You are on page 1of 56

BAB 4

DAPATAN KAJIAN

4.1 Pendahuluan

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perkembangan kanak-kanak autistik dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku melalui aktiviti renang berstruktur.
Bab ini memaparkan dapatan kajian berdasarkan persoalan kajian yang telah dinyatakan
dalam Bab Satu.

Bab ini melaporkan perbincangan dan kesimpulan dapatan kajian yang telah
dijalankan untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan-persoalan mengenai pergangguan
dalaman yang dikaji. Untuk tujuan penyelidikan ini, pendekatan kajian yang digunakan ialah
pendekatan kajian kualitatif kajian kes. Ini adalah kerana pendekatan ini sesuai untuk
mendapatkan penjelasan dan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai subjek yang
dikaji.

Pembentangan hasil dapatan ini adalah berdasarkan kepada instrumen yang telah
digunakan dalam kajian ini iaitu analisis dokumen, temu bual separa berstruktur responden
iaitu ibu bapa dan guru pendidikan khas dan pemerhatian separa berstruktur menggunakan
instrumen senarai semak kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.

55
Pengkaji melaporkan dapatan kajian berdasarkan tiga persoalan kajian. Dapatan
kajian daripada ketiga-tiga sumber ini di analisis menggunakan menggunakan triangulasi
iaitu triangulasi data temubual separa berstruktur antara temubual ibu bapa dan guru dan
triangulasi data antara analisis dokumen, temubual dan pemerhatian.

Pengkaji juga menggunakan perisian Atlas t.i 8.0 untuk membina tema-tema penting
yang didapati semasa analisis dokumen, analisis temubual dan analisis pemerhatian
dilaksanakan. Analisis secara terperinci akan dibincangkan dalam bab ini bagi mengenal pasti
perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku melalui aktiviti renang berstruktur.

4.2 Latar Belakang Subjek

Laporan analisis didahului dengan menghuraikan data maklumat profil subjek secara ringkas
melalui analisis dokumen rekod peribadi subjek di sekolah. Pengkaji telah memilih empat
orang subjek yang terdiri daripada empat orang kanak-kanak lelaki yang mengikuti program
aktiviti renang di Pusat Renang Kuala Kangsar, Perak.

Kanak-kanak autistik yang terlibat dengan kajian ini menepati ciri-ciri sampel yang
telah ditetapkan iaitu kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 14 tahun yang mengikuti
Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah. Kanak-kanak ini juga mengikuti aktiviti
renang sebagai terapi atau kaedah rawatan. Mereka ini terdiri dari kanak-kanak autistik yang
dikategorikan sebagai autistik sederhana atau berat. Keempat-empat kanak-kanak autistik ini
masih mengikuti terapi di Bahagian Terapi Cara Kerja dan Bahagian Terapi Pertuturan di
Hospital Kuala Kangsar, Perak.

4.2.1 Subjek 1 (S1)

S1 berumur 9 tahun. Mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di salah sebuah sekolah
di Daerah Kuala Kangsar, Perak. S1 merupakan anak sulung daripada tiga orang adik
beradik. Mempunyai adik lelaki berumur lapan tahun dan adik perempuan berumur lima
tahun. Berdasarkan rekod peribadi di sekolah mengesahkan S1 dikategorikan sebagai
masalah pembelajaran kategori autistik sederhana.

56
Berdasarkan laporan perkembangan tingkah laku pelajar, S1 boleh bertutur dengan
baik namun begitu mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam kemahiran komunikasi,
interaksi sosial dan tingkah laku. S1 mula mengikuti aktiviti renang sebagai terapi bermula
Oktober tahun 2020 ketika berumur lapan tahun.

4.2.2 Subjek 2 (S2)

S2 berumur 9 tahun. Mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di salah sebuah sekolah
di Daerah Kuala Kangsar, Perak. S2 merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik.
Berdasarkan rekod peribadi di sekolah mengesahkan S2 dikategorikan sebagai masalah
pembelajaran kategori autistik sederhana. Berdasarkan laporan tingah laku pelajar, S2 boleh
bertutur namun begitu sangat terhad dan mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. S2 mula mengikuti aktiviti renang
sebagai terapi bermula Januari tahun 2021.

4.2.3 Subjek 3 (S3)

S3 berumur 7 tahun. Mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di salah sebuah sekolah
di Daerah Kuala Kangsar, Perak. S3 merupakan anak kedua daripada tiga orang adik
beradik. Abangnya berumur 13 tahun manakala adiknya berumur 5 tahun. Berdasarkan rekod
peribadi di sekolah mengesahkan S3 dikategorikan sebagai gangguan dalam pembelajaran
kategori autistik sederhana.

Berdasarkan rekod perkembangan pelajar, S3 boleh bertutur namun sangat terhad dan
mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku. S3 mula mengikuti aktiviti renang sebagai terapi bermula Oktober tahun 2020
ketika berumur enam tahun.

4.2.4 Subjek 4 (S4)

S4 berumur 14 tahun. Mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di salah sebuah sekolah
di Daerah Kuala Kangsar, Perak. S4 merupakan anak sulung daripada tiga orang adik
beradik. Adik lelakinya berumur 11 tahun manakala adik perempuannya berumur 8 tahun.

57
Berdasarkan rekod peribadi di sekolah mengesahkan S4 dikategorikan sebagai masalah
pembelajaran kategori autistik berat.

Berdasarkan rekod perkembangan pelajar, S4 masih tidak boleh boleh bertutur dan
mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku. S4 mula mengikuti aktiviti renang sebagai terapi bermula Ogos tahun 2020
ketika berumur 11 tahun.

4.3 Analisis dapatan kajian

Kajian ini telah dijalankan untuk mengenal pasti perkembangan kanak-kanak autistik dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku melalui aktiviti renang berstruktur.
Dapatan kajian dianalisis bagi menjawab persoalan kajian yang ditetapkan iaitu:

i. Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan kemahiran


komunikasi kanak-kanak autistik?

ii. Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan interaksi sosial
kanak-kanak autistik?

iii. Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan tingkah laku
kanak autistik?

Data yang dikumpul dianalisis secara kualitatif dan dapatan kajian dilaporkan secara
terperinci dan mendalam dalam bab ini berdasarkan soalan kajian di atas. Pengkaji telah
menganalisis dapatan analisis dokumen, temu bual separa berstruktur responden iaitu ibu
bapa subjek dan guru pendidikan khas subjek. Selain itu pengkaji juga menganalisis dapatan
pemerhatian oleh jurulatih renang.

4.3.1 Soalan kajian 1 : Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap


perkembangan kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik?

Soalan kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi. Pengkaji menjawab
persoalan kajian dengan menghuraikan perkembangan subjek sebelum mengikuti aktiviti

58
renang berstruktur berdasarkan analisis dokumen iaitu rekod perkembangan subjek di
sekolah.

Perkembangan terkini subjek dalam kemahiran komunikasi selepas mengikuti aktviti


renang berstruktur dilaporkan melalui analisis dapatan temu bual separa berstruktur.
Temubual bersama responden iaitu responden ibu bapa (RI) dan responden guru (RG) telah
dijalankan bagi mendapatkan pandangan responden terhadap perkembangan subjek dalam
kemahiran komunikasi selepas mengikuti aktiviti renang berstruktur.

Manakala, dapatan pemerhatian menjelaskan perkembangan terkini kanak-kanak


autistik yang menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas. Pemerhatian
dilaksanakan oleh jurulatih menggunakan senarai semak pemerhatian. Bagi menjelaskan
kesan aktiviti renang berstruktur terhadap kemahiran komunikasi, laporan dapatan kajian
dibentangkan mengikut dapatan temubual separa berstruktur dan pemerhatian yang di analisis
setiap satu sehingga membentuk tema akhir.

Berdasarkan triangulasi data antara temu bual ibu bapa dan guru serta triangulasi data
antara analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti
renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran
komunikasi dijelaskan seperti berikut.

4.3.1.1 Analisis Dokumen

Dokumen-dokumen yang telah dianalisis bagi menjawab soalan kajian 1 adalah laporan
tingkah laku pelajar dan rekod perkembangan pelajar. Berdasarkan analisis dokumen,
pengkaji dapat mengenal pasti gangguan yang dialami subjek sebelum mengikuti aktiviti
renang. Analisis dokumen menjelaskan subjek mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Bagi analisis dokumen untuk soalan
kajian ini, pengkaji hanya memilih item yang berkaitan dengan gangguan kemahiran
komunikasi sahaja. Berikut adalah dapatan yang diperolehi daripada dokumen- dokumen
tersebut.

Laporan dapatan kajian yang diperoleh melalui analisis dokumen ini diterangkan
mengikut subjek kajian. Laporan dapatan kajian yang diperoleh dimulakan dengan S1.
Pengkaji menganalisis laporan perkembangan tingkah laku pelajar. Laporan ini disediakan
oleh guru kelas S1. Laporan ini merupakan rujukan untuk pihak pentadbir dan ibu bapa.

59
Dalam laporan ini, guru kelas S1 melaporkan gangguan tingkah laku yang dialami S1 dan
berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S1 mencadangkan S1 perlu diserapkan dalam kelas
Program Pendidikan Khas Integrasi.

Laporan tersebut menjelaskan S1 mengalami gangguan dalam aspek ekspresi wajah.


Dalam laporan tersebut, S1 dilaporkan boleh menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah
antaranya perasaan sedih, gembira dan marah. Namun begitu S1 tidak memahami ekspresi
wajah yang ditunjukkan oleh orang lain.

S1 juga dilaporkan mengalami gangguan kemahiran komunikasi dalam aspek respons.


Berdasarkan laporan perkembangan pelajar, S1 tidak memberikan tindakbalas apabila guru
memanggil namanya. S1 belum menguasai kemahiran meminta. Laporan menjelaskan S1
akan menarik tangan guru ke arah objek yang dikehendaki.

Dalam aspek tindakbalas deria terhadap bunyi, gangguan yang dialami S1 dilaporkan
iaitu pelajar tidak menoleh dan memberikan tindakbalas terhadap bunyi. Namun begitu,
pelajar mengalami gangguan apabila mendengar bunyi bising seperti bunyi mesin rumput
ataupun bunyi motor yang kuat. Apabila mendengar bunyi bising pelajar akan menutup
telinga dan menjerit.

Laporan analisis dokumen diteruskan bagi subjek 2 (S2). Berdasarkan rekod


perkembangan S2 boleh bertutur namun sangat terhad. S2 mempunyai ciri-ciri autistik yang
ketara dalam kemahiran komunikasi. Pengkaji menganalisis laporan tingkah laku pelajar.
Laporan ini disediakan oleh guru kelas S2. Laporan ini merupakan rujukan untuk pihak
pentadbir dan ibu bapa. Dalam laporan ini, guru kelas S2 melaporkan gangguan tingkah laku
yang dialami S2 dan berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S2 mencadangkan S2 perlu
diserapkan ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi.

Laporan tersebut menjelaskan S2 mengalami gangguan dalam aspek ekspresi wajah.


Menurut laporan tingkah laku, S2 tidak menunjukkan ekspresi wajah sesuai mengikut
perasaan dan situasi serta tidak memahami ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh orang lain.
S2 juga dilaporkan seperti mengalami masalah pendengaran kerana tidak memberikan
respons apabila dipanggil. S2 juga didapati sensitif

Seterusnya bagi subjek 3 (S3) pula, pengkaji menganalisis rekod perkembangan


pelajar. Rekod perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai
panduan untuk membantu guru-guru memahami tingkah laku S3 untuk melancarkan proses

60
pengajaran dan pembelajaran dan sebagai rujukan untuk melihat perkembangan pelajar
sepanjang tahun. Berdasarkan analisis dokumen rekod perkembangan tersebut menjelaskan
S3 mengalami gangguan kemahiran komunikasi dalam aspek ekspresi wajah.

Gangguan kemahiran komunikasi yang dialami S3 direkodkan oleh guru kelasnya


semasa aktiviti ‘freeplay’ sepanjang minggu pertama persekolahan iaitu S3 tidak dapat
mempamerkan perasaan melalui ekspresi wajah dan kebanyakan masa S3 menunjukkan
ekspresi wajah tidak sesuai dengan keadaan. Semasa aktiviti meniru mimik muka
dilaksanakan, S3 belum mampu meniru mimik muka yang ditunjukkan oleh guru.

Gangguan kemahiran komunikasi dalam aspek respons juga dialami S3 direkodkan


oleh guru kelasnya semasa aktiviti ‘freeplay’ sepanjang minggu pertama persekolahan iaitu
S3 tidak memberikan respons apabila guru memanggil namanya. S3 jugan tidak memberikan
respons apabila guru memberi arahan contohnya apabila guru menunjukkan objek dan
memberi arahan untuk mengambil objek tersebut, S3 tidak memahami arahan guru.

Bagi subjek 4 (S4), pengkaji menganalisis rekod perkembangan pelajar. Rekod


perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai rekod perkembangan
pelajar sepanjang bulan pertama persekolahan. Gangguan kemahiran komunikasi yang
dialami S4 direkodkan oleh guru kelasnya dalam rekod perkembangan pelajar iaitu S4 tidak
memberikan ekspresi wajah yang tepat mengikut perasaannya, situasi dan keadaan yang
sedang berlaku.. S4 kadang kala ketawa, menangis tiba-tba tanpa diketahui sebabnya. Semasa
sesi bermain, S4 tidak menunjukkan ekspresi wajah gembira. S4 juga tidak memahami
ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh orang lain.

S4 juga dilaporkan mengalami gangguan kemahiran komunikasi dalam aspek respons.


Gangguan yang dialami S4 direkodkan oleh guru kelasnya seperti dalam laporan
perkembangan pelajar. S4 tidak suka mendengar bunyi bising seperti bunyi ekzos motosikal.
Apabila mendengar bunyi bising S4 akan menutup telinganya menggunakan tangan. S4 juga
tidak memahami dan mengikuti arahan guru samada secara lisan atau bukan lisan.

4.3.1.2 Temubual

Laporan dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas menjelaskan perkembangan
kanak-kanak autistik selepas mengikuti aktiviti renang berstruktur. Bagi laporan dapatan
temu bual, hasil dapatan berdasarkan protokol temubual yang telah disediakan bersama RI

61
dan RG telah ditranskripsikan. Bagi menjawab soalan kajian 1 hanya perkembangan kanak-
kanak autistik dalam kemahiran komunikasi sahaja yang dipilih, manakala perkara lain yang
tidak berkaitan digugurkan.

i. Kesesuaian ekspresi wajah

Dapatan kajian mendapati subjek boleh menunjukkan pelbagai ekspresi wajah dan ekspresi
wajah yang ditunjukkan sesuai mengikut perasaan. Antara ekspresi wajah yang ditunjukkan
oleh subjek ialah ekspresi wajah gembira, sedih, takut, cemas, keliru dan marah. Ini
dinyatakan melalui temubual RI dan RG.

Laporan dapatan kajian yang diperoleh dimulakan dengan S1. Menurut temu bual
bersama responden ibu bapa subjek 1 (RI1) dan responden guru subjek 1 (RG1) menyatakan
S1 boleh menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah. Ianya dinyatakan oleh RI1 seperti
berikut :

“Dia...,aaa..,Alhamdulillah. Dia..,kita...,dia boleh memperlihatkan ekspresi wajah dia.


Kita nampakla ekspresi wajah dia tu. Emmm..,err...,nampak sesuaila..Kalau
gembira,sedih. Saya rasa sekarang ni memang bersesuaian la dengan situasi. Paling
senang kita nampak gembira la. Kita nampak keterujaan dia tu”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. RG1 menyatakan :

“Dia boleh tunjuk. Muka dia dengan gerak badan dia sekali samada dia gembira,
sedih,marah. Kalau gembira dia akan bangun melompat macam seronokla kan. Kalau
sedih memang dia menangis. Kadang-kadang dia marah memang dia mengamukla”.
(TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual RI1 dan RG1 mendapati antara ekspresi wajah yang boleh ditunjukkan
oleh S1 ialah gembira, sedih, takut, keliru dan marah. Ianya di nyatakan dalam temubual
bersama RI1. RI1 menyatakan seperti berikut:

“Kalau gembira,sedih dia boleh tunjukla.Kita boleh nampakla.Kita boleh bezakan


ekspresi dia tu. Contoh masa kawan-kawan dia datang rumah, dia memang suka,
gembira. Dia boleh juga menunjukkan ekspresi wajah sedih macam merajuk,
muncungkan bibirkan. Macam cemas, takut adakala boleh nampak, kadang-kadag
susah jugak nak faham.Contoh masa kat kampung baru ni, dia nampak dia cemas,
takut bila masuk dalam satu bilik ni. Saya terkejut juga sebab memang nampak dia
takut betul. Lepas tu kalau dia tak faham arahan saya dia akan kerutkan dahi. Nampak
dia ‘confius’.Cuma kalau marah kadang-kadang confius jugak, tak faham dia tengah
marah ke apa. Cuma, kalau adik-adik dia ambil mainan dia, memang dia marah, dia
akan bulatkan mata dan menjerit ‘ Dont touch’. Kalau dia buat salah, saya marah
nampak muka dia tu, muka orang bersalah la”. (TB:RI1:11.11.2021)

62
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :
“Masa main memang nampak dia...,gembira...,dia tunjukkla ekspresi wajah gembira
tu. Lepas tu..,kalau....,kawan-kawan ganggu dia, memang dia akan marah, menjerit.
Kalau marah sangat tu kadang-kadang dia cakap ‘I hate u’. Besar jek mata dia bila dia
marah. Contoh lagi dia...,dia...,sedih pun boleh nampak,dia akan datang muka sedih
mengadu kawan dia ganggu dia. Macam sekarang dia dah boleh faham arahan
ringkaskan. Kalau dia tak faham, saya boleh nampak dahi dia berkerut”.
(TB:RG1:07.01.2022).
Laporan dapatan kajian yang diperoleh diteruskan dengan S2. Menurut temu bual
bersama responden ibu bapa subjek 2 (RI2) dan responden guru subjek 2 (RG2), menyatakan
S2 boleh menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah. Ianya dinyatakan oleh RI2 seperti
berikut :

“Memang kalau dulu takde perasaan. Sekarang...,kadang-kadang...,aa...,boleh ...taula


dia suka,marah, sedih, takut. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2 :

Ekspresi wajah dia kiranya sesuai ikut perasaan dia.. Kalau gembira ke marah ke
memang saya boleh nampak dari air muka dia. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 boleh menunjukkan ekspresi wajah gembira, marah,
sedih, takut, cemas dan keliru. Ianya dinyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya
dinyatakan dalam dialog berikut:

“Aaa...,dia kalau macam...,macam happy...,seronok...,raut muka dia tu bolehla....,saya


taula yang dia tu happy. Tapi kalau marah tu...,mood dia tengah swing tu...,sampaikan
dia macam nak telan orang...Masa dia main memang saya nampak dia suka, senyum
dan ketawa masa main tu. Contoh macam marah memang dia akan jengilkan biji
mata. Kadang-kadang dia ketap bibir. Kalau marah sangat dia akan menjerit ‘No’
kuat-kuat. Kalau..kalau kat rumah ni..,selalu dia akan mengadu kakak dia ganggu
dia...,muka memang nampak sedihla...,sedih bolehla...,sedih menangisla”. Macam
takut, cemas..,.dia boleh...,dia boleh tunjuk..,.contohla pernah dia nampak ular dia
lari…,muka memang takutla kan. Pernah juga adik dia pegang pisau…,dia datang kat
saya…,muka cemas, menjerit tarik tangan saya tunjuk adik dia. Komunikasi dia pun
da banyak. Dia faham arahan-arahan saya. Dia dah boleh faham. Bila dia tak faham..,
dia kerut dahi lah. Kalau nak something dia bulatkan mata...,taula dia nak tu. Dia tak
reti cakap banyak”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut :

“Dia kalau...,macam kalau dia happy, benda dia suka, dia gembira la..,.dia senyum.
Macam tengok cerita kan...,kalau lawak dia gelak...,kalau sedih, taula..., kalau kena
marah dia menangis...,kalau dia takut memang nampak dia takut. Dia faham kalau
saya bergurau, dia akan senyum dan ketawa. Kalau marah tu dia gigit bibir, macam
geramla. Tak pun bulat mata dia pandang kawan dia, kalau kawan dia ambil barang

63
dia. Sebab dia memang tak boleh orang ambil barang dia. Dia jerit ‘no,no,no’
berulang kali. Dia...,dia boleh tunjuk ekspresi sedih. Kalau ada kawan-kawan ganggu
dia akan datang bagitahu cikgu tunjuk muka sedih. Dia juga boleh tunjuk ekspresi
takut. Dia takut pada kucing. Kalau nampak kucing memang dia lari...,muka memang
nampak takut. Kalau saya bagi arahan, kadang-kadang dia faham, kadang-kadang dia
tak faham. Kalau tak faham nampak la muka dia tu macam keliru.
(TB:RG2:11.01.2022).

