You are on page 1of 11

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 1

FAKTOR DAN MITIGASI

HAKISAN PANTAI
DI TERENGGANU

NOR SUZANA BINTI YUSOF

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 2

Pendahuluan
Selain fenomena banjir, isu hakisan pantai (coastal erosion) merupakan bencana alam yang berlaku
setiap tahun ketika musim tengkujuh bermula. Malaysia mempunyai pantai yang panjang iaitu 8,840
kilometer (km) dengan jumlah pantai yang mengalami hakisan sepanjang 1,347.6 km. Umum
mengetahui, impak hakisan yang berlaku telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap sektor
pelancongan, ekonomi rakyat dan infrastruktur. Hal ini kerana, banyak fasiliti yang dibina seperti rumah,
chalet, premis perniagaan, jalan raya dan sebagainya telah musnah ekoran hakisan yang berlaku.

Di negeri Terengganu, boleh dikatakan saban tahun kawasan pantai yang terhakis semakin serius.
Terengganu mempunyai jumlah panjang pantai 244 km dengan hakisan sepanjang 155.2 km iaitu 63.6
peratus. Malahan, pantai Terengganu antara pantai yang banyak mengalami hakisan yang kritikal
diikuti Pahang dan Kelantan. Di Pantai Timur khususnya negeri Terengganu, isu hakisan pantai antara
perkara yang bukan sahaja membelenggu kerajaan negeri tetapi juga penduduk di sekitar kawasan
pesisiran pantai sejak 1970-an lagi.

Pada bulan November lalu ketika musim tengkujuh, Terengganu bukan sahaja mengalami bencana
banjir tetapi juga hakisan pantai yang memberi kesan terhadap banyak aspek. Rumah mahupun kedai-
kedai makan yang dibina penduduk berhampiran pantai banyak musnah ekoran dilanda ombak yang
besar. Perkara ini tidak terkecuali boleh mengancam nyawa penduduk setempat. Terdapat 30 kawasan
pantai yang terjejas antaranya Pantai Teluk Lipat dan Teluk Gadong, Dungun; Pantai Rhu Rendang,
Pantai Rusila, Pantai Rhu Renggeh dan Pantai Rhu Dua, Marang serta Pantai Maras dan Tok Jembal,
Kuala Nerus (Kosmo,2021).

Lazimnya, fenomena hakisan yang berlaku disebabkan dua faktor utama sama ada faktor fizikal atau
semula jadi dan kegiatan manusia. Faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan berlaku disebabkan
agen-agen fizikal yang mempengaruhi pembentukan landskap di pinggir pantai. Manakala, faktor
kegiatan manusia yang membina penempatan, pembangunan, infrastruktur dan sebagainya tanpa
kawalan boleh menyebabkan hakisan pantai turut berlaku. Secara asasnya, kejadian hakisan ini tidak
dapat dielakkan melainkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan semasa melaksanakan
sebarang pembangunan di kawasan yang berisiko dilakukan dengan mengambil kira impak yang akan
berlaku.

Ekoran permasalahan ini, boleh dikatakan setiap tahun sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun
kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan yang proaktif dalam menyelesaikan isu hakisan pantai
yang semakin meruncing ini. Antara langkah-langkah yang dilakukan termasuk pembinaan lapis
lindung batu (rock revetment), menambun pasir, benteng pemecah ombak (breakwater) dan
sebagainya dalam mencegah dan mengurangkan hakisan pantai daripada terus berlaku di seluruh
negeri. Hakikatnya, isu hakisan di Semenanjung Malaysia masih berterusan meskipun pelbagai usaha
yang membabitkan belanja berbilion ringgit sudah diambil oleh pihak berkuasa untuk menanganinya.

Penulisan ini memberi fokus terhadap risiko dan faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan pantai
di Terengganu semakin serius. Di samping itu, jenis struktur kawalan hakisan termasuk lapis lindung
batu, Blok Labuan dan benteng pemecah ombak juga dikenal pasti dalam memastikan pencegahan
dan pengawalan bencana hakisan dapat diatasi di Terengganu. Dalam pada itu, pengurusan dan
langkah-langkah pencegahan hakisan pantai yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk jangka masa
pendek mahupun jangka masa panjang dinilai sama ada berkesesuaian ataupun memerlukan
penambahbaikan mengikut kesesuaian kawasan demi kemaslahatan rakyat.

