You are on page 1of 10

Available online at http://ijleal.ump.edu.

my/
International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
Copyright © Penerbit Universiti Malaysia Pahang
ISSN: 2289-7208 print
01 (2014) 77–86

Gerak Kerja ‘5P’ Pembentukan Istilah Bahasa Melayu


Asrul Azuan Mat Dehan*, Hajah Nor Azuwan Yaakob, Jama’yah Zakaria
Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Article Information Abstrak


Received 7 May 2014 Kajian ini merupakan kajian deskriptif untuk menganalisis sumber dan prosedur pentadbiran
Received in revised form pembentukan istilah bahasa Melayu daripada bahasa asing. Kajian ini dilakukan untuk
30 June 2014
Accepted 4 July 2014 memberi pendedahan kepada pengguna tentang prosedur pentadbiran yang ditetapkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membentuk istilah bahasa Melayu daripada bahasa
asing. Selain itu, kajian ini menggunakan kaedah temu bual dan kaedah analisis dokumen.
Kaedah temu bual digunakan untuk mendapatkan data berkaitan dengan prosedur pentadbiran
pembentukan istilah bahasa Melayu. Kaedah analisis dokumen pula digunakan untuk meneliti
teks atau kajian terdahulu secara tekstual dan kontekstual. Objektif utama kajian adalah untuk
mengenal pasti sumber dan prosedur pentadbiran pembentukan istilah bahasa asing. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga sumber utama yang dimanfaatkan dalam
pembentukan istilah, iaitu bahasa Melayu, bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu dan
bahasa asing (bahasa Inggeris dan bahasa Arab). Berdasarkan analisis dari sudut prosedur
pembentukan istilah bahasa Melayu, terdapat lima prosedur pentadbiran pembentukan istilah
bahasa Melayu, iaitu penggubalan, pengesahan, penyelarasan, pemanuskripan dan penyebaran.
Ringkasnya, prosedur pentadbiran pembentukan istilah bahasa Melayu merupakan satu elemen
atau proses yang rumit dan mengambil jangka masa yang panjang. Prosedur ini perlu
didedahkan kepada pengguna istilah bahasa Melayu untuk meningkatkan martabat bahasa
Melayu ke peringkat global.
© 2014 Penerbit Universiti Malaysia Pahang

Kata Kunci: Bahasa Asing; Bahasa Melayu; Prosedur pembentukan istilah

The ‘5P’ procedures of Malay terms formation


Abstract
This is a descriptive research that analyzes resources and the administrative procedures of Malay terms formation
from foreign languages. This was done in order to give an exposure to readers about the administrative procedures
that were set by Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) to form a Malay terms from foreign languages. For this
research, interviews and content analysis methods are used. The interview method is used to obtain data related to
administrative procedures Malay terms formation. Meanwhile, the content analysis method was used to examine the
text or previous studies on the textual and contextual. The main objective of this research is to identify the resources
and administrative procedures of Malay terms formation from foreign languages. The result shows that there are
three main sources that terms were used in the formation of Malay language, the cognate of the Malay language
and foreign languages (English and Arabic). Based on the analysis from the point of formation procedures of Malay
terms resulted in a finding that indicates there are five administrative procedures of Malay terms development:
legislation, verification, coordination, manuscript and dissemination. In short, the establishment of administrative
procedures of Malay terms is an element or a complicated process and takes a long time. This procedure should be
disclosed to the users of Malay terms to enhance the prestige of the Malay language globally.
Keywords: Foreign language; Malay; Term formation procedures
__________________

* Corresponding author. Tel.: +6019-368-8706; Fax: +603-8943-9951.


E-mail addresses: asrulazuan90@gmail.com [Mat Dehan, A.A.]; azuwan@upm.edu.my [Yaakob, H.N.A.]; jamayah@upm.edu.my [Zakaria,
J.].

77
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

PENGENALAN

Tahun1957 telah memperlihatkan berlangsungnya usaha merancang perkembangan bahasa Melayu


