You are on page 1of 9

Berdasarkan teori yang dihasilkan oleh Slavin (1994) yang menetapkan empat faktor yang

menyumbang kepada amalan pengajaran berkesan iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras
pengajaran, intensif dan masa. Slavin juga telah mengemukakan dua cara untuk
meningkatkan motivasi agar murid terus berupaya mengekalkan minatnya untuk belajar.
Pertama, guru perlu menyediakan pengajaran yang lebih menarik dan menyeronokan
dengan menyediakan pelbagai bahan bantu mengajar. Kedua, guru boleh memberi pujian
atau ganjaran apabila murid telah berjaya mencapai objektif pembelajaran yang diharapkan.
Aspek masa yang dirujuk oleh Slavin (1994) ialah masa pembelajaran dan pengajaran guru
yang mencukupi bagi murid menguasai sesuatu konsep dan kemahiran.Masa pengajaran
guru dipengaruhi oleh dua faktor iaitu masa yang diperuntukan oleh pihak sekolah kepada
guru yang mengajar suatu mata pelajaran dan masa tugasan iaitu masa yang guru gunakan
untuk mengajar dan masa yang murid gunakan untuk menguasai kemahiran dan konsep.
Menurut Abdul Ghani Abdullah et al.(2011) semua kaedah pengajaran memberi penekanan
kepada aspek tertentu sahaja. Guru tidak semestinya bergantung kepada sesuatu kaedah
sahaja manakala kaedah pengajaran semata-mata belum tentu dapat menghasilkan
pengajaran yang berkualiti. Ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti sifat asas mata
pelajaran, keupayaan guru, kedudukan murid, alat bantu mengajar akan menentukan
kaedah yang manakah dapat mencapai hasil yang lebih baik. Menurut Esah (2003),
pengurusan pengajaran adalah merancang isi pelajaran yang menepati tajuk dan objektif,
merancang aktiviti dan kaedah penyampaian yang berkesan dan penggunaan masa
mengajar.
2.0 PERKEMBANGAN      

2.1  PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS

            Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik,
pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru
sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Menurut Tokoh
Guru Peringkat Negeri Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan Online, 2008), beliau
menyatakan bahawa setiap guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan ibu bapa
mereka sera tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi seorang guru yang baik. Ia sejajar
dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan
progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan
kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat
yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.”

            Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan
banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik
atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru
pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan
kesabaran yang sangat tinggi.

Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama
guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan
pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk
mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran
yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat
penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui
maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu
diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah
menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam
pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan
bahawa mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi
perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap pelajar pendidikan
khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

            Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus
rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan
kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai
pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan
keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab
untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah
penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga
perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan
terbaru mereka dapat diperbaharui.

            Kaunselor juga seringkali dikaitkan dengan guru pendidikan khas. ia berlaku apabila
mereka seringkali mempunyai anggapan positif terhadap pelajar mereka. Mereka tidak
pernah menganggap pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Justeru itu, mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa syarat. Guru Pendidikan Khas
juga dianggap kaunselor apabila murid-murid mengalami masalah sosioemosi seperti rasa
takut, kecewa, bosan dan sebagainya serta masalah pembelajaran hendaklah dibimbing
supaya murid dapat membina keyakinan diri. Sebagai contoh Cikgu Alizah Abdul Malek,
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong telah
mengatakan bahawa beliau bukan sahaja mengajar di sekolah malah pernah diminta oleh
ibu bapa pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah
(Utusan Online, 2011). Ini membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai
kaunselor yang sentiasa menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di luar
sekolah. Lain pula dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau
Kota apabila terdapat pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa
mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo,
2008).

2.2 CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS

            Guru adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu sehinggakan
ada pendapat yang mengatakan, “Saya suka subjek itu kerana saya sukakan cara guru itu
mengajarnya”. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah mereka meningkat
dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi juga sering berlaku. Guru
mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan memarahi pelajar-pelajarnya
adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa pengajaran dijalankan. Dalam situasi ini
terdapat pelbagai kualiti yang berbeza. Mengikut Atan Long (1992) dalam buku Mengurus
Tingkah Laku Pelajar , terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental
yang stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik,
kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan
kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang terkandung
di bawah etika guru. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4, etika ialah prinsip moral (atau
akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu
kumpulan. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa etika guru ialah prinsip moral atau
akhlak yang menjadi pegangan seorang guru.

