Persekutuan. Dipetak berwarna biru, terdapat bulan dan bintang berwarna kuning menandakan agama Islam sebagai agama rasmi di bawah naungan kedaulatan raja-raja Melayu. Warna merah, putih dan biru pada bendera pula melambangkan gabungan dan kerjasama Persekutuan Tanah Melayu dalam Pertubuhan Negara-negara Komanwel.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Penetapan tarikh merdeka 31.8.1957

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu

Tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih sebagai tarikh kemerdekaan negara atas nasihat Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Perbincangan antara Datuk Sardon Jubir, Ketua Pemuda UMNO bersama dengan Tuan Haji Ahmad Badawi, Naib Ketua Pemuda telah diadakan dengan Sheikh Abdullah Fahim 1956. Menurut beliau, 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab adalah Am Khir Atana yang bermaksud Tahun Baik Datang Kepada Kita.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Pada 21 Januari 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara Sir Edward Gent sebagai wakil kerajaan British dengan sembilan Raja Melayu. Antara perkara utama perjanjian ialah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan ini terdiri daripada sembilan negeri Melayu iaitu Johor, Pahang, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Ia juga termasuk Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang. Singapura kekal sebagai tanah jajahan British yang berasingan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Rejimen Askar Melayu

Perbarisan kemerdekaan pertama

Rejimen Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Mac 1933. Penubuhannya atas kehendak Sultan dan raja-raja Melayu bagi menggantikan Pasukan Batalion India. Seramai 25 rekrut pertama dipilih sebagai perintis untuk menjalani latihan yang bertempat di Kem Port Dickson, Negeri Sembilan. Mejar G. Mc I. Bruce adalah Pegawai Komander Pertama, Rejimen Askar Melayu. Antara yang menganggotai kumpulan rekrut perintis itu ialah Kolonel Raja Lope Noor Ar-Rashid dan Lt. Kolonel Mohamed Taib Jais.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

Perbarisan Kemerdekaan pertama telah diadakan pada 1 September 1957. Ia juga diadakan bersekali perlantikan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Negara. Istiadat perbarisan itu diadakan di depan bangunan Federal Secretariat, (Bangunan Sultan Abdul Samad), Kuala Lumpur. Lebih 2,000 anggota pelbagai pasukan tentera dan polis termasuk sukarelawan mengambil bahagian. Ribuan rakyat memenuhi Padang Kelab Selangor serta sepanjang jalan raya untuk menyaksikan perbarisan yang bermula dar i Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Sumber: Arkib Negara Malaysia

You might also like