Dapatan temubual responden ibu bapa subjek 3 (RI3) dan responden guru subjek
(RG3) juga mendapati S3 boleh menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah. Contohnya
dinyatakan oleh RI3 seperti berikut :

“Dia boleh tunjuk perasaan melalui ekspresi wajah dengan baik. Ekspresi wajah dia
memang sesuai la. Macam sekarang dia dah boleh bercakap, ekspresi muka dia tu
memang selari dengan apa yang dia cakap tula. Kalau dia tengah happy,muka
happyla..,.dia suka, senyum, ketawa”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG Subjek 3 (RG3). Contohnya ditunjukkan dalam
dialog berikut :

“Ye...,ye. Dia boleh pamerkan emosi dia. Boleh tunjuk pelbagai ekspresi wajah sesuai
ikut situasi. Takdela dia menangis tiba-tiba tanpa sebab. Tak pernahla”. (TB:RG3:14
01 2022)
Dapatan temubual mendapati S3 boleh menunjukkan ekspresi wajah gembira, marah dan
geram. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI3. Contohnya ditunjukkan dalam dialog
berikut:
“Biasanya kalau main dengan adik beradik dia, dia memang suka...,gembira...,
Biasanya adik beradik dia akan layan dia main benda yang dia suka. Muka dia tu
memang nampak gembira sangat masa main. Lagi satu dia suka time baca buku.
Dia...,dia...,kalau suka sangat tu sampai dia menjerit. Macam mana nak cakap ye...,dia
terujala...,tapi cara dia teruja tu dia akan buat tangan dia macam ni (sambil
menunjukkan tangan bergetar) sambil dia ketawala. Yang lain tu...,macam
geram,marah...,boleh jugak. Abang dia selalu menyakat dia. Kalau dia tengah main,
abang dia ambil mainan dia, dia akan rampas semula mainan, jerit dan ketap bibir”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :
“Kalau suka, gembira dia akan senyum. Masa main dengan kawan-kawan dia tunjukla
ekspresi wajah gembira sambil melompat-lompat. Dia menangis kalau kawan-kawan
ambik mainan dia. Dia paling tak suka kawan dia bising. Dia akan tutup telinga
sambil menjerit. Kadang-kadang dia akan gigit bibir dia”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual bersama responden ibu bapa subjek 4 (RI4) ibu bapa dan responden
guru subjek 4 (RG4) juga mendapati S4 boleh menunjukkan ekspresi wajahnya. Ini dapat
dilihat berdasarkan dapatan temubual RI4. RI4 menyatakan :

64
“Dia boleh...,boleh menunjukkan ekspresi wajah. Dia boleh tunjuk ekspresi gembira,
sedih, marah. (TB:RI4:19.12.2021)

Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 dalam temubual menyatakan:

“Aaa...,errr...,Dia...,ekspresi wajah tu dia ada tapi...,emmm...,sekarang nila...,kita


tau...,kalau saya,saya tau mood dia macammana. Boleh nampak dari muka dia. Saya
tau samada dia gembira ke sedih ke melalui muka dia”. (TB:RG4:10.01.2022)
Berdasarkan dapatan temu bual mendapati S4 boleh menunjukkan ekspresi wajah gembira
dan marah. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI4. RI4 menyatakan:

“Emmm..Kalau dia suka tu...,melompat. Sambil tepuk tangan berlari. Masa main
dengan adik-adik dia dia suka, memang gembirala kan..,ketawa. Riuhla. Kalau marah
dia rentap tangan, menjerit. Dia selalu...,kalau marah...,kalau adik dia ambik makanan
dia. Kadang-kadang sampai berguling. Muka dia memang nampak marah sampai
merah. Muka dia nampak dia tahan geram”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“emm...,kalau suka...,aaa...,jap ye kene fikir sebab pakai mask kan, tapi dia boleh
tunjuk kalau gembira dia senyum. Contoh..,.aa...,contoh...,masa main di padang
dengan kawan-kawan dia memang suka. Senyum dan ketawa sepanjang main dengan
kawan-kawan dia. Kalau marah dia akan baring, hentak-hentak kaki. Kadang-kadang
dia selalu marah kalau tak dapat apa yang dia nak. Pernah juga dia marah, dia agresif
jugakla”. (TB:RG4:10.01.2022)

ii. Tindak balas terhadap ekspresi wajah

Dapatan temu bual mendapati subjek boleh menunjukkan tindakbalas terhadap ekspresi
wajah yang ditunjukkan oleh orang lain. Subjek memberikan tindakbalas terhadap ekspresi
wajah marah dan sedih. Ini didapati berdasarkan dapatan temubual RI dan RG. Berdasarkan
dapatan temubual RI1, pendapatnya dinyatakan dalam dialog berikut:

“Dari segi ekspresi wajah..,.ha…,kalau dia tengok kalau saya marah, aaa..,.dia
tau…,ni ummi marah…,dia tau…,aaa…,macam tu. Dia boleh faham ekspresi wajah
saya. Biasanya kalau saya tunjuk ekspresi wajah, dia ada tindakbalas juga. Contoh
kalau saya marah, saya pandang dia, bulatkan mata, dia senyap,tunduk. Dia pandai
minta maaf jugak. Dia akan cakap ‘ummi, senyum…,ummi…,senyumm’. Err…,kalau
sedih dia akan respons. Kalau saya sedih dia akan tanya, ‘mama, why u sad’. Dia
sekarang pandai cakap sikit-sikit tapi banyak guna Bahasa Inggeris la. Tindakbalas
terhadap ekspresi wajah yang lain saya tak pernah nampak lagi”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1, Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

65
“Emmm…,kadang-kadang dia faham ekspresi wajah yang saya tunjukkan. Ada masa-
masa dia. Selalunya sebelum ni dia susah nak pandang muka saya, dia buat dek jek.
Tapi sekarang ni, dalam kelas dia asyik bergerak tak duduk diam, saya pandang dia
buat muka marah, dia akan cepat-cepat duduk. Kalau kawan dia sedih pun dia boleh
pujuk, Dia dah pandai cakap, dia akan pergi kat kawan dia, tepuk-tepuk bahu kawan
tu. Kalau saya tunjuk ekspresi wajah gembira, teruja dan lain-lain lagi saya masih tak
nampak tindakbalas dia”. (TB:RG1:07.01.2022).
Berdasarkan dapatan temubual RI2 menjelaskan S2 boleh memahami ekspresi wajah yang
ditunjukkan oleh orang lain. S2 memahami apabila ibunya menunjukkan ekspresi wajah
marah dan sedih. Contohnya dinyatakan dalam dialog berikut :

“Kalau kita buat muka…,dia faham…,dia boleh tau. Saya suka main dengan dia, saya
tunjuk macam-macam ekspresi wajah, sebab nak tengok tindakbalas dia. Kalau saya
tunjuk muka marah dan sedih…,dia faham. Macam Zakiah pun mesti pernah
jugak…,kita stress…,tension dengan dia kan…,macam akak, akak silent aje, buat
mimik muka macam merajuk..,dia faham. Macam saya sedih dia datang, pandang
muka saya lama-lama dan lapkan air mata. Kalau nak marah tu, saya pandang lama-
lama, dia faham saya marah, tapi dia still lagi tak respons sangat. Kadang dia diam
jek. Kadang dia tau saya marah, saya tak layan dia…,kita buat dia macam tak exist
baru dia datang pujuk. Pujuk macam ni ‘comeynyer…,mama comelnyer’.
Kalau…,kalau…,ekspresi wajah yang lain rasa dia tak faham lagi, dia masih buat dek
la orang katakan. Yela budak macam tu kan. Dia boleh faham baik buruk pun da
syukur sangat”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual guru RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut:

“Aaa…,dia faham…,Dia boleh faham sikit-sikitla ekspresi wajah yang saya tunjuk.
Kalau macam kita marah, kita bulatkan mata…,kalau dia berjalan dalam kelas, kita
buat mata bulat…,dia faham la kita marah. Cuma tindakbalas dia bila saya buat
ekspresi wajah marah tu selalunya dia tengok jek muka saya. Dia tak buat apa-apa.
Kalau saya marah, dia pandang lantai, Kalau dengan kawan-kawan pun dia ada tunjuk
reaksi dia la. Saya pernah tengok bila kawan dia sedih, dia pergi kat kawan dia,
pandang muka kawan dia. Macam dia faham yang kawan dia tengah sedih.
Macam…,bila kawan dia marah dia, dia akan datang mengadu kat cikgu, dia bagitau
la nama kawan yang marah dia tu. Kalau ekspresi wajah lain yang saya tunjuk macam
seronok, suka, gembira, takut dia tak faham lagi rasanya. Dia masih buat tak tau jek”.
(TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual RI3 menjelaskan S3 boleh menunjukkan tindakbalas terhadap ekspresi
wajah yang ditunjukkan RI3 dan RG3. Ianya dinyatakan seperti berikut :
“Aaa..,.dia…,aa…,dari segi ekspresi wajah kita dia cekap. Dia detect kita punya
expression. Kalau kita sedih…,dia akan sedih jugak. Anak saya ni emosi dia
tinggi..,dia peka dengan perasaan kita..,.aaa…,eerr…,dia tau…,macam kadang gaduh
ngan ayah dia…dia tanya in English ‘why you argue’. Macam tula. Kalau kita marah
ayah dia…,dia marah kita pulak. Dia rapat ngan ayah dia kan. Dia cekap…,dia tau
sape suka dia, sape tak suka…,dia dapat tengok…,dia rasa kot…,kan instinct diorang
kuat”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. RG3 menyatakan :

66
Aaa...,dia tau...,dia tau. Dia faham...,faham. Bila saya pandang lain macam, dia taula tu saya
tengah marah. Dia pulak pandang saya. Macam mintak penjelasan la kan. Kenapa saya
marah. Kadang-kadang dia lebih faham. Dia macam concern sangat. (TB:RG3:14 01 2022)
Manakala S4 boleh memahami ekspresi sedih. Contohnya dalam ayat berikut :
Dia faham…,dia faham. Kalau kita sedihkan. Dia pergi kat muka kita tengok air mata
kita. Pegang….,dia kesat. Aaa…,kalua buat muka marah, dia tak takut. Dia balas
balik. Ha. Dia suka, suka mengusik saya. Kalau saya marah tu dia ketawa pulak. Tak
taula dia sengaja ke dia tak faham. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong oleh temubual RG4. Ianya dinyatakan seperti berikut :

Dia faham kalau saya tunjuk muka sedih. Kadang-kadang saja main-main ngan dia
kan. Buat merajuk macam tu. Dia ambik berat jugak. (TB:RG4:10.01.2022)

iii. Respons apabila dipanggil

Dapatan kajian mendapati perkembangan subjek dalam aspek respons semakin meningkat.
Subjek boleh memberikan respons, respons semakin baik dan peningkatan ketara dapat
dilihat. Antara respons positif yang ditunjukkan oleh subjek ialah memberikan respons
apabila dipanggil.

Berdasarkan dapatan temubual menjelaskan subjek memberikan respons dengan cepat


apabila dipanggil. Subjek akan memandang dan menyahut terutama apabila dipanggil dengan
nada yang kuat. Namun begitu subjek tidak memberikan respons terhadap panggilan apabila
sedang melakukan sesuatu yang diminati ataupun ketika bermain.

Ianya dijelaskan berdasarkan temubual bersama RI1 dan RG1. S1 boleh memberikan
respons apabila namanya dipanggil. S1 akan menyahut dan memandang ke arah ibu atau
gurunya. Hanya apabila S1 sedang fokus melukis, S1 tidak memberikan respons terhadap
panggilan. Ianya dijelaskan oleh RI1 yang menyatakan :

“Respons dia lebih positif. Dia dah boleh respons dengan baik. Emm..,Aiman dia akan
responsla. Dia akan menyahut. Aaa...,kadang sekali, dua kali panggil...,dia datangla.
Macam saya panggil, Aiman datang kejap ye..,dia akan jawab...’,ye, Aiman datang.
Saya suruh jemur kain...,saya cakap...,Aiman jemur kain ni ye. Dia akan terus buat”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui kenyataan oleh RG1 yang menyatakan seperti berikut :

Panggil...,emmmm...,panggil nama dia, dia akan pandang saya. Kalau dulu panggil
banyak kali dia buat tak endah, tapi sekarang panggil sekali dua je dia dah tunjukkan
respons. Ada masa cepat je dia menyahut ‘Ya’ bila saya panggil nama dia. Tapi satu

67
jekla, emm... ,apa...,kalau dia melukis dia tak peduli dah. Saya panggil pun dia takkan
menyahut takkan pandang dah”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan juga mendapati S2 boleh menunjukkan respons yang baik. Ini dapat dilihat
berdasarkan dapatan temubual RI2. Ianya dijelaskan melalui penyataan berikut :

“Err...,Alhamdulillah. Lepas akak hantar terapi renang ni nampak sangat perubahan


positif dia. Nampak development dia. Boleh kata, respons dia sangat baik”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menyatakan seperti berikut :

“Dia boleh memberikan respons yang baik. Dari segi respons boleh dikatakan saya
nampak peningkatan yang ketara”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan juga mendapati S2 boleh menunjukkan respons yang baik apabila dipanggil.
S2 akan menyahut dan menoleh. Namun begitu, perlu dipanggil dengan nada yang kuat. Ada
kala juga S2 tidak mengendahkan panggilan. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual
RI2 melalui penyataan berikut :

“Akak boleh nampak perubahan. Kalau kita panggil nama...,walau macammmana


keadaan memang dia toleh...,datang dekat kita. Contoh macam sekarang ni saya
panggilkan (sambil memanggil nama anaknya). Ha...,tu dia datang. Tapi panggil kena
nada kuatlah. Dia tengah main ke tengok tv pun dia akan pandang. Sekarang dia dah
pandai cakap dia akan menyahut ‘ya’. Tapi gitula kena panggil dengan kuat”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menyatakan seperti berikut :

“Aaaa...,kalau panggil tu dia dengar...,eerrr...,macam suruh buat kerja dia buatla.


Aaa..., kalau panggil dia terus toleh. Dia respons dengan cepat. Sekali atau dua kali
panggil dia akan menoleh. Dia akan jawab panggilan guru. Cuma...,ada juga masa
kalau dia tengah main, dia tak respons. Dia buat tak dengar jek”.
(TB:RG2:11.01.2022).