Jika dikaitkan dengan kesantunan guru atau etiket, ia terbahagi kepada tiga iaitu
kesantunan berpakaian, kesantunan tingkahlaku dan kesantunan berbahasa. Kesantunan
merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu kelompok
masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus menjadi prasyarat yang
disepakati oleh perilaku sosial. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010). Oleh yang demikian,
kesantunan guru perlu dipamerkan untuk membentuk kesantunan di kalangan murid.
Kepedulian guru juga adalah salah satu daripada ciri guru yang baik. Pendekatan
kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain.
Kepedulian atau dalam istilah yang lain ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan
‘menyayangi’, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap
keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Oleh yang demikian, kepedulian
bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. (Syed Ismail dan
Ahmad Subki, 2010).

Salah satu ciri guru pendidikan khas yang baik ialah mempunyai sifat sabar yang tinggi.
Kesabaran ini diperlukan ketika menghadapi karenah murid-murid ini. Hal ini kerana murid
berkeperluan khas ini sangat unik dan mempunyai pelbagai karenah dan perangai tersendiri
seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk. Untuk menghadapi
situasi ini, seorang guru haruslah sentiasa berupaya mendengar dengan tekun, mengawal
perasaan, serta menghargai murid. Jika kesabaran tidak dapat dipraktikkan, maka guru ini
akan mengalami situasi yang sangat sukar dalam mengendalikan murid-murid dan
kemungkinan guru-guru ini juga akan mengalami kemurungan. Memetik kata-kata Cikgu Lee
Fong Lan dari Sekolah Menengah Danau Kota dalam Kosmo terbitan 2008, beliau
menyatakan bahawa beliau pernah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme tetapi
dengan kesabarannya mendidik akhirnya kanak-kanak tersebut semakin mendengar kata
dan berkelakuan baik. Pendapat ini disokong oleh Cikgu Alizah bahawa guru pendidikan
khas memerlukan kesabaran yang tinggi dan dengan kesabaran itu menjadikan proefesion
guru sebagai unik dan menarik.

Selain itu, guru pendidikan khas juga haruslah bertanggungjawab untuk mendidik murid-
murid berkeperluan khas. Sudah diketahui umum bahawa bukan semua murid-murid
berkeperluan khas ini mampu membaca, menulis seperti rakannya yang lain tetapi menjadi
satu kebanggaan kepada gurunya apabila murid mereka mampu berdikari dan mengurus
keperluan diri sendiri. Ia merupakan kejayaan terbesar yang dan hadiah yang tidak ternilai
untuk seorang guru walaupun setelah masa yang lama untuk dididik. Justeru itu, guru
seharusnya bertanggungjawab menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik minat
murid dalam pembelajaran. Seperti yang dikatakan oleh Cikgu Donny Chin (Utusan Online,
2011), bahawa pengajaran yang dilakukan kepada murid pendidikan khas perlu pendekatan
kreatif dan kritis serta mempunyai kaedah pengajaran tersendiri.

Jika guru disiplin perlukan sifat yang tegas, guru pendidikan khas pula perlukan sifat pandai
memujuk murid. Sifat ini diperlukan untuk menangani pelajar yang agrasif. Murid seperti ini
tidak boleh dimarahi kerana mereka akan menjadi lebih agresif. Disinilah pentingnya sifat
memujuk dan tahap kesabaran yang tinggi. Layanan yang diberikan kepada pelajar ini
perlulah dengan penuh berhemah. Sebagai contoh, Cikgu Alizah Abdul Malek telah
mengalami situasi murid telah memanjat pokok dan pujukan diperlukan untuk murid tersebut
turun dengan selamat. (Utusan Online, 2011)

