You are on page 1of 35

Integrasi Ilmu

NAQLI DAN AQLI


Dalam Disiplin Syariah Dan
Undang-undang
(Siri Ke-3)

Hendun Abd Rahman Shah


Fadhlina Alias
INTEGRASI ILMU
NAQLI DAN AQLI
DALAM DISIPLIN
SYARIAH DAN
UNDANG-UNDANG
(SIRI KE-3)
Hendun Abd Rahman Shah
Fadhlina Alias

USIM PRESS
2021
CETAKAN PERTAMA 2021
© Hak Cipta Universiti Sains Islam Malaysia

Hak cipta terpelihara, tiada mana-mana bahagian daripada buku ini boleh
diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar kepada apa-
apa bentuk dengan sebarang cara sekalipun tanpa izin bertulis daripada
Penerbit USIM terlebih dahulu.

Diterbitkan di Malaysia oleh:

PENERBIT USIM
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai 71800 Nilai
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel: +06-798 8226/6081 | Faks: +06-798 6083
www.penerbit.usim.edu.my
info.penerbitan@usim.edu.my

Penerbit USIM adalah anggota


MAJLIS PENERBITAN ILMIAH MALAYSIA (MAPIM)

Dicetak di Malaysia oleh:

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam Penerbitan

Hendun Abd Rahman Shah


Fadhlina Alias
INTEGRASI ILMU NAQLI DAN AQLI DALAM DISIPLIN SYARIAH
DAN UNDANG-UNDANG (SIRI KE-3) / Hendun Abd Rahman Shah,
Fadhlina Alias

ISBN 978-967-440-309-6
ISI KANDUNGAN

KATA PENGANTAR vii


PRAKATA ix
PENGENALAN xi

Integration of Shariah and Law in Legal Education in


Malaysia: New Approaches and Challenges
XX
Abdul Samat Musa

Contextualising the Teaching and Learning of Islamic


International Law in the 21st Century
Norfadhilah Mohamad Ali, Zulkifli Hasan, Hendun
XX
Abd Rahman Shah, Mualimin Mochammad Sahid and
Fadhlina Alias

Unfurling Naqli and Aqli Evidences in Selected


Medical Issues
XX
Farah Salwani Muda

Special Measures for Children in Courts in Malaysian


Criminal Justice System from the Islamic Perspective
Abidah Abdul Ghafar, Syahirah Abdul Shukor and XX
Hendun Abd Rahman Shah

Confronting Hate Speech: The Malaysian and Islamic


Law Perspectives
XX
Che Zuhaida Saari

Sulh dan Mediasi dalam Kerangka Undang-Undang


di Malaysia: Kajian Perbandingan
55
Hendun Abd Rahman Shah, Maszuriyati, Norfadhilah
Mohamad Ali dan Abidah Abdul Ghafar
Berwakaf Melalui Dokumen Persendirian dalam
Keadaan Maradh Al-Maut: Satu Pandangan Awal
Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Syahirah Abdul Shukor,
Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Norma Jusof

Teori Naqli dan Aqli dalam Penerimaan Pembuktian


Menggunakan Serangga Sebagai Keterangan Ahmad
Syukran Baharuddin, Wan Abdul Fattah Wan Ismail,
86
Lukman Abdul Mutalib, Muhammad Hazim Ahmad dan
Naji Arafat Mahat

Sumpah Al-Ihtiat: Antara Sumpah Pembuktian atau
Pelengkap?
Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Syahirah Abdul Shukor,
Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Norma Jusof dan Ahmad
Syukran Baharuddin

Kedudukan Tanah Adat Terbiar di Negeri Sembilan


Menurut Perspektif Undang-Undang Malaysia dan
Islam: Isu dan Cabaran
Setiyawan Gunardi

BIODATA EDITOR DAN PENULIS


INDEKS 126
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan

SULH DAN MEDIASI DALAM KERANGKA


UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA:
KAJIAN PERBANDINGAN

Hendun Abd Rahman Shah, Siti Maszuriyati Aziz & Norfadhilah Mohamad
AliAbidah Abdul Ghafar

PENDAHULUAN

Konflik adalah sesuatu yang lumrah dan sering berlaku dalam


kehidupan bermasyarakat, daripada sebuah organisasi sehingga kepada
hubungan kekeluargaan dan peribadi. ‘Konflik’ dalam Kamus Dewan
(Edisi Keempat) merujuk kepada ‘perselisihan atau pertentangan
antara individu, idea, kepentingan dan lain-lain.’ Pertikaian antara
individu yang terhasil daripada konflik-konflik tertentu yang tidak
dapat dielakkan adalah merupakan suatu perkara yang lazim dalam
kehidupan (R Azahari, 2008). Secara umumnya konsep penyelesaian
secara perdamaian atau muafakat pihak yang bertikai tanpa melibatkan
institusi pengadilan seperti mahkamah merupakan amalan tradisi
dalam kalangan anggota masyarakat. Ia telah diamalkan secara meluas
dalam kalangan bangsa-bangsa di dunia sama ada secara formal atau
tidak formal. Ia juga lebih dikenali sebagai penyelesaian pertikaian
alternatif (Alternative Dispute Resolution (ADR)). ADR adalah
singkatan popular yang digunakan untuk merujuk kepada kaedah
penyelesaian pertikaian melalui perundingan, mediasi, timbang tara,
perbicaraan mini dan sebagainya. ADR adalah sebahagian daripada
prosedur yang menyediakan kaedah alternatif untuk proses pengadilan
yang rumit dan biasanya dibantu oleh pihak atau orang ketiga yang
berkecuali (Nora, 2012; Brown & Marriot, 1999). Perselisihan yang
diselesaikan dengan cara damai akan dapat menghentikan salah faham
dan perselisihan serta mengeratkan hubungan masa hadapan pihak-
pihak yang bertelingkah.
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
SULH DAN MEDIASI: DEFINISI DALAM KONTEKS
M A L AY S I A

Proses mediasi atau lebih dikenali dalam masyarakat Islam di


Malaysia sebagai Majlis Sulh adalah salah satu mekanisme alternatif
yang baik untuk menyelesaikan pertikaian dengan cepat dan memberi
peluang situasi menang-menang (win-win) kepada pihak yang terlibat.
Namun begitu dalam konteks yang lebih luas, terma sulh dan mediasi
adalah merujuk kepada kaedah ADR yang sama iaitu proses yang
melibatkan pihak ketiga sebagai pengantara untuk membantu dua
pihak yang bertikai mencapai penyelesaian. Dari segi bahasa, Sulh
berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ‘penamatan
sesuatu pertikaian’ atau ‘berbuat baik’ (Al Bajuri; Al Shatibi Mughni
Al Muhtaj; SN Ali & Z Hassan, 2008). Menurut istilah syarak,
ia diertikan sebagai ‘suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu
pertikaian’. Dalam Majallah al Ahkam al Adliyyah, sulh diertikan
sebagai akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda
meredai. Oleh yang demikian, definisi ini dilihat menitikberatkan
‘tujuan utama’ pelaksanaan sulh itu sendiri iaitu untuk membuat
perdamaian atau mencari jalan penyelesaian sesuatu konflik secara
baik dengan bantuan pihak ketiga. Ini bermakna istilah sulh itu juga
boleh merujuk kepada kaedah penyelesaian pertikaian melalui kaedah
kaunseling rumah tangga, Jawatankuasa Pendamai dan Hakam dalam
isu-isu masalah rumah tangga dan kekeluargaan Islam di mahkamah
Syariah(R Azahari, 2005).

Menurut WAW Adnan dan AH Buang (2019), ketiadaan peruntukan


khusus bagi definisi sulh yang biasanya dijelaskan dalam seksyen 2 di
bawah tajuk tafsiran dalam mana-mana akta atau enakmen mahkamah
Syariah, memberi ruang kepada hakim bicara untuk memerintahkan
kes dirujuk kepada mana-mana sesi sulh atau bertindak menjadi
pengantara antara pihak-pihak yang bertikai di luar proses perbicaraan.
Namun begitu, jika dilihat secara umumnya, proses sulh yang difahami
masyarakat adalah merujuk kepada pelaksanaan sulh di mahkamah
Syariah yang terikat dengan Kaedah, Arahan Amalan, Manual Kerja
Sulh dan Tatacara Mal (Sulh) mengikut peruntukan negeri-negeri.
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
Terma sulh yang sinonim dengan pelaksanaan sulh di mahkamah
syariah turut disebabkan oleh pewujudan perjawatan khusus
Pegawai Sulh di mahkamah syariah bagi membantu menyelesaikan
dan mengurangkan kes-kes tertunggak di mahkamah terbuka. ZR
Abu Bakar (2011) merujuk takrifan sulh oleh Majlis Sulh Jabatan
Kehakiman Syariah Negeri Selangor sebagai:
“Pertemuan antara dua pihak yang bertikai yang melibatkan
satu atau lebih tuntutan di mahkamah Syariah yang
dipengerusikan oleh Pegawai Sulh. Sekiranya perjanjian
sukarela dicapai oleh kedua belah pihak, persetujuan itu akan
direkodkan di hadapan hakim sebagai perintah mahkamah
tanpa perlu menghadiri perbicaraan.”