Sekiranya masalah ini tidak diambil tindakan serius, impak yang lebih buruk akan berlaku pada masa
akan datang. Bahkan, hakisan pantai juga boleh merebak dengan meluas dan kemusnahan alam
sekitar serta jumlah kerosakan dan kerugian harta benda pasti akan bertambah setiap tahun.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 3

Risiko Hakisan Pantai di Terengganu


Kejadian luruan monsun antara risiko ancaman
hakisan pantai begitu kritikal berlaku di Terengganu.
Luruan monsun terjadi dengan kehadiran hujan lebat
secara berterusan selama beberapa hari terutama di
Pantai Timur bermula bulan November hingga Mac
setiap tahun. Ia berlaku ketika mana angin sejuk dan
kering datang dari kawasan Siberia bertemu dengan
angin dari Barat Pasifik yang lembap dan panas
(Kosmo,2015).

Malah, setiap musim monsun Timur Laut di Malaysia


berlaku, secara purata terdapat empat hingga lima kali
luruan yang membawa hujan lebat berlaku. Fenomena
ini turut menyebabkan air pasang dan ombak yang
besar berlaku setinggi empat meter. Hal ini turut
menyebabkan kawasan pesisir pantai Terengganu
yang sepanjang 244 km terhakis sedikit demi sedikit
Rajah 1: Peta Monsun Timur Laut
sejak sepuluh tahun lalu. (Sumber: Kosmo)

Selain itu, pantai di Terengganu juga mengalami hakisan yang kritikal apabila setiap tiga tahun
dianggarkan dua hingga dua puluh meter pantai telah tenggelam ke dalam laut. Masalah ini bukan
sahaja memusnahkan penempatan dan harta benda penduduk yang berhampiran dengan pantai tetapi
juga turut mengancam nyawa mereka. Hakisan yang teruk juga telah menyebabkan penempatan
penduduk ditelan ombak sedikit demi sedikit. Tambahan lagi, Terengganu memiliki pantai berpasir yang
agak sensitif dengan hakisan yang menyebabkan negeri ini berisiko mengalami hakisan yang teruk
setiap tahun.

Dalam pada itu, pantai Terengganu tidak mempunyai kawasan yang banyak dengan pokok bakau
berbanding di Pahang dan Johor. Perkara ini juga menyebabkan salah satu kawasan pantai di
Terengganu berisiko berlaku hakisan. Peranan pokok bakau begitu penting sebagai benteng
perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan
pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai Timur.

Faktor Hakisan Pantai Berlaku


Umum mengetahui, hakisan pantai yang berlaku di pantai Malaysia berikutan proses semula jadi yang
tidak dapat dielakkan iaitu daya semula jadi yang saling bertindak di pesisiran pantai seperti ombak,
arus, angin dan air pasang surut. Hakisan pantai yang teruk turut berlaku di negeri-negeri Pantai Timur
ekoran cuaca yang buruk dan ribut taufan di Laut China Selatan semasa musim tengkujuh setiap tahun.

Satu daripada kesan perubahan iklim adalah peningkatan paras air laut global. Sejak seabad yang lalu,
paras air laut global meningkat dan dijangka akan terus meningkat pada kadar lebih cepat sepanjang
abad ke-21. Para saintis menyatakan paras air laut dijangka meningkat sehingga 1.3 meter (m)
menjelang tahun 2100 sekiranya permukaan bumi lebih panas daripada 3.5 darjah celsius. Begitu juga
dengan kawasan pesisiran pantai Malaysia yang akan ditenggelami sehingga 0.2 m hingga 1.06 m
menjelang tahun 2100 (Lee,2015). Perkara ini tidak mustahil dengan peningkatan kadar kenaikan paras
air laut, kejadian banjir dan hakisan pantai saban tahun boleh mempengaruhi keadaan Pantai Timur
Semenanjung Malaysia dan menenggelamkan tanah-tanah yang rendah sedikit demi sedikit.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 4

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kekerapan hakisan pantai di Malaysia berlaku sama ada
kombinasi fenomena alam semula jadi mahupun kegiatan aktiviti manusia. Fenomena semula jadi
seperti pendedahan tiupan angin kencang, ombak yang tinggi dan arus lautan boleh mengakibatkan
hakisan berlaku. Ombak yang tinggi berlaku disebabkan perubahan (morfologi) pantai dan kehadiran
tiupan angin yang kuat.

