You are on page 1of 2

Faktor dan kesan kejadian tanah runtuh

Kejadian tanah runtuh merujuk kejadian fenomena alam semula jadi yang sering
dikaitkan dengan perubahan kedudukan tanah sesuatu kawasan itu. Antara
contoh kawasan yang sering dilanda tanah runtuh ialah lereng bukit, kawasan
projek perumahan dan juga kawasan berhampiran dengan aliran air seperti
sungai. Media massa sering mengetengahkan kejadian alam ini sehingga
menjadikan kejadian ini sesuatu yang biasa pula di negara ini. Oleh itu, kefahaman
tentang pelbagai punca dan impak kejadian ini amat penting untuk menangani
kemelut alam sekitar ini.
Secara amnya kejadian tanah runtuh berpunca daripada projek pembangunan
yang tidak seimbang kerana keghairahan manusia mengejar erti kemodenan
sebenar. Pembangunan yang tidak seimbang ini sering mengabaikan pengekalan
alam sekitar terutama hutan atau penggunaan alam sekitar dalam sesuatu projek
pembangunan tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan hujan lebat sahaja
berupaya untuk mencetuskan kejadian tanah runtuh di sesuatu kawasan
pembangunan tersebut. Jadi, tanah runtuh berlaku kerana ketiadaaan
keseimbangan antara projek pembangunan dan sistem ekologinya.
Selain itu, ketiadaan peruntukan perundangan yang menyeluruh turut menjadikan
isu ini semakin meruncing. Masyarakat dengan mudah lagi berani melakukan
projek pembangunan sesuka hati kerana sedar bahawa mereka tidak akan
didakwa oleh pihak kerajaan kerana ketiadaan akta yang mampu untuk digunakan
terhadap kesalahan mereka itu. Kelemahan dalam system perundangan inilah
yang menyebabkan masalah ini terus berlaku tanpa ada sebarang perasaan
bersalah dalam jiwa masyarakat kita. Jelaslah, ketiadaan peruntukan
perundangan yang holistik dan ketat telah membawa masalah ini terus menerus
berlaku dalam masyarakat kita.
Bukan sahaja ketiadaan keseimbangan pembangunan dan kelemahan dalam
sistem perundangan tetapi kekurangan dalam kemahiran menarah sistem bukit di
negara ini turut menjadikan polemik ini semakin serius. Kita masih menggunakan
sistem tarahan kawasan berbukit yang lama kerana kekurangan kemahiran atau
pengalaman dalam kalangan jurutera tempatan di negara ini. Situasi ini
menyebabkan bukit yang digondolkan itu mudah sahaja mengalami kejadian
tanah runtuh setiap kali hujan lebat melanda.
Namun, impak yang timbul daripada kejadian alam ini begitu menakutkan
terutama pertambahan dalam bilangan mangsa korban kejadian ini. Saban tahun
ada sahaja nyawa insan yang tidak bersalah akan hilang bersama-sama runtuhan
tanah tersebut walaupun mereka tidak bersalah dalam hal ini. Kehilangan nyawa
ini seolah-olah tidak mendapat perhatian semua pihak sehingga hanya komen-
komen biasa kedengaran setiap kali sesuatu malapetaka melanda negara ini.
Justeru, tanah runtuh yang berlaku telah menyebabkan negara ini kehilangan
banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Malah, kemusnahan harta benda turut berlaku yang menyebabkan kerugian
berjuta-juta ringgit setiap tahun begitu sahaja. Biasanya kerugian ini berlaku
akibat kemusnahan harta benda terutama rumah, bangunan, dan juga
kemudahan awam terutama jalan raya. Akibatnya, kerajaan terpaksa
membelanjakan pula sejumlah wang yang banyak untuk membina semula
kemudahan ini atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa
kejadian tanah runtuh.
Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas
dengan teruknya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju
perumahan amat diperlukan agar tidak membina projek mereka di kawasan yang
berisiko tinggi seperti kawasan berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan
pihak-pihak tertentulah yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang
oleh kerajaan kita. Bak kata orang tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang
mengingatkan kita bahawa semua yang berlaku sudah terlewat untuk dikesali
kecuali kita sedar lalu bertindak mengatasinya dengan lebih awal.

You might also like