sebagai bahasa sains dan teknologi.Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebuah organisasi
berkanun yang bertanggungjawab untuk menjadi urusetia pembentukan istilah bahasa Melayu. Dalam
perancangan dan pembinaan bahasa, pembentukan istilah berada dalam satu aras yang sama dengan
penyelidikan bahasa, penyusunan kamus, penulisan buku tatabahasa, penerbitan buku dan penterjemahan.
Peristilahan merupakan satu konsep ilmu, konsep makna dan takrifannya tentang kata dan lambang
linguistik.Prosedur pembentukan istilah telah memperlihatkan kemunculan istilah baharu, menyimpan
dan menyebarkan istilah serta melancarkan komunikasi dalam bidang yang khusus.Contohnya, bidang
fizik, kimia, perubatan dan sebagainya.Peristilahan merupakan sebuah ilmu yang transdisipline dan
cakupannya yang luas.
Menurut Siow (1990), peristilahan merupakan sebahagian daripada usaha ke arah meningkatkan
taraf dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Oleh itu, pada tahun 1957 telah tertubuhnya
sembilan Jawatankuasa Istilah (termasuklah lima Jawatankuasa Istilah Bidang Sains, iaitu sains am, sains
fizik, perhutanan dan pertanian serta perubatan). Hal ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk
membolehkan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Setiap
jawatankuasa istilah yang ditubuhkan akan menjadi tunjang kepada perkembangan bahasa Melayu untuk
memartabatkannya menjadi bahasa ilmu.
Ratusan ribu istilah ini yang bercirikan istilah yang praktis, ilmiah, kemaskini, tepat, mantap dan
hasil kesepakatan pakar mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dan bahasa
ilmiah pada abad ke-21.Melalui kerjasama ini, badan-badan yang terlibat dalam pembentukan istilah
saling bertukar-tukar bahan dan istilah untuk diselaraskan. Penyelarasan dan pembentukan istilah ini
telah meningkatkan dan memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang mampu mengungkapkan
pelbagai bidang ilmu.
Perkembangan pesat bidang ilmu dan teknologi juga telah mempengaruhi bentuk kebanyakan istilah
dalam bahasa Melayu.Penampilan begitu banyak konsep baharu yang setiap satunya perlu dibina atau
dicipta istilahnya menyebabkan berlakunya peminjaman istilah asing secara meluas.Dalam tatacara
pembentukan istilah bahasa Melayu, penggubal istilah diberikan kelonggaran untuk meminjam istilah
asing dengan syarat istilah asing yang dipinjam itu lebih sesuai maknanya, lebih singkat dan dapat
memudahkan penyelarasan istilah.

1.1 Permasalahan Kajian

Pembentukan istilah amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu.Prosedur pembentukan


istilah merupakan satu prosedur yang rumit dan biasanya memakan masa yang lama sebelum sesuatu
istilah dapat diguna pakai. Fauzilahyatun Mustafa (2002) menyatakan proses pembentukan istilah
merupakan satu proses yang sukar. Proses pembentukan istilah melibatkan proses pengumpulan,
penggubalan, pengesahan, pentakrifan dan penyelarasan. Kerja penggubalan memerlukan komitmen,
kesungguhan, kerajinan, kesabaran, pengorbanan dan rasa cinta akan bahasa sendiri. Kerja penggubalan
turut memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan kepakaran pakar bidang dan urus setia
peristilahan.Othman Ismail (1992) mendapati kerja mencipta dan membentuk peristilahan adalah kerja
yang rumit, memerlukan mereka yang berkemahiran tinggi dalam selok belok bahasa dan dilakukan
secara berkelompok yang melibatkan pelbagai kepakaran.
Kesukaran seperti ini menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat yang
menganggap istilah bahasa Melayu kerap berubah.Malah, terdapat segelintir masyarakat yang tidak
mengetahui langsung mengenainya walaupun bidang ilmu ini bukanlah sesuatu bidang
baharu.Fauzilahyatun Mustafa (2002) menyatakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menggubal
istilah mengikut cita rasa sendiri atau menciplak kata Inggeris menjadi istilah bahasa Melayu kerana
semuanya dilakukan menurut pedoman yang telah ditetapkan. Permasalahan timbul apabila wujud orang
yang tidak memahami proses penggubalan istilah.Hassan Ahmad (1983) berpendapat masalah ini

78
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

berpunca daripada orang yang belum mempunyai pengalaman yang banyak dalam pembentukan istilah
dan tidak mempunyai rujukan yang cukup untuk membantu mereka memahami masalah yang
dihadapi.Jika hal ini berterusan, ia akan memberikan imej yang buruk dan menjejaskan bidang
peristilahan di Malaysia.Kajian ini mendedahkan tentang prosedur pentadbiran dalam pembentukan
istilah daripada bahasa asing yang diterajui oleh DBP.

1.2 Objektif Kajian

Kajian ini akan meneliti perkara yang berikut:


i. Mengenal pasti sumber istilah bahasa Melayu.
ii. Mengenal pasti prosedur pentadbiran pembentukan istilah daripada bahasa asing.

