You are on page 1of 4

Kemiskinan merupakan keadaan di mana kekurangan dari pelbagai aspek.

Menjadi miskin akan


menyebabkan seseorang dipinggirkan daripada proses membuat keputusan dalam masyarakat,
didiskriminasi daripada masyarakat, hilang rasa kesepunyaan kepada masyarakat dan menjadi
mudah terdedah kepada jenayah bandar (UN-HABITAT ,2003). Di Malaysia, pertumbuhan ekonomi
yang pesat disokong dengan pembangunan prasarana yang lengkap menjadikan bandar-bandar
sebagai pusat tumpuan manusia. Walau bagaimanapun, peluang ekonomi adalah terhad, tahap
pendidikan rendah dan ketidakcukupan pendapatan menyebabkan ada penghuni bandar yang
tersisih daripada pembangunan perdana yang berlaku. Oleh itu, wujudnya golongan miskin bandar
yang terpinggir dan gagal menikmati segala kemudahan yang tersedia di bandar. Berdasarkan
Laporan Kemiskinan dan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan yang diterbitkan pada tahun 2016
menyatakan hampir 12 peratus atau 767,000 isi rumah di Malaysia berpendapatan RM2,000
sebulan ke bawah dan 65 peratus (4.16 juta) berpendapatan kurang RM6,000 sebulan. Golongan
miskin bandar ini yang kebanyakan menetap rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di
beberapa lokasi di ibu negara seperti Kuala Lumpur.

Berdasarkan video Children Without:A study of urban child poverty in low cost flats in Kuala
Lumpur, faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan murid miskin bandar adalah lebih kepada
faktor kemiskinan yang meliputi dimensi seperti kesihatan, pendidikan, persekitaran dan
keselamatan. Berdasarkan laporan Children Without, sebanyak 77% responden iaitu ketua isi
rumah tidak dapat membuat simpanan langsung kerana duit yang mereka peroleh semuanya habis
dibelanjakan untuk keperluan asasi seisi rumah setiap bulan. Maka ini menjadi salah satu faktor
yang membantut pekembangan kanak-kanak iaitu masalah kewangan. Selain itu, faktor latar
belakang pendidikan yang rendah dalam kalangan ketua keluarga turut memberi kesan kepada
pencapaian pendidikan anak-anak mereka. Ini disebabkan pembangunan keluarga berhubung rapat
dengan pendidikan (Ogburn,1964). Hal ini berlaku kerana kebanyakan ketua isi rumah mempunyai
pencapaian pendidikan yang rendah menyebabkan pencapaian pendidikan turut rendah dalam
kalangan anak mereka dan kesan kemiskinan ini akan mewujudkan persekitaran yang tidak
menggalakkan pembelajaran (Osman-Rani, 1995).

Di samping itu, bagi kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik, mereka akan
mempunyai taraf kesihatan yang tinggi dan berkemampuan bersaing. Sebaliknya bagi kanak-kanak
yang tinggal dalam persekitaran tidak baik seperti keadaan rumah yang sesak, kekurangan
kebersihan, kurang pemakanan dan pendidikan akan mengalami tekanan kehidupan (Ibrahim Abu
Shah, 1995). Kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah tidak mempunyai ruang belajar yang
kondusif dan keadaan persekitaran tidak selamat. Kawasan tempat tinggal mereka tidak selamat
untuk anak-anak pada waktu malam dan berlaku pelajar menghisap rokok atau minum minuman
keras di kawasan perumahan. Oleh itu, masalah persekitaran dan keselamatan juga mempengaruhi
perkembangan kanak-kanak.
Pada aspek perkembangan fizikal, perkembangan murid miskin bandar lebih teruk berbanding
murid biasa. Hal ini disebabkan murid miskin bandar menghadapi masalah kekurangan zat
makanan. Berdasarkan laporan Children Without, 97% isi rumah menyatakan bahawa harga
barang makanan yang tinggi menghalang mereka untuk menyediakan hidangan sihat kepada anak-
anak. Masalah kekurangan zat makanan akan menyebabkan masalah tumbesaran terbantut dan
lambat, sukar menumpukan perhatian,mudah marah dan sebagainya. Berdasarkan teori
perkembangan fizikal kanak-kanak oleh Robert Havighurst, beliau menyatakan bahawa
perkembangan utama manusia sebagai satu-satu tugas seperti berjalan, berlari atau melompat,
yang dilahirkan di dalam kehidupan individu pada sesuatu peringkat yang tertentu akan membawa
kepuasan serta mendorongnya mengulangi tugas tersebut. Robert Havighurst menyenaraikan
tugas-tugas perkembangan kanak-kanak dan salah satu yang akan dibincang ialah pada peringkat
kanak-kanak (6-12 tahun). Peringkat ini, kanak-kanak lebih cenderung untuk bermain atau
melakukan sesuatu aktiviti yang lebih menggunakan tenaga kerana kanak-kanak pada peringkat
tersebut amat aktif. Oleh sebab itu, kanak-kanak memerlukan fizikal yang lebih kuat untuk
melakukan aktiviti-aktiviti dan permainan yang lasak. Selain itu, kanak-kanak ini juga mula
membentuk konsep diri yang sihat. Hal ini kerana badan yang aktif akan menjadikan tubah badan
kanak-kanak lebih sihat dan cergas. Oleh itu, dari aspek perkembangan fizikal dengan masalah
kekurangan zat makanan, murid miskin bandar akan lambat mengikut jadual waktu bertepatan
dengan perkembangan dan pertumbuhan fizikal berbanding murid biasa yang tidak mempunyai
masalah tersebut.