Buat masa ini, hanya terdapat 18 kes sahaja yang akan dirujuk kepada
Majlis Sulh selepas pihak-pihak mendaftarkan tuntutan di mahkamah
(Arahan Amalan No.1 2010). Ia tidak termasuk permohonan
perceraian kerana hal berkaitan permohonan perceraian mempunyai
peruntukan khusus contohnya dalam seksyen 47 dan 48 Akta Keluarga
Islam (Wilayah Persekutuan) yang melibat kaedah kaunseling,
Jawatankuasa Pendamai dan Hakam dalam isu syiqaq. Kesemua ini
mempunyai persamaan bentuk penyelesaian yang menjadi teras sulh
iaitu menggunakan pihak ketiga untuk menyelesaikan perbalahan
antara dua pihak secara perdamaian. Ini bermakna proses sulh secara
formal di mahkamah syariah hanya berlaku selepas pihak-pihak
mendaftarkan tuntutan mereka di mahkamah syariah yang akan
dibantu oleh pegawai khusus yang dilantik mahkamah iaitu Pegawai
Sulh.

Manakala dalam konteks penyelesaian konflik di luar mahkamah


syariah, proses ini lebih dirujuk kepada proses mediasi yang tidak terikat
dengan peraturan mahkamah. Dalam konteks Bahasa Melayu, orang
tengah (mediator) adalah lebih tepat dipanggil sebagai pengantara.
Ia juga didefinisikan sebagai ‘perantara orang tengah, peng¬hubung
(dalam perundingan dll) (Kamus Dewan Edisi Keempat). Dalam Akta
Pengantaraan 2012 [Akta 749] pengantara ertinya ‘pengantara yang
dilantik oleh pihak-pihak di bawah seksyen 7.’ Manakala perkataan
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
‘orang tengah’ salah satunya bermaksud ‘orang yang menjadi
pendamai bagi pihak-pihak yang berbalah’ (Kamus Dewan Edisi
Keempat). Dalam kebanyakan penulisan berkaitan, istilah pengantara
atau pengantaraan adalah kurang popular berbanding dengan istilah
mediator atau mediasi yang merupakan kata pinjaman dari istilah
bahasa Inggeris ‘mediator’ dan ‘mediation’. Justeru, artikel ini
menggunakan juga istilah mediasi dan mediator yang merujuk kepada
maksud yang sama dengan pengantaraan dan pengantara.

Dari segi kes-kes yang boleh melalui proses mediasi ini, ia tidak
terhad kepada kes-kes kekeluargaan sahaja, ia boleh meliputi kes-kes
kontrak dan komersial, kecuaian perubatan, saman malu dan banyak
lagi kes-kes yang sesuai untuk diselesaikan melalui lantikan pihak
ketiga. ZR Abu Bakar (2011) menyenaraikan beberapa cara yang
mana pertikaian pihak-pihak dapat diselesaikan di luar mahkamah
secara tidak formal melalui mediasi; antaranya oleh Biro Bantuan
Guaman, Peguam dan Bahagian Sokongan Keluarga. Proses sulh
atau mediasi ini juga dilaksanakan oleh hakim sekiranya bersesuaian
dalam mana-mana peringkat perbicaraan. Jika dilihat pelaksanaan
mediasi dalam konteks kekeluargaan masyarakat bukan Islam dan
perkara berkaitan tuntutan sivil, ia biasanya melalui pengantara yang
dipilih oleh pihak-pihak dalam kalangan mediator bertauliah. Majlis
Peguam telah menubuhkan Pusat Mediasi Malaysia sejak tahun 1999
bagi menyediakan khidmat professional mediasi kepada pihak yang
memerlukan untuk menyelesaikan sebarang perbalahan kecuali yang
berkait dengan pertikaian perlembagaan dan jenayah. Mahkamah
sivil juga mempunyai Pusat Mediasi Mahkamah untuk menggalakkan
hakim dan pegawai kehakiman membantu menyelesaikan kes-kes
tertentu yang boleh diselesaikan secara mediasi. Manakala Jabatan
Bantuan Guaman juga boleh memberi khidmat pengantaraan dalam
semua perkara termasuk perkara sivil dan syariah tertakluk kepada
Jadual Keempat Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26]. Kewujudan
khidmat mediasi dan sulh secara formal iaitu melalui mahkamah
ataupun luar mahkamah adalah satu alternatif yang dapat membantu
dan menyokong sistem kehakiman sedia ada. Akta Mediasi 2012
[Akta 749] adalah akta yang memperincikan ciri-ciri mediasi yang
diiktiraf dan boleh dirujuk oleh mana-mana pengantara bagi menjamin
kelancaran
Sulh proses
Dan Mediasi Dalam mediasi. Selain daripada
Kerangka Undang-Undang itu, mediator
Di Malaysia: persendirian
Kajian Perbandingan
(sole mediator) yang diberi tauliah seperti pengamal undang-undang
juga boleh melaksanakan sesi mediasi untuk menyelesaikan pertikaian
pihak-pihak yang merujuk kepadanya. Dalam konteks penyelesaian
pertikaian sosial dalam kalangan anggota masyarakat setempat
dan kejiranan sesuatu penempatan, Mediator Komuniti (MK) pula
adalah pengantara yang diberi tauliah oleh Jabatan Perpaduan untuk
melaksanakan mediasi di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 [Akta
751].

Artikel ini mengupas definisi dan sejarah pelaksanaan sulh dan mediasi
dalam perspektif Islam dan dalam konteks Malaysia. Seterusnya, ia akan
membincangkan isu-isu dan proses pengendalian sulh di mahkamah
Syariah dan membandingkannya dengan pelaksanaan mediasi dalam
kerangka undang-undang sivil dan masyarakat sosial. Kedua-dua
proses yang dirujuk sebagai sulh dan mediasi ini melibatkan seorang
pengantara atau orang tengah yang disebut sebagai mediator atau
Pegawai Sulh dalam konteks mahkamah Syariah. Walaupun fungsinya
sama, namun pelaksanaan sulh di mahkamah syariah dan mediasi di
luar mahkamah adalah sedikit berbeza dari beberapa segi. Ini akan
dihuraikan secara terperinci di bawah. Artikel ini diakhiri dengan
kesimpulan berkaitan sulh dan mediasi yang diharap dapat memberi
kefahaman kepada masyarakat tentang peri pentingnya penyelesaian
alternatif sebegini yang dapat menjamin hubungan pasca konflik yang
lebih harmoni antara pihak-pihak bertikai.

SULH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Islam adalah agama yang amat menganjurkan perdamaian dan


menjauhi konflik. Perundangan dan hukum syarak adalah panduan
bagi manusia dalam melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan
hak diri dan orang lain. Tujuan utama hukum ini adalah untuk
memelihara kemaslahatan dan menghindarkan sebarang kemudaratan
dalam kehidupan manusia. Justeru, pengabaian tanggungjawab dan
hak orang lain ini boleh mencetuskan perbalahan dan persengketaan.
Dalam al-Quran, hadis dan athar al sahabah serta kalam para ulama,
penyelesaian konflik secara perdamaian amat ditekankan. Dalam
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Surah an-Nisa’ ayat 128, Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh
suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan
perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik
(bagi mereka)...”
Juga dalam Surah al-Hujurat ayat 9, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang,


maka damaikanlah diantara keduanya”

Ayat di atas secara jelas memberi panduan agar pertikaian adalah


lebih baik diselesaikan secara perdamaian sama ada antara suami dan
isteri atau sesama orang mukmin demi mencapai natijah yang diingini
secara bersama atau reda meredai. Ia dibenarkan selagi mana perkara
yang dipertikaikan tersebut melibatkan hak manusia (haq al-ibad) dan
bukan pada perkara-perkara hukum atau hak Allah yang Qat’ie seperti
hudud, atau menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang
halal. Dalam Hadis Riwayat al-Tarmizi dari Amru bin ‘Awf Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sulh, hukumnya adalah harus antara orang Islam melainkan


menjadi haram jika ia mengharamkan apa yang dihalalkan
dan menghalalkan apa yang diharamkan dan sebenarnya
orang Islam itu terikat dengan janjinya kecuali dalam perkara
yang mengharamkan apa telah dihalalkan dan sebaliknya.”

