You are on page 1of 2

Masalah tanah runtuh merupakan salah satu bencana alam yang biasa kita alami di Malaysia.

Walaupun negara ini terselamat daripada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami namun
kita masih tidak mampu mengelak dari kejadian tanah runtuh. Hal ini membawa rasa bimbang
kepada rakyat dan pihak pemaju kerana tidak ingin menanggung kos kerugian kesan daripada
bencana tersebut. Oleh itu sebagai rakyat yang berpendidikan kita harus tahu bagaimana untuk
mengenal pasti punsa berlakunya tanah runtuh. Pengetahuan ini penting agar kita dapat memikirkan
langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tanah runtuh.

Dalam kebanyakan kes, faktor semula jadi yang paling besar menyumbang kepada kejadian tanah
runtuh ialah faktor hujan. Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menerima iklim panas dan
lembap sepanjang tahun. Cuaca ini menyebabkan Malaysia menerima hujan pada kadar 2600mm
setahun . Air hujan yang turun menyerap ke dalam tanah dan menyebabkan perubahan kepada
kestabilan tanah di samping melemahkan butiran tanah, kesannya tanah runtuh mudah berlaku.
Sebagai contohnya kes tanah runtuh di KM 38 Lebuh Raya Karak- Genting Highland dan tanah runtuh
akibat ribut tropika Greg di Keningau, Sabah yang berpunca daripada faktor hujan.

Faktor kedua menjadi penyebab kepada tanah runtuh ialah perubahan gradien sesebuah cerun.
Perubahan gradien ini biasanya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia di lereng bukit. Aktiviti
manusia di lereng bukit akan mengakibatkan tanah menerima bebanan dan pemecahan butiran
tanah dilakukan. Sebagai contohanya aktiviti pertanian dan perladangan teh di Cameron Highland
menyebabkan kawasan Cameron Highland kerap mengalami kejadian tanah runtuh. Hal ini
disebabkan aktiviti di lereng bukit telah memberi tekanan dan menguraikan ikatan butiran tanah dan
akhirnya menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya runtuh.

Aktiviti pembangunan yang tidak terancang turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
Kekurangan kawasan untuk membina petempatan menyebabkan kawasan bukit menjadi pilihan
terakhir untuk dibangunkan sebagai kawasan petempatan. Hal ini berlaku terutamanya di kawasan
bandar yang pesat seperti di kawasan bandar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya. Hakisan air
hujan yang berterusan menyebabkan tanah di kawasan bukit dihakis. Hakisan yang berterusan
menyebabkan sebahagian tanah lembut di cerun dihanyuti air. Keadaan ini menyebabkan tanah
menjadi poros dan tidak mampu menampung beban di atas tanah. Sebagai contohnya, kejadian
tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang disebabkan pembangunan lereng bukit yang tidak
terancang.

Langkah utama yang wajar diambil untuk mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui pelaksanaan
laporan penilaian kesan alam sekeliling (EIA). Setiap pemaju telah diwajibkan untuk menyediakan
satu laporan EIA sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi
dijalankan. Laporan ini penting untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilakukan
adalah menepati syarat-syarat penjagaan alam sekitar dari segi kecerunan, kawasan tadahan hujan
serta pengekalan kawasan hijau. Langkah ini wajib bagi memastikan risiko berlakunya tanah runtuh
dapat diminimakan bagi menjamin keselamatan penghuni bangunan dan rumah.
Langkah kedua yang boleh diambil bagi mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui kaedah
penanaman tanaman tutup bumi. Sistem akar tumbuhan yang kompleks akan mencengkam dan
mengikat butiran tanah di sesebuah cerun daripada dihakis-angkut dan diruntuhkan. Melalui kaedah
ini kestabilan tanah bukan sahaja dipertingkatkan malahan lapisan daun-daun tumbuhan akan
mengurangkan impak tenaga kinetik titisan air hujan yang turun dari mengenai terus ke lapisan
permukaan tanah dan menghakis permukaan tanah. Langkah ini akan mengurangkan hakisan tanah
terutamanya di cerun bukit.

Langkah yang terakhir yang boleh dijalankan ialah memperbaiki dan membina sistem saliran serta
laluan air di permukaan cerun. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan air daripada mengalir dan
menghakis permukaan tanah secara meluas dan terus-menerus. Pembinaan saliran dan laluan air ini
penting agar air dapat disalurkan terus ke dalam longkang atau sungai. Dengan ini hakisan air
permukaan dapat dikurangkan ke tahap yang minimum dan menjamin kestabilan cerun. Tambahan
lagi, benteng juga boleh dibina di kaki cerun yang dikenal pasti sebagai tidak stabil dan berisiko
untuk runtuh. Dengan ini kaki cerun tersebut perlu distabilkan dan diperkuat dengan sokongan
buatan manusia untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku.

Kesimpulannya kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya mendapat kerjasama daripada
semua pihak terutamanya pihak pemaju. Pihak pemaju harus bersikap jujur dan amanah kerana
sebarang kesilapan dalam pembinaan akan membawa bahaya kepada penghuni kawasan tanah
tinggi. Pihak yang bertanggungjawab tidak harus hanya memikirkan keuntungan yang diperolehi
daripada sesuatu projek pembinaan sebaliknya memikirkan keselamatan penduduk dan tidak harus
bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas. Hal ini penting agar sebarang kemalangan jiwa yang
disebabkan kejadian tanah runtuh dapat dielakkan pada masa hadapan.

You might also like