You are on page 1of 6

1.

0 Pengenalan

Perkataan santun sering dikaitkan dengan gerak geri ataupun perilaku dan bahasa yang
digunakan oleh seseorang dalam komunikasi. Menurut Kamus Dewan, kesantunan ialah
kesopanan, kehalusan budi bahasa atau budi pekerti serta beradap. Manakala menurut Awang
Sariyan (2007) kesantunan boleh didefinisikan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan,
beradap, memancarkan peribadi yang mulia serta menunjukkan penghormatan kepada pihak yang
menjadi teman bicara. Secara umumnya, konsep kesantunan tidak hanya merujuk kepada
kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverbal seperti tingkah
laku, mimik muka dan nada suara. Konsep kesantunan ini mempunyai rangkuman segala perilaku
terpuji yang disempurnakan lagi dengan penggunaan bahasa yang santun. Dalam konteks
masyarakat Malaysia, kesantunan amat penting diamalkan demi menjaga perpaduan yang telah
lama wujud agar terus terpelihara dan tidak tergugat. Tidak perlu untuk setiap anggota masyarakat
menngunakan bahasa puitis bagi menzahirkan kesantunan, cukuplah sekadar mengamalkan
penggunaan bahasa yang sopan, teratur dan disenangi oleh semua lapisan masyarakat.

2.0 Aspek Kesantunan Berdasarkan Pandangan Tokoh

Kesantunan bahasa merujuk kepada kepatuhan terhadap peraturan yang terdapat dalam
bahasa sesuatu masyarakat. Peraturan ini amat penting kerana setiap masyarakat mempunyai
peraturan bahasa masing-masing. Sehubungan itu, menurut Awang Sariyan (2007) sebahagian
peraturan itu bersifat sejagat seperti penggunaan panggilan hormat, kata sapaan kekeluargaan dan
ungkapan bertatasusila. Sebahagian lain pula bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat seperti
panggilan hormat menurut susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran dan adat istiadat
masing-masing. Dimensi berbeza tentang konsep kesantunan mewujudkan pelbagai teori dan
takrifan daripada tokoh-tokoh dunia.

2.1 Asmah Haji Omar (2000)


Kesantunan ialah penggunaan bahasa seharian yang tidak menimbulkan kegusaran,
kemarahan dan rasa tersinggung kepada pendengar. Kesantunan juga merupakan suatu kaedah
1
atau strategi yang digunakan untuk mencapai tujuan tertentu. Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi kesantunan. Antaranya ialah kesedaran anggota masyarakat akan peranan
masing-masing, pengetahuan tentang perbezaan taraf sosial, kuasa dan keperluan mengawal
perbincangan. Aspek penggunaan bahasa yang halus, lembut, bersopan santun dan sesuai
dengan konteks semasa pergaulan antara masyarakat amat dititikberat dalam kalangan orang
Melayu. Kesantunan bukan sahaja merujuk kepada sosio budaya yang bergantung pada adat
resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Kesantunan tebahagi kepada dua
jenis iaitu kesantunan asas dan kesantunan berkala. Kesantunan asas ialah kesantunan yang
sedia ada dalam masyarakat yang dijadikan pedoman dalam pergaulan seperti penekanan dalam
ajaran agama. Kesantunan berkala pula ialah kesantunan yang menggambarkan ucapan yang
dilakukan dalam masyarakat berdasarkan situasi tertentu mengikut kesesuaian temapat, situasi
dan pangkat seseorang.

2.2 Leech (1983)


Kesantunan ialah perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam suatu interaksi atau
dalam erti kata lain, strategi untuk mengelakkan persengketaan dan konflik dalam komunikasi.
Strategi utama yang perlu dipatuhi untuk mencapai sifat santun ialah menggunakan bahasa yang
halus dan lembut ketika bertutur, beradap sopan, bersikap lemah lembut, dan berbudi pekerti.
Sehubungan itu, Leech (1983) telah mengemukakan Prinsip Kesantunan Leech yang memberi
penekanan kepada enam aspek. Antaranya ialah aspek kerendahan hati iaitu mengurangkan
pujian dan menambahkan kata-kata cacian ke atas diri sendiri. Seterusnya aspek simpati, iaitu
mengurangkan antipati dan menambah simpati terhadap orang lain. Disamping itu, Leech juga
menegaskan aspek sokong yang mengurangkan cacian dan menambahkan pujian ke atas orang
lain. Selain itu, dari aspek santun pula, setiap individu disarankan mengurangkan kos dan
menambahkan faedah kepada orang lain. Manakala dari aspek budiman, individu hendaklah
mengurangkan faedah dan menambahkan kos ke atas diri sendiri. Akhir sekali ialah aspek
persetujuan. Aspek ini menengaskan pengurangan perselisihan faham dan penambahan
pesepakatan antara diri dan orang lain. Konklusinya, aspek kesantunan merupakan elemen yang
sangat penting bagi memelihara keharmonian hidup dalam masyarakat.