Banyak hadis juga menyebut dan menunjukkan pengamalan sulh


dalam penyelesaian pertikaian. Bahkan sejak sebelum kerasulan
Nabi Muhammad SAW, Baginda telah menunjukkan contoh sebagai
seorang pengantara yang bijak, amanah dan berdiplomasi semasa
peristiwa perletakan Hajarul Aswad antara pembesar orang Quraisy
selepas banjir besar yang melanda Mekah ketika itu. Ini menunjukkan
sifat atau akhlak seorang pengantara atau mediator itu bukan sahaja
perlu seseorang yang bijak tetapi mestilah seorang yang berkemahiran
meleraikan perbalahan secara berhikmah serta dihormati pihak-
pihak. Justeru, sesuai dengan definisi sulh itu sendiri yang bertujuan
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
menamatkan pertikaian, ia perlu dibuat secara sukarela dan keputusan
yang akan dicapai juga perlu diredai oleh kedua belah pihak (Majallah
Al-Ahkam Al-Adliyyah). Menurut kitab al Fiqh al-Islami Wa
Adillatuhu (W al Zuhaily, 1989), jumhur ulama menggariskan empat
rukun perdamaian atau sulh iaitu:

1. Pihak yang bertikai/ingin berdamai


Pihak-pihak mestilah seorang yang taklif iaitu baligh dan
berakal. Pihak ini juga mesti mempunyai kuasa (authority)
untuk membuat keputusan. Selain itu, perkara yang ingin
diselesaikan mestilah tidak menyebabkan kemudaratan yang
ketara. Contohnya seperti hak hadhanah dan harta kanak-
kanak.

2. Sighah
Perlu ada penawaran dan penerimaan persetujuan bersama
(ijab dan qabul). Ini bagi menunjukkan elemen sukarela dan
reda meredai. (Raihanah, 2005).

3. Hak yang dipertikaikan/perkara yang ingin diperdamaikan


Perkara yang mana perdamaian ingin dicapai mestilah
mencakupi hak manusia sama ada dalam bentuk harta seperti
wang tunai atau hak bukan harta seperti manfaat, giliran
bermalam atau qisas. Contohnya atas persetujuan pihak-pihak
tercapai suatu jumlah yang perlu dibayar. Namun, jika perkara
yang ingin didamaikan adalah berkaitan dengan hak Allah
seperti kesalahan hudud, perdamaian atas persetujuan pihak-
pihak bagi mengelak hukum Allah, ia adalah tidak sah.
Selain itu, perkara yang ingin didamaikan mestilah hak pihak-
pihak berkaitan.
4. Gantian terhadap hak yang dipertikaikan
Untuk membolehkan sesuatu persetujuan boleh dicapai, perlu
ada gantian terhadap objek yang dipertikaikan sama ada
berbentuk bayaran, pampasan, hak melakukan sesuatu
seperti hak melawat dalam isu berkaitan hak hadhanah.
Gantian atau pertukaran ini perlu mengikut syarat seperti
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
berikut:
(i) Ia mestilah sesuatu yang dibolehkan syarak
(ii) Gantian atau pertukaran ini mestilah sesuatu yang
dimiliki oleh pihak-pihak berkaitan
(iii) Ggantian atau pertukaran itu mestilah sesuatu yang
dimaklumi atau diperakui oleh kedua-dua pihak

Jika kita teliti rukun perdamaian yang dinyatakan di atas, ia


menunjukkan bahawa sulh yang dianjurkan dalam Islam sangat luas
dan boleh diamalkan dalam kebanyakan pertikaian selagi mana ia
tidak bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang. Justeru,
jika kita lihat amalan di Malaysia dalam menyelesaikan pertikaian,
wujud pelbagai alternatif untuk mendamaikan pihak-pihak seperti
proses mediasi, timbang tara dan runding cara dalam penyelesaian
yang melibatkan perkara sivil atau isu perkahwinan/perceraian bukan
Muslim. Juga Majlis Sulh, Hakam dan Jawatankuasa Pendamai dalam
isu berkaitan bidang kuasa mahkamah Syariah. Hal ini demikian
kerana konsep perdamaian dalam Islam itu amat luas dan boleh
diaplikasikan dalam banyak keadaan dan menyeluruh. Apa yang
membezakan semua yang tersebut di atas adalah kaedah atau prosedur
pelaksanaannya yang akan dibahaskan dalam sub- bab artikel yang
seterusnya.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat 35, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka


berdua (suami isteri) maka lantiklah seorang pendamai
daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga
perempuan. Jika kedua-dua pendamai itu menghendaki
perdamaian, nescaya Allah berikan taufik kepada suami isteri
itu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat
mendalam pengetahuan-Nya.”

Ayat di atas jelas memberi panduan kepada kita tentang kaedah


penyelesaian perbalahan atau shiqaq antara suami isteri dengan
melantik orang tengah atau pengantara terutama daripada kalangan
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
saudara rapat pihak suami dan pihak isteri yang mempunyai
pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum syarak serta
mengetahui hal keadaan pasangan tersebut. Jika hakam yang dilantik
ini gagal mendamaikan atau mendapatkan kuasa menceraikan,
mahkamah akan melantik hakam baharu daripada kalangan panel
hakam negeri yang terlatih.

SULH DALAM KERANGKA PERUNDANGAN SYARIAH DI


MALAYSIA

Sebagai negara yang mengamalkan sistem dualisme undang-undang


yang mengasingkan perkara di bawah tanggungjawab kerajaan pusat
dengan kerajaan negeri, perbezaan pelaksanaan ini dapat difahami.
Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual ke Sembilan
Senarai II - Senarai Negeri yang memperuntukkan kuasa khusus
kepada negeri-negeri untuk mentadbir undang-undang berkaitan
kekeluargaan dan harta orang-orang Islam. Justeru, setiap negeri di
Malaysia mempunyai Majlis Agama Islam dan mahkamah Syariah
masing-masing yang mentadbir dan menyelesaikan pertikaian yang
dihadapi masyarakat Islam di negeri masing-masing.

Walaupun sulh di Malaysia lebih sinonim dengan pelaksanaan


majlis sulh di mahkamah syariah melibatkan kes-kes selain
permohonan perceraian yang dikendalikan oleh pegawai sulh seperti
yang dibincangkan di atas, namun kaedah penyelesaian melalui
jawatankuasa pendamai dan hakam juga adalah satu penyelesaian
perdamaian (sulh) di luar mahkamah.

Sulh melalui Jawatankuasa Pendamai dan Hakam untuk


Penyelesaian Permohonan Perceraian

Di Malaysia, berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam, pihak-


pihak yang ingin membubarkan perkahwinan disyaratkan oleh undang-
undang untuk mendapatkan nasihat kaunseling keluarga dan pengantara
yang dipanggil Jawatankuasa Pendamai demi menyelamatkan
hubungan mereka. Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada keluarga
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
terdekat kedua-dua pasangan suami isteri ini dan sekiranya tiada,
mahkamah boleh juga melantik jawatankuasa khusus bagi menjadi
pengantara untuk mencapai perdamaian. Sekiranya dirasakan bahawa
hubungan mereka tidak dapat dipulihkan lagi, mahkamah boleh juga
memberi kuasa kepada hakam untuk memutuskan apa yang terbaik
kepada kedua-dua pihak di bawah seksyen 48 Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS, 2003).
Berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014.
Hakam bermaksud seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh
suami atau isteri atau oleh mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian
(shiqaq) antara suami dan isteri dalam perkahwinan. Dalam keadaan
sebegini, apabila mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan (shiqaq)
benar-benar wujud dan sentiasa berlaku, mahkamah boleh melantik
dua orang hakam atau penimbang tara yang akan bertindak bagi pihak
suami dan isteri yang berkenaan bagi menyelesaikan perbalahan
(shiqaq) tersebut dalam suatu prosiding yang dinamakan sebagai
Majlis Tahkim. Majlis Tahkim adalah suatu proses yang melibatkan
pihak-pihak yang bertikaian yang melantik seseorang untuk menjadi
hakam bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul antara mereka.
Majlis Tahkim ini hampir menyamai dengan proses “al-qadha” atau
“kehakiman”, namun, dari segi kedudukannya, ia adalah lebih rendah
dari “al-qadha” atau “kehakiman” (JAKESS, 2018).

Secara umumnya, permohonan perceraian yang tidak mendapat


persetujuan salah satu pihak atau perhubungan suami-isteri yang
masih ada ruang dan peluang untuk didamaikan, medium penyelesaian
pertikaian melalui sulh dan pengantara amat membantu menyelesaikan
perbalahan luar mahkamah. Walau bagaimanapun, harus ditekankan
di sini bahawa dalam konteks mahkamah syariah, permohonan
perceraian tidak termasuk dalam senarai kes-kes yang boleh dibawa
ke Majlis Sulh yang diwujudkan di mahkamah syariah melalui
pelantikan Pegawai Sulh. Hal ini demikian kerana penyelesaian secara
perdamaian untuk kes-kes berkaitan permohonan perceraian terikat
dengan akta atau enakmen undang-undang keluarga Islam negeri yang
diterangkan di atas.
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
Sulh melalui Majlis Sulh untuk Penyelesaian Tuntutan selain
Pembubaran Perkahwinan

Penganjuran menyelesaikan pertikaian secara sulh dalam kes-kes


di bawah bidang kuasa mahkamah syariah sebenarnya telah lama
berlaku. Kaedah ini merupakan alternatif kepada kaedah perbicaraan
di mahkamah terbuka yang kebiasaannya memakan masa yang lama
dan melibatkan kos yang tinggi. Galakan penyelesaian secara sulh
yang telah diamalkan di mahkamah syariah ini terus diperkasakan
dengan pengenalan peruntukan sulh dalam undang-undang yang
berkaitan dengan prosedur sivil di mahkamah syariah negeri-negeri
seperti yang dinyatakan dalam seksyen 99, Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS, 2013).
Pelaksanaan sulh secara formal melalui institusi mahkamah syariah
mula diperkenalkan di Malaysia di Wilayah Persekutuan, Selangor
dan diikuti negeri-negeri lain (HM Dahalan, 2014; H Wahed, 2015).
Selain peruntukan ini, Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh)(Negeri
Selangor) 2001 dan Arahan Amalan yang dikeluarkan Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diwartakan dari semasa
ke semasa juga menjadi sumber rujukan peruntukan undang-undang,
peraturan dan panduan berkaitan sulh. Peruntukan seksyen 99
(EUUKIS, 2003) ini memberi ruang kepada pihak-pihak yang bertikai
untuk menyelesaikan pertikaian mereka melalui kaedah sulh selagi
mana keputusan atau perintah belum dikeluarkan oleh hakim.