SOROTAN LITERATUR
Nawal Hanim Haji Lope Zainal Abidin (2007) menggambarkan istilah merupakan satu kata yang
digunakan dalam kehidupan harian sama secara sedar ataupun tidak. Tataistilah pula merupakan satu
peraturan untuk membentuk istilah (termasuklah kumpulan istilah yang dihasilkannya).Selain itu, sesuatu
perkataan yang mempunyai makna tersendiri atau lebih daripada satu makna, merupakan istilah.Istilah
boleh digambarkan melalui persamaan, grafik atau ilustrasi. Dalam penggubalan istilah, karyawan dalam
bidang tertentu perlu membuat pengkategorian takrif istilah bagi memudahkan proses membuat
pentakrifan yang berkesan.
DBP telah dan akan meneruskan perjuangan, menjalankan tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan untuk membentuk istilah dalam pelbagai bidang di peringkat kebangsaan mahupun
peringkat antrabangsa secara terancang dan bersepadu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan demi
meningkatkan kecintaan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat (Nawal Hanim Haji Lope Zainal
Abidin, 2007).
Menurut Nawal Hanim Haji Lope Zainal Abidin (2005), istilah digubal oleh sekumpulan pakar
dalam bidang tertentu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang yang ditangani.
Pakar ini terdiri daripada cendekiawan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS),
sektor swasta, sektor awam, badan berkanun, persatuan dan sebagainya. Selain itu, beliau menyatakan
aspek bahasa sudah tentu merupakan suatu perkara yang paling penting dalam proses mendraf istilah.
Penguasaan ilmu terasa amat penting dalam hal ini. Proses penghasilan satu-satu istilah itu bukanlah
suatu perkara yang mudah. Pelbagai langkah dan prinsip perlu difikirkan dan diambil bagi melahirkan
istilah yang tepat, bermutu dan serasi.
Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Omar dalam Armin Azhari Saleh (2005) yang menyatakan
bahawa pakar pelbagai bidang ilmu tidak boleh mencipta istilah dalam bidang masing-masing tanpa
merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal ini perlu dipatuhi bagi mengelakkan kejadian
mencipta istilah dengan sewenang-wenangnya sehingga melahirkan bahasa rojak dan mengakibatkan
kekeliruan makna yang akan menyekat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selain itu, pakar
bidang perlu menggunakan buku pedoman itu kerana istilah yang dibentuk menggunakan khidmat
profesional bidang akademik, sektor awam dan swasta serta pendidikan.
Membentuk istilah apapun kita perlu mematuhi pedoman yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) dalam buku Pedoman Pembentukan Umum Pembentukan Istilah (PUPIBM).Selain
itu, penggubal istilah perlu mematuhi pedoman-pedoman lain yang digubal dari semasa ke semasa dan
yang telah disahkan penggunaannya oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia
(MABBIM) dan Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) (Rusli Abdul Ghani, 1990).
Rusli Abdul Ghani (1990) berpendapat kosa kata bahasa Melayu belum mencukupi untuk
menampung semua istilah yang digunakan dalam pelbagai bidang ilmu, tambahan pula jika bidang itu
merupakan bidang yang berkembang dengan pantas.Contohnya bidang sains komputer dan fizik
nuklear.Hal ini telah menyebabkan kita tidak dapat mengungkapkan semua istilah baharu dengan
menggunakan kosa kata bahasa Melayu.Oleh itu, peminjaman istilah asing dilakukan untuk mencari

79
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

padanan makna yang sesuai.Peminjaman ini dilakukan apabila usaha yang tuntas telah dilakukan untuk
mencari padanannya dalam bahasa Melayu, dialek Melayu atau dalam bahasa serumpun.
Amat Johari Moain (2010) menyatakan bahawa pembentukan istilah bahasa Melayu perlu melalui
beberapa langkah atau peringkat sebelum istilah tersebut diterbitkan atau dibukukan. Pertama, kerja
pembentukan istilah bahasa Melayu akan melibatkan Jawatankuasa Kecil Istilah (JKI) yang terdiri
daripada pakar bahasa, pakar bidang dan pakar peristilahan. Pakar bahasa merupakan orang perseorangan
yang pernah mempelajari bidang-bidang bahasa di sekolah menengah dan pegawai-pegawai
sokongan.Pakar bidang pula terdiri daripada orang perseorangan yang mahir dalam bidang tersebut, pakar
subbidang yang berkaitan dengan bidang utama turut terlibat dalam kerja pembentukan istilah.
Contohnya di bawah bidang biologi terdapat beberapa subbidang yang lain iaitu bidang botani, zoologi,
histologi, sitologi dan seumpamanya.
Menurut Abdullah Hassan (1987), sejak 1957 perancangan korpus bahasa dalam aspek peristilahan
telah dimulakan melalui penubuhan Jawatankuasa Istilah yang pertama berdasarkan dua peringkat iaitu
sebelum 1975 (dengan penerbitan PedomanUmum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM) oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka) dan selepas 1975 (kerjasama Majlis Bahasa Indonesia Malaysia (MBIM)
yang menghasilkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah (PUPI) yang telah diisytiharkan
penggunaannya oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik
Indonesia pada 30 Ogos 1975.
Bermula pada tahun 1975 dan seterusnya, DBP mempertingkatkan peranannya dalam pembentukan
istilah terutama yang melibatkan bidang profesional.Sehingga tahun 1975, DBP telah berjaya
menghasilkan 71,887 istilah. Pembentukan ini merupakan hasil daripada kejayaan membentuk Pedoman
Membentuk Istilah-Istilah Baru DBP (mula digunakan sejak 1959), Dasar, Cara dan Pedoman
Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP (selepas 1970) dan Pedoman Pembentukan Istilah
Universiti Malaya (1971) serta tertubuhnya Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) sejak
Disember 1972.
Pembinaan istilah bahasa Melayu merupakan satu usaha dalam menggubal istilah bagi mengisi
peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu di negara ini yang telah
bermula sejak 1957 yang melibatkan dua bidang terawal, iaitu Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan
Teknik yang sehingga kini mencatatkan jumlah hampir mencecah 1 juta istilah yang terhasil meliputi
ratusan bidang ilmu dan profesional dan semua yang telah dibukukan oleh DBP sebanyak 199 judul
melibatkan semua peringkat (Awang Sariyan, 2002).
Menurut Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad (2009) umumnya istilah merupakan perkataan yang
mempunyai makna khas mengikut bidang ilmu pengetahan tertentu yang menerangkan makna, konsep
proses, keadaan atau sifat khusus bagi sesuatu ilmu.