2.3 J. Ferguson dan Das Gupta (1968)


Kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar
2
sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.
Pendengar dan penutur mematuhi semua peraturan dalam perbualan. Dengan perkataan lain,
terdapat komunikasi dan hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar. Kesantunan
wujud melalui persetujuan bersama dalam masyarakat untuk menentukan etika dan peraturan
bermasyarakat. Masyarakat yang mengamalkan sesuatu budaya perlulah mempunyai kesantunan
jika ingin melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman.

3.0 Konsep Budi Bahasa

Perkataan budi berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu Buddhi yang bermaksud bijak, pekerti
baik dan mulia. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Ketiga 2002, budi
didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan atau sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan.
Masyarakat Melayu mendefinisikan budi sebagai pemberian ataupun bantuan ikhlas yang
dihulurkan terhadap orang lain yang memerlukan. Budi merupakan salah salah satu nilai murni
yang perlu dimiliki dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Bahasa adalah aset milik manusia yang paling penting bagi membezakan manusia dengan
makhluk-makhluk lain. Melalui bahasa, manusia dapat berhubung, menyampaikan ilmu, meluahkan
perasaan dan sebagainya. Bahasa boleh didefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat
semulajadi dan peranan bahasa itu sendiri. Menurut Ferdinand De Saussure (1916), bahasa
merupakan satu sistem isyarat yang mempunyai bahagian terpenting berupa gabungan erti dengan
bayangan bunyi. Manakala menurut Asmah Haji Omar (1986) bahasa ialah bunyi yang dihasilkan
oleh alat-alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut dan rongga tekak manusia. Secara
umumnya, bahasa ialah suatu simbol yang terdiri daripada bunyi-bunyi yang diucapkan melalui
mulut manusia dan dipersetujui bersama oleh sekelompok manusia.

Budi dan bahasa amat tinggi nilainya dalam masyarakat Malaysia. Orang yang berbudi bahasa
amat dihormati dalam kalangan masyarakat. Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan,
sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan terhadap orang lain.
Amalan budi bahasa sentiasa diterapkan dalam semua aspek kehidupan oleh setiap kaum di
Malaysia bagi mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera. Ciri-ciri yang terdapat dalam
budi bahasa dapat dibahagikan kepada enam. Antaranya ialah, bertimbang rasa, bertoleransi,
bertolak ansur, beramah mesra, tidak mementingkan diri sendiri dan bersopan santun.

3
4.0 Kepentingan Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia
Pelbagai manfaat yang diperoleh sekiranya masyarakat mengamalkan amalan berbudi bahasa
dalam aktiviti harian mereka. Antaranya ialah,perpaduan antara rakyat Malaysia menjadi lebih utuh
apabila budi bahasa menjadi gaya hidup masyarakat. Perpaduan yang kukuh itu dapat dicapai
kerana setiap anggota masyarakat berinteraksi sesama mereka tanpa ada sekatan bahasa atau
tindakan yang boleh menyinggung perasaan mereka. Tambahan pula, amalan berbudi bahasa
berupaya menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik. Kehidupan rakyat Malaysia akan lebih
tenteram kerana masyarakat tidak terjebak dengan sebarang aktiviti pergaduhan yang tercetus
akibat ketiadaan budi bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. Secara tidak langsung, situasi
tersebut menjadikan ekonomi, politik dan sosial masyarakat Malaysia lebih stabil. Jadi, masyarakat
yang berbudi bahasa akan menimbulkan suasana kehidupan yang gembira dalam negara.
Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira
kaum, warna kulit mahupun agama. Bukan itu sahaja, amalan berbudi bahasa ini akan mendidik
masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa menjaga senstiviti dan perasaan
melalui tutur bicara atau perlakuan. Akhir sekali ialah dapat melahirkan masyarakat yang lebih
bertamadun. Melalui kajian konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat
yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah.
Bagi membina tamadun yang unggul dan boleh berdiri di atas kaki sendiri, anggota masyarakat
tidak seharusnya bersikap biadap dan kasar sehingga boleh menyinggung perasaan mana-mana
pihak.

5.0 Penutup

Kesimpulannya, kesantunan merupakan pedoman bagi masyarakat untuk berhubung antara


satu sama lain dengan cara menunjukkan nilai-nilai yang baik. Hal ini kerana dalam mana-mana
masyarakat yang bertamadun, mereka pasti mempunyai asas-asaa kesantunan yang telah dididik
dan diterapkan sejak kanak-kanak lagi.

1.0 Pengenalan 1

2.0 Aspek Kesantunan Berdasarkan Pandangan Tokoh 1


2.1 Asmah Haji Omar (2000) 1

2.2 Leech (1983) 2

2.3 J. Ferguson dan Das Gupta (1968) 2

3.0 Konsep Budi Bahasa 3

4.0 Kepentingan Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia 4

5.0 Penutup 6

You might also like