Dapatan temubual ibu bapa dan guru S3 mendapati S3 menunjukkan peningkatan dari
aspek respons. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual ibu bapa RI3. Contohnya
dalam ayat berikut:

“Respons dia sangat baik kalau berbanding sebelum ini memang meningkat’.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Dari segi respons ada peningkatan Dia boleh faham, dia boleh respons tapi kurang
fokus”. (TB:RG3:14 01 2022)

68
Dapatan temubual ibu bapa dan guru S3 mendapati S3 menunjukkan respons apabila
namanya dipanggil. Namun begitu, S3 tidak memberikan respons ketika dia sedang bermain.
Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual ibu bapa RI3 dalam ayat berikut:

“Aaaa…,setakat ni…,sekarang ni la…,macam ni…,bila kita panggil nama dia


tu…,kita panggil sekali tu dia buat bodoh jek. Dia dalam dunia dia kan.
Dia…,memang dia akan toleh kecuali dia tengah main mainan yang dia suka. Dia
suka main tanah liat jadi dia betul-betul akan fokus kat situ. Aaa...,bila kita panggil a
few time baru dia respons. Kalau saya memang saya akan pergi dekat dia…,pegang
dia…,tengok muka dia dan cakap baru dia akan fokus. Cuma start lebih kurang awal-
awal taun ni…,start ajak dia solat. Bila kita panggil dia tu…,cakap solat, dia cepat
datang”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3 yang ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Kadang-kadang saya panggil nama dia, mungkin kali pertama, dia sibuk main dia
punya mainan. Mungkin kali kedua dia akan respons. Dia toleh pada saya”.
(TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual bersama ibu bapa dan guru S4 juga mendapati S4 boleh
menunjukkan respons yang baik. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual RI4. Ianya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Respons dia elok…,kalau banding sebelum ini mungkin tak banyak tapi boleh kata
ada meningkat jugakla”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Kalau banding sebelum ini lebih baik. Ada peningkatan...,mungkin tak ketara
sangat”. (TB:RG4:10.01.2022)
Dapatan temubual bersama ibu bapa dan guru S4 juga mendapati S4 boleh
menunjukkan respons terhadap panggilan. Namun begitu, ketika bermain atau menonton
cerita kesukaannya, S4 tidak memberikan respons terhadap panggilan. Dapatan juga
mendapati, S4 akan memberikan respons apabila dipanggil dengan nada yang kuat. Ini dapat
dilihat berdasarkan dapatan temubual RI4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Kalau panggil kuat-kuat tu dia kalih..., memang dia pandang la sekejap. Tapi kalau
dia tengah ralit main ataupun tengah tengok cerita yang dia suka, dia masih buat tak
endah. Kalau panggil...,contoh ‘Fahmy, ambik sudu’, dia datang. Minta tolong ngan
dia mudah. Dia ok...,rajin. Kalau nak jalan kita panggil ‘Fahmy, jom jalan’. Lagi
cepatla”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui pernyataan daripada RG4 seperti berikut :

“Aaa...,eerr...,dia tau kalau kita panggil dia. Kalau kita nak suruh dia buat kerja,
panggil dia…,’Fahmy,datang sini’. Ok…,dia datang. Kiranya dia alert jugakla.
Cumanya kalau dia tengah main mainan yang dia suka, kadang-kadang tu lambat la

69
respons dia. Sama juga kalau dia tengok cerita upin ipin, kadang-kadang bagi ganjaran
saya akan bagi dia tengok cerita yang dia suka. Masa tengok tu kalau saya panggil dia
buat tak tahu jek la. Panggil dengan kuat baru dia akan toleh. (TB:RG4:10.01.2022)

iv. Respons apabila ditunjukkan objek yang menarik


Dapatan mendapati subjek boleh memberikan respons dengan baik apabila
ditunjukkan objek yang menarik terutama objek yang disukai. Antara respons yang
ditunjukkan subjek ialah memandang objek, menunjukkan minat dan cuba memegang objek.
Ianya dijelaskan berdasarkan temubual RI dan RG. Menurut temubual RI1 dan RG1
menyatakan S1 memberikan respons apabila ditunjukkan objek yang disukai.

“Dia dah boleh respons dengan baik...,bila saya tunjukkan sesuatu yang menarik.
Contoh kalau dulu pergi zoo, saya tunjuk haiwan dia memang langsung tak pandang.
Gajah yang besar pun dia tak pandang. Sekarang dia akan beri respons, dia akan
pandang”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Berdasarkan temubual dengan RG1 mendapati
S1 memandang objek, menunjukkan minat dan cuba memegang objek. Ianya dinyatakan oleh
RG1 seperti berikut:
“Bila saya tunjukkan sesuatu, dia akan pandang dan akan cuba pegang objek tu.
Sebelum ini, kalau saya tunjuk apa-apa pun dia tak pandang, buat dek kan orang kata.
Macam sekarang, dia mula minat terhadap objek-objek baru yang saya tunjukkan. Dia
datang tengok”. (TB:RG1:07.01.2022).
Selain itu, dapatan juga menjelaskan subjek boleh menunjukkan kemahuannya dengan jari
Berdasarkan temubual mendapati subjek boleh menunjukkan kemahuan dengan jari. Dapatan
temubual bersama RI1 seperti berikut:

“Biasanya dia akan cakapla. Dia tunjuk apa yang dia nak terutama benda yang dia
sukala. Errr…,macam nak…,nak..,.nak minta tolong…,macam…,haa…,dia suka main
komputer…,dia akan panggil minta saya tunjukkan macammana nak
tekan…,errr…,macam tula. Errr…, contoh macam benda dia tak tau..,.contahla
macam haiwan kan…,first time dia tengok, dia tak tau apa…,dia akan panggil
sayala…,tunjuk gambar tu,dia tanya…,’Ummi ni haiwan apa? Errr…dia boleh
tunjukkan…,macam sebelum ni dia akan tarik tangan saya, dia tak pandai nak tunjuk
dengan jari dia sendiri”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1, Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Dia sendiri pun dah boleh tunjuk kalau dia nak sesuatu. Contoh masa Pendidikan
Jasmani, dia akan tunjuk dia nak bola, dia nak raket”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S2 akan melihat ke arah objek yang ditunjukkan
dan cuba memegang objek. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI2. RI2
menyatakan:

70
“Alhamdulillah la. Makin lama...,makin baik. Dia menunjukkan respons yang baik.
Dia tengok objek yang saya tunjukkan. Sebenarnya budak macam ni...,dia boleh
respons...,Cuma nak ada cara dia la. Nak kena latih. Jadi saya nampak masa kelas
renang...,mungkin dia minatkan, jadi coach dia masa renang banyak masuk elemen-
eleman lain tu. Tu yang bantu perkembangan dia jugak. Contoh sekarang kalau saya
tunjuk mainan, memang dia akan pandang dan ambil mainan tu”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Dialog RG2 adalah seperti berikut :

“Emmm...,kalau tunjuk yang saya mengajar tu, kadang dia responsla. Macam
semalam buat aktiviti yang dia suka, tampal-tampal...,dia pandang, dia faham nak
kena tampal objek-objek tu pada kertas...,dia buatla. Dia pegang benda tampal-tampal
tu, dia lekat-lekat”. (TB:RG2:11.01.2022).
Berdasarkan dapatan temubual RI2 , S2 juga boleh menunjukkan kemahuannya. Pendapatnya
dinyatakan dalam dialog berikut:

“Haa. Sekarang ni…,dia kalau nak sesuatu…,dia pandai tunjuk apa yang dia nak. Nak
makanan contohnya kalau pagi dia nak minum susu dia akan tunjuk pada saya susu.
Kalau nampak yang yang dia suka, dia akan tunjuk. Sekarang ni macam…, kalau kata
…,masa berjalan contohnya, bila nampak pasar malam dia akan bagi isyarat suruh
berhenti. Dia akan pergi ke gerai cendol yang dia suka tu.. Kalau dia nampak taman
mainan pun dia akan tunjuk dan suruh berhenti. Lagi…,kalau macam dia nak KFC,
masa duk rumah, dia taknak cakap, dia cari iklan KFC kat youtube dia tunjuk…,dia
cakap ‘sedapnyerrrr.’ Kita fahamlakan”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong oleh temubual RG2. RG2 menyatakan :
Dia boleh tunjuk. Kalau dia nak, dia tunjukla. Kadang-kadang saya bagi jugak dia
main, dia tunjukla nak mainan yang mana. (TB:RG2:11.01.2022).

Manakala bagi S3 pula dapatan temubual mendapati S3 memberikan respons apabila


ditunjukkan objek yang dia suka sahaja. S3 akan pandang dan memegang objek yang disukai.
Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI3. Contohnya ditunjukkan dalam dialog
berikut:

“Dia akan pandang pada objek-objek yang saya tunjuk especially yang dia suka.
Lately ni dia suka ikankan. Kalau lalu depan kedai pet shop tu takyah saya tunjuk
da...,dia dah tau..,.,.dia cakap nak fish..nak fish...,Dia tak boleh cakap ayat
panjang...,dia cakap ulang-ulang gitula. Tu kalau yang dia sukala. Kalau yang dia tak
suka, jarang dia nak pandang”. (TB:RI3:12.12.2021
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :
“Dia akan pandang lama kalau tunjukkan objek yang dia suka. Kalau yang dia minat,
dia akan cuba pegang. Kalau yang dia tak minat, dia hanya pandang sahaja”.
(TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual RI3 juga menjelaskan S3 boleh menunjukkan keinginannnya. RI3
menjelaskan seperti berikut:

71
“Aaa..ye..dia takde masalah..dia nak..dia tunjuk jekla..gitula kalau dia nak apa-apa”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. RG3 menyatakan :
“Tunjuk...,aaa...,dia pandai. Dia nak apa-apa dia tunjukla. Tapi kalau saya tak respons
cepat, dia tarik tangan saya. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 memberikan respons apabila ditunjukkan objek yang
dia suka sahaja. S4 menunjukkan reaksi suka dan teruja. Ianya di nyatakan dalam temubual
bersama RI4. RI4 menyatakan :

“Dia akan tengok benda yang dia suka. Contoh kalau saya tunjuk lampu-lampu yang
warna warni dia pandangla. Bila saya tunjuk gambar-gambar dinasor dia suka...,
teruja. Dia tunjuk tu susahla...,kalau dia nak. Macam pagi...,dia nak susu campur
coklat. Dia bawak keluar siap-siap dah balang-balang tu. Dia ambik semua sudu
cawan. Macam pergi pasar malam kan. Dia ada suka sup. Dia akan turun kereta terus
lari. Dia pergi betul-betul depan gerai sup tula. Dia tunjuk tu memang jarang”.
(TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Kalau yang dia tak minat, dia tengok sekejap je. Contoh saya tunjuk mainan yang
baru, kalau yang dia minat dia akan ambil dan main. Kalau objek yang dia minat
contoh dia minat dinasor, jadi bila saya tunjuk gambar-gambar dinasor dia excited
sangatla. Kalau buat aktivti contoh..aaa..errr..aktiviti nak guna gunting..Saya tunjuk
gunting..dia faham..dia boleh ambikla gunting..Contoh lagi dalam kelas ada box nama
diakan,,Kita akan cakap ‘Fahmy ambil box’...,dia tau dia punya”.
(TB:RG4:10.01.2022)

v. Respons terhadap bunyi

Dapatan temubual juga mendapati subjek boleh memberikan respons terhadap bunyi dan
peka serta fokus terhadap bunyi walaupun bunyi yang perlahan. Subjek akan teruja
mendengar bunyi dan akan datang ke arah bunyi yang diperdengarkan terutama bunyi yang
disukai. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI1 yang menjelaskan S1 memberikan
respons baik terhadap bunyi walaupun bunyi yang perlahan terutama cerita kesukaannya. RI1
menyatakan seperti berikut:

“Respons dia terhadap bunyi sangat baik. Kalau pasang tv dengan volume perlahan
pun dia boleh dengar terutama kalau cerita-cerita yang dia suka”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

72
“Dia sangat peka terutama bunyi yang dia suka. Bunyi yang perlahan pun dia akan
toleh. Dia ni dia suka dengar nasyid, kalau nak tarik perhatian dia, pasangkan lagu
nasyid, walaupun perlahan dia cepat-cepat akan datang”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S1 boleh mengawal respons apabila mendengar bunyi bising.
Subjek tidak lagi menunjukkan tingkah laku luar kawal apabila mendengar bunyi bising
seperti menutup telinga, menjerit, menyorok dan melarikan diri. Ianya di nyatakan dalam
temubual bersama RI1. RI1 menyatakan seperti berikut:

“Kalau dulu dia sensitif terhadap sesetangah bunyi contoh bunyi blender atau vakum,
dia akan tutupkan telinga. Tapi sekarang dia dah boleh terima bunyi-bunyi tu”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :
“Kalau dulu dia sensitif juga kalau dengar bunyi bising, contoh bunyi mesin rumput
atau kalau kawan-kawan dia bising dia akan tutup telinga atau menjerit, tapi sekarang
dah semakin ok. Dia boleh kawal”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S2 juga memberikan respons yang baik terhadap
bunyi walaupun bunyi yang perlahan. S2 peka terhadap bunyi, fokus dan teruja serta
menunjukkan minat dengan datang ke arah bunyi tersebut. Ianya dinyatakan dalam temubual
bersama RI2. Contohnya dinyatakan dalam dialog berikut:

“Respons terhadap bunyi sangat baik. Dia boleh fokus terhadap bunyi-bunyi tertentu.
Bunyi yang dia suka bunyi-bunyi siren. Kalau dengar bunyi siren-siren ni dia sangat
‘excited’. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut :

“Dia boleh bagi respons yang baik walaupun bunyi yang perlahan. Dia peka terhadap
bunyi. Dia boleh fokus terhadap bunyi-bunyi contoh saya pasang bunyi haiwan, dia
akan respons, dia datang dan minat nak dengar”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S2 mengawal respons apabila mendengar bunyi
bising. Ianya dinyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya dinyatakan dalam dialog
berikut:

“Dulu kalau bunyi bising dia akan tutup telinga. Kadang-kadang lari macam takut,
sekarang ni dia ok dah. Dia tak lari dah. Cuma kalau bising sangat dia tutup telinga”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut :
‘Aaa...,Kalam takde masalah benda macam tu...,Bunyi-bunyi bising dia dah boleh
terima. Respons dia bila dengar bunyi bising dia tutup telinga juga tapi sekejap jekla.
Kalau dulu dia lari...,macam dia takut”. (TB:RG2:11.01.2022).

73
Dapatan temubual juga mendapati S3 peka dan boleh menunjukkan respons yang baik
terhadap bunyi walaupun bunyi perlahan. S3 akan datang ke arah bunyi. Ianya di nyatakan
dalam temubual bersama RI3 yang menyatakan :

“Respons dia terhadap bunyi-bunyi sangat baik, contoh bunyi yang perlahan pun dia
boleh dengar dengan baik. Memang dia tak mengalami masalah pendengaran”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Dia peka terhadap bunyi walaupun bunyi yang perlahan. Dia suka tengok cerita upin
ipin, kadang-kadang saya saja nak test, pasang cerita dengan bunyi yang perlahan pun,
dia akan cepat-cepat datang”. (TB:RG3:14 01 2022)
Namun begitu, dapatan temubual mendapati S3 masih mengalami masalah apabila
mendengar bunyi bising namun telah berkurang. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama
RI3. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dia ada masalah...,bila dengar bunyi bunyi motor yang kuat, dia akan lari, sembunyi,
tutup telinga. Kadang-kadang dia macam marah bila dengar bunyi bising...,dia akan
menjerit. Sekarang ni masih lagi tak boleh dengar bunyi ni. Cuma reaksi dia tu ada
berkurang sikitla”. (TB:RI3:12.12.2021)

Dapatan ini disokong oleh temubual bersama RG3. Contohnya dalam dialog berikut :
“Dia ada masalah jugak bila dengar bunyi bising ni. Dia tak selesa kalau pasang
bunyi kuat-kuat. Contoh...,macam...,pasang lagu kan. Nampak dia tak suka. Dia tutup
telinga. Kadang dia macam jalan tak tentu arah”. TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual mendapati S4 boleh menunjukkan respons yang baik terhadap
bunyi yang disukainya. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI4. RI4 menyatakan:

“Dia boleh beri respons yang baik walaupun bunyi yang perlahan. Tapi...,bunyi yang
dia suka la. Sekarang ini dia suka dengar muzik biola, kalau pasang muzik biola
perlahan pun cepat-cepat dia datang. Kalau bunyi-bunyi lain dia tak beri perhatian
sangat. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Aaa...,contoh saya tayang video...,bila dengar bunyi yang dia suka, dia responla. Ibu
dia ada bagitau dia suka dengar bunyi biola. Kalau nak tarik perhatian dia, saya akan
pasangkan bunyi biola. Mula-mula tu dia intai-intai sikit,lama-lama dia
datang...,macam tula. Dia akan bagi tumpuan. Tapi, kalau saya cuba pasang bunyi-
bunyi muzik yang lain, takde respons”. (TB:RG4:10.01.2022)
Namun begitu, dapatan temubual mendapati S4 masih mengalami masalah apabila
mendengar bunyi bising namun telah berkurang. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama
RI4 yang menyatakan:
74
“Masalah dengan bunyi bising nampak berkurang. Kalau dulu dia sangat tak
suka...,bila dengar bunyi bising dia tutup telinga lepas tu menjerit. Kadang-kadang dia
menyorok. Bunyi tv yang kuat pun kalau dulu dia tak boleh dengar. Sekarang dia dah
boleh kawal, cuma masih nampak dia tak suka”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Kalau fahmy..,.errr...,bunyi bising ye...,kalau fahmy macam baru ni perhimpunan


kita pasang lagu, dia tutup telinga sekejap. Tapi tak lama macam dulu la. Kalau dulu
dia macam tak boleh duduk kat perhimpunan. Dulula kawan-kawan bising pun dia
marah. Sekarang da ok sikit, boleh control”. (TB:RG4:10.01.2022)

vi. Respons terhadap nada suara

Dapatan mendapati subjek memberikan respons yang sesuai terhadap nada suara. Ianya
dijelaskan berdasarkan temubual RI dan RG. Dapatan temubual mendapati S1 memberikan
respons yang tepat terhadap nada suara samada kuat atau perlahan. Ianya di nyatakan dalam
temubual bersama RI1. RI1 menyatakan seperti berikut:

“Dia faham...,sangat faham..especially bila saya tinggikan suara, dia tahu saya tengah
marah. Bila saya cakap dengan nada perlahan, dia akan datang dekat...,dia fokus,
dengar, pandang saya. Dia tryla nak faham apa yang saya cakap”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :
“Kalau saya cakap kuat tu dia faham saya minta dia berikan tumpuan. Kalau saya
tinggikan suara, dia faham saya sedang marah. Kalau saya cakap dengan nada
perlahan pun respons dia sangat baik, dia akan pandang dan mendengar dengan
tekun”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 memberikan respons tepat terhadap nada suara kuat atau
tinggi. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI2 yang ditunjukkan dalam dialog
berikut:

“Haah. Dia takut...saya tengking...,dia faham...,nada suara saya. Kalau saya kuatkan
suara, dia tahu saya marah...,saya nak dia tumpukan perhatian. Tapi memang kena
tegas...,kena garang. Cakap slow-slow tak mau dia...,tak peduli”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Aaa...,dia faham. Kalau saya suara tinggi tu, dia tengok. Dia suka berjalan-jalan
dalam kelas, bila saya tinggikan suara suruh dia duduk, dia dudukla...,dia faham saya
marah dia akan cepat-cepat duduk. (TB:RG2:11.01.2022).

