You are on page 1of 3

“Kemurungan: Jom Bincang” merupakan tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia

2017 yang disambut pada 7 April setiap tahun. Kenapakah tema tersebut menjadi
fokus utama sedunia dalam fraterniti kesihatan? Kemurungan atau depresi merupakan
penyakit yang kerap berlaku di seluruh dunia sama ada di negara maju atau sedang
membangun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati peningkatan populasi
yang mengalami masalah kemurungan adalah lebih daripada 18% di antara tahun
2005 sehingga 2015 dan lebih daripada 300 juta orang kini mengalami masalah
kemurungan. Di Malaysia, 4 daripada 10 orang dianggarkan terlibat atau mengalami
masalah kesihatan mental dalam kehidupan mereka. Angka ini dijangka akan terus
meningkat dari semasa ke semasa. Tidak mustahil, kemungkinan ada di antara kita
juga tergolong dalam statistik tersebut kerana kesukaran untuk mengenalpasti
simptom-simptom kemurungan yang wujud dalam diri sendiri.

Situasi yang membimbangkan ini menjadi satu ancaman yang wujud di persekitaran
kehidupan setiap orang saban hari. Ia juga menjadi cabaran getir yang perlu dihadapi
dan ditangani dalam sektor penjagaan kesihatan secara lokal atau global. World
Bank pula menjangkakan 340 juta daripada populasi dunia akan mengalami
kemurungan pada tahun 2020. Apa yang lebih merisaukan, pada tahun 2030,
dijangkakan kemurungan klinikal akan menjadi penyakit yang paling melumpuhkan
kehidupan individu disebabkan ia mengambil tempoh masa yang lama dan
mengganggu keupayaan seseorang menjalani aktiviti kebiasaan.

Di seluruh dunia, perbelanjaan oleh kerajaan yang diperuntukkan untuk kesihatan


mental hanya mewakili 3 peratus. Negara yang berpendapatan rendah hanya kurang
daripada 1 peratus dan negara yang berpendapatan tinggi pula memperuntukkan 5
peratus dalam sektor kesihatan mental. Oleh itu, dalam meningkatkan tahap kesihatan
mental serta menambahbaik perkhidmatan kesihatan mental masyarakat, kerajaan
juga perlu mengambil langkah yang komprehensif memandangkan beban penyakit
berkaitan mental semakin meningkat. Dan tidak hairanlah kempen kemurungan dan
kesihatan mental terus menjadi fokus dalam dunia kesihatan pada hari ini.

Kerajaan perlu melihat isu kesihatan mental secara holistik dengan meningkatkan
fasiliti untuk mengurangi beban penyakit berkaitan masalah mental. Ia juga termasuk
menambahbaik keperluan rawatan dalam kesihatan mental dan juga menambah
bilangan pakar psikologi dan psikiatri dalam perkhidmatan kesihatan negara agar isu
dan masalah ini tidak terus kritikal dalam masyarakat kita.

Kemurungan menjadi masalah serius dalam masyarakat yang memberi impak kepada
setiap aspek kehidupan. Malah, kemurungan yang teruk akan membawa kepada kes
bunuh diri di mana telah mencatatkan hampir 800,000 jumlah kematian pada setiap
tahun. Kesan ekonomi yang dampak apabila seseorang mengalami kemurungan bukan
sekadar kepada individu tersebut malah kepada majikan juga kerajaan. Individu yang
mengalami kemurungan akan menyebabkan kurang upaya untuk bekerja dan ini akan
memberi kesan kepada majikan secara keseluruhannya. Produktiviti akan menjadi
semakin merosot akibat ketidakhadiran pekerja disebabkan gejala kemurungan seperti
kelesuan, kurang tidur, hilang selera makan dan sakit-sakit badan. Di pihak kerajaan
pula akan memberi kesan pengurangan penerimaan cukai dan peningkatan dalam
perbelanjaan kesihatan dan kebajikan. Kos yang ditanggung akibat kurangnya
produktiviti pekerja di tempat kerja disebabkan oleh kemurungan dianggarkan
sebanyak USD 1 trilion setahun.
Keparahan masalah kemurungan ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Tetapi situasi ini menular dan semakin membarah dalam masyarakat sekiranya tidak
ditangani dan dirawat dengan sewajarnya. Wujud perasaan malu dan tidak mahu
untuk mendapatkan rawatan awal bagi mereka yang menderita kemurungan. Ini juga
disebabkan oleh faktor stigma masyarakat terhadap pesakit yang mempunyai masalah
mental. Masalah ini tidak seharusnya dipandang remeh dengan pelbagai persepsi
negatif terhadap mereka yang mengalami masalah kemurungan.

