You are on page 1of 8

1.

0 PENGENALAN

Konsep pembangunan membawa maksud yang amat luas sama ada dari segi pengertiannya
mahupun pelaksanaannya. Penulisan ini membincangkan berkenaan perspektif politik, ekonomi
serta agama. Oleh itu kepelbagaian bidang ini telah menghasilkan pelbagai bentuk pengertian
yang amat luas dan kompleks. Antara perkara yang dibincangkan ialah sejarah perkembangan
ekonomi Malaysia yang telah melalui beberapa perubahan bermula daripada era pra-penjajah
sehingga kini. Justeru, Perlembagaan Malaysia amat berkait rapat dengan isu hubungan etnik
ini. Hal ini kerana masyarakat Malaysia saling bekerjasama, bersefahaman dan sentiasa
menghayati Perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi.

2.0 HUBUNGAN ETNIK DARIPADA PELBAGAI PERSPEKTIF

2.1 PERSPEKTIF EKONOMI

Dari aspek ekonomi, hubungan etnik adalah pertalian antara etnik dalam menjalani ekonomi.
Seperti yang kita tahu, setiap etnik dalam Malaysia mempunyai perusahaan ekonomi masing-
masing, dimana setiap etnik hendaklah mempunyai hubungan yang baik bagi menjalankan
kegiatan ekonomi mereka, sekaligus menaikkan taraf ekonomi Malaysia. Dalam erti kata lain,
pertumbuhan ekonomi merupakan prasyarat pembangunan ekonomi sesebuah negara untuk
membentuk identiti negara tersebut. Hal ini menepati pandangan Berger (Dalam Hazil
(1990:18)), iaitu dalam erti kata yang seluas-luasnya, pembangunan adalah difahami sebagai
suatu proses yang menyebabkan sesuatu negara miskin menjadi kaya. Namun begitu pada era
penjajahan British, mereka telah melakukan dasar pecah perintah (devide and rule). British
melaksanakan dasar ini agar mereka dapat mengeksploitasikan sumber-sumber yang ada pada
waktu itu. Penjajah British telah membawa masuk buruh-buruh dari negara lain seperti dari
negara China dan India. Kaum Cina telah menguasai perlombongan manakala kaum India
memonopoli bidang perladangan dan kaum Melayu dibiarkan untuk mengerjakan sektor
pertanian tradisional.

Sektor Melayu Cina India Lain-lain


1) Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
2) Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
3) Perniagaan/Perdagangan, Pentadbir Awam, 42.6 45.5 10.7 1.2
Pelajaran, Pertahanan dan Kemudahan Awam
Oleh yang demikian, ia menyebabkan berlakunya jurang perbezaan ekonomi dan sosial dari
kalangan kaum di Malaysia. Perasaan iri hati timbul dalam kalangan mereka kerana tindakan
berat sebelah British dalam memperkenalkan Dasar Pecah dan Perintah. Kesan daripada hai
itu, begitu mendalam sehingga masih dapat dilihat pada masa kini. Pada masa kini kita dapat
melihat masyarakat Cina masih lagi mendominasi bidang perdagangan dan masyarakat India
masih terlibat dalam bidang perladangan manakala segelintir masyarakat melayu masih lagi
giat aktif dalam bidang pertanian dan perikanan. Pemisahan ini menjadikan interaksi antara
mereka agak sukar diamalkan kerana dikelilingi oleh kaum mereka sendiri. Oleh yang demikian,
selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, satu dasar baru diwujudkan melalui Rancangan
Malaysia Kedua (1971-1975) iaitu Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan
Negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat di dalam
konteks keselamatan yang kukuh. pembahagian pekerjaan dipercayakan merupakan satu
sebab berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

2.2 PERSPEKTIF POLITIK

Politik merupakan satu saluran yang kuat bagi membentuk sebuah negara. Dalam aspek ini
pula, hubungan etnik adalah hubungan antara parti-parti politik yang ada dalam negara. Ruang
politik Malaysia, meskipun sudah memasuki abad ke-21, masih berorientasikan politik kaum
dan keagamaan. Parti politik yang wujud berpartisipasi dalam pentas politik demokrasi masih
terbentuk berdasarkan ikatan perkauman. Pembinaan asas perpaduan sebenarnya sudah
dizahirkan secara tuntas berasaskan kepada perundangan dan peraturan yang ditetapkan. Oleh
itu, bagi mengekalkan hubungan etnik yang baik sekaligus memantapkan lagi politik Malaysia,
setiap parti yang dimaksudkan hendaklah berkerjasama antara satu sama lain. Tanggungjawab
sebagai ahli politik sepatutnya tidak boleh disalahgunakan untuk memanfaatkan diri sendiri,
namun ironiknya hal itulah yang kini menjadi tular dalam kalangan ahli politik negara ini.
Berdasarkan David dan Dumanig (2011), seorang pemimpin boleh mewujudkan perpaduan
nasional atau pepecahan di kalangan kumpulan etnik dalam perbincangan umum tetapi ia
bergantung kepada cara mereka memahami dan melihat mesej yang disampaikan oleh
pemimpin. Demi untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, ramai ahli politik menjadikan
isu perkauman sebagai jalan pintas bagi menjamin lebih ramai pengundi.