Seksyen 99 Sulh

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-


mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi
menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah
sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah
sedemikian, mengikut hukum syarak.”

Arahan Amalan JKSM No. 1 Tahun 2001 berkaitan Kod Etika Hakim
contohnya telah menggalakkan hakim melaksanakan sulh di mana-
mana peringkat sebelum penghakiman diberikan. Pelaksanaan Majlis
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Sulh kemudiannya telah diarahkan untuk dibuat selepas pendaftaran
kes di mahkamah syariah oleh unit sulh dalam tempoh tidak melebihi
21 hari dengan memanggil pihak-pihak yang terlibat untuk sesi sulh/
penyelesaian damai (Arahan Amalan JKSM No. 3 Tahun 2002). Ini
disebut secara umum untuk semua kes-kes kecuali kes pembubaran
perkahwinan dan nasab. Hal ini demikian kerana perkara berkaitan
pembubaran perkahwinan tertakluk kepada Akta atau Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri. Ia juga dinyatakan
dalam Kaedah 1, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, JKSM telah mengeluarkan
Arahan Amalan No. 1 yang telah menyenaraikan sebanyak 18 kes
sahaja yang perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran
kes di mahkamah syariah seperti berikut:

009 - Tuntutan Ganti rugi Pertunangan


016 - Tuntutan Muta’ah
017 - Tuntutan Harta Sepencarian
018 - Tuntutan Nafkah Isteri
019 - Tuntutan Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya
020 - Tuntutan Cagaran Nafkah
021 - Tuntutan Nafkah Eddah
022 - Tuntutan Mengubah Perintah Nafkah
023 - Tuntutan Tunggakan Nafkah
024 - Tuntutan Nafkah Anak
025 - Tuntutan Mengubah Perintah Hak Jagaan Anak/NafkahAnak
026 - Tuntutan Mengubah Perjanjian Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
028 - Tuntutan Hadhanah
049 - Tuntutan Ganti rugi Perkahwinan
059 - Tuntutan Hak Tempat Tinggal
060 - Tuntutan Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula
062 - Tuntutan Isteri Kembali Taat
063 - Tuntutan Mas Kahwin

Pada tahun 2002, JKSM juga telah mengeluarkan Manual Kerja Sulh
dan Kod Etika Pegawai Sulh. Skim perjawatan Pegawai Sulh (LS41/
LS44) diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khusus
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
untuk membantu mahkamah mengendalikan kes-kes yang boleh
diselesaikan tanpa perlu dibawa ke perbicaraan di mahkamah (GA
Rahman, 2007). Pengurusan yang teratur akan menjimatkan masa
dan dapat menyelesaikan banyak kes yang tertunggak di mahkamah
syariah. Pegawai Sulh telah dihantar untuk menjalani latihan bagi
memperkasa kemahiran mereka yang memainkan peranan utama
sebagai pengantara dalam Majlis Sulh. Selepas pelaksanaan proses
sulh ini, jika terdapat sebarang persetujuan yang dicapai ia hendaklah
dibacakan semula di hadapan pihak-pihak dan dipanjangkan kepada
hakim untuk direkodkan sebagai Perintah Persetujuan Bersama
(Kaedah 6, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001).
Jika tiada persetujuan dapat dicapai barulah ia akan dipanggil oleh
mahkamah untuk sebutan dan perbicaraan (Kaedah 7 & 8, Kaedah-
Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001; Arahan Amalan JKSM
No. 3 Tahun 2002).

Dapat disimpulkan di sini bahawa sulh dalam konteks mahkamah


syariah merujuk kepada proses sulh yang dikendalikan Pegawai
Syariah atau Pegawai Sulh yang dilantik oleh mahkamah/Ketua Hakim
Syarie seperti termaktub dalam Kaedah 5, Tatacara Mal (Sulh) 2001:

(1) Sulh hendaklah diadakan dalam suatu majlis yang


dihadiri oleh kedua-dua pihak dan dipengerusikan oleh
pendaftar atau mana-mana pegawai awam yang dilantik oleh
Ketua Hakim Syarie bagi maksud itu.

Justeru, hanya pegawai yang dilantik sahaja yang dibenarkan


menjalankan proses sulh bersama pihak-pihak bertikai dalam Majlis
Sulh. Bahkan peguam syarie bagi pihak-pihak juga tidak dibenarkan
hadir mewakili pihak-pihak (Kaedah 5, Tatacara Mal (Sulh) 2001).
Sebagai seorang pengantara yang dilantik mempengerusikan Majlis
Sulh, Pegawai Sulh dipertanggungjawabkan membantu pihak-
pihak untuk mencapai penyelesaian. Kesemua usaha ini dibuat
demi memartabatkan institusi syariah di Malaysia dan membantu
mengurangkan jumlah kes-kes tertangguh di mahkamah syariah. Jika
dirujuk kepada beberapa perkara yang dinyatakan dalam Kaedah
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Tatacara Mal (Sulh) proses sulh di mahkamah syariah adalah sedikit
berbeza dengan mediasi atau pengantaraan yang dilaksanakan oleh
pihak lain seperti hakim, pengantara persendirian (sole mediator)
daripada kalangan pengamal undang-undang, individu yang diktiraf
atau Jabatan Bantuan Guaman. Ini dapat dilihat dari segi prosedur sulh
yang mengkehendaki kes-kes sulh yang terpakai di bawah Tatacara Mal
(Sulh) ini mestilah suatu kes yang telah didaftarkan di mahkamah. Oleh
yang demikian, penyelesaian secara sulh di mahkamah syariah lebih
tepat dirujuk sebagai Penyelesaian Pertikaian Alternatif berbanding
dengan penyelesaian luar mahkamah memandangkan fungsi unit
sulh ini adalah salah satu mekanisme penyelesaian pertikaian yang
diwujudkan oleh institusi kehakiman syariah ini sendiri. Tambahan
pula, jenis kes juga hanya meliputi 18 kes yang disenaraikan dalam
Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010 tersebut sahaja. Perbandingan
antara sulh dan mediasi akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam
bahagian seterusnya.

MEDIASI DALAM KERANGKA PERUNDANGAN SIVIL

Seperti sulh yang dibincangkan di atas, pengantaraan atau mediasi


juga merupakan satu proses perdamaian tidak formal dalam membantu
pihak-pihak yang bertelingkah untuk saling bekerjasama dalam
mencari jalan penyelesaian. Istilah mediasi banyak digunakan dalam
penulisan-penulisan literatur yang merujuk kepada salah satu kaedah
alternatif penyelesaian pertikaian yang diiktiraf oleh perundangan
Malaysia melalui perbuatan membantu dua pihak yang bersengketa
untuk mencapai kesepakatan. Menurut Ramizah (2007), mediasi
adalah istilah moden yang boleh dikategorikan sebagai salah satu
proses perdamaian kaedah sulh. Begitu juga Raihanah (2009) yang
menggunakan terma mediasi sebagai kaedah mencapai sulh atau
perdamaian.

Proses mediasi atau pengantara diperuntukkan dalam Akta 749


bertujuan untuk menggalak dan mempertingkatkan kaedah
penyelesaian pertikaian alternatif bagi memudahkan pihak-pihak yang
bertikai atau bersengketa untuk menyelesaikannya secara adil, cepat
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan

dan berkesan. Penggunaan terma mediasi adalah luas dan merangkumi


pelbagai usaha penyelesaian pertikaian dalam hampir semua jenis isu
kecuali yang melibatkan undang-undang perlembagaan, pertuduhan
jenayah dan perkara-perkara yang jelas menyalahi undang-undang.
Berdasarkan kepada Seksyen 3 Akta 749, ‘pengantaraan’ adalah
suatu proses sukarela yang mana seorang pengantara memudahkan
komunikasi dan rundingan antara pihak-pihak untuk membantu
mereka mencapai persetujuan berkaitan sesuatu pertikaian. Sebagai
orang tengah, pengantara perlu menunjukkan sifat professional yang
tidak memihak kepada mana-mana pihak dengan memberi peluang
yang sama rata kepada keduanya. Pengantara juga perlu mempunyai
keupayaan menjaga kepentingan pihak bertikai secara adil dan saksama
untuk menanam kepercayaan daripada pihak yang bertikai. Jika diteliti
peruntukan undang-undang dalam Akta 749 ini, ia memberi penekanan
kepada prosedur yang berkaitan dengan pengantaraan. Namun, ia
tidak menetapkan standard kompetensi, kelayakan pengantara dan
badan yang layak memberi akreditasi kepada pengantara.