METODOLOGI

Dalam Dalam melaksanakan kajian ini, penyelidik telah menetapkan kaedah kajian yang khusus
untuk memastikan penyelidikan ini lebih terarah dan sistematik.Pemilihan kaedah kajian ini dianggap
perlu bagi memastikan dapatan kajian mencapai objektif dan dapat menjelaskan permasalahan yang ingin
diketengahkan.
Kajian ini menggunakan kaedah analisis dokumen iaitu menjadikan buku Pedoman Umum
Pembentukan Istilah (2004) sebagai rujukan untuk mengenal pasti sumber istilah bahasa Melayu.Kaedah
tinjauan lapangan digunakan untuk menghurai prosedur pentadbiran pembentukan istilah bahasa Melayu
daripada bahasa asing.Satu sesi temu bual telah diadakan pada 16 April 2013 yang melibatkan dua orang
Pegawai Peristilahan di Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP.Selain itu, penyelidik memilih
soalan temu bual jenis separa berstruktur yang memperlihatkan pengkaji menyediakan soalan utama
sahaja.Soalan susulan telah dikemukakan berdasarkan jawapan responden.Proses menganalisis data
dilakukan secara kualitatif mengikut tema berdasarkan objektif kajian.

80
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

DAPATAN KAJIAN

4.1 Sumber - sumber Istilah Bahasa Melayu


Bahasa Melayu merupakan satu sistem yang dalam pertumbuhan dan perkembangan yang telah
mengambil manfaat daripada bahasa lain sebagai sumber untuk menambah kosa kata atau istilah baharu
yang akan membantu pengembangan bahasa Melayu. Antara sumber yang digunakan termasuklah bahasa
yang terdapat dalam alam Melayu sendiri, iaitu bahasa yang serumpun dengannya dan bahasa-bahasa
yang datang dari luar. Oleh itu, sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan ialah:

i. bahasa Melayu termasuk bahasa Indonesia serta dialek-dialek Melayu dan juga bahasa
Melayu klasik yang telah menyerapkan perkataan daripada bahasa Arab, Sanskrit, Parsi dan
lain-lain;
ii. bahasa-bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu seperti bahasa Iban, Kadazan-Dusun,
Jawa dan sebagainya;
iii. bahasa Inggeris, bahasa Arab dan sebagainya.

Ketiga-tiga sumber di atas banyak mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dari segi inventori
ilmu dan pengalaman peradabannya. Sumber (i) dan (ii) dapat memberi inventori istilah dari segi
kehidupan kemasyarakatan, penternakan, pertanian, alam haiwan dan tumbuh-tumbuhan, pertukangan
dan sebagainya. Sumber (iii) juga memberi inventori istilah.Misalnya, bahasa Inggeris merupakan
sumber bagi istilah-istilah dalam pelbagai cabang ilmu terutama dalam bidang sains dan
teknologi.Manakala bahasa Arab pula mempunyai inventori yang berkaitan dengan konsep keagamaan
dan juga falsafah.

4.2 Prosedur Pentadbiran Pembentukan Istilah Bahasa Melayu

Pembentukan istilah bahasa melayu dilakukan mengikut prosedur tertentu dan prosedur ini
ditetapkan atau dibuat oleh dewan bahasa dan pustaka. Menurut pegawai peristilahan di bahagian
peristilahan dan leksikologi, jabatan pembinaan bahasa dan sastera, dbp, terdapat lima prosedur yang
harus dilalui sebelum sesuatu istilah itu diterbitkan dan diguna pakai, iaitu proses penggubalan,
pengesahan, penyelarasan, pemanuskripan dan penyebaran