Politik tidak seharusnya menggunakan isu perkauman sebagai medium tetapi sebaliknya harus
menggunakan kedudukan politik untuk membentuk rakyat majmuk yang bersatu. Sekiranya
politik digunakan untuk mengaut keuntungan diri sendiri maka lahirlah sebuah kerajaan
diktaktor yang bakal memanipulasikan rakyatnya untuk berkelahi sesama sendiri. Politik
seharusnya menjadi saluran yang betul bagi membentuk kerajaan yang bersih dari pelbagai
unsur negatif kerana dari politiklah segala hal di negara bermula dan berkembang. Baru-baru ini
negara kita digemparkan dengan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan yang baru. Oleh
kerana kerajaan dulu tidak mampu memerintah dengan adil dan saksama kepada semua
lapisan masyarakat. Hal seperti inilah yang sepatutnya dielakkan kerana bukan sahaja akan
dilihat oleh rakyat tetapi juga akan dicemuh oleh negara-negara luar. Kesan daripada politik
perkauman ini bakal mencetuskan akibat buruk yang mungkin akan melanda negara seperti
peristiwa 13 Mei 1969 yang lalu, sekiranya kerajaan tidak memberi penekanan yang tegas
dalam hal ini.

2.3 PERSPEKTIF KEPELBAGAIAN AGAMA

Dari aspek kepelbagaian agama pula hubungan etnik bermaksud hubungan antara penganut
agama-agama yang pelbagai di dalam negara kita, tidak kira Islam, Kristian, Hindu dan juga
Buddha. Agama merupakan tunjang kepada kehidupan seseorang individu, dimana tanpa
agama sudah tentu seseorang itu tidak mempunyai pegangan hidup yang kukuh. Namun
begitu, dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan
Agama Persekutuan. Menurut Azman Abdul Manaf (2001), masyarakat majmuk di Malaysia
mengamalkan agama yang berbeza meskipun agama Islam merupakan agama rasmi. Sungguh
pun begitu, agama-agama lain masih dapat diamalkan dengan aman tanpa ada gangguan
seperti hendak beribadah dan sebagainya. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kurangnya aktiviti
yang berunsur kepada penghinaan agama di negara ini. Dalam hal ini, masyarakat majmuk di
negara ini kurang menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menjejaskan
keharmonian. Kita dapat lihat di sini perlembagaan yang kita berpegang merupakan satu
perlembagaan yang adil dan mengambil kira terhadap setiap hak-hak rakyat Malaysia. Hal ini
merupakan perkara penting bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah wilayah yang berdaulat.

Kepelbagaian agama juga ditekankan menerusi penggubalan Rukun Negara iaitu Kepercayaan
Kepada Tuhan yang merupakan prinsip paling utama dalam Rukun Negara. Menurut Mohd
Ashraf Ibrahim et al. (2015), prinsip pertama dalam Rukun Negara tersebut merupakan medium
yang efektif dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum yang
berlainan agama. Hal ini demikian kerana, semua agama mengajar para penganutnya untuk
menghormati antara satu dengan yang lain. Perkara tersebut secara tidak langsung
mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini
dan menjadi asas pembinaan jati diri masyakat majmuk di Malaysia dan sewajarnya menjadi
panduan dan pedoman hidup bermasyarakat oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dan agama. Sekiranya masyarakat berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing
secara postif maka perkara tersebut dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Menerusi ikatan keagamaan, manusia akan bertindak sebagai seorang yang bertanggungjawab
dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara. Rakyat juga akan sentiasa berasa
bersyukur dalam kehidupannya.

3.0 KEPENTINGAN DAN CABARAN DALAM HUBUNGAN ETNIK YANG DAPAT MEMBINA SESEBUAH
NEGARA BANGSA SERTA MENILAI INTERGRASI NASIONAL YANG DIBENTUK

3.1 KEPENTINGAN PERLEMBAGAAN DALAM INTERGRASI NASIONAL UNTUK PEMBENTUKAN


NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

Perlembagaan Malaysia, dikenali juga sebagai Perlembagaan Persekutuan 1948 mengandungi


183 perkara, adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan satu dokumen undang-
undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957. Perlembagaan
ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian
dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada
31 Ogos 1957. Ia bermula daripada satu persidangan perlembagaan yang telah diadakan di
London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang dihadiri oleh satu rombongan delegasi
daripada Persekutuan Malaya, yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua Menteri
Persekutuan (Tunku Abdul Rahman) dan tiga menteri-menteri lain, dan juga Pesuruhjaya Tinggi
British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.

