You are on page 1of 2

Tutorial Minggu 3

Soalan : Bincangkan pendapat anda yang menyatakan bahawa hubungan etnik yang rapuh
mencerminkan darjah dan sumber ketegangan sosial.

Umum mengetahui bahawa negara kita, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang
masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, kaum, etnik, warna kulit, budaya, agama,
bahasa, kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Kepelbagaian masyarakat ini merupakan faktor
utama kepada wujudnya keamanan dan perpaduan di negara kita. Malaysia pada hari ini didiami
oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik di seluruh negara. Malaysia juga telah menjadi salah satu
negara yang maju seiring dengan negara luar walaupun negara kita masih baru mencecah separuh
abad usia kemerdekaan. Disebabkan hal itu, masyarakat kita hidup dengan aman dan mengamalkan
kepercayaan dan budaya masing-masing secara bebas dan saling hormat-menghormati antara satu
sama lain. Oleh itu, tidak hairanlah Malaysia sering mencapai pelbagai kejayaan bukan sahaja di
dalam negara malah di peringkat global kerana sikap masyarakatnya yang bersatu padu dan selalu
ada bersama-sama di bawah satu bumbung dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam
memajukan negara. Namun, sedarkah kita bahawa situasi ini tidak akan berkekalan jika hubungan
etnik masyarakat kita tidak dijaga dan rapuh dan sekali gus akan menimbulkan huru-hara antara
sesama masyarakat?

Pada pandangan saya, hubungan etnik yang rapuh mencerminkan darjah dan sumber
ketegangan sosial negara. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada hari ini sering berlaku isu
perkauman sesama masyarakat di negara kita, yang mana melibatkan kaum Melayu, kaum Cina dan
kaum India. Isu ini bukanlah satu isu yang baru dan biasa malah telah pun menjadi satu peristiwa
hitam pada tahun terdahulu iaitu pada 13 Mei 1969 di mana isu perkauman antara kaum Melayu
dan Cina yang melibatkan korban nyawa yang ramai sehingga menjadi satu detik hitam buat negara.
Kini, isu perkauman ini timbul lagi disebabkan ada sesetengah pihak yang sengaja menjadi batu api
dalam menghangatkan lagi hubungan kaum di negara kita. Sebagai contohnya, kita dapat lihat
bahawa baru-baru ini timbul isu perkauman antara kaum Melayu dan Cina disebabkan oleh
cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang memberi
cadangan supaya mata pelajaran Jawi diterapkan ke dalam silibus pembelajaran di setiap sekolah di
Malaysia tidak kira Sekolah Rendah (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Hal ini menimbulkan satu perdebatan secara besar-besaran oleh
masyarakat sama ada di kaca televisyen, di dada akhbar mahupun media sosial sehingga wujudnya
satu kumpulan yang bernama Dong Zong yang bertujuan untuk menentang dan menghalang pihak
kabinet daripada meluluskan cadangan tersebut. Pada masa yang sama, berlaku ketegangan di
antara kaum Melayu dan Cina di negara kita seperti memaki hamun antara kaum di laman sosial,
menaikkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik, menconteng gambar tokoh-tokoh Melayu dan
banyak lagi. Situasi ini kita dapat lihat berlaku disebabkan tidak ada kesefahaman di antara kaum
dan kurangnya keutuhan hubungan dalam masyarakat Malaysia. Seharusnya kaum Cina yang
menentang harus meneliti terlebih dahulu tentang cadangan yang diutarakan dan bukannya terus
menentang tanpa ada usul dan bukti kukuh yang menyatakan kaum Melayu sengaja untuk
menghuru-harakan negara. Perkara ini tidak seharusnya menjadi isu yang besar kerana kita sebagai
negara yang berdemokrasi bebas dalam memberi cadangan dan pendapat, malah diberi kebebasan
juga untuk menentang perkara yang tidak persetujui oleh ramai dengan cara dan prosedur yang
betul. Namun, dalam hal ini, ia tidak berlaku seperti yang sepatutnya kerana sikap sesetengah
masyarakat kaum yang cepat melenting dan mahu menentang apa yang dicadangkan sebelum
mengetahui cadangan tersebut dengan lebih jelas dan lanjut. Pada akhirnya, ia berbalik kepada
hubungan masyarakat kita yang tidak utuh dan tidak ada sikap toleransi dalam mengamalkan hidup
bermasyarakat yang pada akhirnya mewujudkan satu ketegangan.

Selain itu, saya yakin bahawa jika tidak ada hubungan yang baik dalam kehidupan sesama
masyarakat, ia akan menyumbang kepada ketegangan sosial. Situasi ini kita dapat lihat dalam sektor
ekonomi negara sekarang yang mana berlaku perebutan dominasi kaum dalam bidang ekonomi. Hal
ini dapat kita kecilkan lagi seperti yang terjadi di Malaysia iaitu dominasi kaum dalam sesuatu bidang
politik, perniagaan atau pembangunan. Saban tahun perkara ini menjadi satu aspek wahana kepada
negara kerana setiap kaum akan cuba untuk mengekalkan dominasi mereka dalam bidang mereka
dan ini akan menyebabkan kaum lain tidak dapat memecah masuk ke dalam bidang tersebut.
Sebagai contohnya, dalam bidang perniagaan, jika bidang tersebut didominasi oleh kaum Cina, maka
kebanyakkan penglibatan orang dalam perniagaan adalah dari kaum Cina. Hal ini sama juga dalam
bidang politik yang mana jika politik itu dimonopoli oleh kaum Melayu, secara tidak langsung kaum
Melayu mahu Menteri-Menteri di dalam kabinet terdiri daripada kaum Melayu dan bukannya kaum
selain Melayu. Dengan adanya konflik seperti ini, maka usaha untuk mengekalkan dan mengukuhkan
hubungan etnik perlu diteruskan dan ditingkatkan. Ini kerana sikap mahu mendominasi secara
kumpulan kaum menyukarkan kita hidup dalam satu masyarakat yang mampu bertolak-ansur,
bertoleransi dan bersatu padu dalam menyumbang bakti kepada pertumbuhan ekonomi dan
kestabilan politik negara. Pada akhirnya, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang kita
nikmati ketika ini akan tergugat sekiranya berlaku lagi konflik etnik secara terbuka seperti peristiwa
13 Mei 1969.

Kesimpulannya, hubungan etnik yang harmonis menjadi kunci kepada keseimbangan


kekukuhan ekonomi, kestabilan politik dan kehidupan masyarakat negara. Hal ini kerana sesebuah
negara yang dalam landasan ke arah negara yang membangun tidak harus bergantung sepenuhnya
kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik semata-mata tetapi harus juga menjaga
keeratan hubungan sesama kaum dan etnik agar setiap lapisan masyarakat dapat bersama-sama
membantu negara dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju membangun, bermaruah,
mewujudkan masyarakat demokratik yang matang dan mengamalkan satu bentuk demokrasi
Malaysia yang mempunyai persefahaman matang berasaskan kepada undang-undang dan
perlembagaan negara yang ditetapkan.

You might also like