You are on page 1of 4

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN PLKN

Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun
2004. Program ini merupakan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-
nilai patriotik kepada generasi muda kearah cinta akan negara. Program ini berbeza daripada
kerahan tenaga yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara lain kerana program ini
menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial.
Kandungan program ini terbahagi kepada dua komponen iaitu 30% berasaskan tentera dan
70% berasaskan kemasyarakatan. Pelatih PLKN akan menjalani latihan modul-modul yang
ditetapkan oleh JLKN iaitu seperti modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter, dan
khidmat komuniti. Terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan Program Latihan Khidmat
Negara ini terhadap remaja.

Antara kelebihan Program Latihan Khidmat Negara ini ialah program ini dapat
membina ketahanan fizikal dan mental para pelatih. Dalam tempoh tiga bulan latihan
tersebut, pelbagai aktiviti berkumpulan seperti mendaki bukit, berkhemah, latihan lasak dan
sebagainya dijalankan. Aktiviti-aktiviti ini dapat mempertingkatkan kekuatan mental dan
fizikal remaja yang mengikuti program ini. Walaupun terdapat segelintir pihak yang
memperlekehkan usaha kerajaan ini namun terdapat juga ibubapa yang menerima baik
program ini kerana percaya bahawa PLKN menjadi titik peralihan yang penting dalam
membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini dikatakan sedemikian kerana masa lapang peserta
selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan
dapat mendisiplinkan diri peserta dengan jadual yang ditentukan.Oleh hal yang demikian,
remaja yang mengikuti program ini akan lebih yakin dan tenang terhadap diri mereka pada
masa akan datang apabila menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Perkara ini adalah
sangat penting kerana di era globalisasi ini, pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi
kerana terlalu banyak persaingan yang akan dihadapi oleh setiap individu.

Selain itu, Program Latihan Khidmat Nagara memainkan peranan penting dalam
mewujudkan integrasi nasional. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana
rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Malahan, kepelbagaian ini adalah
kekuatan yang mewarnai corak negara ini. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta dilatih
bergotong-royong, bermuafakat, bertoleransi dan lain-lain. Kesemua aktiviti program itu
memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar kehidupan
untuk saling berinteraksi. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta dilatih bergotong-
royong, bermuafakat, bertoleransi dan lain-lain. Oleh yang demikian, perpaduan kaum mudah
tercapai khususnya dinegara yang berbilang kaum ini. perpaduan dan intergrasi nasional
adalah satu keperluan bagi menjamin rakyatnya hidup dalam suasana aman damai. Secara
tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan
politik dalam jangka masa panjang.

Seterusnya, Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat


kepimpinan dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Pelbagai aktiviti yang dilakukan
berasakan penerapan terhadap nilai tanggungjawab dan amanah supaya para pelatih dapat
menjadi individu yang dipercayai dan disanjung oleh masyarakat. Semangat kepimpinan ini
sangat penting kerana pemimpin yang baik bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara.
Selama ini warganegara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap
perkara ini kerana mereka beranggapan bahawa golongan dewasa sahaja yang pelu
mempunyai kepimpinan kerana mereka yang mentadbir negara. Kepemimpinan yang baik
juga dapat menjamin hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju di samping
mengekalkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan
muda perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan
kemerdekaan sesebuah negara. Golongan muda ialah generasi yang bakal mewarisi
pentadbiran negara pada suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu memiliki semangat
kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.

Disamping itu, melalui PLKN remaja dapat menyemai nilai-nilai patriotik yang
semakin luntur dalam kalangan remaja pada hari ini. Hal ini disebabkan oleh perubahan masa
dan cara hidup pada masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak tahu erti kesusahan
dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka. Perkembangan teknologi, hiburan dan
bahan bacaan dari luar sedikit sebanyak telah menghakis semangat kecintaan dan sayangkan
negara. Golongan muda dilihat lebih menyanjungi budaya barat dan lupa tentang asal-usul
kewujudan negara sendiri. Selain itu, kehidupan yang lebih senang dan mudah menjadikan
golongan muda masa kini kurang semangat patriotisme. Mereka telah dibanjiri dengan
kesenangan dan kemewahan hidup sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan
kepada pembangunan bangsa dan negara. Sesetengah daripada mereka pula langsung tidak
mengetahui nama kementerian dalam kerajaan. Jadi, PLKN diwujudkan untuk memupuk
semangat patriotisme dalam kalangan peserta melalui modul kenegaraan yang didedahkan.
Menurut Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), sebanyak 82 peratus remaja memiliki
semangat patriotisme yang tinggi selepas tamat menjalani kem PLKN.