Mediasi oleh Pusat Mediasi Malaysia (MMC)

Majlis Peguam Malaysia telah menubuhkan Pusat Mediasi Malaysia


(MMC) lebih awal daripada kewujudan Akta 759 iaitu pada tahun
1999. MMC ditubuhkan bertujuan mempromosi mediasi dan
mendorong masyarakat menyelesaikan pertikaian mereka melalui
pengantaraan dalam kebanyakan kes-kes pertikaian termasuk kes-
kes kontrak komersial, kecuaian dan kekeluargaan (KZ Bukhari,
2011). Penubuhan ini hampir serentak dengan pengamalan Sulh
di Mahkamah Syariah yang mula dilaksanakan pada tahun 2001
di mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Selangor. MMC
mendefinisikan mediasi sebagai satu proses sukarela luar mahkamah
untuk menyelesaikan pertikaian secara bersama oleh pihak-pihak
(MMC, 2020). Ia seterusnya dihuraikan sebagai satu proses yang mana
pihak ketiga yang berkecuali, tidak berat sebelah dan bebas, menjadi
pemudah cara dan membantu menyelesaikan pertikaian antara pihak
bertikai melalui proses terstruktur dan sistematik dalam mengasingkan
isu-isu yang dipertikaikan, mengembangkan pilihan dan mencapai
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
penyelesaian yang dapat diterima bersama bagi menjaga kepentingan
semua pihak. Mediator atau pengantara yang disediakan MMC adalah
terdiri daripada kalangan professional dan pengamal undang-undang
yang telah mendapat latihan dan akreditasi seperti yang disyaratkan
MMC.

Berbeza dengan pengamalan sulh di mahkamah syariah, mediasi


tidak dijadikan sebagai satu prasyarat sebelum kes-kes dibawa ke
perbicaraan. Maka sebarang pertikaian boleh dirujuk ke proses
mediasi sebelum kes difailkan di mahkamah atau semasa kes sedang
dalam prosiding. Namun begitu, kebanyakan kontrak komersial
antara individu, syarikat, bank dan entiti perdagangan seperti kontrak
pinjaman, insuran, takaful, bankrupsi, kemalangan, perdagangan
antarabangsa telah mewujudkan terma mediasi atau timbang tara
(arbitration) sebagai jalan penyelesaian kepada pertikaian yang
mungkin timbul antara pihak-pihak yang memeterai perjanjian atau
kontrak. Terma seperti ini menjadi salah satu faktor menggalakkan
penyelesaian luar mahkamah yang menyebabkan pihak-pihak akan
mendapatkan khidmat mediasi yang disediakan MMC dan juga
mediator bebas yang telah diakreditasi (MR Zainuddin, 2009). Mereka
yang menggunakan perkhidmatan ini dikenakan yuran pengantaraan
dan beberapa kos lain. Pihak-pihak boleh memilih pengantara namun
jika tiada pilihan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, MMC
akan melantik seorang daripada panel pengantara yang majoritinya
adalah dalam kalangan peguam yang bertauliah dan terlatih sebagai
orang tengah. Dalam pekeliling terbaru Majlis Peguam (Circular
No 319/2020) bertarikh 29 September 2020, Jawatankuasa Mediasi
telah membentuk terma rujukan yang dicadangkan untuk dimasukkan
ke dalam Klausa Mediasi dalam perjanjian pihak-pihak. Antaranya
adalah sekiranya berlaku perselisihan atau pertikaian berkenaan
kontrak/perjanjian tersebut, sebelum dirujuk kepada sebarang bentuk
penyelesaian pertikaian yang lain termasuk timbang tara dan litigasi,
disarankan untuk merujuk kepada MMC. Boleh disimpulkan bahawa
penubuhan MMC oleh Majlis Peguam Malaysia sangat membantu
pihak-pihak bertikai terutamanya dalam pertikaian komersial dan
kontrak untuk mencari alternatif penyelesaian di luar mahkamah
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
dengan mendapatkan khidmat professional pengantara bagi
memastikan pertikaian mereka dapat diselesaikan dengan cepat.

Mediasi melalui Pusat Mediasi Mahkamah Sivil

Mahkamah Perusahaan Malaysia adalah mahkamah yang terawal


menggunakan mediasi iaitu sejak tahun 2004 dan telah menunjukkan
kejayaan. Kemudian, mahkamah sivil di Malaysia secara rasminya
telah menubuhkan Pusat Mediasi Mahkamah yang pertama di
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 April 2011 dan kemudian
diikuti mahkamah Johor Bharu, Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh,
Melaka, Perlis, Terengganu dan lain-lain. Penubuhan pusat mediasi
tersebut adalah hasil cetusan idea YAA Tan Sri Arifin Zakaria, yang
merupakan Hakim Besar Malaya ketika itu. Penubuhan pusat mediasi
di mahkamah bertujuan menggalakkan penyelesaian kes tanpa melalui
perbicaraan penuh kerana proses mediasi banyak menyumbang
kepada penjimatan masa, tenaga dan kos bagi semua pihak (Portal
Rasmi kehakiman.gov.my). Antara objektif penubuhan Pusat Mediasi
Mahkamah adalah:

i. Bagi menjadikan mediasi sebagai alternatif untuk


menyelesaikan kes tanpa melalui proses perbicaraan
penuh;
ii. Bagi menjimatkan masa, kos dan tenaga pihak-
pihak yang terlibat; Bagi menyediakan tempat yang
sesuai untuk menyelesaikan kes selain daripada bilik
bicara;
iii. Bagi menggalakkan pertelingkahan diselesaikan
secara baik (win-win situation) dan kedua-dua pihak
berpuas hati dengan keputusan yang dicapai; dan
iv. Bagi mengurangkan kes-kes tertunggak di mahkamah.

YAA Tun Raus Sharif, mantan Ketua Hakim Negara juga menegaskan
bahawa Pusat Mediasi yang diwujudkan oleh mahkamah adalah
satu kaedah berkesan dalam mengurangkan kes-kes tertunggak di
mahkamah dengan anggaran 40-50% kes yang dibawa ke Pusat
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Mediasi seluruh negara berjaya diselesaikan tanpa melalui perbicaraan
penuh (Berita Harian, 2017). Berbeza dengan Pusat Mediasi Malaysia
(MMC) yang ditubuhkan di bawah Majlis Peguam Malaysia, khidmat
pengantara yang diberikan oleh Pusat Mediasi Mahkamah ini adalah
percuma kerana ia dikendalikan oleh hakim dan pegawai kehakiman
yang terlatih dan berpengetahuan sebagai alternatif penyelesaian kes.
Kes-kes sivil yang didaftarkan di mahkamah Tinggi dan mahkamah
Rendah boleh dirujuk ke Pusat Mediasi dalam dua keadaan iaitu:

i. Apabila hakim atau pegawai kehakiman mendapati


bahawa kes tersebut boleh dirujuk ke Pusat Mediasi;
ii. Atas permohonan mana-mana pihak dalam pertikaian/
kes tersebut.

Manakala menurut Arahan Amalan Bil. 2 Tahun 2013, bagi kes-kes


kemalangan jalan raya di mahkamah majistret dan di mahkamah
sesyen, rujukan ke proses mediasi boleh dibuat secara automatik
selepas pliding ditutup dalam tempoh 10 minggu dari tarikh kes
difailkan. Dalam masa yang sama, mahkamah juga boleh menetapkan
tarikh bicara sebelum kes tersebut dirujuk ke Pusat Mediasi sebagai
persediaan sekiranya kes tersebut gagal diselesaikan secara mediasi.
Arahan Amalan ini juga menjelaskan secara terperinci bagaimana
proses mediasi ini boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian kes dan isu-
isu berkaitan seperti liabiliti dan kuantum. Jika kedua-dua isu berjaya
diselesaikan, penghakiman bolehlah direkodkan dan fail ditutup.
Sebaliknya, jika satu isu sahaja berjaya diselesaikan, penghakiman
akan direkodkan atas isu berkenaan sahaja. Bagi isu yang tidak dapat
diselesaikan, kes hendaklah dihantar semula ke mahkamah asal untuk
perbicaraan. Arahan Amalan ini juga memberi kebebasan kepada
pihak-pihak untuk menyelesaikan kes mereka melalui mana-mana
pihak yang menjalankan proses mediasi.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia sekali lagi


telah mengeluarkan Arahan Amalan No. 4 pada 30 Jun 2016 berkenaan
Mediasi yang mengarahkan semua hakim termasuk Hhakim atau
Suruhanjaya Kehakiman di mahkamah Tinggi, Hakim di mahkamah
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
Sesyen, Majistret dan Pendaftar/Penolong Pendaftar mahkamah
Tinggi boleh semasa di peringkat pengurusan kes sebelum bicara
(Pre-Trial Case Management) sebagaimana diperuntukkan dalam
Aturan 34 Kaedah 2 (A.34, K.2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012
(P.U.(A)205 menggalakkan pihak-pihak memyelesaikan pertikaian di
luar mahkamah melalui kaedah mediasi.

