You are on page 1of 3

RITUAL KEMATIAN MASYARAKAT DUSUN SABAH

Amalan ritual kematian nenek moyang masih diamalkan oleh masyarakat Dusun di
Toboh dan Bundu Tuhan iaitu di daerah Ranau. Terdapat dua peringkat yang
diamalkan iaitu amalan pemisahan dan amalan pembersihan. Hari-hari penting dalam
pelaksanaan amalan terbahagi kepada empat hari iaitu hari pertama atau hari
kematian, hari ketiga, hari ketujuh dan hari kesepuluh. Adat pemisahan dilakukan
pada hari pertama dan hari ketiga, manakala adat pembersihan dilakukan pada hari
keempat dan hari kesepuluh.
Setelah kematian, amalan pemisahan segera dimulakan. Masyarakat Dusun
mempercayai bahawa kematian akan mengundang kehadiran roh jahat. Pada suatu
ketika dahulu, masyarakat Dusun menganggap bahawa kematian sebagai suatu yang
menakutkan, membawa kesakitan dan bencana. Hal ini disebabkan ada sesetengah
masyarakat Dusun pada ketika dahulu akan “modtobon” iaitu “menutup pintu rumah”
di mana mereka tidak sama sekali keluar rumah apabila berlaku kematian. Oleh itu,
hanya keluarga yang megalami kematian ini akan menguruskan semua upacara
kematian Si mati.

Upacara pemisahan terbahagi kepada:-

1) Momolobong (Upacara Pengebumian)


Pada tahun 1930-an, adat pengebumian masyarakat Dusun seperti menjalankan
upacara mogihad (menangisi si mati) dilakukan dengan memukul-mukul lantai yang
diperbuat daripada bambu di sekeliling Si mati secara berulang-ulang sehingga lantai
rumah rosak dan mayat jatuh ke tanah. Tanah di mana tubuh Si mati jatuh akan
menjadi pusara untuk persemadiannya yang terakhir. Kemudian, semua ahli keluarga
segera meninggalkan rumah tersebut untuk mengelakkan mereka bertembung dengan
roh jahat yang boleh membawa bala.
Pengebumian selepas era 1930-an melibatkan kakanan (tajau) atau tempayan,
iaitu sejenis tajau besar yang digunakan untuk meletakkan mayat dalam posisi duduk.
Tajau ini kemudiannya ditanam di kawasan kubur yang telah dikhaskan kepada
penduduk kampung. Pada tahun 1960-an yang semakin moden, keranda kayu mula
digunakan.

2) Mogihad (menangisi Si mati)


Upacara mogihad adalah sebahagian daripada upacara momolobong. Mogihad
lazimnya dilakukan oleh golongan yang berumur sama ada daripada keluarga Si mati
atau masyarakat lain. Mereka yang akan menangisi Si mati ini dikenali sebagai “Si
Mogihad” yang akan datang ke hadapan keranda dan menangis dengan kuat sambil
melafazkan kata-kata yang mengambarkan kesedihan mereka terhadap pemergian Si
Mati. Masyarakat yang lain juga boleh melakukan upacara mogihad sebelum mereka
meneruskan aktiviti yang lain iaitu meminum tapai dan sebagainya.

3) Mongongkoriu (Memberikan Bekal)


Si mati akan dibekalkan dengan barangan keperluannya bersama-sama ke kubur
termasuklah kain baju, pinggan mangkuk, peralatan bertani dan barangan peribadi
yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat Dusun mempercayai
bahawa barang-barang ini digunakan oleh Si mati di kehidupannya yang seterusnya.
4) Porundun (Korban Haiwan)
Upacara Porundun merupakan adat penyembelihan haiwan untuk ‘pergi bersama’
Si mati ke alam yang baharu. Masyarakat Dusun mempercayai bahawa nilai haiwan
yang disembelih adalah melambangkan status kekayaan Si mati semasa Si mati masih
hidup. Seseorang yang agak berada atau kaya akan disembelihkan beberapa ekor
ayam. Kemudian, haiwan yang disembelih itu sebenarnya akan dimasak untuk
dimakan oleh ahli keluarga dan tetamu yang menziarahi Si mati. 

5)  Momisok (Bergelap/memadamkan Lampu)


Pada malam pengebumian Si mati, upacara memadamkan lampu atau momisok
akan diadakan. Semua barangan kepunyaan Si mati yang tidak dibawa ke kubur akan
dikumpulkan di suatu sudut ruang tamu. Seluruh ahli keluarga yang hadir akan
berkumpul di ruang tamu. Kemudian, seorang momolian atau babalian atau lebih
dikenali sebagai bomoh yang lazimnya wanita akan memulakan upacara dengan
rinait (mantera). Upacara ini dilakukan untuk memanggil roh Si mati untuk datang
mengambil barang-barangnya yang tidak dibawa ke kubur lalu beredar setelah
barang-barang tersebut dikutip.