Komunikasi antara guru dengan murid dan ibu bapa adalah sangat penting dalam
mewujudkan perhubungan yang baik. Ciri positif komunikasi tersebut ialah guru boleh
berinteraksi dengan baik. Dengan interaksi yang berlaku akan mewujudkan pelbagai
perasaan yang positif seperti kepercayaan, empati dalam diri, penerimaan murid dan
sebagainya. Dengan interaksi dua hala ini ibu bapa senang untuk mengadakan
perbincangan dan meluahkan pandangan serta idea. Petikan daripada Khutbah Jakim juga
menyatakan bahawa hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya
usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan
masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya
permasalahan diselesaikan secara muhibah. (Berita Harian, 2011)

Untuk mengatasi segala masalah yang berkaitan, guru haruslah mempunyai ilmu yang
cukup dan kecerdasan minda dalam menyelesaikan masalah. Ilmu menjadi sesuatu yang
penting untuk guru-guru ini mengenalpasti murid-murid mereka dengan baik dan mencari
jalan penyelesaian yang baik dan sesuai untuk setiap murid. Ilmu bukan sahaja melalui
pembacaan tetapi guru-guru ini boleh menghadiri kursus, menyambung pengajian dan
bertanyakan pakar adalah salah satu daripada ilmu yang diperolehi. Dengan ilmu yang ada,
guru-guru dapat menggunakan kecerdasan minda mereka dalam menghadapi muird-murid
ini.

2.3  CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS

            Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar
berbanding menjadi guru biasa.(Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah petikan
daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru biasa. Menurut Cikgu
Alizah Bt Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru pendidikan khas sangat mencabar
kerana pelbagai karenah murid yang berbeza terpaksa mereka hadapi. Pendapat ini telah
disokong oleh seorang lagi guru pendidikan khas iaitu Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari
Sekolah Menengah Danau Kota bahawa menjadi guru pendidkan khas sangat mencabar.
(Kosmo, 2008)

            Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi ialah murid-murid sendiri. murid-
murid ini akan melakukan pelbagai aksi ataupun sikap untuk menunjukkan sikap
memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid yang membuat perangai
disebabkan inginkan perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari
Sekolah Menengah Danau Kota yang telah digigit dan dipukul kerana tidak memberikan
perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan kerenah yang pelbagai, guru perlu
menggunakan segala kepakaran mereka samaada memujuk, menyelesaikan masalah dan
sebagainya.

            Seterusnya ialah cabaran daripada ibu bapa apabila meletakkan harapan yang tinggi
terhadap guru untuk mengubah anak mereka. Apabila wujud kesedaran ibu bapa terhadap
masalah pembelajaran anak-anak mereka,  mereka akan menghantar anak mereka ke
sekolah. Mereka akan mula mengharapkan perubahan terhadap anak mereka sedangkan
guru hanya mendidik semasa murid di sekolah sahaja. Tetapi dengan rasa tanggungjawab
dan ikhlas dalam menjalankan tugas, guru pendidikan khas merasakan mereka mampu
membawa perubahan kepada anak-anak istimewa ini. Seorang ibu iaitu Dayang Kianhing,
telah mengatakan bahawa anaknya telah berlaku perubahan yang memberangsangkan
apabila sudah boleh menghafal surah al-Fatihah dan bersolat serta sudah berminat ke
sekolah. Ia adalah perkembangan yang memberangsangkan kerana anaknya sebelum ini
mengalami masalah hiperaktif dan masalah pertuturan. (Utusan Online, 2011)          

3.0  IMPLIKASI
            Implikasi cabaran yang dihadapi oleh guru akan meningkatkan lagi tahap profesional
guru tersebut. Tahap ini dapat ditingkatkan apabila guru mula mengutip pengalaman
semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Apabila pelbagai pengalaman telah dilalui,
maka pelbagai perubahan yang baru akan dapat dibuat seiring dengan perubahan murid
dan masa. Selaian itu, tahap profesioanalisme dapat ditingkatkan apabila guru mula
memikirkan cara untuk mendapatkan ilmu sama ada menyambung pengajaran, menghadiri
kursus, membaca dan sebagainya. Kemahiran-kemahiran baru juga akan dapat dikumpul
melalui aktiviti yang dijalankan.