Namun begitu, sekiranya ditinjau dari perspektif lain pula, program ini mendatangkan
keburukan kepada negara kerana kerajaan menggunakan kos yang amat tinggi bagi
menjayakan PLKN. Kerajaan terpaksa menelan belanja tidak kurang 500 juta setiap tahun.
Hal ini demikian kerana kos ini diperlukan untuk menyediakan pelbagai kemudahan
infrastruktur seperti tempat penginapan, makan minum, rawatan, perubatan, pengangkutan,
kelengkapan dan peralatan, bayaran elaun jurulatih dan lain-lain. Sesetengah masyarakat
berpendapat bahawa program ini adalah suatu pembaziran dan lebih baik sekiranya bajet
beratus juta ini diperuntukkan untuk rakyat yang lebih memerlukan sebagai contohnya
perbelanjaan untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Perbelanjaan ini
adalah sangat besar dan sangat membazir sekiranya program ini tidak memberi sebarang
impak yang positif kepada golongan remaja. Jadi seharusnya pihak kerajaan hendaklah
memastikan program ini dapat memberikan sesuatu perubahan yang positif terhadap setiap
individu yang menyertainya. Pihak kerajaan seharusnya mencari inisiatif lain untuk menarik
golongan remaja supaya mereka bersungguh-sungguh untuk menyertai program ini
seterusnya dapat melahirkan remaja yang mempunyai semangat cinta akan negara. Golongan
remaja juga hendaklah memberikan komitmen yang tinggi semasa menyertai program ini
supaya mendapat pengalaman dan ilmu yang berguna untuk masa hadapan kelak.

Dalam pada itu, pihak kerajaan juga harus menangani masalah teknikal seperti
terdapat remaja yang mengingkari program latihan tersebut. Sehingga kini, tidak kurang
daripada 4300 remaja yang tidak melapor diri untuk mengikuti program tersebut disebabkan
oleh alasan-alasan tertentu. Pihak kerajaan terpaksa berusaha mengesan dan mendakwa
mereka di mahkamah disebabkan oleh peraturan yang telah ditetapkan. Hal ini sedikit
sebanyak telah membazirkan masa dan kos. Sebaiknya duit tersebut digunakan untuk
kepentingan rakyat. Bahkan, terdapat juga sesetengah ibubapa yang kurang memahami hasrat
murni pihak kerajaan ini. Sebaliknya, mereka hanya memandang remeh Program Latihan
Khidmat Negara yang pihak kerajaan anjurkan ini. Ibubapa memainkan peranan yang penting
dalam memastikan anak-anak mereka menjadi seorang yang berakhlak tinggi. Namun
ibubapa masa kini lebih memanjakan anak-anak dengan mengikuti segala kehendak mereka.
Justeru itu, ibubapa lah yang bertanggungjawab dalam menasihati anak masing-masing
supaya tidak terlalu mengikuti arus pemodenan yang terdedah dengan budaya-budaya barat.
Sementara itu, pengaruh negatif yang kuat dikalangan pelatih juga menjadi masalah
kerana peserta yang diambil atau dipilih oleh kerajaan adalah secara rawak. Mungkin ada
dikalangan mereka yang telah mempunyai masalah dari segi akhlak dan mereka akan
bercampur apabila ditempatkan di tempat penginapan. Sememangnya hasrat kerajaan adalah
supaya mereka yang mempunyai masalah akhlak akan menjadi lebih baik tetapi hakikatnya
ada yang antara mereka akan terpengaruh dengan mereka yang tidak mempunyai akhlak ini.
Hal ini berlaku sedemikian kerana gejala ini tidak dapat dipantau sepenuhnya. Bukan itu
sahaja masalah sosial dikalangan remaja juga akan meningkat kerana pelatih lelaki dan
perempuan akan dicampurkan. Sebagai contohnya, kes-kes pergaduhan dan maksiat pernah
berlaku di sesetengah kem PLKN ini. Pengawasan dan kawalan oleh pihak PLKN seharusnya
diperketatkan lagi supaya tidak berlakunya gejala-gejala negatif ini. Hal ini akan
memburukkan lagi imej kem PLKN tersebut seterusnya akan menyebabkan ramai remaja
yang tidak mahu menyertai program ini kerana takut dan risau akan perkara tersebut berlaku
lagi.

Sebagai rumusan, Program Latihan Khidmat Negara yang pernah dijalankan ini
sememangnya mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada remaja mahupun negara.
Sesungguhnya, kita sebagai insan dikehendaki agar menyumbangkan jasa dan bakti, bak kata
pepatah, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang dan manusia
mati meninggalkan nama. Sebenarnya, Program Latihan Khidmat Negara ini banyak
membantu dalam pembangunan masyarakat. Program ini bukan sahaja membantu dalam
memperbaiki sahsiah remaja bahkan dapat memajukan sesebuah masyarakat. Justeru itu,
penglibatan semua pihak tidak mengira bangsa, kaum mahupun agama amatlah perlu untuk
mencapai cita-cita murni kerajaan untuk melahirkan individu yang mempunyai semangat
patriotisma dan kepimpinan yang tinggi.

You might also like