You are on page 1of 5

Karangan

Cabaran Dalam Mengekalkan


Perpaduan Kaum Di Malaysia

Ipendidikan » Karangan » Cabaran Dalam Mengekalkan


Perpaduan Kaum Di Malaysia
Disemak dan dikemaskini pada pukul 11:53 pm, 5 April 2020

Para pelajar lazimnya menghadapi kesukaran untuk menjawab


soalan karangan Bahasa Melayu. Perkara ini berlaku kerana
mereka kurang melakukan latihan atau tidak didedahkan
terhadap variasi soalan yang berpotensi untuk dikeluarkan. Maka,
pelajar digalakkan untuk mencari contoh-contoh karangan Bahasa
Melayu secara atas talian dalam persediaan menghadapi
peperiksaan. Untuk rujukan anda, berikut adalah contoh karangan
cabaran dalam mengekalkan perpaduan kaum.

Tajuk soalan karangan seperti di bawah adalah isu semasa yang


dekat dengan pelajar. Justeru, dalam mencari idea atau isi-isi
penting, pelajar akan mempelajari sedikit sebanyak tentang isu
terbabit dan sedar akan kepentingannya. Kaedah ini membantu
pelajar supaya terus peka dengan pengetahuan am dan semasa
dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan
penulisan karangan Bahasa Melayu.

Isi Kandungan

1. Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum Dan Langkah


Mengatasi
2. Contoh Karangan Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan
Kaum

Cabaran Dalam Mengekalkan


Perpaduan Kaum Dan Langkah
Mengatasi
Isi-isi penting
Landskap politik negara
Jurang dan dominisasi ekonomi
Kewujudan sistem pendidikan yang berbeza
Laman sosial dan media massa
Penggunaan bahasa kebangsaan

Baca juga: Usaha Memupuk Perpaduan Kaum


Contoh Karangan Cabaran Dalam
Mengekalkan Perpaduan Kaum
Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu
dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di
persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh
pelbagai permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh rakyat
kita sendiri. Negara Malaysia mengecapi kemerdekaan hasil
usaha kesemua rakyat pada ketika itu, tanpa mengira bangsa,
agama dan warna kulit untuk hidup harmoni bersama-sama.
Namun, hari ini kita sering melihat siaran berita di televisyen dan
video-video perkongsian di laman sosial yang menggugat
perpaduan kaum yang telah terbina sejak dahulu lagi. Pelbagai
faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku di mana
kekurangan sifat toleransi merupakan nilai yang penting bagi
mencari kemajmukan dalam kalangan masyarakat hari ini. Oleh
itu, mari kita huraikan cabaran-cabaran yang timbul dalam
mengekalkan perpaduan kaum.

Isi 1
Cabaran pertama adalah dari segi politik negara. Perbezaan parti
politik di Malaysia yang berasaskan perkauman telah
menyukarkan perpaduan kaum. Dunia politik sememangnya
penuh dengan kontrovesi dimana terdapat pelbagai individu yang
mempunyai tujuan dan kepentingan yang berbeza. Hasilnya,
masih terdapat pemimpin yang kurang bijak dengan
mengharapkan sentimen perkauman dapat memancing perhatian
rakyat tetapi sebaliknya hanya ingin melindungi kepentingan diri
sendiri. Oleh itu, bagi menggerakkan negara ke arah kemajuan
yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara
maju yang lain, ahli politik perlu bersikap terbuka dan matang.
Politik sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat bukannya
mengikut kepentingan bagi mana-mana pihak. Tidak dapat
dinafikan lagi bahawa fahaman parti politik merupakan salah satu
cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.
Sekiranya rakyat dan para pemimpin negara dapat mengatasi
cabaran ini, pasti perpaduan kaum antara masyarakat dalam
negara akan menjadi lebih erat.
Isi 2
Di samping itu, dominisasi sesebuah kaum dalam sesuatu bidang
ekonomi juga telah mewujudkan jurang ekonomi antara
perkauman. Cabaran ini telah pun timbul sejak zaman penjajahan
British lagi dimana kaum Melayu menjadi petani dan nelayan,
kaum India diletakkan di ladang getah dan kaum Cina bekerja
sebagai pedagang dan melakukan perlombongan. Setelah
kemerdekaan dicapai, berlaku perubahan di mana setiap kaum
mendapat peluang pendidikan dan mampu berjaya sekiranya
berusaha dengan betul. Namun begitu, akibat dasar penjajah
dahulu, kesannya masih dapat dilihat sampailah sekarang dimana
sektor perniagaan masih didominisasi oleh kaum Cina dan
kebanyakan orang India masih tinggal di ladang. Rentetan senario
ini telah menyebabkan interaksi sosial di antara mereka terbatas.
Kesannya, perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi
semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum dan
menyukarkan proses perpaduan.