Diskriminasi masyarakat yang timbul menjadi halangan utama bagi mereka yang
menderita kemurungan atau masalah berkaitan mental untuk mendapatkan rawatan
pemulihan dengan segera. Keterbukaan masyarakat dan positif terhadap pesakit yang
mengalami kemurungan akan memberi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk
meneruskan kehidupan.Sseterusnya dapat mengelakkan diri daripada terus dilanda
kemurungan dan hilang pertimbangan yang akan memudaratkan kualiti kehidupan.
Sesetengah individu menganggap masalah kesihatan yang berkaitan mental bukanlah
sesuatu yang serius seperti penyakit lain. Ini akan menyebabkan mereka lambat
mendapatkan rawatan malahan ada diantaranya mendapatkan rawatan yang tidak
sewajarnya. Akhirnya, permasalahan ini kian meruncing kerana tidak dirawat secara
mengakar.

Seharusnya langkah awal perlu diambil dengan mendapatkan rawatan doktor secepat
mungkin jika mengalami kemurungan dan kerisauan berlanjutan dalam tempoh
melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk. Masalah dan
tekanan hidup yang dihadapi, sekiranya tidak dikawal dan ditangani dengan sewajar
akan menyebabkan menyebabkan kemurungan klinikal yang berpanjangan. Dalam hal
ini, Allah telah mengungkapkan dalam al-Quran menerusi surah al- Baqarah ayat 155-
156 yang membawa maksud: “Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan
sedikit perasaan takut terhadap  musuh, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan
jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berilah khabar gembira kepada orang-
orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada
Allah jualah kami kembali.” Justeru, sebagai orang Islam, menghadapi kesusahan dan
tekanan kehidupan perlu diatur dengan perasaan tenang, rasional dan sabar dengan
apa jua ketentuan Allah SWT di samping menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik
mungkin.

Bantuan dan sokongan moral daripada keluarga dan individu di sekeliling pesakit
amatlah penting setelah dikenalpasti mengalami kemurungan. Pemantauan yang
berterusan daripada pihak tersebut membantu untuk mengelakkan keadaan yang tidak
diingini berlaku. Sokongan sosial dan penerimaan masyarakat ini akan membantu
mereka meneruskan cabaran kehidupan kerana masih merasai diri disayangi dan
diberi perhatian.

Pada hari ini ramai pesakit yang berkecenderungan untuk mendapatkan rawatan
bomoh apabila mengalami masalah mental dan tidak merujuk kepada pakar psikiatri
atau psikologi. Ini merupakan cabaran dalam dunia kesihatan mental. Oleh itu, perlu
ada langkah dalam memberi kesedaran kepada masyarakat memilih saluran rawatan
yang bersesuaian sekiranya menghadapi masalah. Di samping itu, rawatan terapi
berunsurkan Islam perlu diintegrasikan dengan ilmu dan kepakaran profesional
kesihatan yang sedia ada dalam merawat pesakit yang mempunyai masalah dalam
kesihatan mental memandangkan aspek teologi dalam hal ini juga tidak boleh
dikesampingkan.

Walau bagaimanapun, rujukan segera kepada pakar psikiatri dapat mengurangkan


kesan negatif daripada masalah mental yang dihadapi tersebut. Masyarakat juga perlu
dididik untuk meningkatkan tahap kesihatan mental serta mengelakkan stigma dan
prejudis terhadap masalah tersebut. Ini kerana, pendidikan amat penting dalam
meningkatkan literasi dan kesedaran berkenaan isu kesihatan mental supaya ia dapat
dibincang secara terbuka dan dikenalpasti permasalahan daripada awal.

You might also like