6) Popotongkiad (Memisahkan) atau Momupus (Mengakhiri)
Hari ketiga merupakan peringkat terakhir dalam upacara pemisahan. Upacara
yang dikenali sebagai popotongkiad iaitu memisahkan atau momopus (mengakhiri)
akan dilakukan oleh momolian atau bobolian bagi memastikan roh Si mati tidak akan
kembali kepada keluarganya sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Hal ini
dikatakan demikian kerana menurut kepercayaan masyarakat Dusun kepulangan roh
Si mati akan menyebabkan berlakunya penyakit.

7) Popotingkod do puod (Memisahkan Puod)


Upacara ini akan dilakukan bagi Si mati yang meninggalkan balu. Popotingkod
do puod penting dijalankan kepada Si balu yang baru kehilangan suami atau isteri
kerana sekiranya upacara ini tidak dilakukan maka suami atau isteri yang ditinggalkan
oleh Si mati akan mendapat puod. Puod ialah seakan-akan racun atau bias yang akan
dibawa oleh balu Si mati. Puod bukan sahaja membahayakan diri suami atau isteri Si
mati tetapi juga orang-orang berada di sekitarnya.

8) Tababasan Do Sunsuion (Memutuskan Jambatan)


Tatabasan Do sunsuion ialah bahasa kiasan yang melambangkan pemisahan
antara orang yang mati dengan yang hidup.
 
9) Mangangkib (Memberikan Bahagian Tanah Bercucuk Tanam)
Sekiranya Si mati ialah seorang petani, adat mengangkib akan dilakukan pada
hari ketiga dimana pemberian bahagian kebun dan tanaman kepada Si mati untuk
dibawanya ke alam yang seterusnya yang dilakukan oleh salah seorang ahli keluarga.

Setelah upacara pemisahan selesai, upacara pembersihan akan dilakukan untuk


menghalau roh jahat dan mengembalikan semangat ahli keluarga. Upacara
pembersihan perlu dilakukan sejak saat kematian sehingga ke hari kesepuluh. Walau
bagaimanapun, upacara pembersihan utama dilakukan pada hari ketujuh dan
kesepuluh.

Upacara pembersihan pula terdiri daripada:-


1) Mangauh (menggunakan abu) dan Mongotomou ( menggunakan daun hijau)
Upacara ini memerlukan Tauh (abu hitam), siud (bakul menangkap ikan) dan
daun hijau yang dibungkus lalu digantung di luar pintu rumah dan juga pohon
berbuah kerana benda-benda ini dipercayai yang paling ditakuti oleh roh dan makhluk
halus. Masyarakat Dusun percaya bahawa sekiranya roh jahat dan makhluk halus
mendongak kearah buah-buahan tersebut, buah-buahan akan gugur.

2) Silau dan Bidau


Silau dan bidau ialah sejenis tumbuhan seperti lalang yang digunakan
untuk ponopu atau penyapu semasa upacara pembersihan. Momolian atau bobolian
akan menggunakan ponopu ini untuk membersihkan tubuh ahli keluarga untuk
memutuskan ikatan mereka dengan Si mati disamping melafazkan rinait.

3) Moninong Do Sunduan (Memanggil Semangat)


Sunduan bertentangan dengan rusod (roh orang mati), iaitu merujuk kepada
semangat orang hidup. Kejadian buruk seperti kematian dianggap memberi kesan
negatif kepada ahli keluarga Si mati. Oleh itu, sunduan perlu dipulihkan bagi
mengelakkan keluarga tersebut daripada jatuh sakit.

4) Monoduli do ginawo di songinmiau (meneguhkan semangat yang masih


hidup- keluarga si mati)
Amalan ini merupakan kemuncak upacara pembersihan yang dilakukan pada hari
kesepuluh. Bobolian atau momolian akan menggunakan silau dan bidau untuk
menyeru dan meminta Si mati untuk tidak kembali kepada ahli keluarga sama ada
dalam bentuk mimpi atau perasaan mereka.

5) Modtudau (Berjaga) 
Modtudau atau berjaga diadakan selama mayat belum dikebumikan. Amalan ini
memerlukan seseorang untuk tidak tidur bagi menjaga Si mati. Walau baimanapun,
sekiranya terlalu letih, ahli keluarga akan bergilir-gilir untuk tidur. Kebiasaanya,
ramai saja orang yang berjaga sepanjang malam, mereka akan meminum tapai atau
bermain beberapa mainan untuk mengilangkan rasa mengantuk.

Source: https://adat2kematian.wixsite.com/borneosabah/untitled-c21kz

Source:https://www.thepatriots.asia/adat-istiadat-kematian-masyarakat-dusun-lama/

You might also like