75
Dapatan temubual juga mendapati S3 boleh memberikan respons apabila mendengar
nada suara kuat . Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI3. Contohnya ditunjukkan
dalam dialog berikut:

“Aaa...,nada suara...,respons dia...,baik...,ambik masa jugak saya train. Kalau saya


tinggikan suara memang dia tahu saya marah atau saya beri arahan. Jadi dia fokusla.
Cuma kebanyakan masa saya kena cakap dengan nada yang kuat, sebab dia kalau
cakap perlahan dia kurang bagi perhatian. Kena cakap dengan nada tinggi baru dia
akan fokus. Memang kena tegasla dengan anak macam ni”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Dengan dia memang kena cakap dengan kuat. Kalau nak dia pandang kena kuatkan
suara tapi dia faham nada suara saya tu samada saya marah atau tidak”. (TB:RG3:14
01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 boleh memberikan respons terhadap nada suara
yang kuat. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI4. RI4 menyatakan:

“Dia hanya faham kalau saya tinggikan suara bermakna saya marah. Sebenarnya
kadang-kadang saya tak marah, tapi kalau cakap perlahan dia tak beri perhatian, jadi
kena cakap kuat”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :
“Selalunya kalau nak beri arahan, memang kena guna nada tinggi la. Kalau saya
cakap kuat, dia akan lebih fokus. Selalunya dia akan rasa saya marah dia bila saya
cakap kuat. Aaa...,macam dia suka lompat-lompat kan..,so saya just tinggikan suara.
Jadi dia akan tunduk, duduk diam dan dengar arahan saya. (TB:RG4:10.01.2022)

4.3.1.3 Pemerhatian

Dapatan pemerhatian menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas di
atas. Pemerhatian dilaksanakan oleh jurulatih renang menggunakan senarai semak
pemerhatian yang telah disediakan penyelidik. Jurulatih juga membuat catatan berkenaan
perkembangan subjek berdasarkan item-item di dalam senarai semak tersebut. Bagi aspek
ekspresi wajah terdapat dua item yang dinilai. Manakala bagi aspek respons terdapat lima
item yang dinilai.

JADUAL 4.1
Analisis Dapatan Pemerhatian Kemahiran Komunikasi
Item Skor Subjek
1.1 Ekspresi wajah S1 S2 S3 S4
A1. Menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah sesuai 3 3 3 3

76
mengikut keadaan atau situasi. (contoh: perasaan gembira,
sedih dll).
A2. Memahami dan menunjukkan tindak balas yang sesuai 2 2 1 1
berdasarkan ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh jurulatih.
1.2 Respon
A3. Memusingkan badan atau kepala ketika namanya 3 3 2 2
dipanggil.
A4. Menunjukkan keinginannya dengan menggunakan 3 3 2 1
isyarat jari.
A5. Melihat ke arah objek apabila jurulatih menunjukkan 3 3 2 2
sesuatu objek.
A6. Memahami nada suara jurulatih sama ada jurulatih 3 3 2 2
sedang marah dll.
A7. Memberikan respons yang sesuai apabila jurulatih 3 3 3 2
menggelengkan kepala atau menyebut ‘jangan.

Skala : 1 - Tidak pernah 2 - Kadang-kadang 3 – Selalu

i. Item A1 iaitu ‘Menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah sesuai mengikut


keadaan atau situasi.’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah kanak-kanak ini
boleh menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah sesuai mengikut keadaan atau situasi.
Bagi item ini, keempat-empat subjek kajian mendapat skor 3 iaitu ‘selalu’. Semasa
pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa keempat-empat sampel kajian
menunjukkan perasaan melalui ekspresi wajah sesuai mengikut keadaan atau situasi yang
berlaku. Contohnya subjek menunjukkan ekspresi wajah gembira. Ianya dijelaskan seperti
berikut :

Apabila jurulatih memberikan mainan yang subjek suka, subjek akan menunjukkan
ekspresi gembira iaitu S1 dan S3 senyum dan suka sambil memegang mainan tersebut.
Manakala S2 akan mengambil mainan, tersenyum dan terus menunjukkan kepada ibunya.
Sementara S4 memegang mainan dan sangat teruja sehingga melompat.

Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih juga mendapati bahawa keempat-empat


sampel kajian menunjukkan ekspresi wajah marah. Contohnya apabila kawan-kawannya
mengambil mainan daripada subjek, subjek akan menunjukkan ekspresi marah. S1
membulatkan mata. Sementara S2 dan S3 mengetapkan bibir. S4 pula menjerit dan
menghentak-hentak kaki.

Dapatan pemerhatian juga menjelaskan subjek boleh menunjukkan ekspresi sedih.


Contohnya apabila jurulatih mengambil semula mainan yang diberikan, subjek akan

77
menunjukkan ekspresi sedih iaitu S1 menunjukkan muka masam, S2 memalingkan muka dan
menangis. Manakala S3 dan S4 akan menangis dan menjerit.

ii. Manakala bagi item A2 merujuk kepada pernyataan ‘Memahami dan menunjukkan
tindak balas yang sesuai berdasarkan ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh jurulatih’. Item
ini dirangka bertujuan untuk mengetahui adakah subjek boleh memahami perasaan melalui
ekspresi wajah dan memberikan tindak balas yang sesuai terhadap ekspresi wajah yang
ditunjukkan oleh jurulatih .

Bagi item A2, S1 dan S2 menunjukkan skor 2 iaitu ’kadang-kadang’. Semasa


pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa S1 dan S2 boleh memberikan tindak
balas yang sesuai terhadap ekspresi wajah marah yang ditunjukkan oleh jurulatih. Contohnya,
S1 akan menundukkan pandangan apabila jurulatih menunjukkan ekspresi wajah marah,
manakala S2 akan duduk diam di tepi kolam. S1 dan S2 juga boleh memahami dan
memberikan tindak balas yang tepat apabila jurulatih menunjukkan ekspresi wajah sedih.
Contohnya apabila S1 dan S2 tidak mengikut arahan jurulatih, jurulatih menunjukkan
ekspresi wajah sedih, S1 akan datang kepada jurulatih dan memeluk jurulatih. Sementara S2
akan datang mencium jurulatih.

Namun begitu, bagi item A2, S3 dan S4 mendapat skor 1 iaitu ‘tidak pernah’. S3 dan
S4 tidak memberikan tindakbalas terhadap ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh jurulatih.
Apabila jurulatih menunjukkan ekspresi wajah marah, S3 dan S4 tidak memahami ekspresi
wajah yang ditunjukkan. S3 dan S4 hanya bertindakbalas apabila jurulatih meninggikan
suara.

iii. Item A3 iaitu ‘Memusingkan badan atau kepala ketika namanya dipanggil’ adalah
bertujuan untuk mengetahui adakah kanak-kanak menunjukkan respons apabila namanya
dipanggil. Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan mendapati S1 dan S2 menunjukkan
skor 3 iaitu ‘Selalu’ bagi item ini. S1 dan S2 akan menoleh kepada jurulatih apabila dipanggil
dan menyahut panggilan jurulatih. Manakala S3 dan S4 menunjukkan skor 2 iaitu ‘kadang-
kadang’ bagi item ini. S3 dan S4 akan menoleh hanya apabila jurulatih memanggil dengan
suara yang kuat. Kadang kala S3 dan S4 tidak mengendahkan panggilan jurulatih.

iv. Dapatan pemerhatian bagi item A4 merujuk kepada pernyataan ‘Menunjukkan


keinginannya dengan menggunakan isyarat jari.’. Item ini dirangka bertujuan untuk

78
mengetahui adakah subjek boleh menunjukkan apa yang dia mahu dengan menggunakan
isyarat jari. S1 dan S2 menunjukkan skor 3 iaitu selalu, S3 menunjukkan skor 2 iaitu
‘kadang-kadang’. Manakala S4 menunjukkan skor 1 iaitu ‘tidak pernah’. Semasa pemerhatian
dilaksanakan, jurulatih memberikan beberapa alatan untuk dipilih. S1,S2 akan menunjukkan
pilihannya dengan jari setiap kali jurulatih meminta subjek untuk memilih peralatan.
Manakala S3 pula kadang-kadang menunjukkan dengan jari dan adakalanya menarik tangan
ibunya untuk dan meminta ibunya untuk memilih peralatan. Seterusnta S4 pula akan menarik
tangan jurulatih atau adik-adiknya ke arah alatan yang dikehendakinya.

v. Laporan dapatan pemerhatian melalui item A5 iaitu ‘Melihat ke arah objek apabila
jurulatih menunjukkan sesuatu objek’ adalah bertujuan untuk mengetahui adakah kanak-
kanak menunjukkan respons apabila ditunjukkan objek-objek yang menarik. S1 dan S2
mendapat skor 3 iaitu ‘selalu’. Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati
bahawa S1 dan S2 akan memandang dan memegang objek yang ditunjukkan. Contohnya
apabila jurulatih menunjukkan peralatan-peralatan seperti pelampung, ‘goggle’ , S1 dan S2
sangat teruja dan terus memegang peralatan yang ditunjukkan. Manakala S3 dan S4
mendapat skor 2 iaitu ‘kadang-kadang’. Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih
mendapati bahawa S3 dan S4 hanya memandang dan memegang objek yang disukai sahaja.
Ini dapat dilihat apabila jurulatih menunjukkan peralatan-peralatan seperti pelampung,
‘goggle’ dll, S3 dan S4 hanya memegang pelampung. S3 dan S4 tidak menunjukkan minat
terhadap peralatan yang lain.

vi. Laporan dapatan pemerhatian bagi Item A6 iaitu ‘Memahami nada suara jurulatih
sama ada jurulatih sedang marah dll.’ adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek
menunjukkan respons terhadap nada suara daripada jurulatih dan memahami nada suara yang
dikeluarkan. S1 dan S2 mendapat skor 3 iaitu ‘selalu’. Semasa pemerhatian dilaksanakan,
jurulatih mendapati bahawa S1 dan S2 menunjukkan respons terhadap nada suara samada
kuat atau perlahan. S1 dan S2 juga memahami apabila jurulatih meninggikan suara
menunjukkan jurulatih sedang marah. S1 dan S2 akan menundukkan kepala apabila dimarahi.
S1 dan S2 juga memberikan tumpuan apabila jurulatih memberikan arahan walaupun dengan
suara yang perlahan. S1 dan S2 beri perhatian terhadap arahan jurulatih dan boleh memahami
arahan yang diberikan. Manakala S3 dan S4 mendapat skor 2 iaitu ‘kadang-kadang’. Semasa

79
pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa S3 dan S4 menunjukkan respons
apabila jurulatih meninggikan suara. S3 dan S4 akan merasakan diri mereka sedang dimarahi.
Namun begitu, S3 dan S4 kurang fokus apabila jurulatih bercakap dengan perlahan.

vii. Bagi item A7 iaitu ‘Memberikan respons yang sesuai apabila jurulatih
menggelengkan kepala atau menyebut ‘jangan’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui
adakah subjek menunjukkan respons yang betul apabila jurulatih menggelengkan kepala atau
menyebut ‘jangan’. S1, S2 dan S3 mendapat skor 3 iaitu ‘selalu’ bagi item ini. Ketiga-tiga
subjek memberikan respons iaitu berhenti dan memandang jurulatih apabila jurulatih
menggelengkan kepala ataupun menyebut jangan. Manakala S4 mendapat skor 2 iaitu
‘kadang-kadang’. S4 hanya bertindakbalas apabila jurulatih menyebut jangan. S4 tidak
bertindakbalas apabila jurulatih menggelengkan kepala tanpa menyebut jangan.

Berdasarkan triangulasi data antara temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas dan
triangulasi data antara temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti renang
berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi
menjelaskan subjek menunjukkan perkembangan positif dalam aspeks ekspresi wajah. Subjek
menunjukkan ekspresi wajah yang sesuai mengikut perasaan. Antara ekspresi wajah yang
ditunjukkan oleh subjek ialah gembira, sedih, marah, geram, cemas, takut dan keliru.

Perkembangan subjek dalam ekspresi wajah juga dapat dilihat apabila subjek boleh
memberikan tindakbalas terhadap ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh orang lain. Subjek
bertindakbalas terhadap ekspresi wajah gembira dan sedih yang dijelaskan melalui temubual
ibu bapa dan guru pendidikan khas serta pemerhatian jurulatih renang.

Selain itu, kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak


autistik dalam kemahiran komunikasi juga ialah peningkatan dalam aspek respons. Subjek
boleh memberikan respon apabila dipanggil, memberikan respons terhadap bunyi dan
memberikan respons yang betul terhadap nada suara. Selain itu, subjek juga memberikan
respons terhadap pergerakan tangan dengan mengikut arahan yang diberikan . Subjek juga
boleh mengawal respons terhadap bunyi bising.

Oleh itu, berdasarkan analisis di atas menjelaskan kesan aktiviti renang berstruktur
terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi ialah peningkatan
yang ketara dalam aspek ekspresi wajah dan respons.

80
4.3.2 Soalan kajian 2 : Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
perkembangan interaksi sosial kanak-kanak autistik?

Soalan kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesan aktiviti renang berstruktur
terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial. Pengkaji menjawab
persoalan kajian dengan menghuraikan perkembangan subjek sebelum mengikuti aktiviti
renang berstruktur berdasarkan analisis dokumen rekod perkembangan subjek di sekolah.
Perkembangan terkini subjek dalam kemahiran komunikasi selepas mengikuti aktviti renang
berstruktur dilaporkan melalui analisis dapatan temu bual separa berstruktur. Temubual
bersama RI dan responden guru RG telah dijalankan bagi mendapatkan pandangan responden
terhadap perkembangan subjek dalam interaksi sosial selepas mengikuti aktiviti renang
berstruktur.

Manakala, dapatan pemerhatian menjelaskan perkembangan terkini kanak-kanak


autistik yang menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas. Pemerhatian
dilaksanakan oleh jurulatih menggunakan senarai semak pemerhatian. Bagi menjelaskan
kesan aktiviti renang berstruktur terhadap interaksi sosial, laporan dapatan kajian
dibentangkan mengikut dapatan temubual separa berstruktur dan pemerhatian yang di analisis
setiap satu sehingga membentuk tema akhir.

Berdasarkan triangulasi data antara temu bual ibu bapa dan guru serta triangulasi data
antara analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti
renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial
dijelaskan seperti berikut :

4.3.2.1 Analisis dokumen

Dokumen-dokumen yang telah dianalisis bagi menjawab soalan kajian 1 adalah laporan
tingkah laku pelajar dan rekod perkembangan pelajar. Berdasarkan analisis dokumen,
pengkaji dapat mengenal pasti gangguan yang dialami subjek sebelum mengikuti aktiviti
renang. Analisis dokumen menjelaskan subjek mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Bagi analisis dokumen untuk soalan
kajian ini, pengkaji hanya memilih item yang berkaitan dengan gangguan kemahiran
komunikasi sahaja. Berikut adalah dapatan yang diperolehi daripada dokumen- dokumen
tersebut.

81
Laporan dapatan kajian yang diperoleh melalui analisis dokumen ini diterangkan
mengikut subjek kajian. Laporan dapatan kajian yang diperoleh dimulakan dengan S1.
Pengkaji menganalisis laporan perkembangan tingkah laku pelajar. Laporan ini disediakan
oleh guru kelas S1. Laporan ini merupakan rujukan untuk pihak pentadbir dan ibu bapa.
Dalam laporan ini, guru kelas S1 melaporkan gangguan tingkah laku yang dialami S1 dan
berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S1 mencadangkan S1 perlu diserapkan dalam kelas
Program Pendidikan Khas Integrasi. Laporan tersebut menjelaskan S1 mengalami gangguan
dalam aspek kontak mata. S1 tidak fokus semasa guru mengajar, tidak memandang guru dan
mengelakkan pandangan apabila guru bercakap dengannya. Laporan juga menyatakan kontak
mata S1 sangat singkat.

Menurut laporan perkembangan tingkah laku pelajar, S1 juga mengalami gangguan


interaksi sosial dalam aspek pergaulan rakan sebaya. Laporan menjelaskan S1 masih suka
duduk bersendirian seperti berada dalam alam sendiri dan masih tidak bergaul dengan rakan-
rakan. S1 melarikan diri apabila dan duduk di bawah meja apabila rakan-rakannya
menghampiri.

Laporan analisis dokumen diteruskan bagi subjek 2 (S2). Berdasarkan rekod


perkembangan S2 boleh bertutur namun sangat terhad. Pengkaji menganalisis laporan tingkah
laku pelajar. Laporan ini disediakan oleh guru kelas S2. Laporan ini merupakan rujukan
untuk pihak pentadbir dan ibu bapa. Dalam laporan ini, guru kelas S2 melaporkan gangguan
tingkah laku yang dialami S2 dan berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S2 mencadangkan
S2 perlu diserapkan ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi. Laporan tersebut
menjelaskan S1 mengalami gangguan dalam aspek kontak mata. Dalam laporan tersebut
menjelaskan S2 mengelak kontak mata dengan orang lain.

S2 juga dilaporkan mengalami gangguan interaksi sosial dalam aspek pergaulan rakan
sebaya. Gangguan dalam yang dialami oleh S2 dilaporkan iaitu S2 masih lagi suka bermain
bersendirian dan tidak menyertai rakan-rakan bermain. S2 juga tidak pandai untuk bermain
permainan fantasi / olok-olok bersama rakan-rakan. S2 masih mengelak untuk bergaul
dengan rakan sebaya dan sukar untuk bermain dalam kumpulan.

Seterusnya bagi subjek 3 (S3) pula, pengkaji menganalisis rekod perkembangan


pelajar. Rekod perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai
panduan untuk membantu guru-guru lain memahami tingkah laku S3 untuk melancarkan
proses pengajaran dan pembelajaran dan sebagai rujukan untuk melihat perkembangan

82
pelajar sepanjang tahun. Berdasarkan analisis dokumen rekod perkembangan tersebut
menjelaskan S3 mengalami gangguan interaksi sosial dalam aspek kontak mata. Gangguan
kemahiran komunikasi yang dialami S3 direkodkan oleh guru kelasnya semasa aktiviti
‘freeplay’ sepanjang minggu pertama persekolahan iaitu S3 boleh menunjukkan kontak mata
selama lebih kurang tiga saat sahaja. Semasa guru bercakap dengan S3, S3 tidak memandang
guru dan mengelakkan pandangan.