            Selain itu, penyampaian pengajaran guru akan menjadi sesuatu yang menarik dan
pelbagai. Penyampaian yang menarik sangat diperlukan supaya murid tidak merasa bosan
sekaligus tidak ingin hadir ke sekolah. Untuk menjadikan pengajaran sesuatu yang menarik,
guru mestilah menyediakan perancangan pengajaran terlebih dahulu sebelum
menyampaikannya. Bukan sahaja perancangan pengajaran malah bahan bantu mengajar
juga akan disediakan bagi menjadikan sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan
berkesan dan menarik.

            Etika guru akan terjaga dengan baik apabila menjadi guru pendidikan khas.
Disebabkan guru memerlukan sikap sabar, penyayang, jujur serta bertanggungjawab maka,
keperibadian guru akan meningkatkan ke tahap yang lebih baik. Selain daripada itu,
percakapan yang lembut dan sifat memujuk mampu menjadikan seorang guru pendidikan
khas sebagai guru yang baik dan menjaga tingkahlaku.

            Walaubagaimanapun anak-anak murid yang diterima, hubungan guru dengan ibu
bapa akan terjaga dengan baik. Ini adalah kerana interaksi dua hala yang dijalinkan mampu
membina hubungan yang mesra. Dapat dilihat bahawa guru dan ibu bapa akan sentiasa
berhubungan antara satu sama lain untuk mendapatkan maklumat dan juga membuat
perbincangan tentang sesuatu perkara.

            Pembentukan tingkahlaku positif dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial dapat
dipupuk. Apabila nilai-nilai murni sering diterapkan dalam diri murid, maka mereka akan
mengaplikasikannya dengan orang persekitaran. Murid juga akan belajar melalui tingkahlaku
dan cara guru mengajar dan mendidik mereka. Ini disebabkan oleh salah satu dari
pembelajaran murid adalah melalui pemerhatian dan peniruan.

 
4.0 CADANGAN

Cadangan pertama untuk guru menghadapi murid-murid ini ialah guru seharusnya
memperkasa emosi dalam membentuk sikap pelajar. (Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman
Abd. Aziz, 2009). Kamus Dewan edisi ke-4 mentakrifkan emosi sebagai perasaan pada jiwa
yang kuat seperti sedih dan marah. Oleh itu, emosi adalah ciri jiwa manusia yang
mempamerkan perasaan yang berpunca daripada psikologi, tingkahlaku dan naluri manusia.
Guru haruslah mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk menangani ketidakstabilan
emosi yang berpunca daripada tekanan dengan positif. Tanpa kesedaran kendiri, individu itu
tidak mampu untuk membina makna hasil tindakan dan reaksinya pada persekitaran.
Disebabkan itu, guru memerlukan dorongan diri ataupun motivasi yang tinggi dalam kawalan
kecenderungan emosi yang dapat memandu ataupun memudahkan pencapaian matlamat
dan kejayaan orang lain.

Guru juga boleh menggunakan satu pendekatan untuk membentuk tingkahlaku murid
supaya senang untuk dikawal semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai  contoh
aktiviti bercerita dalam membentuk tingkahlaku murid. Cerita boleh dijadikan sebagai satu
terapi untuk intervensi kaunseling kanak-kanak. Terapi bercerita ialah seni mempengaruhi
orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka. Terapi ini juga
merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. (Lee Keok Cheong et al.,
2012). Melalui aktiviti bercerita ini guru boleh menggunakan contoh teladan untuk memberi
pengajaran kepada murid. Akan terdapat murid yang akan mengikut tingkahlaku yang
diceritakan oleh guru. Cerita yang dipilih oleh guru juga hendaklah bersesuaian dengan
perkembangan murid.