Walaupun hakisan pantai berlaku akibat fenomena


alam, namun begitu aktiviti manusia yang tidak
terkawal juga turut mempengaruhi geomorfologi
pinggir pantai. Pembangunan di kawasan
persisiran pantai yang tidak mampan bukan sahaja
menjejaskan alam sekitar tetapi juga turut
mempengaruhi komuniti di kawasan tersebut.
Antara aktiviti manusia yang menyebabkan
hakisan bertambah serius adalah pembangunan
pelancongan seperti pembinaan resort, hotel,
jambatan dan sebagainya. Bahkan, kemusnahan
hutan bakau dan pengorekan pasir yang tidak
terkawal untuk pelbagai tujuan pembangunan turut
mempengaruhi morfologi pantai dan menyebabkan
Rajah 2: Hakisan Pantai di Kg Pengkalan Maras hakisan berlaku dengan serius.
(Sumber: Berita Harian)
Merujuk kenyataan Pensyarah Pusat Pengajian
Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Dr. Effi Helmy Ariffin, terdapat
empat faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan pantai berlaku dengan serius di Terengganu.
Pertama, garis pantai yang sangat panjang di negeri Terengganu iaitu 244 km dan terbuka luas yang
terdedah kepada pelbagai ancaman bencana alam dari Laut China Selatan. Hal ini juga sekali gus
menyebabkan hakisan pantai turut berlaku. Kedua, peningkatan ketinggian ombak Laut China Selatan
setiap tahun yang menghempas Pantai Timur terutama Terengganu ketika musim tengkujuh telah
mengakibatkan hakisan bertambah serius. Dianggarkan 1.5 meter paras ombak yang memukul pantai
negeri tersebut pada musim tengkujuh kali ini.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pantai yang menghadap Laut
China Selatan biasanya berpasir dan memiliki laut yang terbuka dengan membawa angin kencang dan
ombak kuat berbanding di Selat Melaka yang terlindung. Di samping itu, tiupan angin yang kencang
menyebabkan ombak yang kuat sekali gus menarik pasir di pantai ke tengah laut. Tambahan pula,
pantai yang berpasir lebih senang terhakis dan tenggelam ke dasar laut.

Lain daripada itu, fenomena pusuan ombak iaitu pertembungan antara ombak dengan air pasang besar
turut berlaku. Keadaan ini telah memberi satu tenaga kinetik luar biasa yang mampu menghakis
permukaan pantai dengan lebih banyak dan pantas. Dalam pada itu, lambakan pasir yang tersumbat
di kebanyakan muara lembangan sungai utama sehingga membentuk pulau jadian sejak puluhan tahun
lalu merupakan salah satu faktor hakisan pantai terjadi.

Jenis Struktur Kawalan Hakisan


1. Lapis Lindung Batu
Pembinaan lapis lindung batu (rock revetment) merupakan langkah sementara pengawalan hakisan
pantai daripada ombak besar berlaku. Lapis lindung ialah struktur daratan dengan fungsi utama
melindungi garis pantai daripada hakisan. Struktur ini terlentur dan mempunyai perisai batuan atau
konkrit blok tuang. Lain daripada itu, ia merupakan struktur yang agak ringan dan amat sesuai dengan

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 5

lokasi yang bebas daripada serangan ombak besar. Stuktur ini juga dikatakan fleksibel dan terdiri
daripada batu atau blok konkrit yang saling mengunci antara satu sama lain.

Lapis lindung batu dibina di kawasan pesisir pantai sebagai langkah jangka masa pendek dalam
menangani hakisan pantai. Hal ini kerana, penggunaan lapis lindung batu seperti di Pantai Mengabang
Telipot dan Pengkalan Maras, Kuala Nerus sebelum ini adalah tidak sesuai dengan kehadiran ombak
yang besar yang menyebabkan hakisan lebih teruk turut berlaku di kawasan pantai sehingga merebak
ke kawasan lain. Dalam pada itu, pembinaan lapis lindung batu kurang diterima oleh penduduk
setempat terutama nelayan kerana kehilangan pantai rekreasi, peluang pekerjaan dan kawasan
pendaratan nelayan sekiranya struktur ini dibina sepanjang pesisir pantai.