Gangguan interaksi sosial dalam aspek pergaulan rakan sebaya juga dialami S3 yang
direkodkan oleh guru kelasnya. S3 tidak memberikan tindakbalas semasa sesi permainan
imaginasi dan bermain olok-olok dengan patung mainan. S3 seolah-olah berada dalam dunia
sendiri. S3 melarikan diri dan menyorok di bawah meja apabila rakan-rakan
menghampirinya. S3 tidak menyertai rakan-rakan bermain dan masih belum memahami
konsep-konsep dalam permainan.

Bagi subjek 4 (S4), pengkaji menganalisis rekod perkembangan pelajar. Rekod


perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai rekod perkembangan
pelajar sepanjang bulan pertama persekolahan. Gangguan interaksi sosial yang dialami S4
direkodkan oleh guru kelasnya dalam rekod perkembangan pelajar iaitu S4 mempunyai
kontak mata yang singkat dan hanya boleh mengekalkan pandangan antara 1-2 saat sahaja.

S4 juga dilaporkan mengalami gangguan interaksi sosial dalam aspek pergaulan rakan
sebaya. Gangguan dalam yang dialami S4 direkodkan oleh guru kelasnya iaitu S4 tidak
menyertai rakan-rakan bermain dan masih belum memahami konsep-konsep dalam
permainan seperti penggiliran, berkongsi dan menunggu. S4 masih bermain sendiri.

4.3.2.2 Temubual

Laporan dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas menjelaskan
perkembangan kanak-kanak autistik selepas mengikuti aktiviti renang berstruktur. Bagi
laporan dapatan temu bual, hasil dapatan berdasarkan protokol temubual yang telah
disediakan bersama RI dan RG telah ditranskripsikan. Bagi menjawab soalan kajian 1 hanya
perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial sahaja yang dipilih, manakala
perkara lain yang tidak berkaitan digugurkan.

i. Menunjukkan Kontak Mata Lebih Lama

83
Dapatan temu bual mendapati subjek boleh menunjukkan kontak mata lebih lama. Subjek
boleh menumpukan perhatian, memandang wajah dan mengekalkan pandangan. Ini didapati
berdasarkan dapatan temubual RI dan RG.

Laporan dapatan temubual dimulakan dengan S1. Menurut temu bual bersama RI dan RG,
S1 boleh menunjukkan kontak mata semasa bercakap dengan orang lain dan boleh
mengekalkan kontak mata lebih lama. Berdasarkan dapatan temubual RI1 menyatakan :

“Aaa...errr...,ada kontak...,aa...,contoh kalau aa...,kita...,macam...,ok..,kadang-kadang


tu dia lari jugakla...,tak la sama macam kanak-kanak normal. Mata dia tu tak
pandang...,aa...,paling ketara kalau masa belajarla. Kalau saya bercakap dia boleh
tumpukan perhatian, dia pandang muka saya, mata saya. Cuma masa belajar tu kalau
dah lama sangat tak fokus dah la. Tapi dia dengar cuma dia tak tengok..
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :
“Kalau saya bercakap dia boleh menumpukan perhatian. Mungkin tak lama tapi dia
lebih fokus”. (TB:RG1:07.01.2022).
S1 dapat mengekalkan kontak mata dalam masa yang lebih lama. Laporan dapatan temubual
bersama RI dan RG adalah seperti berikut. Berdasarkan dapatan temubual RI1 menyatakan :

Dapatan temubual mendapati subjek boleh menunjukkan kontak mata lebih lama berbanding
sbeelumnya. RI1 menyatakan seperti berikut:

“Aaa...,errr...,kontak mata dia lebih lama kalau nak banding sebelum ini cuma tak
ketara sangat peningkatan tu”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Dia boleh pandang lebih lama bila saya bercakap dengan dia. Boleh dikatakan
bertambah baik”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan juga mendapati S2 boleh menunjukkan kontak mata. Ini dapat dilihat
berdasarkan dapatan temubual RI2. Ini dijelaskan melalui penyataan berikut :

“Aaa...,buat masa sekarang...,dia bolehla. Masih ada...,masalah kontak mata tu masih


ada. Cuma dia dah boleh tunjukkan kontak mata sikit-sikit. Macam dulu kita rasa
macam dia ni pekak ke. Kita panggil tak nak pandangkan...,masa tu tak tau lagi,
memang ingat tak dengar. Rupanya budak macam ni ada masalah respons dan kontak
mata. Tapi sekarang macam tadila, akak panggil, dia datang..., dia tengok kita.”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menyatakan seperti berikut :

”Kontak mata ye...,emmm...,aa...,kalau kita bercakap dengan dia, dia memang tengok
mata kita. Dia boleh pandang dan kekalkan pandangan masa saya bercakap dengan

84
dia lebih lama berbanding sebelum ni. Tapi nak kata dia boleh fokus betul-betul tu tak
jugakla. Dia masih susah nak pandang lama-lama”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S2 boleh menunjukkan kontak lebih lama. Ianya
dinyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya dinyatakan dalam dialog berikut:

“Dia akan pandang. Tapi dia...,lepas berapa lama..., dia elakla. Tapi lama jugakla. Dia
boleh...,lebih lama berbanding sebelum ini. Mungkin dalam 7 ke 8 saat”.
(TB:RI2:16.12.2021)

Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut :

“Aa...,emmm..,kontak mata dia meningkat, dia boleh kekalkan kontak mata. Nak kata
berapa saat tu saya tak pasti la. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S3 boleh menunjukkan kontak namun begitu hanya
dengan orang yang dikenali sahaja. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual RI3.
Contohnya dalam ayat berikut:

Eye contact dia...,aaa...,err..,.ada kurang sikit...,tapi ada progresslah. Tak banyak tapi
adala. Macam sekarang ni kalau..., kalau dengan saya lah dia akan pandang...,ada
peningkatan. Sebab saya selalu latih dia pandang mata saya. Saya cakap dengan dia
tengok eye to eye. Ada improvementla. Kita latihla kan. Kita nak dia bagi eye contact
tu...,kita kene banyak main eye contact dengan dia. Tapi tula, kalau dengan orang
yang tak kenal dia tak nak pandang. Yang dah biasa dia okla...,dengan sepupu-sepupu
dia, pak sedara dia, jurulatih renang dia..,.takde problem dah eye contact”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual guru pendidikan khas S3, Responden guru S3 (RG3).
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Dia boleh tunjuk kontak mata dah sekarang. Kalau saya bercakap dengan dia, dah
ada kontak mata, dia pandang mata saya. Macam dulu bila saya bercakap dengan dia,
dia respons tapi mata dia tak pandang saya. Mata dia ke lain”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S3 boleh mengekalkan kontak mata lebih lama.
RI3 menyatakan :

“Kontak mata ada sikit peningkatan. Dia boleh pandang kita lebih lama. Tak la sama
macam budak-budak biasa tapi nak banding dengan sebelum ni, nampak ada dah
kontak mata tu”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Kontak mata dia nampak ada progresif. Dia boleh kekalkan kontak mata beberapa
saat. Tapi mata dia pandang sekejap-sekejap jekla...,lepas tu pandang tempat lain”.
(TB:RG3:14 01 2022)

85
Dapatan temubual bersama ibu bapa dan guru S4 juga mendapati S4 boleh
menunjukkan kontak mata dengan orang yang dikenali sahaja. Ini dapat dilihat berdasarkan
dapatan temubual RI4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Eye contact...,sekarang...,ikut bendala. Emm...,tapi da banyak ok sikitla. Dah nampak


dia pandang mata saya. Kalau dulu satu saat pun susah dia nak kekalkan kontak mata.
Aaa...,cuma...,dengan orang yang dia kenal dia pandangla tapi kalau orang tak kenal
dia memang akan lari”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Kontak mata ada dah sikit-sikit, dulu langsung takde. Kalau saya bercakap dia akan
pandang muka dan mata saya. Tapi sekejap jekla dia pandang. (TB:RG4:10.01.2022)
Dapatan temubual RI4 juga menunjukkan sedikit peningkatan dalam kontak mata.
RI4 menyatakan:

“Kontak mata okla sikit. Dah nampak dia pandang mata saya. Kalau dulu satu saat
pun susah dia nak pandang mata saya, sekarang macam 3 saat...,boleh dahla”.
(TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Aaa..errr..sekejap jekla..kalau mengajar tu dia duduk depan sekali..Ada nampak


peningkatan dalam‘eye contact’. Tak banyak tapi ada la”. (TB:RG4:10.01.2022)

ii. Kontak mata mengikut pergerakan tangan

Dapatan temubual mendapati S1, S2 dan S3 boleh menunjukkan kontak mata mengikut
pergerakan tangan dan memahami arahan berdasarkan pergerakan tersebut. Ianya di
nyatakan dalam temubual bersama RI1. RI1 menyatakan seperti berikut:

“Kalau saya tunjukkan sesuatu dia akan pandang objek yang saya tunjuk tu. Contoh...,
saya selalu juga suruh dia ambil barang, saya tunjuk jek, dia akan ambil barang tu.
Bila saya minta tolong dia hidupkan suis lampu dan kipas, saya tunjuk...,dia
faham...,dia akan on suis”. ((TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Dia akan ikut...,ikut pergerakan tangan saya. Kalau saya bagi arahan ringkas sambil
tunjukkan dia faham. Contoh saya tunjukkan sampah, dia akan kutip sampah. Saya
tunjuk bakul sampah dia akan buang sampah dalam tu”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 boleh menunjukkan kontak mata mengikut pergerakan
tangan. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya ditunjukkan dalam
dialog berikut:

86
“Dia akan ikut pergerakan tangan saya dengan pandangan mata dia. Apabila saya
minta tolong ambilkan sesuatu. Contoh..., saya tunjuk minta tolong ambik barang dia
faham saya minta dia ambik barang tu”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Aaa...,dia boleh...,boleh. Bila saya beri arahan ringkas macam kalau suruh kutip
sampah, buang sampah, dia faham. Saya tunjuk je. Bila saya tunjuk penyapu dia
faham, tugas dia menyapu. Suruh ambik pensil...,dia terus ambil”.
(TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga menjelaskan S3 boleh menunjukkan kontak mata terhadap pergerakan
tangan dan memahami arahan.

“Saya selalu menyanyi lagu sambil tunjukkan arah contoh lagu tu ‘Pandang kanan,
pandang kiri, pandang atas, pandang bawah. Dia akan ikut pergerakan tangan saya”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Dia boleh. Kalau saya tunjuk-tunjuk tu dia pandang. Kalau nak mintak tolong dia
ambikkan barang, kita tunjuk jekla. Dia faham. Dia g ambik”. (TB:RG3:14 01 2022)
Namun begitu, dapatan temubual mendapati S4 menunjukkan kontak mata mengikut
pergerakan tangan namun tidak memahami dan bertindakbalas terhadap arahan. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

Dia pandang kearah tempat ke objek yang saya tunjuk tu tapi dia tak faham arahan
saya. Bila saya beri arahan sambil tunjuk dia takde respons. Contoh saya bagi arahan
bergerak ke sebelah kanan sambil tunjuk ke kanan, dia duduk diam jek tak bergerak
pun. (TB:RI4:19.12.2021)

Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :
“Emm...,boleh...,boleh. Kalau saya tunjuk sesuatu, dia akan pandang. Tapi dia tak
faham arahan saya, contoh saya tunjuk barang dan minta tolong dia ambil barang tu,
dia tak faham. Dia cuma pandang je barang yang saya tunjuk tu”.
(TB:RG4:10.01.2022)

iii. Kontak mata semasa bergambar

Dapatan temubual mendapati subjek boleh menunjukkan kontak mata semasa bergambar. S1
dan S2 akan memandang kamera dan menunjukkan pelbagai aksi semasa bergambar
terutama semasa selfie. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI1. RI1 menyatakan
seperti berikut:

87
“Aaa..,tangkap gambar dia dah boleh pamdang kamera. Kalau dulu pandang kiri
kanan atas bawah. Sekarang ni boleh pandang depan...aaa...ada masa la. Dalam video
pun kita boleh nampak kontak mata dia. Dia selalu pandang kamera.
Aaa....,dia...dia...,ikut mood dia. Ade la...,kadang-kadang sangat suka bergaya. Kalau
selfie okla...,lagilah dia suka”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Kalau bergambar mata dia pandang kamera. Fokus dia lama, contoh saya buat video,
dalam video tu kontak mata dia lama dia pandang kamera”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 boleh menunjukkan kontak mata semasa bergambar. Ianya
di nyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Hahaha. Masa bergambar dulu leceh sikit. Anak akak memang susah sangat. Macam
buat kad OKU tu kan...,kena tangkap gambar sendiri...,edit...,crop. Dia tak suka
bergambar. Masa sekarang..., bergambar dia boleh fokus jugakla. Sekarang dia adala
pandang kamera. Masa saya ambil video pun boleh nampak dia pandang..., bolehla...,
adalah orang kata boleh cuci gambar buat kenangan. Kalau selfie, nak kena ada yang
ada effect-effect tukan. Macam kita guna instagram ke tiktok, dia join jugakla.
Gambar raya yang terkini ni Alhamdulillah ada boleh print cantik dia pandang
kamera. Rasa yang sebelum-sebelum ni payah”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan temubual juga mendapati S3 dan S4 menunjukkan kontak mata semasa
bergambar. Namun begitu hanya ketika selfie sahaja. Contohnya ditunjukkan dalam dialog
berikut:

“Sekarang ni dia boleh pandang kamera...,tapi kalau selfie jekla dia memang suka.
Dia buat gaya macam-macam. Nak dapat fokus dia tu tak senang la. Kalau nak
gambar elok dia pandang...,kena selfiela. Tu pun tengok mood dia.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Sekarang ni...,dia pandang. Boleh buat macam-macam gaya. Saya tengok dia suka
selfie”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 boleh menunjukkan kontak mata semasa
bergambar ‘selfie’. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI4. RI4 menyatakan:

“Kalau selfie, dia pandang...,dia Dia da ready da...,tunjuk macam ni (gaya peace)
Kadang dia buat peace, dia senyum. Dia sukala buat gaya-gaya. Mak dia kuat selfie tu
dia pun suka jugak tu”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Aaa...,dia memang pandai...,kite nak ambik gambar tu dia suka. Kalau tengok
gambar-gambar sebelum ini, memang tak ade gambar dia pandang kamera. Baru ni
saya ambil gambar masa pembukaan sekolah baru-baru ini, aa...,kalau selfie ok..kalau
selfie banyak gambar dia pandang kamera”. (TB:RG4:10.01.2022)

88
iv. Tindakbalas semasa berkumpul bersama rakan-rakan

Data temubual RI dan temubual RG yang dikumpulkan mendapati S1 boleh bermain bersama
dengan rakan sebaya contohnya main permainan sorok-sorok dan main kejar-kejar. Namun
begitu S1 tidak menyertai kawan-kawan bermain bola sepak. S1 juga bersama rakan-rakan
semasa makan di sekolah. Namun begitu semasa sesi pembelajaran S1 masih suka bersendiri.

“Kalau...,kalau tengok...,aaa...,dia...,ada...,kalau macam...,dengan jiran-jiran dekat


rumah ni la kan. Kawan-kawan dia ni memang dah taula dia...,keadaan dia. Saya dah
bagitau yang aiman ni lain sikit. Tapi kawan-kawan dia bagus. Datang rumah...,ajak
dia main. Dia pun nampak kawan dia, ikut kawan dia main. Dia pergi
rumah...,panggil. Cuma...,aaa...,dia...,dia tak pandai la nak main bola...,main kejar-
kejar, hide and seek tu dia joinla. Kalau dia pergi kolam renang tu, dia boleh jek buat
kawan dengan sape-sape. Aaa...,dia boleh mulakan communicate”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong oleh temubual RG 1 :

“Emmmm...,kadang dia nak join kawan-kawan, kadang dia duduk sendiri je. Masa
makan dia joinla kawan-kawan dia duduk sekali. Masa belajar dia suka duk sendiri
jekla. Dia nampak minat membaca, dia duk baca buka dia hat dia bawak dari rumah”.
(TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual bersama RI2 dan RG2 pula mendapati boleh menyertai rakan sebaya
namun ada ketikanya masih tetap mahu menyendiri. Ianya dinyatakan oleh RI2 seperti
berikut :

“Dia...,kadang-kadang ok. Bukan ok macammana tau. Kalau di kelas dia kan


PPKI...,cikgu dia cakap...,dia boleh join..., boleh. Ada mood dia. Dia tetap ada masa
nak sendiri tu. Kat rumah...,abang diala...,layan dia. Dia okla ngan abang dia”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan temubual bersama RG2 pula menjelaskan S2 jarang menyertai rakan-rakan dan tidak
memberikan respons. Ianya dinyatakan oleh RG2 seperti berikut :
“Aaa...,dia...,aaa...,emmm...,dia dari segi pergaulan dia kurang la nak duduk ngan
kawan-kawan. Dia duk sendiri jek. Kalau kawan datang kat dia pun, dia tak respons”.
(TB:RG2:11.01.2022).
Seterusnya dapatn temubual bersama RI3 dan RG3 menjelaskan S3 berminat untuk bersama
rakan sebaya tetapi belum boleh berkomunikasi. Ada ketika S3 hanya memerhati rakan
sebaya bermain dan masih seperti berada di dunia sendiri. RI3 menyatakan seperti berikut :

“Aaa...,sosial dengan kawan-kawan...,anak-anak jiran...,yang dekat-dekat rumah ni


kan... dari segi sosial...,dia...,dia bukan tak nak kawan...,tapi dia tak reti. Jadi petang-
petang pun takde la main. Dia nak kawan...,nak main...,tapi tak pandai la nak

89
sembang. Ooo...,aaa...,kalau pergi rumah mak sedara dia kan...,dia ada cucu-cucu
same age ngan harith...,aaa...,apa...,dari segi..,.aaa...,dia duduk ruang tamu...,dia akan
observe dulu and then dia slowly slowly akan join la dengan sedara dia. Ada moment
dia still duduk kat kerusi tu. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3 yang menyatakan :

“Dia tak bergaul sangat dengan kawan. Dia buat aktiviti dia sendiri je..Dia tak suka
duduk dengan kawan-kawan dia..dia duduk kat tempat dia jek..dia banyak dalam
dunia dia sendiri”. (TB:RG3:14 01 2022)
Manakala dapatan temubual RI4 dan RG4 mendapati S4 boleh bersama rakan-rakan dalam
kumpulan tetapi tidak bermain bersama. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual RI4.
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dia lebih suka duduk dalam rumah, main mainan yang dia suka. Dengan adik dia
join jugak tapi dia tak pandai nak ikut cara main yang betul. Kalau kat sekolah tu
cikgu dia cakap dia ikut jekla. Kalau ngan kawan-kawan tu dia duduk la. Kawan kat
sekolah kecik-kecik lagi. Diorang panggillah ‘Abang Fahmy...,maila...,maila’. Dia
datangla. Kalau ada main dalam kumpulan tu, dia duduk sekali...tapi tak join sangatla.
Selalu duduk ngan cikgu dia”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Aa...,err...,kalau dengan kawan-kawan...,aa...,tak...,ha...,tapi saya perasan dia suka


macam...,dia tak bersembangla ngan kawan, dia tak pandai bercakap tapi kalau buat
kerja dia pandai da nak tengok kawan sebelah dia. Dia dah suka tiru kawan dia.
Sebelum ni dia takde nak ikut kawan-kawan dia. Lepas tu kalau masa main di padang
dia tak join kawan-kawan main. Dia tak reti lagi. Dia hanya lompat-lompat, lari-lari
gitu jekla”. (TB:RG4:10.01.2022)

v. Cara bermain dengan rakan-rakan

Dapatan temubual mendapati subjek boleh mengalah apabila bermain dengan rakan sebaya
namun begitu, masih tidak memahami konsep-konsep yang diterapkan semasa bermain
seperti penggiliran, berkongsi dan peraturan-peraturan dalam permainan.