Pengurusan kes sebelum bicara apabila diarahkan oleh Mahkamah


(A.34, K.2)


Semasa pengurusan kes sebelum bicara, mahkamah boleh
mempertimbangkan apa-apa perkara termasuklah
kemungkinan penyelesaian bagi semua atau mana-mana isu
dalam tindakan atau prosiding itu dan menghendaki pihak-
pihak memberikan maklumat sedemikian kepada mahkamah
sebagaimana yang difikirkan patut, dan perintah dan arahan
yang sesuai yang patut dibuat untuk menjamin penyelesaian
Tindakan atau prosiding itu dengan adil, cepat dan ekonomi,
termasuk-

(a) pengantaraan mengikut mana-mana arahan amalan yang
dikeluarkan pada masa itu; …

Namun begitu, ia tidak terhad semasa peringkat pengurusan kes


sahaja, bahkan sebelum atau selepas perbicaraan bermula dan
di mana-mana peringkat termasuk semasa rayuan, permohonan
injunksi intelokutori, pembatalan (striking out) dan penghakiman
terus (summary judgment). Hal ini demikian kerana proses ini dapat
memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mencapai persetujuan
bersama. Peguam-peguam yang dilantik oleh pihak-pihak juga
disarankan agar bekerjasama membantu klien mereka menyelesaikan
pertikaian secara damai dan harmoni. Justeru, mahkamah tidak
mewajibkan penyelesaian hanya melalui Pusat Mediasi Mahkamah
yang dipengerusikan oleh Hakim, penyelesaian secara Pengantaraan
dari Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) yang
sejak tahun 2018 dikenali sebagai Asian International Arbitration
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Centre (AIAC) dan melalui pengantara individu (sole mediator) juga
dibenarkan asalkan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Sekiranya
mediator yang dipilih pihak-pihak bukan dalam senarai mediator di
MMC, mediator tersebut boleh menjalankan proses mediasi tertakluk
kepada etika dan peraturan yang ditetapkan. Melainkan dipersetujui
pihak-pihak, hakim yang mendengar bicara tidak boleh dilantik
menjadi Hakim Pengantaraan kerana sekiranya proses mediasi ini
menemui jalan buntu, kes ini akan diteruskan untuk perbicaraan oleh
hakim bicara yang telah ditetapkan pada awalnya.

Harus ditekankan disini bahawa walaupun terdapat peraturan seperti


arahan amalan, pihak-pihak berhak memilih kaedah penyelesaian
pertikaian yang mereka ingini. Ini memberi jaminan kepada sifat
mediasi yang mementingkan kesukarelaan dan kehendak kedua-dua
pihak dalam mencapai perdamaian. Mediasi juga digunakan dalam
bidang pembinaan, perbankan, insuran dan keluarga (TY Hui, 2006;
Kamal Halili Hassan et al., 2014). Jenis-jenis kes yang dicadangkan
untuk diselesaikan melalui proses mediasi termasuk tuntutan berkaitan
kemalangan jalan raya, kesalahan torts, tuntutan saman fitnah,
pertikaian kekeluargaan dan rumah tangga, pertikaian komersial dan
kontrak, juga pertikaian berkaitan harta intelek (Arahan Amalan No.
4 Tahun 2016). Hal ini demikian kerana jenis kes sebegini melibatkan
tuntutan kewangan yang berkemungkinan boleh diselesaikan secara
perdamaian melalui mediasi.

Mediasi melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG)

Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang telah ditubuhkan pada September


1970 menyediakan perkhidmatan nasihat guaman kepada semua
warganegara Malaysia termasuk khidmat mediasi. Penubuhannya
selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi bantuan dan nasihat
guaman serta khidmat pengantaraan kepada mereka yang tidak
berkemampuan dan untuk memberi kesedaran undang-undang kepada
masyarakat dengan cekap, tepat dan berkesan. Berdasarkan kepada
Jadual Keempat Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26], nasihat
guaman boleh diberikan dalam semua perkara termasuk perkara sivil
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
dan syariah. Pengantaraan yang diterangkan dalam portal rasmi JBG
bermaksud:

“...proses yang dalamnya pihak-pihak yang bertikai


menyelesaikan pertikaian mereka secara sukarela dan damai
dengan bantuan seorang pengantara. Sidang pengantaraan
akan diadakan dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas
pihak-pihak menandatangani Perjanjian Persetujuan untuk
Pengantaraan.

Seksyen 29A hingga 29F dalam Akta 26, menjelaskan bahawa


khidmat pengantaraan yang disediakan oleh JBG yang juga tertakluk
kepada Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman 2017 dan Peraturan-
Peraturan Bantuan Guaman (Pengantaraan) 2006. Pihak-pihak boleh
memohon untuk dirujuk kepada pengantara atau JBG sendiri boleh
mencadangkan untuk sesuatu pertikaian dirujuk kepada pengantara.
Namun begitu, asas bagi proses pengantaraan mestilah atas dasar
sukarela yang memungkinkan pihak-pihak menarik diri daripada
Sidang Pengantaraan pada bila-bila masa. Lantikan pengantara dalam
seksyen 29F mesti dibuat oleh Menteri yang tertakluk kepada arahan
dan penyeliaan am Ketua Pengarah Bantuan Guaman. Sekiranya pihak-
pihak mencapai persetujuan dan penyelesaian, ia perlu dimeteraikan
secara bertulis dan ditandatangani oleh pihak-pihak. Jika sidang
pengantaraan gagal, kes mereka akan dirujuk kepada panel peguam
yang dilantik oleh JBG mengikut seksyen 5 Akta 26 dan fi guaman
akan dibayar oleh JBG.

Kes-kes dalam bidang kuasa mahkamah sivil seperti ganti rugi berkait
kes kemalangan, penyewaan, sewa beli, probet dan surat mentadbir
harta pusaka, hak jagaan, prosiding perceraian, nafkah dan tuntutan
pengguna adalah antara kes-kes yang lazimnya diterima di JBG. Begitu
juga perkara-perkara dalam bidang mahkamah Syariah seperti ganti
rugi pertunangan, nafkah, hak jagaan, perceraian, hutang perkahwinan,
mutaah, harta sepencarian, hibah dan wasiat juga boleh dirujuk
kepada JBG menurut Jadual Ketiga Akta 26. Walau bagaimanapun,
bagi khidmat mediasi, JBG membenarkan semua kes kekeluargaan
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
syariah kecuali kes perceraian, fasakh dan notis kehakiman dan semua
kes kekeluargaan sivil kecuali yang melibatkan keganasan rumah
tangga. Sekiranya terdapat pihak-pihak yang telah melalui proses sulh
di mahkamah syariah, ia tidak lagi boleh membuat pengantaraan di
JBG. Begitu juga bagi kes-kes yang telah melalui proses pengantaraan
di Jabatan Bantuan Guaman Malaysia tidak perlu dirujuk ke Majlis
Sulh di mahkamah syariah pada peringkat pendaftaran. Seperti proses
mediasi atau Sulh kelolaan pusat mediasi dan mahkamah, sebarang
komunikasi dalam Sidang Pengantaraan di JBG adalah sulit dan tidak
boleh didedahkan demi menjaga kemaslahatan pihak-pihak yang
bertikai.

Mediasi melalui Pengantara Persendirian Bertauliah (Sole


Mediator)

Perkembangan mediasi di Malaysia sebagai satu kaedah penyelesaian


alternatif menyaksikan ramai individu dan professional dalam
kalangan pegawai perundangan, pegawai kehakiman, pegawai
syariah, pengamal undang-undang dan ahli akademik menduduki
kursus mediasi bagi mendapatkan latihan dan seterusnya ditauliahkan
sebagai mediator. Perkembangan ini adalah sesuatu yang positif yang
menunjukkan kesedaran masyarakat untuk menyelesaikan pertikaian
secara perdamaian (sulh) tanpa perlu melalui proses perbicaraan. Ini
bukan sahaja menepati kaedah penyelesaian yang diiktiraf masyarakat
dunia malahan selari dengan kehendak dan hukum Islam.