2. Blok Labuan
Blok Labuan (Labuan Blocks) adalah struktur blok
jisim konkrit bagi mengurangkan tenaga ombak dan
membolehkan garis pantai negara dapat dilindungi.
Struktur ini antara langkah kawalan hakisan pantai
yang berkesan dalam mengatasi masalah hakisan
yang berlaku di negara ini. Tambahan pula, ombak
yang membawa endapan pasir ke pesisiran pantai
dapat menambak secara semula jadi. Hal ini kerana
peranan Labuan Blocks ini tidak menganggu proses
pengangkutan endapan.

Secara signifikannya, walaupun Blok Labuan ini


mudah, cepat dan kos yang murah berbanding
pembinaan lapis lindung batu, namun begitu ia
Rajah 4: Blok Labuan hanya dapat memberi perlindungan jangka masa
(Sumber: JPS) pendek sahaja iaitu tiga hingga lima tahun. Bahkan,
stuktur ini agak terbatas dengan bahagian atas pantai berpasir. Sehubungan itu, ia tidak cukup tahan
lasak untuk menghadapi gelombang ombak yang besar.

3. Benteng Pemecah Ombak


Pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater)
merupakan tembok yang dibina bagi bertujuan
mengurangkan kelajuan ombak ketika menghampiri
pesisir pantai. Selain itu, ia juga dapat
mengurangkan tindakan ombak di kawasan
belakang pembinaan struktur berkenaan melalui
penyerapan tenaga ombak dan pantulan. Benteng
ini dapat mewujudkan keadaan air yang tenang
sekali gus proses pemendapan di sepanjang pesisir
pantai terdekat turut berlaku. Perkara ini dapat
mengurangkan hakisan tebing pantai selain
mengelakkan muara tertutup akibat daripada
pemendapan pasir yang berlaku.
Rajah 3: Pemecah ombak di Kuala
Terengganu Strategi ini dikatakan boleh bertahan lebih lama dan
(Sumber: JPS) dapat mengatasi masalah hakisan pantai yang
berlaku walaupun pembinaannya memerlukan kos yang tinggi. Sehubungan itu, banyak benteng
pemecah ombak dibina di kawasan yang kritikal dengan hakisan termasuk di pantai Terengganu.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 6

Mitigasi Hakisan Pantai


Polemik masalah hakisan pantai banyak dibincangkan di dalam dan luar negara untuk mencari
penyelesaian yang jitu dengan perspektif yang beza. Menyedari kejadian hakisan pantai yang semakin
kritikal dengan melihat impak yang besar berlaku, pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa
demi memastikan isu ini dapat diatasi secara komprehensif. Boleh dikatakan pelbagai cara yang
digunakan oleh kerajaan terutama di negeri Terengganu dalam menghalang dan mengawal hakisan
daripada berlaku. Ia termasuk pembinaan pelbagai jenis struktur yang digunakan sebagai langkah
pencegahan dan pengawalan hakisan sama ada untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa
panjang. Antara jenis struktur yang dilakukan seperti menambak pantai, menambun pasir, membina
lapis lindung batu dan benteng pemecah ombak.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan


Teknologi Hijau Terengganu, Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan untuk projek pemulihan
hakisan pantai yang kritikal di Terengganu baru-baru ini. Antara kawasan yang akan dilaksanakan
segera ialah Pantai Teluk Lipat, Dungun; Pantai Rusila, Marang serta Pantai Tok Jembal dan Maras,
Kuala Nerus. Peruntukan ini merangkumi penambahbaikan hakisan Pantai Teluk Lipat sebanyak RM57
juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022. Manakala, pembinaan pemecah ombak
sepanjang 6 kilometer yang menelan kos RM150 juta akan dilakukan di pantai Rusila serta di pantai
Kuala Nerus akan dilaksanakan pemulihan hakisan dengan kos RM6.17 juta yang dijangka siap pada
tahun 2021.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan zon pantai di seluruh Malaysia ialah Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS). Agensi ini telah lama berperanan dalam menyediakan khidmat kepakaran
pembangunan zon pantai termasuk melaksanakan program pengawalan hakisan pantai. Antara
strategi kawalan hakisan pantai yang digunakan oleh JPS untuk jangka pendek melibatkan kerja-kerja
kejuruteraan dengan pembinaan struktur kawalan hakisan di kawasan yang kritikal. Manakala langkah
jangka panjang, JPS melaksanakan kerja-kerja perancangan guna tanah selain mewujudkan Pelan
Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan - ISMP) dalam menangani
hakisan pantai.