Isi 3
Cabaran seterusnya adalah dari segi sosial golongan muda
dimana sistem pendidikan yang diasingkan mengikut kaum telah
wujud dan meninggalkan kesan yang kurang baik. Pengenalan
sistem sekolah vernakular yang mengikut kaum telah menjadikan
hubungan masyarakat semakin renggang. Mutakhir ini, masih
ramai rakyat yang merupakan warganegara Malaysia tidak fasih
untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan iaiatu Bahasa Melayu.
Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi di antara
satu sama lain, sekiranya kita tidak fasih untuk berbahasa,
bagaimana untuk kita berkomunikasi dan memahami individu lain
yang berbeza pendapat dengan kita. Jika masyarakat majmuk
melibatkan diri dalam kegiatan sosial terutamanya pendidikan
dan berkomunikasi dengan baik maka akan timbul sifat
keterbukaan, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain.
Pada hemat saya, mewujudkan satu sahaja aliran dalam sistem
pendidikan negara serta penekanan tehadap penggunaan bahasa
kebangsaan dapat menyelesaikan masalah perpaduan kaum yang
semakin membelenggu masyarakat hari ini. Persis kata mutiara,
melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Isi 4
Pada masa yang sama, ledakan teknologi hari ini juga merupakan
cabaran dalam mengekalkan perpaduan kaum. Kemudahan
media massa dan sosial yang semakin pantas dalam
menyampaikan sesuatu teks atau video telah menunjukkan sisi
negatifnya. Penyebaran fitnah dan berita palsu semakin menular
terutama apabila isu tersebut menyentuh sensitivi perkauman
atau agama. Setiap individu sewajarnya bertanggungjawab dan
beretika dalam menyampaikan atau berkongsi sesuatu perkara
yang sensitif dan mungkin tidak sahih. Netizen perlu menyelidik
terlebih dahulu sebelum memberi reaksi terhadap perkara yang
menyentuh tentang perkauman dan agama. Pihak berkuasa wajar
menguatkuasakan undang-undang kepada pelaku yang
mencetuskan isu atau sesuatu perkara yang mampu
menggolakkan perpaduan antara kaum. Ahli masyarakat juga
bertanggungjawab menjadi mata-mata pihak berkuasa dimana
jika ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan
kemarahan sesebuah kaum atau penganut agama, wajar untuk
kita laporkan kepada pihak polis. Intihannya, penggunaan
teknologi seperti media sosial sepatutnya menjadi perkara yang
positif dalam kehidupan harian kita sebaliknya, penularan isu-isu
yang menyentuh perpaduan kaum menjadi bahan perbualan
masyarakat hari ini.

Penutup
Secara tuntas, pelbagai cabaran yang timbul dalam mengekalkan
perpaduan kaum dalam negara kita. Pelbagai usaha telah diambil
tetapi belum cukup untuk mengekalkan perpaduan kaum yang
mudah untuk dimusnahkan. Kestabilan politik dan ekonomi
merupakan antara aspek yang bakal menentukan keutuhan
perpaduan kaum dalam negara ini. Semoga setiap di antara kita
sedar betapa nikmatnya untuk hidup bersama-sama dengan
kaum dan agama lain secara harmoni dan sejahtera. Cabaran
mengekalkan perpaduan kaum ini sebenarnya merupakan tugas
kita sendiri dalam memastikan pemimpin yang adil dipilih,
amalan sikap toleransi serta bertolak ansur dilaksanakan dalam
kehidupan harian masing-masing. Bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh.

You might also like