Jika diperhatikan, kesemua instrumen pengantaraan atau mediasi yang


diamalkan di mahkamah sivil, mahkamah syariah, Jabatan Bantuan
Guaman dan Pusat Mediasi Majlis Peguam (MMC), seseorang yang
dilantik sebagai mediator atau pengantara mestilah individu yang
telah mendapat latihan dan tauliah sebagai pengantara oleh badan
professional yang diiktiraf atau diakreditasi. Namun, tiada mana-mana
peruntukan undang-undang yang mensyaratkan akreditasi khusus
untuk menganjurkan kursus mediasi dan seterusnya menganugerahkan
pengtauliahan kepada individu yang layak di Malaysia mestilah
daripada badan atau pusat latihan tertentu. Pewartaan Akta 749 lebih
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
menekankan dan memperincikan prosedur dan ciri-ciri mediasi atau
pengantaraan yang diiktiraf di Malaysia. Akta ini tidak menetapkan
standard kompetensi, kelayakan pengantara dan badan yang layak
memberi akreditasi kepada pengantara. Namun begitu, menurut Akta
749, seseorang yang dilantik sebagai pengantara hendaklah memiliki
kelayakan, pengetahuan khas atau pengalaman yang berkaitan
pengantaraan melalui latihan atau pendidikan tinggi formal atau
memenuhi kehendak sesuatu institusi berhubung dengan lantikan
seorang pengantara (s.7(2) Akta 749). Bahkan, ketiadaan kelayakan
ini boleh menyebabkan pelantikan pengantara itu ditamatkan (s.8 (1)
Akta 749. Ini menunjukkan bahawa hanya individu yang mempunyai
kemahiran pengantaraan dan memahami prosedur umum mediasi
boleh menjadi pengantara dengan memenuhi syarat yang ditetapkan.
Daripada pemerhatian dan pengalaman penulis, didapati ramai antara
pengantara yang diiktiraf sebagai sole mediator mendapat latihan
khusus mediasi daripada badan latihan professional kebangsaan
dan antarabangsa seperti The Accord Group International Australia,
Singapore Mediation Centre dan Pusat Mediasi Malaysia (MMC).
Dengan pengiktirafan dan akreditasi sebagai sole mediator, semua
individu berkaitan, termasuk peguam syarie, pegawai undang-undang
dan lain-lain layak untuk menjalankan sesi mediasi sekiranya dilantik
oleh pihak-pihak yang ingin mendapatkan khidmat mereka. Peranan
mereka diiktiraf dalam perundangan kerana sekiranya persetujuan telah
dimeterai antara pihak-pihak kes mereka tidak perlu menjalani sesi
sulh atau mediasi melalui mahkamah seperti yang telah dibincangkan
di atas.

Mediasi melalui Mediator Komuniti (MK) di Pusat Mediasi Unit


Perkhidmatan Mediasi Komuniti, Jabatan Perpaduan Negara
dan Integrasi Nasional (PERPADUAN)

Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mempromosi dan meneraju


perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia, PERPADUAN telah
berusaha memperkenalkan sistem penyelesaian pertikaian secara
perdamaian dalam kalangan masyarakat setempat melalui kaedah
mediasi. Hal ini demikian kerana kaedah ini dilihat sebagai satu
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
intervensi yang sesuai untuk mendamaikan anggota masyarakat yang
terlibat dengan konflik setempat kerana ciri-ciri mediasi itu sendiri
yang menekankan konsep kerahsiaan, sukarela, bebas dan berkecuali.
Pada tahun 2007, Mediator Komuniti telah berjaya diwujudkan. Ia
kemudian terus diperkasa mulai tahun 2009 dengan usaha memberi
latihan mediasi kepada Pegawai PERPADUAN dan Pengerusi
Rukun Tetangga di seluruh negara untuk menjadi pendamai atau
Pengantara dalam berdepan dengan konflik komuniti. Peranan dan
bidang kuasa Mediator Komuniti yang menyediakan pengantaraan
dalam masyarakat untuk menyelesaikan perselisihan dalam kalangan
anggota masyarakat dan mencapai pendamaian diiktiraf dalam
seksyen 8 (d) Akta Rukun Tetangga 2012 [Akta 751]. Menurut portal
rasmi PERPADUAN, sehingga kini, unit ini telah berjaya melatih dan
mentauliahkan seramai 1027 orang Mediator Komuniti di seluruh
Malaysia. Latihan yang diberikan kepada Mediator Komuniti dapat
membantu menyelesaikan konflik sosial adalam masyarakat setempat
dalam membentuk masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Ini amat
penting dalam mengekalkan perpaduan dalam masyarakat berbilang
kaum di negara ini. Namun begitu, tidak dinafikan sekiranya pertikaian
dan konflik mereka berlarutan dan melibatkan aspek perundangan yang
lebih mencabar dan tidak dapat diselesaikan di peringkat Mediator
Komuniti, kes tersebut perlu dirujuk kepada Pengantara professional
yang lain atau dirujuk ke mahkamah untuk penyelesaian terbaik.

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Konflik dan persengketaan dalam sesuatu hubungan sama ada


kekeluargaan, persahabatan, perniagaan, majikan-pekerja dan lain-
lain lagi adalah lumrah dalam kehidupan manusia yang tidak dapat
dielakkan. Ia terjadi apabila pihak-pihak terlibat tidak lagi boleh
bertahan dengan kekurangan, tindakan atau pengabaian pihak satu
lagi terhadap sesuatu perkara. Walaupun terdapat hukum dan undang-
undang yang mengatur dan menggariskan hak dan tanggungjawab ke
atas setiap individu manusia, dalam sesuatu keadaan pertikaian masih
berlaku dan tidak dapat dielakkan. Seperti juga hal rumah tangga, hak
untuk menceraikan dan memohon cerai diperuntukkan dalam undang-
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
undang demi menyediakan jalan keluar kepada pasangan yang
tidak dapat lagi hidup secara harmoni dengan pasangannya. Namun
begitu, perundangan di Malaysia sama ada sivil atau syariah amat
menggalakkan penyelesaian konflik sebegini untuk diselesaikan di
luar mahkamah atau menggunakan platform penyelesaian pertikaian
alternatif seperti mediasi dan timbang tara. Hal ini demikian
kerana konsep perdamaian melalui kaedah sulh dan mediasi sangat
menekankan kepentingan bersama (mutual interest) lebih daripada
mempertahankan hak-hak (rights) yang diperuntukkan undang-
undang.

Dalam konteks Malaysia, usaha untuk menggalakkan pengunaan ADR


terus berkembang pesat. Boleh dikatakan semua institusi kehakiman
dan guaman sivil dan syariah mempunyai medium penyelesaian
pertikaian secara perdamaian. Daripada perbincangan di atas, dapat
disimpulkan bahawa sulh dan mediasi/pengantaraan adalah proses
yang sama yang mensyaratkan ‘orang tengah’ tersebut mempunyai
keupayaan menjaga kepentingan pihak bertikai secara adil dan
saksama untuk menanam kepercayaan daripada pihak yang bertikai.
Sebagai orang tengah, pengantara juga perlu menunjukkan sifat
professional yang bebas dan berkecuali dan tidak memihak kepada
mana-mana pihak dengan memberi peluang yang sama rata kepada
keduanya. Kesemua ciri ini dimiliki oleh proses yang dijalankan oleh
Majlis Sulh di mahkamah syariah dan sesi mediasi yang dilaksanakan
di mahkamah sivil, Jabatan Bantuan Guaman, Pengantara Persendirian
dan Mediator Komuniti. Namun apa yang membezakan sulh dan
mediasi ini adalah dari segi Undang-Undang dan Peraturan khusus
yang perlu dipatuhi untuk lantikan pengantara, proses pelaksanaan
dan kes-kes berkaitan yang dibenarkan.

Secara umumnya, terma sulh itu sendiri walaupun merujuk kepada


proses perdamaian yang lebih luas konteksnya yang meliputi proses
timbang tara dan mediasi, namun ia difahami masyarakat di Malaysia
sebagai proses pengantaraan yang dilaksanakan di mahkamah syariah
yang terikat dengan Kaedah, Arahan Amalan, Manual Kerja Sulh dan
Tatacara Mal (Sulh) mengikut peruntukan negeri-negeri. Pelaksanaan
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
sulh di mahkamah syariah lebih bersifat terikat dan eksklusif untuk
masyarakat Muslim di Malaysia dan 18 perkara yang disenaraikan
dalam Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010. Manakala proses mediasi
yang dipraktikkan oleh mahkamah sivil, MMC dan JBG merangkumi
perkara-perkara yang lebih luas, prosedur yang lebih fleksibel dan
mencakupi permasalahan yang dihadapi semua pihak sama ada
Muslim atau bukan Muslim. Hal ini demikian kerana Malaysia
mengamalkan sistem dualisme undang-undang yang mengasingkan
perkara di bawah tanggungjawab kerajaan pusat dengan kerajaan
negeri. Justeru, setiap negeri di Malaysia mempunyai Majlis Agama
Islam dan mahkamah syariah yang masing-masing mentadbir dan
menyelesaikan pertikaian yang dihadapi masyarakat Islam di negeri
masing-masing. Ini termasuk proses sulh yang hanya melibatkan
perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah negeri.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua proses sulh dan