4.2.1 Penggubalan

Penggubalan ialah satu proses mengumpul, menggubal atau mencipta istilah dalam bidang-bidang
atau subbidang ilmu pengetahuan, iaitu kelompok sains asas, sains gunaan dan kelompok sains
kemasyarakatan, sains kemanusiaan dan juga menggubal istilah budaya tempatan. Proses penggubalan
menggunakan dua cara, iaitu secara manual dan secara dalam talian

4.2.2 Pengesahan

a. Penggubalan Secara Manual

Seorang pegawai DBP akan dipilih dan ditugaskan untuk menyediakan kertas kerja yang
menerangkan secara terperinci tentang kaedah pengumpulan kata untuk diangkat menjadi istilah, masa
yang diambil untuk menyiapkan tugas tersebut, penyemakan, permesyuaratan dan belanjawan yang akan
digunakan sepanjang tugasan tersebut dijalankan. Projek pengumpulan dan penerbitan bahan akan
diteruskan selepas kertas kerja tersebut diluluskan oleh DBP.
Seterusnya, pegawai peristilahan akan mengklasifikasikan bidang dan subbidang berdasarkan
keperluan istilah antarabangsa atau keperluan semasa yang mendesak. Bahagian Peristilahan Dewan

81
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

Bahasa dan Pustaka (DBP) akan membuat klasifikasi berdasarkan pilihan secara rawak atau mengikut
kefahaman. Penulisan yang biasa dipegang ialah klasifikasi decwy.
Pegawai DBP yang dilantik sebagai pegawai projek bertanggungjawab untuk mengenal pasti calon
istilah dan seterusnya menyemak calon istilah tersebut dengan melakukan perbandingan dengan daftar
istilah DBP, daftar istilah MABBIM dan daftar istilah bidang yang ada.
Setelah pegawai peristilahan mengenal pasti kata untuk diangkat istilah, maka pakar bidang akan
dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pakar yang dilantik akan menganggotai
Jawatankuasa Kecil istilah (JKI). Selain pakar bidang, JKI turut dianggotai oleh, pakar bahasa, wakil
kerajaan dan kementerian, orang perseorangan atau individu yang terkenal ketokohannya dalam
masyarakat. Pakar bidang terdiri daripada pakar yang memegang jawatan sebagai pensyarah di universiti
tempatan. Pihak DBP akan menghantar surat jemputan rasmi kepada pakar berkenaan untuk menjadi ahli
JKI melalui Naib Canselor universiti berkenaan.
Pakar bahasa pula terdiri daripada pihak-pihak yang pernah mempelajari bidang berkenaan
sekurang-kurangnya di sekolah menengah dan merupakan pegawai peristilahan di DBP.Individu yang
terkenal ketokohannya dalam bidang tersebut juga dipanggil untuk membantu DBP menggubal dan
membentuk istilah.Selain itu, wakil kerajaan dan kementerian juga dipanggil jika istilah yang digubal
mempunyai kaitan dengan kerajaan dan kementerian tersebut.Ini kerana, kerajaan dan kementerian
tersebut lebih mengetahui tentang istilah yang digunakan dalam bidang tersebut.
Peringkat yang seterusnya ialah ahli JKI yang dilantik akan mengadakan mesyuarat untuk membuat
semakan terhadap calon istilah yang telah dikenal pasti oleh pegawai peristilahan. Ahli JKI akan
menentukan sama ada calon istilah yang disenaraikan itu merupakan istilah atau kata umum. Setelah
calon istilah telah dikenal pasti sebagai istilah, maka ahli JKI akan mengesahkan calon istilah tersebut
sebagai istilah. Ahli JKI yang terlibat akan menyediakan padanan dan huraian terhadap istilah yang
digubal. Apabila proses penyediaan padanan dan huraian selesai, pakar bahasa akan menyemak padanan
dan huraian tersebut. Proses ini akan dilakukan sehingga istilah tersebut mendapat kelulusan
Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM).