            Melahirkan guru mesra OKU juga salah satu dari cara untuk membentuk guru
pendidikan khas yang baik dan prihatin serta mesra terhadap murid. Ia haruslah diberikan
latihan semasa guru-guru ini berada dalam latihan perguruan. Ia bukan merujuk kepada
guru pendidikan khas sahaja tetapi juga guru-guru biasa supaya mereka dapat mengesan
ketidaksempurnaan anak didik mereka. Dengan itu, guru-guru bolehlah membawa masalah
ini kepada pakar. Program ini juga disokong oleh pihak TWINTECH International University
College of Technology (TWINTECH) apabila mereka menawarkan pelbagai program bagi
membantu kerajaan melahirkan guru prihatin dan mesra orang kelainan upaya (OKU).
Universti tersebut mengambil tindakan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib
bagi graduan, melahirkan guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan sebagainya.
( Mymetro, 2012)

5.0 RUMUSAN

            Pada pandangan saya, tugas guru pendidikan khas sangat mencabar kepada
sesiapa yang menyandangnya. Tugas itu terlalu berat untuk dipikul untuk guru yang masih
belum menguasai tahap kesabaran dan keikhlasan yang tinggi. Pengalaman ini telah
dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia melalui penerbitan Kosmo, 2008 dan Utusan
Online, 2011. Cikgu Alizah Abdul Malek (Utusan Online,2011) menyimpulkan bahawa guru
pendidikan khas mempunyai 1001 macam cerita. Cerita yang mereka sempat berkongsi
adalah berkaitan ragam murid-murid dan juga harapan ibu bapa.  

Selain daripada guru, ibu bapa juga menganggap anak istimewa sebagai cabaran yang
besar. Berikutan kenyataan tersebut, ibu kanak-kanak autisme menyatakan bahawa
sebelum mendapat pendidikan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, (NASOM)
anaknya mudah naik angin dan marah apabila keinginan dirinya tidak dipenuhi.
Percakapannya tidak difahami apabila hanya mengeluarkan bunyi seperti em...em...sahaja.
(Berita Harian, 2012). Jika dilihat kenyataan ibu kanak-kanak tersebut, beliau hanya
menghadapi seorang sahaja kanak-kanak istimewa tetapi guru pendidikan khas menghadapi
murid lebih daripada seorang serta mempunyai kepelbagaian masalah.

Walaupun pelbagai cabaran yang telah mereka hadapi tetapi dengan kejayaan murid-murid
mereka walaupun hanya sekadar mengurus diri sendiri adalah kejayaan terbesar dan tidak
ternilai oleh mereka. Dengan berkat kesabaran mereka dalam mendidik, murid-murid ini
telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh guru tersebut. Namun terdapat
juga murid berkeperluan khas yang telah berjaya dengan cemerlang dan mendapat
pendidkan sehingga peringkat tinggi.  Dua orang pelajar cacat penglihatan Sekolah
Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS), Kuala Lumpur iaitu Tang Kah Hung dan
Ahmad Shahide Ruslan telah mendapat 10 A untuk SP 2010. (Berita Harian, 2010) Ini
menunjukkan terdapat juga murid berkeperluan khas yang berjaya sehingga ke peringkat
tinggi.

Oleh yang demikian, jangan dipandang murid berkeperluan khas hanya memberikan beban
yang besar kepada orang sekeliling mereka tetapi pandanglah mereka sebagai anugerah
yang terindah. Saya memetik kata-kata Rosmah Mansur yang juga Yang Dipertua Badan
Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), iaitu “hanya dengan mendampingi mereka,
barulah ia dapat membuka hati dan minda kita supaya lebih menghayati keperluan mereka
dan seterusnya memperjuangkan nasib golongan OKU.”(Berita Harian, 2011)   

Sebagai kesimpulan, menjadi seorang guru pendidikan khas bukan sekadar menjadi guru
biasa tetapi sebagai guru yang baik kerana tahap kebergantungan murid kepada guru
adalah melebihi murid-murid yang normal. Namun, sebagai seorang guru, keikhlasan dalam
mendidik menjadikan mereka seorang yang berfikiran positif, bersikap menerima dan
sebagainya.  Walaupun banyak cabaran yang ditempuhi tetapi didiklah mereka kerana
mereka berpeluang untuk meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kebergantungan
kepada keluarga, masyarakat dan negara.

You might also like