mediasi membantu menyelesaikan pertikaian dengan lebih cepat dan
menyumbang kepada pengurangan kes-kes tertunggak di mahkamah.
Penyelesaian melalui kaedah ini juga mengurangkan kos yang
perlu ditanggung pihak-pihak kerana tiada yuran khusus dikenakan
kepada pihak-pihak yang menyelesaikan pertikaian mereka melalui
khidmat sulh atau mediasi di mahkamah. Tetapi untuk penyelesaian
yang menggunakan khidmat Pengantara Persendirian dan MMC, ada
kos yang dikenakan tertakluk kepada kes yang dikendalikan kerana
perkhidmatan ini adalah perkhidmatan persendirian. Selain itu, kedua-
dua proses sulh dan mediasi perlu menyediakan perjanjian persetujuan
yang diiktiraf oleh undang-undang apabila disahkan oleh mahkamah.
Perjanjian persetujuan yang dimeterai di hadapan Pengantara MMC,
JBG dan Pengantara Persendirian bertauliah seperti yang dijalankan
oleh mediator dalam kalangan peguam yang terlatih juga diiktiraf oleh
kedua-dua mahkamah sivil dan syariah tertakluk kepada kes-kes yang
mahkamah mempunyai bidang kuasa.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa sulh dan mediasi kedua-duanya


mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, namun ia perlu
digalakkan supaya pihak-pihak yang bertikai dapat membincangkan
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan
masalah dan situasi mereka dengan cara baik bagi mengelakkan
persengketaan yang berpanjangan pada masa hadapan. Melalui cara
ini juga pihak-pihak dapat menentukan sendiri keputusan dan hasil
yang dikehendaki secara menang-menang. Perkembangan mediasi
atau Sulh sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian secara alternatif
di Malaysia adalah sesuatu yang positif dan perlu diteruskan. Pihak-
pihak yang bertanggungjawab khususnya mahkamah Syariah, Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pusat Mediasi Mahkamah,
MMC dan Jabatan Bantuan Guaman disaran mencari jalan bagi
memperkembangkan pendekatan sulh dan mediasi ini secara
meluas kepada masyarakat umum dengan menjelaskan kebaikan
menyelesaikan pertikaian melalui kaedah penyelesaian pertikaian
alternatif (ADR) tanpa melibatkan proses litigasi mahkamah. Ini
pastinya akan membawa kepada kehidupan masyarakat yang lebih
harmoni selari dengan kehendak Islam yang menggalakan perdamaian
untuk kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
RUJUKAN

Rujukan Primer
Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Jadual Kesembilan, Senarai
Negeri)
Akta Pengantaraan 2012 [Akta 749]
Akta Rukun Tetangga 2012 [Akta 751]
Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26]
Arahan Amalan Mahkamah Persekutuan MalaysiaBil 4 Tahun 2016
(Arahan Amalan Mediasi)
Arahan Amalan Mahkamah Persekutuan Malaysia Bil. 2 Tahun
2013(Berkaitan Proses Mediasi bagi Kes-Kes Kemalangan Jalanraya
di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen)
Arahan Amalan Mahkamah Persekutuan Malaysia No. 4 Tahun 2016
Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman (Pengantaraan) 2006
Arahan Amalan JKSM No.1 2010
Arahan Amalan JKSM No.1 Tahun 2001
Arahan Amalan JKSM No. 3 Tahun 2002
Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001
Portal Rasmi JKSM.gov.my dan e-syariah.gov.my
Portal Rasmi Jabatan Kehakiman Negeri-Negeri di Malaysia

Rujukan Sekunder
Al-Bajuri, Ibrahim, Hashiyah Bajuri al-Haramian. Vol. 1. hlm. 271.
Al-Khateeb al-Sharbini, Mughni al-Muhtaj. Jld. 2. hlm. 177.
Christina Ooi Su Siang. 2017. Mediation and The Courts on Settlement
of Disputes: An Analysis on Legislating Court-Directed
Mediation in Malaysia. Faculty of Law: University of Malaya.
Hanna Ambaras Khan, A. P. 2014. “Community Mediation in
Malaysia: A Step Forward”. The Malayan Law Journal. 17.
Hanis, W. 2015. “Sulh: Its Application in Malaysia”. IOSR Journal of
Humanities and Social Sciences. Vol. 20. (6).
HM Dahalan & MA Yahya. 2016. “Perjanjian Sulh diantara Pihak-
Pihak bertikai di Mahkamah Syariah sebagai Pilihan atau
Persetujuan yang Perlu di Patuhi?”. (Kertas perbentangan).
Muzakarah Fiqh & International Fiqh Conference.
Sulh Dan Mediasi Dalam Kerangka Undang-Undang Di Malaysia: Kajian Perbandingan

HM Dahalan. 2014. “Pengurusan Sulh: Peranan, Pelaksanaan


dan Keberkesannya oleh Pegawai Sulh”. (Kertas
perbentangan). International Research Management and
Innovation Conference 2014. Kuala Lumpur.
Kamal Halili H., Sakina S.A.Y, Suzanna M.I & Che Norlia M (2011).
National Conference of Dispute Resolution. Faculty of Law:
Universiti Kebangsaaan Malaysia.
Kamal Halili H, Sakina, S. A. Y. & Suzanna, M. I. (2014). Penyelesaian
Pertikaian Mekanisme dan Perundangan. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mohamad Ridzuan, Z. (2009). “Antara Sulh dan Mediasi Mana dekat
Di Hati”. Muzakarrah Pegawai-pegawai Sulh Seluruh
Malaysia (Kali Pertama) di Hotel Royal Penang, Pulau
Pinang. 15-17 Mac 2009.
Nadia Murshida A. A. & Alias, A. 2018. “Pendekatan Mediasi dalam
Tuntutan Hadanah: Kajian di Mahkamah Tinggi Syariah
Pulau Pinang”. International Journal of Law, Government and
Communication. UUM Kedah.
Nora, A. H. 2007. “Family Mediation in Asia: A Special Reference to
The Law and Practice in Malaysia”. 15 IIUMLJ. 121
Nora, A. H. 2012. “Mediation in custody disputes: challenges and
prospects in Malaysia”. International Journal of Social Policy
and Society. 9: p. 59-72. ISSN 1823-0865.
R Azhari. 2008. Sulh dalam Kes Kekeluargaan Islam. Kuala Lumpur.
Universiti Malaya Press.
SN Mohd Ali & Z Hasan. 2008. “Pelaksanaan Sulh dan
Keberkesanannya di Mahkamah syariah Selangor”. diakses
pada 20 September 2020. Diakses pada 25 April 2017
di <https://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/07/sulh-
di-mahkamah- syariah>. Diakses:
SULH: Its Application in Malaysia
Tan, Y. H. & Ashgar Ali Ali Mohamed. 2006. “Mediation/Conciliation
in the Malaysian Courts: With Emphasis on Settlement of
Labour Disputes”. (Kertas perbentangan). 3rd Asia Pacific
Mediation Forum, ‘Mediating Cultures in the Pacific and
Integrasi Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang (Siri Ke-3)
Asia. University of South Pacific, Suva, Fiji. 26-30 Jun 2006.
WA Wan Adnan & AH Buang. 2019. “Pelaksanan Sulh dalam Kes
melibatkan tuntutan Hartanah Orang-Orang Islam di
Mahkamah Syariah di Malaysia: Tinjauan Terhadap Kajian
Lepas”. Journal of Shariah Law Research. (1): pp. 27-54.
Wahab AA. 2013. Court-Annexed and Judge-Led Mediation in Civil.
Melbourne.
Wissler, R. L.2002. “Court-Connected Mediation in General Civil
Cases: What We Know from Empirical Research”. Ohio State
Journal on Dispute Resolution. Vol. 17. (3): pp. 641-704.
Wood, J. 2004. “Federal Court-Annexed Mediation Seventies Years
On”. Journal of Judicial Administration. Vol. 14. pp. 89-98.
Media
Bakar, D. Z. 2016. “Utamakan Mediasi Berbanding Litigasi”. Utusan
Malaysia. <http://www.utusan.com.my/mega/agama/
Utamakan-Mediasi-Berbanding-Litigasi-1.259904>.
Mutakhir. (2016). “Sayang Abah Berita Negeri Kita”. <https://www.
sayangsabah.com/kes-saman-rahman-dahlan-terhadap-
malaysiakini-selesai/>.
Siti Nur Azlinee, A. 2017. “Kes saman fitnah Zuraida terhadap
Jamal selesai”. BH Online. <https://www.bharian.com.my/berita/
kes/2017/11/347895/kes-saman-fitnah-zuraida-terhadap-jamal-
selesai>.
Hassan, H. 2017. “Mediasi Kaedah Terbaik Tanggani Selisih Faham”.
pressreader. <https://www.pressreader.com/malaysia/berita-
harian malaysia/20171208/282441349424945>.
n. a. 2016. “Cases being resolved via mediation on the rise in
Malaysia: Tun Zaki”. The Sun Daily. <https://www.
thesundaily.my/archive/2072944-ytarch410550>.
Yik, C. S. 2017. “Mediation in Malaysia”. Chia Lee & Associates.
<http://www.chialee.com.my/knowledge-hub/mediation-in-
malaysia>.
JAKESS. 2018. “Pelaksanaan Hakam, Rungkai Konflik Gantung
Tak Bertali”. Sinar Harian. <http://archive.sinarharian.com.
my/sinar-islam/pelaksanaan-hakam-rungkai-konflik-
gantung-tak-bertali-1.899359>.

You might also like