Dapatan temubual bersama RI1 menjelaskan S1 tidak memahami konsep berkongsi tapi
mengalah dengan adik-adiknya. RI1 menyatakan seperti berikut:

Aaa...,Alhamdulillah la. Dia boleh berkongsi ngan adik dia. Kalau cakap ‘Aiman
share dengan adik ye’...,dia pandai la kongsi. Dia mengalahlah dengan adik dia. Tapi
kalau mainan yang dia suka, dia memang tak kan kongsi. Aa...,biasala kadang-
kadang...,tula kawan gaduh tu la kawan main. Adakala dia tak nak. Ada masa dia nak
masa untuk diri dia sendiri...,dia cakap ‘Aiman nak duduk sorang-sorang’”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

90
“Dia suka bawa lego ke sekolah. Dia memang marah kalau kawan dia ambik. Dia
masih tak boleh kongsi mainan dia. Tapi...,tapi..., kalau macam mainan-mainan kat
kelas ni dia ok jek. Boleh main sama-sama”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S2 belum memahami konsep-konsep yang
diterapkan semasa bermain. S2 suka bermain tetapi mengikut caranya sendiri. Ianya
dinyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya dinyatakan dalam dialog berikut:

“Saya ajak dia main permainan kad, dia masih tak faham kena bergilir, peraturan
permainan. Kalau main bola, baling-baling tu bolehla. Tapi nak main ikut cara yang
betul, dia tak pandai. Macam mainan, dia takde minat yang spesifik. Dia tak kisah
sangat, kalau mainan tu boleh la main sama-sama. Tapi kalau kat tangan dia, jangan
ambik. Haa..dia tak suka. Kena lepuk jugak kawan tu”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menjelaskan seperti berikut :

“Aaa...,masa main dia boleh main ngan kawan dia. Tapi kawan-kawan ajar dia cara
main bola yang betul. Dia tak minat. Dia main ikut suka dia jekla. Jadi memang dia
masih tak faham cara nak main”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati S3 belum memahami konsep-konsep yang
diterapkan semasa bermain dan belum pandai mengikut cara permainan yang betul. RI3
menyatakan :

“Macam anak jiran sebaya dengan dia kan...,diorang main bola...,main basikal...,dia
tak joinla...,tak pandai...,tak minatla. Nampak bezala...,dia...,kebolehan berkawan tu
takde lagi. Kalau ade tu...,ade sikitla dia nak main...,kalau ngan adik dia tu bolehla.
Kalau main bola dengan adik dia, dia boleh la tendang bola ke arah gol. Gaduh pun
gaduh jugak ngan adik dia. Cuma kalau kat pusat renang tu mungkin sebab coach da
trainkan...,dia join kawan-kawan lain berenang...,dia faham..,dia boleh tunggu...,bila
giliran dia. Dia boleh berenang jugak macam budak-budak lain. Tapi tak syncronize
sangat la kan. Biasela budak autisme ni lokomotor dia pun tak sama macam budak
lain”. (TB:RI3:12.12.2021)

Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Masa main, saya terapkan konsep-konsep macam berkongsi, bergilir. Dia


faham...,dia beratur...tunggu giliran dia. Emmm...,tapi ajak dia main, tunjuk cara
sepak bola. Dia pandang tapi tak pandai nak buat”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual bersama RI4 mendapati S4 boleh berkongsi dengan adik-adiknya dan
rakan-rakan di sekolah. Ianya dinyatakan seperti berikut :

“Kalau mainan dia tak kisah. Dia memang bagi jek. Dia dah besar, banyak
mengalahlah”. (TB:RI4:19.12.2021)

91
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Ianya dinyatakan seperti berikut :
` “Dia kalau main, aaa..,tengok masa pendidikan jasmani la kan. Dia tak pandai. Dia
main sendiri-sendiri jekla. Dia tak faham lagi nak main bola macammna, main lambung-
lambung bola bolehla”. (TB:RG4:10.01.2022)

vi. Perasaan semasa bermain dengan rakan-rakan

Dapatan temubual mendapati subjek menunjukkan perasaan gembira apabila bersama rakan
sebaya. Namun begitu keempat-empat subjek masih tidak menyertai rakan-rakan bermain.
Berdasarkan dapatan temubual RI1 menyatakan :

“Kalau ada sedara dia datang rumah dia suka, main kejar-kejar, lari-lari gitu
jekla..kalau nak main bola ke badminton ke dia tak pandai”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :

“Masa kelas PJ, dia akan turun ke padang dengan rakan-rakan. Dia suka sangat kalau
pegi padang. Main sepak bola ke arah gol, main baling-baling bola. Dia main sendiri
jekla”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan juga mendapati S2 gembira bersama rakan. Ini dapat dilihat berdasarkan
dapatan temubual RI2. Ini dijelaskan melalui penyataan berikut :

“Kalau bawa pergi taman dengan adik beradik dia jekla dia main. Dia memang suka.
Tu pun dia masih main sendiri. Memanjat, berlari macam tu jekla”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menyatakan seperti berikut :

“Dalam kelas dia memang sendiri dia jek. Cuma dia suka gi padang masa PJ. Dia lari
keliling padang. Dia suke la main lari-lari tu.. Tapi nak join kawan-kawan dia main
bola, badminton dan lain-lain tu dia tak nak..tak pandaila”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual ibu bapa dan guru S3 juga mendapati S3 gembira berada bersama
rakan sebaya tetapi tidak menyertai rakan-rakan bermain. Contohnya dalam ayat berikut:

“Masa kat pusat renang tu dia suka berenang ramai-ramai tu. Tapi kalau buat game ke,
dia tak join main sekali”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Kalau di padang, bila kawan-kawan main bola, dia pun main bola. Kalau kawan-
kawan main badminton, dia akan ikut main badminton. Cumanya cara main tak sama
macam orang lain”. (TB:RG3:14 01 2022)

92
Dapatan temubual ibu bapa dan guru S4 pula mendapati S4 menunjukkan perasaan
gembira apabila berada bersama rakan sebaya namun tidak menyertai rakan-rakan bermain.
Contohnya dalam ayat berikut:

“Kalau adik beradik dia turun main depan rumah, dia memang suka ikut jugak main
depan rumah. Tapi dia main ikut cara dia la. Contoh adik beradik dia main bola
dengan kawan-kawan, tapi dia main basikal sorang-sorang”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Aaa...,saya tak tau nak cakap dia suka ke tak...,tapi dia ok je. Kawan dia main dia
tengok jek. Tapi kalau ramai-ramai macam main bola berebut macam tu dia rimasla.
Dia tak suka sangat. Dia main sepak sorang-sorang dia jek”. (TB:RG4:10.01.2022)

4.3.2.3 Pemerhatian

Dapatan pemerhatian menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas di
atas. Pemerhatian dilaksanakan oleh jurulatih renang menggunakan senarai semak
pemerhatian yang telah disediakan penyelidik. Jurulatih juga membuat catatan berkenaan
perkembangan subjek berdasarkan item-item di dalam senarai semak tersebut. Bagi aspek
kontak mata terdapat dua item yang dinilai. Manakala bagi aspek pergaulan rakan sebaya
terdapat lima item yang dinilai.

JADUAL 4.2
Analisis Dapatan Pemerhatian Interaksi Sosial
Item Skor Subjek
2.1 Kontak mata S1 S2 S3 S4
B1. Memandang tepat ke arah jurulatih semasa jurulatih 2 2 2 2
bercakap.
B2. Pandangan matanya mengikut tangan jurulatih apabila 3 3 3 1
jurulatih menunjukkan sesuatu pergerakan.
2.2 Pergaulan rakan sebaya
B3. Berminat untuk bergaul dengan rakan-rakan. 3 1 1 1
B4. Bermain bersama rakan-rakan semasa aktiviti 1 1 1 1
berkumpulan.
B5. Menunjukkan perasaan suka dan gembira apabila 2 2 2 2
bersama rakan-rakan.
B6. Boleh meniru perbuatan rakan-rakan. 1 1 1 1

93
B7. Boleh berkongsi mainan / peralatan dengan rakan-rakan. 2 2 2 2

Skala : 1 - Tidak pernah 2 - Kadang-kadang 3 – Selalu

i. Item B1 iaitu ‘Memandang tepat ke arah jurulatih semasa jurulatih bercakap’


dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah kanak-kanak menunjukkan kontak mata
semasa jurulatih berinteraksi dengan subjek.

Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa keempat-empat subjek


mendapat skor 2 iaitu ‘kadang-kadang’. Contohnya apabila jurulatih memberikan arahan,
keempat-empat subjek memandang kepada jurulatih dan mendengar arahan. Namun begitu
perlu bagi arahan yang ringkas sahaja. Subjek memberi perhatian yang baik terhadap arahan
namun memandang kepada jurulatih seketika sahaja.

ii. Dapatan pemerhatian seterusnya berdasarkan Item B2 iaitu ‘Pandangan matanya


mengikut tangan jurulatih apabila jurulatih menunjukkan sesuatu pergerakan’ dirangka
adalah bertujuan untuk mengetahui adakah kanak-kanak menunjukkan kontak mata terhadap
pergerakan tangan dan memahami arahan jurulatih. S1, S2 dan S3 menunjukkan skor 3 iaitu
‘Selalu’ bagi item ini. Manakala S4 mendapat skor 1 iaitu ‘tidak pernah’

Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih memberi arahan untuk berenang


berdasarkan arah pergerakan tangan jurulatih. S1, S2 dan S3 mengikut pergerakan tangan
jurulatih dan berenang mengikut arah pergerakan tangan yang ditunjukkan. S4 hanya
berenang berdekatan dengan adik-adiknya sahaja.

iii. Dapatan pemerhatian bagi item B3 iaitu ‘Berminat untuk bergaul dengan rakan-
rakan’, dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui tindakbalas subjek apabila berada
bersama rakan sebaya. S1 mendapat skor 3 iaitu’selalu’. S1 boleh bergaul bersama rakan-
rakan. Manakala S2,S3 dan S4 mendapat skor 1 iaitu ‘tidak pernah’. Subjek hanya bermain
bersama adik-beradiknya sahaja. Subjek tidak berminat untuk bermain bersama rakan-rakan
yang lain.

vi. Bagi item B4 iaitu ‘Bermain bersama rakan-rakan semasa aktiviti berkumpulan’
dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui tindakbalas subjek apabila berada bersama rakan

94
sebaya. Keempat-empat subjek mendapat skor 1 iaitu ‘tidak pernah’. Semasa aktiviti
berkumpulan iaitu sesi bermain baling bola di air keempat-empat subjek gembira apabila
diberikan bola. Subjek memusing-musingkan bola dan membaling bola ke atas. Namun
begitu, subjek tidak mahu menyertai rakan-rakan bermain. Subjek tidak memahami peraturan
permainan.

v. Item B5 ‘Menunjukkan perasaan suka dan gembira apabila bersama rakan-rakan’


dirangka adalah untuk melihat perasaan subjek semasa bersama rakan sebaya. Semasa
pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa keempat-empat subjek mendapat skor
2 iaitu ‘kadang-kadang’. Subjek menunjukkan reaksi gembira semasa bermain berada
bersama adik beradiknya dan rakan-rakan yang dikenali. Subjek akan melompat, menepuk
tangan dan ketawa. Namun begitu, kadang-kadang subjek masih menyendiri dan tidak
menunjukkan perasaan gembira bersama rakan sebaya. Subjek akan menjauhkan diri dan
hanya memandang adik beradik dan rakan-rakannya bermain.

vii. Bagi item B6 iaitu ‘Boleh meniru perbuatan rakan-rakan’ dirangka bertujuan untuk
mengetahui adakah subjek boleh meniru perbuatan rakan-rakan semasa bermain. Bagi item
ini keempat-empat subjek mendapat skor 1 iaitu ‘tidak pernah’. Semasa aktiviti berkumpulan
dilaksanakan, iaitu bermain bola baling di air, jurulatih meminta adik beradik subjek untuk
menunjuk cara bermain seperti menjaringkan bola ke arah gol, menghantar kepada rakan,
memegang bola dan menghadang. Keempat-empat subjek tidak menunjukkan minat dan
hanya memerhati sahaja. Keempat-empat subjek hanya bermain bola sendiri.

viii. Manakala bagi item B7 iaitu ‘Boleh berkongsi mainan / peralatan dengan
rakan-rakan’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahu adakah subjek boleh berkongsi
mainan dan peralatan bersama rakan-rakan. Keempat-empat subjek mendapat skor 2 iaitu
‘kadang-kadang’. Subjek boleh berkongsi mainan dan peralatan yang diberikan oleh jurulatih,
namun begitu subjek tidak akan berkongsi mainan dan peralatan yang subjek bawa sendiri.
Subjek memegang dengan kemas mainan sendiri dan akan menjerit apabila rakan-rakan
mengambil mainan tersebut.

Berdasarkan triangulasi data antara temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas dan
triangulasi data antara temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti renang

95
berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial menjelaskan
perkembangan subjek dalam kontak mata iaitu subjek menunjukkan kontak mata,
memberikan dan membalas kontak mata.

Subjek juga menunjukkkan kontak mata dengan memandang wajah, mengekalkan


pandangan dan tidak mengelak pandangan mata orang lain. Perkembangan subjek dalam
menunjukkan kontak mata juga dapat dilihat semasa bergambar. Subjek memandang kamera
dan fokus semasa bergambar. Subjek juga menunjukkan kontak mata mengikut pergerakan
tangan dengan memandang objek yang ditunjukkan serta memahami arahan berdasarkan
pergerakan tangan yang ditunjukkan.

Seterusnya kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak


autistik dalam interaksi sosial menjelaskan pergaulan subjek bersama rakan sebaya masih di
tahap minimum. Subjek masih tidak berminat untuk bergaul dan bermain dengan rakan
sebaya. Namun begitu ketika rakan-rakan berkumpul subjek gembira berada bersama rakan-
rakan sebaya. Melalui temubual dan pemerhatian yang dijalankan mendapati subjek
menunjukkan perasaan gembira bersama rakan sebaya namun tidak bermain bersama rakan
sebaya dan tidak memahami konsep bermain.

Oleh itu, berdasarkan analisis di atas menjelaskan kesan aktiviti renang berstruktur
terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial ialah peningkatan yang
minimum dan tidak ketara dalam aspek kontak mata. Manakala dalam aspek pergaulan rakan
sebaya tidak terdapat peningkatan yang ditunjukkan oleh subjek.

4.3.3 Soalan kajian 3 : Apakah kesan aktiviti renang berstruktur terhadap


perkembangan tingkah laku kanak-kanak autistik?

Soalan kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
perkembangan kanak-kanak autistik dalam tingkah laku. Pengkaji menjawab persoalan kajian
dengan menghuraikan perkembangan subjek sebelum mengikuti aktiviti renang berstruktur
berdasarkan analisis dokumen rekod perkembangan subjek di sekolah. Perkembangan terkini
subjek dalam tingkah laku selepas mengikuti aktviti renang berstruktur dilaporkan melalui
analisis dapatan temu bual separa berstruktur. Temubual bersama RI dan RG telah dijalankan
bagi mendapatkan pandangan responden terhadap perkembangan subjek dalam tingkah laku
selepas mengikuti aktiviti renang berstruktur.

96
Manakala, dapatan pemerhatian menjelaskan perkembangan terkini kanak-kanak
autistik yang menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas. Pemerhatian
dilaksanakan oleh jurulatih menggunakan senarai semak pemerhatian. Bagi menjelaskan
kesan aktiviti renang berstruktur terhadap tingkah laku, laporan dapatan kajian dibentangkan
mengikut dapatan temubual separa berstruktur dan pemerhatian yang di analisis setiap satu
sehingga membentuk tema akhir.

Berdasarkan triangulasi data antara temu bual ibu bapa dan guru serta triangulasi data
antara analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti
renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam tingkah laku
dijelaskan seperti berikut :

4.3.3.1 Analisis dokumen

Dokumen-dokumen yang telah dianalisis bagi menjawab soalan kajian 1 adalah laporan
tingkah laku pelajar dan rekod perkembangan pelajar. Berdasarkan analisis dokumen,
pengkaji dapat mengenal pasti gangguan yang dialami subjek sebelum mengikuti aktiviti
renang. Analisis dokumen menjelaskan subjek mempunyai ciri-ciri autistik yang ketara dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Bagi analisis dokumen untuk soalan
kajian ini, pengkaji hanya memilih item yang berkaitan dengan gangguan kemahiran
komunikasi sahaja. Berikut adalah dapatan yang diperolehi daripada dokumen- dokumen
tersebut.