Bagaimanakah Perlembagaan Malaysia boleh dijadikan asas kepada pembinaan jati diri dan
negara bangsa? Kita boleh lihat daripada perkara-perkara yang terdapat dalam perlembagaan,
antaranya adalah perkara 8. Perkara 8 menyatakan mengenai hak terhadap layanan secara
sama rata di sisi undang-undang. Hak kesamarataan ini adalah tunjang bagi kita pembinaan
negara bangsa. Hal ini kerana kita hendaklah menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu
bangsa sebagai sebuah wilayah yang berdaulat. Maka setiap entiti yang termasuk dalam
wilayah yang dimaksudkan hendaklah diberiakn layanan yang sama rati di sisi undang-undang,
tidak kira bangsa, agama dan kepercayaan. Saya bagi analogi sebuah keluarga. Setiap waris
ataupun ahli keluarga hendaklah diberikan layanan yang sama rata bagi membolehkan
keluarga itu untuk menjadi satu keluarga yang harmoni dan sentiasa hidup aman dan damai,
begitu juga dengan negara kita.

Akhir sekali adalah Perkara 152. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa
bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Walaubagimanapun, perlembagaan menjamin
kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan
rasmi. Tujuan-tujuan Rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau
negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua
prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen serta mesyuarat-mesyuarat mesti
dilakukan di dalam bahasa Melayu. Seperti yang kita tahu, perkara yang paling dibanggakan
sehingga dapat mengekalkan semangat kesepaduan sesebuah bangsa adalah bahasa. Bahasa
Melayu di sini memainkan peranan sebagai satu medium, dimana tidak kira bangsa ataupun
agama yang kita anut, bahasa Melayu boleh kita gunakan sebagai bahasa perantaraan antara
satu kaum kepada satu kaum yang lain.

3.2 CABARAN DALAM HUBUNGAN ETNIK DALAM MEMBINA SEBUAH NEGARA BANGSA

Terdapat beberapa cabaran yang menyukarkan usaha mengekalkan hubungan etnik yang
baik, antaranya adalah dasar yang telah diperkenalkan oleh penjajah British iaitu berkaitan
dengan ekonomi. Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang
menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.
Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu.
Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh
antara rakyat tempatan yang berbilang etnik. Kemudian, penjajah perlu mengekalkan
penduduk peribumi di kampung-kampung serta mengekalkan aktiviti pertanian masyarakat
Melayu bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas. Justeru,
tindakan membawa masuk pekerja asing adalah untuk mengelakkan penduduk peribumi
meninggalkan aktiviti pertanian.

Akhir sekali adalah sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan.
Menurut Laporan Razak, tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana
setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa
ibunda masing-masing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat
ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini
telah mewujudkan satu lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan
menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di samping mewujudkan
keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga
negara yang beridentitikan satu negara.
4.0 PENUTUP

Hubungan etnik merupakan perkara yang sangat penting bagi masyarakat amnya Malaysia
yang bersifat majmuk. Hubungan etnik ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang
harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dan sentiasa menghayati Perlembagaan
Malaysia yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi. Usaha-usaha perlu diambil
secara berterusan bagi memastikan hubungan etnik di Malaysia sentiasa berada dalam
keadaan yang baik. Usaha-usaha ini adalah melibatkan peranan kerajaan, masyarakat dan
pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang penting dalam memastikan hubungan etnik sentiasa
dalam keadaan baik, segala usaha ini perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat.
Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah
perkauman.
5.0 RUJUKAN

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2009). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Sejarah tingkatan 2 :
buku teks. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Guan, L. H. (2000). Ethnic Relations in Peninsular Malaysia: The Cultural and Economic Dimensions.
Social and cultural issues No. 1(2000), 48.

Halimi, A. J. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Shah Alam: Utusan Publication.

Hashim, W. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia. Shah Alam: ITBM.

Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin. (2018, Mac 05). Hubungan Etnik Berdasarkan Kepelbagaian Agama.
retrieved Mac 3, 2020, from blogspot : https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/03/hubungan-
etnik-berdasarkan-perspektif_74.html

Rosnaini Sulaiman, Muhd. Yusof Ibrahim, Muhammad Bukhari Ahmad, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul
Rahman. (2002). Sejarah tingkatan 4 : Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wikipedia. (2017, Oktober 31). Perlembagaan Malaysia. Retrieved Mac 2, 2018, from Wikipedia:
https://ms.wikipedia.org/wiki/Perlembagaan_Malaysia

You might also like