Begitu juga dengan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dengan langkah awal pembinaan
struktur lapis lindung batu sepanjang 200 meter di Kampung Tanjung Gelam Kuala Nerus bagi
mengawal hakisan pantai pada tahun 2018. Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan pembinaan
benteng pemecah ombak dan menambun pasir sepanjang hampir 200 meter di Pantai Pengkalan
Maras, Kuala Nerus pada tahun lepas bagi mengurangkan hakisan pantai daripada bertambah teruk.

Walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan agensi yang terlibat dalam menangani
hakisan pantai, namun begitu hakisan masih lagi berlarutan dan menelan kos yang tinggi untuk
menambah baik kerosakan yang berlaku. Hal ini kerana, kawasan pantai yang dibina tembok batu
mahupun benteng pemecah ombak akan menyebabkan hakisan tetap berlaku ketika ombak yang besar
melanda. Oleh itu, pihak berkuasa disarankan melakukan langkah-langkah mitigasi bagi meningkatkan
daya tahan sebelum zon pantai yang terlibat bakal mengalami kesan yang buruk pada masa depan.
Antaranya perbanyakan pembinaan benteng pemecah ombak bagi kawasan yang begitu kritikal
dengan ancaman hakisan pantai. Pengarah Institut Kejuruteraan Pantai dan Lepas Pantai (IKPLP)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan penggunaan benteng pemecah ombak antara
strategi yang efektif dalam menghalang hakisan pantai berlaku.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 7

Di samping itu, kerajaan juga disarankan melakukan kajian secara mendalam dengan penglibatan
pakar-pakar dalam meminimumkan kos pembinaan benteng pemecah ombak sekali gus tidak
melakukan pembinaan benteng berulang kali di kawasan yang sama. Bahkan, peruntukan yang besar
amat diperlukan dalam melakukan kerja-kerja pembinaan struktur yang bukan sahaja mengurangkan
hakisan tetapi juga dapat mencegah hakisan yang bertambah teruk daripada berlaku dengan
menggunakan semaksimum yang mungkin kepakaran yang dimiliki negara ini.

Sementara itu, kajian secara menyeluruh juga seharusnya dilakukan dalam pembinaan pulau tiruan
atau lagun di kawasan yang kritikal dengan hakisan pantai. Perkara ini perlu melibatkan kerjasama
dengan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan agensi kerajaan. Meskipun pembinaan pulau
tiruan membabitkan kos yang tinggi, sekurang-kurangnya tindakan itu dapat menyelamatkan kawasan
pantai yang belum terhakis daripada mengalami hakisan akibat ombak besar pada musim monsun
timur laut setiap tahun terutama di Terengganu.

Sehubungan itu, kajian berkaitan hakisan pantai di Terengganu memerlukan perbincangan dua hala
yang berterusan dalam mencari jalan penyelesaian yang bijak. Malahan, isu ini tidak boleh
mengharapkan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri sahaja tetapi semua pihak termasuk
masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan secara optimum.

Penutup
Isu hakisan pantai merupakan masalah yang sering menghantui negara Malaysia terutama negeri-
negeri yang berisiko mengalami hakisan yang serius. Para saintis meramalkan paras air laut akan terus
meningkat sehingga menenggelamkan kawasan-kawasan yang rendah. Hakisan pantai secara
hakikatnya berlaku disebabkan fenomena alam semula jadi terutama di pantai Terengganu yang
terdedah dengan angin monsun Laut China Selatan yang berisiko dengan pelbagai bencana.

Perubahan iklim yang berlaku pada hari ini turut menyumbang peningkatan paras air laut. Hal ini terjadi
berikutan kegiatan manusia yang tidak terkawal dalam merosakkan alam sekitar sehingga
menyebabkan hakisan pantai turut berlaku dan memusnahkan tanah-tanah persisiran pantai yang
rendah.

Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak sama ada kerajaan mahupun agensi yang
bertanggungjawab dalam pengurusan zon pantai dan mengawal hakisan daripada terus berlaku. Kos
mengawal hakisan pantai daripada terus merebak telah diperuntukkan begitu banyak oleh kerajaan.
Perkara ini sudah tentu bagi menyelesaikan masalah ini sama ada dengan pembinaan benteng
mahupun lapis lindung batu. Hakisan ini secara terus memusnahkan harta benda awam dan
menjejaskan pendapatan nelayan yang mencari rezeki.

Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, hakisan pantai tetap berlaku setiap tahun yang bukan sahaja
menggugat kemaslahatan rakyat tetapi juga merugikan duit kerajaan untuk melakukan perkara yang
sama. Sehubungan dengan itu, kajian secara teliti perlu dilakukan dalam mencari kaedah yang efisien
dan menjimatkan kos terutama dalam pembinaan tembok penahan ombak yang kekal lama di kawasan
pesisiran pantai yang mengalami hakisan teruk terutama di negeri Terengganu.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 8

SENARAI RUJUKAN

Ariffin, E. H., Mathew, M. J., Yaacob, R., Akhir, M. F., Shaari, H., Zulfakar, M. S. Z., Sedrati, M., &
Awang, N. A. (2018). Beach morphodynamic classification in different monsoon seasons at
Terengganu beaches, Malaysia. Journal of Sustainability Science and Management, 13(Special
Issue 5), 65–74.

Ancaman Hakisan Pantai Terengganu. (21 Januari 2021). Didapatkan dari Kosmo:
https://www.kosmo.com.my/2021/01/21/ancaman-hakisan-pantai-terengganu/

Cadang Bina Pulau Tiruan Atasi Hakisan Pantai. (5 Januari 2021). Didapatkan dari MyMetro:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660667/cadang-bina-pulau-tiruan-atasi-hakisan-
pantai-metrotv

Jaharudin, P., Kamarul, M. D., Abu, T. J., Haslina, M., & Pravinassh, R. (2019). Impact of coastal
erosion on local community: Lifestyle and identity. Disaster Advances, 12(2), 19–27.

Hakisan pantai makin meruncing di semenanjung. (14 Oktober 2019). Didapatkan dari Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/617591/hakisan-pantai-makin-meruncing-
di-semenanjung

Kumar, S. A., Patah, F. M., Annuar, S. S., Bakar, A. A., Jabar, B. H., Subaryati, B., & Idris, S. R. (14
Ogos 2013). Hakisan Pantai 3 Negeri. Didapatkan dari Berita Harian:
https://www.klik.com.my/item/story/6216303/hakisan-pantai-3-negeri-serius

Lee, K. E. (2015). Kesan hakisan dan kenaikan paras air laut di Batu Pahat ( Impak kepada komuniti
setempat ) Pusat Pencerapan Bumi Institut Perubahan Iklim ( IPI ) Universiti Kebangsaan
Malaysia 43600 UKM Bangi , Selangor Darul Ehsan Cetakkan Pertama 2015. November.

Midun, Z. bin. (1988). Proc . 11 th Annual Seminar of the Malaysian Society of Marine Sciences Coastal
Erosion : Problems And Solutions Ir . Zamani Bin Midun. Solutions.

Muara, H., Pantai, D., Kemaman, K., Permasalahan, T. :, Fizikal, D., & Sosial, D. (2006). Erosion in the
Estuary and Coastal Area in Kuala Kemaman, Terengganu: A Physical and Social Dimension
Setback. Hakisan Muara Dan Pantai Kuala Terengganu Akademika, 69, 37–55.

Nor, K. M. (5 Januari 2015). Luruan Monsun Bawa Banjir Lagi. Retrieved from Kosmo:
www.water.gov.my

Ribut luruan dahsyat hakis teruk pantai Terengganu. (25 Disember 2019). Didapatkan dari Malaysiakini:
https://www.malaysiakini.com/news/504840

Risiko Hakisan Pantai. (8 Mac 2016). Didapatkan dari Berita Harian:


https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/03/131696/risiko-hakisan-pantai

Saliran, D. A. N., & Pengairan, J. (2020). Jabatan pengairan dan saliran malaysia. II(June), 1–8. di-
semenanjung

Syor Tambah Benteng Pemecah Ombak. (15 Oktober 2019). Didapatkan dari Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/618097/syor-tambah-benteng-pemecah-
ombak

Ta Wee, S., & Ariffin, R. (2011). Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan.
Persidangan Kebangsaan Geografi Dan Alam Sekitar, i, 1–20.

Terbang, L., & Abha, A. (2021). Hakisan pantai : UMT , UIAM , NAHRIM cari penyelesaian. 11–12.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

You might also like