You are on page 1of 4

Kandungan

 Punca Banjir Kilat Berlaku


o Sistem perparitan yang tidak cekap
o Penguatkuasaan yang terlalu longgar
o Hujan yang berterusan
o Sikap manusia yang tamak
o Proses pembandaran
o Pembalakan haram
o Hakisan sungai
o Penutup Karangan Punca Banjir Kilat

Banjir kilat kerap berlaku di negara kita dan mendatangkan kesan buruk terhadap semua hidupan
sehingga boleh membawa kematian. Apakah punca-punca banjir kilat berlaku di negara kita?

Punca Banjir Kilat Berlaku

Saban hari, berita dan laporan tentang bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh telah
menghiasi dada akhbar. Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir
kilat merupakan antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan
kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Apakah punca-punca
banjir kilat berlaku di negara kita?

Sistem perparitan yang tidak cekap

Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem
perparitan yang sempurna. Parit yang dan longkang yang dibina di kawasan bandar terlalu kecil dan
cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat parit tersebut tidak dapat menampung
sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.
Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di
bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Penguatkuasaan yang terlalu longgar

Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini
kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata
tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila
hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar
malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman.
Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.

Hujan yang berterusan

Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan.
Punca ini merupakan penyebab yang berasal dari alam itu sendiri. Iklim dunia yang tidak menentu
iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini
semakin buruk dengan fenomena El-nino yang menyebabkan hujan lebat. Hujan yang berterusan
tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Air hujan akan dialirkan
ke sungai tetapi di kawasan-kawasan yang rendah, air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar
sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.
Sikap manusia yang tamak

Kalau kita tinjau dari sudut yang lain, bencana alam berlaku sentiasa disebabkan oleh sikap manusia
yang tamak dan bertuhankan kekayaan. Pelabur asing telah membuka kilang di merata-rata tempat
untuk menjana ekonomi di negara asal mereka. Kilang-kilang tersebut yang berkaitan dengan
penggunaan bahan mentah seperti kayu dan sumber hutan yang lain telah menyebabkan hutan-hutan
yang malar hijau terpaksa digondolkan. Penggondolan hutan tersebut secara tidak diketahui telah
menjurus kepada bencana alam seperti banjir kilat. 

Proses pembandaran

Proses pembandaran merupakan salah satu punca banjir kilat berlaku. Kawasan-kawasan tanah
rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Pembukaan tanah berleluasa
dan penebangan pokok yang tidak terkawal telah menyebabkan resapan air ke tanah berkurangan.
Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan punca penyebab berlakunya banjir kilat kerana apabila hujan
turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Hal ini
telah menyebabkan kawasan tadahan air dimusnahkan dan membawa kepada masalah banjir kilat.

Pembalakan haram

Pembalakan haram juga merupakan punca berlakunya banjir kilat. Hutan negara atau taman negara
telah banyak diwartakan sebagai kawasan larangan dalam apa-apa aktiviti pembangunan, namun
pembalakan haram secara besar-besaran telah berlaku di kawasan tanah tinggi di negara kita.
Hutan yang berperanan untuk menyerap air hujan semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan air
hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat
menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung
air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat.

Hakisan sungai

Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku
apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai.
Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya
sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa
domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai
menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat
megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir
akan berlaku.

Penutup Karangan Punca Banjir Kilat

Kesimpulannya, hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan
membawa rahmat kepada manusia. Kesedaran yang jitu penting dan harus ada dalam diri setiap
individu untuk memastikan fenomena alam khasnya banjir kilat tidak akan terus berlaku. Kita mestilah
menghargai sumber alam yang dianugerahkan kepada kita supaya kita tidak akan merasa satu
kerugian yang amat besar disuatu hari nanti. Masalah bencana alam hanya dapat ditangkis dan
dibendung melalui rancangan kerajaan yang ampuh bersama-sama dengan kerjasama daripada
semua pihak baik golongan ibu bapa mahupun golongan remaja. Hanya dengan strategi yang
tersusun dan terancang, masalah bencana alam, banjir kilat dan tanah runtuh dapat ditangani secara
bersepadu. 
Kandungan
 Kesan Banjir berlaku di Malaysia
o Kehilangan nyawa
o Kehilangan harta benda
o Mengancam kesihatan
o Sektor pertanian dan penternakan terjejas
o Penutup Karangan Kesan Banjir

Banjir yang melanda kawasan Klang secara dahsyat telah memberi kesan buruk
kepada ekonomi negara kita. Huraikan kesan banjir berlaku di Malaysia.