b. Penggubalan Secara Dalam Talian

DBP telah membuat satu pembaharuan dalam proses penggubalan istilah menggunakan kaedah atas
talian. Proses penggubalan istilah ini mengambil masa yang singkat. Pegawai DBP akan mengenal pasti
kata untuk diangkat sebagai istilah melalui jurnal-jurnal dalam talianyang boleh didapati secara percuma
di internet. Pegawai yang terlibat akan mengenal pasti dan mengasingkan istilah khusus dan kata umum.
Pengesahan istilah dilakukan melalui laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), jika
perbendaharaan kata yang disenaraikan itu disahkan sebagai istilah, maka istilah tersebut akan
dimasukkan dalam senarai calon istilah. Sebaliknya jika perbendaharaan kata yang disenaraikan dalam
PRPM disahkan sebagai kata umum maka perkataan tersebut akan digugurkan. Setiap istilah yang
dikenal pasti akan dihantar kepada pakar bidang yang terlibat untuk membuat pengesahan sama ada
istilah yang disenaraikan itu istilah khusus atau kata umum. Selain mengenal pasti status istilah yang
disenaraikan, pakar bidang akan memberi padanan dan huraian terhadap istilah tersebut. Pakar tersebut
juga boleh mencadangkan atau menolak istilah baru dalam bidang tersebut.
Pengesahan calon istilah dilakukan oleh beberapa orang pakar dan kesemua pakar perlu bersetuju
sebelum calon istilah tersebut disahkan sebagai istilah. Jika wujud percanggahan pandangan maka
kesemua pakar akan berjumpa untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Penggubalan istilah dilakukan secara dalam talian, iaitu melalui pautan Termaine dan Alchemy API.
Jadi, pakar bidang tidak perlu berjumpa untuk menganalisis calon istilah, sebaliknya, pegawai DBP akan
menyalurkan senarai calon istilah melalui pautan tersebut dan pakar bidang boleh menganalisis dari
tempat mereka sahaja. Hal ini telah membawa kepada penjimatan masa untuk menggubal istilah.DBP
juga turut menyediakan sistem yang lebih mudah untuk pakar yang tidak pandai menggunakan sistem
Termaine dan Alchemy API, iaitu perisian Microsoft Power Point.Perisian ini telah membantu pakar
bidang membuat pembetulan dan memasukkan padanan dan huraian terhadap istilah tersebut. Setelah
proses penggubalan dijalankan, dan istilah-istilah yang ingin digubal telah dikenal pasti, maka istilah

82
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

yang disenaraikan akan disahkan tarafnya.

4.2.3 Penyelarasan

Penyelarasan dilakukan selepas proses penggubalan dan pengesahan istilah dalam pelbagai bidang
dilakukan. Penyelarasan akan dilakukan apabila wujud beberapa percanggahan di antara bidang dalam
penggunaan istilah yang sama. Penyelarasan juga perlu dilakukan untuk melicinkan lagi pembinaan dan
pengembangan istilah bahasa Melayu ilmiah.Terdapat pembentukan makna yang berbeza mengikut
bidang untuk melambangkan satu istilah dalam bahasa Inggeris. Contohnya:

Jadual 1: Padanan Istilah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

Istilah Bahasa Inggeris Istilah Bahasa Melayu

- - Pencepatan (Biologi)
Acceleration - Pecutan (fizik, kimia, geologi, kejuruteraan, perubatan)
- - Kepecutan (matematik)
- - Cepatan (kesihatan)

a. Penyelarasan Secara Manual

Dalam keghairahan setiap ahli jawatankuasa mencari kata padanan yang betul bagi menjelaskan
sesuatu konsep sains, mereka sering kali menghadapi masalah ketidakselarasan istilah.Ketidakselarasan
yang wujud ini disebabkan oleh perbezaan falsafah dan pendekatan terhadap sesuatu istilah tersebut.
Perbezaan pendapat ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, iaitu pemilihan istilah, penggunaan kata
umum, pengkhususan makna atau penggunaan istilah, pemilihan kata akar, pedoman peristilahan dan
keputusan Majlis Bahasa Indonesia, Malaysia dan Brunei (MABBIM).
Untuk menyelesaikan masalah ini pembentukan dua jawatankuasa dilakukan untuk menyelaraskan
istilah tersebut iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Istilah Sains Am dan Sains Gunaan (JKPI SASG) yang
menggarap istilah dalam bidang sains tulen dan sains terapan dan Jawatankuasa Penyelarasan Istilah
Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (JKPI SKK) yang menggarap istilah dalam bidang sastera dan
sains sosial. Semua istilah yang bercanggah akan diselaraskan oleh ahli Jawatankuasa Penyelarasan
Istilah (JKPI) sebelum istilah tersebut dibawa untuk diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Tetap
Bahasa Melayu (JKTBM). Ringkasnya, pembentukan jawatankuasa penyelarasan istilah akan
memastikan segala percanggahan yang wujud dapat diatasi secara menyeluruh.
Penyelarasan akan dapat dilakukan apabila semua istilah yang perlu diselaraskan telah tersedia dan
dikumpulkan serta direkodkan. Pada waktu yang sama, kata umum dalam bidang sains dan teknologi
yang mungkin berguna haruslah disertakan bersama istilah yang telah disenaraikan untuk tujuan
penyelarasan istilah. Istilah yang dikumpul itu diteliti dari segi kesesuaiannya dengan prinsip peristilahan.
Penyelarasan juga perlu dilakukan terhadap istilah yang sedia ada terutama yang membawa makna
yang sama dengan istilah yang baharu dibentuk. Istilah tersebut perlu diteliti terlebih dahulu untuk
mengelakkan berlakunya sinonim. Hanya satu istilah yang jelas perlu dipilih bagi satu konsep yang akan
dinamakan sebagai prinsip ketepatan yang dikehendaki terutamanya dalam bidang teknik dapat dipatuhi.