Pada aspek perkembangan kognitif, perkembangan murid miskin bandar lebih tidak memuaskan
berbanding murid biasa. Teori perkembangan kognitif menurut Lev vegotsky menekankan peranan
sosial dan budaya dalam perkembangan kanak-kanak. Menurut beliau kebanyakan daripada
kemahiran kognitif terhasil daripada interaksi sosial kanak-kanak dengan ibu bapa, guru, rakan-
rakan, dan orang dewasa. Tambahan pula, murid yang tinggal di flat kos rendah ini kekurangan
ruang dan tempat sesuai untuk belajar dan ada yang keluarga induk tunggal. Maka, ia
mempengaruhi konsentrasi dan pembelajaran harian seperti kekurangan pengawasan oleh ahli
dewasa dan penjagaan anak yang akan menghad pembelajaran atas sibuk bekerja sepanjang
masa, kekurangan stimulasi seperti bahan atau alat belajar yang mengakibatkan kekurangan
motivasi untuk belajar dan melambatkan perkembangan kognitif, mencontohi tingkah laku yang
bermasalah sebab gejala sosial di kawasan perumahan, sikap kendiri yang rendah, dan sebagainya
(Faridah Abu Hassan et al., 2005). Kepentingan interaksi di dalam perkembangan kognitif kanak-
kanak digambarkan oleh Vygotsky dalam konsep Zon Perkembangan Proksimal. Dalam zon
perkembangan proksimal terdapat had atas dan had bawah. Had atas ialah kemahiran yang boleh
dicapai dengan bantuan individu yang lebih mahir manakala had bawah bermaksud kemahiran
yang telah dicapai sendiri oleh kanak-kanak. Secara keseluruhannya, perkembangan kognitif murid
miskin bandar tidak begitu tinggi kerana tiada orang dewasa sebagai rujukan dan kurang motivasi
sendiri untuk belajar.

Pada aspek perkembangan sosioemosi, perkembangan murid miskin bandar lebih tidak stabil
berbanding murid biasa. Berdasarkan Teori Perkembangan Sosioemosi Erik Erikson, manusia
berpotensi mengalami perkembangan psikologi yang sihat dan mampu mengatasi kesulitan
mengikut masa dan peringkat perkembangan tertentu dan menekankan kepentingan hubungan
sosial antara kanak-kanak dengan individu-individu yang berada di persekitaran mereka.
Malangnya, masalah dadah, bagi mereka yang tinggal di flat kos rendah, adalah masalah yang
biasa berlaku. Mereka tidak akan membiarkan anak-anak mereka bermain diluar rumah tanpa
pengawasan. Awal pagi dan lewat petang adalah masa yang ditakuti oleh penduduk PPR. Selain itu,
mereka terpaksa keluar mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga dan keadaan ini
menyebabkan kanak-kanak perlu mengurus dan menjaga keselamatan diri mereka sendiri pada
usia yang muda. Hal ini juga mengakibatkan kanak-kanak kurang diberi perhatian terutamanya
dalam aspek keselesaan dan kesihatan fizikal anak-anak. Disebabkan keperluan asas dan
persekitaran murid miskin bandar yang tidak baik akan menyumbang kepada konflik emosi dan
membawa akibat kepada imej kendiri.

Peranan guru untuk memastikan kesamaratan peluang pendidikan dalam kalangan murid miskin
bandar adalah menambah waktu bimbingan belajar dan mutu ruang belajar. Disebabkan tempat
kediaman murid miskin bandar tidak mempunyai ruang belajar yang kondusif dan selesa, maka
guru boleh membuat kelas tambahan selepas waktu sekolah ataupun menjemput mereka belajar di
rumah guru. Dengan cara ini, murid ini tidak akan ketinggalan terlampau kerana ada bimbingan
daripada guru dan ruang belajar yang baik. Berdasarkan pendapat Teh Kok Lim, guru memainkan
peranan yang penting dalam sekolah khasnya dalam bilik darjah, jadi pengaruh guru adalah secara
terus terhadap murid. Oleh itu, guru tidak seharusnya mempunyai sifat pilih kasih di dalam diri
sendiri malah guru perlu memberi layanan yang sama rata supaya murid akan berasa mereka lebih
dihargai.

Selepas itu, terdapat murid yang ibu bapanya bercerai atau sudah meningal. Kanak-kanak ini
akan hilang laluan dan motivasi untuk teruskan pendidikan disebabkan oleh peri laku ibu bapa yang
tidak sokong tindakan atau matlamat meneruskan pendidikan. Hal ini juga menyebabkan mereka
hilang arah dan guru sepatutnya mengambil tindakan berbincang dengan ibu bapa agar
mengalakkan anak mereka belajar dan mengutamakan pendidikan. Murid miskin bandar ini berasal
daripada keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah dan menghadapi masalah dari segi
pembiayaan, kemudahan belajar yang selesa serta kurang kelengkapan belajar seperti buku
rujukan dan sebagainya. Oleh itu, guru boleh meminta pihak sekolah membuat kutip derma dengan
mengadakan aktiviti seperti Hari Kantin serta meminta bantuan kewangan daripada Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG).

Setiap anak adalah permata kepada negara. Walaupun golongan murid miskin bandar ini tidak
mendapat prasarana dan kebajikan yang sepatutnya, sebagai pihak yang berkemampuan seperti
guru kena menghulurkan tangan membantu mereka menghadapi masalah mendapatkan pendidkan.
Jadi, tugas seorang guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai seorang guru yang mengajar
pelajar di dalam kelas, tetapi tugas guru adalah lebih daripada itu. Guru perlu memastikan
kesamarataan peluang pendidikan dalam kalangan murid agar tiada kanak-kanak yang tercicir
pendidikan dan mempunyai taraf hidup yang lebih baik.

You might also like