Laporan dapatan kajian yang diperoleh melalui analisis dokumen ini diterangkan
mengikut subjek kajian. Laporan dapatan kajian yang diperoleh dimulakan dengan S1.
Pengkaji menganalisis laporan perkembangan tingkah laku pelajar. Laporan ini disediakan
oleh guru kelas S1. Laporan ini merupakan rujukan untuk pihak pentadbir dan ibu bapa.
Dalam laporan ini, guru kelas S1 melaporkan gangguan tingkah laku yang dialami S1 dan
berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S1 mencadangkan S1 perlu diserapkan dalam kelas
Program Pendidikan Khas Integrasi. Laporan tersebut menjelaskan S1 mengalami gangguan
dalam aspek tingkah laku berulang. Laporan menjelaskan S1 selalu berulang-ulang datang
kepada guru menanyakan solan yang sama. Selain itu, S1 membawa dan membaca buku yang
sama dan suka menutup pintu kelas.

97
Menurut laporan dalam rekod perkembangan pelajar, S1 juga mengalami gangguan
tingkah laku dalam aspek tingkah laku agresif. Laporan perkembangan menjelaskan S1
mengalami gangguan tingkah laku dalam aspek tingkah laku agresif iaitu suka mendesak
guru untuk melihat hasil kerjanya walaupun guru sedang mengajar. S1 juga tidak suka
diganggu oleh rakan-rakannya. S1 akan marah, membuang barangan, membaling barang ke
arah rakan. S1 juga masih melakukan tingkah laku agresif menjerti tiba-tiba. S1 juga
bertindak agresif apabila rakan-rakannya mengusik barang yang disusunnya.

Laporan analisis dokumen diteruskan bagi S2. Pengkaji menganalisis laporan tingkah
laku pelajar. Laporan ini disediakan oleh guru kelas S2. Laporan ini merupakan rujukan
untuk pihak pentadbir dan ibu bapa. Dalam laporan ini, guru kelas S2 melaporkan gangguan
tingkah laku yang dialami S2 dan berdasarkan laporan tersebut, guru kelas S2 mencadangkan
S2 perlu diserapkan ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi. Laporan tersebut
menjelaskan S2 mengalami gangguan dalam aspek tingkah laku berulang iaitu terdapat rutin
yang sama sering dilakukan oleh S2 antaranya pemakanan yang sama, melukis karakter yang
sama. S2 juga mengulang perkataan dan ayat contohnya ayat yang terdapat dalam cerita yang
disukainya. S2 juga dilaporkan suka pada objek bulat dan berpusing.

S2 juga dilaporkan mengalami gangguan tingkah laku dalam aspek tingkah laku
agresif. Dalam laporan tersebut menjelaskan tingkah laku agresif yang dilakukan S2 iaitu S2
tidak menunjukkan emosi yang sesuai mengikut situasi. S2 marah apabila disentuh. Ada
kalanya S2 menjerit secara tiba-tiba dan memusnahkan objek.

Seterusnya bagi S3 pula, pengkaji menganalisis rekod perkembangan pelajar. Rekod


perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai panduan untuk
membantu guru-guru lain memahami tingkah laku S3 untuk melancarkan proses pengajaran
dan pembelajaran dan sebagai rujukan untuk melihat perkembangan pelajar sepanjang tahun.
Berdasarkan analisis dokumen rekod perkembangan tersebut menjelaskan S3 mengalami
gangguan tingkah laku dalam aspek tingkah laku berulang. Gangguan tingkah laku berulang
yang dialami S3 ialah S3 membawa mainan yang sama daripada rumah. S3 juga suka
memusing-musingkan gelung.

Gangguan tingkah laku dalam aspek tingkah laku agresif juga dialami S3 direkodkan oleh
guru kelasnya iaitu S3 menjerit apabila guru mengambil mainan yang dibawanya. S3 juga
menjerit tiba-tiba semasa aktiviti bermain pasir dijalankan. S3 juga bertindak agresif apabila
rakan-rakannya mengambil mainannya.

98
Bagi subjek 4 (S4), pengkaji menganalisis rekod perkembangan pelajar. Rekod
perkembangan ini telah ditulis oleh guru kelas pendidikan khas sebagai rekod perkembangan
pelajar sepanjang bulan pertama persekolahan. Gangguan tingkah laku berulang yang dialami
S4 direkodkan oleh guru kelasnya dalam rekod perkembangan pelajar iaitu S3 hanya makan
makanan tertentu sahaja. Kebiasaannya ibunya akan membekalkan nasi dan ayam goreng. S4
masih melakukan pengulangan tingkah laku fizikal iaitu ‘handflapping’ dan menyusun objek
contohnya semasa bermain lego, S4 menyusun lego memanjang.

S4 juga dilaporkan mengalami gangguan tingkah laku dalam aspek tingkah laku
agresif. Gangguan dalam yang dialami S4 direkodkan iaitu S4 selalu menangis dan menjerit
tanpa sebab. S4 menggigit bbirnya sendiri apabila marah. S4 juga bertindak agresif apabila
rakannya mengganggu dengan membaling barang ke arah rakan.

4.3.3.2 Temubual

Laporan dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas menjelaskan
perkembangan kanak-kanak autistik selepas mengikuti aktiviti renang berstruktur. Bagi
laporan dapatan temu bual, hasil dapatan berdasarkan protokol temubual yang telah
disediakan bersama RI dan RG telah ditranskripsikan. Bagi menjawab soalan kajian 1 hanya
perkembangan kanak-kanak autistik dalam interaksi sosial sahaja yang dipilih, manakala
perkara lain yang tidak berkaitan digugurkan.

i. Tingkah laku berulang

Laporan dapatan temubual bersama RI dan RG adalah seperti berikut. Berdasarkan dapatan
temubual RI1 menjelaskan S1 masih melakukan tingkah laku berulang iaitu menutup pintu
namun telah berkuirang. RI1 menyatakan :

“Aaa...,dulu ada...,benda tu...,aaa...,macam tutup pintu...,dia selalu ulang tutup pintu.


Contoh kalau pintu bilik belakang tu memang tak boleh terbuka. Dia tak suka pintu tu
terbuka. Tak taula dia instinct ke apa...,dia rasa pintu tu terbuka dia akan pergi tutup.
Cuma kalau dulu dia suruh kita tutupkan. Sekarang dia buat sendiri. Sekarang pun tak
selalu buat sangatlah, instinct dia da kurang kot...,boleh jek biar buka”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :

99
“Tingkah laku berulang yang dia selalu buat dulu ialah tutup pintu. Tak tau kenapa dia
memang tak suka kalau pintu terbuka. Sekarang ni ok sikitla”. (TB:RG1:TARIKH)
Berdasarkan dapatan temubual RI1 juga menjelaskan S1 suka bertanya benda yang sama
berulang-ulang namun akan berhenti bertanya apabila di marah. RI1 menyatakan :

“Aaa...,dia masih ada. Kalau dulu dia suka bertanya benda yang sama berulang-ulang
selagi dia tak dapat benda tu. Aah...,itu yang saya perasaan. Selagi dia tak dapat
tu...,dia akan..,.emmm..,sampai dia dapat dia macam...,dia akan desak jugak. Sekarang
ni masih jugak tanya...,tanya...,cuma kalau saya marah dia diamla sekejap”.
(TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :

“Kalau dulu dia akan suka bertanya benda yang sama berulang-ulang walaupun saya
sibuk buat kerja lain. Tapi sekarang ini dia dah faham, dia akan tanya pada masa yang
sesuai”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati subjek boleh menerima rutin baru dan perubahan. Ini
dapat dilihat dari segi pilihan mainan, subjek tertarik dengan mainan lain serta cara bermain
juga boleh dipelbagaikan. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI1. RI1 menyatakan
seperti berikut:

“Aaa...,dia...,perkembangan dia...,apa ye? Dia suka legola...,apa...,orang


kata...,memang dia sukala. Cuma., kalau dulu dia main lego...,susun sampai panjang.
Tapi sekarang dia dah pandai buat bentuk macam-macam daripada lego tu. Dia...,lagi
satu...,kita nampak dia suka melukis. Melukis pun sama, dia pandai melukis, tetapi
sebelum ini dia lukis kartun yang sama, sekarang dia boleh lukis banyakla. Dia suka
lukis kartun”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Emm...,kadang tu masih ada...,emmm...,errr...,ha...,dia suka melukis, cuma


perkembangan dia yang saya nampak, kalau dulu dia lukis kartun yang sama,
sekarang dia lukis macam-macam”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dari segi pemakanan juga subjek boleh menerima pelbagai jenis makanan. Dapatan
temubual mendapati S1 tidak memilih makanan. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama
RI1. RI1 menyatakan seperti berikut:

“So Far dia...,err...,dia boleh makan macam-macam dah. Dia boleh tolerrate. Lauk tak
kisah ayam ke, telur pun boleh. Sayur jekla tak makan. Rasa tu biasala budak-
budakkan”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

Emmm...,selama ni saya tengok mak dia memang bekalkan makanan untuk dia. Dia
memang rajin bawak bekal. Tapi makanan tu pelbagaila. Dia memang dah boleh
makan pelbagai jenis makanan. Kadang nampak lauk ayam, ikan pun ada,

100
telur...,macam-macamla. Cuma dia makan bekal sendiri la. Dia tak membeli di
kantin”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan juga mendapati tingkah laku berulang S2 semakin berkurang. Ini dapat
dilihat berdasarkan dapatan temubual RI2. Ini dijelaskan melalui penyataan berikut :

“Dulu dia suka tengok benda berpusing macam tayar kereta mainan, dia akan tengok
lama-lama. Memang kalau dia tengah ralit, tak boleh diganggu. Sekarang ni masih
lagi suka, tapi bila saya tegur, dia akan berhenti tengok. Dia sibuk nak menyanyi
jugak. Macam-macamla. Dia menghafal lagu didie and friend tu la. Tapi dia tak la
nyanyi lagu sama jekkan. Banyak lagu la dia boleh ikut ”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. RG2 menyatakan seperti berikut :

“Hmmm...,errrrr...,yang ni saya tak berapa pasti. Kalau dia marah...,dia akan goyang-
gpyangkan badan. Tapi sekarang da kurang sangat. Macam dia suka main benda
berpusing. Yang ni tingkah laku berulang kan? Selalu saya bagi dia main spinner, dia
memang boleh main lama. Kalau saya suruh berhenti dia marah. Sekarang pun masih
suka tapi saya bagi sebagai ganjaran kalau dia siap kerja”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 masih melakukan tingkah laku berulang namun
begitu lebih positif berbanding sebelum ini. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI2.
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dia suka main lego. Cuma sekarang saya nampak cara dia main lego dah bertambah
baik. Kalau dulu dia dia akan main susun sampai panjang. Tapi sekarang dia dah
pandai membuat pelbagai bentuk daripada lego.. Dia juga suka main tanah liat.
Sekarang dah boleh buat pelbagai bentuk daripada tanah liat”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :
“Dia juga suka main tanah liat. Dulu dia pandai buat bentuk skuter je. Sekarang ni dia
boleh buat orang, haiwan dan macam-macam bentuk lagi la”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual mendapati S2 boleh menerima pelbagai jenis makanan. Ianya di nyatakan
dalam temubual bersama RI2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dari segi makanan, dia suka makan macam-macam. Nasi ke mi semua dia makan.
Telur pun dia makan. Cuma kesukaan dia ayam goreng. Ikan dia memang tak makan.
Makanan..., makanan beratla. Yang ringan-ringan ni tak nak. Selalu memang nak nasi.
Tu sebab badan macam tu. Haha. Makanan manis la sekarang dia suka, tapi saya tak
bagi la makan malam-malam takut dia tak tidur. Dia berjaga kalau lebih gula ni”.
(TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :
“Aaa...,errr...,dari segi pemakanan, dah boleh terima macam-macam jenis makanan.
Kalau dulu hanya makan ayam. Kalau tak ade ayam dia tak makan. Sekarang ni dia
makan kalau RMT ada telur, ada ayam dia akan makan” . (TB:RG2:11.01.2022).

101
Dapatan temubual ibu bapa dan guru S3 juga mendapati tingkah laku berulang S3 semakin
berkurang. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual RI3. Contohnya dalam ayat
berikut:

Aaa...,ooo...,tingkah laku berulang...,aaa...,dia kalau dia dah bosan takde buat


apa...,dia baring menerap...,pusing-pusing. Dia masih ada jugak sikit-sikit hand
flapping. Kalau suka sangat dia melompat-lompat. Tapi nak banding dulu...,boleh
kata...,makin kurangla. Kadang-kadang je dia masih buat tingkah laku berulang ni.
Masih ada lagi lompat-lompat depan televisyen kalau dia excited tengok cerita.
Aaa...,yang satu ni la masih kerap. Kalau dia pusing buku tu...,masih buat. Saya cakap
‘buku tu pening, kesian dia’...,dia berenti la pusing” (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual guru pendidikan khas S3, Responden guru S3 (RG3).
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Setakat yang saya nampak semasa mengajar, tingkah laku berulang yang dia selalu
buat tepuk tangan, melompat dan satu lagi dia kejangkan badan dia...,macam kaku.
Lepas tu dia suka goyang-goyangkan kaki berulangan...,dah jadi macam habit dia.
Tapi kalau nak bandingkan dengan sebelum ini, masa awal tahun hari itu rasanya
tingkah laku ni dah kurang la”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S3 boleh menerima rutin baru. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Begitu juga dengan mainan, kalau saya bawa pergi kedai 2 ringgit, dulu dia wajib
beli tanah liat, raket dan bulu tangkis. Kalau tak beli akan tantrum la kat situ.
Sekarang dia akan pilih mainan-mainan lain juga. Tapi memangla dia payah nak ubah
rutin. Jadi kita buat rutin yang baik. Macam sakarang saya buat rutin solat kecuali
subuhla...,payah sikit nak kejut tidur. Dia tau...,dia buatla...,ikut step. Ambik
wuduk...,pakai songkok...,bentang sejadah. Nak dapatkan rutin dia tu dua tiga bulan
jugaklah. Aaa...,jadi ibu bapa kepada anak autisme ni kita...,kita kena buat rutin yang
jelas. Kita nak dia ikut rutin yang baik...,kita kena buat sekali. Macam sekarang, dia
suka nasyid...,suka dengar ayat quran..,.mengaji”. (TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :

“Dia suka main tanah liat, selalu dia bawa tanah liat dari rumah. Dulu, dia suka buat
nombor jek. Sekarang ni...,macam-macam bentuk dia boleh buat. Kalau saya tunjuk
dia boleh ikut. Kelebihan dia saya nampak dia kreatif”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga menjelaskan S3 tidak lagi memilih makanan. Namun begitu S3 suka
makan makanan berat seperti nasi berbanding makanan ringan seperti kuih muih.

“Aaa...,dia picky eaters. Aaa...,tapi sekarang ni...,dia...,ada...,da boleh cuba-cuba.


Makanan dia akan cium dulu. Dia dah boleh terima. Berbanding dulu dia suka ayam
je. Paling suka ayam goreng KFC guna tepung bestari tu la. Makanan dia sukala kari
ayam, kurma ayam. Dia makan makanan berat je. Kudap-kudap macam kuih-kuih kita
makan ni dia takde...,tak makan”. (TB:RI3:12.12.2021)

102
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :
“Dari segi pemakanan, dia akan makan makanan yang disediakan, pelajar PK dapat
RMT contoh mi goreng, nasi goreng, mihun semua dia makan cuma kena ada ayam,
baru nampak dia selera. Macam sekarang makan di kelas dalam tapau, kalau dia tak
suka dia tutup jekla tapau tu. Nampak dia suka nasi la. Memang kalau nasi dia makan
perabih”. (TB:RG3:14 01 2022)

Dapatan temubual bersama ibu bapa dan guru S4 mendapati tingkah laku berulang S4
semakin berkurang. Ini dapat dilihat berdasarkan dapatan temubual RI4. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Tingkah laku berulang makin kurang. Dia ni tingkah laku berulang dia banyak,
kadang-kadang dia jalan mengundur, angguk-angguk kepala, ‘hand flapping’. Selalu
dia buat masa dia suka...,excited. Dia lompat tinggi, berlari tak berenti. Sekarang ni
dia masih kerap buat hand flapping, yang lain jarang-jarang dia buat. Sebelum ni suka
susun objek, semua benda dia akan susun, pergi kenduri dia akan susun kerusi
memanjang. Sekarang ni dah tak susun dah”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Tingkah laku berulang yang masih dia buat hand flapping macam tepuk tangan
tula...,lompat-lompat. Itu jek kot cuma kalau banding dulu kekerapan tu dah
berkurang”. (TB:RG4:10.01.2022)
Namun begitu, dapatan temubual mendapati S4 masih memilih makanan. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dia makanan...,makan memang dia masih memilih makanan. Kalau tak ade ayam,
dia tak makanla”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. RG4 menjelaskan seperti berikut :

“Aaa...,dari segi makan..,.err...,selalunya ibu dia bekalkan ayam goreng. Macam


makanan yang kat sekolah ni dia tak makan. Tu sebab mak dia bagi bekal tu”.
(TB:RG4:10.01.2022)

ii. Tingkah laku agresif

Laporan dapatan temubual mendapati S1 boleh mengawal tingkah laku agresif dan tidak
pernah melakukan tingkah laku agresif sehingga mencederakan diri sendiri dan orang lain.
RI1 menyatakan :

“Tak taula. Aiman ni takde...,taktaula...,ni pandangan saya...,agresif tu...,dia memang


takde yang agresifla. Nak kata dia tantrum ke...,takdela. Dia dah boleh kawal.
Mungkinla pernah juga tantrum, mengamuk bila tidak dapat barang yang dia nak.