Kesan Banjir berlaku di Malaysia

Kemunculan bencana banjir beberapa ketika dulu sudah cukup untuk memberikan


ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi negara kita. Sejarah telah
mencatatkan fenomena banjir besar berlaku pada 2014 sehingga mengorbankan
banyak nyawa. Malangnya, sikap rakyat yang kurang prihatin terhadap alam sekitar
telah menyebabkan berlakunya banjir yang membawa pelbagai kesusahan kepada
banyak pihak. Langkah-langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa yang
panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Persoalannya, apakah kesan banjir berlaku
di Malaysia?

Kehilangan nyawa
Kejadian banjir merupakan fenomena alam semula jadi yang membawa kepada
tragedi dan kebiasaannya berlaku dalam keadaan yang luar jangka. Kesan banjir
yang paling buruk adalah kehilangan nyawa insan atau individu yang disayangi.
Kesan ini mungkin terjadi akibat daripada lemas sewaktu meredahi banjir dalam
usaha menyelamatkan diri atau disebabkan putus bekalan makanan dan bekalan air
bersih. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh
membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.

Kehilangan harta benda


Dari segi kehilangan harta benda, banjir boleh menyebabkan mangsa kehilangan
barang-barang kepunyaan mereka akibat dibawa arus. Selain itu, perkakas rumah
yang ditenggelami air menyebabkan ianya rosak dan sudah tidak boleh digunakan
lagi. Kerosakan harta benda sudah membayangkan kesannya kepada ekonomi
manusia. Sekurang-kurangnya, mereka memerlukan belanja untuk mengembalikan
keadaan kepada sediakala. Bank, premis perniagaan, semuanya mengalami kerugian
teruk bukan sahaja kerana kerosakan harta, bahkan kerana aktiviti perniagaan yang
terhenti. Syarikat yang menyertai bursa saham akan terjejas dan menyebabkan
pelabur merasa tidak selamat dan mula mengalihkan modal kepada negara-negara
lain sebagai alternatif.

Mengancam kesihatan
Selain itu, banjir juga menyebabkan kesihatan penduduk terjejas. Penyakit seperti
cirit-birit, taun, demam kepialu, denggi, hepatitis A dan kudis buta menjadi ancaman
akibat daripada bahana banjir yang menjejaskan kebersihan makanan, minuman,
persekitaran. Bakteria yang tersebar melalui air banjir mengancam keselamatan
kerana penularan yang susah untuk terkawal. Bahkan kesesakan di pusat-pusat
pemindahan mangsa banjir turut memudahkan penularan sebarang penyakit
berjangkit.

Sektor pertanian dan penternakan terjejas


Sektor pertanian dan penternakan turut terjejas akibat berlakunya banjir. Air banjir
yang bertakung terlalu lama di kawasan pertanian menyebabkan tanaman mati.
Antara tanaman yang mudah mati adalah getah, koko, kepala sawit dan padi.
Kemusnahan tanam-tanaman ini akan merugikan para petani. Selain itu, pengusaha-
pengusaha penternakan seperti ayam, itik dan sebagainya turut menanggung
kerugian akibat ternakan mereka yang mati ditenggelami arus banjir. Mereka yang
mengalami kemusnahan ladang tanaman dan ternakan memerlukan bantuan
kerajaan kerana kerugian yang besar.

Penutup Karangan Kesan Banjir


Kesimpulannya, banjir bukan sahaja memberi kesan buruk kepada semua mangsa
yang terlibat, bahkan juga melibatkan semua pihak merasai akibatnya. Di samping
itu, peristiwa banjir ini juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya
dalam persiapan menghadapi banjir. Banjir telah membuka mata kita berkenaan
sistem perparitan yang dilaporkan bermasalah, serta beberapa aktiviti pembalakan
yang tidak terancang. Justeru, pihak yang berkenaan harus mengambil tindakan
secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini ini daripada terus
berlaku bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat”.

You might also like