b. Penyelarasan Istilah Secara Dalam Talian

Pada tahun 2013 pegawai peristilahan membuat pembaharuan terhadap cara penyelarasan istilah
dijalankan. Oleh itu, penyelarasan istilah pada masa ini dilakukan secara atas talian melalui pautan
Termaine dan Alchemy API. Kesemua pakar akan memberi pandangan mereka dalam pautan tersebut dan
setiap pandangan yang diberikan akan dapat dilihat oleh semua orang yang terlibat dalam penggubalan
istilah tersebut. Sekiranya penyelarasan istilah dapat dilakukan dalam pautan tersebut, maka mesyuarat

83
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

penyelarasan istilah tidak perlu diadakan. Mesyuarat penyelarasan istilah akan diadakan sekiranya
penyelarasan dan kata putus tidak dapat diperoleh secara atas talian dan memerlukan perjumpaan untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Mesyuarat penyelarasan biasanya akan diadakan sebanyak dua atau tiga
kali dalam setahun.
Setelah selesai proses penyelarasan istilah dilakukan oleh ahli Jawatankuasa Kecil Isitlah, maka
istilah tersebut akan dihantar kepada pegawai percetakan untuk dimanuskripkan dalam bentuk buku.

4.2.4 Pemanuskripan

Pemanuskripan bertujuan untuk mencetak istilah baharu untuk disebarkan kepada masyarakat dan
pengamal bidang supaya dapat digunakan dalam menghasilkan korpus (tulisan) dalam bidang yang
berkenaan. Penggunaannya akan dapat memasyarakatkan istilah tersebut dan memperkaya bahasa.
Pemanuskripan bermula dengan penyediaan manuskrip bersih yang telah disemak melalui minit
mesyuarat penyemakan terakhir bersama-sama ahli JKI dan pakar bahasa.Pada peringkat ini juga
disediakan prelim dan prakata. Isi kandungan pada peringkat ini akan dihantar ke bahagian percetakan
setelah disemak oleh pegawai penerbitan.
Setelah kesemua bahan awalan disemak dan diluluskan oleh pegawai penerbitan, senarai istilah
tersebut akan dibukukan dan dicetak. Senarai istilah yang telah dicetak akan disebarkan kepada
masyarakat untuk digunakan.

4.2.5 Penyebaran

Penyebaran merupakan proses menyebarkan istilah untuk kegunaan di dalam dan di luar DBP.
Misalnya di dalam DBP, istilah disebarkan ke Bahagian Unit Pelaksanaan Asas, Bahagian Penerbitan
Am, Bahagian Penterjemahan, Bahagian Majalah dan Jabatan Bahasa. Manakala di luar DBP, istilah
disebarkan untuk kegunaan di universiti, sekolah dan media massa.
Penyebaran istilah dilakukan dalam pelbagai bentuk khususnya istilah disebarkan melalui
penghasilan daftar istilah, glosari istilah dan kamus istilah.Daftar istilah ialah satu senarai istilah yang
dihasilkan dan disusunkan mengikut abjad dan tidak disertakan penerangan terhadap istilah
tersebut.Glosari istilah merupakan senarai istilah yang susun mengikut abjad dan mempunyai sedikit
penerangan terhadap istilah tersebut.Manakala, kamus istilah merupakan senarai istilah yang disusun
mengikut abjad dan istilah tersebut diberi makna yang terperinci serta contoh penggunaannya di dalam
ayat.
Proses penyebaran hari ini tertumpu kepada media tanpa sempadan, iaitu media dalam talian. Semua
istilah baharu yang telah disahkan tarafnya dimuat naik ke laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP. Hal ini kerana melalui media ini semua istilah
yang digubal dapat disebarkan dengan mudah dan pantas berbanding melalui cetakan kamus, daftar
istilah, glosari yang mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk diterbitkan. Selain itu, istilah
semasa boleh dicapai melalui laman web KaryaNet, iaitu http://www.karyanet.gov.com.my.
Istilah yang disebarkan digunakan untuk menerbitkan buku-buku ilmiah, penerbitan berita
MABBIM, berita Peristilahan, sekitar peristilahan, senarai istilah dan ceramah.