103
Tapi takdela teruk sangat. Tapi tak pernahla sampai mencederakan diri sendiri,
mencederakan orang lain...,tak pernah”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :

“Emmm...,saya pun tak faham dulu dia pernah menangis, marah-marah lama jugak
sampai sejam lebih. Pernah juga tantrum tiba-tiba tanpa sebab. Kalau marah dulu
kadang-kadang dia baling barang, sekarang memang dia dah tak buat. Makin lama
makin terkawalla”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati subjek dapat mengawal tingkah laku menjerit tiba-tiba.
Subjek tidak lagi menjerit tiba-tiba tanpa sebab. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama
RI1 yang menyatakan seperti berikut:

“Kalau dulu dia dia ada juga menjerit tiba-tiba, baling barang. Dari segi menjerit tiba-
tiba pun berkurang. Mungkin sebab dia boleh cakap jadi kita dah faham kehendak
dia, tingkah laku agresif dia tekde sangat dah”. (TB:RI1:11.11.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG1 menyatakan seperti berikut :

“Sekarang dia dah boleh berkomunikasi, dia boleh bagitahu kemahuan dia, jadi
mungkin sebab tu dia dah tak tantrum”. (TB:RG1:07.01.2022).
Dapatan temubual mendapati tingkah laku agresif S2 juga telah berhenti. Ianya di nyatakan
dalam temubual bersama RI2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Sekarang ini dia memang...,kurang..., banyak kurangla. Sebelum ini dia...,pernah


juga tantrum, mengamuk bila tidak dapat apa yang dia nak. Aaa..,kalau hari pegi
renang...,haa..memang under controlla..dia macam elok jek. Macam mencederakan
diri sendiri, mencederakan orang lain dari dulu memang takdela”. Cuma...,Zakiah
taula kan..,budak-budak autisme ni kederat dia kuat. Kalau dia meronta-ronta tu
kadang sakit jugak kita”. Tapi tu dulula...,dulula. Sekarang ok. Tantrum tu la memang
berhenti la. Cuma kena faham apa dia nak. Lepas tu maintain latihan..., macam saya
memang maintain renang la. Memang membantu. Sangat membantu. Dia
cergas...,metabolisme bagus. Dari situ dia punya tingkah laku yang macam dulu ada
mengamuk, tantrum tu kurang”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Emmm...,aaa...,Sekarang ini dia memang takde tingkah laku agresif. Sepanjang saya
mengajar, tingkah laku agresif macam mencederakan diri sendiri, mencederakan
orang lain memang tak pernah dia buat. Cuma dulu dia ada jugakla baling barang,
musnahkan barang-barang bila marah. Sekarang ni da tak buat macam tu lagi”.
(TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual mendapati tingkah laku agresif S2 iaitu menjerit tiba-tiba tanpa sebab juga
telah berhenti. Ianya di nyatakan dalam temubual bersama RI2. Contohnya ditunjukkan
dalam dialog berikut:

104
“Dulu...,dia selalu jerit tiba-tiba..., Tak tau sebab apa. Dia nak bagitau apa yang dia
nak, tapi saya tak faham tu yang dia menjerit jek. Sekarang ni dia boleh cakap sikit-
sikit sepatah-patah jek, saya faham apa yang dia nak jadi kuranglah menjerit-jerit tu
da kurang sangat. Itula kata, nak kena buat sesuatu yang dia boleh jadi penat. Macam
bawak berenang tu, bila berenang...,bila penat tu dia macam ada satu suis on kat mind
dia kan, dia jadi boleh control. Tak taula. Tu yang saya rasa la”. (TB:RI2:16.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG2. Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut :

“Sekarang dia dah boleh bercakap, jadi dia dah boleh bagitahu apa yang dia nak. Jadi
yang menjerit tak tau sebab tu da reduce sikit.. Kadang-kadang jekla tiba-tiba menjerit
tu mungkin ada yang dia nak bagitahu tapi saya tak faham. Dia jerit pun, kalau kawan
dia kacau dia jekla”. (TB:RG2:11.01.2022).
Dapatan temubual juga mendapati tingkah laku agresif seperti mencederakan diri
sendiri dan mencederakan orang lain telah berhenti dilakukan oleh S3. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Alhamdulillah...,tingkah laku agresif dah takde. Agresif dia takde. Macam


mencederakan diri sendiri takde, mencederakan orang lain tak pernah. Dulu dia gigit
tangan dia sendiri kadang-kadang sampai berdarah, sekarang ni dia tak gigit dah.
Baling benda tu adalah..Dengan adik dia...,bila gaduh macam-macam..kalau saja-saja
nak baling tanpa sebab tu tak pernah la. Dia dah makin besar ni, lama-lama...,yang
selalu dia buat tak elok tu...,ilang...,sikit...,tapi tu la kena train. Tak mudah nak hilang.
Renang ni banyak bantu...,masa belajar renang tu dia bukan belajar renang jek.
Banyak...,banyak yang coach ajar, communicate, social, behave”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :
“Setakat saya mengajarla, dia tak pernah tunjuk tingkahlaku agresif sampai nak
mencederakan diri sendiri ke orang lain. Dia pun tak pernah tantrum di sekolah.
Cuma ibu dia pernah cerita yang dia gigit tangan dia sebelum ni...,Dia tak kacau
orang...,dia sangat baik. Dengan cikgu dia manja, duduk atas riba cikgu. Dia cuma
jangan kawan usik dia. Kalau kawan usik dia, ambik mainan dia, dia pukul jugak
kawan tu”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S3 tidak lagi menjerit tiba-tiba tanpa sebab.
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Dulu dia akan menjerit kalau sakit, tapi saya tak faham. Sekarang ni dia da boleh
tunjuk dia sakit. Kalau sakit perut dia pegang perut. Jadi saya dah faham, dia pun da
kurang la menjerit tak tentu pasal. Dia cuma marah...,dia jerit kalau kita tak bagi dia
tengok tv. Dia tengah sedap tengok tv kita tutup. Biasalah budak lain pun marah. Dia
akan cakap ‘nak...,nak...,’ ulang-ulang sampai kita runsinglah. Kadang terpaksa bagi
jugak. Kalau tak nak bagi dia tengok tv kene sorok remote awal-awal. Tapi kadang dia
cari jugak. Marah jugak kalau tak jumpa. Ada sesekali pernah juga menjerit tiba-tiba,
mungkin dia teringat cerita-cerita yang dia suka, ada jugak menjerit tiba-tiba tu.
Macam cerita upin-upin dia suka, kadang tu dia jerit panggil nama ‘Salleh’,
‘Ehsan’..’Oppah’. Selalu dalam keretalah. Mungkin dia bosan tu yang dia jerit.

105
Sekarang suka nasyid, duk nyanyi nasyidla. Dia keluar abis suara dia”.
(TB:RI3:12.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG3. Contohnya seperti berikut :
Dulu dia marah bila cikgu ambik tanah liat dia, dia menjerit marah-marah jugak. Dia
selalu juga menjerit tiba-tiba..kita tak tahu sebab apa. Tapi bila guru-guru terangkan
melalui cerita sosial, peraturan-peraturan di kelas, contohnya jangan menjerit,
sekarang makin berkurang. Dia cakap pun polite jek sekarang...,dia mintak, dia cakap
nak”. (TB:RG3:14 01 2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 tidak lagi melakukan tingkah laku agresif.
Contohnya ditunjukkan dalam dialog berikut:

“Selalu dia marah...,kalau marah dia tuju orang yang lemah...,rentap tangan orang tu.
Selalu dia tuju opah diala. Kadang-kadang dia marah, tiba-tiba dia mengamuk. Itu
kalau dia marah dulula. Selalunya gitula dulu. Ni dah kurang sikit suka marahnya.
Kebanyakannya sekarang dia marah, adik-adik diala kacau kan. Biasela budak-budak
nakal kan. Dia tau abang dia gitu, dia ngusik jugak. Kene marahla.
Tapi...,Alhamdulillah sekarang ni marah jugak tapi tak le sampai mencederakan diri
sendiri, mencederakan orang lain memang dah berhenti. Dulu...,dulu, dia gigit tangan
dia sendiri kadang-kadang sampai berdarah, sekarang ni dia tak gigit dah. Macam
dulu ada jugak marah dia tolak kerusi, tendang pintu.”. (TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya seperti berikut :

Emmm..Setakat saya mengajarla, dia tak pernah tunjuk tingkahlaku agresif. Tak
pernah tantrum dalam sekolah. Dia suka sekolah. Dulu pernah la kalau kawan kacau
dia balas balik. Sekarang ni dia memang duk sorang-sorang jadi kawan-kawan takde
kacau dia sangat sebab dia dah besar. Dia dah umur 07 kan jadi kawan-kawan tak
berani kacau. Tapi kalau dia rimas, biasa dia rimas kalau kawan-kawan dia bising dia
rentap tie dia sendiri. Tie banyak kali beli dah tahun ni”. (TB:RG4:10.01.2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 masih melakukan tingkah laku agresif menjerit
tiba-tiba namun telah berkurang. Contohnya ditunjukkan dalam dialog SI4 berikut:

“Tingkah laku agresif menjerit tiba-tiba memang selalu sangat la. Tapi sekarang dah
makin berkurang. Walaupun dia masih belum boleh bercakap, tapi saya sendiri dah
lebih faham kehendak dia, tu yang tantrum dia pun semakin berkurang. Cuma...,dia
selalu...,tiba-tiba dia jerit ‘Allah’...,Astaghfirullah. Kita terkejut pergi tengok kot ada
apa-apa. Tapi takde apa pun. Kot dia teringat apa....,tu dia jerit, berlari.”.
(TB:RI4:19.12.2021)
Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya seperti berikut :
“Aaa...,err...,nak yang masa terkini ni kan. Masa terdekat ni takde sangatla. Menjerit
tiba-tiba masih lagi ada. Tapi terkawal sikit. Kalau dia menjerit, guru-guru akan
tenangkan dia, guru-guru pun dah faham cara nak handle bila dia menjerit tu. Jadi
takde masalah sangat”. (TB:RG4:10.01.2022)
Dapatan temubual juga mendapati S4 masih membaling barang. Contohnya
ditunjukkan dalam dialog SI4 berikut:

106
“Cuma kadang-kadang bila marah, Dia baling barang”. (TB:RI4:19.12.2021)

Dapatan ini disokong melalui temubual RG4. Contohnya seperti berikut :

“Aaa...,baling barang saya rasa pernahla. Dia masih baling barang kalau dia marah.
Tapi takla sampai cederakan orang”. (TB:RG4:10.01.2022)

4.3.3.3 Pemerhatian

Dapatan pemerhatian menyokong dapatan temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas di
atas. Pemerhatian dilaksanakan oleh jurulatih renang menggunakan senarai semak
pemerhatian yang telah disediakan penyelidik. Jurulatih juga membuat catatan berkenaan
perkembangan subjek berdasarkan item-item di dalam senarai semak tersebut. Bagi aspek
tingkah laku berulang terdapat tiga item yang dinilai. Manakala bagi aspek tingkah laku
agresif terdapat lima item yang dinilai.

JADUAL 4.3
Analisis Dapatan Pemerhatian Tingkah Laku
Item Skor Subjek
3.1 Tingkah laku berulang S1 S2 S3 S4
C1. Menyusun objek. 3 3 3 3
C2. Mengulang perkataan atau ayat tertentu. 2 2 1 1
C3. Pengulangan kelakuan fizikal (contoh : menepuk 3 2 1 1
tangan / berjalan ulang alik).
3.2 Tingkah laku agresif
C4. Menunjukkan tingkah laku agresif sehingga 3 3 3 3
mencederakan diri sendiri.
C5. Menunjukkan tingkah laku agresif sehingga 3 3 3 3
mencederakan orang lain.
C6. Menunjukkan tingkah laku agresif seperti menjerit 2 2 2 2
secara tiba-tiba.
C7. Menunjukkan tingkah laku agresif sehingga 3 3 3 1
memusnahkan objek.
C8. Menunjukkan tingkah laku agresif apabila disentuh. 3 3 3 3

Skala : 3 - Tidak pernah 2 - Kadang-kadang 1 – Selalu

i. Item C1 iaitu ‘menyusun objek’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah
subjek masih melakukan tingkah laku berulang iaitu menyusun objek. Bagi item C1 keempat-
empat subjek mendapat skor 3 iaitu ‘tidak pernah’. Jurulatih mendapati keempat-empat
subjek tidak pernah menunjukkan tingkah laku berulang menyusun objek.

107
ii. Manakala bagi item C2 iaitu ‘Mengulang ayat atau perkataan tertentu.’ dirangka
adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek menunjukkan tingkah laku berulang dari
aspek pengulangan ayat atau perkataan. Bagi item C2, S1 dan S2 mendapat skor 2 iaitu
‘kadang-kadang’. Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati S1 dan S2
mengulang ayat yang difahami oleh jurulatih. Contohnya S1 bertanya soalan berulang-ulang.
Manakala S2 mengulang ayat yang dikatakan oleh jurulatih. S3 pula mendapat skor 1 iaitu
‘selalu’. S3 selalu menyebut nama-nama karakter dalam cerita Upin & Ipin. Manakala S4
selalu mengulang perkataan yang tidak difahami oleh jurulatih.

iii. Item C3 iaitu ‘pengulangan tingkah laku fizikal (contoh : menepuk tangan / berjalan
ulang alik)’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek menunjukkan tingkah
laku berulang dari aspek kelakuan fizikal. S1 mendapat skor 3 iaitu ‘tidak pernah’. Semasa
pemerhatian dilaksanakan S1 tidak pernah menunjukkan pengulangan tingkah laku fizikal.
Seterusnya S2 mendapat skor 2 iaitu ‘kadang-kadang’. Semasa pemerhatian dilaksanakan
jurulatih mendapat S2 melakukan pengulangan tingkah laku fizikal iaitu menggoyang-
goyangkan badan dan kepala namun begitu tidak kerap.Manakala S3 dan S4 mendapat skor 1
iaitu ‘selalu’. Jurulatih mendapati S3 kerap melakukan pengulangan tingkah laku fizikal
antaranya baring di kawasan lapang di tepi kolam, tepuk tangan tanpa sebab tertentu dan
melompat. S4 juga kerap menunjukkan pengulangan tingkah laku fizikal antaranya ‘hand
flapping’, melompat dan mengganggukkan kepala.

iv. Item C4 iaitu ‘Menunjukkan tingkah laku agresif sehingga mencederakan diri
sendiri’ dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek menunjukkan tingkah
laku agresif sehingga mencederakan diri sendiri. Keempat-empat sampel kajian menunjukkan
skor 3 iaitu ‘tidak pernah’ bagi item ini. Semasa pemerhatian dilaksanakan jurulatih
mendapati keempat-empat subjek tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif sehingga
mencederakan diri sendiri.

v. Item C5 ‘menunjukkan tingkah laku agresif sehingga mencederakan orang lain’


dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek menunjukkan tingkah laku
agresif sehingga mencederakan diri sendiri dan orang lain. Keempat-empat sampel kajian

108
menunjukkan skor 3 iaitu ‘tidak pernah’ bagi item ini. Semasa pemerhatian dilaksanakan
jurulatih mendapati keempat-empat subjek tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif
sehingga mencederakan orang lain.

vi. Item C6 iaitu ‘Menunjukkan tingkah laku agresif seperti menjerit secara tiba-tiba’
dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek masih menunjukkan tingkah laku
agresif iaitu menjerit tiba-tiba. Keempat-empat sampel kajian menunjukkan skor 2 iaitu
‘kadang-kadang’ bagi item ini.

Semasa pemerhatian dilaksanakan, jurulatih mendapati bahawa keempat-empat subjek


masih menunjukkan tingkah laku agresif menjerit tiba-tiba. Namun begitu subjek menjerit
dalam situasi tertentu sahaja. Contohnya S1 akan menjerit apabila penat. S2 akan menjerit
apabila tidak dapat apa yang dikehendaki, S3 menjerit apabila jurulatih memaksa subjek
untuk memakai google dan pelampung. Manakala S4 akan menjerit apabila ibunya mengajak
pulang.

vii. Item C7 iaitu ‘Menunjukkan tingkah laku agresif sehingga memusnahkan objek’
dirangka adalah bertujuan untuk mengetahui adakah subjek menunjukkan tingkah laku
agresif sehingga memusnahkan objek. S1, S2 dan S3 mendapat skor 3 iaitu tidak pernah bagi
item ini. Semasa pemerhatian dilaksanakan jurulatih mendapati Ketiga-tiga subjek tidak
pernah menunjukkan tingkah laku agresif sehingga memusnahkan objek.

Manakala S4 mendapat skor 1 iaitu ‘selalu’. Semasa pemerhatian dilaksanakan,


jurulatih mendapati S4 akan marah apabila ibunya mengajak pulang. S4 akan membaling
kerusi ke dalam kolam.

viii. Bagi item C8 iaitu ‘Menunjukkan tingkah laku agresif apabila disentuh.’ Item ini
dirangka bertujuan untuk mengetahu adakah subjek menunjukkan tingkah laku agresif
apabila disentuh. Keempat-empat subjek mendapat skor 3 iaitu ‘tidak pernah’. Semasa
pemerhatian dilaksanakan jurulatih mendapati subjek tidak pernah melakukan tingkah laku
agresif apabila disentuh.

109
Berdasarkan triangulasi data antara temubual ibu bapa dan guru pendidikan khas dan
triangulasi kaedah antara temu bual dan pemerhatian yang telah dijalankan, kesan aktiviti
renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam tingkah laku ialah
pengulangan tingkah laku fizikal berkurang. Perkembangan subjek dilihat apabila tingkah
laku berulang tidak selalu dibuat, kadang-kadang sahaja melakukan tingkah laku berulang,
bila ditegur akan berhenti melakukan tingkah laku berulang dan tidak lagi menyusun objek.
Perkembangan lain yang dijelaskan melalui dapatan di atas ialah pengulangan ayat /
perkataan hanya dilakukan pada masa yang sesuai dan subjek boleh menerima rutin baru /
perubahan.
Seterusnya, subjek juga menunjukkan penurunan tingkah laku agresif. Data temubual
serta pemerhatian yang dikumpulkan mendapati bagi aspek tingkah laku agresif, subjek telah
berhenti melakukan tingkah laku agresif sehingga mencederakan diri sendiri dan
mencederakan orang lain. Begitu juga tingkah laku agresif memusnahkan objek dan menjerit
tiba-tiba telah berkurang. Ini dijelaskan di mana subjek boleh mengawal emosi, tiada lagi
tantrum dan tidak lagi membaling barang.

Oleh itu, berdasarkan analisis di atas menjelaskan kesan aktiviti renang berstruktur
terhadap perkembangan kanak-kanak autistik dalam tingkah laku ialah dalam aspek tingkah
laku berulang, pengulangan tingkah laku masih dilakukan namun semakin berkurang.
Manakala bagi tingkah laku agresif pula terdapat perkembangan positif yang ketara.

110

You might also like