IMPLIKASI DAN PERBINCANGAN

Prosedur pentadbiran pembentukan istilah bahasa Melayu merupakan satu proses yang penting
dalam perancangan bahasa Melayu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang dapat
bersaing pada peringkat global. Prosedur yang ditetapkan telah memperlihatkan proses pembentukan
istilah berjalan lancar dan dapat menghasilkan istilah yang mempunyai konsep yang kukuh, bermutu dan
dapat bertahan lama serta tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya. Prosedur ini juga akan

84
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

membantu penggubal istilah menggelakkan berlakunya sinonim, kekeliruan makna dan sebagainya.
Pendedahan ini sangat berguna kepada masyarakat dan menambahkan pengetahuan tentang prosedur
pembentukan istilah bahasa Melayu kepada pengguna istilah yang selama ini hanya menggunakan bijak
istilah tanpa mengetahui tentang asal usul sumber istilah dan prosedur pentadbiran pembentukan istilah
bahasa Melayu yang di lakukan oleh DBP. Selain itu, pendedahan ini dapat dijadikan rujukan akademik
kepada pelajar dan tenaga pengajar untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam dewan kuliah.
Pendedahan ini juga dapat membuktikan bahawa nilai bahasa Melayu amat bergantung pada
pemikiran pengguna bahasa itu sendiri.Sama ada mahu meletakkan bahasa Melayu setanding dengan
bahasa-bahasa lain di dunia ataupun tidak.

5 KESIMPULAN

Peristilahan merupakan satu aktiviti perancangan bahasa yang penting untuk memastikan
keintelektualan bahasa Melayu terus terpelihara sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang
standard. DBP bertanggungjawab sebagai urusetia semasa proses pembentukan istilah dijalankan. Lima
prosedur pentadbiran pembentukan istilah yang ditetapkan oleh DBP iaitu penggubalan, pengesahan,
penyelarasan, pemansukripan dan penyebaran telah menjadi satu garis panduan dalam proses
pembentukan istilah. Prosedur ini akan memastikan gerak kerja pembentukan istilah dijalankan dengan
betul dan sistematik. Oleh itu, setiap calon istilah yang telah dikenal pasti akan melalui lima prosedur
tersebut sebelum calon istilah disahkan sebagai istilah dan disebarkan kepada masyarakat. Selain itu,
pengaplikasian teori peristilahan dan panduan yang terdapat di dalam PUPIBM telah membantu
pembentukan istilah yang standard dan boleh diguna pakai tanpa ada kekeliruan makna istilah tersebut
dengan istilah yang lain.
Di samping itu, lima prosedur tersebut akan membantu penggubal istilah menggubal istilah yang
mantap, berkesan, mempunyai makna yang tepat dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan dalam
kalangan pengguna istilah semasa menggunakan istilah tersebut. Prosedur ini juga akan memastikan
istilah yang digubal tidak ditukar atau diubah sewenang-wenangnya mengikut perkembangan semasa
kecuali pertukaran dilakukan untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu.

PENGHARGAAN

Syukur alhamdulillah, dengan keizinan-nya yang telah memberi ruang, masa, kekuatan, kecekalan
dan keazaman dapat pengkaji menyempurnakan artikel ini. Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada
Dr. Hajah Nor Azuwan Yaakob dan Dr. Jama’yah Zakaria, Puan Saidah, Puan Naimah, kakitangan
Perpustakaan Sultan Abdul Samad dan pensyarah FBMK, UPM yang banyak memberi sumbangan idea,
masa dan bimbingan serta tunjuk ajar dalam membantu pengkaji menyiapkan penulisan artikel akademik
ini.

RUJUKAN

Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu perancangan bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amat Juhari Moain. (1992). Pembentukan kata dan istilah:Ke arah pembentukan istilah yang
sempurna.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amat Juhari Moain. (1992). Peminjaman kata istilah daripada bahasa asing. Ke arah pembentukan
istilah yang sempurna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Armin Azhari Saleh. (2005, Mac). Mencipta istilah baharu. Dewan Bahasa, 5(3), 64.
Awang Sariyan. (1992). Istilah bahasa melayu kerap berubah. Ke arah pembentukan istilah yang

85
Mat Dehan, A.A. et al. / International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL)
2014, Vol. 1, 77-86

sempurna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia.
Fauzilahyatun Mustafa. (2002, November). Peristilahan Bahasa Melayu. Pelita Bahasa, 14(11), 14-15.
Mior Hamzah Mior Hashim, Aliah Abd. Rahim dan Abdullah Marjunid. (1992). Ke arah pembentukan
istilah yang sempurna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Nawal Hanim Haji Lope Zainal Abidin. (2007, Mac). Peristilahan Bahasa Melayu – Rona lama dan
baharu. Dewan Bahasa, 7(3), 50-52.
Nawal Hanim Haji Lope Zainal Abidin. (2005, Jun). Peristilahan Bahasa Melayu. Pelita Bahasa, 17(6),
34-35.
Othman Ismail. (1992). Peristilahan Bahasa Melayu: Di antara konsep, makna dan definisi. Ke arah
pembentukan istilah yang sempurna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia. (2004). Pedoman Umum Pembentukan Istilah
Bahasa Melayu Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rusli Abdul Ghani. (1990). Bentuk bergabung dalam peristilahan. Pelita Bahasa, 2(12), 38-39.
Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad (2009). Perkembangan pembentukan istilah Bahasa Melayu di
Malaysia. Indonesia: Kimli Malang.

86

You might also like